Ahad, 22 April 2012

IBADAH KENA KUAT...AKIDAH MESTI BENAR..IBADAH YANG SAH DAN DITERIMA ALLAH...DOA YANG BERTERUSAN KEPADA ALLAH...DIIKUTI DENGAN KERJA YANG BERSUNGGUH2...TERATUR...INSYAALLAH AKAN MENANG

Pemuda PAS anjur 'leisure walk' jawab serangan ganas

Harakahdaily, 20 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS menganjurkan kempen besar-besar  “Leisure Walk For Peace and Public Safety” untuk membantah tindakan dan aktiviti gangster di tempat awam.


(Nasrudin berucap kepada mahasiswa yang berhimpun di Dataran Merdeka malam tadi)

Kempen ini dibuat ekoran kejadian serangan terhadap mahasiswa di Dataran Merdeka baru-baru ini yang disifatkan Pemuda PAS sebagai satu insiden yang sungguh mengejutkan rakyat Malaysia.

Menurut ketuanya, Ustaz Nasrudin Hasan,  insiden yang menimpa mahasiswa di Dataran Merdeka baru-baru ini adalah satu perkara yang sangat memalukan negara dan ianya tidak patut berlaku.

“Berkhemah di tempat terbuka seperti Dataran Merdeka pun tidak terlepas dari ancaman keganasan samseng, apa jaminan untuk rakyat selamat di ceruk kampung dan desa yang jauh dari balai polis dan ibu pejabatnya,” kata beliau.

Tujuan mengadakan kempen adalah untuk menyatakan bantahan terhadap aktiviti dan keganasan “samseng” di dalam negara ini dan juga sebagai sokongan kepada mahasiswa yang hanya memperjuangkan hak mereka sahaja.

“Himpunan Mahasiswa adalah aman. Mereka berkhemah dan duduk santai menyuarakan tuntutan mereka kepada awam amnya dan kepada kerajaan khasnya.


(Antara anggota Unit PAS PAS yang berada di Dataran Merdeka malam tadi)

"Kenapa mereka mesti dilayan sedemikian rupa? atau siapakah yang mengupah samseng ini? atau mereka mahu menarik lebih ramai lagi mahasiswa berkampung dan berkhemah di dataran itu?” kata beliau.

Ustaz Nasrudin juga menyertai puluhan anggota Unit Amal PAS dalam kempen ini.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada Unit Amal kerana mereka peka dengan kezaliman bahkan sanggup turun dan bersama untuk mengawal keselamatan mahasiswa di Dataran Merdeka," katanya.

Insiden yang berlaku pada pagi 19 April benar-benar mengejutkan majoriti rakyat Malaysia.

Tambahan pula kenyataan daripada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dipetik melalui laman sosialnya dilihat sebagai satu perkara yang tidak bijak selaku seorang menteri.

“Sangat tidak wajar, seorang yang bercakap atas platform menteri kepada kerajaan mengeluarkan kenyataan sebegitu.

"Pada saya, kenyataan seperti ini hanya akan menimbulkan prasangka di kalangan rakyat adakah kerajaan yang mendalangi insiden yang berlaku ke atas peserta Univercity of Merdeka ?” ulas beliau ketika ditanya mengenai kenyataan Datuk Seri Khaled Nordin.

Beliau juga menegaskan, “Seorang ayah pasti tidak akan dapat lari daripada tanggungjawab untuk membentuk dan memastikan keselamatan anaknya.

"Bayangkan apabila anak merasakan rumah yang menjadi tempat dia berlindung sudah lagi tidak dirasakan selamat untuk dihuni, apakah yang akan mereka lakukan?” katanya.

Kehadiran Ustaz Nasrudin juga dilihat memberikan semangat kepada rata-rata mahasiswa yang hadir.

Bahkan Ustaz Nasrudin juga diberikan kesempatan untuk berucap dan memberikan kata-kata semangat agar mahasiswa yang hadir berhimpun dengan mempamerkan akhlak yang baik kepada lawan.

Leisure Walk For Peace and Public Safety adalah kempen anak muda dengan berjalan kaki ke Dataran Merdeka untuk menyatakan bantahan terhadap keganasan dan sokongan terhadap tuntutan hak mahasiswa.

Himpunan tanah rakyat sasar 30,000 kehadiran

harakahdaily, 20 Apr 2012
JOHOR BHARU: Himpunan Tanah Rakyat yang dijadual berlangsung 5 Mei di depan di Plaza Angsana di sini bertujuan mendesak kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi rakyat.

Setiausaha Gabungan Tanah Rakyat (Tanah),  Suhaizan Kaiat berkata, ini kerana kerajaan-kerajaan negeri adalah pihak bertanggungjawab terhadap tanah dan pihak kerajaan persekutuan pula adalah yang mengubal Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Kanun Tanah Negara 1965.

"Pihak kerajaan negeri perlu merangkan satu mekanisma dan plan bertindak untuk menyelesaikan masalah tanah yang berlaku," katanya.

Sementara itu, pihak penganjur mensasarkan kehadiran 30 ribu orang yang akan memberikan sokongan khususnya daripada Negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.

"Pimpinan utama NGO dan Pakatan Rakyat seperti Sastrawan Negara Dato A Samad Said, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang, Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng akan turut bersama dalam himpunan ini," katanya lagi.

Pemilihan negeri Johor pula tambahnya kerana terdapat terlalu banyak isu berkaitan tanah berada di negeri ini.

Bermula daripada isu pengambilan tanah Gelang Patah untuk tujuan pembinaan Pelabuhan Tanjung Pelepas, terlepasnya Pulau Batu Putih kepada Singapura, penguasaan Singapura terhadap Pulau Pisang, Pontian, penjualan tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) kepada Singapura tanpa kerelaan rakyat Johor, pengambilan tanah Pengerang untuk tujuan projek petrokimia sehingga pejualan tanah strategik negeri Johor oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor(KPRJ) kepada  Dato Lim Kang Hoo.

Selain itu, masalah lain juga termasuk pengusiran peneroka bandar di Kempas tanpa pampasan, penindasan terhadap peneroka Felda Cahaya Baru, tuduhan penipuan Menteri Besar Johor terhadap bekas penduduk SEDC, Tampoi, ancaman pengusiran peneroka bandar di Skudai Kiri serta projek terbengkalai Taman Perumahan Taman Desa Kempas atas tanah kerajaan negeri.

"Isu ini telah melibatkan puluhan ribu rakyat yang telah, sedang dan akan ditindas oleh pihak-pihak tertentu," tegasnya sambil memaklumkan 10 tuntutan akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Johor.

Perbicaraan skandal pembelian Scorpene bermula

Harakahdaily, 20 Apr 2012

(Dr Kua, Cynthia Gabriel dan Breham yang mewakili Suaram di perkarangan Mahkamah Perancis)

PARIS: Suaram telah memulakan permohonan mereka kepada Tribunal Besar Perancis bagi membicarakan skandal rasuah pembelian Scorpean hari ini.

Suaram yang diwakili ahli lembaganya iaitu Dr Kua Kia Soong, Cynthia Gabriel, Fadiah Nadwa membuat permohonan itu di depan hakim Roger Le Loire melalui peguam Joseph Breham.

Suaram membawa kes ini bagi pihak pembayar cukai Malaysia untuk mendedahkan dakwaan komisyen telah dibayar sebanyak lebih RM7 bilion dalam pembelian kapal selam Scorpene.

Dr Kua telah membentangkan kes itu bagi pihak Suaram.

Penyiasatan yang dibuat oleh pendakwa Perancis sehingga kini menyalahkan pegawai Malaysia dalam kes ini.

Menurut Peguam Joseph Breham pula,  penyiasatan dipihak Perancis berhubung komisyen Scorpene ini pula menjurus kepada pegawai Malaysia yang tertentu.

"Bagi kami untuk mencapai tahap ini, satu usaha yang sangat sukar, dimana komsien Scorpene adalah skandal rasuah yang terbesar di Malaysia sejak akhir-akhir ini," kata Brehem.

Berdasarkan kepada bukti yang ditunjukkan kepada Suaram yang bertindak sebagai pihak pengandu dalam kes ini, mereka mempunyai bukti yang cukup untuk menyabitkan pegawai Malaysia tertentu.

Berdasarkan permintaan dari Hakim Le Loire, Suaram mencadangkan Abdul Razak Baginda, Menteri Pertahanan Zahid Hamidi, PI Balasubramaniam, Setev Shariibuu, Jasbir Singh Chahl, Tan Sri Lodin and Mazlinda (isteri Abdul Razak) sebagai saksi.

Tampal poster Besih 3.0 dalam USM: Aktivis Suaram ditahan

Harakahdaily, 20 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Seorang aktivis muda Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Tan Hong Kai ditahan ketika memasang poster Bersih 3.0 di dalam kawasan Universiti Sains Malaysia (USM) awal pagi tadi.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi, Hong Kai bersama beberapa aktivis mahasiswa USM masuk ke kampus itu untuk menampal poster Bersih 3.0.

Selepas selesai menampal beberapa poster itu, beliau terserempak dengan pihak keselamatan universiti itu lalu menahan beliau.

Beliau kemudiannya diserahkan ke balai polis Sungai Nibong kira-kira jam 4 pagi.

Menurut ahli sekretariat Suaram Pulau Pinang Ng Eng Kiat, Hong Kai kemudiannya disoal siasat dan kini masih ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Jalan Patani.

Juga difahamkan Hong Kai disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

"Kita mendesak agar Hong Kai dibebaskan segera. Keterangannya sudah diambil dan tiada sebab untuk beliau terus ditahan.

"Jika samseng menyerang mahasiswa di Dataran Merdeka tidak ditahan, tak ada sebab kenapa seorang aktivis ditahan hanya kerana menampal poster," katanya kepada Harakahdaily.

Satu sidang media turut diadakan oleh Suaram Pulau Pinang berhubung perkara itu pagi tadi.

Ikhwan minta PAS kerja keras terajui perubahan

Harakahdaily, 20 Apr 2012
KAHERAH: Murshid-Am Ikhwan Muslimin, Dr. Mohamed Al-Badie’ berkeyakinan bahawa kepimpinan PAS mampu memimpin perubahan di Malaysia.
(Dr Syed Azman bersama Dr Mohamed Al-Badie’, Murshid-Am Ikhwanul Muslimin)
Sehubungan itu beliau menggesa seluruh ahli dan penyokong PAS berkerja keras bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Pernyataan ini di suarakan oleh beliau ketika menerima kunjungan hormat Dr. Syed Azman Syed Ahmad, Penolong Setiausaha Agong PAS di Markaz Al-Am Ikhwan Muslimin atau ibu pejabat Pusat Ikhwan Muslimin yang berdiri gah di tengah-tengah kota Kaherah.

Dr. Syed Azman hadir ke Mesir bagi memenuhi jemputan menjadi pemerhati pilihanraya presiden yang di jangka akan di adakan pada bulan Mei ini.

Menurut Dr. Syed Azman, dalam pertemuan itu, beliau telah menyampaikan ucapan tahniah daripada seluruh kepimpinan, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS kepada pimpinan Ikhwan.

Ikhwan telah  berjaya menang dengan cemerlang dalam pilihanraya Parlimen Mesir beberapa bulan lepas dengan menguasai majoriti kerusi parlimen  walaupun hanya baru setahun selepas kejatuhan rejim diktator Mubarak.

Dalam pertemuan tersebut Dr. al-Badie’ juga menegaskan bahawa setiap pemimpin dan ahli PAS mestilah  peka dan sentiasa meneliti perubahan politik baru yang sedang melanda seluruh Dunia Islam akibat dari kesan ‘Arab Spring’ yang kini merubah peta politik Dunia.

Bagi beliau setiap rejim yang menafikan hak asasi rakyat serta rakus membolot khazanah kekayaan negara lambat laun akan dijatuhkan oleh kuasa rakyat yang tidak lagi takut dengan sebarang ugutan dan ancaman di tangkap.

Beliau menegaskan bahawa , "PAS mesti mengatur persiapan yang rapi bagi menghadapi pilihanraya  kerana kemungkinan akan berlakunya manipulasi dan penipuan pilihanraya di Malaysia seperti mana yang sedang cuba dilakukan oleh saki baki rejim Mubarak di Mesir dalam pilihanraya Presiden sekarang ini dengan menggunakan kuasa tentera.

Bagi beliau, yang penting PAS mesti di lihat terkedepan dan komited membela kepentingan rakyat di Malaysia dan sama-sama membangunkan kembali negara berlandaskan kepada keadilan.

Dr Mohamed Al-Badie’ juga turut menjelaskan bahawa Ikhwan bertekad untuk melakukan perubahan sosial dan politik di Mesir secara aman.

Mereka mahu merubah sebarang bentuk penyelewengan dan salah-guna kuasa yang berlaku di sana walaupun kini terpaksa berhadapan dengan tentera yang di sokong oleh kuasa besar Barat.

Bagi Ikhwan, agenda reformasi politik di Mesir adalah amat penting bersesuaian dengan suasana globalisasi dunia yang mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan telus.

Beliau menegaskan bahawa setiap rakyat dan warganegara mempunyai hak mereka untuk bersuara demi kebaikan serta masa depan negara tersebut.

Sementara itu Dr. Syed Azman menyatakan bahawa "PAS akan terus komited menjalinkan hubungan dua hala yang lebih rapat dengan parti politik baru Ikhwan ‘Al-Hurriyat Wal Adalah’ (Parti Kebebasan dan Keadilan).

"Kita juga akan bertukar-tukar pengalaman dalam proses demokrasi, persiapan pilihanraya serta bagaimana cara menghadapi manipulasi dan penipuan pilihanraya”.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Tiada ulasan: