Rabu, 18 April 2012

TIDAK MENIPU...BERSIKAP ADIL...SAKSAMA...HATI BERSIH...TIDAK MAIN KOTOR DALAM PILIHANRAYA DITUNTUT DALAM ISLAM...

31 tokoh gegar Kelab Sultan Sulaiman malam ini

Anis Nazri, 17 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 17 April: 31 individu daripada pelbagai latar belakang dijangka bakal mengegarkan Kelab Sultan Sulaiman,  pada program '10 hari menjelang Bersih 3.0', malam ini.

Program yang dijadualkan bermula jam 8 malam itu membariskan bukan sahaja ahli politik, tetapi juga para budayawan, artis terkenal, aktivis mahasiswa dan masyarkat.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard, berkata program pada malam ini juga turut menampilkan nama-nama yang agak asing dari Pakatan Rakyat, seperti bekas menteri, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir; dan anak Allahyarham Tun Ghafar Baba, Tamrin Tun Ghafar.

"Selain mereka, para budayawan, anak muda, dan mahasiswa yang hadir malam ini akan berdiri menyatakan pendirian mereka tentang Bersih 3.0, selain penampilan khas artis terkenal, Aisyah," tegas Chegu Bard ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Program anjuran SAMM dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu juga pertama kali dianjurkan oleh 39 NGO anak-anak muda dan mahasiswa.

Menjangkakan kehadiran rakyat tidak kurang 10 000 malam ini, Chegu Bard memaklumkan, malam ini juga tetamu yang hadir akan diperdengarkan lagu khas sempena Bersih 3.0 yang berjudul 'Mentari Kuning, menyalalah' nyanyian Amin Iskandar atau Black.

Selain ucapan, pelbagai program seperti nyanyian, dan deklamasi sajak turut dipersembahkan.

Pada malam ini juga, baju t Bersih 3.0 akan dijual dengan harga kos RM11 kepada tetamu yang hadir, bagaimanapun pihak penganjur hanya mencetak sebanyak 1000 helai sahaja.

"Kita mendapat maklumat ramai di kalangan rakyat yang berminat dengan baju ini, bgaimanapun merungut ia agak mahal.  Jadi, pada malam ini hanya 1000 pembeli yang akan mendapat baju ini dengan harga RM11," kata beliau.

Program ini juga dijangka akan turut disertai Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa; Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0, Maria Chin Abdullah; Datuk A. Samad Said; wakil mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim; dan Pengerusi SMM, Mohamad Safwan Anang.

Program ini sebagai satu program 'countdown' menjelang perhimpunan man Bersih 3.0 yang akan diadakan di Dataran Merdeka, 28 April ini bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Bob Kuman perlukan bantuan anda

Harakahdaily, 17 Apr 2012

(Bob Kuman kini dan sebelum ini)

KUALA LUMPUR, 17 April: Mungkin ramai pembaca mengenali wajah di atas manakala sebilangan lagi barangkali terkeliru. Namun bagi penonton filem tempatan dan televisyen, personaliti di atas tentunya tidak asing kepada mereka.

Cuma wajahnya berbeza berbanding ketika dia menghiburkan ramai peminat sewaktu berkarya di pentas seni.

Inilah tulisan dalam blog Mazidul Akmal Sidek, personaliti TV3 mengenai Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd Rawi.

Menurut Mazidul dalam laman itu, Bob kini terlantar sakit.

Menurut blog itu, Bob kini amat memerlukan mesin dilengkapi tangki oksigen namun setakat ini tidak mampu untuk menyewa keperluan itu.

“Bang, sekarang ini saya hanya ada RM36 dalam akaun simpanan,” bisiknya kepada penulis blog itu.

Bob kini sedang berada dalam keadaan lemah, tidak mampu bergerak, apatah lagi untuk keluar dari rumah di Seksyen 11, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Kepada pembaca yang ingin membantu Bob, sila hubungi Razali di talian 016 231 5812. Manakala akaun Bob (HUSNI MOHD RAWI, Maybank 112371007047)

Ibrahim Ali dicabar demo bantah ISA depan Najib

Harakahdaily, 17 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 17 April: Datuk Ibrahim Ali dicabar agar membantah tindakan Datuk Seri Najib Razak kalau ingin sangat mempertahankan ISA.

Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari berkata, jika Ibrahim betul-betul berani, beliau dan Perkasa patut membuat demonstrasi bantahan secara besar-besaran terhadap Najib di Putrajaya untuk membuktikannya.

Cabaran ini dibuat Zairil dalam kenyataannya bagi mengulas cadangan Ibrahim yang meminta DAP meminta Singpaura memansuhkan ISA.

Bagi beliau, kenyataan terbaru Ibrahim Ali yang mencabar DAP untuk mencadangkan supaya Kerajaan Singapura memansuhkan ISA adalah sesuatu yang sukar untuk difahami.

"Pertama sekali, bukankah dasar negara kita adalah untuk tidak mencampur tangan dalam hal ehwal negara lain, apatah lagi negara jiran yang juga ahli ASEAN?" kata beliau.

Seterusnya, apakah sebenarnya yang ingin disindir oleh Datuk Ibrahim? soal beliau.

Menurut Zairil, umum mengetahui bahawa DAP adalah sebuah parti yang senantiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan, kebebasan, kesaksamaan dan hak asasi manusia.

Katanya, DAP tidak pernah teragak-agak untuk membantah dan menentang undang-undang zalim dan mencabul hak asasi seperti ISA yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

DAP menentang penggunaannya bukan sahaja di Malaysia, bahkan di mana-mana negara di dunia ini. Ini adalah selaras dengan pendirian DAP yang memartabatkan hak asasi dan kebebasan setiap insan, katanya.

"Saya rasa jika Datuk Ibrahim ingin sangat untuk mempertahankan ISA yang dikatakannya sebagai 'berjaya mengekalkan keamanan', beliau sepatutnya membantah pemansuhan ISA di negara kita.

"Kenapakah beliau tidak membuat demikian? Apakah beliau hanya berani untuk mencabar orang dari jauh dan tidak berani untuk mempertahankan pendiriannya di negara sendiri?" soal beliau.

Beliau menegaskan bahawa DAP tidak ada kena mengena dengan Singapura atau mana-mana negara lain kerana DAP adalah parti untuk rakyat Malaysia sahaja.

PAS atau BN rampas tanah di Sarawak?

Harakahdaily, 17 Apr 2012
MIRI, 17 April: PAS Sarawak mempersoal kenyataan Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang kononnya menggambarkan bahawa PAS akan merampas tanah penduduk di negeri itu jika diberi peluang memerintah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, semua rakyat Sarawak maklum bahawa yang merampas tanah mereka selama ini adalah BN sendiri bukannya PAS seperti didakwa.

"Bila masa pula PAS pernah merampas tanah dan hak orang Sarawak?

"Semua orang tahu yang paling banyak merampas tanah dan hak orang Sarawak adalah pemimpin BN dan mereka yang sekutu dengan mereka bukannya PAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Miri,  tidak menolak kemungkinan kenyataan seperti itu adalah hasil ketakutan PBB dan BN Sabah terhadap penerimaan rakyat negeri itu kepada PAS.

Ahmad Lai Bujang sebelum ini dilaporkan berkata; “Ini tanah kita dan hak kita, oleh itu tiada sesiapa yang boleh merampasnya daripada kita semua,”.

Selain itu beliau juga dilaporkan berkata ; “Adakah rakyat negeri ini mahu melihat Sarawak dirampas dalam PRU13 nanti terutama oleh PAS?”

Beliau didakwa berkata demikian pada satu Majlis Muzakarah dan Penjelasan Isu-isu Semasa di Dewan Masyarakat Bekenu Ahad lalu.

"Janganlah kerana terlalu takut dengan PAS sehingga bercakap pun tidak
tentu arah.

"Mengapa mesti takut dengan PAS. Ini negara demokrasi, sesiapa pun berhak untuk memilih pemimpin atau pemerintah yang mereka yakini benar, jujur dan adil," kata Jofri lagi.

Menurutnya, biarlah rakyat yang menentukan nasib masa depan mereka bukannya pemimpin BN.

Walaubagaimanapun ujar jofri, jika ditakdirkan PAS memerintah Sarawak suatu hari nanti, Insyallah rakyat Sarawak akan hidup aman dan maju
kehadapan berbanding dengan negeri lain dalam Malaysia.

Segala hasil galian dan sumber kekayaan negeri Sarawak akan dapat dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, kalau PAS diberi peluang, mentadbirkan negeri Sarawak, katanya.

"Biar apa pun pandangan buruk pemimpin BN terhadap PAS, kita akan tetap meneruskan perjuangan kita membebaskan rakyat dari terus terkongkong dalam minda yang sempit akibat terlalu lama diperintah oleh kerajaan BN sehingga rakyat sukar menerima pembaharuan," tegasnya.

Sekadar tunggu disembelih?

Ahmad Lutfi Othman, 13 Apr 2012
Minggu ini suhu politik tanahair makin membahang dan panas menikam.

Bapa Altantuya Shaariibu, model Mongolia yang dibunuh kejam, Setev Shaariiibu, yang berada di Kuala Lumpur dalam lawatan tiga hari, mendakwa pernah melihat gambar anaknya diambil bersama Perdana Menteri, Najib Razak.

Dua akta primitif, yang mengekang kebebasan bersuara, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), masing-masing dibentang di Dewan Rakyat untuk pindaan dan pemansuhan (tetapi diganti dengan rang undang-undang pencegahan, yang juga dilihat keras).

Apa pun, ramai percaya, tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak akan melewati Jun ini, selepas beberapa kali ramalan tersasar. Najib masih belum kejap hatinya untuk turun ke medan meskipun saban hari berkempen politik menggunakan dana dan kemudahan awam.

Dalam pada itu. setiap program ceramah, debat dan diskusi politik Pakatan Rakyat mendapat sambutan hangat, tidak kira siapa yang mengisinya. "Paling kurang, kutipan derma dapat menampung kos program, tapi selalunya mampu meningkatkan hasil tabung PRU13," usik aktivis PAS Kuala Lumpur.


Di Parlimen, laporan PSC berhubung penambahbaikan proses pilihan raya bukan saja menimbulkan kontroversi ekoran sikap Speaker yang bebal itu, namun suasana menjadi lebih kritikal apabila pelbagai pendedahan membongkar konspirasi membabitkan lebih kurang 11 nama pegawai kanan kerajaan, yang bersedia menjadi "barua Umno-BN" bagi mempertahankan Putrajaya dan merampas Selangor daripada Pakatan.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar menyebutkan beberapa nama yang dikatakan terlibat dalam  'task force' untuk memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti.

"Ini isu serius kerana saya anggapnya seperti menjual negara kepada rakyat asing," kata Mahfuz. "Jika semua ini benar, hak rakyat akan dikuasai warga asing malah masa depan negara turut ditentukan warga asing," tambahnya.

Tentu nama-nama yang disebut itu bingkas menyanggah atau sekadar memberi daleh, "saya tidak tahu apa-apa",  misalnya Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Omar Wan Ahmad dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Mahfuz juga menyebut beberapa nama lain seperti Penasihat kepada Perdana Menteri, Othman Razak, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah JPN beserta tiga pegawai kanannya, dan juga orang-orang penting di MKN dan SPR.

Wartawan Saidah Hairan melaporkan, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, dalam satu taklimat kepada penggerak parti di Selangor, hujung minggu lalu, turut menyebut 11 nama berkenaan. Ia menjadikan senarai daftar pemilih yang ada "begitu kotor dan sukar sekali dibersihkan".

"Mereka buat kerja dengan tersusun. Jika Pakatan Rakyat Selangor kalah, bukan kerana rakyat menolak kerajaan tetapi disebabkan kemasukan daftar pemilih warga asing. Apakah Selangor menjadi negeri ketiga (selepas Sabah dan Terengganu) yang dirampas BN dengan cara begini," katanya.

Sementara itu, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi respons tegas terhadap mereka yang didakwa terlibat dengan 'task force' ini: "Jangan jadi umpan untuk pegawai kerajaan dapat duit dan pangkat kerana ia hanya sembelih mereka sendiri. Bila bersara nanti, tidak dihormati masyarakat, bila mati akan dikutuk oleh masyarakat, itu nasihat sayalah."

Dalam tinjauan rambang, saya dapat rasai kegelisahan dan kebimbangan aktivis Pakatan, khususnya pendokong PAS. Mereka mahu tindakan segera diambil, dan bukannya sekadar menunggu perhimpunan besar-besaran Bersih 3.0, 28 April nanti.

Harakah sendiri dilihat tidak cukup responsif untuk menelanjangkan komplot jahat "sekumpulan pengkhianat dan penderhaka" yang dibayar imbuhan oleh wang rakyat ini. Ramai pemanggil mendesak saya agar menimbulkan isu 'task force' ini dalam Harakah secara lebih terperinci.

"Kalau begini jadinya, memang Pakatan akan kalah, tapi tewas bukan disebabkan penolakan atau kemarahan rakyat. Ia berpunca daripada kerja jahat Umno. Dan kita kena ingat, ini hanya salah satu daripada perancangan jelik mereka, mungkin banyak lagi strategi busuk yang belum dapat kita kesan," kata seorang pembaca setia Harakah dari Setapak

Saya merujuk pandangan Mohd Khairudin Othman, Setiausaha Perhubungan PAS Selangor tentang isu 'task force' itu. "Hal ini serius ... sebab sesiapa yang dapat IC melalui cara ini, maka nama dia secara automatik masuk dalam senarai daftar pemilih," katanya.

Pengarang Berita Harakah, Mohd Rashidi Hasan dan wartawan kanan, Wan Noordin Wan Yaacob memaklumkan kepada saya rumusan temubual mereka dengan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang mendedahkan usaha terancang strategis Umno memindahkan pengundi ke kawasan yang dikenal pasti berpotensi untuk dimenangi BN.

"Banyak kerusi Pakatan yang bakal terlungkup, termasuk Tumpat," kata Rashidi, merujuk kawasan yang diwakili Kamarudin Jaffar, Pengarah Urusan Harakah. "Dahsyat betul perancangan jahat Umno ini, Pakatan di Selangor mungkin jatuh kalau ianya berjaya," tegas Wan Nordin.

Difahamkan sasarannya lebih tertumpu kepada kerusi yang dimenangi secara majoriti tipis oleh PAS atau KeADILan. Dengan cara itu DAP akan dibiarkan menang dengan kelebihan undi yang besar asalkan BN dapat merebut kawasan bersebelahan apabila penyokong mereka dipindahkan ... (Saya pernah melontarkan kekhuatiran bahawa PAS mungkin akan menjadi parti paling malang dalam PRU13!)

Turut dibangkitkan salahlaku SPR "memperbetulkan" sempadan kawasan pilihan raya tanpa kelulusan Parlimen, satu lagi komplot untuk memenangkan BN, walaupun ia jelas aktiviti yang menyalahi undang-undang, iaitu memindahkan pengundi tanpa izin mereka dan memperbetulkan kawasan pilihan raya Dun mahupun kerusi Parlimen tanpa melalui persetujuan Parlimen.

Saya tertanya-tanya, mampukah Bersih 3.0 pada 28 April nanti "membersihkan" segala kekotoran dalam senarai daftar pemilih itu? Apa yang kita harapkan daripada "Duduk Bantah" itu? Jika Najib dan konco-konconya terus bersikap pekak-badak telinga tebal, apa yang boleh kita cetuskan lagi?

"Takkan nak biar Umno sembelih kita mudah-mudah macam itu saja. Sabah jatuh dengan taktik sama, Terengganu pun seperti itu, mana boleh kita tunggu Selangor juga tumbang dengan komplot jahat di bawah perancangan orang sama," marah seorang pembaca Harakah, dari Terengganu, yang mengaku "tidak dapat bersabar" lagi.

Ketika saya bersama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) cuba berkempen dan melobi untuk memastikan hak pemilih untuk mendapat maklumat yang komprehensif, tepat dan cepat sebelum mengundi dalam pilihan raya paling sengit nanti, serta mendesak tempoh kempen minimum dilanjutkan kepada 21 hari, isu daftar pemilih menganggu tumpuan KAMI.

"Pakatan juga mesti tekankan bahawa  semua pengundi pos, yang menjadi 'simpanan tetap' BN selama ini, mesti  ditukar kepada kategori pengundian awal," kata seorang sarjana sains politik, dan tambahnya, "pastikan juga dakwat kekal memang benar-benar digunakan kali ini."


II.

Saya terpaksa menangguhkan dahulu ulasan terhadap isu mendesak manipulasi senarai daftar pemilih bagi meneruskan catatan perjalanan ke Bumi Kenyalang, 1 April lalu.

Saya menghadiri kursus kewartawanan dan media baru di Miri, sambil cuba menyelami pergolakan politik Sarawak, yang semakin diperhatikan terutama selepas pilihan raya negeri (PRN), April 2011.

Sarawak menyumbang kerusi Parlimen paling banyak, iaitu 31, dengan hanya Bandar Kuching dapat dikuasai DAP dalam PRU12 (ditambah satu lagi, juga melalui DAP di Sibu, dalam pilihan raya kecil, Mei 2010).

Namun dalam PRN10, DAP mendapat tambahan 100 peratus kerusi Dun, iaitu daripada enam kepada 12. KeADILan pula mencatatkan kemenangan di tiga kawasan, sedangkan PAS masih belum meraih kejayaan.

"BN sendiri mengakui kesukaran kali ini. Saya difahamkan, pemimpinnya hanya berani mendakwa lebih kurang 20 kerusi Parlimen sebagai kawasan selamat," kata Jofri Jaraiee,
Yang Dipertua PAS Miri, dikenali dengan blog dwibahasanya yang cukup aktif, pas-miri.blogspot.com.

Semasa berucap meraikan kedatangan saya dan petugas Jabatan IT PAS Pusat, Jofri melahirkan keyakinannya bahawa bumi Sarawak memang tapak yang subur buat Parti Islam jika setiap potensi digembleng sebaiknya.

Beliau turut mengharapkan Harakah dapat memuatkan lebih banyak perkembangan siasah negeri itu. Sambil mengakui masih ada kelompok yang memandang serong PAS, Jofri lega dengan sikap masyarakat Tionghua "yang lebih terbuka dan menghargai sumbangan kita".

"Begitu juga dengan respons masyarakat Iban di sini, begitu positif. Apatah lagi kemungkinan besar  PAS akan meletakkan seorang calon Iban, yang juga merupakan seorang personaliti televisyen terkenal, di kawasan Parlimen Sibuti," kata Jofri.

Ditemani Yeo Kian Leong, Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sarawak, yang turut hadir sepanjang pagi kursus kewartawanan media baru itu, Jofri membawa 'menjelajah' kawasan Sibuti.

"Kawasan ini luas, mungkin hampir sama dengan Selangor, itulah yang saya sebut tadi, kalau tempoh kempen dibenarkan sebulan pun belum tentu kita dapat berjumpa semua pengundi," katanya sambil menunjukkan ladang kelapa sawit yang sebahagiannya 'dirampas' daripada tanah adat masyarakat pribumi.

Sebenarnya saya lebih tertarik dengan sembang santai Yeo, sepanjang perjalanan kami. Beliau lebih banyak menggunakan istilah "Parti Islam" atau "Parti Tok Guru" semasa merujuk kepada PAS.

Insya-Allah keluaran depan saya cuba merakamkan idea dan sudut pandangan Yeo yang cukup bernas dan praktikal, khususnya untuk membantu kempen PAS di Sarawak.

Pada malam 2 April, tidak sampai 24 jam saya tiba dari Miri, Jofri mengirim SMS memaklumkan ayah Yeo meninggal dunia di Krokop. Rombongan PAS Kawasan berkunjung ke rumahnya dan mengucapkan takziah.

Bagaimana hendak kambus bangkai sekawan lembu?

Mohd Rashidi Hassan, 15 Apr 2012
KARIER politik Ketua Wanita Umno, Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil sepatutnya sudah berakhir dengan skandal lembu NFC yang menyebabkan kerugian wang rakyat sebanyak RM250 juta. Tetapi beliau diselamatkan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Razak.

Tindakan Najib menyelamatkan Shahrizat, menyebabkan ada kalangan pemimpin Umno di peringkat Majlis Tertinggi, negeri, bahagian, malah dari kalangan Pergerakan Wanita Umno terutamanya, terpingga-pingga dibuatnya.

Mungkin mereka tidak tahu sebab apa Najib selamatkan Shahrizat walaupun dari segi faktanya, jelas Shahrizat merugikan masa depan Umno.

Pada pandangan rakyat yang boleh membuat agakkan dan penilaian, ada kemungkinan ianya berkaitan dengan pembelian kondo mewah yang dikatakan bernilai RM1.7 juta di Kazakhstan.

Orang-orang Umno tidak boleh menerima dakwaan mengatakan kondo tersebut dibeli Shahrizat, kerana hubungan akrab beliau dengan PM dan isteri yang bakal menerima menantu dari negara tersebut. Tetapi mereka boleh menerima hujah bahawa memang NFC tiada keperluan berniaga lembu dengan Kazakhstan.

NFC jelas tidak mempunyai urusan perniagaan lembu di Kazakhstan, orang Kazakhstan pun tidak berminat membeli lembu Asia, tetapi mungkin juga NFC boleh memberi alasan, bahawa mereka bakal mempunyai kepentingan jangka panjang di negara bekas jajahan takluk Rusia tersebut.

Bukan saja di Kazakhstan, NFC juga tidak harus ada hubungan dengan perniagaan hartanah, sama ada membeli kondo mewah One Menerung di Kuala Lumpur atau di Singapura.

Memang sudah ada pendakwaan terhadap pemilik NFC iaitu suami Shahrizat, yang didakwa menyalahgunakan dana NFC untuk tujuan selain peniagaan lembu. Tetapi Shahrizat selaku menteri dan Ketua Wanita Umno sewaktu dana RM250 juta kepada syarikat milik keluarganya, tetap bersalah dan harus dipertanggungjawabkan.

Pada 8 April lepas, Shahrizat terpaksa melepaskan jawatan menteri kerana pelantikan senatornya sudah tamat tempoh. Tetapi masih kekal sebagai Ketua Wanita Umno di atas kehendak Presidennya.

Walaupun terselamat, tetapi Shahrizat 'berada dalam nyawa-nyawa ikan'. Tiada siapa dalam wanita Umno yang mempedulikan arahan Presiden Umno. Mereka, khususnya Naib Ketua kepada Shahrizat, Dato' Kamilia Ibrahim, terus menyerang dan tetap beranggapan bahawa ketuanya adalah liabiliti kepada Umno.

Kamilia akur dengan kehendak Najib mengekalkan Shahrizat, tetapi masih terus mengulangi pendiriannya menolak Shahrizat, dan pada pandangannya Shahrizatlah yang menyebabkan Wanita Umno menerima gelaran lembu.

Mengapa Wanita Umno tidak suka menerima gelaran lembu? Mungkin barangkali kerana mengikut tafsiran orang-orang Melayu zaman dulu, jika mereka melabel seseorang yang dungu, mereka akan mengatakan kepada orang yang dungu itu 'bodoh macam lembu'.

Mungkin Wanita Umno lebih bijak daripada lembu. Maka dengan sebab itu mereka tidak mahu digelar lembu dan tidak mahu diperbodohkan oleh taukeh lembu yang menjadi ketua mereka.

Tetapi suatu hakikat yang diterima Wanita Umno ialah, mempertahankan Shahrizat merupakan suatu 'disaster' atau mala petaka buat mereka. Ini yang ditakuti bekas Menteri Kewangan dan bekas Bendahari Umno, Tun Daim Zainuddin.

Secara terbuka Daim mengatakan bahawa Umno-BN akan musnah akibat skandal lembu (cowgate scandal).

Justeru Kamilia tidak mempunyai pilihan lain, selain menentang Shahrizat bagi jawatan Ketua Wanita Umno dalam pemilihan yang akan diadakan tahun ini, jika Shahrizat terus menyinsing lengannya untuk berlawan.

Jika Shahrizat hendak melawan pun tiada gunanya. Sudah tidak ada sebab hendak merebut jawatan dalam parti yang hampir karam. Umno akan karam kerana sudah tiada orang yang cerdik hendak mengemudinya.

Hal ini pun secara tidak langsung diakui bekas PM dan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan, golongan cerdik pandai sekarang ini sudah tidak mahu menyertai Umno. Banyak profesional yang masuk PAS dan parti pembangkang yang lain.

Dalam erti kata lain, yang tinggal dalam Umno atau yang masih sudi masuk Umno, hanyalah orang-orang yang seperti, diumpamakan oleh orang Melayu macam lembu tadi.

Menyedari ketelanjuran ini, Umno tidak mahu mengaku salah, Umno tidak mahu surrender. Malah mereka cuba membersihkan nama yang sudah busuk dengan cuba mencari pembida baru mengambil alih operasi NFC.

Tindakan ini dilihat, jelas bertujuan untuk menutup secepat mungkin skandal lembu tanpa merungkai soal pertanggungjawaban terhadap BN. Apakah selama ini Malaysia ditadbir secara 'Pak Pandir' yang buta-buta memberi wang rakyat sebanyak RM250 juta kepada kroni?

Jika pun Shahrizat sudah tidak menjadi menteri dan kalah dalam pertandingan Ketua Wanita Umno, masalah dan kepincangan dalam urusan NFC tidak boleh ditutup atau dilupuskan.Ianya adalah kecuaian kerajaan, kecuaian Umno.

Kita ingatkan kepada mereka bahawa, mungkin bangkai seekor lembu boleh ditutup, tetapi bagaimana hendak menutup bangkai sekawan lembu yang jumlahnya hampir sama dengan jumlah perwakilan Wanita Umno?

Hanya ‘bahasa’ Bersih 3.0 difahami

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com, 12 Apr 2012
Jika tidak ada apa-apa perubahan, Dataran Merdeka – di  tengah jantung Ibu Kota - akan bermandi warna kuning apabila berlangsungnya perhimpunan rakyat prihatin yang dinamakan Himpunan Bersih 3.0 pada jam 2.00 petang 28 April ini. Pada hari itu, Dataran Merdeka tidak diriuh-rendahkan dengan hiburan, paluan gendang, tarian dan nyanyian yang menghidburkan seperti pesta biasa di masa lalu, tetapi ia akan dipenuhi rakyat prihatin berbaju kuning yang menuntut sebuah pilihan raya bersih dan penuh demokratik, tanpa penipuan.
Tentu saja Himpunan Bersih 3.0, seperti Himpinan Bersih 2.0 Julai tahun lalu, mempunyai makna yang sungguh besar dalam perjuangan menuju sebuah negara demokratik dalam pengertian sebenarnya.
Memang wajar perjuangan rakyat ini memandangkan negara jiran – Indonesia, Thailand, Singapura, bahkan Myanmar – sudah melaksanakan pilihan raya yang penuh adil, bersih dan memenuhi kehendak demokrasi.
Dengan itu, Malaysia yang telah merdeka lebih setengah abad tidak ada sebab tidak boleh melaksanakan pilihan raya penuh adil, bersih dan demokratik. Tetapi jika tidak mampu juga dilaksanakan bermakna negara ini undur jauh ke belakang berbanding dengan negara jirannya sendiri.
Perhimpunan ini didukung oleh 84 NGO lain, di mana para peserta akan duduk di lokasi tersebut bermula jam 2 petang hingga 4 petang. Walaupun Bersih 3.0 adalah duduk saja, kata Pengerusi Bersama Bersih 3.0 Sasterawan Negara A. Samad Said, tetapi ia memberikan impak yang kuat.



Sementara itu, penganjur perhimpunan membantah loji nadir bumi Lynas - Himpunan Hijau  - pula telah mengumumkan bahawa himpunan tersebut diadakan bersama dengan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April ini.
Anggota jawatankuasa pemandu Himpunan Hijau, Clement Chin berkata, langkah itu diambil kerana gerakan tersebut percaya bahawa isu alam sekitar yang ditimbulkannya adalah berpunca daripada kerajaan yang ‘kotor’. Kerjasama dengan BERSIH 2.0, katanya, sangat logik dan penting kerana alam sekitar yang bersih hanya boleh dicapai oleh kerajaan yang bersih.
Dalam masa yang sama perjuangan Bersih 2.0 mendapatat sokongan Aktivis Media Independen (KAMI) yang kecewa dengan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang mengabaikan tuntutan rakyat mengenai akses media yang bebas dan adil, sekali gus menyifatkan PSC tidak mempunyai keazaman politik yang tinggi bagi membuat pembaharuan menyeluruh.
Pengerusi KAMI, Ahmad Lutfi Othman, turut kesal apabila gesaan tempoh kempen minimum selama 21 hari hanya dipersetujui setakat sepuluh hari, iaitu satu tempoh yang tidak mencukupi untuk calon-calon dan parti-parti yang bertanding menjelaskan manifesto masing-masing.

"Pilihan Raya Umum Ke-13 merupakan pilihan raya paling sengit.  Justeru, setiap pemilih berhak untuk mendapat maklumat yang tepat dan komprehensif, serta mudah dicapai dengan cepat.  Malangnya, isu akses media yang bebas dan saksama ini seperti tidak dipandang penting oleh PSC," tambah Ahmad Lutfi, dalam sidang medianya baru-baru ini.
Oleh itu sewajarnya Bersih 2.0, memberi perhatian kepada tuntutan KAMI ini, katanya.
Seperti Himpunan Bersih 2.0 yang didukung oleh majoriti anak muda, Himpinan Bersih 3.0 ini juga dijangka akan ‘dibanjiri’ anak muda berbaju kuning yang sudah menunjukkan isyarat jelas bahawa mereka mahukan perubahan di mana kebebasan menentukan hak mereka dapat dipulangkan semula kepada rakyat dengan pelaksanaan pilihan raya bersih dan adil.
Anak muda ini tidak lagi mampu membiarkan penipuan terhadap senarai daftar pemilih terus berlaku. Menurut Ahmad Syukri Che Ab Razab, anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0, anak muda akan menjadi gelombang utama yang memenuhi bandar raya Kuala Lumpur. Bersih 3.0, katanya, sekali lagi akan menyaksikan kebangkitan anak muda bukan sekadar menjadi komponen mobilisasi yang paling penting, tetapi juga akan menjadi benteng yang akan berada di kiri kanan setiap rakyat Malaysia di Dataran Merdeka pada 28 April nanti.
Sebelum ini ada pendapat mengatakan Dataran Merdeka hanya boleh memuatkan 100,000 orang, jadi bagaimana jika yang datang ke Himpunan Bersih itu melebihi jumlah tersebut. Bagi saya ini hanya persoalan teknikal. Yang penting himpunan itu. Kuala Lumpur besar dan luas, menjadi hak  kepunyaan semua rakyat. Oleh itu jika orang ramai melimpah keluar apalah yang boleh dikatakan, justru ini adalah manifestasi kebangkitan dan kehendak rakyat.
Yang penting di sini ialah pihak pemerintah, khususnya SPR yang didakwa badan bebas, melaksanakan tuntutan Bersih 3.0 ini, khususnya membersihkan daftar pemilih yang menjadi tuntutan utama Bersih 3.0.
Kini, semua pihak, khususnya pendukung parti politik, menanti pengumuman tarikh PRU Ke-13, maka rakyat prihatin sedang menanti dengan penuh perhatian akan ketibaan 28 April, tarikh Bersih 3.0 diadakan di seluruh negara bahkan di pelbagai bandaraya di dunia.
Dengan gabungan rakyat prihatin – golongan generasi lama dan baru – saya yakin kejayaan Himpunan Bersih 2.0 dulu itu akan berulang pada Himpunan Bersih 3.0, bahkan diharapkan akan memberikan impak segera kepada pihak pemerintah, khususnya badan kerajaan seperti SPR supaya segera memahami kehendak rakyat untuk mendapatkan pilihan raya bersih dan adil.
Sudah bertahun-tahun tuntutan supaya dibersihkan daftar pengundi dan sudah sekian banyak bukti ‘kekotoran’ daftar pengundi itu didedahkan, namum pelbagai dalih dikeluarkan untuk mengelak dari melaksanakan daftar pemilih yang bersih dan juga tuntutan lain.
Seperti gelombang besar di lautan dalam, Himpunan Bersih 3.0 sedang dalam perjalanan dan akan tiba di pantai Dataran Merdeka. Inilah gelombang yang didukung oleh golongan lama dan baru yang merupakan kebangkitan rakyat untuk mendapatkan perubahan.
Saya yakin bahasa Himpunan Bersih 3.0 ini saja yang mungkin mudah atau dapat difahami oleh pihak pemerintah, khususnya SPR. Himpunan ini adalah batu tanda dalam perjalanan sejarah tanah air yang penting, iaitu perjuangan rakyat selanjutnya dalam sebuah negara yang telah merdeka lebih setengah abad lamanya.

Minyak turun dalam masa 24 jam

Subky Latif, 12 Apr 2012
TIDAK termasuk dalam 10 perkara yang Buku Jingga yang Pakatan Rakyat akan laksanakan dalam masa 100 ia berkuasa iaitu untuk menurunkan harga minyak petrol dalam masa 24 jam ia mengambil.
Jika ditambah dengan menurunkan harga minyak ini, maka janji segera Buku Jingga itu menjadi 11 perkara.

Maka menurunkan harga minyak itu yang pertama dan paling senang untuk dilaksanakan.

Anwar Ibrahim sebagai jurucakap  Pakatan Rakyat sekali lagi menegaskan baru-baru ini bahawa minyak akan diturunkan dalam masa 24 jam sebaik saja mengambil alih Putrajaya.

Ia bukan penegasan Anwar yang pertama, malah telah ditegaskannya  sebelum Buku Jingga itu diterbitkan dua tahun lalu. Ketika harga runcit minyak melambung sebelum Pakatan Rakyat dibentuk banyak tahun dulu Anwar sudah mengumumkannya dia menguasai Putrajaya.

Bahkan ia telah didebatkannya dengan  Menteri Penerangan masa itu, Shabery Cheek melalui TV siaran langsung. Cara ia boleh diturunkan telah diterangkannya pada masa itu. Ia tidak dapat dicabar dan minyak turun selepas itu.

Buku Jingga hanya merakamkan tentang pemberian royalti minyak dari  5 peratus  saja kepada 20 peratas bagi negeri-negeri yang mengeluarkan minyak. Menaikkan royalti itu adalah nikmat untuk Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak  saja. Tetapi menurunkan harga minyak itu adalah nikmat kepada semua.

Tawaran Anwar itu tidak sekadar tawaran politik tetapi itulah tindakan politik yang betul sebagai negara yang menghasilkan minyak.

Negara tidak akan bankrap dengan penurun minyak itu kerana ia pun memang dapat percuma dari dalam laut. Ia selari dengan langkah memberi minyak murah kepada kebanyak negara mengeluarkan minyak di seluruh dunia. Rakyat Malaysia akan dapat menikmati apa yang rakyat Saudi, Iraq, Libya dan lain-lain dapat. Semua negara itu tidak meleset dengan minyak murahnya.

Negara sebenarnya bertuah dengan harga tinggi minyak di pasaran dunia. Dari  tahun 2007 hingga 2010 duit yang diamabil dari Patronas ialah 325 bilion ringgit atau 81.25 bilion setahun. Berkali ganda dari perbelanjaan kerajaan datang dari duit Patronas.

Menurunkan harga minyak dan memberi 20 peratus royalti minyak kepada  beberapa buah negeri yang bertuah itu tidak akan menghabiskan hasil  dan keuntungan Patronas.

Tetapi yang indahnya ialah tindakan menurunkan harganya adalah satu langkah memberi kebajikan kepada rakyat dan ia adalah ibu kepada pembendungan terhadap segala masalah dan kepincnngan  rakyat.

Ia menjadikan pendapatan rakyat terangkat disebabkan nilai ringgit bertambah baik. Mereka dapat berbelanja lebih hasil dari penjimatan belanja atas minyak.  Harga barang rata-rata dapaat dikawal.

Dengan gaji miniman RM1,500 sebulan yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat menjadikan mereka bertambah lega disebabkan minyak yanag mudah. Minyak dapat diberi banyak dari wang yang digunakan atas nilai yang  sama.

Tiada ada yang cerdik akan menolak  tawaran yang baik. Manusia memang diajar memilih mana yang baik dari dua atau lebih tawaran. Hanya orang bodoh dan orang mabuk saja memilih benda yang sama nilai yang berharga mahal.

Orang yang memilih yang mahal bukan saja bebal dan bodoh,  tetapi membazir. Membazir bukan perbuatan yang baik tapi ada amalan syaitan.
Biasanya pengguna yang memberi sesuatu dengan harga yang mahal sedang ia boleh dibeli mudah akan merasa dirinya tertipu dan menyesal. Maka dia akan berhati-hati tidak tertipu dan tidak memberi dengan harga yang mahal lagi.

Justeru rakyat yang cerdik dan menjagi kepentingannya dan keluarganya tidak menolak  tawaran Pakatan Rakyat hendak menurunkan harga minyak, kerana ia boleh dibuat dan patut dibuat.

Tiada ulasan: