Ahad, 22 April 2012

JIKA BANYAK KESALAHAN PADA RAKYAT...LEBIH2 PADA ALLAH...MAKA INSYAALLAH JATUH JUGA...BILA..ALLAH SAJA YANG TAHU...

Montaj gamatkan konvensyen halatuju Felda

Anis Nazri, 22 Apr 2012
SHAH ALAM: Tayangan Mmontaj Konvensyen Halatuju Felda di Dewan Unisel, Shah Alam disorak para peserta apabila wajah Pengerusi Felda yang kontroversi, Tan Sri Isa Samad terpapar di layar.

Ianya yang ditayangkan kira-kira lima minit itu menayangkan wajah Isa selama beberapa saat, di celah-celah jerit-perih para peneroka, selain memuatkan beberapa siri bantahan membabitkan kes-kes di mahkamah.

Montaj tersebut ditayangkan sempena perasmian konvensyen yang disempurnakan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Syeikh Abdul Kadir Syeikh Fadzir, pagi tadi.

Cakera padat montaj tersebut kemudiannya diedarkan secara percuma kepada para media.

Konvensyen anjuran Gerakan Selamatkan Felda (GSF) itu menghimpunkan hampir 1000 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, sama ada peneroka asal, anak peneroka dan individu yang prihatin dengan perjuangan Felda.

Menurut Pengarah Program, Nasaie Ismail, program ini memberi ruang kepada peserta, khususnya peneroka untuk mengetahui agenda pihak-pihak tertentu berkaitan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Kuala Lumpur.

Selain Tan Sri Kadir, antara tetamu yang turut serta pada program ini ialah Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid; Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh; anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tamrin Abdul Ghafar; dan peguam Haris Abdullah.

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dijangka hadir pada sesi petang  ini sebagai tanda sokongan kepada perjuangan peneroka Felda.

Teras mahu SABK disemak semula

Harakahdaily, 22 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menuntut kerajaan agar menyemak semula sistem Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan mengembalikan semula hak dan taraf guru-guru Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Presiden Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, beliau kesal dengan karenah Kementerian Pelajaran yang didakwa tidak mengambilkira keadaan perjawatan guru SABK yang diserap oleh Kementerian seperti yang dijanjikan.

Sebagai contoh seramai 22 orang pengetua di 22 buah SAR di Perak sehingga ini,setelah 6 tahun dijadikan sebagai SABK, tidak diberi perjawatan DG 48 sebagaimana awalnya dijanjikan.

"Apabila ditanya kepada pihak Kementerian Pelajaran sekarang diberitahu tidak ada yang layak diberi perjawatan tersebut. Padahal inilah janji manis yang pernah diungkap bila kerajaan beria-ia mahu semua SAR dijadikan SABK.

"Malah banyak ugutan dikeluarkan jika SAR tidak mahu bertukar menjadi SABK seal diperkenalkan pads 2002,"katanya kesal.

Menurut Mohd Azmi lagi, isu yang awal ditakuti oleh Pengelola SAR ialah bila taraf guru-guru SAR yang diserapkan akhirnya tidak setaraf dengan guru- guru Kementerian dan akhirnya menjadi alasan kepada Kementerian menggantikan Pengetua SAR dari pegawai dari Kementerian.

SABK juga katanya kini terpaksa menurut jadual besar dari Kementerian Pelajaran di mana seluruh matapelajaran dinniah ('idadi dan thanawi)  yang asalnya diajar di SAR kini ditiadakan.

Seluruh jadual matapelajaran pengajian Islam yang pernah diajar ketika SAR juga dimansuhkan dan jika masih mahu di adakan , SAR perlu mencari guru sendiri tetapi kuota sangat dibataskan dengan elaun yang jauh lebih rendah dari guru yang lain.

Malah ujarnya lagi, banyak bantuan yang dijanjikan dalam bentuk peruntukan kewangan akhirnya terpaksa melalui pelbagai prosedur yang membebankan SAR.

Terdapat juga kes di mana wang yang disalurkan terpaksa dipulangkan balik kerana Jabatan Pelajaran mahu mengguna wang tersebut untuk pelbagai aktiviti yang sepatutnya ditanggung oleh pihak Kementerian.

Selain itu peruntukan untuk pembangunan sekolah juga terpaksa dipontong untuk pembayaran yuran konsultan.

Dalam hal ini katanya banyak perbelanjaan untuk pembangunan sekolah terpaksa mengikut karenah kos mengikut tender yang ditentukan oleh Jabatan Pelajaran negeri dan pihak JKR.

Padahal jika diurus oleh Lembaga Pengelola sekolah banyak perbelanjaan yang boleh dijimatkan, kata Mohd Azmi lagi.

"Inilah yang selama ini dighusarkan oleh Lembaga Pengelola SAR . Apabila SAR diambil alih, banyak kuasa sekolah telah dirampas oleh pihak Kementerian kerana SABK adalah tertakluk dibawah Akta Pendidikan 1966.

"Bermakna bidangkuasa Jabatan Agama Islam Negeri terhadap SAR yang dikawal dibawah Enakmen Kawalan Sekolah- sekolah Agama Islam negeri secara tidak langsung termansuh kerana seluruh perjalanan SAR kini berada dibawah Kementerian Pelajaran," tegasnya.

Sehubungan itu beliau menuntut kerajaan agar menyemak semula SABK, hak dan taraf guru-guru SAR mesti dikembalikan dan kuasa Lembaga Pegelola SAR mesti diperkasa semula.

"Sangat tidak wajar dan tidak berktanggungjawab pihak kerajaan menuduh SAR tidak menyumbang kepada pembangunan negara.

"Sedangkan sistem pendidikan moden yang dilaksanakan di sekolah kebangsaan sendiri mempunyai banyak masalah yang tidak dapat ditangani dengan sempurna," katanya.

Petanda Umno BN sudah nak jatuh - Zaid

Muhammad Yusri Amin, 22 Apr 2012
KOTA BHARU: Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyifatkan tindakan gelabah Umno yang banyak membuat pindaan undang-undang di Dewan Rakyat minggu lalu sebagai tanda 'BN sudah nak jatuh'.

Menurutnya, ianya termasuk meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dengan tergesa-gesa Khamis lalu.

“Saya rasa kerajaan dah kelam-kabut, gelabah. Saya nampak kerajaan panik. Buat pindaan (undang-undang) itu, buat pindaan ini.

“Dan saya rasa itulah punca-punca Umno-BN nak jatuh," katanya.

Beliau yang juga mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bercakap kepada pemberita pada Persidangan Perwakilan Tahunan 2012 Parti Kita di sebuah hotel di sini semalam.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 selepas melalui sesi perbahasan lebih tujuh jam.

Pindaan itu antara lain juga mengenakan larangan wakil calon berada di barong Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari pengundian dan barong panas parti bagi menyemak daftar pemilih yang diamalkan sebelum ini tidak dibenarkan.

Mengulas lanjut Zaid yang juga bekas menteri undang-undang berkata, pindaan yang membolehkan SPR menghadkan masa untuk petugas tempat mengudi dan mengira undi menimbulkan keraguan.

Beliau turut mendakwa bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diberi tanggungjawab mengurus pilihan raya kini dilihat ‘dikawal’ sepenuhnya oleh Umno BN.

"Kita bimbang bila SPR ada kuasa menentukan masa untuk petugas. Apakah muslihatnya membuat pindaan-pindaan saat akhir itu?” tanya beliau.

Beliau juga berpendapat kerajaan sepatutnya meraikan pandangan dan kritikan pembangkang malah mereka aharus diberi lebih masa meneliti sebgaran pindaan bukannya melihat pembangkang sebagai ancaman.

“Dan kalau tidak ada pembangkang, itu bukan demokrasi. Itu bukan demokrasi, itu Korea Utara, yang tidak ada pembangkang.

“Kalau kita ada demokrasi, sudah tentu ada pembangkang, tetapi janganlah kita nak hancurkan pembangkang pula. Sebab itu saya kata, selagi Umno BN memerintah, tidak ada demokrasi," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan dengan trend pertambahan undi secara luar biasa di kawasan-kawasan tertentu khususnya di Selangor dan tempat-tempat lain.

“Di kawasan-kawasan tertentu seperti di Hulu Selangor, kita melihat penambahan 17,000 pengundi, dan di Kota Bharu sendiri penambahan 15,000 pada 2008.  Itu daftar pemilih tahun lepas, namun bagaimana pula terkini.

“Terkini, saya melihat di Selangor terlalu ramai di kawasan tertentu, dan ini menimbulkan kecuriagaan parti," katanya.

Kelantan anjur Ekspo Kebudayaan Iran

Rizal Tahir, 22 Apr 2012
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan menganjurkan Iranian Cultural Expo (Expo Kebudayaan Iran) pada akhir bulan Mei tahun ini .

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata,  kerajaan Iran akan membawa semua produk Iran ke Kelantan termasuk Islamic multimedia seperti video game (permainan video) berunsurkan Islam.

(Gambar: Datuk Husam menyampaikan cenderahati berupa wang dinar kepada Gabenor Qom Mohammed Hussein)
Pada masa yang sama, katanya filem animasi dan produk-produk lain juga akan di bawa ke negeri ini dalam usaha memperkenalkan produk Negara terbabit di samping usahasama dalam ekonomi kedua negeri.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily, di sini semalam.

Baru-baru ini, enam orang delegasi kerajaan Iran dari Wilayah Qom melakukan lawatan rasmi ke negeri ini diketuai Gabenornya, Mohammed Hussein telah melakukan lawatan rasmi selama dua hari.

“Iran juga telah menyudahkan sebanyak 24 siri rancangan tentang kehidupan Nabi Muhammad saw dan ia akan ditayangkan dalam expo kebudayaan Iran nanti di Kelantan,”ujarnya.

Pada masa yang sama, qari dari Iran juga akan dijemput untuk memperdengarkan bacaan al Quran yang mempunyai kemahiran computer yang boleh menjawa pelbagai pertanyaan secara spontan.

Bersih 3.0 bukan ancaman keselamatan negara

MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my, 22 Apr 2012
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak sepatutnya menghalang Perhimpunan Bersih 3.0 yang dirancang untuk diadakan pada jam 2 petang 28 April depan, kerana Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Hussien sudah memperakui,  ia bukan suatu ancaman kepada keselamatan negara.

Hishamuddin dalam suatu kenyataan berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak melihat perhimpunan "duduk bantah" Bersih 3.0 sebagai ancaman kepada keselamatan kerana ia didakwa hanya mempunyai sedikit daya tarik kepada orang ramai.

Katanya, perhimpunan itu tidak ikhlas kerana ia bermotifkan politik kerana dimasukkan bersama beberapa isu, termasuk ISA, pinjaman pelajaran dan Lynas.

Kita tidak menafikan bahawa memang Perhimpunan Bersih 3.0 bermotifkan politik. Iaitu untuk memastikan sistem politik dan parti politik yang menerajui pemerintahan negara, diamalkan secara telus dan demokratik.

Bersih 3.0 diterajui sekelompok NGO yang mendapati sistem politik dalam negara kita terlalu tercemar dan kotor.

Sistem politik asalnya tidak kotor. Ia dikotorkan ahli-ahli politik. Ianya kotor kerana sikap ahli politik yang rakus dan tamakkan kuasa, sehingga sanggup membelakangi norma-norma moral serta kehidupan.

Dalam hal ini, rakyat terpaksa berhadapan dengan kerakusan ahli-ahli politik Umno-Barisan Nasional. Mereka memanipulasikan  segenap ruang yang ada untuk mengekalkan kuasa mereka.

Kuasa yang mereka nikmati sejak sebelum merdeka sehingga sekarang, tergugat dengan kebangkitan kuasa rakyat pada PRU, 8 Mac 2008.

Dengan Jumlah kerusi Parlimen yang hampir sama dengan Pakatan Rakyat, disertakan dengan kekalahan di beberapa buah negeri, BN cukup gementar untuk menghadapi Pakatan pada PRU kali ini.

Mereka gementar kerana natijah daripada PRU  2008 tersebut membuktikan, BN sebenarnya tidak kuat. Mereka kelihatan kuat, hanya kerana didokongi polis, tentera (menerusi undi pos), SPR, Jabatan Penerangan, media dan pelbagai institusi kerajaan.

Umno-BN secara one-to-one, tidak mampu berhadapan dengan Pakatan dalam pertembungan sebagai parti politik. Mereka tiada kekuatan sebenarnya. Mereka tempang jika tidak didokong jentera kerajaan.

Umno-BN sedar bahawa, mereka menang saban kali PRU kerana banyak ruang demokrasi disekat dan ditutup.

Kebebasan bersuara disekat. Parti-parti pembangkang tidak diberi ruang untuk berwacana secara adil dan saksama dalam media cetak dan elektronik.

Dengan taktik mengehadkan demokrasi ini, Umno-BN sebagai kerajaan, dapat menutup segala kelemahan dan pelbagai penyelewengan, salahguna kuasa serta rasuah yang dilakukan pemimpin mereka.

Sebagai contoh, pemimpin Umno-BN Terengganu memaki hamun Sultan dengan menggelarkan Raja mereka sebagai binatang, dengan melakukan demonstrasi di hadapan istana, tidak dianggap suatu kesalahan.

Tetapi sedikit bisik-bisik pemimpin Pakatan di majlis Istana, digembar gemburkan dengan begitu besar, seolah-olah wujud penghinaan kepada Raja.

Sifat 'celaka' ini diamalkan secara berleluasa, dalam segenap aspek, semata-mata untuk memburuk-burukkan Pakatan, dalam masa yang sama cuba mensucikan Umno yang berada di dalam kekotoran.

Justeru pada 28 April ini, rakyat yang semakin muak dengan amalan 'politik longkang' Umno-BN, akan berhimpun Duduk Bantah di Dataran Merdeka.

Umno-BN tidak berani menghalang Perhimpunan Bersih. Mereka cuba bermain 'silap mata' dengan mengatakan mereka tiada masalah untuk membenarkan rakyat berhimpun.

Tetapi kata mereka, itu hak polis dan DBKL untuk memberi kebenaran. Rakyat tidak bodoh macam pemimpin Umno-BN. Rakyat tahu, mereka yang terdiri daripada ahli politik longkang inilah, yang mengarahkan pihak berkenaan menghalang perhimpunan.

Sama ada dibenar atau tidak. Sama ada diancam atau tidak, jentera yang diterajui Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said tidak akan berundur.

Kami akan pastikan 28 April ini, Dataran Merdeka dibanjiri lautan rakyat yang mahukan sistem pilihan raya diperbaiki dan dipelihara dari sebarang manipulasi.

Jom Bersih 3.0. Duduk Bantah demi keadilan dan hak rakyat. Hidup rakyat!

PTPTN: Kenyataan Hadi, Anwar tidak bercanggah

Harakahdaily, 22 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (gambar) menyelar laporan The Star dan beberapa media perdana hari ini yang cuba menggambarkan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang seolah-olah tidak bersetuju dengan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional PTPTN.

Menurutnya, akhbar itu juga dalam laporannya cuba menunjukkan kononnya presiden PAS menyanggah cadangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan PTPTN jika Pakatan Rakyat meguasai Putrajaya.

"Ini adalah menunjukkan niat jahat untuk melaga-lagakan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat semata-mata. Media arus perdana ini dengan jeleknya telah sengaja memutar belitkan maksud ulasan Presiden PAS seperti mana menjadi amalan kebiasaan mereka.

"Ingin dipertegaskan bahawa isu penghapusan PTPTN telah dibincang dengan mendalam dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga turut memberikan pandangan yang menjadi pendirian bersama pimpinan Pakatan Rakyat dalam isu ini," kata Samsuri.

The Star dalam laporannya yang bertajuk ‘PTPTN must stay for now’ yang memetik sumber Sinar Harian melaporkan kononnya Abdul Hadi tidak menyokong penghapusan PTPTN dan memberikan pandangan yang bercanggah dari Anwar dalam isu PTPTN.

Sedangkan kenyataan asal Abdul Hadi yang dipetik akhbar berbahasa Melayu itu langsung tidak menunjukkan sebarang percanggahan dengan kenyataan Ketua Umum PKR itu seperti dilapor The Star.

"Apa yang dipertegaskan oleh Presiden PAS ialah bahawa PTPTN akan dihapuskan. Manakala penghapusan PTPTN pula akan dilaksanakan dengan prosesnya.

"Proses yang dimaksudkan oleh Presiden PAS di sini ialah penghapusan PTPTN sepatutnya tidak membimbangkan mana-mana pihak, kerana ianya akan dilaksanakan dengan penuh prinsip keadilan dan tidak membebankan rakyat, di mana orang miskin akan dibela tanpa mengira kaum mereka dan orang yang kaya mestilah memainkan tanggungjawab membantu mengikut kemampuan mereka dalam sebuah negara," kata Samsuri lagi.

Menurut laporan Sinar Harian semalam, Abdul Hadi juga turut mendakwa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) berbohong kepada rakyat apabila menyatakan negara akan jatuh bankrap sekiranya dana pendidikan itu dihapuskan.

“Pendidikan percuma itu konsep negara berkebajikan yang PAS kemukakan. Masalah dana perlu ditangani dengan bijak, kita nak laksanakan konsep (negara berkebajikan) tapi terpaksa memikul bebanan kesalahan BN.

“Bankrap itu tidak betul, bohong, ia disebabkan salah urus. Banyak negara seperti Britain, Sweeden, Norway dan Jerman beri pendidikan percuma. Apa yang berlaku adalah kerana duit negara bocor sebab rasuah, penyelewengan,” katanya.

Ruang manipulasi pilihan raya makin luas terbuka

Muhammad Yusri Amin, 22 Apr 2012
KOTA BHARU: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff mendakwa sekarang ini peluang manipulasi terbuka luas terhadap lebih 40,000 pengundi ragu yang tidak boleh dimansuhkan nama mereka dari daftar pemilih.

Sambil merujuk kepada pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di Dewan Rakyat minggu lalu, beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, pindaan itu seolah-olah mahu memudahkan pengundi ragu tersebut mengundi.


(Gambar kiri: Wan Rahim menyampaikan cenderahati kepada Siti Zailah selaku perasmi mesyuarat Agung PAS Kota Bharu)
"Ini termasuklah apabila dihapuskan ‘barong panas’ parti-parti yang bertanding untuk membuat semakan pengundi, bahkan dihapuskan tempoh dua jam (untuk) petugas Paca (Polling And Counting Agent).

“Dan ini memberi ruang ke arah berlakunya penipuan di mana kita tidak boleh ‘mengcam’ pengundi. Maknanya, Paca hanya dipanggil apabila diperlukan oleh SPR sahaja," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang bercakap kepada pemberita pada majlis Perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kota Bharu kali ke-45 di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini semalam.

Selain isu 40,000 pengundi ragu, pertambahan melampau 500,000 pengundi baru di Selangor juga dilihat seperti ada yang tidak kena.

Namun dengan pindaan terbaru yang menghalang wakil parti dari membuat semakan identiti pengundi, ia mungkin menyenangkan sebarang manipulasi dilakukan.

(Gambar kanan: Warga Tioghua turut hadir memeriahkan perasmian mesyuarat Agung PAS Kota Bharu)
“Dari jumlah 500 ribu (pengundi baru) itu macam mana kita boleh cam mereka apabila identiti mereka kita (pihak parti bertanding) tidak dibenarkan semak sebelum mereka masuk ke kawasan mengundi," katanya lagi.

Terdahulu turut hadir pada majlis itu Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Exco Kerajaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Addun Tanjong Mas Rohani Ibrahim.

ISA: Najib tidak minta maaf

Subky Latif, 20 Apr 2012
TIDAK ada sebarang isyarat pada Perdana Menteri Najib dan kerajaan Barisan Nasional bahawa ISA yang zalim yang berusia 52 tahun tidak betul. Padanya dan pada mereka bahawa ISA tetap betul  dan dikehendaki.


Ia dimansuhkan  dan diganti dengan yang lain bukan kerana ia tidak betul dan bukan kerana zalim tetapi ialah kerana akta itu dibenci oleh umum dan ia sudah bertambah tidak popular.

Selama ini bermati-matian UMNO dan Barisan Nasional mempertahankan sebagai suatu yang baik dan amat diperlukan untuk keamanan dan keselamatan negara. Kerana ada  ISA itulah kononnya keamanan dan kestabilan politik terjamin sejak merdeka. Atas hikmat itulah negara maju dan pelaburan serta pelancong datang mencurah-curah.

Oleh kerana ISA itu sudah berjasa kepada negara, kerajaan dan rakyat, ia dikira terlalu penting, maka mengapa pula ia dimansuhkan?

Sebenarnya ISA tidak ada apa-apa hikmah kepada negara dan rakyat. Hikmahnya hanya ia dapat digunakan untuk mempertahankan kuasa UMNO dalam kerajaan.

PRU 1959 UMNO hilang dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu. Ia adalah amaran mungkin ada lagi negeri yang hilang dalam PRU selepasnya. Tahun 1960 ISA dicipta kononnya untuk membendung komunis. Menjelang PRU 1964 ramai pemimpin pembangkang seperti Dr. Burhanuddin Al-Hilmy, Dato Raja Hanifah, Ahmad Boestamam, Pak Sako, Aziz Ishak dan lain-lain  dikenakan tindakan  ISA atas alasan bersubahat dengan konfrontasi Indonesia.

Ketika UMNO piminan Tun Razak dan  Hussein Onn berkrisis dengan Pemuda UMNO atas isu UMNO dikatakan  disusup komunis, ia tahanan beberapa orang pro kerajaan seperti Abdullah Ahmad, Abdullah Majid dan A. Samad Ismail, tetapi pemimpin pembangkang seperti Kassim Ahmad dan lain-lain juga ditahan.

Ketika Pemuda UMNO di bawah Najib berentap dengan MCA yang menyokong Menteri Lee Kim Sai, mereka tidak ditahan tetapi Operasi Lallang diadakan menahan ramai pemimpin pembangkang termasuk Mat Sabu, Kit Siang, Karpal Singh dan lain-lain. Mereka cekup sama pemimpin Pemuda UMNO iaitu Fahmi Ibrahim, Ibrahim Ali dan Tajuddin Abdul Rahman tetapi mereka ditahan untuk dibebaskan.

Gara-gara Ibrahim Libya terlepas dari cekupan, polis menyerbu Memali menyebabkan 14 orang awam termasuk Ibrahim Libya bersama 4 anggota polis terbunuh. Ramai juga cedera.

Yang bercerai, putus mata pencarian, pelajaran  anak-anak tergendala dan lain-lain adalah angkara undang-undang rimba ini.

Apa jua keburukannya UMNO dan kerajaan tetap berbangga kononnya ISA adalah berhikmah. Tetapi kempen anti ISA mahu ia dimansuhkan terus mendapat sokongan. Ada menteri UMNO meletak jawatan dan keluar UMNO kerana tidak setuju dengan dasar ISA. Ia perkembangan baru pada UMNO.

Penyatuan pembangkang sebelum  dan selepas PRU Mac 2008 secara berani mengeluarkan Buku Jingga menjanjikan ISA akan dimansuhkan dalam masa 100 hari Putrajaya ditawan.

Janji itu tidak boleh dipandang remeh. Ia membulatkan sokongan bukan Melayu dan peratus Melayu yang bersetuju juga ramai. Gerakan  anti ISA ini boleh menjadi malapetaka kepada UMNO.

Bukan kerana Najib dan kerajaan memandang ISA itu buruk, tetapi mempertahan akta yang besar jasanya kepada UMNO selama ini tidak lagi dapat membantunya.

Kemungkinan tumbang oleh hantu ISA itu lebih mudah. Betapa sayang Najib dan UMNO kepada ISA, ia sudah tidak membantu. Ia terpaksa melepaskan apa yang amat disayang kerana ia sudah tidak banyak gunanya. Atas nama transformasi politik dan undang-undang Najib cuba laksanakan janji Buku Jingga sebelum sempat Pakatan Rakyat berkuasa.

Ia curi senjata pembangkang dengan harapan kuasa tidak cicir. Ia cuba beri beberapa keburukan ISA dibandingkan dengan akta gantinya. Tetapi sedikit pun kerajaan BN dan penyokong tidak menyesali kezaliman ISA selama 52 tahun itu.

Ia belum mahu minta maaf. Orang pun tidak mahu memaafkannya.

Loke yang meminati Aishah

Ahmad Lutfi Othman, 20 Apr 2012
Hujung minggu lalu, saya cuba merasai dan menyelami kehangatan politik di Negeri Sembilan dan Melaka, dua negeri yang dianggap penting dan kritikal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Sabtu dan Ahad itu saya manfaatkan untuk memahami situasi terkini, dengan menemubual pemimpin tertinggi Pakatan negeri-negeri berkenaan, di samping membaca realiti siasah yang mungkin tergambar di mana-mana.

Sememangnya impian rakyat untuk menggapai perubahan terjelma di merata tempat. Ia tidak dapat disembunyikan lagi. Pemimpin Umno serta para strategisnya (dibantu jentera perisikan polis, tentera dan yang diupah khas) tentu dapat mengesan gelombang kebangkitan ini dan bersiap dengan pelbagai tipu-helah.

Sebenarnya, selepas Mac 2008, tiada lagi wilayah, termasuk di Sabah dan Sarawak, yang boleh dipandang mudah oleh BN dan juga Pakatan Rakyat. Rakyat semakin bijak dan cermat untuk menilai, menghakimi dan membuat pilihan. Mereka berminat mendengar hujah dan pandangan semua pihak, sebelum memutuskan parti mana yang terbaik untuk membentuk kerajaan.

Meskipun bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin hanya membataskan Melaka, Johor dan Pahang sebagai negeri selesa untuk dipertahankan BN, namun banyak pihak menyifatkan kejutan boleh berlaku di mana sahaja.

Empat tahun lalu, Negeri Sembilan merupakan benteng terakhir di selatan, yang dapat menahan terjahan tsunami politik yang membadai Pantai Barat, bermula dari Kedah, merentasi Pulau Pinang, menjalar ke Perak, Wilayah Persekutuan dan merobohkan kubu kebal BN di Selangor.

BN Negeri Sembilan tidak lagi mempunyai majoriti dua pertiga dalam sidang Dun. DAP menjadi pemenang terbesar apabila menang 10 daripada 11 kerusi yang ditandinginya. PAS pula mendapat kerusi tunggal di Paroi, disandang Pesuruhjaya, Taufek Abd Ghani.

Berbekalkan 15 kerusi Dun, termasuk empat dimenangi KeADILan, Pakatan perlu menang sekurang-kurangnya empat kerusi lagi, untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Bersama wartawan kanan, Wan Nordin Wan Yaacob, yang juga menetap di Negeri Sembilan dan pemberita negeri, Faiz Abdullah, kami berbicara panjang dengan Pengerusi DAP Negeri,  Anthony Loke, yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri, di sebuah restoran mamak, dekat Seremban, petang 14 April itu.

Adun Lobak sejak 2004 itu, dengan majoriti kemenangan terbesar 6,928 undi -- meraih hampir 80 peratus daripada keseluruhan undi yang dibuang -- ternyata dihormati penduduk sekitar. Ramai yang keluar masuk restoran menyapa dan bersalam dengannya.

Di peringkat Parlimen, pada 2008, beliau mengalahkan calon MCA di Rasah, dengan kelebihan 13,151 undi. Beliau turut dilantik menjadi anggota PSC penambahbaikan proses pilihan raya.

Saya tidak perlu lama mendengar pandangan politiknya sebelum berani merumuskan Loke memang berkeupayaan menggerakkan perubahan bersama rakan-rakan dalam Pakatan, sehingga mampu menumbangkan BN Negeri Sembilan dalam PRU13 nanti.

Sudah tentu tumpuan perbincangan kami lebih merujuk kepada kedudukan kerusi yang masih belum dimenangi Pakatan, khususnya kawasan majoriti Melayu, yang kebanyakannya ditandingi PAS.

Loke cukup prihatin dengan gambaran umum bahawa masyarakat Melayu, terutama di luar bandar, dilihat agak sukar untuk melakukan perubahan, sebaliknya masih mudah dipengaruhi propaganda dan dakyah perkauman Umno.

Beliau memberi jaminan akan bekerja lebih keras bagi memastikan pengundi Cina akan menyokong calon PAS sepertimana mereka memihak calon DAP. Katanya, beberapa kerusi Dun yang ditandingi PAS, yang mempunyai jumlah pengundi Cina agak besar, akan menjadi sasaran kempen DAP.

Semasa PRU12, ujarnya, masih ada masyarakat Tionghoa, yang ragu-ragu untuk mengundi PAS, tambahan pula ketika itu, tiada wujud kerjasama secara langsung di antara PAS dan DAP.


Secara jelas beliau menyebut, kerusi Dun Klawang yang ditandingi PAS pada 2008, yang mempunyai pengundi Cina lebih 30 peratus, berpotensi besar untuk menang jika DAP turun padang berkempen.

Ditanya kemungkinan DAP bakal menurunkan calon Melayu, tanpa ragu-ragu Loke menjelaskan, meskipun DAP parti berbilang kaum, ia akan mengkaji dengan rapi setiap strategi dan tindakan bagi mengukuhkan Pakatan.

Dan beliau amat menyedari isu calon Melayu DAP itu merupakan modal politik Umno untuk menakutkan orang Melayu.

"Kita tidak akan benarkan Umno menggunakan isu ini untuk takut-takutkan orang Melayu," tegasnya.

Walaupun menyedari MCA akan mengeksploitasi soal itu, seperti yang dilakukan di Perak apabila DAP bersetuju dengan perlantikan Dato' Seri Nizar Jamaluddin daripada PAS walaupun parti Islam itu mempunyai jumlah Adun paling kecil, Loke berkata, pengundi Cina lebih praktikal persepsi politik mereka.

"Rata-rata orang Cina tidak ada masalah untuk menerima menteri besar atau perdana menteri Melayu. Mareka lebih pentingkan dasar-dasar yang adil, telus dan kompeten. Dan mereka mahukan pemimpin yang cekap, tidak rasuah, adil dan melayan semua rakyat secara saksama," kata Loke lagi.

Apatah lagi, tambahnya, dasar dan persefahaman dalam Pakatan memilih konsep mentadbir secara bersama, menghormati pembahagian kuasa dengan tiada satu parti pun  boleh memutuskan semua perkara secara bersendirian.


"Di Negeri Sembilan, Pakatan Rakyat di sini merupakan yang pertama melancarkan manifesto PRU13, di Gemas, pada 15 Januari lalu. Ini mungkin satu petunjuk yang baik," katanya sambil ketawa kecil.

Loke nampak selesa berbual dan langsung tidak menunjukkan beliau mahu menamatkan wawancara hampir dua jam itu. Oleh kerana kami terikat dengan temujanji lain, saya agak berasa bersalah untuk meminta beliau merumuskan sesi sembang-sembang itu.

Katanya, sebagai panglima dalam PRU13 nanti, beliau harus berada dalam posisi menyerang meskipun terpaksa berdepan risiko yang tinggi.

Justeru, Loke akan berpindah daripada kawasan selamat di Lobak, ke Chennah, dalam Parlimen Jelebu yang diwakili Dr Rais Yatim, satu-satunya kerusi Dun ditandingi DAP yang kalah kepada calon BN empat tahun lalu, dengan perbedaan 1,298 undi.

Sekali lagi, tanpa sedar, penghormatan saya kepadanya meningkat.

Loke sempat bertanyakan perkembangan penyanyi Aishah, yang baru menyertai PAS. "Saya pun minat Aishah, lagu-lagu dia pun saya suka," katanya, sambil jarinya pantas berlari di atas skrin ipad Samsung. Dalam keriuhan restoran itu, terdengar lagu Janji Manismu ...

"Saya minat lagu-lagu Melayu sejak sekolah lagi. Selain Aishah, saya minat Zainal Abidin dan Amy Search," tambahnya. "Ada orang beritahu saya, PAS mungkin sesuai calonkan Aishah dalam pilihan raya nanti, lagipun, saya difahamkan dia orang Negeri Sembilan," ujarnya, tersenyum.

Wawancara penuh dengan Loke akan disiarkan dalam Harakah keluaran depan, dalam fokus politik Negeri Sembilan, selain temubual dengan Taufek, yang banyak membicarakan kompleksiti trend pengundian masyarakat Melayu pula.

Kematian di depan pejabat PM terhangat

Harakahdaily, 22 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Berita mengenai beberapa insiden yang berlaku pada kematian Allahyarham Mohd Nordin Ahmad Bakri yang meninggal dunia di depan pejabat Perdana Menteri menjadi artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke 16.

Tempat kedua pula ialah berita kegembiraan Bob Kuman apabila Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang datang melawat beliau di rumahnya di Seksyen 11, Kota Damansara minggul lalu.

Ulasan blogger abusyahirah.blogspot.com mengenai sekeping gambar, yang menunjukkan Khalifah terakhir kita Sultan Abdul Hamed II meninggalkan istana atas arahan Presiden Turki pertama Mustafa Kamal Atartuk pada 3 Mac 1922 sebagai peringatan 90 tahun sejarah hitam sistem pemerintahan Islam menduduki tangga ketiga.

Di tangga keempat pula ialah berita mengenai Universiti Limkokwing yang mereka-bentuk sejadah dihasilkan berdasarkan idea yang diberikan oleh Murshidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat sewaktu melawat universiti itu tidak lama dahulu.

Sekeping gambar yang dipaparkan di media perdana yang memberikan gambaran kontroversi terhadap kedudukan Yang DiPertuan Agung and Perdana Menteri Malaysia berada di tangga ke 5.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu, 15 hingga 21 April, 2012.
1
Kematian di depan pejabat PM mengecewakan
2
Dapat juga saya jumpa Tok Guru – Bob Kuman
3
Rasa sedih dan ingin menangis bila melihat gambar ini...
4
Universiti Limkokwing reka sejadah idea Nik Aziz
5
Siapa paling besar....
6
Gambar pemimpin PAS bermewah terhangat
7
Ingat Zahid, apa kamu kata kepada Sultan Kelantan
8
Annuar Musa ditimpa malang lagi
9
Mereka hanya boleh robohkan bangunan ini
10
Dua indiktor untuk pembubaran parlimen

Tiada ulasan: