Isnin, 2 April 2012

JIKA ADA NIAT MENIPU...JIKA ADA RANCANGAN JAHAT...JIKA ADA PERKARA MEMANG TIDAK TELUS...HUKUM ALLAH AKAN DATANG JUA SATU HARI NANTI...MAKA JADILAH PILIHANRAYA YANG TAK BERSIH

Jalan raya, pilihan raya tuntut mansuh PTPTN

Abdul Aziz Mustafa, 02 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 2 April: Jalan raya dan pilihan raya, kedua-duanya mesti jadi pilihan untuk menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"(Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri) Khaled Nordin suruh mahasiswa yang mahu menuntut pemansuhan PTPTN supaya menggunakan peti undi dan bukan demonstrasi.

"Sebenarnya semua jalan yang selaras dengan amalan demokrasi mesti digunakan untuk menuntut pemansuhan PTPTN, tidak kira (berdemonstrasi di) jalan raya atau pilihan raya," kata beliau.

Bagi Mohamad, jika mahasiswa berdemonstrasi di jalan raya, kerajaanlah yang menyebabkan tindakan itu dipilih oleh mereka.

"Kepada (Tan Sri) Tajudin Ramli, senang-senang kerajaan hapus kira hutang RM589 juta dan kepada keluarga (Ketua Wanita Umno, Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil) pula senang-senang kerajaan bagi pinjaman mudah RM250 juta.

"Itu kepada mereka berdua. Bolehkah rakyat percaya pemimpin Umno lain, keluarga serta kroni mereka sanggup tengok begitu sahaja Tajudin dan keluarga Shahrizat mendapat habuan lumayan?" kata beliau.

Mahasiswa, kata Mohamad, tentulah tidak berpuas hati apabila hutang Tajudin dilupuskan begitu sahaja sedangkan mereka diburu dengan keras dan kasar walaupun hutang mereka amat kecil berbanding hutang Tajudin.

Para pelajar tersebut juga tahu, keluarga Shahrizat mendapat pinjaman mudah sedangkan mereka disusahkan dengan pelbagai syarat dan perubahan berkali-kali cara pembayaran balik apabila meminjam dari PTPTN.

"Sebenarnya para pelajar tidak perlu meminjam dan PTPTN pun tak perlu diwujudkan kalau wang negara digunakan dengan betul dan bukan dikenduri-kendarakan kepada kroni.

"Sebagai contoh, jika sebahagian dari subsidi RM17 billion setahun kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP), sebahagian dari RM28 bilion setahun yang rugi akibat kelemahan pengurusan kerajaan seperti yang ditegur oleh laporan Ketua Audit Negara atau sebahagian dari RM10 bilion kerugian yang ditanggung oleh negara akibat rasuah seperti yang didedahkan oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) digunakan untuk menubuhkan dana bagi tujuan pendidikan tinggi kepada rakyat, tentu tidak berlaku kejadian menyedihkan para pelajar yang berhutang semata-mata kerana hendak belajar diburu dengan begitu begis dan kasar untuk memaksa mereka membayar hutang," katanya.

Kesemua itu, kata Mohamad, belum diambilkira lagi wang yang dibelanjakan untuk menaikkan imej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaannya seperti bayaran kepada Apco Worldwide dan FBC Media (UK) misalnya.

Ketika memberikan reaksi kepada cadangan mahasiswa mengadakan demonstrasi untuk menuntut pemansuhan PTPTN, Khaled mempersoalkan tindakan hendak berdemonstrasi itu sedangkan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata, jika terdapat parti yang mahu memansuhkan PTPTN dan pinjaman pelajaran, mahasiswa boleh memilih parti itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berjanji memansuhkan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma hingga ke peringkat universiti sekiranya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Ikrar itu dikongsi parti rakan PAS yang turut mahu menghapuskira pinjaman yang belum dibayar.

Dalam kenyataan mengenai demonstrasi itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mensasarkan 5,000 mahasiswa dan 'mangsa' hutang pinjaman PTPTN akan turun berhimpun menuntut pemansuhan pinjaman itu.

Perhimpunan itu akan diadakan pada 14 April ini di Dataran Merdeka bermula jam 2 petang.

FGVH: Anak akan terus fail injunksi

Hazayani Zakaria dan Khairil Rahim, 02 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 2 April: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) tidak patah semangat meskipun permohonan injunksi yang difailkan lapan peneroka ditolak Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini.

Permohonan injunksi tersebut bagi menghalang Koperasi Permodalan Felda (KPF) melupuskan ekuitinya dalam Felda Holdings Berhad (FHB) kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

(Gambar: Peguam Harris memberi penjelasan kepada Tuan Ibrahim, Nasrudin dan Mazlan mengenai keputusan mahkamah itu.)

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, keputusan mahkamah tersebut bukan bermakna kerajaan boleh meneruskan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia sebaliknya hanya membenarkan KPF mengadakan mesyuarat agung luar biasanya.

"Anak menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Walaupun hari ini permohonan ditolak, tidak bermakna kita kalah. Kita ada banyak langkah lagi.

"Walaupun permohonan injunksi kali ini ditolak, kalau KPF mahu adakan EGM mereka dan dalam notis ada bagitahu akan bincang mengenai penyenaraian FGVH, kita boleh fail injunksi lagi," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Sehubungan itu kata Mazlan, pihaknya akan menunggu notis panggilan mesyuarat KPF sama ada akan membincangkan usul penyenaraian FGVH atau tidak.

"Biasanya notis akan keluar dalam masa 14 hari. Kita tunggu, dan jika dalam notis ada usul bincang penyenaraian, kita akan fail injnksi lagi," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Menurut beliau juga, hakim turut mencadangkan Anak merujuk perkara ini kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kerana melibatkan pertikaian di antara peneroka dengan Felda.

Saman 3 pemimpin

Mazlan juga berkata, Anak akan memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad kerana mengeluarkan kenyataan menghina mahkamah.

"Najib, Isa Samad dan Ahmad Maslan berulang kali menyebut akan meneruskan penyenaraian FGVH sebelum ini walaupun kes dalam perbicaraan mahkamah," jelas beliau.

Katanya, permohonan mahkamha itu akan dibuat pada 10 April ini.

Sementara itu, peguam Mohd Harris Abdullah yang mewakili kumpulan peneroka tersebut, berkata Hakim Datuk Mariana Yahya membuat keputusan itu setelah meneliti hujah daripada kedua-dua belah pihak.

"Injuksi ditolak atas beberapa alasan iaitu pertamanya mesyuarat yang diadakan pada 22 Februari hanya mengatakan bahawa satu perbincangan akan diadakan tanpa menjelaskan bahawa satu keputusan akan dibuat. Bukan seperti mana mesyuarat yang telah diadakan pada 5 Januari lalu.

“Mesyuarat pada tarikh itu (5 Jan) mengatakan KPF akan meluluskan usul untuk memindahkan ekuiti. Tapi dalam mesyuarat pada 22 Februari hanya perbincangan saja. Jadi mahkamah berpendapat di situ tiada isu untuk dilarang. Takkan kita nak larang orang berbincang, melainkan kalau agenda dia sama seperti pada 5 Januari maka kita boleh larang mereka lakukan perkara tu.

“Belum ada lagi cadangan untuk lupus. Cadangan pertama dah dibatalkan, cadangan kedua ni tak ada lagi.. baru nak bincang boleh ke tak boleh. Kalau kita buat keputusan boleh, mungkin kemudian dia akan buat mesyuarat untuk dapatkan resolusi  lupuskan benda tu belum berlaku. Jadi mahkamah tak boleh buat anggapan mengatakan benda tu akan berlaku dan larang sekarang", katanya.

Harris menambah, penyataan bahawa perlupusan aset KPF bernilai RM3.13 bilion itu tidak disokong dengan bukti atau dokumen rasmi menyebabkan Hakim menolak permohonan tersebut.

"Jika adapun dokumen tersebut itu mungkin di bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi). Macam mana kita nak ketengahkan kalau kita ada pun. Lepas tu kalau kita ada kita akan ditangkap. Keduanya, dia (Felda) tak akan bagi sebab semua itu terhad dan sulit.

“Jadi bermakna sekarang ini permohonan yang kita buat hanya bersandarkan kepada spekulasi dan khabar angin, sebab kita tak dapat buktikan. Tapi saya tak salahkanlah dengan peneroka yang bawa kes tuu.. sebab mereka pun tak dapat.. tapi kita tahu benda tu akan berlaku. Hanya kini kita tak dapat buktikan apa yang akan berlaku", kata beliau.

Harris berkata, di bawah Seksyen 82-2 Akta Koperasi mengatakan bahawa kalau ada perjalanan mesyuarat atau pun perniagaan yang tidak betul dalam mana-mana koperasi hanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang berkuasa menghalang.

Tambahnya di bawah Seksyen 47 Undang-Undang Kecil Persatuan mengatakan jika berlaku kesilapan atau merugikan maka Ahli Lembaga Pengarah harus bertanggungjawab tanpa sebarang liabiliti.

“Ini bermakna kalau apa-apa berlaku kepada peneroka, kita serang Lembaga Pengarah tapi kemudian bukan sekarang. Itulah alasan-alasan yang telah diberikan oleh hakim untuk menolak permohonan injunksi.

“Kita akan bincang tindakan kita selepas ini sama ada akan merayu keputusan ke Mahkamah Rayuan atau pun kami akan berhenti di sini", tambah Harris lagi.

Disember lalu peneroka terbabit yang kesemuanya ahli KPF dari Felda Gugusan Jengka telah memfailkan saman pemula terhadap KPF dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi Temerloh.

Saman tersebut adalah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan ekuiti KPF dalam Felda Holding.

Pada asalnya mesyuarat khas KPF itu dikatakan adalah untuk mengesahkan status Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF dan meminta sokongan ahli KPF bagi pelupusan ekuiti koperasi itu dalam Felda Holding untuk tujuan penyenaraian FGVH ke dalam Bursa Malaysia.

Hasil daripada injunksi tersebut mesyuarat KPF dibatalkan dan diganti dengan majlis dialog.

Sementara itu di mahkamah hari ini kira-kira 100 orang peneroka hadir untuk memberi sokongan.

Selain Mazlan, turut hadir Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bekas Ahli Lembaga Pengarah KPF Datuk Zainal Hassan, Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan dan Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

PAS yakin Wilayah kekal kubu kuat Pakatan Rakyat

Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi, 02 Apr 2012
PAS Wilayah Persekutuan begitu optimis dan yakin bahawa pengundi-pengundi di Wilayah Persekutuan akan mengekalkan kemenangan besar Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur sebagaimana yang dicapai dalam PRU12 pada 2008 dan seterusnya mencipta kemenangan bersejarah di Parlimen Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang ini.
Momentum terkini menyaksikan bahawa rakyat di bandar dan juga di luar bandar secara konsisten menolak Umno dan Barisan Nasional yang dilihat semakin teruk diselubungi dengan najis rasuah, kronisme, penyelewengan duit rakyat secara mega dan penyalahgunaan kuasa yang melampau. Mood rakyat kekal membenci segala kezaliman dan ketidakadilan Umno BN walaupun rakyat ditabur dengan gula-gula pilihanraya dan projek segera menjelang PRU13 ini.

Masyarakat di bandar mempunyai akses kepada media baru dan kadar celik maklumat yang tinggi. Rakyat semakin bijak membuat perbandingan dan penilaian di antara kejayaan-kejayaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat dari segi ekonomi, pelaburan, urus tadbir yang baik  dan kebajikan yang diberikan kepada rakyat berbanding lakonan sandiwara pemimpin-pemimpin Umno BN yang semakin galak menjelang PRU13 ini.

Masyarakat di bandar tidak mudah ditipu dan digula-gulakan oleh Umno BN. Mereka  menyaksikan bahawa Umno BN tidak pernah berubah meskipun kalah teruk, 10 daripada 13 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan dalam PRU12. Umno BN masih gagal menangani permasalahan besar warga kota meskipun memegang tampuk pemerintahan Negara sudah sekian lama.

Isu-isu seperti masalah pengangkutan awam yang semakin teruk, perumahan rakyat yang bercelaru, masalah pendatang asing yang memonopoli perniagaan dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai lubuk mereka, golongan miskin bandar yang dipinggirkan dan masalah sosial yang semakin parah di kalangan generasi muda. Begitu juga dengan kebajikan penjawat-penjawat awam yang masih gagal diselesaikan dengan baik dan isu pemilikan hartanah warga kota yang semakin terancam.


Di kala media memaparkan perbelanjaan luar biasa dan pembaziran mega pemimpin-pemimpin tertinggi Umno dalam urusan keluarga dan peribadi mereka dengan menggunakan duit rakyat, penduduk-penduduk  warga kota terus dihimpit dan dibebani dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan membebankan.

Kekayaan Negara tidak dikongsi dengan adil kepada rakyat dan hanya berlegar di kalangan pemimpin-pemimpin Umno BN sahaja.  Semua ini disaksikan rakyat dan ia merupakan ramuan yang lengkap untuk penduduk warga kota menolak terus Umno BN dari lanskap politik di Wilayah Persekutuan khasnya dan Malaysia amnya dan memilih Pakatan Rakyat yang terbukti mengutamakan hal-ehwal kebajikan rakyat bukannya diri sendiri dan kroni.

Umno juga gagal untuk menjaga hakmilik dan pegangan tanah orang-orang Melayu di kampung-kampung tradisi di sekitar Kuala Lumpur khususnya di Kampung Bharu yang merupakan satu-satunya pegangan tanah milik penuh orang Melayu di tengah-tengah  bandaraya Kuala Lumpur ini.

Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu 2011 yang telah diluluskan di Parlimen baru-baru ini walaupun dibantah keras oleh ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat, dikhuatiri akan digunakan oleh Umno /BN sebagai mekanisme untuk mengambil tanah dan mengurangkan terus pemilikan tanah orang Melayu, kononnya atas nama pembangunan.

Begitu juga dengan pemilikan-pemilikan tanah rakyat di beberapa tempat lain di Wilayah Persekutuan yang dilihat semakin terancam di mana Kerajaan boleh pada bila-bila masa menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan undang-undang lain yang berkaitan untuk merampas tanah rakyat atas nama pembangunan.

PAS Wilayah Persekutuan yakin dengan perkembangan mutakhir ini dan momentum rakyat yang secara terang dan konsisten menolak Umno BN, maka Pakatan Rakyat mampu mengekalkan kecermelangan sebagaimana PRU12 dan mencipta kemenangan bersejarah di 3 kerusi Parlimen yang dimenangai BN pada PRU 12 iaitu Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan.

PAS Wilayah Persekutuan akan menampilkan calon-calon yang bersih dari segala rasuah dan penyelewengan, berwibawa, disenangai rakyat dan professional. Pakej yang terbaik akan dipersembahkan kepada rakyat untuk penduduk warga kota memilih wakil yang dapat menyuarakan hak-hak  mereka di Parlimen.

Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Mengapa pengundi tidak tahu alamat ditukar?

Harakahdaily, 02 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 2 April: “Bagaimanakah SPR boleh menukarkan tempat mengundi seseorang pemilih secara sembrono tanpa ada siasatan yang teliti terhadap borang permohonan seseorang pemilih,” kata Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Mohd Sany Hamzan (gambar).

Sehubungan itu, tegasnya pihaknya mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak-pihak yang cuba melakukan perbuatan khianat dengan memindahkan seseorang pemilih berdaftar dari Dun atau kawasan Parlimen sedia ada ke Dun dan Parlimen yang lain tanpa pengetahuan pemilih tersebut.

Seorang pengundi, Zawawi Abdul terkejut apabila semakan di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati alamat tempat mengundinya telah ditukar tanpa pengetahuannya.

Beliau yang merupakan pengundi di Peti Undi Bukit Lintang dalam Dun Ayer Molek sejak tahun 1970-an lagi kini ditukar menjadi pengundi di Dun Duyong.

"Sejak dari tahun 70-an saya mengundi di Sekolah Kebamgsaan Bukit Lintang tidak pernah pindah tempat mengundi, saya terkejut bila menyemak di laman web nama saya ada di Dun Duyong," kata Zawawi kesal.

“Adakah ini satu cara penipuan secara halus yang cuba dilakukan oleh SPR untuk mempastikan kekalahan Pakatan Rakyat di dalam pilihanraya umum yang akan datang?” soal Mohd Sany.

Katanya, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia meletakkan sepenuh kesalahan dan kelalaian ini ke pundak SPR sebagai entiti yang bertanggungjawab ke atas akses dan maklumat pemilih yang telah berdaftar.

Menurutnya, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan kemungkinan masih banyak lagi kes yang melibatkan pengundi berdaftar “dipindahkan dan dilenyapkan” tanpa pengetahuan mereka.

“Maka Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihatkan kepada semua pemilih-pemilih yang telah berdaftar supaya menyemak semula status pengundian mereka dan membuat laporan polis sekiranya berlaku perubahan status tanpa disedari,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau mengingatkan Dewan Pemuda PAS negeri dan kawasan perlu memainkan peranan untuk membantu menyemak status pengundi di setiap Dun dan parlimen masing-masing.

Pihaknya juga, kata Sany ‘menasihatkan’ pihak SPR supaya lebih bertanggungjawab dan berintegriti di dalam melaksanakan tanggungjawab mereka supaya tidak berlaku penipuan di dalam pilihan raya umum yang akan datang.

“SPR perlu menjadi pihak yang benar-benar berkecuali dan bukan menjadi ‘budak suruhan’ untuk memenangkan Umno dan Barisan Nasional,” ujarnya lagi.

Jika Shahrizat ada 'penyakit', ia bawaan Umno

Abdul Aziz Mustafa, 02 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 2 April: Jika benar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dibayangkan membawa penyakit yang boleh berjangkit, penyakit itu adalah penyakit bawaan Umno, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Apabila Naib Ketua Wanita Umno (Datuk Kamilia Ibrahim) menyatakan tentang orang yang membawa penyakit yang boleh berjangkit, umum menganggap ia ditujukan kepada Shahrizat.

"Sebenarnya adalah tidak adil menuduh Shahrizat sahaja yang membawa penyakit kerana Umno itu sendiri yang berpenyakit.

"Jika benar Shahrizat yang dibayangkan membawa penyakit yang boleh berjangkit, penyakit itu adalah penyakit bawaan Umno," kata beliau.

Mahfuz menyifatkan apa yang dinyatakan oleh Kamilia itu membenarkan lagi apa yang dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa Umno busuk hingga ke ususnya.

"Perkembangan demi perkembangan semakin membuktikan kebenaran kata-kata Dr Mahathir yang menyifatkan Umno sudah jadi parti perasuah yang busuk hingga ke ususnya.

"Semakin hari semakin cukup lengkap sifat sebenar Umno, parti perasuah, busuk hingga ke usus, pembawa penyakit, lembu dan selepas ini akan lebih lengkap lagi," katanya.

Sebelum ini, dalam desakannya supaya Shahrizat meletak jawatan sebagai Ketua Wanita Umno, Kamilia berkata ahli-ahli Wanita Umno mengadu mereka merasa sukar untuk bertemu dengan rakyat kerana imej ketua mereka tercemar.

"Masyarakat 'mempermainkan' Wanita dan memanggil kami 'lembu'," kata Kamilia.


Dengan perkembangan sedemikian, Mahfuz juga yakin selepas ini semua orang Umno akan dipanggil lembu oleh masyarakat.

"Sekarang semua orang tahu, (Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) yang beria-ia mengekalkan Shahrizat sebagai Ketua Wanita Umno.

"Bila Najib berkeras mengekalkan Shahrizat, saya yakin selepas ini semua orang Umno akan dipanggil lembu oleh masyarakat dan bukan Wanita Umno sahaja yang dipanggil lembu seperti yang diakui oleh Kamilia," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Malah, Mahfuz menyifatkan tindakan Najib yang berkeras mengekalkan Shahrizat itu mengesahkan tanpa sebarang keraguan lagi apa yang ditulis oleh Dr Mahathir dalam blognya sebelum ini.

Bekas Presiden Umno itu menulis: "Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong Umno. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan".

Malah, Mahfuz juga menyifatkan Dr Mahathir secara tidak langsung menyatakan ketidakyakinannya kepada Umno apabila baru-baru ini menyatakan parti itu kini mempunyai masalah ketandusan pemimpin gara-gara kepimpinan di peringkat bahagian serta cawangan yang menyekat kemasukan golongan cerdik pandai dan profesional ke dalam Umno.

Dr Mahathir mendedahkan, "Umno dah berpuluh-puluh tahun tak bagi orang pandai masuk Umno, sebab itu kebanyakan doktor masuk PAS".

Sebab itulah, kata Mahfuz, kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri dari Umno kelihatan begitu bodoh dan boleh ditipu begitu sahaja oleh menteri dari MCA.

Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang memperakui bahawa bekas Menteri Pengangkutan yang juga bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik telah menipu kerajaan Malaysia membabitkan RM1.08 bilion dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ketika kejadian itu berlaku, Dr Mahathir adalah Perdana Menteri Malaysia.

Tiada ulasan: