Selasa, 6 November 2012

SAMPAI BILA NAK TUNJUK TARING..SELAGI TARING BERKUASA...SELAGI YANG PUNYA TARING HIDUP...DAH MATI TERIMA SAJA PENGHAKIMAN ALLAH...BAIK@BETUL MASUK SYURGALAH...JAHAT@ZALIM MASUKLAH NERAKA

Tiada fatwa kafir harbi atau kafir zimmi

Muhammad Faizal, 06 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Fatwa dan pandangan hukum di negara ini hanya boleh dikeluarkan oleh badan berautoriti iaitu Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memberitahu kerajaan sentiasa memantau dan mengambil berat terhadap isu-isu agama yang berbangkit di kalangan masyarakat.

Katanya, walaupun kerajaan meyakini akan prinsip kebebasan bersuara dan memberi pandangan namun perkara-perkara yang berkaitan dengan isu-isu agama merupakan isu sensitif bagi umat Islam.
“Tidak wajar bagi seseorang menggunakan kebebasan bersuara sebagai alasan untuk mengeluarkan pandangan yang boleh mengelirukan masyarakat khususnya umat Islam di negara ini,” katanya.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan apakah tindakan yang telah diambil terhadap mana-mana pihak terutama media yang telah menghukum sebahagian rakyat bukan Islam di negara ini sebagai Kafir Harbi, kerana hukuman seumpama itu boleh menggugat ketenteraman kaum di Malaysia.

Dalam pada itu Ogos lalu, seorang guru pondok yang merupakan pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah telah menimbulkan kontroversi dengan satu dakwaan bahawa hukum menyokong parti DAP adalah haram.

Kenyataan Abdullah yang dipetik Utusan Malaysia mengatakan bahawa umat Islam haram menyokong DAP kerana ia menolak Islam dan tergolong dalam kafir harbi.

Namun kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdullah itu tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun pelbagai pihak mengecam kenyataan tersebut.

Jamil Khir menambah, sehingga kini tidak ada fatwa atau pandangan hukum berkaitan kedudukan orang bukan Islam di Malaysia sebagai Kafir Harbi atau Kafir Zimmi yang dikeluarkan oleh Jawatan Fatwa Negeri-Negeri atau Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Beliau juga menegaskan setiap pendapat atau pandangan hukum oleh mana-mana individu atau institusi selain daripada dua entiti tersebut tidak boleh dianggap sebagai fatwa.

Jamil Khir bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada sudah ada tindakan diambil atau tidak terhadap individu yang mengeluarkan hukum orang bukan Islam di negara ini sebagai Kafir Harbi.

Pemuda PAS Selangor prihatin mangsa banjir

Harakahdaily, 06 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat prihatin terhadap perkembangan cuaca yang agak lembap dengan hujan lebat sepanjang 2 minggu lalu telah menyebabkan beberapa kawasan telah mengalami banjir kilat seperti di Gombak, Kota Raja, Shah Alam, Sepang, Kuala Langat dan beberapa kawasan lagi.
Lebih kurang 1,200 orang mangsa banjir di Selangor kini berada di pusat-pusat pemindahan untuk mangsa banjir sehingga hari ini.

Sehubungan itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata pihaknya mengucapkan takziah kepada seluruh mangsa-mangsa banjir dan ahli keluarga mereka di atas musibah yang melanda dan kerosakan harta benda yang dialami di dalam kejadian banjir.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mendoakan semoga para mangsa banjir akan bersabar di atas ujian ini dan tabah untuk meneruskan kehidupan di masa hadapan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor telah mengambil langkah proaktif dengan mengarahkan Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersama dengan Lajnah Kebajikan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor untuk bertindak segera dengan mewujudkan Bilik Gerakan Banjir di kawasa-kawasan yang terbabit untuk tujuan penyaluran bantuan segera daripada pelbagai aspek yang boleh disumbangkan dengan bantuan daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga, ujarnya mengalu-alukan sebarang sumbangan dalam bentuk wang ringgit dan barangan keperluan untuk makanan daripada pihak-pihak yang sudi untuk memberikan bantuan.

Sebarang bantuan bolehlah disalurkan dengan menghubungi, Pengarah Jabatan Amal Negeri Selangor, Saudara Mohd Nazree, 017 3333441.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat mengharapkan semoga Kerajaan Negeri Selangor yang mempunyai lebihan simpanan sebanyak 2 bilion pada tahun ini dapat menyalurkan bantuan yang selayaknya bagi membantu mangsa-mangsa banjir dengan kadar yang segera,” katanya.

Beliau berharap kerajaan negeri perlu mengambil iktibar di atas segala kelemahan semasa menangani masalah yang sama pada tahun lepas.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor tidak mahu lagi kerajaan negeri bersikap sambil lewa dan berlepas tangan apabila musibah melanda rakyat di dalam negeri Selangor,” ujarnya.

Pluralisma agama hanya alih isu penyelewengan BN

Afix Redzuan Selangorku, 06 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Umno BN dilihat terdesak apabila kembali memainkan sentimen keagamaan sebagai modal politik serta  menimbukan budaya tidak sihat, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, isu pluralisma hanya dimainkan untuk mengalihkan pandangan umum terhadap isu kezaliman, rasuah dan penyelewengan yang didiamkan supaya tidak diketahui umum.

Katanya, perkara ini hanya didiamkan oleh ulama Umno-BN dan kejadian memutarbelitkan fakta perlu dipandang serius.

“Saya dah jelaskan banyak tempat, Rasulullah itu diutuskan sebagai rahmat kepada sekalian alam, itu cirinya plural.

“Pluralisma itu ialah menyamakan semua agama. Itu soal akidah. Macam mana saya kata semua agama sama? Saya solat ikut Islam. Saya tidak solat pergi gereja.

“Itu hanya nak dimainkan untuk politik mereka (Umno-BN) padahal kezaliman, rasuah dan penyelewengan ustaz-ustaz Umno mana berani sentuh. Gunanya hanya pluralisma agama sahaja secara umum,” ulas Anwar yang mengakui  beliau antara ‘mangsa’ putarbelit teks kenyataan ucapan berkaitan keagamaan.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri tidak mampu mempertahankan serangan sekutunya MCA yang dilihat lantang memperlekeh perkara berkaitan keagamaan.

“(Datuk Seri) Chua Soi Lek menyerang berdepan dengan Datuk Seri Najib.

“Berani (Najib) sebut? Najib sendiri tidak berani nak ulas (serangan) Chua Soi Lek. Caranya adalah menyerang kenyataan-kenyataan kita,” katanya.

Tambah Anwar lagi, Jabatan Agama Islam perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan menyesatkan serta mereka yang terlibat dengan dengan industri haram seperti judi dan ‘San Miguel’.

“Pluralisma agama kalau seseorang itu meremehkan Islam. Maknanya menolak hukum dan menyatakan semua agama adalah sama.

“Saya tidak pernah sebut (pluralisma). Menghormati agama (lain) apa salahnya?,” soal Anwar lagi.

NEB: Kerajaan perlu jelas perbelanjaan bercanggah

Anis Nazri, 06 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kerja Pendidikan Pakatan Rakyat (PET) menggesa Kementerian Pendidikan memperincikan percanggahan di antara Pelan Pembangunan Pendidikan (NEB) dan perbelanjaan pembangunan 2006-2010.

Ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata percanggahan tersebut perlu dijelaskan kerana ia akan menjadi penentu kepada kejayaan atau kegagalan NEB.
Bercakap pada sidang media di lobi parlimen, hari ini, Nurul Izzah menjelaskan jangkaan perbelanjaan pembangunan dari 2006 hingga 2010 pada awalnya adalah RM17.9 bilion, tetapi perbelanjaan sebenar adalah RM 8.6 bilion.
"Lebih malang lagi, angka ini tidak konsisten dengan RM 19.771 bilion yang diberikan sebagai perbelanjaan pembangunan dan perkara ini wajib dijelaskan kementerian bertanggungjawab," tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan dengan pengabaian yang berlaku disebabkan kegagalan mengawal pembaziran dan perbelanjaan lebih di bawah perbelanjaan pengurusan.
Tambah beliau, berdasarkan Laporan Perbelanjaan Bank Dunia 2011, perbelanjaan pengurusan melebihi perbelanjaan pembangunan pada purata 10 peratus dari 2006 ke 2010.
Justeru, kata beliau NEB tidak langsung menyatakan tindakan khusus untuk mengatasi isu ini iaitu kurang belanja dalam perbelanjaan pembangunan dan lebih belanja dalam perbelanjaan pengurusan.
Sehubungan itu, jawatankuasa tersebut menggesa kementerian memperincikan perkara tersebut pada perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pendidikan yang dijangka dibahaskan esok.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, berkata pihaknya menggesa agar kementerian memberikan perincian sebenar berhubung percanggahan tersebut.
"Bagi saya, jika ingin membincangkan soal keseimbangan program, memang banyak masalahnya. Tapi kita fokus kepada keseimbangan perbelanjaan ini terlebih dahulu," kata beliau.
Dalam pada itu, ahli parlimen Sik, Che Uda Che Nik mendakwa program pendidikan di Malaysia ini merupakan program menteri pendidikan, bukan program kementerian terbabit.
"Sebabnya, apa yang kita nampak setiap kali ubah menteri, program pendidikan juga berubah. Contoh sekolah di luar bandar, masih jauh ketinggalan.  Belum lagi Sabah dan Sarawak.
Bila Muhyiddin (Tan Sri) ganti, tukar kepada Bestari.  Kata lebih kurang , cuma nak kukuhkan lagi, lebihkan lagi.  Yang lebihnya bagi kita kepada pembekal. Hanyamerujuk kepada pembekal untuk kepentingan wang, tetapi tidak rujuk kepada profesional pendidikan," dakwa beliau.
Turut serta pada sidang media tersebut Pengerusi Pendidik, Normala Sudirman.

Ribuan Myanmar terima kerakyatan di stadium KLFA - Saksi

Milo Suam, 06 Nov 2012

SALAH seorang pengguna facebook, Shirley Gabriella mendedahkan, pada pukul 6:45 am Jumaat lalu beliau terkejut apabila menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri, ribuan warga asing Myanmar diberi kerakyatan.

Beliau menganggarkan sekitar 10,000 warga asing berbangsa Myanmar menunggu di Kuala Lumpur Football Association Stadium (KLFA stadium) untuk diberi kerakyatan oleh Kerajaan Malaysia dengan satu syarat, mereka mestilah beragama Islam dan boleh mengucap dua kalimah syahadah.

Menurutnya lagi, ribuan warga asing ini bukan menerima taraf penduduk tetap (permanent resident), bahkan mereka diberikan taraf warganegara (Permanent Citizenship) oleh Kerajaan Malaysia.

Di bawah ini mesej yang ditulis oleh beliau di halaman facebook miliknya.



Menulis di ruangan komen statusnya itu, beliau mengizinkan orang ramai untuk menyebarkan berita ini [facebook]. Persoalan di sini, apakah kelayakan yang membolehkan ribuan warga Myanmar ini diberikan kerakyatan secara beramai-ramai?

Adakah Malaysia sudah kekurangan rakyat sehinggakan perlu memberikan kerakyatan segera kepada bangsa asing? Atau ribuan warga Myanmar ini akan dibenarkan untuk mengundi pada pilihanraya Umum akan datang bagi memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional?

Barangkali pendedahan ini akan merungkai kisah penempatan orang-orang Myanmar yang telah diberi kerakyatan di kawasan Parlimen Pekan, Pahang untuk menyelamatkan karier politik Najib Razak.

Penduduk kampung ini dipercayai telah diberikan hak kerakyatan dan diarah untuk mengundi Barisan Nasional di parlimen tempat Najib Razak bertanding rujuk sini [Pemuda Sarawak]




ReJaM© "Sekali lagi negara digadai di depan mata... "


Read more: http://milosuam.blogspot.com/2012/11/ribuan-warga-asing-myanmar-terima.html#ixzz2BPMQqY7T

Rakyat nikmati manfaat kerjasama PAS, DAP

Roketkini.com, 06 Nov 2012
Malah, MCA yang menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) yang semakin galak menghentam PAS telah dengan sengaja menghina Islam melalui usaha memperlekeh hukum dan akidah Islam. Dan UMNO hanya berdiam diri dengan perbuatan MCA itu.


DAP yang dibarisi pemimpin utama seperti Lim Kit Kiang, Karpal Singh dan Lim Guan Eng Setiausaha Agung dilihat lebih menghormati Islam dan mesra Melayu berbanding MCA yang kini diterajui Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

DAP juga terbukti saling bantu-membantu dengan PAS dalam merampas negeri yang sekarang ini diperintah Pakatan Rakyat, termasuk Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (sebelum dirampas secara rakus oleh BN).

Selepas PRU 2008, DAP semakin akrab dengan PAS termasuk berceramah di atas pentas sama pada setiap kempen pilihan raya sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum.


Fitnah perkauman

Cuma yang menjadikan DAP kurang disenangi sebilangan kecil Melayu adalah kerana UMNO sering memainkan sentimen perkauman dan melaga-lagakan DAP dan PAS melalui media massa yang dikuasai sepenuhnya oleh UMNO-BN.

Tujuan UMNO mencipta fitnah dan memainkan sentimen perkauman kerana mereka tidak senang hati melihat pakatan DAP dan PAS semakin erat dan padu, jadi UMNO/BN cuba memecah-belahkan kerjasama yang sudah sekian lama terjalin antara dua parti berkenaan.

Selain mahu mencetus perbalahan antara PAS dan DAP, UMNO-BN yang kebelakangan ini semakin terdesak cuba memikat PAS supaya bergabung semula dalam BN bagi mencerahkan peluangnya memenangi PRU ke-13 nanti.

Namun, sebagai amngsa fitnah UMNO-BN, lama-kelamaan PAS dan DAP mula sedar bahawa kedua-dua parti itu mempunyai lebih banyak persamaan daripada perbezaan. Malah dalam keadaan kerjasama sebelum pasca-2008, hubungan baik sudah mula dijalin.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menyatakan bahawa parti dipimpinnya banyak mendapat manfaat hasil kerjasama dengan DAP selama ini, termasuk ketika bergabung dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah sehingga berjaya mengalahkan UMNO-BN yang memerintah Kelantan pada PRU 1990 dan kekal hingga sekarang.

Begitu juga kerjasama DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bergabung dalam Pakatan Rakyat hingga berjaya merampas lima negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak serta mengekalkan penguasaan di Kelantan pada PRU ke-12.


Fitnah gila kuasa

Yang menjadikan UMNO-BN sanggup menabur fitnah adalah kerana ghairah mahu kekalkan kuasa mereka walau pun rakyat sudah terhidu pentadbiran mereka yang penuh rasuah dan salah guna kuasa.

BN merasai sukar untuk merampas semula Selangor dan Pulau Pinang, sebab itu pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap DAP termasuk menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih mementingkan orang kaya dan menindas orang miskin di negeri itu.

Dakwaan BN menerusi Chua Soi Lek itu ternyata meleset kerana Pulau Pinang sudah pun berjaya manghapuskan miskin tegar. Setakat ini, Pulau Pinang sudah menjadi negeri pertama bebas daripada kemiskinan tegar di Malaysia apabila pendapatan setiap isi rumah meningkat daripada RM500 kepada RM600 sebulan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2013 minggu lalu, Ketua Menteri Lim Guan Eng bertekad mahu membasmi kemiskinan rakyat di negeri itu tahun depan.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan menunggu sehingga 2015 sebaliknya mempercepatkan usaha membasmi kemiskinan rakyat di negeri itu tahun depan. Kerajaan negeri komited terhadap kebajikan rakyat dan akan memastikan Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia membasmi kemiskinan rakyat sepenuhnya.


Usaha murni PAS, DAP

Dalam himpunan rakyat di Seremban malam minggu yang lalu, para pemimpin Pakatan Rakyat berkumpul bersama rakyat untuk mengukuhkan tekad membawa perubahan. Dalam pertemuan itu, kerjasama Pakatan, khususnya di antara PAS dan DAP semakin terserlah.

“Jika agama Buddha dihina, saya yakin pemimpin PAS akan mempertahankannya. Kalau agama Hindu dan Kristian dihina, saya yakin PKR akan mempertahankan. Kalau agama Islam dihina, DAP akan mempertahankannya,” kata Ketua Pemuda DAP Anthony Loke di majlis itu.

Apa yang penting ialah melalui kerjasama dan kata sepakat itu, yang benar-benar mendapat manfaat adalah rakyat Malaysia kerana mereka tidak lagi mudah terpedaya dengan fitnah UMNO-BN terhadap PAS dan DAP.

Kerjasama PAS dan DAP dengan penglibatan PKR sudah dapat memecahkan tembok minda rakyat yang selama ini hanya dimomokkan dengan isu perkauman dan keagamaan yang sempit ciptaan UMNO khususnya.

Rashid Ghannushi dan demokrasi

Robert Fisk, 06 Nov 2012



Apabila Rashid Ghannushi bertemu Zine el-Abidine Ben Ali - sebelum Ghannushi dengan bijaknya membuang dirinya ke London sebagai musuh pemerintahan diktator - satu perkara yang sangat ganjil berlaku. "Dia tidak melihat ke mata saya," ujar Ghannouchi. "Dia tidak begitu banyak bercakap. Tetapi apabila saya bersama dengan dia, mereka membawakan kopi untuk kami berdua.”

"Saya bercakap dan dia senyap mendengar, kemudian tiba-tiba dia mengejutkan saya. Dia menukarkan cawan kopi kami berdua. Kopi saya diambil beliau, dan beliau mengambil kopi saya, seraya berkata: 'Adakah kamu berasa sangsi dengan kopi ini?' Tetapi perkara berkenaan tidak pernah terlintas di fikiran saya! Jadi saya menukarkan semula cawan kopi kami dan mengambil semula cawan yang diberikan kepada saya pada awalnya."

Aneh sekali. Semestinya ia adalah kali pertama dalam sejarah bahawa seorang diktator berfikir tetamunya takut diracun. Dan ketika kami sedang berbual, seorang wanita memasuki pejabat Ghannushi dengan membawakan kopi. Jangan tukarkan cawan, ujar saya kepadanya. Unsur lawaknya jelas. Namun Ghannushi bukanlah seorang lelaki yang semula jadi bersikap lucu dan dia banyak menghabiskan masa cuba memujuk lawannya bahawa - sebagai pengasas dan pemimpin parti terbesar di Tunisia, Ennahda - beliau tidak mahu sebuah negara Islam di Tunisia.
Umpan

Hanya 24 jam sebelumnya, seorang profesor undang-undang Tunisia, Jamil Sayah, telah menulis satu artikel panjang yang tidak begitu menyenangkan di La Presse de Tunis, mengatakan perbezaan antara Ghannushi dan majoriti warga Tunisia adalah "Ketua Ennahda mahu mengislamisasikan kemodenan manakala rakyat Tunisia mahu memodenkan Islam". Saya tidak fikir Ghannushi membaca artikel tersebut- yang seperti kebanyakan laporan dalam akhbar Tunisia, panjangnya sekurang-kurang 2,000 patah perkataan - tetapi dia termakan umpannya.

"Dia  (Sayah)  yang mahukan perkara ini," ujar Gannushi. "Saya tidak percaya warga Tunisia mahu mengubah Islam tetapi mereka mahu menjadi moden dan pada masa yang sama menjadi Muslim. Islam adalah agama yang moden, kita tidak memerlukan sebarang pengubahan ke atas Islam untuk menjadikan ia moden. Dari awal, Islam adalah agama yang pluralistik. Dari awal, Islam percaya dengan kebebasan beragama dan hati nurani, dalam kesahan negara berdasarkan kontrak antara rakyat dan pemerintah."

Bagaimana pula dengan video misteri - soalan terakhir dalam senarai saya tetapi bukanlah sebagai perangkap - awal tahun ini yang menunjukkan Ghannushi yang sedikit gempal beramah mesra dengan ketua puak Salafi dan telah mengundang ribuan kutukan ke atas Gannushi?

Video berkenaan, yang versi asalnya dibuat Mac lalu dan disiarkan di YouTube - kemudian diubah untuk menampakkan Ennahda sebagai ancaman kepada Tunisia yang sekular - telah tersebar meluas di seluruh Tunisia. Dan penjelasan Ghannushi menunjukkan beliau seorang yang tidak mempunyai belas kasihan, sepertimana dia kelihatan seorang yang pragmatik.

"Konteks perjumpaan tersebut adalah perbahasan besar di Tunisia sekitar isu syariah, sama ada untuk memasukkan syariah sebagai sumber dalam perlembagaan atau tidak," katanya.

"Puak Salafi telah menganjurkan demonstrasi besar-besaran untuk menuntut syariah sebagai sumber perlembagaan, dan pada masa yang sama golongan elit sekular berasa terancam dengan tuntutan ini."

Tunisia berpecah dengan teruk sekali. Bahkan dalam Ennahda, terdapat banyak kumpulan, dan pemimpinnya yang berusia 71 tahun - yang kembali selepas 20 tahun dalam buangan untuk menyertai revolusi negaranya - berkata bahawa dia terpaksa untuk bertindak "tegas" dan memulakan banyak rundingan dengan puak Salafi.

"Saya terpaksa meyakinkan mereka," ujarnya, "bahawa cara masyarakat memahami syariah adalah tidak begitu tepat - dan bahawa istilah 'syariah' telah dikaitkan dengan banyak aplikasi yang salah di Afghanistan dan di beberapa tempat yang lain.”

"Saya takut bahawa syariah dikhutbahkan sama seperti hak anti-wanita, hak anti-manusia, anti-kesaksamaan dan anti-kebebasan. Saya cuba untuk meyakinkan mereka [puak Salafi] bahawa perlembagaan tidak berdasarkan apa yang membahagikan rakyat tetapi apa yang menyatukan mereka. Jadi, jika ada kekurangan pemahaman mengenai isu syariah, dan jika terdapat pelbagai pandangan berkenaannya, maka ia tidak sepatutnya dijadikan sumber perlembagaan.

“Saya cuba meyakinkan mereka bahawa revolusi telah menyediakan kebebasan untuk mereka. Dulunya mereka dipenjarakan, tetapi sekarang mereka mempunyai kebebasan untuk bergiat dalam masyarakat melalui pertubuhan masyarakat, melalui masjid dan dengan menubuhkan badan amal dan persatuan."
Pertumpahan darah

Kemudian datang bahagian kira-kira. "Kami cuba untuk meyakinkan mereka bahawa keadaan adalah sangat lemah dan jika mereka mendesak perkara-perkara hingga ke batasannya, perkara tersebut boleh hancur. Saya mengingatkan mereka bahawa pihak Islamis di Algeria [Barisan Penyelamat Islam] mendapat 80 peratus dari undi - tetapi mereka hilang segala-galanya kerana mereka tidak membaca imbangan kuasa dengan betul. Terdapat pertumpahan darah. Mungkin mereka yang kalah dalam pilihan raya di Algeria hanya mendapat 20 peratus [dari undi] tetapi mereka memegang kuasa negara tersebut. "

Malah, pusingan kedua pilihan raya Algeria telah dibatalkan oleh pihak tentera selepas pihak Islamis memenangi pusingan pertama, menyebabkan perang saudara sepanjang tahun 1990-an – yang keganasan dan penyeksaannya hampir tiada tandingan -mengakibatkan 250,000 warga Algeria mati. Amaran yang jelas untuk puak Salafi Tunisia. Dan mungkin untuk Tunisia sendiri.

"Saya cuba memahamkan dan menyedarkan mereka bahawa mereka tidak harus memandang rendah pihak yang menentang mereka, walaupun bilangannya sedikit. Kerana apabila mereka [puak Salafi] keluar berdemonstrasi dalam jumlah yang besar, mereka fikir tiada siapa yang lebih berkuasa daripada mereka.

“Mereka lupa adanya jenis kuasa yang lain di negara ini. Formula politik di negara ini tidak hanya berdasarkan nombor tetapi kepada faktor-faktor lain juga. Jadi, berbeza dengan amaran tentang saya yang cuba ditonjolkan dalam video tersebut, sebenarnya tiada apa-apa isu terhadap demokrasi atau terhadap komitmen kepada hak asasi manusia, kesaksamaan jantina dan sebagainya. "
Kemudian timbul isu berkenaan serangan ke atas sekolah dan kedutaan Amerika Syarikat di Tunis pada 14 September. Ramai penyerang memakai pakaian kebiasaan puak Salafi; berjanggut, jubah putih dan sandal. Empat warga Tunisia terbunuh, 70 tercedera dan 140 ditangkap.

"Terdapat dua kumpulan yang dituduh  bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku," ujar Ghannushi. "Pertama, kumpulan penjenayah dan kedua, puak Salafi yang ganas. Terdapat rakaman menunjukkan penyerang merompak harta benda sekolah dan kedutaan Amerika Syarikat,termasuk kantin yang menjual alkohol di kedutaan, dan kebanyakan penyerang minum alkohol tersebut. Saya tidak fikir mereka adalah puak Salafi. Terdapat pihak yang ingin menyerang kami menggunakan puak Salafi, dan mereka mahu kami untuk menentang mereka, dan menyerang mereka semula."

Ghannushi menegaskan bahawa puak Salafi tidak tertarik berjuang di bawah bendera Ennahda. "Ia tidak cukup Islamik bagi mereka," katanya, walaupun terdapat ramai rakyat Tunisia yang tidak bersetuju dengan hal ini. Beliau menambah bahawa kini terdapat beberapa parti Islam termasuk parti beliau sendiri. Komen "Ia tidak cukup Islamik bagi mereka," itudatang tanpa disangka-sangka dari seorang lelaki yang sering digambarkan - akhbar Perancis sangat bagus dalam hal ini - sebagai pejuang Islam berbahaya yang hanya menunggu masa untuk menjadikan negara ini sebuah republik Islam.
Masa

"Kami faham demokrasi bukan hanya sebagai alat untuk memerintah tetapi juga untuk mendidik. Saya berada di Paris pada tahun 1968 dan zaman tersebut adalah zaman revolusi. Salah seorang pemimpin revolusi mereka, Cohn-Bendit,  sekarang di Parlimen Eropah. Terdapat contoh yang kononnya pelampau di Eropah, seperti Red Army dan Action Directe,mereka dapat dijinakkan dan dididik semula melalui demokrasi.

“Jadi mengapa kita tidak boleh bayangkan bahawa kita juga boleh menjinakkan puak ganas di negara kita. Melalui demokrasi, mereka akan perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada demokrasi, bukannya menghancurkan demokrasi. Saya selalu memberitahu beberapa rakan-rakan kami di Eropah bahawa melalui demokrasi mereka dapat menjinakkan binatang buas mereka- jadi mengapa kamu tidak memberikan kami masa untuk melakukan perkara yang sama dengan binatang buas kami?

"Ini tidak bermakna bahawa kami tidak mahu menjadi tegas dengan mereka. Kita mesti tegas dengan mereka yang melanggar undang-undang. Beberapa lawan kami, mereka mahukan kami menggunakan kaedah yang sama seperti Ben Ali, membuka kem penjara, menangkap ribuan orang dan menggunakan penyeksaan dan mahkamah kanggaru hanya kerana mereka tergolong dalam kumpulan tersebut.

“Kami mengatakan bahawa undang-undang melihat masyarakat sebagai individu, bukan sebagai kumpulan. Jika pemandu tidak berhenti di lampu isyarat merah, dia tidak perlu ditanya apakah ideologi beliau, tetapi hanya perlu diberitahu bahawa dia telah melanggar undang-undang. "
Hujah sejarah Encik Ghannouchi adalah sedikit cacat tetapi dia dapat mengimbau kembali saat dia berada di London pada 7 Julai.

"Saya berada di UK semasa serangan yang mengakibatkan lebih daripada 50 orang terbunuh pada hari tersebut. Saya kagum dengan pihak polis - kerana tiada tangkapan besar-besaran, walaupun terdapat banyak tekanan untuk mereka berbuat demikian - ya, terdapat beberapa tangkapan telah dibuat dan apabila mereka dibuktikan bersalah mereka dihantar ke penjara. Dan jika mereka tidak bersalah, mereka dibebaskan. "
Pemimpin Ennahda tersebut tidak berfikir revolusi Arab akan bertukar arah - walaupun dia ada menyebut dengan sedikit sugul tentang mereka yang inginkan revolusi balas di Tunisia. Dan selepas beliau memanggil Syria sebagai "tragedi", beliau mengingatkan saya bahawa Eropah tidak memperoleh kebebasan mereka dalam sekelip mata.

"Terdapat revolusi di Eropah dan mereka membuat pengorbanan supaya mereka mendapat kebebasan," katanya. "Di Eropah, beberapa raja dipancung kepala, bukankah begitu?" Tepat sekali.

* Diterjemah oleh Mohamad Yahya.

Panggil juga Utusan, kata Nurul Izzah kepada Jais

Hazayani Zakaria, 06 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) disaran turut memanggil wakil akhbar Utusan Malaysia bagi memberi keterangan berhubung laporan mengenai kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam  forum ‘Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab?, Sabtu lalu.

Izzah berkata, beliau bersedia memberi keterangan kepada Jais jika dipanggil berbuat demikian dan mahu Utusan Malaysia juga disoal siasat kerana memutar belit kenyataannya.

"Ya, saya harap dia (Jais) panggil Utusan Malaysia sekali sebab dia keluarkan kenyataan fitnah akidah tersebut," kata beliau pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu pada masa sekarang atas nasihat peguam.

"Saya mengajak semua untuk merujuk kenyataan saya dalam blog dan saya dinasihatkan oleh peguam untuk tidak lagi membuat kenyataan kerana peguam saya akan mengambil tindakan seterusnya," katanya.

Semalam, muka depan Utusan Malaysia menyiarkan artikel bertajuk 'Melayu Bebas Pilih Agama?' dengan memetik laporan portal Malaysiakini berhubung kenyataan Izzah.

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan, Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin berkata, tindakan memanggil Izzah hanya akan diambil sekiranya pihak Jais menerima maklumat berhubung perkara tersebut bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: