Isnin, 9 April 2012

BILA MASJID TIDAK DIJADIKAN TEMPAT MENIMBA ILMU...ORANG JAHIL DAN BUKAN AHLI IBADAH NAK MENGUASAI MASJID...SEDANGKAN HANYA SEMINGGU SEKALI DATANG ATAU SETAHUN SEKALI DATANG...ATAU LEBIH DAHSYAT SEUMUR HIDUP SEKALI SAJA DATANG..ITU SETELAH MATI...NAK SOLAT JENAZAH..SUSAH BEKERJASAMA@BERBINCANG DENGAN ORANG JAHIL SERTA BUTA AGAMA...ORANG BUTA AGAMA MEMANG AKAN MENOLAK HUDUD DAN MARAH ORANG YANG HENDAK TAKWA...YANG TAK SUKA ISLAM IALAH SYAITAN..

Shaariibuu dakwa Malaysia 'buat senyap' kes Altantuya

Harakahdaily, 09 Apr 2012
KUALA LUMPUR 9 April: Bapa kepada Altantuya Shaariibuu, Setev Shaariibuu berkata beliau datang ke Malaysia sejak semalam untuk menuntut keadilan terhadap kematian anaknya.

Ianya antara lain mahu menuntut kerajaan mempercepatkan saman sivil RM100 juta beliau terhadap kerajaan Malaysia yang difailkan tahun 2007 lalu.

"Sudah enam tahun saya mencari keadilan untuk anak saya. Ini kali kedua saya datang ke sini (parlimen).

"Kerajaan Mongolia telah hantar surat rasmi kepada kerajaan Malaysia tapi tiada apa-apa respons sehingga sekarang," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini yang diterjemah pembantunya Tsoggerel Och. (Gambar)

Pada sidang media sama, Shaariibuu turut menafikan khabar angin kononnya beliau telah dibayar sejumlah wang oleh kerajaan Malaysia selepas apa yang menimpa anaknya itu.

"Saya datang ke sini menafikannya, saya tak pernah terima walau satu sen.

"Malah saya yang mengeluarkan USD20,000 untuk kos perundangan," katanya lagi.

Anaknya, Altantuya dibunuh sekitar jam 10 malam 19 Okt, 2006 hingga 1 pagi hari berikutnya dalam sebuah hutan yang sedang dibersihkan di Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Shah Alam.

Ianya didakwa ada kaitan dengan urus niaga kapal selam Scorpene dengan Thales International, melibatkan Syarikat Perimekar Sdn Bhd milik Abdul Razak Baginda dan Menteri Pertahanan pada masa itu, Datuk Seri Najib Razak.

Mahkamah bagaimanapun membebaskan Razak, namun dua yang lain yang dituduh bersamanya iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar didapati bersalah.

Bulan lepas, mahkamah Perancis memutuskan untuk memulakan inkuiri terbuka untuk menyiasat pegawai Perancis yang disyaki terlibat dalam skandal kapal selam itu, dan juga komisyen RM570 juta yang diterima Perimekar.

Sebelum ini beliau memberitahu pernah untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tetapi beliau mendakwa 'Najib lari' dari bertemu dengannya.

Ketika ditanya wartawan, apa yang beliau akan beritahu jika berpeluang jumpa Datuk Seri Najib, beliau berkata: "Saya akan bercakap bukan sebagai dia perdana menteri tapi bercakap dari hati seorang bapa ke bapa dan kawan".

Hapus PTPTN jejas Melayu alasan Pak Pandir

Harakahdaily, 09 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 9 April: Umno sekali lagi cuba berlindung di sebalik Melayu akan terjejas jika Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan.


“Pelik bin ajaib, inilah kenyataan Pak Pandir yang keluar daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Apa kena mengena dengan Melayu?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) kepada Harakahdaily.

Beliau juga mempersoalkan bukankah yang meminjam PTPTN adalah majoriti Melayu dan yang miskin juga orang Melayu.

“Alasannya, akan menjejaskan IPTS (institut pengajian tinggi swasta). Apa kaitan  IPTS dengan orang Melayu?” tanya beliau lagi.

Bagi beliau, itu semuanya ada kaitan dengan kroni Umno.

Idris berkata, nampak sangat apa yang Umno lakukan semuanya untuk kepentingan beberapa kerat Melayu yang menjadi  kroni Umno kerana peminjam PTPTN hampir 1.87 juta.

Begitulah juga, katanya kerajaan sibuk untuk mengurangkan subsidi sehingga menyebabkan majoriti rakyat terseksa.

Sebaliknya, tambah beliau subsidi untuk syarikat independent power producer (IPP), melebihi RM10 bilion setiap tahun tidak pernah diusik.

“Memang tepatlah Umno ini memperalatkan Melayu ketika tersepit, menggunakan kaedah Melayu tergugat adalah talian  terakhir Umno untuk menyelamatkan  kuasa mereka,” katanya lagi.

Sewaktu ada kuasa, kata Idris Melayu tidak dibela dan ditangan mereka Melayu tergadai dan terpinggir selepas negara merdeka hampir 55 tahun.

“Umno merancang supaya Melayu susah dengan ini boleh dijadikan modal ketika kuasa tergugat,” ujarnya.

Menurutnya, jika kerajaan BN tidak mampu mencari wang RM43 bilion untuk menghapuskan PTPTN, maka lebih baik menyerahkan kuasa kepada Pakatan Rakyat untuk dibuktikan.

Baginya, Najib merasa bimbang isu PTPTN adalah isu anak muda yang menjadi penentu di dalam PRU akan datang.

Justeru, beliau mengulangi kenyataan bahawa bukan mustahil Najib akan mengisytiharkan PTPTN akan dimansuhkan jika kuasa mereka tergugat.

“Terbaru mereka sudah menghapuskan tol Cheras-Kajang pada 2 Mac lalu walaupun sebelumnya mereka mengejek PR berjanji hendak menghapuskannya, kerana ini melibatkan perjanjian,” katanya lagi.

Tahniah PM ‘lantik’ Najib pangku Menteri Wanita

Harakahdaily, 09 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 9 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ‘melantik’ dirinya sendiri sebagai pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

‘Pelantikan’ itu dibuat bagi menggantikan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang tamat tempoh perkhidmatannya sebagai senator, semalam.

“DPPM merasakan jawatan Datuk Seri Najib sebagai pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat amat sesuai dengan dirinya memandangkan tidak ada lagi pemimpin Umno dari kalangan wanita yang layak menggantikan tempat Datuk Seri Shahrizat,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar).

Menurutnya, mungkin semua pemimpin lain yang ada dalam Umno mahupun Barisan Nasional tidak sehebat dan setanding dengan Najib, ataupun mungkin kesemua pemimpin Umno yang lain tidak boleh dipercayai untuk dijadikan menteri.

Katanya, kehebatan Najib sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membuktikan bahawa sememangnya beliau pemimpin serba boleh sehinggakan portfolio yang berkaitan dengan wanita juga beliau perlu jaga.

“Pelantikan ini melengkapkan tiga portfolio kabinet yang dipegang oleh beliau iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan kini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya kepada Harakahdaily.

Malah, ujarnya DPPM juga mencadangkan supaya Najib membolot semua jawatan Menteri Kabinet yang lain.

“Cadangan ini penting supaya membolehkan beliau dikenali dan menjadi popular di kalangan rakyat Malaysia.

“Menteri-menteri kabinet yang lain boleh dikesampingkan, kerana yang pentingnya Datuk Seri Najib popular dan diminati ramai, bukan pemimpin-pemimpin Umno yang lainnya,” kata Riduan lagi.

Paling penting, kata beliau adalah untuk memastikan Najib menang dalam PRU ke-13, tidak kisah apa jadi kepada Umno atau pemimpin yang lainnya.

Mungkin juga, ujarnya Datuk Seri Najib boleh mengagih-agihkan tugasan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada isterinya.

“Mana-mana program yang tidak sempat dihadirinya boleh diserahkan kepada isterinya, kerana isterinya juga bukan calang-calang orang.

“Dengan itu, isterinya boleh diangkat setanding dengan menteri-menteri kabinet yang lain, serta boleh menentukan dasar dan polisi negara,” katanya lagi.

Selain itu, kata Riduan banyak idea dan projek negara serta peruntukan-peruntukan besar boleh ‘disalurkan’ melalui isterinya.

“Ini barulah dinamakan ‘perkongsian bijak’ antara suami dan isteri yang boleh mem’faraid’ kan portfolio menteri antara keduanya,” katanya.

Guna kedudukan Exco dapatkan tanah kerajaan?

Aslani M, 09 Apr 2012
TUMPAT, 9 April: Pada tahun 1950-an seramai 45 penduduk mendirikan rumah sebagai tempat berteduh di atas tanah milik kerajaan di pekan ini.

Malangnya selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) mentadbir Kelantan pada 1980-an tiba-tiba tanah tersebut dipindah milik kepada seorang pemimpin BN, Datuk Foo Chow Yong.

Sedangkan tanah berkenaan terletak berhampiran Pasar Tumpat dan Masjid Ismailiah menjadi kediaman penduduk Melayu sejak sebelum merdeka lagi.

Semasa pilihanraya 1980-an, Foo Chow Yong calon tunggal daripada MCA menang di kerusi Dun Sungai Keladi, Kota Bharu kemudian dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri.

Difahamkan dengan kedudukan sebagai anggota Exco membolehkan pemimpin terbabit mengambil kesempatan memiliki tanah diduduki penduduk kampung.

Mengulas isu berkenaan Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim (gambar) berkata, kemungkinan pemimpin terbabit menggunakan kedudukannya sebagai anggota Exco mendapatkan tanah bagi kepentingan peribadi dan keluarga.

Katanya, berdasar maklumat banyak tanah dimiliki keluarga pemimpin berkenaan di jajahan Tumpat.

“Ketika itu pemimpin Umno dan BN boleh melakukan apa sahaja termasuk mengambil tanah-tanah diduduki rakyat bagi kepentingan peribadi.

“Mereka tidak kira tanah tersebut diduduki penduduk kampung atau tidak. Mungkin ini yang berlaku di Tumpat sekarang apabila 45 keluarga terpaksa berpindah biar pun sebelum merdeka sudah menduduki tanah berkenaan,” katanya di sini.

Kes berkenaan dibawa ke mahkamah oleh keluarga pemilik tanah. Pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 26 Mac lalu. Bagaimanapun penduduk berharap mendapat perintah membolehkan tempoh perpindahan dilanjut dan dibayar pampasan.

Prosiding kes berkenaan dijangka berlangsung di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, esok. Adun Kelaboran menyediakan khidmat peguam bagi mewakili penduduk.

Dfahamkan sebahagian besar penduduk Melayu yang tinggal ditanah milik keluarga Foo Chow Yong merupakan penyokong Umno.

“Mereka datang menemui saya menceritakan isu berkenaan apabila keluarga mendiang Foo mengarahkan mereka supaya berpindah di atas tanah yang mereka diami sebelum merdeka.

“Penduduk akur tanah tersebut bukan lagi menjadi milik mereka biar pun lebih awal meneroka di situ, namun mereka menuntut keadilan dibayar pampasan setimpal dan tempoh masa berpindah lebih sesuai,” kata Mohd Zaki.

Difahamkan perkampungan Melayu itu akan hanya tinggal nama sahaja sedikit masa lagi apabila rumah-rumah diroboh bagi membolehkan bangunan perniagaan dibina.

Pahang: Kenaikan kos hidup bebankan rakyat

Harakahdaily, 08 Apr 2012

Fokus Panah-UBAH Pahang yang panelnya terdiri daripada pimpinan tertinggi PAS Pahang akan berbicara setiap dua minggu sekali khusus mengenai suasana dan isu-isu semasa politik negeri Pahang Darul Makmur.

Ahli-ahli panel terdiri daripada:
Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan PJ Pahang 1, Ustaz Yusof Embong
Timbalan PJ Pahang 2, Dr Hamzah Jaafar
Timbalan PJ Pahang 3, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan kepada ahli-ahli panel kita, sila emailkan kepada hdaily.kesatuan.fikrah@gmail.com

Minggu ini mereka berbicara mengenai topik berikut:

Bagaimana seriusnya kos hidup menjejaskan rakyat Pahang? Bagaimana anda ingin menyampaikan senario keseriusan hutang negara, defisit bajet dalam bahasa yang boleh difahami rakyat biasa?


Ustaz Tuan Ibrahim:

Kenaikkan kos hidup memang di rasai oleh sebahagian besar rakyat yang berpendapatan rendah serta mempunyai tanggungan bebanan yang besar. Mereka terpaksa berhadapan dengan kenaikan kos hidup, harga barangan yang tidak terkawal.

Kenaikan kos hidup ini dapat dilihat dengan trend perbelanjaan harian dan bilangan tenaga kerja keluarga yang bertambah. Kini, sebahagian besar dari kalangan keluarga turut sama bekerja samada suami isteri bagi menambah pendapatan bagi menghadapi kenaikan kos barangan pengguna.

Dengan pendapatan yang statik serta harga barangan semakin tinggi, kehidupan masyarakat luar bandar tertekan dan terjejas.

Bagi menjelaskan senario peningkatan hutang dan defisit belanjawan untuk mudah difahami oleh golongan awam ialah dengan mengemukakan carta perbandingan antara kedudukan hutang terkini dan sebelumnya. Demikian juga membanyakkan grafik dan gambar dengan ilustrasi yang lebih mudah difahami oleh orang awam.

Lantaran itu, semua bentuk penerangan mestilah disusuli dengan bahan edaran samada ianya diolah dalam bentuk grafik atau carta. Biasanya kaedah ini lebih mudah difahami berbanding ucapan berjela-jela dalam perkara yang sukar difahami oleh orang awam.

Dalam penerangan, pengurusan kewangan negara boleh dikaitkan dengan pengurusan kewangan rumah tangga supaya lebih mudah difahami rakyat.

Contohnya, defisit berlaku apabila pendapatan melebihi pembelanjaan rumah. Ramai yang menggunakan kad kredit untuk menampung defisit berkenaan, iaitu hutang. Apabila timbulnya hutang, ia akan menambahkan komitmen bulanan, kerana selain bayaran bulanan rumah, kereta dan kini kena mengambil sebahagian pendapatan rumah untuk membayar hutang kad kredit bulanan.

Sekiranya pembelanjaan tetap tidak dikawal, defisit setiap bulan dengan hutang akan semakin bertambah, sehingga semua pendapatan masa depan kita tidak boleh digunakan pada perkara yang lebih berfaedah selain membayar hutang.. itulah situasi negara kini, dan cara ini lebih berkesan untuk membuatkan rakyat faham kegawatan dan kepincangan pembendaharaan negara di bawah Umno-BN.

Sebaliknya, sekiranya pembelanjaan dikawal, ada lebihan bulanan dan hutang tidak meningkat, sudah tentu hutang rumah akan dapat dilangsaikan dan inilah sebabnya mengapa rakyat perlu bertukar kerajaan untuk menggantikannya dengan kerajaan yang hemah berbelanja.

Disebabkan hutang negara semakin bertambah, Umno-BN kini cuba meningkatkan pendapatan dengan mengenakan cukai 6 peratus pada kad telefon pra-bayar dan memperkenalkan cukai barangan dan servis (GST) selepas PRU13 atas nama membahagikan beban negara kepada semua lapisan rakyat dengan lebih seimbang – tapi di belakang rakyat, projek-projek seperti NFC terus berlaku tanpa disedari rakyat.

Ustaz Yusof Embong:


Masalah utama yang dihadapi pengurusan kewangan negara ialah soal amanah. Malaysia adalah sebuah negara yang dikurniakan pelbagai sumber semulajadi yang banyak, termasuklah minyak, balak, hasil lautan dan sebagainya.

Dengan pendapatan minyak RM80 bilion setahun – sepatutnya banyak perkara boleh ditanggung kerajaan umpamanya penghapusan PTPTN sekiranya pengurusan kerajaan dijaga rapi dengan kurangnya rasuah dan kebocoran.

Mari kita mengambil contoh pembandingan antara kerajaan BN dan Pakatan Rakyat. Di Kelantan, waktu BN memerintah pada 1985-1989, daripada 158,200 hektar kawasan pembalakan hanya RM8 juta sahaja dikumpul. Di waktu PAS memerintah, kawasan seluas 30,451 hektar, hasil yang dikumpul ialah RM355.85 juta.

Ini jelas menunjukkan soal pengurusan khazanah yang tidak cekap oleh BN.

Di Kedah pula, sebelum PAS memerintah, hasil balak hanya RM8 juta di 2007. Jumlah ini meningkat berlipat-ganda apabila Kedah diperintah PAS, pada 2009, RM38 juta dan pada 2010, RM53 juta.

Di Pulau Pinang pula, kehebatan pentadbiran menyebabkan warga emas dapat menikmati RM100 setahun dan imam-imam masjid di negeri tersebut mendapat gaji yang lebih tinggi berbanding negeri yang lain.

Di Selangor, rakyat pula dapat menikmati air percuma untuk sekian lama dan apabila banjir berlaku, kerajaan PR dapat memberikan peruntukan kepada mangsa banjir pada kadar segera kerana pembelanjaan berhemah mereka.

Rakyat kena memahami bahawa punca kos hidup mereka meningkat di Malaysia adalah disebabkan kurangnya soal amanah di peringkat pentadbiran negara.

Kerajaan boleh memainkan peranan yang penting dan menstabilkan harga-harga keperluan asas seperti minyak bagi menjamin kos kehidupan yang seimbang untuk rakyat dan mementingkan kebajikan rakyat.

Pemimpin yang beriman dan mementingkan soal kemanusiaan akan mementingkan soal amanah, bahawa apa yang diurus adalah duit wang rakyat, dan sentiasa ‘takut kepada Tuhan’ dalam menguruskan pembendaharaan negara.

Tanpa ini, ketirisan, kebocoran, rasuah dan penyelewengan akan terus belaku kerana tiada perasaan tanggungjawab terhadap tugas menjaga wang rakyat.

Rakyat perlu difahamkan bahawa defisit ialah tidak belanja mengikut pendapatan dan kemampuan yang ada. Untuk mengelakkannya, rakyat perlu memilih pemimpin yang beriman dan bersifat kemanusiaan (bagi yang non-Muslim) kerana mereka akan pentingkan soal amanah dan berjimat-cermat dalam menguruskan wang rakyat.


Dr Hamzah Jaafar:


Bahang kenaikan harga barang keperluan dilihat serius apabila rakyat bawahan sendiri mula bercakap di kedai kopi sekaligus mula mempertikaikan kewibawaan kerajaan yang memerintah sekarang. Adakalanya rakyat hanya bercakap di kedai kopi sahaja namun rakyat tidak merasakan keperluan menukar kerajaan.

Walau bagaimanapun situasi sekarang, rakyat mula bercakap soal perlunya melakukan perubahan politik negara apatah lagi politik negeri Pahang. Untuk menambahkan keghairahan rakyat bagi menukar kerajaan maka semua pihak seperti NGO dan parti politik pembangkang harus turun ke bawah membuat penerangan dengan bahasa yang mudah.

Antara perkara yang serius berlaku dalam pengurusan kewangan negara atau negeri ialah masalah kedudukan hutang terkini Kerajaan BN dan juga perbelanjaan yang deficit, berlaku saban tahun.

Dalam konteks ini, rakyat lebih mudah faham tentang hutang negara atau negeri Pahang yang serius bilamana penceramah berjaya mendedahkan jumlah hutang kerajaan negeri semasa diperintah oleh BN dahulu yang kini diperintah oleh Pakatan Rakyat - di mana hasil daripada pentadbiran kewangan yang berasaskan takut kepada Allah, telus, bertanggungjawab dan berjimat cermat, rakyat boleh melihat bagaimana kerajaan Pakatan Rakyat mampu melangsaikan hutang mengikut jadual dan tidak melakukan hutang baru kecuali pada perkara yang munasabah.

Contohnya hutang kerajaan Kelantan sewaktu PAS mengambil alih pentadbiran pada tahun 1990 ialah RM736 juta dan kini telah bejaya dilangsaikan dengan jadual pembayaran yang teratur hasil dari langkah berjimat cermat.

Begitu juga hutang Kerajaan P. Pinang pada 2008 sebanyak lebih kurang RM630 juta dan kini hanya tinggal lebih kurang RM30 juta sahaja lagi.

Manakala Negeri Kedah yang miskin pula terpaksa menanggung hutang yang dibuat oleh kerajaan BN sebanyak RM2 bilion sebelum 2008 dan kini sedang membayar hutang tersebut dengan tidak membuat hutang baru.

Rakyat juga perlu difahamkan bahawa hutang kerajaan negeri yang dibuat oleh Kerajaan BN adalah merupakan hutang atas nama untuk projek yang sebenarnya dibuat untuk mengaut komisyen tapi diwar-warkan di depan untuk keselesaan rakyat.

Seperkara lagi ialah rakyat tidak faham sangat istilah defisit yang sering dilontarkan oleh penceramah bagi membuktikan bahawa kerajaan BN tidak cekap dalam mengurus kewangan negara atau negeri.

Tetapi rakyat kebanyakannya lebih mudah terasa dan faham sekiranya maksud deficit itu diulas dengan bahasa mereka iaitulah kerajaan negeri berbelanja lebih dari pendapatan.


Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi:


1. Negara kita dewasa kini sedang muram dilanda hutang yang begitu tinggi. fenomena ini turut menjejaskan reputasi seluruh negeri untuk membangun serupa pelan pembangunan negeri yang telah dirancang. Justeru hutang negara adalah hutang kita semua. Membayar hutang mesti diambil dari dana negara sementara dana negara adalah terkumpul dari hasil negara yang diusahakan oleh pelbagai lapisan masyarakat dalam pelbagai sektor pula.

2. Meningkatnya angka hutang bermakna meningkatnya pula tekanan ke atas rakyat agar bekerja lebih keras serta berjimat sebanyak yang boleh. Sementara harga barang meningkat tentu sahaja kos hidup turut meningkat dan menghambat keselesaan serta ketenangan rakyat. Saksikan senario yang saya bawa di bawah :

Senario Hutang Negara :

a] Hutang negara bernilai RM 266 bilion pada tahun 2007
Hutang negara meningkat kepada nilai RM  456 bilion pada tahun 2011

b] Sementara hutang rakyat mencecah RM 700 bilion.  60% daripadanya ialah hutang perumahan. 30% hutang kenderaan dan 10% hutang peribadi seperti PTPTN dan sebagainya. [ Tahukah anda tutang rakyat Malaysia kedua tertinggi di Asia?]

c] Hutang negara mengatasi kadar pendapatan. Justeru itulah pakar-pakar ekonomi menjangkakan pada tahun 2019 hutang negara bakal mencecah 100% dan masa itu negara akan jatuh bankrap.

3. Begitulah seriusnya kedudukan ekonomi negara kita dan kesannya menjulur ke negeri Pahang. Tambah duka apabila negeri Pahang antara negeri yang dikurniakan balak dan stoknya yang begitu banyak, namun malang Pahang juga antara negeri memiliki kadar hutang yang tinggi dengan nilai RM 2.17 bilion sebagaimana yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.

4. Persoalan yang timbul ialah bagaimana pula mahu memberi penjelasan mengenai tahap kritikal masa depan hidup rakyat. Sumber maklumat kita dikekang. TV, radio dan akhbar arus perdana masih teguh di belakang Datok Seri Najib Abd Razak dan memberi ruang selebarnya kepada mereka untuk berkempen dan memenangi tumpuan minda rakyat. Sedang PR hanya banyak bergantung dari media lidah rasmi parti yang sangat terhad dan terbatas penerbitannya.

5. Selain memanafaatkan semaksima mungkin ruang teknologi maklumat yang ada seperti Facebook, Twitter dan laman-laman web untuk memuat naik segala maklumat dan risalah perjuangan yang didokong oleh parti [sementara di ruang inilah kebanyakan anak-anak muda era ini lepak, santai dan bertukar pandangan], pihak petugas parti tidak mempunyai pilihan lain melainkan terus memperkasakan kaedah tradisional dan konvensional sehingga tiada sebuah rumah pun tertinggal melainkan sampai dipintu rumah dan hati penghuninya maklumat semasa dan risalah perjuangan kita.

6. Kreativiti adalah suatu yang penting. Menyedari kaedah pembelajaran dengar dan tonton lebih berkesan dari hanya mendengar semata-mata, maka Jabatan Penerangan PAS Negeri boleh menyediakan format-format slide berfakta untuk semua petugas penerangan dan ahli parti  bahkan pimpinan menggunakan kaedah penyampaian maklumat berfakta serta tonton dan dengar.

7. Konsep sembang kedai kopi serta berbual santai tetapi membawa mesej serta maklumat berfakta antara pendekatan yang boleh dipraktis dengan mensasarkan hotspot  anak-anak muda, warung rakyat, hentian bas atau teksi, kantin tempat kerja, anjung surau dan masjid.

8. Fokus juga pada sumber tenaga parti yang mesti di perkukuhkan. Ianya boleh diperkukuh melalui internal program parti seperti usrah, tamrin, mukhayyam, liqa fikri dan seumpamanya. Paling minima , 3 paksi utama ini mesti mantap dan kukuh.

a] paksi pertama ialah tasawwur ilmu Islam yang jelas. Tasawwur yang didirikan atas aqidah yang sah dan fikrah serta manhaj perjuangan islam jelas dan tulen. Memahami tuntutan serta keperluan jamaah dan ummah.

b] paksi kedua ialah kaedah penyampaian dan pendekatan. Akhlak yang soleh mestilah melandasi setiap aktiviti dan kreativiti kita. Konsep Gembirakan jangan meliarkan orang ramai dari perjuangan kita amat penting dihayati dan menjadi modul teras dalam latihan petugas penerangan parti.

c] paksi ketiga ialah hubungan petugas parti dengan Allah swt Tuhan yang akan memberi hidayah kepada siapa sahaja yang dikehendakiNya. Termasuklah konsep hubungan dengan Allah [ Taqarrub ] petugas parti sekali-kali jangan melakukan maksiat dan mungkar justeru inilah satu-satunya advantage yang ada pada kita untuk mengatasi lawan yang serba lebih dalam memiliki keupayaan material dan fizikal.

Ustaz Suhaimi Saad:


Kos hidup kini meningkat pada kadar yang sangat tinggi. Barangkali orang tua yang duduk di kampung tak merasainya sebab anak-anak sudah dewasa dan bekerja, kos membesarkan anak anak tak perlu, malah anak-anak yang hantar belanja setiap bulan ke kampung.

Orang tua di kampung ini pula tinggal di rumah sendiri, tak perlu fikir soal sewa. Bil api air yang rendah kerana hanya suami isteri tinggal berdua.

Peningkatan kos hidup ini amat dirasai oleh golongan pertengahan yang menjadi jumlah terbesar rakyat. Membesarkan anak di tengah-tengah kenaikan harga barang sangat menyesakkan, ramai yang bergelut dengan kadar sewa rumah, bil api air yang membebankan, hutang kereta yang perlu dilangsaikan setiap bulan, bagi mengelakkan kereta ditarik kerana dengan pengangkutan awam yang tidak efisyen, tanpa kenderaan kebanyakan golongan pertengahan akan hilang sumber pendapatan.


(Gambar kartun di atas barangkali boleh menjelaskan secara mudah. apa yang sedang rakyat hadapi sekarang.)

Ringkasnya, golongan pertegahan ini kini hidup dalam tekanan.

Sebab itulah kerajaan sepatutnya mencari jalan untuk menurunkan kos hidup rakyat, bukannya memberi wang pada rakyat yang habis dibelanjakan dalam masa setengah hari. RM500 hanya menyelesaikan masalah rakyat dalam setengah hari,

Jika kerajaan berusaha menurun dan mengawal kenaikan harga barang, bermakna kerajaan telah membantu rakyat pada setiap hari.

Saya melihat hutang negara tinggi hanya untuk memenuhi nafsu kemewahan pemimpin negara. Rasuah semakin bermaharajalela, malah telah menjadi raja dalam segala transaksi kerajaan.

Ketirisan perbelanjaan berlaku besar, istilah tiris tak sesuai digunakan sebab tiris hanya melibatkan lubang yang kecil, sekarang ini, lubang bocornya tersangat besar. Hutang yang banyak sekarang ini, adalah duit daripada masa depan untuk hanya menutup lubang rasuah, salahguna wang rakyat dan pembaziran. Jika ini berterusan, apa yang akan ditinggalkan untuk generasi hadapan hanyalah hutang, kerana pendapatan mereka sudah dihabiskan dalam hutang. Inilah ciri-ciri negara yang bakal menghadapi bankrap.

Beban hutang kerajaan akhirnya perlu ditanggung oleh rakyat melalui pelbagai cukai langsung atau tidak langsung yang akan diumumkan oleh kerajaan. Tunggu selepas pilihanraya dengan cukai 6% prabayar kad telefon dan GSTnya semata-mata untuk meningkatkan pendapatan negara untuk menampung kebocoran perbelanjaan dan projek-projek seperti NFC.

Nazir diserang ketika mesyuarat pilih JK masjid

Muhammad faizal, 08 Apr 2012

KAJANG, 8 April: Seorang nazir masjid di Bandar Baru Bangi lebam di mata selepas diserang seorang pemuda yang dipercayai tidak berpuas hati dengan proses pemilihan jawatankuasa masjid.

Difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.45 pagi tadi ketika Mohd Abd Basir Alias (gambar), 45, Nazir Masjid As-Solehin Teras Jernang baru sahaja memulakan mesyuarat agung tahunan pemilihan jawatankuasa di masjid berkenan.

Tiba-tiba, beliau didatangi sekumpulan pemuda yang juga ahli qariah di situ yang memarahinya sambil bercakap kasar dan menunjukkan jari ke mukanya.

Dalam suasana kecoh itu, salah seorang dari mereka tiba-tiba menghantukkan kepala kepada Abd Basir. Akibat tindakan itu, mata beliau bengkak dan lebam.

Selepas beberapa ketika difahamkan Pegawai Tadbir dari Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat tiba di situ bagi menenangkan suasana sekaligus menangguhkan mesyuarat itu ke suatu tarikh yang lain.

Abd Basir yang bimbang keselamatannya kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini.

Beliau dilihat bersama peguam Ahmad Denial Roslan membuat laporan polis itu kira-kira jam 10.20 pagi.

Bercakap kepada Harakahdaily selepas membuat laporan polis pagi tadi, Abd Basir meluahkan rasa kecewa dengan insiden yang menimpanya hari ini.

"Saya tidak menjangkakan beliau akan menggunakan kepala sebab saya dah bersedia untuk mengelak jika beliau bertindak memukul saya menggunakan tangannya.

"Ini sesuatu yang sangat dikesalkan. Sebarang unsur samseng dan keganasan tidak sepatutnya ada di masjid," luahnya kecewa lebih lebih lagi ianya berlaku dalam masjid.

Selain itu beliau yang telah empat tahun menjadi nazir di masjid itu juga kecewa kerana mesyuarat yang dirancang sejak sekian lama terpaksa dibatalkan dan ditangguhkan.

"Tujuan saya buat laporan polis ini adalah kerana mahu pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas lelaki tersebut serta bimbang keselamatan diri saya,"katanya lagi.

Turut hadir memberi sokongan moral di balai polis pagi ini termasuk AJK PAS Pusat Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

Sementara itu, peguam Ahmad Denial menjelaskan kes tersebut dijangkakan akan disiasat di bawah Seksyen 323 (Kanun Keseksaan) yang menyebabkan kecederaan.

"Abd Basir telah dicederakan dengan sengaja di mata kanannya lebam apabila dihantuk dengan kepala oleh seorang individu yang dikenalinya.

"Kita berharap pihak polis dapat mengambil tindakan yang tegas terhadap individu tersebut kerana terdapat bukti dan saksi yang mengesahkan kejadian tersebut," jelasnya.

Difahamkan Abd Basir akan membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Kajang berhubung kecederaan yang dialami olehnya selepas selesai memberi keterangan kepada pihak polis

Tiada ulasan: