Jumaat, 26 Februari 2010

KASTA...WUJUD SECARA TAK LANGSUNG ATAS SEBAB KEKAYAAN DAN PANGKAT SERTA KUASA

RENCANA UTAMA

Diseksa kerana kasta rendah


KALLI KUMARI BISWOKARMA menjadi mangsa kekejaman kerana kemiskinannya.


DI sebuah perkampungan di Nepal, Kalli Biswokarma melalui detik paling hitam dalam hidupnya apabila dia diseksa dengan penuh kejam oleh jiran-jirannya sendiri. Ibu yang berusia 47 tahun itu dipukul, disepak dan ditumbuk kerana dia dituduh memberi sumpahan sihir terhadap guru sekolah yang sedang jatuh sakit.

Paling menyayat hati, Biswokarma dipaksa makan najisnya sendiri oleh kumpulan terbabit.

"Saya menjadi mangsa kerana status saya sebagai wanita yang miskin," beritahu Biswokarma yang merupakan komuniti Dalit iaitu kumpulan kasta terendah dalam hierarki Hindu.

"Kira-kira 35 orang telah datang ke rumah dan membawa saya lari. Mereka menempatkan saya di dalam bangsal lembu dan dipaksa untuk memakan tahi sendiri. Apabila saya mengadu dahaga mereka memberikan air kencing sebagai minuman.

"Keesokan harinya mereka juga memotong kulit saya dengan menggunakan pisau. Saya tidak tahan dengan penyeksaan itu dan terpaksa juga mengaku diri seorang ahli sihir untuk menyelamatkan hidup ini walaupun ia tidak benar," katanya ketika ditemui di Kampung Pyutar yang terletak kira-kira 40 kilometer ke selatan Kathmandu.

Seramai seratus orang wanita Dalit terpaksa berdepan dengan pengalaman pahit yang sama setiap tahun apabila kepercayaan tahyul dan diskriminasi kasta masih diamalkan oleh masyarakat.

Noktah kekejaman

Sementara itu, penyokong hak asasi manusia menyatakan jenayah sebegitu akan mengganggu keamanan. Sehubungan itu, pihak polis memandang serius penganiayaan terhadap wanita Dalit.

Perdana Menteri Nepal, Madhav Kumar, mengumumkan 2010 sebagai tahun bakal berakhirnya kekejaman terhadap wanita terutama daripada kasta rendah. Negara itu akan mengalami perubahan daripada monarki Hindu kepada tradisi sekular yang moden.

Bagaimanapun, dalam membasmi kemiskinan di selatan Asia, pihak berkuasa mengakui mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran.

"Kepercayaan tahyul begitu mendalam dalam masyarakat dan mereka percaya ilmu sihir merupakan salah satu perkara sia-sia.

"Kepercayaan tradisional sememangnya tidak dapat dihapuskan dengan sekelip mata," kata Menteri Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Sarwa Dev Prasad Ojha.

Pusat Pemulihan Wanita (WOREC) merupakan kumpulan kuasa tempatan yang menerajui kempen hak wanita berpendapat sebanyak 82 kes penganiyaan sudah dikenal pasti dalam masa dua tahun.

Kes tersebut merupakan penyeksaan oleh jiran terhadap kaum wanita yang dituduh mengamalkan ilmu sihir. Tetapi pembantu WOREC, Sarita Dahal percaya jumlah yang diketahui itu amat sedikit berbanding kes-kes yang tidak dilaporkan.

"Kami percaya masih ramai wanita yang melalui penderitaan mental dan fizikal akibat daripada kepercayaan tahyul.

"Ramai yang tidak datang membuat aduan kerana mereka takut dibuang oleh keluarga masing-masing," jelasnya.

Undang-undang Nepal melarang kekejaman terhadap wanita tetapi Dahal memberitahu, ia jarang dikuatkuasakan khususnya apabila mangsa adalah daripada golongan bawahan.


SEKUMPULAN wanita menyertai perarakan jalanan di Kathmandu untuk memperjuangkan hak mereka.


Kepercayaan tahyul mengenai ilmu sihir hanya alasan kepada mangsa wanita. Jelas seorang ahli sosiologi, Suraj Kafle pula, hanya wanita daripada kasta rendah sering berhadapan dengan tuduhan sedemikian.

"Ia akan menjejaskan sosial dan ekonomi wanita yang menderita.

"Perkara ini merupakan alasan mudah untuk menyiksa wanita miskin yang kekurangan sokongan daripada komuniti lain. Kemiskinan dan kekurangan pendidikan juga menyebabkan mereka mudah dijadikan sasaran," ujar Kafle.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya Wanita Kebangsaan, Nainakala Thapa memberitahu, amalan tersebut memalukan negara.

"Wanita yang berada dalam kumpulan kasta rendah tidak mampu untuk pertahankan diri masing-masing," jelas Thapa.

Beliau juga menegaskan, apabila seseorang itu meninggal dunia atau jatuh sakit, bomoh sering mencari individu untuk dipersalahkan dan dikaitkan dengan tuduhan sihir.

"Memang mudah untuk mengenal pasti wanita kasta rendah dan cara ilmu sihir yang diamalkan," ungkap Thapa.

Dengan janji kerajaan untuk meningkatkan tahap penguatkuasaan terhadap kes penderaan terhadap wanita berkasta rendah, Biswokarma dan beberapa dan ahli keluarganya kini sudah boleh pulang ke kampung halaman selepas mendapat perlindungan di sebuah rumah khas untuk wanita di Kathmandu.

"Saya masih berada dalam ketakutan kerana sesetengah individu yang menyeksa saya masih berada di kampung.

"Maruah saya juga telah hilang tetapi itu tidak mematahkan harapan. Saya akan tetap mempertahankan diri demi keadilan," ujar Biswokarma.

Tiada ulasan: