Jumaat, 13 April 2012

TELAH JADI TAKDIR...BIAR IA BERLALU AMBIL PENGAJARAN DARINYA...BIARKAN SAJA ALLAH MENGHUKUM JIKA BENAR APA YANG DIDAKWA...SEBAB TAKDIR ADA TIGA JENIS..YANG KETIGA ITU KITA YANG PILIH...BERLAKUNYA PULA DENGAN IZIN ALLAH...SILA RUJUK BAB TAKDIR DALAM MUSTIKA HADIS JILID 1

Peserta himpunan aman meninggal di hadapan JPM

Harakahdaily, 12 Apr 2012

(Mangsa rebah dipercayai akibat serangan jantung di depan JPM, Putrajaya)

PUTRAJAYA, 12 April: Seorang peneroka Gatco, Kampung Serampang Indah Jelebu meninggal dunia ketika menyertai himpunan aman di hadapan Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung.

Menurut R Tanggam, yang turut serta dalam himpunan itu, beliau melihat mangsa jatuh terduduk ketika hampir 100 peneroka lain sedang berhimpun di perkarangan pintu masuk ke JPM.

Beliau yang berada hampir dengan mangsa kemudiannya membantu mangsa yang ketika itu masih bernafas sebelum meminta pertolongan daripada pihak keselamatan yang berkawal.

Tidak lama kemudian mangsa dibawa ke dalam pondok pengawal sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor yang datang kira-kira jam 12 tengah hari.

Sementara itu, himpunan hari ini adalah bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak bagi membantah tindakan Mentri Besar Inc (MBI) yang semasa itu diterajui Tan Sri Isa Samad yang didakwa menjual tanah mereka.

Gempa: Kerajaan Pulau Pinang ucap terima kasih

Harakahdaily, 12 Apr 2012
GEORGETOWN, 12 April: Kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada penggerak industri utama di Pulau Pinang kerana mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menangani kejadian gempa bumi di Pulau Sumatera, semalam.

“Pejabat Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri telah saling berhubung dengan penggerak industri utama Pulau Pinang iaitu dari FMM, Frepenca dan Persatuan Hotel Pulau Pinang ketika kejadian,” ujar Ketua Menteri, Lim Guan Eng (gambar) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri ingin menambah di sini bahawa masyarakat umum harus mencontohi pengalaman penggerak industri itu yang saling berhubung untuk mengetahui perkembangan terkini gempa bumi melalui sumber-sumber rasmi dan tidak mendengar khabar angin.

“Saya telah membatalkan kehadiran saya di Majlis Santapan Diraja di Istana Negara bersempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong untuk bergegas pulang ke Pulau Pinang,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri yakin bahawa gempa bumi yang berlaku di Indonesia tidak menyebabkan apa-apa impak serius kepada ekonomi umum Pulau Pinang.

Tambahnya, terdapat beberapa gangguan kepada aktiviti-aktiviti umum di beberapa sektor pembuatan dan pelancong di hotel-hotel di pantai Pulau Pinang semalam, tetapi, tiada insiden besar dilaporkan.

Justeru, ujarnya kerajaan negeri berterima kasih kepada penggerak industri yang sentiasa bersedia untuk berdepan situasi sedemikian.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga ingin menyatakan kebimbangan dengan khabar angin terutama di laman web sosial media bahawa Jambatan Pulau Pinang dan perkhidmatan feri telah ditutup ekoran gempa bumi di Sumatera.

“Khabar angin ini adalah tidak benar dan bertujuan untuk mengganggu kesejahteraan ekonomi negeri yang sememangnya bergantung kepada pelancongan dan pembuatan,” ujarnya.

Guan Eng menjelaskan sebarang penutupan Jambatan Pulau Pinang dan penamatan serta-merta perkhidmatan feri perlu mendapatkan perundingan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu.

Tambahnya lagi, tiada permintaan seperti itu dikemukakan kepada kerajaan negeri semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan menambah, kerajaan negeri bersama-sama semua agensi kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan serta sektor swasta telah mewujudkan mekanisme dan pengurusan krisis untuk menangani sebarang kemungkinan berdepan amaran tsunami.

“Mekanisme ini telah terbukti semalam dan tiada suasana cemas, jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri mampu  menguruskan dengan cekap untuk mengendalikan tindak balas yang diperlukan seperti pengurusan krisis dan kecemasan ini,” katanya.

Frepenca diwakili oleh Pengerusi, Heng Huck Leng yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Globetronics. Persatuan Pengusaha Hotel Pulau Pinang diwakili oleh pengerusinya, Mary Ann Harris dan Marco Bassistotti, Pengerusi Bersama Panel Perkhidmatan Industri.

PAS sepatutnya menang di Tenang - Abdul Hadi

Zulkifli Sulong, 12 Apr 2012


(wawancara wartawan Harakahdaily dengan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang)

KUALA LUMPUR, 12 April: PAS sebenarnya boleh mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil Tenang, Johor sebelum ini jika Umno tidak main kotor.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, dalam pilihan raya itu, beliau difahamkan, Umno telah bermain kotor dengan menghalang pengundi mengundi PAS.

Abdul Hadi berkata demikian dalam wawancara khas dengan Harakahdaily baru-baru ini.

"Yang terkini, maklumat baru yang kita terima, sepatutnya pilihan raya kecil Tenang kita menang.

"Umno main kotor dengan menghalang pengundi kita," kata Abdul Hadi.

Sehubungan itu, kata beliau, apa yang berlaku di Tenang menunjukkan PAS boleh menang di kawasan Felda, "menandakan perubahan boleh berlaku dan kita boleh menang."

Atas dasar itu, kata Abdul Hadi, beliau yakin perubahan di kawasan-kawasan lain juga boleh berlaku sebagaimana berlakunya dalam pilihan raya 2008, di mana PAS menang dua kerusi di Johor yang dianggap kubu Umno dan Barisan Nasional.

Melalui lawatan beliau ke negeri Johor juga, Abdul Hadi berkata, sambutan ceramah yang sangat menarik dengan jumlah yang mencecah ribuan manusia yang kebanyakannya di kalangan muda.

"Sekurang-kurangnya ini menunjukkan masa depan yang baik bagi PAS. Seboleh-bolehnya perubahan untuk pilihan raya yang ke 13," katanya.

Dalam temubual itu, Abdul Hadi memberitahu, beliau telah selesai pusingan pertama menjelajah seluruh negara melalui konvoi Lajnah Penerangan PAS Pusat

Di samping itu, beliau telah selesai melawat tiga negeri melalui lawatan yang diuruskan oleh Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat iaitu Johor, Terengganu dan Pahang.

"Persiapan awal telah dibuat oleh semua peringkat parti..kursus peringkat dun dan parlimen," beritahu beliau tentang hasil lawatan itu.

Menurutnya, PAS bukan sahaja menyediakan jentera pilihan raya bahkan ada negeri yang sudah siap jentera untuk hari pilihanraya.


Pengundi muda


Menurut beliau, pengundi muda akan menjadi penentu dalam pilihan raya akan datang ini dengan 30 peratus dari pengundi adalah yang berumur antara 21 hingga 40 tahun.

"Pengundi muda jadi undi penentu, mungkin sebab itu BN teragak-agak untuk tentukan tarikh pilihan raya walaupun projek bagi duit dah jalan. Ia beri kesan kepada pengundi tua sahaja.

"Bagi pengundi muda, mereka belum yakin di samping hal-hal ekonomi dan lain-lain," katanya.

Ramalan Daim, Bersih 3.0 dan Gelombang Rakyat

Majdan Dagang, 12 Apr 2012
Dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, Tun Daim Zainuddin meramalkan Umno-BN akan gagal di lima negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak. Ramalan Tun Daim tersebut benar-benar menjadi realiti dan ketika bibit-bibit PRU13 mula jelas kelihatan, Tun Daim sekali lagi membuat ramalan.

Pada kali ini Tun Daim meramalkan Umno-BN hanya boleh menang selesa di tiga negeri iaitu Johor, Pahang dan Melaka. PAS akan terus kekal di Kelantan, DAP kekal di Pulau Pinang, PAS mungkin akan kehilangan Kedah, sementara pertarungan sengit bakal berlangsung di Selangor dan Perak.

Ramalannya kali ini tentunya mendapat lebih perhatian berbanding ramalan sebelumnya. Pada PRU12, Pembangkang kelihatan begitu lemah selepas kalah teruk pada PRU11 pada tahun 2004. PAS hanya kekal dengan majoriti 1 kerusi di Kelantan, hilang Terengganu. PKR pula hanya bertahan dengan tinggal satu kerusi Parlimen iaitu di Permatang pauh. Hanya DAP yang mampu bertahan dan menambah kerusi. Pembangkang pula tidak membentuk suatu gabungan untuk menentang kerajaan. Oleh itu, tiada siapa yang mengambil berat ramalan Tun Daim ketika itu.

Berbeza pada kali ini, ramalan Tun menjadi kajian dan perhatian kerana, pembangkang telah pun membentuk suatu pakatan yang kuat selepas kejayaan besar pada PRU12 lalu.

Tun Daim mahu pun pembangkang sedar bahawa cita-cita atau fantasi untuk menawan Putra Jaya bukanlah semudah menyebut A,B, dan C. halangan terbesar kepada kemenangan pembangkang ialah pilihan raya yang lebih bersih dan adil. Jika perkara ini dapat dilaksanakan, tidak mustahil ramalan Tun Daim itu menjadi realiti.

Sehingga kini tiada tanda-tanda yang jelas bahawa akan wujud suatu suasana pilihan raya yang bersih dan adil. Maka jawapan bagi itu Bersih 3.0 akan diadakan. Benar, himpunan itu tidak akan mengubah apa-apa dan Umno-BN boleh memekakkan sahaja telinga.

Namun, perhimpunan itu penting bagi mewujudkan gelombang kebangkitan rakyat ketika PRU13 selewat-lewatnya diadakan awal tahun depan apabila cukup tempoh penggalnya.

Bagi pihak kerajaan Umno-BN pula, ramalan Tun Daim dan suasana semasa pula membuatkan mereka lebih peka dan waspada, di samping mengatur strategi bagi memastikan kemenangan dalam PRU13 nanti.

Ramalan seperti ini mahupun pelbagai ramalan lain akan dilihat dalam bentuk pro dan kontra. Dari segi perang psikologi dan perang persepsi, ramalan seperti ini penting dalam mewujudkan suatu gelombang dan mood emosi rakyat. Kedua-dua belah pihak – kerajaan dan pembangkang amat arif tentang hal ini.

Apatah lagi dalam kepesatan dunia tanpa sempadan, dari segi penyebaran maklumat, setiap kata-kata dan pernyataan akhbar amat penting dan perlu dilakukan secara berhati-hati agar dapat disusun mengikut kehendak permainan setiap pihak.

Secara fantasinya, Pakatan Rakyat (PR) nampak mudah untuk menawan Putra Jaya jika berjaya menggembelingkan segala isu ini dan memastikan segala maklumat ini dilontarkan secara tepat kepada rakyat.

Umno-BN pastinya tidak duduk dan hanya memerhati segala yang berlaku. Perlu diingat, mereka mempunyai akses media yang tiada had, menguasai semua jabatan kerajaan, dan boleh menggunakan mana-mana dana awam mengikut kesesuaian dan keperluan.

Ramalan Tun Daim ini merupakan suatu kesempatan yang baik kepada pembangkang kerana menambahkan lagi gelombang yang telah ada seperti isu NFC, PTPTN, Felda, Lynas, dan PPSMI. Gelombang ini dihangatkan melalui Bersih 3.0 agar sampai ke tahap tsunami. Jika ini berlaku tiada apa yang dapat menyelamatkan Umno-BN daripada kekalahan. Dalam catatan sejarah, mana-mana kerajaan dan tamadun besar pun, mereka akhirnya akan runtuh menyembah bumi apabila tsunami kebangkitan rakyat berlaku.
 
 
 
 
 

Rumah terbengkalai: Johor patut ikut Selangor

Salman Hussin, 12 Apr 2012

(Dzulkefly [tengah] bersama sebahagian daripada 314 pembeli rumah yang terdiri dari pelbagai kaum di Bandar Pulai Jaya, Gelang Patah mengadakan demonstrasi aman di tapak projek berkenaan, 7 April lalu.)

JOHOR BAHRU, 12 April: Kerajaan Negeri mesti menggunakan budi bicara bagi menyelesaikan masalah yang ada kaitan dengan tanah di negeri ini kerana urusan berkaitan tanah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Dalam konteks projek perumahan terbengkalai yang begitu banyak berlaku di negeri ini, Kerajaan Negeri juga berperanan memastikan projek-projek tersebut berjalan lancar agar pembeli tidak teraniaya.

Walaupun lesen pemaju dikeluarkan Kerajaan Pusat tetapi proses kelulusan tanah bagi setiap projek perumahan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri maka dengan kuasa yang ada ini sewajarnya dimanfaatkan sepenuhny untuk memastikan pemaju melaksanakan projek mengikut jadual ditetapkan.

Demikian ditegaskan Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Nusajaya, Dzulkefly Ahmad, pada sidang media selepas mengadakan demonstrasi aman bersama sebahagian pembeli projek perumahan Bandar Pulai Jaya Gelang Patah, dekat sini, 7 April lalu.

Selanjutnya menurut beliau, isu yang sama juga banyak berlaku di Selangor di zaman pemerintahan Kerajaan BN tetapi Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bertindak proaktif sebagai orang tengah antara pemaju dan pembeli sehingga akhirnya satu demi satu projek perumahan yang terbengkalai sebelum itu dapat dipulihkan dengan jayanya.

“Langkah drastik yang diambil Kerajaan Selangor menangani perumahan terbengkalai di negeri berkenaan telah berjaya dilakukan dalam suasana ‘menang menang’ yang mana kedua-dua pihak pemaju dan pembeli mendapat hak masing-masing dengan adil dan saksama, jadi apa salahnya Kerajaan Johor mencontohi kaedah yang digunapakai Kerajaan Selangor menangani projek perumahan yang terbengkalai di negeri ini,” kata beliau.

Hadir sama pada sidang media ini Pengerusi Persatuan Pembeli, Ainol Adnan serta kira-kira 100 pembeli rumah berkenaan.

(Laporan penuh dalam Harakah cetak Jumaat ini)

Syed Sobri kecewa, kawan tidak bantu - MB

Azamin Amin, 12 Apr 2012




ALOR SETAR, 12 April: Adun Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim telah bertemu dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak bagi memaklumkan kedudukannya yang diisy tihar muflis kerana gagal membayar hutang berjumlah RM8 juta.

Bercakap dalam sidangmedia selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman, 4 April lalu, Ustaz Azizan berkata, Syed Sobri meluahkan masalah yang dihadapi dan menyatakan tidak akan hadir ke Sidang Dewan Undangan Negeri yang bakal berlangsung 17 April depan.

“Saya bersimpatilah dengan keadaannya itu. Saya suruh dia datang Sidang Dun, tetapi dia enggan sebab bimbang implikasi undang-undang.

“Syed Sobri melahirkan rasa kecewanya... mungkin juga sebab tak ada kawan-kawan dia boleh bantu,” kata Datuk Seri Azizan Razak selepas pertemuan beliau dengan Syed Sobri.

Beliau memberitahu pertemuan itu bukan untuk membincangkan kemungkinan Syed Sobri menyertai PAS.


(Laporan penuh dalam Harakah cetak Jumaat ini)

Tiada ulasan: