Rabu, 25 April 2012

BERANI KERANA BENAR..TAKUT BERERTI KITA SALAH...DONT WORI@BIMBANG...HUKUMAN ALLAH TAK KAN LEPAS...SAMA2 KITA TUNGGGGGUUUUU......

'Bawa kes Scorpene ke Perancis mahu kucar-kacir negara'
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata tindakan Suaram mengemukakan kes berhubung pembelian kapal selam Scorpene ke mahkamah Perancis merupakan usaha untuk mengucar-kacirkan negara.

"Dia nak kucar-kacirkan negara. Dia akan keluar macam-macam untuk malukan orang dan nak fitnah.

"Mereka tak ada kerja. Kalau macam kita ini, kerja 24 jam," katanya ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau mengulas tindakan Suaram mengemukakan nama Datuk Seri Najib Razak sebagai saksi dalam inkuiri berkenaan.
Suaram bertindak demikian dengan alasan bahawa perdana menteri itu merupakan menteri pertahanan yang terlibat dalam perolehan kapal selam tersebut sebelum ini.
Dalam pada itu, Tengku Adnan juga berkata beliau sedia mengadakan pertemuan dengan sekumpulan pemerhati pilihan raya luar negara, susulan daripada jemputan oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau tetap tidak bersetuju dengan tindakan pembangkang menjemput kumpulan pemerhati berkenaan.
"(Pemerhati) sepatutnya datang melalui SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya). Saya akan jelaskan kepada mereka," katanya.

Tengku Adnan berkata, jemputan itu dibuat Anwar melalui satu surat kepadanya.
MP: Tak hadir ke mahkamah Perancis beri kesan buruk
Tindakan perdana menteri terus berdiam diri sama berhubung tanda tanya beliau akan muncul di mahkamah Perancis untuk inkuiri dalam kes pembelian Scorpene akan memberikan kesan buruk kepada kerajaan Malaysia, kata anggota parlimen DAP.

NONE"Ia memberikan kesan buruk kepada PM, yang berjanji melakukan pembaharuan dan beriltizam ke arah melawan rasuah," kata wakil rakyat Puchong Gobind Singh Deo melalui e-mel malam tadi.

"Sebagai PM, menjadi tanggungjawabnya untuk membersihkan segala perkara yang menjejaskan kerajaannya. Ia menjadi kemahuan seluruh rakyat Malaysia, terutamanya yang berada di peringkat antarabangsa."

Najib Ahad lalu enggan mengulas sama ada berniat hadir ke mahkamah Perancis selepas NGO hak asasi manusia Suhakam menyenaraikannya dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai saksi mereka.

Bercakap dalam sesi dialog dengan NGO Cina dan India di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang beliau berkata tidak perlu berbuat demikian.
PKR dakwa pengarah sewa aset peribadi kepada NFC
PKR meneruskan pendedahan terhadap National Feedlot Corporation (NFC), kali ini berhubung dakwaan bahawa pengarahnya menyewa harta peribadi mereka kepada syarikat tersebut untuk mendapatkan pulangan yang tinggi.

NONEPengarah strategi parti itu, Rafizi Ramli (tengah dalam gambar)
berkata carian di Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Harta menunjukkan bahawa dua unit pejabat yang digunakan oleh NFC adalah dimiliki pengerusi eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan anaknya yang juga pengarah syarikat itu, Wan Shahinur Izran Salleh.

Berdasarkan akaun kewangan NFC yang didedahkan oleh Rafizi, unit-unit tersebut yang terletak di Solaris Mont Kiara, disewa daripada kedua-dua mereka, masing-masing pada kadar RM28,000 dan RM8,240 sebulan.

Carian itu juga menunjukkan bahawa Izran memiliki premis restoran Meatworks, yang digunakan oleh syarikat bersekutu NFC, Real Food Company - juga di Solaris Mont Kiara.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Rafizi berkata beliau tidak mempunyai rekod kewangan terperinci bagi Real Food Company, tetapi percaya Izran juga menerima bayaran sewa yang lumayan dari dua premis restoran miliknya itu.
PKR gesa tindakan tatatertib terhadap Shafee
Majlis Peguam digesa mengambil tindakan tatatertib terhadap peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah jika benar beliau tidak ke luar negara untuk urusan perundangan bagi pihak kerajaan, perdana menteri dan isterinya.

NONESetiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution (kiri) berkata ini kerana
beliau mempunyai maklumat bahawa Shafee mendapat penangguhan untuk sekurang-kurangnya satu kes kendaliannya kerana surat tersebut.

Bercakap kepada pemberita di ibupejabat parti itu di Tropicana hari ini, Saifuddin berkata, jika surat itu telah membawa kepada penangguhan kes tersebut, maka beliau boleh mengatakan bahawa surat itu 99.9999 peratus tulen.

Saifuddin berkata, ia membabitkan kes 'Seruan Gemilang lwn kerajaan Pahang', di mana peguam Seruan Gemilang telah diberi salinan surat Shafee itu sebagai satu alasan penangguhan tersebut.
  
Katanya, perdana menteri mesti menjawab adakah kerajaan melantik Shafee, dan jika betul, bukankah ia menjadi tugas Peguam Negara atau Shafee bertindak bagi pihak PM dan isterinya?

Menurut Saifuddin lagi, jika Shafee tidak bertindak sebagai peguam mereka, maka "kita menggesa PM melaporkan kepada Majlis Peguam... atau Majlis Peguam perlu mengambil tindakan tatatertib."

Saifuddin berkata, penafian Shafee "menimbulkan lebih banyak tandatanya" dan peguam tersebut mesti mendedahkan di mana beliau berada antara 1 dan 25 April seperti yang dinyatakan dalam surat tersebut.

NONEDalam surat bertarikh 23 Mac, yang didedahkan oleh ahli Parlimen PKR itu minggu lepas, Shafee memohon penangguhan kes-kesnya di mahkamah pada tarikh berkenaan, dengan mengatakan beliau akan berada di Paris, New York, Basel dan London untuk "tugasan perundangan yang sensitif".

Shafee (kanan dalam gambar atas) semalam berkata bahawa laporan media mengenai misi rahsia tersebut "sebagai karut" tetapi enggan menjawab soalan lain pemberita.
Pemandu teksi sedia bawa peserta BERSIH jika...
Pemandu teksi sedia mengangkut peserta perhimpunan BERSIH 3.0 - dengan syarat pihak penganjurnya menerima tawaran kerajaan supaya mengadakan perhimpunan itu di dalam stadium.

Timbalan Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Mohd Syahrir Abdul Aziz berkata BERSIH patut menerima tawaran kerajaan itu.

NONEKatanya, mereka boleh mengadakannya di dalam stadium selama  mana yang mereka mahu, tetapi bukan di jalanan kerana ia menyukarkan pemandu teksi mencari rezeki.

"Tidak mengapa, jika mereka tidak ada (pengangkutan), kita boleh guna teksi untuk bawa mereka ke stadium... kita pun boleh dapat sedikit, betul?"

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas membuat laporan polis terhadap BERSIH di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang ini.

Mohd Syahrir berkata pengalaman lalu telah mengajar pemandu teksi bahawa Dataran Merdeka bukan tempat yang sesuai untuk tujuan tersebut.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan penggunaan Dataran Merdeka kerana jika jalan disekat, keadaan akan menjadi kelam-kabut.

Menurut Mohd Shahrir lagi kanister gas pemedih mata dan meriam air akan ditembak ke sana sini dan ia akan menjejaskan pendapatan harian mereka.

Beliau berkata 36,000 pemadu teksi dan limosin di Lembah Klang akan terjejas dengan perhimpunan tersebut.

Seorang pemandu teksi bajet boleh mendapat antara RM60 dan RM70 sehari, katanya sambil berharap pihak berkuasa akan memastikan perhimpunan BERSIH tidak diadakan di jalanan.

Perangkap fantasi pendidikan
ULASAN TPM terperangkap dalam fantasi pendidikan rakyat Malaysia berasa bingung sekali lagi dengan kenyataan fantasi timbalan perdana menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa rakyat Malaysia memandang tinggi sistem pendidikan di negara kita.

Muhyiddin telah dilaporkan berkata demikian selepas keputusan kaji selidik baru-baru ini oleh Introspek Asia, yang kononnya menunjukkan bahawa 55 peratus rakyat Malaysia dewasa percaya bahawa sistem pendidikan di negara kita setanding negara-negara lain, manakala 35 peratus mengatakan bahawa ia adalah "lebih baik berbanding negara-negara maju".

Sebelum ini, Muhyiddin telah memilih untuk memetik sebahagian daripada Laporan 2011-2012 Global Competitiveness Index oleh World Economic Forum, dan menggunakannya untuk membuktikan bahawa kualiti pendidikan di Malaysia adalah lebih baik berbanding Amerika Syarikat, German dan United Kingdom.

Jika ini benar, beliau harus menjawab kenapa tidak pernah ada seorang pun pemenang Anugerah Nobel dari Malaysia dan kenapa tiada satu pun universiti Malaysia yang termasuk dalam kedudukan 200 universiti yang terbaik di dunia?

Atau kenapa, jika diberi pilihan, lebih banyak pelajar Malaysia memilih untuk belajar di Amerika Syarikat, UK dan Jerman dan bukan di universiti tempatan?

Sekali lagi, Muhyiddin sekadar selektif dalam memilih statistik yang menyokong pandangannya. Sebagai contoh, dalam laporan WEF, beliau telah memilih penunjuk yang mencerminkan kaji selidik ke atas 87 "eksekutif perniagaan utama" -- satu sampel golongan yang lebih besar kemungkinannya merupakan golongan kaya yang duduk di bandar dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah awam yang terbaik jika tidak ke sekolah-sekolah swasta.

Oleh itu, adalah tidak mengejutkan sekiranya mereka memandang tinggi sistem pendidikan tempatan.

Jauh dari gambaran cantik
Hakikat sebenarnya, realiti sistem pendidikan kita adalah jauh daripada gambaran cantik Muhyiddin.

Daripada laporan WEF yang sama, kedudukan kemasukan pendidikan menengah kita berada di tangga ke-101, lantas menunjukkan bahawa terdapat ramai pelajar yang tercicir selepas sekolah rendah dan oleh itu tidak dapat memperolehi pengajian tinggi.

Kedudukan kita di tangga ke-101 ini meletakkan negara kita di bawah Thailand (94), Indonesia (91), Brunei (35) dan Singapura (17) di rantau ASEAN.

Perkembangan membimbangkan ini juga dicerminkan dalam Legatum Prosperity Index yang menunjukkan bahawa kadar kemasukan pendidikan menengah hanya 68 peratus, dan meletakkan negara kita di tangga ke-81 di dunia.

Sementara itu, kadar kemasukan pendidikan tinggi pula adalah 36 peratus ataupun tangga ke-59 di dunia, jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara OECD yang mempunyai kadar purata melebihi 50 peratus.
Prestasi Malaysia dalam kriteria objektif seperti kadar kemasukan pendidikan rendah, menengah dan tinggi seharusnya lebih ditekankan berbanding dengan penunjuk pendapat seperti kualiti pendidikan.

Oleh itu, tindakan untuk menguar-uarkan penunjuk-penunjuk subjektif dan mengabaikan penunjuk-penunjuk objektif adalah tidak bertanggungjawab dan mengalihkan perhatian daripada masalah-masalah dalam sistem pendidikan, termasuk kadar keciciran yang tinggi dan kadar kemasukan yang rendah di peringkat pendidikan menengah dan tinggi.

Data selektif
Statistik-statistik antarabangsa yang lain juga meletakkan sistem pendidikan di Malaysia di tahap yang rendah. Sebagai contoh, dalam Program for International Student Assessment (PISA) bagi tahun 2009 yang melibatkan 75 negara, Malaysia menduduki tangga ke-55 dalam keupayaan membaca, 57 dalam keupayaan Matematik dan 52 dalam Sains.

Prestasi kita dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) juga menunjukkan kemerosotan secara berterusan sejak 1999 hingga 2007.

Data dan statistik daripada laporan-laporan antarabangsa yang berprestij telah menunjukkan bahawa terdapat krisis dalam sistem pendidikan Malaysia.

Malah, rakyat Malaysia sebenarnya tidak memerlukan laporan untuk mengetahui bahawa terdapat masalah yang ketara dalam sistem pendidikan kita yang menghasilkan graduan-graduan yang tidak layak untuk mendapat kerja dan tidak mampu untuk berfikir secara kritikal.

Bagaimana pula dengan mereka yang tidak mendapat pendidikan tinggi?

Malangnya, daripada mengakui kelemahan dan mencari penyelesaian, menteri pelajaran kita lebih suka menafikan dan mencuba untuk memperdayakan rakyat Malaysia dengan data selektif dan subjektif untuk mengaburkan kebenaran keadaan pendidikan Malaysia.

Dengan berkeras menegaskan secara berterusan bahawa sistem pendidikan kita lebih baik berbanding negara-negara maju, Tan Sri Muhyiddin bukan sahaja menunjukkan sindrom penafiannya tetapi juga terperangkap dalam alam fantasi serta menimbulkan keraguan tentang kecekapannya.


NONELIM GUAN ENG setiausaha agung DAP dan anggota parlimen Bagan. Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Tiada ulasan: