Selasa, 10 April 2012

MANUSIA MEMANG DISURUH MENEGAKKAN KEBENARAN...DAN MELAKUKAN PERKARA YANG BERSIH DAN TIDAK MENIPU...ISLAM MENUNTUT KEADILAN@TELUS@TAK ZALIM@BERSIH DARI PENIPU..MAKA MENYOKONGNYA SATU TUNTUTAN

Jika pemimpin ditangkap rakyat tetap berhimpun

Abdul Aziz Mustafa, 07 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 7 April: Jika pemimpin ditangkap sekalipun, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) yakin rakyat tetap membanjiri ibu kota dan tempat-tempat lain menyemarakkan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

"Dalam keadaan serba ketakutan setelah Bersih 2.0 dahulu mengakibatkan imej (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) merudum, saya yakin kerajaan Umno akan memperalatkan habis-habisan polis dan lain-lain pihak berkuasa untuk mematahkan perhimpunan Bersih 3.0 itu," kata beliau.

Beliau menjangkakan, sama seperti menjelang perhimpunan Bersih 2.0 lalu, para pemimpin parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) akan ditangkap dengan harapan untuk menakut-nakutkan rakyat dari berhimpun.

"Tetapi, walaupun hampir semua para pemimpin tertinggi ditangkap awal-awal lagi ketika perhimpunan Bersih 2.0 belum pun bermula, rakyat tetap membanjiri Kuala Lumpur berhimpun menuntut pilihan raya yang adil dan bersih. Berhimpun tanpa pemimpin.

"Lautan manusia berhimpun di KLCC dan di pelbagai tempat di Kuala Lumpur.

"Kebangkitan itu hampir 100 peratus kebangkitan rakyat, tiada pemimpin tertinggi dan itulah sebabnya para pemimpin Umno 'kencing di dalam seluar' mereka," kata Mohamad.

Antara begitu ramai pemimpin tertinggi yang ditangkap sebelum perhimpunan Bersih 2.0 dahulu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Mohamad sendiri dilanggar sebelum diseret ke dalam lokap malah beliau terpaksa menjalani pembedahan selepas itu akibat dilanggar.

Dengan pelbagai perkembangan yang berlaku, Mohamad yakin lebih ramai rakyat yang akan membanjiri Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain pada perhimpunan Bersih 3.0 hujung bulan ini.

"Hanya satu daripada lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang diluluskan dalam laporan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC).

"Dalam pada itu muncul semakin banyak bukti mengenai kewujudan 'task force' yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum nanti," katanya.

Semua itu, kata Mohamad, menjadi pemangkin dan pendorong kebangkitan rakyat tidak kira ada pemimpin atau tidak ada pemimpin.

"Tangkaplah pemimpin mana sekalipun, ia tidak akan dapat menakut-nakutkan rakyat dari berhimpun untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih," tegas beliau.

Mohamad memberitahu, beliau memang mengimpikan kebangkitan tanpa pemimpin di negara ini.

"Di dalam ceramah-ceramah saya, selalu saya menyatakan impian saya untuk melihat kebangkitan tanpa pemimpin seperti yang berlaku di Mesir sehingga tergulingnya Hosni Mubarak.

"Kebangkitan itu tidak digerakkan oleh mana-mana pemimpin parti politik tetapi dicetuskan oleh anak-anak muda aktivis rakyat seperti Wail Ghonim," katanya.

Beliau juga yakin selagi lapan tuntutan Bersih ditunaikan, rakyat tetap berhimpun dan berhimpun.

"Selepas Bersih 3.0, akan ada Bersih 4.0, Bersih 5.0, Bersih 6.0 dan seterusnya dan seterusnya selagi pilihan raya negara ini kotor dan tidak adil," tegas beliau.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sebelum ini mengemukakan lapan tuntutan ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini.

Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

SPR tiada hak bercakap hak asasi rakyat

Salmiyah Harun, 07 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 7 April: Pakar Perlembagaan Malaysia, Dr Abdul Aziz Bari (gambar) berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak ada hak dan kuasa untuk bercakap perkara membabitkan hak asasi rakyat negara ini.

Aziz Bari berkata, SPR boleh bercakap mengenai pilihan raya sahaja dan suruhanjaya itu tidak ada kuasa hendak menyekat hak rakyat negara ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan SPR yang menyifatkan tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mengadakan himpunan Bersih 3.0, adalah langkah terburu-buru.

Beliau yang ditemui ketika menghadiri Forum Cabaran Pelaksanaan Hudud Antara Kefahaman dan Tohmahan anjuran anjuran Gabungan Sokong Syariah (Gesa) turut menyokong usaha Jawatankuasa Bersih bagi mengadakan himpunan pada 28 April ini kerana ia adalah hak apatah lagi kehendak rakyat.

"Jadi kalau hanya duduk dan bantah pada 28 April ini, apa yang menimbulkan masalah? Saya rasa mereka yang hendak menuntut pilihan raya bersih itu perlu takut, sebenarnya. Apa salahnya Bersih 3.0 diberikan ruang," katanya.

Bahkan katanya, kerajaan tidak perlu takut dengan rakyat kerana dalam perhimpunan itu mereka hanya duduk dan bantah bukannya mahu melempar batu sana sini.

"Apa yang takut sangat?"tegasnya sambil tersenyum setelah diajukan soalan sama ada beliau akan turut serta dalam perhimpunan itu nanti.

Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menegskan Dataran Merdeka tidak diwartakan sebagi kawasan perhimpunan aman sebagai respons kepda Jawatankuasa Bersih untuk mengadakan himpunan Bersih 3.0 di situ.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar menegaskan Bersih sepatutnya menerima laporan 22 cadangan yang diusulkan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan pilihan raya dan menyerahkan kepada agensi itu untuk meneliti terlebih dahulu.
Jelas Wan Ahmad, tindakan menganjurkan himpunan Bersih 3.0 adalah tidak wajar memandangkan SPR belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi terhadap cadangan PSC.
Pada 9 Julai lalu, Bersih telah menganjurkan himpunan Bersih 2.0 diadakan di ibu negara mendesak pembaharuan sistem pilihan raya.

Ugutan bunuh: Pakatan Melaka cabar Ali Rustam

Ahmad Danial, 07 Apr 2012
MELAKA, 7 April: Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Melaka mencabar Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyatakan pendirian terhadap tindakan seorang pemipin Umno Cawangan dalam Parlimen Bukit Katil yang membuat ugutan bunuh terhadap seorang penduduk di Bukit Baru Dalam.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek berkata, ugutan tersebut merupakan suatu perkara yang serius dan menggambarkan bahawa Umno sudah tidak mampu untuk berdepan dengan PAS dan PR secara profesional.

"Ketua Menteri mesti memberikan kenyataan tentang isu ini.

"Keduanya Umno mesti bertanggungjawab dengan semua isu keganasan politik seperti ini.

“Dan ketiganya polis mesti bertindak segera dan tidak mendiamkan diri sahaja berkaitan isu sebegini kerana banyak laporan dibuat menjadi hambar dan tiada tindakan yang diambil," ujarnya dalam satu sidang akhbar di sini semalam.

Sementara itu Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong berkata sebagai Pengerusi Umno Negeri Melaka dan Ketua Umno Bahagian Bukit Katil, Mohd Ali Rustam mesti bertanggungjawab dan menyatakan pendirian berhubungan insiden tersebut.

"Kita cabar Ali Rustam supaya nyatakan pendirian berkaitan kes ini kerana ianya sangat serius melibatkan unsur-unsur jenayah.

"Dia tidak boleh berdiam diri kerana ianya melibatkan keselamatan rakyat dan keharmonian penduduk di situ," ujar Khoo yang juga Setiausaha Publisiti DAP negeri.

Beliau mengharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas supaya ianya tidak berulang lagi.

Semalam, Harakahdaily menyiarkan laporan bahawa seorang rumah yang tidak mahu namanya disiarkan telah membuat laporan polis bersama Penyelia Dun Bukit Baru, Yusof Wahab.

Ini ekoran tindakan 3 lelaki yang dipercayai pimpinan Umno dan penyokong Umno Cawangan Bukit Baru Dalam yang datang mengugut beliau dan suami beliau kerana memasang bendera PAS pada rumahnya yang disewa menjadi Markas PAS.

PAS lipat ganda sebar Harakah selepas dikoyak

Harakahdaily, 07 Apr 2012
KUANTAN, 7 April: Tindakan Umno Putrajaya mengoyak akhbar Harakah mencerminkan ketakutan mereka kepada rakyat yang mendapat maklumat sebenar terhadap sesuatu isu yang berlaku, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).


“Inilah yang ditakuti mereka. Belum pernah kita dengan ada pihak yang membakar atau mengoyak akhbar kerana ianya diberi secara percuma. Ini agaknya yang dikatakan buang tabiat, sebagai petanda awal sesuatu itu nak mati,” kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.

Usaha PAS Putrajaya untuk menyebarkan fikrah PAS melalui pengedaran Harakah secara percuma kepada penduduk di kawasan pentadbiran Kerajaan Persekutaun itu mula memberikan kesan dan meresahkan Umno.

Ini menyebabkan Umno Putrajaya bertindak mengoyak Harakah di Presint 8 kelmarin.

Tuan Ibrahim menyifatkan tindakan Umno Putrajaya itu aneh dan mencerminkan ketakutan mereka terhadap tahap keyakinan rakyat kepada Harakah.

“Dari tinjauan dan kajian umum kita dapati ramai dari kalangan penduduk menerimanya dengan hati terbuka dan mula berminat dengan Harakah. Inilah yang ditakuti oleh mereka. Mereka takut pembohongan mereka dalam media perdana diketahui oleh rakyat, menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada Umno BN,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Sehubungan tindak-balas Umno itu, Tuan Ibrahim berkata PAS akan menggerakkan seluruh jentera parti untuk melipatgandakan usaha penyebaran risalah bagi menyedarkan rakyat betapa perlunya perubahan pimpinan negara dalam pilihan raya umum akan datang.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Putrajaya, Uzir Abdullah berkata beliau bersama petugas PAS di sana mengedarkan 1,000 hingga 1,500 akhbar Harakah setiap minggu secara percuma kepada penduduk Putrajaya.


Ia diedarkan dari rumah ke rumah untuk memberikan maklumat tambahan kepada penduduk di kota pentadbiran negara yang kebanyakannya didiami oleh kakitangan kerajaan itu.

Kelantan tinjau bina bangunan terkini di China

Rizal Tahir, 07 Apr 2012
BEIJING, 7 April: Seramai 11 orang delegasi Kerajaan Negeri Kelantan melakukan lawatan kerja selama tiga hari bermula semalam ke China dalam usaha meninjau perkembangan teknik pembinaan bangunan teknologi terkini.

Lawatan itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa.

(Gambar: Anggota delegasi tiba di Lapangan Terbang Beijing.)

Turut serta, timbalan exco Hazami Mohd Nor, Pengarah Tunjong Development Corporation Sdn Bhd, Ir Fauzi Abdul Rahman dan Pengurus TDC, Nazri Deraman, tiga orang rakan media, termasuk wakil Harakahdaily serta beberapa orang ahli perniagaan.

Lawatan berkenaan  meninjau perkembangan teknolgi terkini khususnya dalam pembinaan bangunan, iaitu Industrial Building System (IBS) pembinaan bangunan yang cepat.

Bukan itu sahaja, ianya bakal melibatkan kos yang rendah dan pengunaan tenaga buruh yang kurang.

Besok rombongan akan melawat dua buah kilang yang berkaitan dan keesokkan harinya ke tapak projek untuk meninjau perkembangan teknologi terkini itu.

Rombongan ini berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang kira-kira jam 9.00 dan selamat tiba kira-kira jam 3.00 petang, semalam.

Orang Asli gesa kerajaan Pahang henti ceroboh

Khairil Abdul Rahim, 07 Apr 2012
TEMERLOH, 7 April: Kira-kira 50 wakil Orang Asli dari beberapa daerah di negeri ini menggesa Kerajaan Negeri Pahang serta agensi kerajaan memberhentikan pencerobohan terhadap tanah dan wilayah adat Orang Asli kerana kawasan berkenaan merupakan tempat mereka untuk meneruskan kehidupan.

Serentak dengan itu, mereka menyeru kerajaan membatalkan semua rizab lain yang bertindih dengan rizab Orang Asli serta mengiktiraf kawasan rayau komuniti berkenaan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam sidang media di bangunan PAS Pahang semalam (gambar atas), seorang wakil mereka berkata rizab Orang Asli telah diakui sejak zaman penjajah Inggeris lagi.

Malangnya sejak akhir-akhir ini, mereka mendakwa banyak perkampungan dan tanah mereka telah diceroboh termasuk oleh agensi kerajaan sendiri seperti Risda dengan tanaman komoditi atau aktiviti lain sehingga merencatkan rutin mereka bercucuk tanam di tanah sendiri.

Hamid Tow, 46, berkata masyarakat Orang Asli sangat hampir dan mesra alam justeru mereka tidak memusnahkan alam sebaliknya memanfaatkan alam sekitar untuk kesinambungan hidup generasi mereka.

“Kalau masyarakat Orang Asli tak boleh lagi bercucuk tanam apa lagi yang boleh mereka buat. Kebanyakan mereka bukannya ada kelulusan untuk mendapatkan pekerjaan di luar. Jadi tanah sajalah kehidupan kami, tanpa tanah kami tak dapat cari makan.

“Kami bukan minta hak orang lain, sebaliknya minta dihormati hak kami sendiri. Kenapa selepas merdeka 54 tahun kerajaan tidak lagi mengiktiraf masyarakat Orang Asli sedangkan kami telah wujud sejak lama di tanah air ini dan boleh dibuktikan dengan kesan-kesan sejarah.

“Jadi kami Orang Asli mahu kerajaan iktiraf kami termasuk juga dalam borang. Sekarang kebanyakan borang dalam ruangan bangsa ada ditulis sama ada Melayu, Cina atau India sedangkan bangsa kami dimasukkan dalam bahagian lain-lain sahaja,” katanya penuh emosi.

(Gambar kiri: Rombongan Orang Asli berhimpun di hadapan pejabat PAS Pahang selepas sidang media.)

Tambahnya, Orang Asli juga merupakan warganegara dan layak mengundi justeru mahu kerajaaan hormati hak-hak mereka selaras dengan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sebelum itu beberapa wakil Orang Asli telah membuat pendedahan berlaku pencerobohan di kawasan masing-masing sehingga menjejaskan kawasan tempat penduduk mencari makan untuk hidup.

Yeoh Kew Moi, 22, dari Kampung Sungai Melai Chini, Pekan menceritakan tanaman sawit dan getah milik penduduk telah ditolak oleh jentera kontraktor lombong bijih besi di kampung mereka tanpa sebarang pampasan.

Ye a/l Soi dari Kampung Terbol, Kuala Krau mendakwa Jabatan Perhilitan telah melarang mereka bercucuk tanam dan tinggal di situ dengan alasan telah menjadi rizab jabatan tersebut sedangkan kawasan itu telah diwartakan sebagai rizab Orang Asli sejak tahun 1923 lagi.

Rawi a/l Gaud dari Kampung Sungai Leleh, Lanchang pula membantah projek perlombongan bijih besi oleh syarikat kerajaan negeri, Mentiga Mining sehingga berlaku pencemaran air dan kemusnahan beratus-ratus pokok sawit menyebabkan pendapatan penduduk terjejas.

Turut hadir peguam mereka Ahmad Nizam Hamid.

Koyak Harakah tak mampu sekat kebangkitan rakyat

Harakahdaily, 06 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 6 April: PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) mengecam tindakan Umno Putrajaya kerana mengoyak akhbar Harakah di Putrajaya, semalam.

“PAS WP menganggap tindakan Umno Putrajaya biadap kerana merosakkan akhbar rasmi milik PAS yang telah menaikkan kemarahan ribuan pendukung dan penyokong PAS di seluruh negara,” kata Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Bagi PAS WP, ujarnya tindakan Umno Putrajaya sebagai ketinggalan zaman kerana menolak keterbukaan dalam sebuah negara demokrasi.

Katanya, kebebasan bersuara, cetakan, berhimpun adalah hak rakyat selama mana ianya dalam batasan undang-undang.

“PAS WP merasa kesal dengan tindakan tidak bertamadun ini lebih-lebih lagi ia berlaku di kawasan Putrajaya, pusat pentadbiran negara,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Bagi Suhaimi, Umno Putrajaya seolah-olah mahu menyekat rakyat dari akses kepada maklumat alternatif yang disampaikan oleh Pakatan Rakyat.

Ini, kata beliau menandakan mereka sememangnya gerun jika rakyat mengetahui maklumat yang benar dan adil dan gentar jika rakyat bangkit menentang mereka.

Justeru, tambahnya PAS WP meminta Umno Putrajaya merasa insaf dan sedar kerana selama ini kerajaan milik Umno BN begitu kuat menindas Pakatan Rakyat (PR).

“Seluruh media milik rasmi negara dipergunakan buat menyekat akses kepada PR, malah pemimpin PR turut dibelasah sesuka hati hampir setiap hari.

“Media utama hanya berhak melaporkan segala kebaikan mengenai Barisan Nasional semata-mata, manakala selainnya adalah buruk belaka,” katanya lagi.

Dalam keadaan demikian, ujarnya PAS hanya memiliki akhbar Harakah sebagai medium menyampaikan maklumat berguna kepada rakyat.

PAS, jelasnya tidak ada televisyen, radio, akhbar harian untuk menyampaikan mesej parti.

“Tidak puas dengan itu, akhbar Harakah pula dimangsakan dengan mengoyakkannya,” ujarnya.

Justeru, tambahnya PAS WP mengingatkan Umno Putrajaya bahawa kebangkitan rakyat tidak mungkin dapat disekat.

“Usahkan koyak, bakar, sekat keluaran Harakah sekalipun tetap tidak mampu menyekat arus kebangkitan ini,” tambahnya.

Beliau berkata, rakyat semakin percaya bahawa hayat Umno sudah sampai ke penghujungnya.

“Bersedialah menerima kenyataan ini dan percayalah bahawa tidak ada kerajaan akan memerintah selama-lamanya, termasuk Umno!” katanya.

Berhimpun: Umno tertekan kebangkitan rakyat

Salmiyah Harun, 06 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 6 April: Ternyata Umno BN sangat tertekan dengan komitmen kebangkitan rakyat apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dengan tegas memberitahu Dataran Merdeka tidak diwartakan untuk perhimpunan aman.

Nazri Aziz menegaskan perkara itu, sebaik sahaja Jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan menganjurkan himpunan Bersih 3.0 bertemakan 'Duduk dan Bantah' di Dataran Merdeka pada 28 April ini.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi (gambar) berkata, Nazri menyedari bahawa rakyat negara ini serius untuk melihat sebuah pilihan raya bersih dan adil ekoran banyak penipuan yang telah didedahkan.

"Nazri juga tahu, rakyat menyedari mereka telah diperbodohkan dan didodoi dengan irama janji dusta kononnya BN di bawah teraju Najib komited mendengar dan memenuhi hasrat rakyat melihat sebuah pilihan raya adil dan bersih melalui penubuhan PSC," katanya kepada Harakahdaily.

Hakikatnya, jelas Athirah harapan rakyat hancur berkecai mahu sebuah pilihan raya adil selepas PSC pula gagal menyantuni lapan tuntutan mereka pada 3 April lepas apabila Dewan Rakyat menolak laporan minoriti.

"Penolakan laporan minoriti itu, sebagai satu kemuncak penghinaan demokrasi negara kerana itulah perkara pokok yang dituntut oleh seluruh rakyat negara ini," katanya.

Justeru, katanya rakyat sudah tidak tahan dengan penipuan demi penipuan berlaku terhadap proses pilihan raya apatah lagi timbul pula ada konspirasi memberi kerakyatan kepada warga asing untuk mengundi dalam PRU nanti.

"Rakyat mana yang mahu gadaikan negara mereka kepada warga asing, Tengok suasana hari ini mereka sudah pun menguasai semua sektor pekerjaan yang ada dalam negara ini," katanya.

Sebelum ini, Nazri Aziz berkata Dataran Merdeka bukan merupakan tempat orang ramai dibenarkan untuk berhimpun walaupun secara aman.

Menurutnya, Dataran Merdeka tidak diwartakan sebagai kawasan untuk mengadakan perhimpunan aman.

Dataran Merdeka cukup tersohor sebagai tempat orang ramai berhimpun dan duduk bersantai, bukan itu sahaja malah mat-mat motor juga memilih tempat ini sebagai 'port' mereka khususnya setiap malam minggu

Sultan Muhammad V lawat MB di HUSM

Muhammad Yusri Amin, 06 Apr 2012
KOTA BHARU, 6 April: Perkembangan terkini mengenai kesihatan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik perhatian Sultan Muhammad V Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Baginda berkenan berangkat menziarahi Tuan Guru yang sedang ‘dirawat’ di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dekat sini.

Turut sama berangkat Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadhli Shaari ketika bercakap kepada wartawan sebentar tadi berkata Sultan Muhammad V dan Tengku Mahkota Kelantan tiba di hospital itu kira-kira 2.30 petang tadi, sejurus selepas solat Jumaat.

“Dan Sultan menasihati Tok Guru supaya berihat. Tok Guru stabil, cuma (dinasihatkan) berihat, dan akan keluar bila-bila masa saja.

“Tok Guru (hanya) ambil masa untuk berihat (di hospital) kerana jadual ‘kerja’ terlalu padat," ujarnya.

Menteri Besar dimasukkan ke HUSM, Kubang Kerian sejak Rabu lalu (4 April) setelah mengadu keletihan.

GMI turut sertai Bersih 3.0 pada 28 April

Hazayani Zakaria, 06 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 6 April: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) juga akan menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini sebagai tanda solidariti kepada reformasi pilihan raya.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata, walaupun lapan tuntutan Bersih 3.0 semuanya berkaitan pilihan raya dan tiada kaitan dengan desakan memansuhkan ISA, namun ianya harus disokong ke arah kerajaan yang bersih.

"Bersih 3.0 memang ada tuntutan yang khusus. Tapi kami akan turun sebagai solidariti, sebagai tanda setiakawan kita kepada Bersih 3.0.

"Isu pilihan raya tetap ada kaitan dengan GMI dan mereka ini adalah orang-orang yang menyokong gerakan anti ISA," kata beliau ketika ditemui di pejabat Suhakam hari ini.

Syed Ibrahim juga berkata, GMI tidak teragak-agak untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran sekali lagi jika kerajaan tidak mengotakan janji untuk memansuhkan ISA.

"Kalau hendak menuntut kerajaan mansuhkan ISA, kami akan adakan himpunan berasingan dan khusus mengenai ISA.

"Kami berkemungkinan besar akan mengadakan himpunan sekali lagi jika kerajaan masih meneruskan ISA," katanya.

Beliau sebelum ini menyerahkan memorandum kepada Suhakam bagi membantah sikap kerajaan yang melengah-lengahkan pemansuhan ISA.

"Kami berharap Suhakam dapat memberi tekanan kepada kerajaan agar segera mengotakan janji untuk memansuhkan ISA kerana kami percaya suara Suhakam masih didengar," katanya.

Tiada ulasan: