Isnin, 13 Jun 2011

YANG PENTING AJK MASJID MENJALANKAN KERJANYA IKUT ISLAM SERTA DAPAT MEMAKMURKAN MASJID...

PAS T'ganu sokong penuh pelantikan Wahid Endut
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 13 Jun: Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik yakin perlantikan Abdul Wahid Endut (gambar) sebagai Pesuruhjaya baru negeri itu mampu mengembalikan negeri itu ke pangkuan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Bercakap kepada Harakahdaily selepas penguman perlantikan itu oleh presiden PAS semalam, beliau berkata pemilihan Abdul Wahid memenuhi hasrat penyokong parti negeri itu.

"Ianya merupakan cadangan presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kepada mesyuarat dan dipersetujui sebulat suara.

"Ia juga satu keperluan menghadapi pilihan raya untuk mengembalikan semula Terengganu ke pangkuan PAS," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Semalam, Tuan Guru Abdul Hadi mengumumkan lima negeri mengalami perubahan untuk Pesuruhjaya.

Negeri Terengganu- Abdul Wahid Endut, Negeri Sembilan- Mohd Taufek Abdul Ghani, Selangor- Dr Abd Rani Osman, Melaka- Adly Zahari dan Sabah- Aminuddin Halim.

Abdul Wahid menggantikan penyandang sebelum ini, Datuk Harun Taib.

Sambil menyokong perlantikan itu, Abu Bakar Chik berkata ianya memberi peluang kepada pemimpin lebih muda mempimpin parti di negeri itu.

Apatah lagi ujarnya, Abdul Wahid seorang yang berpengalaman ekoran bukan sahaja sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, malah sudah lima penggal menjadi Adun Wakaf Mempelam dan juga sebagai Timbalan Pesuruhjaya sebelum ini.

"Saya memberi sokongan penuh kepada beliau, dan kita akan menunggu untuk menyusun saf kempimpinan dewan harian yang baru di Terengganu," katanya.

Jawatankuasa siasat IPP tidak wakili suara rakyat
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 13 Jun: Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mempersoal tindakan kerajaan menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat isu pengeluar tenaga bebas (IPP) kerana didakwa tidak mewakili suara rakyat.

Mahfuz sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini sebaliknya berkata, kerajaan sewajarnya mempertimbangkan cadangan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat konsesi IPP.

"Apa perlu tubuh jawatatankuasa. Jawatankuasa tidak mewakili suara rakyat. Saya setuju dengan cadangan Gua Musang (Tengku Razaleigh Hamzah) yang minta ditubuhkan suruhanjaya untuk siasat bagaimana perjanjian itu dibuat dengan IPP yang langsung tidak mengambil kira kepentingan negara sendiri," katanya.

Naib Presiden PAS itu juga menyelar tindakan kerajaan yang sewenang-wenangnya menarik subsidi rakyat sebaliknya meneruskan subsidi kepada IPP.

Tambahnya, sia-sia kerajaan melantik konsultan dari luar negara semata-mata untukmemberi idea yang menguntungkan kerajaan.

"Pengguna yang terpaksa menanggung defisit kerana pendapatan pengguna tidak bertambah tapi perbelanjaan terus meningkat dengan berlaku kenaikan harga barang. Jadi saya nak minta penjelasan kenapa dengan pengguna begitu mudah untuk kurangkan subsidi, naikkan harga tetapi dengan IPP bila kita cadang macam-macam baru nak tubuh jawatankusa untuk nak kaji dan sebagainya.

"Saya pun hairan apa guna kita ada makmal, kita lantik konsultan daripada luar negara hanya bagi cadangan kepada kerajaan jika nak kurangkan defisit negara ialah kurangkan subsidi,tarik subsidi daripada rakyat.

"Yang itu tak payah lantik konsultan dari luar negaralah. Siapa-siapa pun boleh jawab. Kenapa sangat sukar untuk nak mengurangkan subsidi daripada IPP?" soalnya.

Sebelum itu, Datuk Seri Tiong King Sing dalam soalan asalnya meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan pelan jangka masa panjang kerajaan dalam menangani fenomena kenaikan harga minyak global terutamanya pengurangan subsidi minyak oleh kerajaan telah meningkatkan beban hidup rakyat.

Beliau juga ingin tahu persiapan syarikat-syarikat petroleum dalam menyediakan kemudahan stesen-stesen NGV dalam usaha menggalakkan penggunaan NGV sebagai bahan bakar alternatif.

Semalam, Kabinet telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji pelbagai aspek termasuk isu pengeluar tenaga bebas (IPP) dan bekalan tenaga kepada negara pada masa depan.

Jawatankuasa tersebut melibatkan tiga Menteri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.


PAS bantu taklimat pemilihan masjid
Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 13 Jun: PAS Pulau Pinang akan membantu kerajaan negeri memastikan taklimat yang tepat dan betul kepada akar umbi mengikut semangat yang ada dalam Tatacara Pemilihan Qariah sebelum tarikh pemilihan pada 18 Jun ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Mujahid Yusof Rawa pada sidang media khas berhubung perkara itu berkata, PAS sedaya upaya menggerakkan aktiviti penerangan itu kepada 200 masjid yang ada di Pulau Pinang supaya anak qariah lebih memahami kaedah baru yang menjurus kepada matlamat menyelamatkan institusi masjid daripada kongkongan politik pihak tertentu.

"PAS Pulau Pinang kesal terhadap Umno yang secara tidak bertanggungjawab menimbulkan berbagai provokasi dan sekaligus menggugat proses kerajaan negeri untuk menyatukan umat Islam melalui pemilihan jawatankuasa masjid yang lebih telus. Kami akan membantu memberikan taklimat ke akar umbi supaya umat Islam tidak keliru dengan dakyah jahat," jelasnya.

Katanya, bagi menghilangkan pengaruh politik kepartian, maka Kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengikuti pendekatan yang dipakai sebelumnya kerana ia tidak telus, banyak masjid tidak mengadakan mesyuarat agung, tiada laporan aktiviti, kunci kira-kira dan tiada notis pemberitahuan kepada anak qariah tentang pemilihan jawatankuasa qariah baru.

Akibatnya, kata beliau masjid menjadi lesu dan tidak bermaya maka Kerajaan Pakatan Rakyat berhasrat melibatkan ahli qariah dalam menentukan perjalanan dan pengurusan masjid di Pulau Pinang.

Beliau berkata, ia dibuat dengan telus apabila notis dibuat awal dan pengisytiharan calon untuk jawatan pengerusi sehingga pemeriksa kira-kira seramai 15 orang.

Walaupun baru mendapat peluang menentukan jawatankuasa qariah, Kerajaan Pakatan Rakyat cuba untuk membuat perubaan sedikit demi sedikit untuk mengimbangi keperluan mengikut peruntukan Jawatankuasa Qariah dan Pegawai Masjid Negeri pindaan 2003.

"Kenapa Umno cuba kaitkan perkara yang tidak releven seperti mengatakan DAP campurtangan terhadap pemilihan Jawatankuasa sedangkan ia mengikut saluran betul mengikut kaedah Jawatankuasa qariah dan Pegawai Masjid Masjid Negeri Pindaan 2003.

“Lagipun semuanya melalui peruntukan yang ada dalam enakmen pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang Seksyen 104 (10)(b), " katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Belia: Kerajaan perlu titik berat pembangunan insan
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 13 Jun: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) mahu kerajaan menyatakan secara terperinci mengenai pengisian pada program Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya, Mei lepas.

Beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, berkata kerajaan sewajarnya menitik beratkan pengisian yang menjurus ke arah pembangunan insan dan perpaduan kaum.

"Apakah program pengisian secara terperinci kerana yang terpenting dalam erti belia ialah membangun insan dari segi keilmuan, moral, perpaduan di kalangan kaum masyarakat majmuk yang sangat penting dan ini perlu ditekankan," katanya.

Presiden PAS itu turut meminta Kementerian Belia dan Sukan menyatakan langkah susulan terhadap belia yang tidak mengambil peduli tentang kepentingan kehidupan bermasyarakat.

"Boleh Yang Berhormat nyatakan pencapaian kedatangan dalam perhimpunan itu dan apakah langkah susulan yang diambil terhadap belia yang tidak ambil tahu langsung tentang kewajipan bermasyarakat serta terpengaruh dengan gejala-gejala negatif," katanya yang juga Adun Rhu Rendang.

Ustaz Hadi dalam soalan asalnya meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan apakah motif sebenar Himpunan Sejuta Belia yang diadakan pada Mei lepas serta pembentukan kumpulan sukarelawan di kalangan belia bagi melahirkan belia yang sanggup memberi sumbangan kepada masyarakat dalam apa jua keadaan apabila diperlukan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Chik dalam jawapannya berkata himpunan tersebut merupakan himpunan besar yang memaparkan kekuatan tenaga, bakat, kreativiti dan semangat kerja berpasukan di kalangan belia.

Namun himpunan tersebut bagi sesetengah pihak hanyalah tindakan kerajaan untuk meraih sokongan belia terhadap BN.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya menyeru belia agar mempertahankan Putrajaya serta mendakwa Pakatan Rakyat akan menggadai wilayah itu jika berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan.


Mengapa lebuh raya Senai-Desaru satu lorong

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Jun: Pemuda PAS Johor kecewa apabila fasa terakhir lebuh raya Pasir Gudang ke Desaru hanya satu lorong sahaja.

“Tidak pernah rakyat Johor mendengar atau melihat lebuh raya dalam dunia ini hanya satu lorong dan bakal dikenakan tol selepas 10 Julai 2011,” kata ketuanya, Suhaizan Kayat kepada Harakahdaily.

Katanya, rakyat Negeri Johor sememangnya tertunggu-tunggu siapnya lebuh raya dari Senai ke Desaru di Kota Tinggi yang merupakan sebahagian daripada projek pembagunan Iskandar Malaysia.

Panjangnya 77 km melingkari dari Senai, Ulu Tiram, Pasir Gudang dan Desaru dengan nama singkatan Senai-Desaru Expressway (SDE).

Ia boleh menjimatkan masa perjalanan daripada jalan biasa dua jam setengah kepada hanya satu jam sahaja.

Projek itu telah dibina oleh syarikat Ranhill Engineers & Constructors Sdn Bhd dan merentasi Sungai Johor berhampiran Pasir Gudang sepanjang 1.7 km.

Fasa terakhir lebuh raya adalah daripada Pasir Gudang Ke Desaru telah dibuka pada 10 Jun lalu dan percuma tanpa bayaran tol selama sebulan.

Menurut Suhaizan, laluannya terlalu sempit dan tidak mempunyai side table atau bahu jalan yang cukup untuk tujuan kecemasan.

“Laluan ini sangat merbahaya kepada kenderaan khususnya waktu malam kerana kawasannya yang gelap tanpa lampu jalan yang cukup,” katanya.

Katanya, pengguna hanya selesa membawa kenderaan dengan kelajuan 60 km sejam sahaja.

Beliau menambah, apabila kemalangan atau kerosakan kenderaan berlaku, maka lebuh raya itu akan berlaku kesesakan yang teruk di kedua-dua belah lorong.

Katanya, kesesakan yang paling ketara dijangka akan berlaku di hujung minggu atau musim cuti adalah laluan menurun dari atas Jambatan Sungai Johor dan di tol Desaru.

Ini, ujarnya kerana laluan di atas jambatan terdapat dua lorong tetapi malangnya laluan selepas jambatan hanya mempunyai satu lorong sahaja sementara kaunter tol pula hanya ada dua sahaja untuk bayaran tunai.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Johor ingin mendapatkan penjelasan daripada kerajaan mengapa projek Lebuhraya Pasir Gudang–Desaru hanya mempunyai satu lorong sahaja,” ujarnya.

Katanya, jika pihak kerajaan membenarkan syarikat konsesi itu mengutip bayaran tol selepas 10 Julai nanti, maka Pemuda PAS Johor akan membuat bantahan besar-besaran kepada pihak kerajaan.


Tolak Kerajaan Yang Membebankan Rakyat dan Menguntungkan Kroni!
Dr. Dzulkefly Ahmad
Penulisan ini akan memfokas tentang dua perkhidmatan utiliti – Air dan Elektrik. Kedua-dua utiliti ini memaparkan betapa kerajaan Umno/BN memperkayakan kroni dan membebankan serta memangsakan rakyat.

Sebelum ini saya telah menulis tentang macamana kerajaan BN di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir melaksanakan penswastaan air dan berakhir hari ini dengan satu ‘Penstrukturan Semula’. Mengapa berlaku sedemikian?

Penstrukturan semula air adalah kata lain bagi kegagalan penswastaan air yang dilakukan dulu atas andaian pihak swasta mampu meningkatkan perkhidmatan dan mengurangkan kos kepada kerajaan. Ia juga adalah bertujuan untuk melakukan “Penyelamatan Kroni” atau “Bailout”.

Ini bererti setelah penswastaan, pengurusan serta perkhidmatan air tidak dapat dilakukan secara mapan dan secara integrated atau ‘holistik’. Contoh terbaik (baca terburuk) jelas dilihat dalam kes Selangor.

JBAS, yang asal untung, setelah diswastakan pada tahun 1997, menjadi rugi kerana segmen yang untung yakni “rawatan air” diswastakan kepada 3 syarikat iaitu (i) Puncak Niaga Sdn Bhd (ii) Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn BHd (SPLASH) dan (iii) Konsortium Abass Sdn BHd (ABASS).

Kegiatan “membekalkan air” yang merugikan kerana sebab “air tak berfaedah” (NRW) kekal ditanggung oleh JBAS. JBAS yang dulu untungnya antara RM50-RM80 juta setiap tahun menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri, setelah dikorporatkan menjadi Pengurusan Air Selangor Berhad (PUAS) terus menanggung defisit (rugi) sekitar RM350 juta.

Pendekkan cerita, PUAS, milik kerajaan negeri itu meneruskan perkhidmatan air yang tempang dengan beban hutang sehinggalah diswastakan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) pada tahun 2005.

Hutang terkumpul SYABAS ketika itu telah melonjak ke paras RM2 bilion.

Pemegang saham SYABAS ialah Puncak Niaga Holdings Berhad (PNSB) sebanyak 70%, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sebanyak 15% dan bakinya 15% di pegang oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS). Kerajaan Persekutuan, melalui Kementerian Kewangan memegang satu ‘saham emas’ dalam SYABAS.

Kesemua penswastaan mengandaikan bahawa perkhidmatan akan menjadi lebih efisien dan baik serta tanggungan kos kerajaan akan berkurangan kerana diambil alih oleh pihak swasta.

Bagi menggalakkan pihak swasta mengambil bahagian dalam penswastaan yang mempunyai kos capital yang tinggi dan masa pelaburan yang panjan, pihak kerajaan telah menawarkan tariff tinggi yang menarik berserta ‘subsidi’ dan ‘pampasan’.

Jelasnya inilah punca ia tidak dapat ditunaikan serta jelasnya membawa beban kepada rakyat ketika mahu dilaksanakan. Kisahnya sama samada dalam kes air dan elektrik. Contoh di Selangor tariff air dijanjikan kenaikan sebanyak 37% (2009), 25% (2012) dan 20% (2015). Perjanjian Penjualan Tenaga (PPA) kepada pihak Penjana Tenaga Bebas (PPA) lebih parah lagi sebab semuanya rahsia dan terkawal dan dilindungi oleh akta rimba Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Kembali ke air di Selangor, program penstrukturan semula kononnya adalah untuk menjadikan industri air lebih ‘holistik’ dan ‘integrated’ kerana terlalu banyak ‘pemain’. Sehingga kini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA, 2006) gagal melaksanakan usaha ini.

Pertikaian pembelian semula semua asset-aset air kerajaan negeri dan pihak swasta oleh sebuah badan yang ditubuhkan oleh WSIA yakni Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) untuk memasukki regim baru pajakan 3 tahun sekali sekaligus menamatkan regim konsesi berterusan tanpa ada muktamadnya.

Sebaliknya terkini di Selangor, kerajaan Pusat akan melakukan satu lagi ‘bailout’ bagi menyelamatkan hutang yang ditanggung olih pihak-pihak konsesi kepada pemegang bon berjumlah RM6.4bilion seluruhnya. Atas apa jua sebabnya, kerajaan selalunya bersedia membantu pihak swasta (baca kroni). Tetapi tidak semudah itu ketika untuk mengurangkan beban rakyat. Mengapa begitu?

Bagi pengetahuan umum, begitu halnya dalam kes Tenaga Nasional Berhad (TNB). TNB sebagai sebuah badan berkanun, samalah semacam JBAS tadi, merupakan sebuah badan yang efisien dan membuat keuntungan yang menasabah buat kerajaan sehinggalah berlaku penswastaan di mana TNB dicekik oleh pihak IPP.

Sejarah menunjukkan bahawa Unit Perancangan Ekonomi (EPU) yang bertanggungjawab menyusun kesemua ini. Mengikut sejarahnya TNB hanya perlu akur kepada arahan EPU. Amat malang, mengikut sejarahnya, bahawa sementara TNB mampu menjana tenaga pada kos 8 sen seunit (setiap kWhr), mereka dipaksa membeli daripada IPP pada harga 14 setiap kWhr atau 75% lebih tinggi. Sebenarnya dengan kaedah ”take or pay” harga dibayar kepada IPP ialah 23 sen (termasuk kos transmisi dan pengedarn). TNB sebenarnya mampu membekal dengan 17 sen se unit tanpa IPP. Simpanan atau kapasiti resap/lebihan pula berada pada lebih 50%, antara tertinggi di dunia. Jelas kerajaan BN menguntungkan kroni dan membebankan rakyat! TK kerajan BN!

Untuk ingatan umum, paksaan inilah yang menyebabkan Tan Sri Ani Arope, Pengerusi yang memimpin TNB dengan cemerlang, meletakkan jawatan seraya menyelarkan EPU sebagai – Economic PLundering Unit atau Unit Penyamun Ekonomi!

Mutakhir, Kerajaan persekutuan menaikkan tarif elektrik dengan purata 7.12 peratus bermula 1 Jun ini sebagai sebahagian daripada polisi rasionalisasi serta pengurangan subsidi. Bersekali dengan itu,gas asli pula dinaikkan RM3 setiap mmBtu setiap enam bulan sehingga mencecah harga pasaran pada 2016, apabila harganya diapung sepenuhnya.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui mendakwa seramai 44.4 juta atau 75 peratus dariapada keseluruhan 5.94 juta isi rumah tidak akan terjejas dengan tarif baru ini. Katanya bagi yang menggunakan 301kW hingga 1000kW, tarif dinaikkan daripada 0.1 peratus hingga 10 peratus, atau RM0.07 kepada RM30.30.

Sementara itu pula, pelepasan bil elektrik untuk pengguna yang menggunakan kurang daripada RM20 sebulan akan tamat pada Disember 2011.

Kenaikan itu disebabkan oleh peningkatan harga gas asli untuk sektor tenaga.

Saya ingin tegaskan bahawa seperti juga yang diramalkan oleh pakar-pakar ekonomi serta penganalis, akibat dari kenaikan ini, kita menjangkakan bahawa harga makanan dijangka meningkat seiring pengumuman kerajaan menaikkan tarif elektrik.

Ini jelas kerana sebab industri pengeluaran makanan menggunakan sebahagian besar tenaga elektrik.

Mungkin betul bahawa sebanyak 75 peratus isi rumah terlepas daripada kesan langsung kenaikan tarif elektrik, akan tetapi mereka akan menghadapi bebannya apabila pengeluar memindakah kos yang lebih tinggi kepada pengguna.

Tambahan dengan pemotongan tambahan subsidi atas bahan bakar, petrol dan disel maka ia akan mencetuskan lagi tekanan inflasi yang lebih parah. Rakyat akan terbeban seumpama dah jatuh ditimpa tangga. Terkini, dilaporkan bahawa Indeks Harga Barang (CPI) telah mencecah 4.7%.

Lebih parah lagi adalah kepada golongan berpendapatan rendah. Satunya kerana dulu tidak perlu membayar kalau kurang dari RM20, tetapi selepas Dis 2011, mereka akan terbeban juga. Keduanya golongan ini akan menanggung kenaikan kos ini pada peratus yang lebih tinggi dari pendapatan mereka berbeza dengan golongan berpendapatan tinggi. Kenaikan harga kos makanan dan saran adalah sama ke atas semua orang – yang kaya dan miskin.

Hakikatnya yang miskin akan menanggong pada kadar peratus yang lebih tinggi nisbah pendapatan mereka. Tambahan pula pendapatan mereka tidak pula boleh dinaikkan seperti yang makan gaji atau berniaga. Amat hairan mengapa sebuah kerajaan yang mendakwa yang mengutamakan rakyat, terus-menerus memangsakan rakyat.

Tidak kah dapat mereka fikirkan sumber lain bagi menambah pendapatan Negara dari membebankan rakyat samada dengan menaikan cukai atau mengurangkan subsidi? Menuduh rakyat ‘ketagihan candu’ subsidi adalah sebutan yang menghina rakyat.

Mana-mana kerajaan di dunia ini pun boleh sahaja menggunakan Kaedah Fiskal untuk mencapai ‘pengimbangan’ dengan sistem cukai dan subsidi mereka bagi menentukan pendapatan dan perbelanjaan. Biasa sahaja. Pengherotan ekonomi atau ‘distortion’ berlaku bukan hanya kerana subsidi bahkan termasuk mengepung pasaran dengan monopoli atau ketika kerajaan sendiri berniaga contohnya dengan memberi ‘advantage’ kepada syarikat-kaitan kerajaan (GLCs) dalam persaingan.

Pada soalan sumber pendapatan lain, tentunya ada. Pertamanya, tutup lubang-lubang kebocoran dan ketirisan di segi sistem penghantaran atau ‘delivery’. Skandal PKFZ mencecah RM12.5bilion. Kedua, elakkan pembaziran terutama dalam mengendali projek mega dengan kos ‘overrun’ yang mencecah RM billion . Bakun satu contoh. Ketiga, tarik balik subsidi kepada golongan yang tidak layak, yang untung jutaan dan billion seumpama Penjana Tenaga Bebas atau IPP, pemilik konsesionar utiliti seperti Lebuhraya dan Air.

Kalau kerajaan singkat pemikirannya, rakyat sewajarnya singkatkan riwayat usianya. Tolak kerajaan yang membebankan rakyat dan mengkayakan kroni!

Dr Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat.

Pemuda PAS santuni anak muda underground
Rosli Yasmin

KUALA LUMPUR, 13 Jun: Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hasan berkesempatan bersama dengan anak-anak muda Chow Kit di Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu negara semalam dan bertemu dengan kumpulan underground.

Program yang di bertemakan "Chow Kit Kita" yang dianjurkan oleh anak-anak muda dan aktivis di sekitar Chow Kit dan Kuala Lumpur telah mengadakan berberapa aktiviti seperti pameran, menyanyi bersama, jualan baju dan lain-lain lagi.

Beberapa orang peserta program agak terkejut dan gembira dengan kehadiran Nasrudin dan sempat bergambar bersama-sama beliau dan rombongan.

Selepas itu, rombongan pemuda PAS menjenguk kumpulan underground yang sedang mengadakan konsert mereka berhampiran di situ.

Anak-anak muda underground dan punk yang pada mulanya agak rimas dengan kehadiran Ketua Pemuda PAS yang memakai kopiah itu, akhirnya serasi dan biasa dengan penampilan itu.

Selain bersama-sama mengambil gambar, Nasrudin juga diberi peluang masuk ke dalam dewan konsert yang gelap, yang hanya disuluh oleh lampu neon yang bersimpang siur serta disantap dengan muzik-muzik punk dan underground.

Turut menyertai Nasrudin ialah Khairul Faizi Ahmad Kamil (setiausaha), Kamaruzaman Mohamad (exco), Firdaus Jaafar (exco), Zamri As'ad Khuzaimi (exco) dan kepimpinan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.


Rakyat Turki berpesta dengan kemenangan AKP
Zulkifli Sulong, Istanbul

ISTANBUL, 12 Jun: Parti Keadilan dan Kesejahteraan (AKP) Turki pimpinan Toyyib Erdorgan berjaya memenangi pilihan raya Turki buat kali ketiga berturut-turut dan sekalligus memecahkan rekod yang dipegang parti pimpinan Adnan Manderes sebelum ini.

AKP menang dengan undi popular sebanyak 49.9 peratus berbanding 37 peratus dalam pilihan raya 2002 dan 47 peratus dalam pilihan raya 2007.

Bagaimanapun AKP gagal mencapai sasarannya untuk memenangi dua pertiga kerusi apabila hanya memenangi 325 kerusi iaitu kurang dua belas kerusi lagi dari jumlah sasaran dua pertiganya.

Rakyat Turki, khasnya penyokong AKP dari pelbagai lapisan umur bagaikan berpesta di perkarangan pejabatnya di Istanbul dan juga di Ankara.

Di Ankara, Presiden AKP, Erdogan dan isterinya berucap kepada para penyokongnya bagi meraikan kemenangan itu kira-kira jam 9.30 malam waktu tempatan.

Di Istanbul, pesta kemenangan berlangsung di perkarangan pejabat AKP dan juga di dalam dewan besar pejabat AKP Istanbul.

Para remajanya menari tarian tradisional Turki sambil menyanyikan lagu khas yang dicipta AKP untuk pilihan raya kali ini.

Mereka mengibarkan bendera AKP yang dibekalkan oleh parti itu sejak jam tujuh malam apabila keputusan awal diumumkan AKP sudah memperolehi 53.24 peratus.

Sambil menyanyi dan menari, mereka juga bersorak setiap kali gambar pemimpin kesayangan, Erdogan dipaparkan dilayar besar yang dipasang di perkarangan parti itu.

(Gambar bawah: Huseyin Kansu [kanan] bercakap dengan Dr Mariah Mahmud menjelang keputusan pilihan raya diumumkan)

Menurut Huseyin Kansu, bekas anggota Parlimen AKP, partinya masuk ke dalam pilihan raya ini dengan sasaran untuk membolehkan partinya membuat satu perlembagaan baru yang disediakan oleh pihak awam.

Ini kerana, perlembagaan Turki yang ada sekarang disediakan oleh pihak tentera. Walaupun sudah berpuluh kandungannya dipinda oleh kerajaan AKP namun ia tidak menyelesaikan masalah gangguan tentera dan mahkamah perlembagaan yang sentiasa menganggu kerajaan pilihan rakyat itu.

Antara pindaan yang pernah dibuat adalah membenarkan para pelajar wanita universiti di negeri itu memakai tudung disamping membenarkan wanita memakai tudung di majlis rasmi kerajaan.

Ketika mula menang di Turki pada tahun 2002 dahulu, isteri Erdogan sendiri, Emin, tidak boleh mengiringi suaminya ke majlis rasmi kerana beliau enggan memakai tudung yang dipakainya itu.

Kini, Emin boleh menemani suaminya ke mana-mana termasuk ke majlis rasmi kerajaan.

Namun pindaan-pindaan yang dibuat tidak boleh menghentikan pihak tentera mengganggu gugat kerajaan pada setiap masa.

"Hanya dengan membuat semula perlembagaan yang berasaskan demokrasi sepenuhnya barulah ia akan selesai," kata Huseyin Kansu kepada Harakahdaily.

Huseyin adalah anggota Parlimen tiga zaman iaitu dibawah parti Refah, Fadhilat dan yang terakhir AKP iaitu pada tahun 2002.
Selepas tiga penggal sebagai anggota Parlimen, Huseyin tidak lagi bertanding sejak 2007 dan pilihan raya tahun ini namun beliau kekal sebagai penyokong tegar AKP.

Bagi beliau, setiap kali tentera menganggu urusan kerajaan, ekonomi Turki juga akan turut terganggu.

"Oleh itu majoriti lebih dua pertiga diperlukan untuk membolehkann perlembagaan baru dibuat dan menjadikan Turki benar-benar negara demokratik," kata Huseyin.

Dalam pilihan raya ini, AKP mendapat 325 kerusi, CHP 135, MHP 54 dan BGM 36 kerusi.

Turut menjadi pemerhati pilihan raya ini adalah lima pemimpin dan petugas PAS dan tiga pemimpin PKR. Delegasi PAS yang diketuai Dr Mariah Mahmud turut disertai oleh Nasir (Kedah), Onn Jaafar (Johor), Taufek Ghani (Negeri Sembilan), Abdul Rahman dan Baihaki Atiqullah (Kelantan) di samping penuls (Harakah).

Pemimpin PKR adalah Nurul Izzah Anwar (naib presiden), Saifudin Nasution (setiausaha agung) dan Datuk Johari Abdul (ahli MPT).


Tiada ulasan: