Selasa, 6 November 2012

MENANG...INSYAALLAH...AMIN.. AMIN... AMIN YA ALLAH

Kalau parti putus tanding di Sabah saya ok

Salmiyah Harun, 06 Nov 2012

KUALA LUMPUR: "Kalau pimpinan PAS mengarahkan saya bertanding di Sabah atau Sarawak pun, saya akan pergi," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini. Kenyataan ini ekoran laporan yang beliau akan bertanding di Pekan, Pahang melawan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam sidang media ini juga, TG Abdul Hadi berkata, PAS sudah bersiap bila-bila masa untuk mengjadapi pilihan raya umum ke 13.

"Kita sudah siap 90 peratus dari keperluan pilihan raya," katanya.

Laporan penuh menyusul.

Kelantan sokong program 'menjohorkan' PAS di Johor

Salmah Mat Husain, 06 Nov 2012
KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Kelantan mengalu-alukan rancangan PAS Johor untuk 'menjohorkan' PAS di negeri itu.

Bagi mereka, ianya bersesuaian dengan ‘mood’  pelbagai lapisan masyarakat terhadap perjuangan parti itu yang dilihat semakin hebat.

Ketua Dewan Pemudanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman (gambar), ketika ditemui selepas mesyuarat Dewan Harian dewan berkenaan memberitahu, rakyat akan lebih mudah memahami dasar dan matlamat perjuangan PAS menerusi cara itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad berhubung program baru parti itu yang mahu menjohorkan PAS di negeri itu.

PAS di Kelantan juga mengambil pendekatan yang sama iaitu mendekati rakyat negeri itu melalui program sosiobudaya mereka untuk memenangi hati mereka.

Ia termasuklah menjadikan kesukaan rakyat Kelantan sebagai program PAS termasuklah dikir barat, bola sepak, memperkasakan makanan tradisi Kelantan termasuk budu dan sebagainya.

Dr Mahfodz ketika memberikan ucaptama dalam Konvensyen PAS Johor Ahad lepas menggariskan program 'menjohorkan' PAS di negeri itu.

Pendekatan tujuh perkara itu bertujuan untuk membolehkan PAS dapat masuk ke dalam sosiobudaya rakyat Johor sehingga ke akarnya.

Antara nama penting dalam tradisi Johor adalah majlis yasinan, marhaban, berzanji, merewang, memakai songkok tinggi, nasi embeng, laksa Johor dan sebagainya.

(Peserta konvensyen PAS Johor makan nasi dalam talam antara program 'menjohorkan' PAS di negeri itu)

PAS Johor juga mengkaji untuk mengaitkan PAS dengan tarian tradisional Johor iaitu kuda kepang dan zapin serta muzik ghazal asalkan tidak bertentangan dengan Islam.


Mendapat sambutan



“Lebih membanggakan kita mana-mana program Pakatan Rakyat yang dianjurkan di negeri ini mendapat sambutan rakyat termasuk jualan meja untuk makan malam baru-baru ini.

“Untuk itu PAS perlu memperlengkapkan diri untuk menerima keluarga besar yang bakal menyertai parti itu,”ujar Abdul Latif ketika menyokong cadangan Johor itu.

Pada masa yang sama, Abdul Latif turut mencadangkan program memasyarakatkan PAS di setiap negeri termasuk di Kelantan perlu digerakkan dengan lebih agresif.

“PAS dilihat bukan hanya sebuah wadah perjuangan Islam, sebaliknya membawa masyarakat ke arah keharmonian dan kasih sayang,”ujarnya.

LAPORAN BERKAITAN

PAS buat keputusan 'menjohorkan' PAS di Johor

Nurul: Tidak perlu ulas kerana dari Utusan - TG Nik Aziz

Harakahdaily, 06 Nov 2012
KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, beliau tidak bercadang untuk mengulas kenyataan naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kerana ia disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia.

"Saya ditanya tentang isu kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah berhubung isu bebas untuk memilih agama.

"Saya lihat akhbar yang meletakkan isu ini di muka hadapan ialah akhbar yang sudah berkali kali kalah di mahkamah kerana menyiarkan laporan palsu dan tidak tepat.

"Justeru, saya kira amat tidak wajar memberikan ulasan hanya semata-mata berasaskan laporan akhbar ini," katanya.

Nik Aziz berkata demikian melalui kenyataan ringkas yang disiarkan dalam facebooknya hari ini. Dalam masa sekejap sahaja beribu-ribu pengikut facebook beliau share kenyataan beliau itu dalam facebook mereka.
Hampir 2,000 pula memberikan komen mereka mengenainya.

Utusan menjadikan berita Nurul Izzah tentang kebebasan agama di muka depannya.

Nurul dalam kenyataan balasnya menafikan laporan Utusan itu dan akan menyaman kedua-dua akhbar yang memutarbelitkan kenyataan itu.

Konsep ulama dan kepimpinannya

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, 06 Nov 2012
“Siapa yang dikatakan Ulama? Siapa yang beri dia pangkat Ulama?” pertanyaan begini sering timbul.

“Kalau kita nak lantik Ulama sebagai ketua, apa kriteria yang menentukan seseorang itu Ulama atau tidak?” soalan dikaitkan pula dengan perjawatan dan perlantikan.

Apabila seseorang menggali khazanah Islam untuk mencari takrif Ulama, sempit pula dada memikirkan bahawa Ulama seperti itu hanya seperti sebutir pasir di tepian pantai di hari ini. Terlalu sukar untuk dicari calon yang memenuhi kriteria seperti yang dinukilkan.

Kesulitan itu bertambah lagi apabila Ulama mahu diangkat sebagai pemimpin. Timbul pula persoalan berkaitan kesarjanaan, apakah ia sinonim dengan kepimpinan?

Keluasan Takrif

Mungkin pendapat yang pelbagai tentang takrif Ulama itu, adalah sebagai petanda kepada luasnya cakupan makna bagi kalimah Ulama, yang disebut dua kali di dalam al-Quran, tetapi tidak diperincikan seperti Allah memperincikan perihal harta pusaka atau wanita mahram, di dalam al-Quran. Ruang yang diberikan tanpa perincian itu bertujuan untuk menyediakan unsur keanjalan pada mendefinisikan Ulama sesuai dengan peredaran zaman, tahap keilmuan dan ketamadunan manusia serta keperluan-keperluan yang diperlukan dalam urusan awam merentas masa.

Hanya satu sifat yang melangkaui segala perubahan zaman dan keadaan, bahawa Ulama adalah manusia yang takut kepada Allah:

“Sesungguhnya, yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” [Faathir 35: ayat 28]

Bagaimanakah soal takut kepada Allah ini dapat diukur untuk menentukan siapa yang Ulama dan siapa yang bukan Ulama? Justeru, kita bertemu dengan himpunan definisi yang pelbagai oleh sarjana Islam sepanjang zaman yang kesemuanya menjurus kepada makna komitmen penuh seorang hamba kepada segala kehendak, perintah dan larangan Allah SWT.

Kriteria Nabi

Namun, Ulama sebagai pewaris para Nabi, bagaimanakah kualiti yang ada pada seorang Nabi, untuk pewarisan itu menepati kriterianya?

Allah SWT membantu kita mengungkai persoalan ini melalui dua kisah yang terdapat di dalam al-Quran tentang Musa dan Yusuf.

Tatkala dua orang anak perempuan Nabi Shuaib menemukan Musa dengan bapa mereka berdua, salah seorangnya berkata kepada ayahanda mereka dengan ungkapan yang diabadikan di dalam al-Quran:

“Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah (Shuaib), ambilah dia (Musa) bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang Qawiyy, lagi Ameen” [al-Qasas 28: ayat 26]


Penjelasan tentang kriteria Musa yang menjadikan beliau sebagai manusia yang paling berkelayakan untuk diupah bekerja diungkapkan sebagai Qawiyy dan Ameen. Pembahagian kualiti Musa kepada dua dimensi Qawiyy dan Ameen ini sangat berguna dalam memahamkan kepada kita apakah yang Allah SWT kehendaki daripada seorang hamba berkaitan dengan kelayakan dirinya.

Ibn Taimiyyah membahaskan perkara ini di dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`i wa al-Ra`iyyah sebagai memudahkan kita mengukur kelayakan.

Qawiyy itu bermaksud kekuatan, keupayaan, kemahiran dan segala yang diperlukan untuk sesuatu tugasan itu dilakukan mengikut spesifikasinya. Di dalam bahasa semasa, kalimah Qawiyy ini boleh difahami sebagai nilai Kompetensi.

Ameen pula merujuk kepada sifat amanah, bertanggungjawab dan segala kualiti akhlak seseorang yang mudah untuk difahami sebagai nilai Integriti.

Sudah tentulah dalam suatu pekerjaan, kelayakan tertinggi ialah pada seseorang yang memiliki nilai integriti dan kompetensi yang sama tinggi. Namun realitinya, manusia ada pasang surutnya pada kedua-dua dimensi kelayakan ini. Ada tugasan yang memerlukan keutamaan integriti, ada tugasan yang mesti mengutamakan kompetensi.

Bagi tugasan menguruskan gembala kambing seperti yang bakal dilakukan oleh Musa, Qawiyy (kompetensi pada kekuatan fizikal dan kemahiran menggembala) disebut dahulu sebagai yang utama, berbanding sifat Ameen (integriti).

Akan tetapi, bagi tugasan yang bersangkutan dengan menguruskan harta dan wang, integriti dan kompetensi sama penting, dengan keutamaan diberikan kepada integriti berbanding kompetensi. Lalu tatkala Yusuf meminta agar dirinya diposisikan kepada pengurusan perbendaharaan negara, beliau berkata:

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku adalah seorang yang teliti dalam penjagaan (Hafeez), lagi mengetahui cara mentadbirkannya (Aleem)” [Yusuf 12: ayat 55]

Hafeez itu adalah soal integriti manakala Aleem pula merujuk kepada ilmu serta kemahiran sebagai nilai kompetensi baginda.

Apakah input yang diperlukan untuk mengangkat manusia yang Ulama berada dari kotak 2 dan 3 kepada Quadrant Par Excellence di kotak 4?

Di sinilah jawapan kepada kayu mengukur kriteria Ulama iaitu pada keupayaannya mematuhi seluruh hukum Tuhan pada Syariatullah dan Sunnatullah. Seorang alim yang takutkan Allah bukan hanya takut melanggar hukum Syariat malah juga hukum Sunnatullah. Bukanlah seorang itu dikatakan takutkan Allah apabila dirinya berilmu tinggi tentang halal dan haram, tetapi tidak berasa apa-apa melanggar hukum alam pada pekerjaan dan kehidupannya sedangkan hukum alam itu adalah Sunnatullah yang juga merupakan tuntutan Allah ke atas kita.

Justeru, sebelum Allah SWT mengisytiharkan bahawa manusia yang paling takut kepada-Nya adalah para Ulama, Allah SWT menjelaskan terlebih dahulu senario yang tidak mungkin difahami kecuali oleh manusia yang menjunjung Syariatullah bersama Sunnatullah.

“Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu, (maka yang demikian itu tidaklah menjadi hal) kerana sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul masing-masing), mereka telah didatangi Rasul-rasul-Nya dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran) serta Kitab-kitab (Syariat) yang terang jelas.”

“Kemudian Aku timpakan orang-orang kafir itu dengan azab yang membinasakan, maka perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaan-Ku.”

Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam.”

“Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sesungguhnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. [Faathir 35: ayat 25-28]

Ya…

Keterangan itu menjelaskan bagaimana seluruh hidupan di alam ini patuh kepada ketetapan Allah SWT. Itulah cara mereka takut dan khusyu’ kepada Allah, iaitu dengan menjalani kehidupan ini sesuai dengan hukum alam iaitu hukum Allah ‘Azza wa Jalla yang Maha Esa. Jika seluruh makhluk di alam ini hidup dengan kepatuhan yang sedemikian rupa, bagaimanakah pula dengan manusia? Kemusnahan kaum yang engkar kepada perintah Allah (melanggar Syaritullah) adalah hukum Allah ke atas manusia (Sunnatullah).

Mampukah dikatakan seseorang itu takutkan Allah, dan dia adalah seorang yang Alim (Ulama), andai dia bersolat khusyuk, menjaga halal dan haram dalam kehidupan tetapi dalam masa yang sama menentang hukum alam?

Dia Syariatik.

Tetapi dia tidak Saintifik.

Dengan ilmu Syariat, dilabelkannya manusia yang menolak Syariat sebagai golongan sekular. Tetapi dalam masa yang sama dia menolak hukum Sains (Sunnatullah) yang sebenarnya menjadikan dirinya juga sekular on the other side of the same coin.

Kesarjanaan Era Othmaniyyah

Hal ini sangat ketara pada kaedah pembinaan tsaqafah (ilmu dan pemikiran) seseorang untuk melayakkan dirinya dianggap sebagai Ulama pada era Othmaniyyah. Taskopruluzade Ahmet (1495 – 1561), seorang encyclopaedist Othmaniyyah yang terkenal dengan kitabnya Shakaik al-Nu’maniya telah menjelaskan klasifikasi ilmu seorang yang diiktiraf sebagai Alim Ulama. Ilmu-ilmu yang perlu dikuasai adalah:

a.The calligraphic sciences: writing implements, styles of writing, etc
b.The oral sciences: the Arabic language amd phonetics, lexicography, etymology, grammar and syntax, rhetoric, prosody, poetry, composition, history and other literary sciences.
c.The intellectual sciences: logic and dialectics.
d.The Spiritual sciences:
e.The theoretical rational sciences: general theology, natural sciences, mathematics.
f.The practical rational sciences: ethics, political sciences.
g.The theoretical religious sciences: the Quran and Sunnah, the sciences devoted to their interpretation – Quranic exegesis, the study of prophetic traditions, Islamic theology and the principles of Islamic law and jurisprudence.
h.The practical religious sciences: practical ethics, etiquette, ihtisab, and all subjects relating to Muslim life and worship.

The Ottoman Empire: The Classical Age 1300 -1600 by Halil Inalcik (1997), page 165.

Inilah kriteria individu yang dikenali sebagai kelompok Sarjana atau Ulama di era Othmaniyyah. Kriteria inilah yang diletakkan untuk kelayakan seseorang itu mengisi jawatan mudarris, kadi, mufti dan seterusnya Sheikh ul-Islam.

Kesimpulannya, seorang saintis yang menolak hukum Syariat bukan sarjana dan bukan Ulama. Manakala seorang ustaz atau tuan guru yang menolak hukum Sains juga bukan sarjana dan bukan Ulama. Kedua-duanya adalah kelompok songsang yang tidak takut kepada Allah.

Dewan Ulama Dan Intelektual Islam

Al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa dalam kenangan. Kembali ke Rahmatullah pada April 2000

Semasa Muktamar PAS berlangsung pada tahun 1983, Ustaz Yusuf Rawa yang mempelopori konsep Kepimpinan Ulama sebagai reaksi kepada peralihan era Dato’ Asri Muda kepada kepimpinan yang baru, beliau (Ustaz Yusuf Rawa) telah menukar nama Dewan Ulama PAS kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam.

Katanya:
"Pembinaan kembali insan Muslim menerusi program pendidikan dan tarbiyyah akan dikendalikan perlaksanaannya oleh Dewan Ulama dan Intelektual Islam yang akan diberi tugas dan peranan penting dalam penyusunan baru organisasi Parti Islam.

Para Ulama dan intelektual Islam merupakan gabungan tenaga yang penting dalam usaha memupuk dan meningkatkan kesedaran Islam dalam kalangan ummah. Seluruh tenaga PAS di peringkat ahli dan pimpinan mestilah turut secara aktif bagi membantu para Ulama dan intelektual Islam itu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka dalam suasana baru itu.

Perubahan Dewan Ulama kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam juga bertujuan untuk memadukan Ulama dan intelektual Islam sekali gus menghapuskan jurang perbezaan keilmuan yang wujud dalam kalangan mereka dan mengadunkan ilmu serta pengalaman masing-masing dalam konsep, matlamat dan peranan ilmu dalam Islam sehingga dualisma yang memisahkan ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu dihapuskan!"

-[Kamaruddin Jaafar (ed.) : Memperingati Yusuf Rawa, pp. 55-66]

Sungguh hebat kenyataan Ustaz Yusuf Rawa ini kerana ia sudah pun dibentangkan seawal tahun 1983. Gagasan Kepimpinan Ulama yang diusahakan beliau bukanlah suatu gerakan untuk menghasilkan para Mullah sebagaimana yang dirisaukan oleh Almarhum Ustaz Abu Bakar Hamzah. Sebaliknya gagasan untuk merawat paradigma sekular sama ada sekular pada menolak agama, atau sekular pada menolak intelektual sains. Ulama yang berkelayakan memimpin ialah ulama yang harmoni pada konsep ini.

Yang diperlukan oleh PAS untuk memenangkan Islam, adalah para ideologue yang pemikirannya telah dirawat daripada dualisma sekularisma yang memisahkan di antara ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu tadi.

Tetapi, yang berlaku, hanyalah kepada memadukan golongan Ulama dan intelektual ini dalam kebersamaan mereka bekerja di dalam satu parti, tetapi memadukan pemikiran, paradigma dan pandangan hidup (worldview) masih belum berlangsung dengan baik. Golongan agamawan berjaya duduk semeja dengan golongan profesional tetapi proses memadukan disiplin dan ilmu masing-masing tidak berlaku. Golongan agamawan melihat banyaknya bahagian mereka yang perlu dipelajari oleh golongan profesional, tetapi tidak pula jelas pada melihat apa yang perlu agamawan ini ambil daripada disiplin dan ilmu golongan profesional seperjuangannya itu tadi.

Pergeseran di antara golongan Ulama dan profesional, dalam mendefinisikan kelayakan kepimpinan, menunjukkan bahawa cita-cita Almarhum Ustaz Yusuf Rawa masih jauh daripada realiti yang ada. Golongan profesional yang sekular mungkin tidak akan mendekatkan diri kepada PAS, tetapi masalah yang besar ialah bagaimana pula dengan ustaz sekular yang menolak ilmu aqliyyah, Sunnatullah atau ilmu Sains di dalam PAS?

Justeru, dalam suasana PAS sedang bergerak menuju kepada kepimpinan negara, keperluan untuk menguasai ilmu secara holistik bagi menghasilkan respon yang tepat kepada kemajmukan Malaysia, kecamukan ideologi dalam politik, ekonomi dan sosial serta gelombang globalisasi yang begitu meruncing, sentimen pergeseran antara golongan agamawan dengan profesional, hanya akan mengheret PAS berpatah balik ke belakang, lebih ke belakang daripada 1983 yang telah didefiniskan dengan tepat dan jelas oleh Almarhum Ustaz Yusuf Rawa.

Sesungguhnya kelayakan memimpin bukanlah pada agamawan atau Profesional, tetapi pada kemurnian aqliyyah Islam yang dicernakan dalam kriteria Nabi Musa dan Nabi Yusuf yang kita warisi perjuangannya itu. Itulah ulama yang hakiki.

Kepimpinan Ulama bukan slogan atau retorik, tetapi satu agenda yang menuntut perubahan. Mengubah pemikiran agar berubah pendekatan dan kaedah perjuangan.

Selamat maju jaya, buat sekalian pejuang agama!

http://saifulislam.com/

Tindakan undang-undang kepada Utusan, BH – Nurul

Harakahdaily, 06 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar telah mengarahkan peguam-peguamnya, Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia, Berita Harian serta kemungkinan beberapa media termasuk blog-blog.


Ini, katanya berkaitan laporan berunsur fitnah aqidah yang telah memutar belitkan sebahagian dari kenyataan penuh saya tempoh hari.

“Saya tidak merelakan fitnah aqidah sebegini diteruskan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang, demi menegakkan kebenaran dan demi keadilan,” ujarnya dalam satu kenyataan petang ini.

Jika benarlah...

http://kldailyblog.wordpress.com, 06 Nov 2012

Jika benar Haji Hadi mengatakan bahawa beliau bersedia bertanding di Pekan menentang Najib pada PRU 13 akan datang jika kepimpinan parti menghendakinya, pasti tindakan ini adalah satu tindakan stunt politik. Apakah pula strategi PAS dan Haji Hadi dalam isu ini? Adakah ia sekadar gimik atau memang benar-benar mahu mempertimbangkan idea gila ini?

Jika ia benar-benar terjadi pastinya ia akan menjadi medan perjudian nasib dan masa depan politik kepada kedua-dua calon heavyweight ini. Pada masa itu, pastinya Najib akan terpasak di kawasannya untuk memastikan setiap kerja kempennya tidak putus. Ini akan merantai kaki Najib dari menjelejah ke seluruh negara berkempen untuk UMNO dan BN.

Sedangkan Haji Hadi pula, pastinya akan dapat bekerja dan berkempen secara effisien dengan hanya menfokus dalam kawasan Pekan sambil memerhatikan Najib berpeluh dalam setiap kempennya.

Perlu diingat, dalam perjudian ini, dari segi psikologinya Haji Hadi lebih baik kerana beliau ada pengalaman kalah dalam pilihanraya berbanding Najib yang belum pernah kalah. Ini akan memberi tekanan kepada Najib selaku calon pilihan untuk menang. Bukankah ini adat berlawan, lihat sajalah bolasepak. Bebanan psikologi ini pastinya memberi advantage buat Haji Hadi dan PAS.

Dalam masa yang sama, jika pergerakan Najib terkekang dek kerana mengawal kawasan parlimennya, Tan Sri Muhyiddin pula akan bergerak seperti panglima garang atau jeneral perang dalam kempen UMNO BN di peringkat Nasional. Ini juga boleh memberi tanggapan buruk kepada kem UMNO dan BN apabila timbalan presiden akan dilihat lebih tangkas dan aktif dalam kempen nasional. Adakah Najib bersedia untuk ini?

Dari segi Pakatan pula, jika Haji Hadi bertanding di Pekan, kempen di peringkat Nasional tidak akan terjejas sama sekali kerana faktor Anwar dan barisan kepimpinan utama lain. Namun, jika ditakdirkan Haji Hadi menang ke atas Najib, apakah mungkin kedudukan Anwar Ibrahim selaku calon PM akan mula dipersoalkan kerana status kemenangan Haji Hadi lebih bernilai berbanding Anwar?

Jika Haji Hadi kalah, pastinya beliau tidak terkilan kerana beliau sudah memberi isyarat untuk mengendur dalam politik dan ingin menumpukan perhatian kepada partinya. Atau mungkinkah ini juga (bertanding di Pekan) menjadi isyarat bahawa Haji Hadi mahu bersara dengan penuh kesan kepada politik beliau dan Malaysia.

Terlalu banyak jika dalam politik.. jika itu tidak berlaku, maka politik Malaysia pastinya tiada imaginasi.-editor

Bersedia terima kemenangan!

Ahmad Lutfi Othman, 06 Nov 2012
Saya melihat Himpunan Kebangkitan Rakyat, 3 November, di Seremban Jaya, sebagai   pelepasan pecutan awal di pusingan terakhir buat aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat berdepan Pilihan Raya Umum Ke-13. Ia bukan sekadar satu upacara penuh simbolik untuk menggerakkan seluruh potensi kekuatan bagi menamatkan era BN, tetapi komitmen padu membawa perubahan menyeluruh yang didambakan setiap warga selama ini.

Meskipun jadualnya bertukar, daripada acara kemuncak menghimpunkan sejuta orang di Stadium Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam, kepada himpunan di peringkat zon -- dengan memilih Negeri Sembilan sebagai tapak bersejarah membuka laluan kepada momentum tsunami politik 2008 ke arah selatan -- ia tetap membawa makna besar ke arah pembebasan Putrajaya. Seremban  menjadi saksi bahawa penampan yang memagari negeri-negeri yang dikatakan kubu kuat Umno lebih empat tahun lalu, sudah mulai roboh.

Dari petang ke malam Sabtu itu, hujan lebat ternyata tidak dapat menghalang tekad waja dan azam jitu rakyat untuk berpusu-pusu memeriahkan himpunan, mendengar amanat pemimpin, berkongsi pengalaman bertanya khabar, juga selingan hiburan personaliti terkemuka tanahair. Audien pelbagai bangsa, daripada pelbagai latarbelakang dan lapisan umur, setia menunggu sehingga tamat program.

Pidato Anwar Ibrahim, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang dilihat berupaya menyuntik keyakinan bukan hanya kepada penduduk Negeri Sembilan, malah menjadi bekalan pembakar semangat buat penonton yang datang dari jauh -- bahawa perubahan mesti dilakukan segera, dalam PRU13 ini, bagi menyelamatkan negara. Peluang terbaik tidak datang selalu dan kesempatan terbentang di depan mata harus dimanfaatkan sebaiknya.

Menyedari terdapat asakan berterusan yang bertujuan untuk memecah-belahkan kesatuan Pakatan, khususnya antara PAS dan DAP, seorang kawan meminta saya menekankan ucapan ataupun jaminan pemimpin DAP dalam majlis itu. "Aku tertarik dengan kenyataan pemimpin mudanya, Ketua Pembangkang Dun Negeri Sembilan, Anthony Loke," tambah sahabat saya itu.

Saya yang hanya mengikuti himpunan itu melalui siaran langsung internet, mengakui ucapan Loke agak menarik.  "Mari kita tinggalkan politik korupsi, nepotisme dan sentimen perkauman. Pemimpin mesti ada integriti,  bersih, dan pentingkan rakyat," katanya, sambil menekankan orang Melayu tidak akan hilang kuasa apabila Pakatan mengambil alih kerana yang terlucut kuasa hanyalah Umno.

"Malaysia era baru di bawah Pakatan, kalau agama Buddha dihina, saya yakin PAS akan pertahan, kalau Hindu atau Kristian dihina, KeADILan akan pertahan, dan kalau agama Islam dihina, pemimpin DAP akan pertahannya. Saya sendiri pertahankan Tok Guru Nik Aziz apabila beliau dihina pemimpin MCA," tambahnya lagi, disambut tepukan bergemuruh.


Dalam pada itu,  ada rakan-rakan berpendapat, sekiranya siri program jelajah seluruh negara himpunan kebangkitan rakyat itu bertujuan memaksimumkan impak tuntutan senarai daftar pemilih yang benar-benar bersih, selain menimbulkan isu akses media semasa kempen PRU13,  seeloknya ia harus diakhiri dengan perarakan ala Bersih di kota raya Kuala Lumpur dan turut membabitkan penyertaan proaktif rangkaian NGO yang komited dengan isu-isu hak asasi dan keadilan sejagat. Partisipasi masyarakat sivil bagi menyemarakkan proses pendemokrasian di Malaysia sudah teruji, dan oleh itu mereka tidak wajar dilupakan pada saat-saat kritikal ini.

"Usaha memaksa kerajaan menyediakan pilihan raya bersih dan adil, bukan sekadar memerlukan kehadiran ramai tetapi perlu melibatkan segenap lapisan masyarakat. Benar, himpunan Hijau anjuran PAS, bermula di Stadium Darul Aman, Alor Setar dihadiri 100,000, syabas,  tapi kita mahukan penyertaan lebih daripada itu. Biar Najib dan BN digoncang. Jadi, lebih elok kalau dianjurkan perarakan seumpama Bersih 4.0, kalau boleh bergelegak sekali lagi Kuala Lumpur," kata seorang aktivis NGO hak asasi sambil mencadangkan Stadium Merdeka menjadi lokasi alternatif.

Berdasarkan mood positif rakyat di seluruh negara, serta gelombang kesedaran yang memuncak dan keazaman tinggi untuk melakukan perubahan menyeluruh -- dari Perlis ke Johor, merentasi Laut China Selatan --  saya kira jika segalanya diuruskan dengan baik dan cermat, sekali gus mengelak kesilapan, walaupun kecil, yang boleh membawa padah, kesempatan terbaik ini mungkin sukar berulang lagi jika peluang keemasan disesiakan. Keyakinan kepada penyokong, aktivis dan warga seluruhnya mesti dipasak sedalam mungkin, namun jangan memandang rendah ruang berlakunya sabotaj, pembelotan atau kealpaan yang tidak disengajakan.

Dan pastikan segala konspirasi  perancangan jahat dan komplot penipuan Umno-BN pada hari mengundi nanti dapat disekat sebaik mungkin. "By hook or by crook, kita masih cari jalan untuk gagalkan perencanaan musuh, pandai-pandailah mengaturnya," tegas seorang strategis pilihan raya yang mengaku masak dengan taktik jelik elit penguasa.

Dalam pada itu, bukan sedikit usaha transformasi Najib Razak, ditambah pelbagai insentif one-off ditabur, namun majoriti rakyat seperti sudah mencapai kata sepakat, "cukuplah BN, kami tetap mahukan perubahan kali ini". Serangan berterusan media, disokong segala kemudahan kerajaan yang boleh diperkakaskan Umno-BN, seakan tumpul dan ada kalanya seperti menikam belakang sendiri. Sekurang-kurangnya itulah yang dizahirkan di permukaan. Apa pun, selagi belum tiba hari mengundi, usah mencurah air di tempayan hanya kerana mendengar guruh di langit.

Seperti biasa, saya masih cuba melihat sisi-sisi kelemahan Pakatan Rakyat, baik di peringkat jentera parti mahupun empat kerajaan negerinya, dengan mengandaikan situasi terburuk yang boleh menimpa. Juga menyedari bahawa Najib Razak dan parti pemerintah peringkat pusat mempunyai banyak kelebihan dan sumber yang tentu akan dieksploit sepenuhnya dalam saat-saat genting nanti.

Saya memaksa diri untuk tidak mudah percaya dengan "gambaran indah" yang ditunjukkan dalam setiap program Pakatan, misalnya kehadiran luar biasa dalam majlis ceramah dan makan malam.

Begitu juga dengan siri perisytiharan bekas pegawai kanan kerajaan bersama oposisi, khususnya PAS. Itu belum dikira bisik-bisik  bahawa lebih ramai yang masih memegang jawatan strategik sudah tidak sabar lagi menanti PRU13 bagi menghukum pemimpin dan parti yang korup dan curang. Ya, mereka tidak akan membazirkan walaupun satu undi, bagi memastikan perubahan dapat direalisasikan.

Malah, difahamkan, tidak sedikit jumlahnya  pemimpin BN yang menunggu masa untuk berpaling tadah jika jelas tanda-tanda "bahtera besar" itu akan tenggelam! Bukankah Dr Mahathir Mohamad sendiri kerap mengakui, apa gunanya  menjadi pemimpin Umno jika parti itu sudah hilang kuasa dan berpindah ke blok pembangkang?

Rakyat yang makin terdedah dengan maklumat dan celik politik sudah bosan dengan amalan rasuah, kronisme, salahguna kuasa dan korupsi yang menjadi-jadi. Pendedahan silih berganti (cukuplah dengan inisiatif Rafizi Ramli, bermula skandal lembu fidlot dan terkini hubungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang bertanggungjawab terhadap SPRM, Nazri Aziz dengan jutawan peniaga balak Sabah); semuanya membuktikan, kuasa kepada pemimpin Umno bukan lagi dianggap amanah, tetapi kesempatan memburu ghanimah menimbunkan harta kekayaan. Kehidupan mewah anak beranak menteri tidak segan silu lagi untuk diperagakan kepada publik.

Berkali-kali ditegaskan, Umno-BN yang hampir ditewaskan lebih empat tahun lalu tidak pernah mengambil iktibar dengan kejutan kekalahan pada lima negeri dan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, sebaliknya dengan sisa dan baki kuasa yang ada, segalanya mahu dikaut dan dibolot untuk diri, kelompok dan kroni.  Hinggakan ramai bekas pemimpin kanan Umno sendiri mencadangkan, biar sekali parti itu merempat kalah, barulah kemungkinan ada potensi ia dapat dipulihkan selepas menyedari tinggi rendahnya langit.

Terbukti, kuasa politik menjadi sumber paling mudah buat pemimpin BN dan suku-sakatnya memenuhkan tembolok. Atas nama projek pembangunan, perancangan rapi (dan jahat) dibuat untuk mengagih-agihkan khazanah kekayaan negara dan menghanguskan wang pembayar cukai. Apabila pemimpin BN bertepuk meja di Dewan Rakyat menyokong pengumuman Menteri Kewangan meluluskan projek, yang pantas terbayang bukanlah manfaat diraih rakyat tetapi berapa banyak ghanimah yang boleh diangkut.

Lim Guan Eng, dalam konvensyen tahunan DAP Melaka, 28 Oktober lalu menegaskan: "Sebanyak RM240 juta yang dibelanja untuk lapangan terbang Melaka yang tidak digunakan oleh kapal terbang tetapi untuk bermain layang-layang. Barangkali ia boleh digunakan untuk menternak lembu juga." Tiga bulan lepas, saya pernah meninjau Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam yang sunyi senyap itu!  Tiada pesawat, tiada penumpang, tiada kedai-kedai yang dibuka, tiada pekerja yang bertugas, malah lampu pun tidak dipasang pada sebahagian besar terminal. Dan airport itu bertaraf lapangan terbang antarabangsa! Anda tidak perlu dikhutbahkan dengan senarai panjang pembaziran ketua-ketua menteri negeri Hang Tuah itu.

Sogokan rasuah RM40 juta Michael Chia kepada "Bapa angkatnya, Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dan misteri dana politik Umno negeri itu, yang kemudiannya dirangkaikan Rafizi  dengan kenderaan mewah Hummer RM459,000 yang diguna anak Nazri, dijangka mengocakkan lagi sisa-sisa keyakinan Najib untuk berdepan PRU13. Maka, semakin tertangguhlah tarikh pembubaran Parlimen ...

Najib sendiri mempertahankan Musa, sebagaimana beliau membisu dengan kekayaan menakjubkan Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud, yang dikatakan mencecah USD15 bilion!. Bekas menantu Taib, Shahnaz Abdul Majid, mendedahkan anak Taib membelanjakan RM782,520.55 dengan hanya satu kad kredit untuk enam bulan pertama 2012. Shahnaz menuntut RM400 juta sebagai penyelesaian kes cerai kerana aset suaminya dikatakan bernilai berbilion ringgit, dengan deposit RM700 juta di 111 akaun bank di dalam dan luar negara.


Cerita rasuah pemimpin BN tidak terhenti setakat itu. Sememangnya korupsi dan Umno tidak boleh bercerai-tanggal; gejala ini menjalar jauh ke peringkat akar umbi, mungkin dengan skala lebih kecil. Soalnya, apakah isu kecurangan pemimpin Umno ini  cukup -- terutama di kalangan pengundi Melayu -- untuk  membentuk gelombang besar penolakan menyeluruh terhadap BN? Dan rakyat tidak mudah lagi tersilau dan terkeliru dengan tukang-tukang spin dan penasihat media Perdana Menteri yang begitu ramai itu. Hadapilah isu yang real dan berjejak, bukannya terpukau dengan sihir propagandis Umno yang mahsyur dengan mantera perkauman dan sentimen palsu menyelamatkan anak bangsa. 

Seorang profesor dari sebuah universiti utara bertanya saya: "Kenapa ramai orang Melayu tidak dapat membaca ketidakjujuran pemimpin Umno walaupun ada di antara orang Melayu itu bijak pandai?" Seorang rakan menambah, atau apakah mungkin mereka yang sebenarnya mampu berfikir secara rasional dan kritikal itu akhirnya mudah terperdaya dengan isu-isu jadi-jadian tetapi kosong tanpa makna?

Semasa saya cuba mencari jawapan, gurauan seorang pemimpin kanan PAS agak menyentak: "Kalau dulu kita sering terkejut dengan kekalahan pilihan raya demi pilihan raya, kali ini kita akan tergamam dengan kemenangan pula. Justeru, bersedialah untuk memikul kepercayaan rakyat mengisi kemenangan.  Tanggungjawab besar menunggu kita, dan ingatlah amanah kuasa itu jika tidak diseleggerakan dengan baik, akan menggugat idealisme murni kita selama ini."

PAS gesa wujudkan pakej pelancongan Islam

Muhammad Faizal, 06 Nov 2012
KUALA LUMPUR: PAS meminta kerajaan mewujudkan satu pakej pelancongan yang memberikan fokus kepada pelancongan Islam di negara ini.

Ahli Parlimen Baling, Taib Azamuddin Mohd Taib (gambar) menyuarakan pendapat tersebut ketika berbahas di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan Malaysia di Parlimen petang ini.

Beliau berkata, di negara ini terdapat begitu banyak tamadun-tamadun Islam yang boleh diketengahkan terutamanya bangunan-bangunan masjid yang berusia ratusan tahun.

"Saya tidak tahu kenapa kerajaan tidak mewujudkan pakej pelancongan Islam di negara ini, bagi menarik minat pelancong luar yang datang ke sini mengetahui ketamadunan Islam di Malaysia.

"Kita mempunyai bangunan-bangunan masjid yang berusia ratusan tahun dan ini boleh dijadikan satu destinasi pelancongan Islam, adalah satu kerugian jika keistimewaan yang ada ini tidak dipergunakan sepenuhnya," jelasnya

Beliau juga mencadangkan selain masjid, institusi-institusi pengajian pondok juga boleh dijadikan produk pelancongan.

"Institusi pengajian pondok juga merupakan satu destinasi yang amat unik sekali dan tidak semua negara mempunyai institusi pengajian sedemikian.

"Sebagai sebuah kerajaan sepatutnya peka dan kita perlu tunjukkan institusi pengajian pondok kepada pelancong luar, kalau tempat penyaluran Islam ini dinafikan bagaimana kita hendak menunjukkan Malaysia ia salah satu tempat penyebaran ilmu Islam yang diturunkan kepada rakyat," sambung beliau lagi.

Taib yang juga melahirkan kekesalan apabila pelancong yang mengunjungi Masjid Negara tidak diberikan maklumat yang lengkap kerana individu yang ditugaskan untuk membawa pelancong itu tidak diberikan penerangan yang khusus tentang tamadun dan ajaran Islam.

"Masjid Negara perlu diberikan satu peruntukan khusus untuk penyediaan pakej khas bagi pelancongan Islam dan adalah menjadi keutamaan Masjid Negara untuk menyampaikan proses ketamadunan dan ajaran Islam kepada pelancong yang hadir melawati Masjid Negara," tambah bekas Imam Besar Masjid Negara itu.

Beliau juga meminta agar kerajaan juga tidak menafikan tokoh pahlawan negara yang ada di setiap negeri yang mana mereka bukan sahaja merupakan tokoh pahlawan tetapi individu yang menyebarkan Islam pada waktu itu.

Tiada ulasan: