Selasa, 16 Februari 2010

BILA AJAL...MAKA ALLAH TIDAK LEWAT SESAAT PUN....KECUALI DOA DAN IZIN ALLAH

Bertolak awal ragut 4 nyawa

Oleh Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my
2010/02/16

GUA MUSANG: “Kami sepatutnya bertolak jam 7 pagi semalam, namun arwah Zarimah begitu gembira untuk pulang menemui keluarga di kampung menyebabkannya berubah fikiran bertolak lebih awal.

“Atas permintaannya, kami berubah rancangan dan bertolak jam 10.30 malam,” kata Mohd Zulkarnai Mohamad Noor, 23, apabila Proton Wira dipandu mengorbankan empat saudaranya dalam kemalangan ngeri di Kilometer 84 Jalan Kuala Lipis-Merapoh di sini, kira-kira jam 2 pagi semalam.


Mereka yang terbunuh ialah sepupunya, Zarimah Hussin, 31, Mohd Aliah Husin, 22, (adik Zarimah), Mohd Shahrul Azwan Abdullah, 15, dan Nor Sabila Sakila, 9 (anak Zarimah).


Manakala Mohd Zulkarnai dan seorang lagi adik Zarimah iaitu Mohd Rostam, 18, patah bahu kanan dan menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM). Mohd Zulkarnai berkata, kemalangan berlaku pantas apabila sebuah kereta dari arah bertentangan memasuki lorongnya menyebabkannya hilang kawalan dan merempuh pokok kelapa sawit sebelum kereta terbalik.


Dia menjadi bingung apabila melihat Zarimah dan seorang lagi sepupu, Mohd Shahrul parah serta bertambah terkejut apabila melihat Nor Sabila terbaring tidak bergerak di tepi kereta dipercayai tercampak keluar.


Dalam kejadian dekat Kampung Berhamah, Merapoh itu, Zarimah, Nor Sabila dan Mohd Shahrul meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Mohd Aliah meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Gua Musang (HGM) dan seorang lagi adik Zarimah, Mohd Rostam, 18, patah bahu kanan dan dirawat di hospital sama.


Mohd Zulkarnai yang cedera ringan terperangkap hampir sejam bersama mayat Zarimah yang berada di sebelah pemandu selain seorang adik arwah yang masih bernyawa berada di tempat duduk belakang sebelum dikeluarkan anggota bomba.


Semua mangsa dalam perjalanan dari Cheras, Kuala Lumpur, untuk pulang ke Kampung Pemberian, Kuala Krai sempena cuti Tahun Baru Cina selain mahu membuat persiapan majlis perkahwinan keluarga yang dijadualkan semalam di Sungai Tong, Terengganu.


Bapa Mohd Zulkarnai, Mohamad Noor Mahmood, 62, berkata dia terkejut apabila mengetahui anaknya bertolak lebih awal.


Katanya, dia bimbang dan menghubungi anaknya berkali-kali ketika dalam perjalanan dan kali terakhir panggilan dijawab ketika mereka berada di Raub.


“Lebih sejam kemudian, saya menghubunginya, tetapi tidak dijawab. Saya mula risau dan akhirnya menerima panggilan polis yang memaklumkan kejadian berkenaan pada jam 5 pagi.


“Saya bergegas ke Gua Musang dan bersyukur anak cedera ringan, tetapi amat sedih apabila tiga anak saudara dan seorang cucu saudara terbunuh,” katanya.


Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lipis, Inspektor Mazrie Ismail berkata mangsa terakhir kemalangan terbabit, Mohd Aliah meninggal dunia ketika menerima rawatan di HGM akibat kecederaan badan.


Katanya, jenazahnya dituntut keluarga jam 10 pagi manakala jenazah Zarimah bersama anak perempuannya, Nor Sabila Sakila dan jenazah Mohd Shahrul Azwan dihantar ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga jam 2 petang.


LAGI



Lemas pergi kenduri kahwin



2010/02/16

KUANTAN: “Kami sekeluarga terkejut apabila dimaklumkan dia (mangsa) lemas di Kuantan kerana dia beritahu ke majlis kenduri kahwin rakannya di Sungai Buloh, Selangor,” kata Mohd Azhar Alfirdaus Mohd Azlan, 22, abang Mohd Azhar Fhaiz, 17, yang hilang selepas mandi bersama rakan-rakannya di Pantai Balok di sini, kelmarin.

Mayat mangsa ditemui tersangkut pada batu kira-kira 100 meter dari tempat kejadian oleh Unit Penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam.


Dalam kejadian kira-kira 2 petang kelmarin, mangsa bersama enam rakannya dari Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur mandi di pantai berkenaan sebelum empat daripadanya lemas termasuk mangsa akibat dipukul ombak besar.


Bagaimanapun, tiga rakan mangsa yang turut lemas diselamatkan rakan lain serta orang ramai yang berada di tempat kejadian, tetapi mangsa hilang sebelum usaha mencarinya dilancarkan pihak berkuasa.


Menurut Alfirdaus, ibunya Norlizan Mohd Aini, 30-an terkejut apabila menerima panggilan polis mengatakan Fhaiz hilang selepas lemas di pantai berkenaan.


“Selepas mendapat berita itu semalam (kelmarin), kami sekeluarga bertolak ke Kuantan,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asistan Komisioner Mohd Jasmani Yusof, berkata mayat mangsa ditemui tersangkut pada batu kira-kira 100 meter dari tempat kejadian kira-kira 12.45 tengah hari semalam.


“Seramai 71 anggota yang terbabit gerakan mencari itu membabitkan Rela, Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung,” katanya.



Maut dilanggar ketika mengisi minyak



2010/03/29

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan yang sedang mengisi minyak keretanya maut apabila dilanggar sebuah kereta yang terbabas akibat satu kemalangan di sebuah stesen minyak di Jalan Cheras, Taman Midah, dekat sini Ahad malam.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning, berkata mangsa, Mohd Yusri Abdul Wahab, 32, dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan disahkan meninggal dunia jam 2.15 pagi tadi akibat kecederaan parah di kepalanya.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa baru sampai ke stesen minyak itu dan kemudian keluar untuk mengisi minyak keretanya jenis Proton Iswara.


"Sedang mangsa mengisi minyak, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Hyundai Getz yang merempuh mangsa dan mengakibatkan mangsa cedera parah di keseluruhan badannya." "Siasatan awal mendapati Hyundai Getz yang dipandu seorang perempuan berusia 23 tahun itu terbabas selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di jalan raya berhampiran stesen minyak itu namun hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.


Polis sedang mengambil keterangan dari pemandu kereta jenis Hyundai Getz itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-Bernama



Lelaki maut nahas enam kenderaan



2010/03/29

KUANTAN: Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas jalan raya membabitkan enam kenderaan di Kilometer 38 Jalan Kuantan-Kemaman dekat sini, malam tadi.

Mohd Ariff Rosli, 17, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.


Pegawai Penguatkuasa/Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Komisioner Zainalabidin Othman, berkata kejadian pada jam 11.30 malam itu berlaku ketika lelaki itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kemaman.


Beliau berkata, Mohd Ariff dipercayai mengekori rapat sebuah kereta jenis Toyota Camry sebelum melanggar kenderaan itu menyebabkan dia terjatuh ke atas jalan.


"Dua motosikal rakannya jenis Yamaha dan Honda yang berada di belakang Mohd Ariff turut terjatuh akibat mengelak daripada melanggarnya. Sebuah kereta jenis Toyota pula terbabas ke bahu jalan ketika cuba mengelak dari melanggar mereka.


"Sebuah bas ekspres yang datang dari arah belakang juga tidak sempat mengawal kenderaaan dan dipercayai telah melanggar mangsa," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Mayat Mohd Ariff dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.-Bernama.





Suami mati mengejut dalam hotel



2010/03/29

MELAKA: Percutian sepasang suami isteri berasal dari Simpang Renggam, Johor ke negeri ini sambil menyaksikan pertunjukan sukan ‘kereta drift’ bertukar tragedi apabila si suami ditemui mati mengejut di sebuah bilik di hotel penginapan mereka di Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, Bandar Hilir, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Wong Noon Huat, 28, dipercayai meninggal ketika tidur dan kejadian disedari isterinya.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan R Gunarajan, berkata hasil siasatan awal terhadap isteri mangsa, Kerk Sey Chee, 24, polis mendapati pasangan terbabit mendaftar masuk ke hotel terbabit kira-kira jam 3.20 pagi selepas menyaksikan pertunjukan berhampiran Eye Of Malaysia.


“Setakat ini kami tidak mengesyakinya sebagai perbuatan jenayah berhubung kematian mangsa dan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). Namun, siasatan lanjut masih dilakukan. Malah, kami juga sudah menghantar mayat mangsa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya.


Gunarajan berkata, polis juga dimaklumkan oleh isteri mangsa suaminya itu tidak menghidap apa-apa penyakit sebelum itu serta tidak mengambil apa-apa ubat ketika tidur.


“Kami perlu mendapatkan laporan bedah siasat oleh doktor pakar patalogi terlebih dulu sebelum membuat sebarang kesimpulan,” katanya


Sementara itu, isteri mangsa yang masih terkejut dan sebak dengan kejadian itu memberitahu suaminya ada mengadu kepenatan sebelum tidur.


Namun, beliau tidak mengesyaki apa-apa yang tidak baik berlaku kepada suaminya yang bekerja sebagai tukang cat itu.


“Apabila terjaga saya hairan melihat keadaan suami yang tidak memberi sebarang reaksi dan cuba menggerakkannya beberapa kali. Saya kemudian memberitahu pengurusan hotel yang menghubungi polis. Saya juga sudah menghubungi semua ahli keluarga dan memaklumkan perkara ini,” katanya.





Anak polis maut ditikam

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my
2010/03/29


KUALA LUMPUR: Kejam apabila seorang lelaki bermotosikal menghampiri anak pegawai polis sebelum menikam mangsa dua kali dengan senjata tajam di hadapan sebuah restoran di Jalan Pudu di sini, kira-kira 3 pagi semalam.

Difahamkan, mangsa, K Daniel Danish, 25, yang parah di dada dan perut itu terbaring dalam keadaan berlumuran darah sebelum dibantu orang awam. Bagaimanapun, mangsa disahkan mati sebaik tiba di Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Sebelum itu, dalam kejadian itu, mangsa menonton perlawanan bola sepak di sebuah kedai makan sebelum berjalan pulang ke hotel bersendirian. Mangsa didatangi individu bermotosikal sebelum suspek merapati mangsa dan menikamnya di perut dan dada.


Keadaan itu menyebabkan mangsa yang cedera rebah sebelum individu bermotosikal itu dengan pantas melarikan diri memecut meninggalkan tempat kejadian.


Mangsa ditemui orang awam berhampiran kawasan tempat kejadian sebelum memaklumkan kepada polis.


Kakak sulung mangsa, Alison, 28, berkata dia seolah-olah tidak percaya dengan kejadian terbabit kerana adiknya berada di Kuala Lumpur tidak sampai 24 jam sebelum kejadian itu. Menurutnya, adiknya yang bekerja di Kuantan tiba di sini kira-kira jam 3 petang kelmarin untuk bertemu rakannya dan menetap di hotel di Jalan Pudu.

Alison berkata, adiknya yang bekerja di Kuantan dan menetap bersama ibu bapa mereka itu kerap datang ke sini apabila bercuti untuk berjumpa rakan kerana kebanyakan rakannya menetap di sini. Bapa mereka bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.


“Saya buntu memikirkan punca adik dibunuh kerana dia baru saja sampai ke sini dari Kuantan kira-kira jam 3 petang kelmarin.


“Dia tidak pernah berhutang dengan ceti, jauh sekali membabitkan diri kegiatan tidak bermoral,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.


Alison berkata, dia yang mengetahui kejadian itu hampir pengsan selepas dihubungi polis dan bergegas ke HKL.


“Sepanjang perjalanan, saya memikirkan apa kesalahannya hingga ditikam dengan kejam kerana dia seorang yang baik,” katanya. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata motif pembunuhan masih disiasat dan menolak ia bermotifkan samun kerana semua barang berharga milik mangsa tidak diambil suspek.

“Siasatan terperinci dijalankan dan polis kini memburu seorang lelaki berusia 20-an dipercayai suspek utama kejadian terbabit.


“Polis menganggap kejadian itu sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.






Tiada ulasan: