Rabu, 11 April 2012

ISLAM TIDAK MELARANG MENCARI KEKAYAAN....TETAPI ISLAM MELARANG HIDUP BERMEWAH MEWAH.....MALAH ISLAM MENGALAK UMATNYA HIDUP MEMADA@ZUHUD

PAS tubuh JK Anti Pemalsuan IC

Hazayani Zakaria, 10 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 10 April: PAS menubuhkan Jawatankuasa Anti Pemalsuan IC (API) bagi menangani isu pemberian kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka menjadi pengundi pada Pilihan raya Umum ke-13.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang merupakan pengerusi API berkata, jawatankuasa itu akan menuntut Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kewujudan 'task force' pemberian kerakyatan kepada warga asing yang didakwa beroperasi di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Hari Isnin ini ahli jawatankuasa akan bermesyuarat bagi mengatur pertemuan dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi menghantar memorandum menuntut Suruhanjaya Diraja," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mahfuz berkata, API juga akan menyaring maklumat peribadi warga asing yang diberikan mykad itu.

"Kita mempunyai sangat banyak maklumat warga asing ini oleh itu kita perlu menyaring maklumat-maklumat ini sebagai pembuktian wujudnya task force ini.

"Kita akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat task force ini," katanya.

API turut dianggotai ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli, Hanipa Maidin, Exco Pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat dan Adram Musa serta peguam Zul Hazmi Shariff serta beberapa peguam lain.

Pekak pendedahan 'task force' mala petaka negara

Harakahdaily, 10 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 10 April: Tindakan kerajaan memekakkan telinga terhadap pendedahan berani Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bahawa wujudnya sebuah task force khas yang mewarga-negarakan warga asing demi menyelamatkan kerajaan BN merupakan suatu malapetaka bagi negara.


Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar), tindakan terdesak BN itu jauh lebih besar bahaya berbanding semua penyelewengan dana negara, kerana memberi kad pengenalan dan taraf kewarganegaraan kepada warga asing bermakna menggadai kedaulatan dan masa depan negara.

“Apa erti kuasa politik seandainya keputusan politik ditentukan oleh warga asing yang diberi kad pengenalan sehingga mereka mendapat hak yang sama dengan bumiputera dalam negara ini?

"Tindakan melampau ini tidak seharusnya dipandang sepi oleh pengamal media, sehingga tiada satu pun media arus perdana yang mengangkat isu ini,” selar beliau.

Bahkan, kata Tuan Ibrahim, apa yang lebih mendukacitakan ialah sikap badan-badan NGO yang selama ini bertempik mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan tanahair sunyi sepi seolah-olah isu ini hanya rekaan pembangkang.

Mahfuz, yang juga ahli parlimen Pokok Sena sebelum ini mendedahkan wujudnya 'task force' yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti.

Mahfuz turut mendakwa bahawa 'task force' tersebut diketuai oleh Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara  Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, dan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Walaupun berat, Wan Ahmad hanya sekadar menafikan dakwaan beliau bahawa tidak terlibat dengan task force berkenaan dan Thajudeen berkata tidak tahu-menahu dengan apa yang didakwa Mahfuz.

Meskipun demikian, Mahfuz mempertahankan kenyataannya kerana mendakwa ada bukti kukuh membuktikan perkara berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu turut menyatakan kesediaannya untuk membantu Suruhanjaya Diraja yang akan dibentuk untuk meneliti semua dakwaannya berhubung wujudnya 'task force’ tersebut.

“Seandainya ia suatu rekaan, tentulah Mahfuz tidak berani untuk menyenaraikan satu persatu nama yang terlibat kerana ia terdedah kepada tindakan perundangan seperti saman, siasatan dan tindakan undang-undang. Kesediaan beliau untuk memberi segala maklumat kepada Suruhanjaya Diraja, merupakan tindakan berani bagi mendedahkan isu besar ini,” terang Tuan Ibrahim.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Pahang berkata parti akan terus mendesak sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi meneliti dan membuat siasatan rapi berhubung dakwaan ini.

“Kegagalan kerajaan membentuk suruhanjaya ini dilihat sebagai bukti jelas kebenaran apa yang didakwakan oleh ahli parlimen Pokok Sena,” tegas beliau.

Beg berjenama dan isteri pemimpin

Harakahdaily, 10 Apr 2012


(Kegilaan memakai bag berjenama mahal di kalangan pemimpin dunia menjadi ikutan isteri pemimpin Malaysia)

KUALA LUMPUR, 10 April: Kegilaan kepada bag berjenama mahal yang telah menjalar dari pemimpin dunia ke isteri pemimpin negara, menjadi tarikan terbaru dalam facebook.

Sekarang ini tersebar gambar isteri Perdana Menteri yang ke sana ke sini dengan bag berjenama mahal.

Dilaporkan bag itu berjenama Birkin dan dijual dengan harga antara RM60,000 hingga RM80,000 sebuah.

Ia juga menarik minat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Beliau beranggapan ini tidak wajar menjadi amalan pemimpin atau keluarga pemimpin.

Bagi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau tidak kesah sangat dengan pakaian dan gaya rambut isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kerana tidak mahu menyerang peribadi beliau.

Tetapi kegilaannya memakai bag mahal merisaukan beliau.

"Kita tidaklah perlu serang peribadi dia kerana orang ramai pun tak suka.

"Tetapi gila suka pakai bag mahal ini kita bimbang sikit, kerana bimbang wang negara digunakan," kata beliau.

Abdul Hadi berkata demikian ketika berbincang dengan editor Harakahdaily tentang hala tuju Harakahdaily dalam membantu PAS menjelang pilihan raya akan datang ini.

Beliau memberi panduan kepada editor Harakahdaily beza antara serang peribadi yang beliau tidak benarkan dengan serang sikap yang suka bermewah-mewah oleh pemimpin negara.

PAC terima tekanan politik teruskan siasatan?

Anis Nazri, 10 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 10 April: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) didakwa seolah-olah menerima tekanan politik daripada pihak-pihak tertentu dalam usaha meneruskan siasatan terhadap empat perkara yang dipersetujui bersama.

Tekanan itu didakwa berlaku memandangkan jawatankuasa itu tidak dipanggil bermesyuarat sejak dua minggu lalu, biarpun sidang parlimen akan berakhir minggu hadapan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Tony Pua (gambar) berkata PAC telah bersetuju untuk menyelesaikan empat perkara utama pada sidang kali ini, termasuk kes membabitkan National Feedlot Corporation (NFC).

Bagaimanapun, sejak dua minggu lalu tiada mesyuarat dipanggil, yang menyaksikan seolah-olah empat perkara tersebut tidak akan diselesaikan pada sidang kali ini.

Bercakap kepada wartawan pada sidang media di parlimen, hari ini Tony berkata, selain NFC, tiga perkara yang dipersetujui untuk diselesaikan ialah kes perlupusan hutang RM589 juta yang diberikan kepada Tan Sri Tajudin Ramli, pengurusan penyiasatan terhadap wang 1MDB dengan pelaburan mereka ke atas Petro Saudi, dan perbelanjaan KLIA II yang berlaku peningkatan kos dari RM1.7 bilion hingga RM3.9 bilion.

"Selain NFC, ketiga-tiga perkara ini tidak pernah dibincangkan pada mesyuarat sebelum ini, sedangkan ia tel,ah dipersetujui bersama sama ada daripada anggota BN mahupun pembangkang," tegas beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar menegaskan menjadi tugas dan tanggungjawab PAC untuk melihat dan mengawasi bagaimana wang kerajaan dibelanjakan.

"Khususnya berkaitan NFC, kita mahu tahu bagaimana wang yang diluluskan itu diluluskan, dan selepas diluluskan bagaimana ia dikeluarkan oleh jabatan-jabatan kerajaan, sama ada melalui Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan sebagainya," tegas beliau.

"Bagi memastikan siasatan itu diteruskan, kita telah bersetuju untuk membuat lawatan ke Gemas, yang merupakan lokasi fidlot itu, namun dibatalkan tanpa dimaklumkan kepada anggota jawatankuasa," kata beliau.

Justeru, tegas beliau selagi parlimen tidak dibubarkan, selagi itu jawatankuasa ini akan meneruskan siasatan terhadap perkara yang telah dipersetujui bersama.

Selain Kamaruddin, anggota pembangkang yang turut menyertai PAC ialah Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw; dan Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abba

PTPTN: BN bebankan kehidupan anak muda

Harakahdaily, 10 Apr 2012
IPOH, 10 April: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian (gambar) berkata, penegasan Perdana Menteri untuk tidak menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti diumumkan di Batu Pahat Sabtu lalu jelas menunjukkan kerajaan BN tidak memikirkan nasib generasi muda di negara ini.
Beliau berkata, pimpinan Datuk Seri Najib Razak telah menunjukkan sikap tidak ambil peduli suara anak muda berhubung isu PTPTN, dan ianya membuktikan kelemahan pemimpin Umno BN menguruskan sumber ekonomi negara.

Menurut beliau, Najib terpaksa membohongi rakyat dengan menyebut jumlah keseluruhan pinjaman tersebut sebanyak RM43 bilion, padahal jumlah pinjaman peminjam seramai 1.9  sehingga akhir 2012 hanya berjumlah RM28 bilion sahaja.

Katanya, apabila Pakatan Rakyat memberikan komitmen untuk menghapuskan hutang PTPTN sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU13 ini telah menyebabkan pemimpin Umno BN bercelaru dan buntu.

“Kita ingin memberi jalan dan harapan baru kepada anak muda khasnya yang masih belum bekerja dan kebanyakan mereka diburu surat lawyer yang akan mengheret mereka ke mahkamah.

“Hutang PTPTN ini telah mengekang kehidupan anak muda, ia menjadi beban buat lepasan mahasiswa yang baru ingin memulakan kehidupan,” ujarnya.

Justeru, jelas Pesuruhjaya PAS Perak itu, Umno BN kini panik dalam isu PTPTN, mereka sudah tidak tahu bagaimana formula untuk mengatasinya, lantaran itu mereka mudah menghukum negara akan bankrap kalau wang PTPTN itu dilupuskan.

10,000 anak muda setiap negeri ke Bersih 3.0

Harakahdaily, 10 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 10 April: Dewan Pemuda PAS di seluruh negara memberi komitmen untuk mengerahkan paling minimum 10,000 anak muda dari setiap negeri  untuk menyertai Himpunan Bersih 3.0 yang akan berlangsung pada 28 April ini.


Ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, ini bagi membantu pihak penganjur himpunan rakyat Duduk dan Bantah oleh Bersih 3.0 mencapai sasaran 500,000 penyertaan.

“Anak muda ini tidak semestinya dari ahli PAS sebaliknya dari pelbagai lapisan anak muda prihatin yang menyedari keperluan untuk bangkit melakukan perubahan memulih sistem pengurusan dan pengendalian pilihan raya negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Selama ini, katanya anak-anak muda memerhati kepincangan urus selia sistem piliharaya melalui alam maya.

Menurutnya, mereka berkumpul membentuk gelombang siber kerana jumlah mereka terlalu ramai.

“Saya harap kali ini mereka keluar dari gentian cyber untuk Duduk dan Bantah di Dermaga Pada iaitu di alam nyata dan tempatnya telah ditetapkan di Dataran Merdeka bukan lagi di alam maya.

“Insya Allah, DPP Negeri dan kawasan akan bantu membuat kerahan melalui pelbagai saluran dan net working yang kita miliki. Kita juga akan bergandingan dengan Angkatan Muda Keadilan dan DAPSY untuk memastikan sasaran dan objektif tercapai,” ujarnya.

Jelasnya, Duduk dan Bantah konsepnya aman, suatu hak rakyat untuk lahirkan suara hati sekaligus menyentap perhatian pihak berwajib agar melakukan perubahan setelah mereka tetap berdegil sejak sekian lama meskipun pelbagai laporan, desakan dan tuntutan dibuat ke arah itu.

“8 tuntutan Bersih 2.0 masih tidak dihirau, maka Bersih 3.0 adalah kelangsungannya,” ujarnya...


Tiada ulasan: