Jumaat, 26 Februari 2010

BILA MAJLIS ILMU TIDAK DIHADIRI DAN LEKA DENGAN DUNIA

Banyak babit perkara khurafat



2010/02/19

DALAM masyarakat serba moden kini, bukan hanya wanita yang mudah terpengaruh dengan isu perbomohan, tetapi lelaki turut menyumbang kepada perlakuan berkenaan.

Bagaimanapun, baik lelaki mahupun wanita, masing-masing mempunyai kepentingan sendiri apabila dibangkitkan persoalan mengenai perbomohan.


Pensyarah Dakwah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Dr Zulkifli Abd Ghani, berkata istilah bomoh dalam kalangan masyarakat setempat tidak dapat dipisahkan dan ia bukan hanya berlaku dalam masyarakat Islam saja, tetapi turut wujud pada orang agama lain.


Katanya, kepercayaan berkenaan diturunkan secara turun temurun apabila individu yang mempunyai masalah terbabit memerlukan satu pegangan bagi membantu mereka mengatasi permasalahan dihadapi.


Zulkifli berkata, terdapat dua bentuk pembabitan masyarakat dalam perbomohan ini iaitu secara fizikal dan kejiwaan (spiritual).


Menurutnya, wanita lebih cenderung kepada masalah kegelisahan jiwa yang membelenggu mereka.

"Mungkin ini berkait rapat dengan keadaan biologi mereka yang lebih lemah berbanding lelaki, membuatkan mereka berasa memerlukan satu kuasa lebih tinggi daripada keupayaan mereka.


"Ada kalanya kepercayaan berkenaan boleh menyebabkan syirik kerana mempercayai sesuatu yang lain lebih tinggi kuasanya berbanding kuasa Allah s.w.t," katanya.


Golongan lelaki pula cenderung mencari khidmat bomoh lebih kepada corak fizikal yang membolehkan mereka mendapatkan sesuatu secara mudah misalnya perkara membabitkan hal perjudian.


Biasanya, kepercayaan ini banyak membabitkan perkara khurafat kerana kebanyakan mereka menggunakan bahan atau benda sebagai bentuk pemujaan bagi memperoleh keuntungan secara mudah.


Selain itu menurutnya, masyarakat setempat juga cepat melatah apabila berhadapan dengan sesuatu perkara yang sukar difahami.


Keadaan ini menyebabkan kegiatan ini sukar dibendung walaupun pada asasnya istilah bomoh ini merujuk kepada pengamal perubatan. Namun, disebabkan salah laku dalam kegiatan berkenaan, ia menjadikannya satu perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.


Zulkifli berkata, ketika ini kegiatan perbomohan turut mencampuradukkan unsur sihir dalam upacara perubatannya.


"Bayangkan, pada awalannya saja bacaan bismillah dan selawat digunakan manakala selebihnya digunakan mentera yang bukan-bukan.


"Percampuran aktiviti berkenaan menyebabkan aktiviti perbomohan ini tidak sesuai dilakukan kerana boleh menyebabkan kita terpesong akidah," katanya.



LAGI YANG BERKAITAN

Salah rawatan bawa mudarat

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan

2010/02/19

MEREKA sakit, tetapi doktor tidak dapat mengesan dan melihat punca penyakit dihidapi menyebabkan pesakit berkenaan mendapatkan khidmat pakar perubatan tradisional bertauliah atau bomoh dan dukun kampung.

Kaedah perubatan tradisional biasanya menjadi pilihan masyarakat khususnya masyarakat Melayu apabila tidak dapat mengesan kewujudan penyakit melalui kaedah perubatan moden.


Tidak kira lelaki mahupun wanita, sesetengahnya menganggap kaedah perubatan tradisional mampu menyelesaikan masalah.


Ikuti temu bual wartawan Rosmaliana Aida Mohd Adnan (rosmaliana@hmetro.com.my) bersama beberapa pakar yang membicarakan ketaksuban segelintir masyarakat terhadap kaedah tradisional ini.


ADA isteri yang sanggup melakukan sihir menundukkan suami menggunakan darah haidnya sendiri.


Menerusi khidmat bomoh, darah itu dibalut dalam kertas bertulisan jawi, kemudian dicelup dalam minuman suami. Ini bagi memastikan suami menurut segala perintahnya, manakala dia bebas melakukan apa saja.

Si lelaki pula tidak kurang hebat. Minyak pengasih yang diperbuat daripada dagu mayat yang dibakar hingga mengeluarkan minyak amat digemari kebanyakan lelaki hidung belang. Tujuannya untuk memastikan wanita yang disukai membalas cinta mereka dengan hanya satu calitan walaupun sebelum ini mendapat tentangan daripada wanita berkenaan.


Atas pelbagai alasan, segelintir golongan ini memilih kaedah 'perubatan' sedemikian walaupun tidak diketahui ia benar-benar boleh membantu atau sekadar membantu menyedapkan hati pesakit terbabit saja.


Pengamal perubatan Islam, Hanafi Abdul Malek, berkata, tidak dapat dinafikan perkara berkaitan alam ghaib tetap wujud, tetapi seharusnya mereka mengkaji terlebih dulu sebelum membuat keputusan mendapatkan rawatan daripada pihak yang menawarkan perkhidmatan alternatif berkenaan.


"Bantuan bomoh menjadi cara alternatif bagi menyembuhkan penyakit manakala penyakit yang tidak diketahui puncanya paling digeruni kerana dibimbangi boleh memudaratkan diri sendiri dan keluarga," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Gombak, Selangor, baru-baru ini.


Menurutnya, penyakit yang gagal dikesan melalui perubatan moden disebabkan ilmu hitam di samping mengalami gangguan kuasa jahat daripada jin dan syaitan melalui aktiviti perbomohan.


Antaranya disebabkan penggunaan bahan kotor dan jampi serapah bagi menyembuhkan penyakit, santau, pelaris, minyak pengasih, meminta tangkal supaya digeruni, menilik barang hilang, penunduk agar mengikut kata tanpa bantahan seperti wafak (gambar rajah yang dilukis di atas kain kuning dalam bentuk tulisan jawi dengan menggunakan kalimah Allah) dan ingin mencari jodoh.


Malangnya, ada juga golongan berjawatan profesional yang turut mempercayai aktiviti perbomohan ini hingga mengakibatkan mereka kerugian ratusan ribu ringgit kerana begitu terpengaruh dengan bomoh.


"Sepatutnya dengan kelayakan yang ada, kita menggambarkan mereka tidak akan mudah terpedaya dengan janji kosong diberikan bomoh terbabit, tetapi ternyata ia salah sama sekali.


"Apabila individu itu tidak mendapatkan jawapan khusus bagi masalah kesihatan dihadapi mereka, cara alternatif dipilih biarpun sumber rawatan berkenaan tidak diketahui kesahihannya," katanya.


Dunia kini berada dalam keadaan serba moden dan berteknologi tinggi, tetapi masih ada segelintir pihak yang mengamalkan amalan perbomohan akibat rasa dengki dan iri hati terhadap seseorang.

Lebih mengejutkan, bomoh berkenaan mengubati pesakit dengan kaedah pelik yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan ajaran Islam.


Mengulas mengenai perkara berkenaan Hanafi berkata, ramai pihak yang tertipu dengan segala dakyah yang dinyatakan bomoh serta dukun palsu terbabit.


Menurutnya, terdapat dua jenis bomoh yang dikenal pasti iaitu bomoh betul dan bomoh palsu. Bomoh betul biasanya menggunakan jin sebagai perantara atau petugas yang dikhususkan untuk merawat pesakit walaupun pada masa sama, turut menggunakan ayat al-Quran.


Bomoh palsu pula adalah mereka yang mengaku memiliki ilmu perubatan tertentu, tetapi hanya menggunakan kaedah penipuan untuk mengaburi mata pesakit.


Bagaimanapun, ia berbeza sama sekali dengan cara rawatan pemulihan melalui perubatan Islam kerana ia hanya menggunakan bacaan ayat suci ayat al-Quran, hadis dan ruqqah (jampi) yang dibenarkan dalam Islam.


Malah melalui perubatan Islam, pengubat hanya menggunakan bahan seperti garam, limau purut, limau nipis, air, herba seperti zafran, lada hitam dan akar kayu yang tidak menyalahi akidah.


Golongan yang bermasalah atau berpenyakit ini hendaklah memastikan tabib atau bomoh yang hendak ditemui itu tidak melakukan perkara yang boleh membawa kepada syirik sama ada melalui kepercayaan, perkataan atau perbuatan. Oleh itu katanya, masyarakat Islam perlu berhati-hati menggunakan khidmat bomoh supaya tidak terjebak dalam amalan syirik yang boleh menjejaskan akidah. Mengenai kes berkaitan gangguan makhluk halus hingga mengakibatkan kejadian histeria yang sering berlaku dalam kalangan remaja, menurutnya, ia adalah sebahagian daripada masalah psikologi.


Bukan berniat untuk menafikan gangguan berkenaan, tetapi segala masalah yang timbul dalam kalangan remaja ini mungkin disebabkan masalah psikologi, bukan daripada kejadian histeria itu sendiri.


Masalah tekanan yang dihadapi remaja menyebabkan mereka berasa ada kerasukan hingga mengakibatkan halusinasi ternampak bayangan hitam datang mengganggu.


"Ini tidak benar sama sekali kerana ada tanda yang menunjukkan individu berkenaan mengalami kerasukan sebenarnya.


"Antaranya perubahan suhu badan, suara berubah, kepala terasa panas, tetapi tangan pula sejuk dan anggota badan seperti tangan merengkok kekejangan," katanya.


Biasanya, masalah histeria berkenaan boleh disembuhkan melalui kaedah psikologi dan tidak memikirkan sesuatu perkara terlalu mendalam hingga menyebabkan mereka mengalami tekanan yang boleh memudaratkan diri sendiri.


Tiada ulasan: