Jumaat, 26 Februari 2010

FIKIR DULU SEBELUM BUAT SESUATU....MUNGKIN KESANNYA BERAT

Lagi laporan polis terhadap editor The Star


Jimadie Shah Othman
Feb 25, 10
3:12pm

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) hari ini membuat laporan polis terhadap editor urusan akhbar The Star, P Gunasegaram dan Sister in Islam (SIS) yang didakwa membuat kenyataan yang menyentuh bidangkuasa raja-raja Melayu, urusan agama Islam, hukum Syarak serta sensitiviti umat Islam.

Laporan tersebut dibuat oleh setiausaha Mais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam di seksyen 11.

Aduan tersebut dibuat berdasarkan tulisan Gunasegaram dalam akhbarnya pada 19 Februari. Manakala laporan terhadap SIS pula dibuat berdasarkan kenyataan medianya bertarikh 17 Februari yang disiarkan dalam laman web NGO berkenaan.

Menurut Mohammed Khusrin, pandangan kedua-dua pihak tersebut juga dianggap mempertikaikan keputusan mahkamah Syariah yang menjatuhkan hukuman sebat terhadap tiga wanita atas kesalahan melakukan seks haram.

Harian berbahasa Inggeris itu bagaimanapan semalam membuat permonohan maaf terbuka ekoran penyiaran tulisan Gunasegaram semalam.

Akhbar tersebut juga dilaporkan menerima surat tunjuk sebab daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung perkara tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Mohammed Khusrin berkata, pihaknya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kedua-dua pihak tersebut di bawah Akta Hasutan.

Mohon maaf tidak cukup

"Mais berpendirian, mana-mana pihak yang tidak mempunyai kefahaman jelas mengenai undang-undang jenayah Syariah tidak berhak dan tidak layak untuk mempertikaikan pelaksanaannya di kalangan umat Islam," katanya kepada pemberita.

Ditanya mengenai tindakan The Star memohon maaf berhubung penyiaran tulisan tersebut, Mohammed Khusrin berkata ia masih tidak cukup.

Sebaliknya, beliau masih mahu tindakan undang-undang diambil ke atas mereka.

Ditanya mengenai laporan polis yang sama yang telah dibuat sebelum ini, Mohammed Khusrin berkata Mais membuat laporan polis sekali lagi hari ini bagi menunjukkan pendirian majlis tersebut.

Beliau enggan menjawab soalan lain dan meminta pihak media merujuk kepada kenyataan akhbar yang diedarkan.

Mohammed Khusrin berkata kandungan kenyataan akhbar itu hampir sama dengan kandungan laporan polis yang dibuat hari ini.

Batalkan permit akhbar hasut, hina Islam

Mengulas tulisan Gunasegaran, kenyataan tiga mukanya itu antaranya menyebut:

"Sesiapa yang tidak berkenaan dengan agama Islam, lebih-lebih lagi daripada golongan bukan Islam hendaklah tidak mencampuri urusan agama Islam."

Beliau juga mendesak, KDN membatalkan permit penerbitan akhbar yang bersifat menghasut dan menghina Islam, menurutnya, seperti dilakukan The Star.

"Pihak Mais tidak akan berkompromi dalam apa jual hal yang mengguga kedudukan Islam, undang-undang Syariah dan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam," katanya.

Katanya, Mais juga menggesa umat Islam bertegas memelihara ajaran dan kedudukan Islam sebagai agama negara daripada "terus diperleceh dan diperlekehkan" oleh mana-mana pihak.

Berhubung kenyataan SIS, Mohammed Khusrin meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap NGO itu ia membantah hukuman tersebut sejak berlakunya kontroversi terhadap bekas model Kartika Sari Dewi Shukarno lagi.

Kelmarin, empat NGO Melayu membuat aduan terhadap akhbar tersebut di IPD Sentul, berhubung isu yang sama.

Tiada ulasan: