Jumaat, 27 April 2012

KITA BERTUHANKAN ALLAH...KENALILAH YANG MANA BATIL YANG MANA HAK...YANG MANA BOLEH PAKAI YANG MANA PENYAMUN TARBUS...PILIHLAH YANG MEMBUAT KITA BERTAQWA KEPADA ALLAH SWT...

Minang Hanyut buat operasi IC di Cheras

Harakahdaily, 27 Apr 2012
CHERAS: Task force memberikan kewarganagaraan kepada warga asing semata-mata untuk menjadi pengundi BN pada pilihan raya didapati berlaku di Cheras, dakwa satu sumber.

Ia dibuat melalui kumpulan yang dinamakan 'Lagenda Minang Hanyut'.

Menceritakan kepada Harakahdaily sumber tersebut mendakwa, ianya berlaku sekitar bulan Januari dan Februari lalu di Kampung Cheras Baru.

Ketika itu diwarwarkan bahawa pilihan raya umum akan berlaku pada Mac atau April.

Menurutnya, sindikit di kampung itu diketuai seorang individu bernama 'Pak Ngah' berketurunan Minang yang dipercayai mempunyai 'kabel kuat' dengan seorang menteri kabinet.

"Bukan Kampung Cheras Baru sahaja dia punya pelanggan, tapi seluruh Ampang.

"Siapa warga asing yang kahwin dengan orang kita walaupun baru setahun di sini, mereka boleh dapat IC dengan syarat kena undi BN," katanya yang mengaku sebelum ini adalah jentera Umno.

Sumber itu juga memberitahu, beliau dimaklumkan terdapat sebanyak 1,280 kuota untuk Pak Ngah mendaftar warga asing di sekitar Ampang untuk mereka menukar status sebagai penduduk tetap dan boleh mendapatkan IC.

Mengulas modus operandinya pula, sumber itu berkata, warga asing yang mahu menukar pasport mereka kepada IC biru perlu bertemu dengan 'Pak Ngah' dengan membawa sejumlah wang yang dipercayai sebagai 'kos pemprosesan'.

"Saya tengok sendiri warga asing itu jumpa Pak Ngah, serah pasport dan sejumlah wang dalam satu sampul surat.

"Seminggu kemudian Pak Ngah beri orang itu IC," katanya lagi.

Menurutnya lagi, dia mendedahkan hal itu kepada Harakahdaily kerana bimbang masa depan rakyat negara ini yang akhirnya terjajah di bumi sendiri.

"Bagus la BN menang, tapi negara tergadai buat apa.

"Sebab itu saya harap himpunan Bersih 3.0 ini boleh hentikan semua perbuatan mengkhianat negara ini," katanya.

Bukti pengundi hantu wujud di Sabah, Kelantan

M Faqih, 27 Apr 2012
KOTA BHARU: Kewujudan pengundi-pengundi hantu dan kemasukan warga asing sebagai pemilih pernah diambil sebagai notis penghakiman dalam kes Harris Mohd Salleh melawan Ismail  Majin.

Kes di Mahkamah Tinggi Sabah tersebut iaitu Returning Officer & Ors pada 2001 bukan satu gimik politik atau dakwaan murahan.

Begitu juga kes petisyen pilihan raya Pengkalan Pasir di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hakim mendapati tiga daripada lima bukti pengundi hantu yang dikemukakan plaintif memang wujud.

Seorang peguam hak asasi, Muhamad Faizal Che Yusoff berkata, rasional Himpunan Bersih 3.0 esok begitu penting bagi memastikan proses pilihan raya di negara kita benar-benar bersih.

“Saya turut menyertai pelbagai perbincangan mengenai kepincangan perjalanan pilihan raya bersama jawatankuasa khas parlimen yang diwujudkan. Dalam menuntut lapan perkara, hanya satu permintaan ditunaikan.

“Dakwat kekal dikatakan akan digunakan pada pilihanraya akan datang. Saya tidak pasti apakah penarikan di saat-saat akhir akan berlaku sebagaimana pilihanraya lalu,” katanya di sini.

Menurutnya pembersihan daftar pemilih antara tuntutan yang kritikal tetapi tidak diambil endah kerajaan yang ada sekarang.

Kata beliau sebenarnya sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku Bersih 3.0 perlu diadakan selepas sekian banyak masa diambil dan jumlah perbelanjaan besar dihabiskan, namun kehendak rakyat masih tidak dihiraukan.

Apatah lagi katanya, pelbagai pendedahan berlaku mengenai pencemaran daftar pemilih.

“Kewujudan pasukan khas ‘task force’ yang didakwa memberi kad pengenalan kepada warga asing dan kemasukan mereka dalam senarai pemilih suatu yang tidak boleh dibenarkan terus berlaku.

“Sebagai rakyat kita tidak mahu masa depan negara ditentukan mereka yang bukan sepatutnya. Apatah lagi mereka terdiri dari pendatang-pendatang asing,” ujarnya.


Menurutnya Bersih 3.0 bukan isu parti-parti politik, sebaliknya ia adalah isu rakyat bagi menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai keraguan yang timbul dalam buku khas yang diedar belum menjawab isu sebenar.

Katanya, SPR masih seperti buta hati bagi mendengar keluhan rakyat apabila jawapan diberi begitu meragukan sekali.

“Usaha SPR mahu mengekalkan lebih 40,000 pengundi yang meragukan cukup memalukan. Alasan yang diberi langsung tidak lojik.

“Kita melihat SPR dan kerajaan BN tidak berminat untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap perjalanan pilihan raya secara adil dan telus di negara ini,” ujarnya.

770 peneroka Pekan saman Felda RM442 juta

Khairil Abdul Rahim, 27 Apr 2012
KUANTAN, 27 April: Seramai 770 peneroka dari 8 tanah rancangan Felda Chini dan Chini Timur, Pekan memfailkan saman berjumlah RM442 juta terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhubung dakwaan berlaku penipuan dan penyelewengan Kadar Perahan Gred (KPG).

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuantan melalui peguam Ms Daim & Gamany semalam dengan menamakan Felda sebagai defendan pertama dan Felda Palm Industries Sdn Bhd. selaku defendan kedua.


Dalam kenyataan tuntutan, plaintif pertama Mohd Salleh Ishak, 54 dari Felda Chini 3 mendakwa, mereka sentiasa dibayar mengikut kadar perahan gred (KPG) yang lebih rendah daripada sepatutnya sejak 17 tahun yang lalu seperti yang dinyatakan dalam Akuan Penerimaan BTS.

Tuntutan saman itu diwakili lima peguam bela iaitu yang diketuai R. Sivarasa bersama T. Kumar, Latheefa Koya, Murnie Hidayah Anuar dan Md Afiq Md Noor. Kira-kira 100 peneroka turut membanjiri perkarangan mahkamah memberi sokongan. Turut hadir Pengerusi Biro Peneroka PKR, Suhaimi Said. (Gambar)

Sivarasa dalam sidang medianya selepas itu mengatakan, pihak mereka mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila kadar KPG sawit yang diterima peneroka tidak menyamai kadar lebih tinggi yang diperakukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Tambahnya, berdasarkan kes Mahkamah Persekutuan mengarahkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM11 juta kepada peneroka-peneroka Felda Kemahang, telah menghantar contoh hasil buah kelapa sawit mereka kepada tiga makmal bebas untuk menilai kadar sebenar KPG.

“Keputusan ujian makmal itu menunjukkan kadarnya ialah 31.5 % dan setelah diselaraskan peneroka percaya purata KPG tidak kurang daripada 27 %. Ini bermakna terdapat perbezaan purata 8.5 % yang digunakan oleh defendan kedua.

“Kami mempunyai bukti menunjukkan bahawa pada 2008, 770 peneroka dari 8 rancangan Felda Chini telah menghantar purata hasil 120 tan setiap seorang dan dibayar oleh Felda dengan purata harga RM560.


“Jadi dengan menggunakan angka kekurangan 8.5 peratus itu, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM257.60 setan, iaitu kira-kira RM30,912 bagi tahun 2008 sahaja. Justeru peneroka menganggap telah berlaku penipuan dan pecah amanah,” katanya.


Menurut Sivarasa, semua peneroka berkenaan mendakwa mereka terikat oleh Felda untuk hanya menghantar hasil kelapa sawit kepada Felda Palm Industries sahaja.

Dalam pada itu, peneroka mendakwa kilang Felda juga telah memotong buah sawit dengan kadar 200 kilogram sebulan tetapi tidak dikembalikan kepada mereka.

Dakwa mereka, ini membawa kerugian kepada mereka dengan kadar RM560 x 2.4 atau RM1,344 setahun bagi setiap peneroka atau RM14,333,760 bagi semua peneroka dalam tempoh 17 tahun.

“Ini bermakna dalam tempoh yang sama, Felda telah menyebabkan kerugian kepada 770 peneroka-peneroka ini sebanyak lebih RM442 juta,” kata Sivarasa.

Sebelum ini sudah terdapat peneroka di Felda Jengka, Bera dan Keratong di Pahang yang melakukan tindakan yang sama.

Guan Eng, pemimpin PR berhak dapat liputan

Aspan Alias, 27 Apr 2012
Tuntutan Bersih 3.0 merupakan satu ‘extension’ kepada tuntutan yang dibuat dalam Bersih 2.0. Negara memerlukan undian dari rakyat siapa yang sepatutnya diberi mandat apabila habis tempoh penggal pilihanraya, sekurang-kurangnya selepas 3 tahun atau sebelum tamat tempoh 5 tahun. Tuntutan yang dilakukan oleh rakyat melalui Bersih 3.0 ini merupakan tuntutan yang adil dan munasabah dan sepatutnya tidak menjadi halangan untuk dilakukan oleh rakyat yang tidak berpuas hati dengan cara dan kaedah pilihanraya diadakan.
Dari 8 tuntutan yang diminta oleh rakyat itu saya hanya ingin menyentuh hanya satu dari kesemua tuntutan itu, iaitu ‘accessibility’ yang ‘equitable’ untuk semua parti-parti yang bertanding dan menawarkan cadangan-cadangan jika diberi kepercayaan oleh rakyat. Mendapat liputan yang saksama dari media arus perdana itu merupakan perkara yang paling asas didalam sesebuah demokrasi kerana melalui media itulah pihak-pihak yang menawarkan diri untuk mendapat kepercayaan rakyat itu dapat dilakukan.

Didalam demokrasi-demokrasi besar liputan media arus perdana itu merupakan isu yang telah menjadi lumrah. Di Indonesia misalnya, sebuah negara yang suatu ketika dahulu dikatakan dikuasai oleh diktator Suharto pun telah bertukar menjadi sebuah demokrasi yang besar dalam mana semua pihak yang bertanding diberikan masa untuk berutusan dengan rakyat yang akan membuat pilihan melalui media perdana mereka.

Di Myanmar pihak pembangkang telah diberikan peluang dan masa untuk berucap di kaca TV arus perdana mereka. Kita semua tahu yang negara itu adalah dibawah perintah junta tentera sejak berapa lama dahulu. Negara itu mengikuti perubahan yang positif dalam mendemokrasian sistem pilihanraya di sana.

Mereka menerima hakikat yang didalam demokrasi semua pihak berhak untuk mendapat liputan yang saksama dari media perdana. Singapura yang kita menganggap sebagai sebuah negara demokrasi terpimpin pun ada masa dan ruang untuk pembangkang memberikan pandangan dan perbahasan melalui TV arus perdana negara itu. Semasa diktator Marcos memerintah Filipina dahulu pun ada beberapa saluran TV negara itu yang membenarkan pandangan yang bersalah-salahan dalam TV arus perdana negara itu.

Hanya dinegara ini sahaja pembangkang tidak dibenarkan berkempen melalui TV arus perdana sedangkan kita mendabik dada mengaku sebagai sebuah negara yang demokrasi. Jika pembahagian masa untuk berutusan dengan rakyat melalui media perdana, maka tidak akan timbul masalah tuduhan yang pembangkang itu memfitnah seperti yang lazim dilakukan oleh pihak pemerintah. Orang ramai akan dapat menilai samada yang dikatakan oleh pemimpin pembangkang itu fitnah atau sebagainya.

Jika pihak pemerintah bertanggungjawab, pembangkang wajar diberikan ‘accessibility’ yang agak ‘equitable’ terhadap penggunaan media masa perdana untuk menjawab tuduhan-tuduhan pihak pemerintah terhadap pembangkang. Dinegara ini memberikan masa untuk pembangkang bercakap melalui TV arus perdana seolah-olah sudah menjadi perkara yang anih sedangkan itu merupakan rukun pilihanraya yang sangat asas didalam sesebuah demokrasi itu.

Lim Guan Eng, Tok Guru Haji Hadi serta Anwar Ibrahim secara moralnya berhak untuk bercakap melalui TV perdana negara. Itu asas demokrasi dan jangan dinafikan perkara yang benar dan jangan membenarkan perkara yang tidak benar.

Berlaku adil lah supaya demokrasi kita dapat berkembang dengan baik tanpa dikotori oleh elemen-elemen jahat yang membayangkan kelemahan kita sendiri. Rakyat sudah pandai membaca dan menilai semua tindak-tanduk yang mencemarkan keunggulan demokrasi itu.

Bank tawar saham FGVH, peneroka jangan tertipu

Harakahdaily, 27 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menasihatkan para peneroka di seluruh negara tidak tertipu dengan 'durian runtuh' melalui borang tawaran saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) yang sedang diagihkan.

Pengerusinya Mazlan Aliman berkata, borang tersebut sedang diagihkan di seluruh tanah rancangan Felda di seluruh negara sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya lagi, borang tawaran saham itu dikeluarkan oleh institusi perbankan dengan menawarkan kononya saham durian runtuh dari RM50,000 hingga RM300,000.

"Borang tersebut lebih daripada 60 muka surat dan dalam bahasa Inggeris, kononnya mereka dapat saham padahal ianya adalah pinjaman dan resikonya sangat tinggi.

"Malangnya peneroka dipaksa menandatangan tanpa diberi taklimat dan kefahaman tentang resiko yang bakal dihadapi sekiranya penyenaraian mengalami kegagalan," kata Mazlan kepada Harakahdaily.

Borang-borang terebut juga ujar Mazlan, diagihkan di balai-balai raya dan pejabat Felda di mana peneroka tidak dibenar membawa pulang borang tersebut dan perlu menandatanganinya disitu serta merta walaupun tidak faham apa resiko perjanjian.

Malah ujarnya ada berlaku kes di mana anak kepada peneroka pun tidak dibenar mengambil borang tersebut malah ada yang dihalau.

Beliau difahamkan, sekiranya penyenaraian gagal, peneroka akan menanggung hutang dengan bank dan pihak bank pula berhak dengan apa cara sekalipun berhak mendapatkan gantirugi.

Malah apa yang paling dikhuatirinya, ianya bakal mengulangi apa yang berlaku kepada Amanah Saham Johor satu masa dahulu.

Pada awalnya dijual dengan harga RM1 seunit kemudian turun sehingga 11 sen seunit sehingga ramai pemilik saham itu di Johor ini kini diisytihar muflis.

"Secara logiknya, bank tidak akan bagi pinjaman kalau tidak ada benda bernilai dari peneroka yang boleh dicagarkan kepada mereka. Apa lagi yang paling bernilai pada peneroka selain 10 ekar tanah mereka?

"Pada saya, ini satu penipuan terang-terangan dilakukan dengan memperalatkan institusi perbankan untuk menipu peneroka bagi dapatkan dana pilihan raya," kata Mazlan.

Sehubungan itu beliau turut menasihatkan para peneroka memahami kandungan perjanjian tersebut sebelum menandatangan.

"Kita tidak menolak kemungkinan akan membuat permohonan di mahkamah untuk menghentikan tindakan ini, dan kita juga akan buat laporan polis," katanya.

Tiada ulasan: