Jumaat, 26 Februari 2010

REZEKI2 GAK...PERJUANGAN RASULLULLAH KENA BUAT...JANGAN ALUNAN TIADA AMALAN

Rezeki Maulidur Rasul

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
2010/02/26

KETIBAAN 12 Rabiulawal 1431 hari ini memberi pengertian sangat mendalam buat umat Islam di seluruh dunia kerana menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w yang turut dikenali sebagai Maulidur Rasul.

TERUS BERDAKWAH...(dari kiri) Suffian, Che Amran, Syahril dan Munif  mahu mengembangkan muzik nasyid ke seluruh dunia.
TERUS BERDAKWAH...(dari kiri) Suffian, Che Amran, Syahril dan Munif mahu mengembangkan muzik nasyid ke seluruh dunia.
Demi meraikan hari bermakna ini, sambutan acara ini tetap diberi perhatian apabila masyarakat di negara ini mendapat cuti umum.


Di sebalik umat Islam beramai-ramai mengenang hari bersejarah itu, ada pula yang berpandangan sambutan ketika ini kurang meriah, cuma perarakan dan bacaan selawat yang lazim diadakan pada setiap tahun.


Bagi empat vokalis kumpulan nasyid popular iaitu Che Amran Idris daripada kumpulan Raihan, Munif Ahmad (Hijjaz), Suffian Amrin (Saujana) dan Mohd Syahril Ab Khalid (In-team), mereka mempunyai pandangan tersendiri mengenai Maulidur Rasul dan aktiviti seni yang seharusnya dijalankan.


Munif mewakili tiga anggota kumpulan Hijjaz menyatakan sambutan kali ini tetap meriah, apatah lagi memberikan rezeki kepada mereka yang dijemput mengadakan persembahan pentas. Pada hari ini, mereka turut mempunyai dua persembahan.


Berbanding hari biasa, Munif akui permintaan terhadap kumpulan nasyid lebih banyak ketika sambutan Maulidur Rasul dan Maal Hijrah. Bercerita pengalaman sebelum ini, mereka pernah mendapat tiga persembahan pada hari sama tetapi di lokasi berbeza.

"Ketika itu, kami mempunyai persembahan di Shah Alam, Kedah dan Grik, Perak manakala pada sebelah malamnya, kami bergegas ke Singapura untuk persembahan keesokan harinya.


"Tidak dinafikan, kami mendapat banyak jemputan mengadakan persembahan khusus pada hari istimewa seperti ini tetapi kami tidak ambil semuanya, bimbang jika tidak dapat berikan sepenuh komitmen.


"Memang nampak jelas, jumlah persembahan pada hari biasa selalunya kurang hanya sekali seminggu. Bagi Hijjaz, fokus kami tidak hanya bergantung pada persembahan pentas semata-mata. Kami turut menguruskan perniagaan lain.


"Bagaimanapun, kalau ada kelapangan, kami juga mengadakan persembahan secara percuma. Dalam memberikan hiburan, kami merasakan apa yang kami lakukan satu tugas yang perlu dilaksanakan," katanya.


Mengenai perkembangan album, Hijjaz akan muncul dengan album Permata Hijjaz yang akan berada di pasaran dalam waktu terdekat. Album ke-13 ini menampilkan 11 lagu baru dan menggunakan khidmat enam pemuzik orkestra.


Bagi Syahril, sambutan kali ini lebih bermakna apabila dia bersama dua anggota In-team julung kali berpeluang mengadakan persembahan jelajah di United Kingdom (UK). Persembahan itu atas jemputan Persatuan Pelajar Malaysia dari University of Sheffield sempena Pertandingan Nasyid Ekstravaganza yang disertai pelbagai kumpulan nasyid luar negara.


"Kami berada di sana selama lapan hari merangkumi persembahan di London, Dublin dan Manchester. Menariknya, sempena kehadiran kami di sana, kami juga tampil dengan album kompilasi baru, Love Allah, Love Rasul yang diterbitkan dalam versi antarabangsa.


"Biarpun kami belum pernah mengadakan persembahan di sana tetapi setahu saya, sambutan yang diberikan di sana cukup berbeza dengan di sini.


"Pada saya, sambutan Maulidur Rasul tidak sekadar menghabiskan cuti umum tetapi perlu memikirkan bagaimana mahu menjadikan hari berkenaan lebih meriah dan bermakna.


"Ia memberi kelebihan pada kita kerana ketika cuti, semua berpeluang meraikannya. Mungkin sebagai cadangan, lebih banyak aktiviti sihat membabitkan remaja diadakan seperti futsal dan paintball.

"Menerusi aktiviti sebegini, kita bukan hanya mendekatkan diri dengan remaja melalui aktiviti berfaedah tapi ia secara tidak langsung memberi pendedahan seperti cara hidup sihat mengikut lunas agama," katanya.


Mengenai aktiviti baru, In-team melebarkan sayap dalam penerbitan buku sejak awal tahun ini. Menerusi syarikat In-team Publishing, mereka kini sudah menghasilkan empat buku iaitu Yassin, Surah Hafazan, Amalan Ibu Mengandung dan Zikir & Doa Selepas Solat.


Wakil Raihan, Che Amran pula berpendapat, kemeriahan sambutan Maulidur Rasul makin berkurangan biarpun ramai yang tahu keistimewaannya. Bagaimanapun, Raihan masih meneruskan perjuangan seni mereka apabila terbabit dalam Karnival Maulidur Rasul di Sungai Besar, Selangor, hari ini.


Che Amran berkata, Raihan masih aktif dalam menerima pelbagai jemputan mengadakan persembahan sama ada di dalam dan luar negara. Dua minggu lalu, mereka baru pulang dari Jakarta diikuti Bandung, minggu lalu.


"Pada Mac nanti, kami akan mengadakan persembahan di Kota Semarang, Jawa Timur. Sempena Maulidur Rasul kali ini, kami juga tampil dengan album repackaged yang menggunakan konsep acapella.


"Saya berasakan muzik nasyid masih relevan untuk diminati generasi kini. Biarpun begitu, muzik nasyid masih dipinggirkan apabila kurang diberi peluang untuk dimainkan di radio.


"Buat masa ini, nasyid hidup umpama band indie, namun kami terus bertahan kerana sokongan kuat daripada peminat. Untuk perancangan akan datang, kami juga akan berkunjung ke Australia April ini," katanya.


Suffian yang menganggotai Saujana, pula menyokong pendapat Che Amran sambil menyatakan penerimaan masyarakat terhadap muzik nasyid masih kuat. Katanya, Saujana yang ditubuhkan sejak 1997 masih lagi bertahan.


"Kami sudah memasarkan album baru, Nota Cinta sejak sebulan lalu dan kini masih dalam aktiviti promosi. Kami berasakan album kali ini istimewa kerana ia diterbitkan selepas empat tahun muncul dengan album Jalan Sehala.


"Malah, menariknya kami bertuah dicalonkan dalam kategori Album Nasyid Terbaik pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009). Kami berharap dapat menjayakan promosi album ini menerusi acara jelajah ABPBH2009 yang dijalankan kelak.


"Adanya anugerah seperti ini, ia memberi pengiktirafan kepada muzik nasyid untuk terus berkembang. Album baru ini juga kami sasarkan untuk pasaran nusantara termasuk kami cuba nasib menembusi pasaran di Turki, Trinidad dan UK," katanya dengan nada bersyukur.


PROFIL Che Amran NAMA: Che Amran Idris NAMA KUMPULAN: Raihan ASAL: Pasir Mas, Kelantan TARIKH LAHIR: 10 Jun 1969 UMUR: 40 tahun NAMA ANGGOTA KUMPULAN: 1. Abu Bakar Md Yatim 2. Amran Ibrahim 3. Zulfadli Mustaza Munif NAMA: Munif Ahmad NAMA KUMPULAN: Hijjaz ASAL: Pontian, Johor TARIKH LAHIR: 16 Februari 1974 UMUR: 36 tahun NAMA ANGGOTA KUMPULAN: 1. Isman Nadim Isam 2. Faizal Osman 3. M Ariffin Rahim Suffian NAMA: Suffian Amrin NAMA KUMPULAN Saujana ASAL: Muar, Johor TARIKH LAHIR: 13 Januari 1981 UMUR: 28 tahun NAMA ANGGOTA KUMPULAN: 1. Wan Najran Wan Mohd Noh 2. Azalinor Abd Rahman 3. Zuhaidi Abd Aziz Syahril NAMA: Mohd Syahril Ab Khalid NAMA KUMPULAN: In-team ASAL: Seremban, Negeri Sembilan TARIKH LAHIR: 25 Mac 1980 UMUR: 29 tahun NAMA ANGGOTA KUMPULAN: 1. Muhammad Hazamin Harun 2. Abdul Rahim Osman

Tiada ulasan: