Isnin, 23 April 2012

SUSAH KALAU SOMBONG BODOH...MENGIRA KEUNTUNGAN SEMASA...TAK MENGIRA KERUGIAN DIMASA AKAN DATANG....

Pak Samad cadang desawan adakan Bersih 4.0

Muhammad Faizal, 22 Apr 2012
SHAH ALAM: Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk A. Samad Said hari ini menyarankan agar masyarakat desawan mengadakan Bersih 4.0 jika tidak berpuas hati dengan apa-apa tindakan kerajaan.

Beliau yang juga sasterawan negara berkata, sebaik-baiknya himpunan itu diadakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) dan selepas Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

"Kita melihat 28 April nanti merupakan satu himpunan yang dilakukan oleh golongan kota ataupun kotawan, kita akan melihat satu sejarah baru negara apabila bantahan dilakukan melalui Bersih 3.0.

"Tapi dalam masa yang sama untuk kita melihat momentum bantahan saya sarankan agar Himpunan Bersih 4.0 di laksanakan segera dan perlu dilakukan di desa-desa," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum mendeklamasikan puisi di Konvesyen Hala Tuju Felda di Universiti Industri Selangor (Unisel) hari ini.

Tambahnya, beliau percaya dengan wujudnya Bersih 4.0 dari kalangan desawan, matlamat dan hasrat rakyat lebih didengari oleh kerajaan Umno Barisan Nasional.

"Mood rakyat akan dapat dirasai apabila golongan desa melaksanakan Himpunan Bersih 4.0," sambung beliau lagi.

Menurutnya lagi, jika ini lambat dilakukan seluruh rakyat akan menjadi 'Al-Fakir' kerana terus dipermainkan oleh kerajaan yang ada sekarang,

Sasterawan Negara itu juga sempat menyampaikan Puisi bertajuk 'Melelong Rimba' sebagai menyatakan usaha kerajaan yang bukan sahaja sanggup melelong tanah milik rakyat tetapi juga sanggup melelong hutan rimba demi mencari wang dengan cara yang mudah.

Felda bakal hilang sumber pendapatan

Muhammad Faizal, 22 Apr 2012
SHAH ALAM: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di Bursa Malaysia akan menyaksikan Felda tidak lagi memiliki apa-apa di dalam syarikat FGVHB.

Kesan ini timbul apabila Felda melupuskan segala perniagaannya kepada FGVHB dengan hanya mendapat pembayaran sekali gus berjumlah RM10 bilion.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara, Dr Rosli Yaakub menjelaskan Felda membelanjakan kira-kira RM2 bilion setiap tahun dalam bentuk perbelanjaan pengurusan, perbelanjaan peneroka, perbelanjaan tanam semula, pinjaman kepada peneroka termasuk juga pendahuluan baja kepada peneroka.

"Sumber dana datangnya dari pendapatan Felda berjumlah kira-kira RM2.5 bilion setahun yang terdiri daripada pendapatan ladang kira-kira 60 peratus, geran infrastruktur dari kerajaan termasuk dividen dari anak-anak syarikat.

"Ini bermakna tanpa penyenaraian, Felda menikmati lebihan pendapatan berbanding perbelanjaan kira-kira RM500 juta setiap tahun," jelasnya sewaktu perbentangan kertas kerja di Konvesyen Halatuju Felda di Universiti Industri Selangor (UNiSEL) di sini.

Tambahnya, sebaiknya selepas penyenaraian ini sumber pendapatan sudah terputus. Tunai yang dijana dari penyenaraian nampaknya hanya mampu menampung perbelanjaan selama lima tahun.

"Itupun kalau ianya tidak digunakan untuk maksud-maksud lain, mesti pun diandaikan kesemua RM10 bilion itu dilaburkan dalam pelaburan menjana pendapatan paling optimistik ia boleh menjana RM1.5 bilion setahun (15 peratus).

"Ini bermakna, Felda masih akan mengalami defisit sebanyak RM500 juta setahun berbanding lebihan RM500 juta setahun sebelum penyenaraian," ucapnya.

Jelas, Dr Rosli dengan kehilangan sumber tetap pendapatan, Felda tidak ada jalan lain kecuali mengecilkan saiznya serta menghadkan aktivitinya.

"Yang pasti akan terkorban ialah program-program di bawah tanggungjawab sosial korporat, ia akan menjejaskan kualiti dan taraf hidup peneroka keseluruhannya.

"Dengan kehilangan sumber pendapatan, Felda hanya akan mampu meneruskan program-program kemasyarakatan jika ada suntikan wang pembayar cukai ke dalam akaun Felda badan berkanun," tambahnya lagi.

Dr Rosli menegaskan penyenaraian ini merugikan Felda, peneroka dan juga memberi beban ke atas belanjawan negara.

Pindaan RUU Kesalahan Pilihan Raya untungkan BN?

Aslani M, 22 Apr 2012
KOTA BHARU: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 dianggap pengamal undang-undang lebih menguntungkan Barisan Nasional (BN).


Antara lain Peraturan 19(7), Peraturan-Peraturan Penjalanan Pilihan Raya yang mana sebelum ini memperuntukkan hanya “saudara” pengundi yang uzur boleh mengungi bagi pihaknya telah dipinda kepada seseorang yang “dipercayai”.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Luham), Pemuda PAS Kelantan, Mohd Abd Rashid Yah berkata, peraturan baru itu membuka ruang luas dimanipulasi kerana sesiapa sahaja boleh mengundi bagi pihak orang yang tidak berupaya.

Manakala Seksyen 26 (1)(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya pula menetapkan jarak 50 meter semasa hari pengundian telah dipinda kepada jarak 100 meter boleh membuka ruang berlakunya kecurangan dalam proses pilihan raya.

“Apatah lagi sekarang ketelusan SPR dalam mengendalikan proses pilihan raya diragui serta dipertikai rakyat. Menjadi pertanyaan rakyat mengenai asas-asas atau alasan pindaan itu dibuat,” katanya pada satu kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini kerajaan melalui Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Vui Keong mengemukakan bacaan Rang Undang-Undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 untuk kali pertama.

Mohd Abd Rashid berkata, Seksyen 26A(2) Akta yang sama sebelum ini membenarkan calon bertanding melantik tidak lebih empat pemerhati barung yang diselenggara SPR, namun dipinda dengan menghapuskan peruntukan tersebut.

Katanya ia bermaksud tiada lagi pemerhati barung yang dilantik calon bertanding.

“Jadi siapakah yang akan memastikan bagi pihak calon urusan di barung SPR tersebut adalah telus dan mengikut lunas undang-undang.

“Pindaan tersebut jelas menunjukkan ketidakadilan SPR dalam mengendalikan perjalanan pilihan raya,” katanya.

Seksyen 24B(3) Akta yang sama juga sebelum ini membenarkan sebarang ceramah atau mesyuarat diadakan di mana-mana tempat awam, namun dipinta dan hanya membenarkan calon berbuat demikian di pejabat parti sahaja.

Kata beliau apakah rasional seksyen itu dipinda kerana pejabat parti yang bertanding kebiasaannya hanya terdapat sebuah sahaja di kawasan parlimen.

Katanya, pindaan baru tersebut menyebabkan calon Pakatan Rakyat sukar untuk berkempen bagi menyampaikan maklumat kepada penyokong dan orang ramai.

“Sebaliknya ia memberikan kelebihan kepada BN kerana mempunyai pelbagai saluran kempen termasuk tv, radio dan akhbar. Jelas sekali berlaku ketidakseimbangan serta ketidakadilan,” tambahnya.

Manakala Seksyen 11(1)(c) akta serupa sebelum ini mewajibkan setiap bahan bercetak parti dicatatkan nama, alamat pencetak dan penerbitnya, namun telah dipinda yang mana ia bukan lagi sesuatu mandatori.

Seksyen 14 (1A) Akta Kesalahan Pilihan Raya sebelum ini menetapkan agen tempat mengundi atau agen mengira undi hendaklah bertugas sekurang-kurangnya dua jam tidak boleh diganti orang lain sebelum tamatnya tempoh tersebut.

Namun seksyen tersebut dipinda dan memberikan kuasa sepenuhnya kepada SPR menentukan tempoh masa minimum seseorang agen tempat mengundi atau agen mengira undi bertugas.

Hari Bumi: Kerajaan jangan abai rakyat, alam sekitar

Anis Nazri, 22 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Pemimpin negara diminta supaya lebih melihat pembangunan yang mendatang diurustadbir dengan baik bagi mengelakkan risiko kepada alam sekitar dan manusia.

Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat  turut menyeru pemimpin negara mendengar rintihan rakyat tentang alam sekitar, khususnya berkaitan isu Lynas, pembalakan dan isu membabitkan kesan negatif.

Pengerusinya, Zulkefly Mohamad Omar, dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, berkata banyak berlaku kerosakan akibat sikap manusia yang rakus untuk pembangunan, tanpa melihat ekologi dunia.

"Masalah bumi kini berada di tahap kritikal, dengan pemanasan global, pencemaran, dan isu-isu berkaitan hidupan manusia. Sudah sampai masanya, rakyat perlu didedah tentang kesedaran alam sekitar supaya tidak berlaku kemusnahan pada alam sekitar," tegas beliau.

Beliau berkata demikian sempena Hari Bumi Sedunia, hari ini, yang diingati untuk meningkatkan kesedaran terhadap bumi.

Pada 2009, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 22 April sebagai Hari Bumi Internasional.

Penyenaraian: GSF bayang himpun seperti Bersih

Harakahdaily, 22 Apr 2012
SHAH ALAM: Gerakan Selamatkan Felda (GSF) tidak teragak-agak mengikut jejak Bersih untuk menghimpunkan warga Felda sekiranya kerajaan tetap dengan pendirian untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia. Bercakap pada sidang media Konvensyen Hala Tuju Felda hari ini, pengerusinya Mazlan Aliman berkata, resolusi konvensyen tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat.
Namun jika tiada apa-apa tindakan daripada Najib, pihaknya tidak menolak kemungkinan menggerakkan warga Felda berhimpun seperti Bersih.
"Resolusi tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri selewat-lewatnya sebelum Mei ini dan berharap beliau akan cuba menimbang kembali tindakan (keputusan) penyenaraian ini kerana kami yakin masih terbuka jalan lain untuk memacu pertumbuhan di Felda.
"Bantahan ini dilakukan kerana kami khuatir bahawa agenda penyenaraian ini bagi mengaburi motif lain iaitu untuk mengambil dana bagi tujuan tertentu," kata beliau ketika bercakap pada sidang media, di Universiti Industri Selangor (Unisel) di sini, hari ini.
Bagi Mazlan, beliau yakin keputusan kerajaan secara tergesa-gesa mahu meneruskan langkah penyenaraian kerana sedang mencari dana khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Apatah lagi ujarnya, pilihan raya kali ini dianggap paling sengit dan mencabar.
Sementara itu konvensyen anjuran Gerakan Selamatkan Felda (GSF) itu menghimpunkan hampir 1000 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, sama ada peneroka asal, anak peneroka dan individu yang prihatin dengan perjuangan Felda.
Menurut Pengarah Program, Nasaie Ismail, program ini memberi ruang kepada peserta, khususnya peneroka untuk mengetahui agenda pihak-pihak tertentu berkaitan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Kuala Lumpur.
Dua kertas kerja akan dibentangkan iaitu "FGVB, Untung dan Rugi Penyenaraiannya", yang dibentangkan oleh bekas Timbalan Pengarah Bank Negara, Dr. Rosli Yaakub manakala satu lagi bertajuk "Masa Depan dan Hala Tuju Felda" yang akan dibentang Ahli Lembaga Pengarah Delima Oil Product Sdn Bhd, Dr Kamari Kasan.

Resiko tandatangan borang pentadbir tanah

Anis Nazri, 22 Apr 2012
SHAH ALAM: Peneroka Felda berhadapan risiko besar sekiranya menandatangani Borang Pentadbir Tanah, yang kini telah diserahkan kepada penama sebelum tindakan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) dilakukan kerajaan.

Risiko tersebut membabitkan segala kemungkinan yang timbul ekoran penyenaraian FGVH ke Bursa Kuala Lumpur.

Perkara tersebut didedahkan Presiden Anak, Mazlan Aliman (gambar), ketika sidang media, di Konvensyen Halatuju Felda, di Dewan Unisel, di sini, hari ini.

Mazlan menjelaskan, borang yang ditandatangani di hadapan pesuruhjaya sumpah itu terdapat terma-terma yang mengundang risiko amat besar terhadap para peneroka kerana mereka tidak boleh menuntut atau mengambil apa-apa tindakan sekiranya berlaku apa-apa perkara berbangkit selepas penyenaraian dilakukan.

"Saya bacakan di sini, tertera kenyataan di dalam borang tersebut 'bahawa saya membuat surat akuan ini secara suci hati, dengan kehendak dan kerelaan saya sendiri tanpa paksaan dan ugutan daripada mana-mana pihak', juga terma 'saya tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang yang boleh menjejaskan nama baik Felda pada masa akan datang atau menyebabkan sebarang tindakan diambil terhadap pihak Felda berhubung dengan 'Blue Form' tersebut.

"Ini menjelaskan setiap pentadbir yang menandatangani surat tersebut tidak boleh menuntut apa-apa sekiranya berlaku selepas penyenaraian tersebut.  Saya dimaklumkan, ada yang menandatangani surat tersebut tidak memahaminya sebelum menandatanganinya.  Jadi saya minta mereka berjumpa kembali pesuruhjaya sumpah itu untuk menarik balik (surat perjanjian)," jelas beliau.

Sementara itu, bekas Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, berkata penyenaraian sesebuah syarikat kebiasaannya dilakukan bagi mendapatkan dana, sedangkan FGVH tidak memerlukannya.

(Gambar: Antara peserta yang hadir ke Konvensyen Halatuju Felda)
"Saya pelik kerana sepatutnya penyenaraian untuk syarikat untuk mendapatkan wang, sedangkan Felda tiada masalah untuk itu.  Felda setiap tahun mencatat untung dari syarikat-syarikat tidak kurang RM2.4 bilion dengan membelanjakan hanya RM1.9 bilion.  Saya fikir ia (penyenaraian) tidak perlu untuk Felda," kata beliau pada sidang media yang sama.

Konvensyen anjuran Gerakan Selamatkan Felda (GSF) ini dihadiri kira-kira 1000 peserta dari seluruh pelusuk negara, termasuk dari Sabah, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, sama ada peneroka asal, anak peneroka dan individu yang prihatin dengan perjuangan Felda.

Program, Nasaie Ismail, program ini memberi ruang kepada peserta, khususnya peneroka untuk mengetahui agenda pihak-pihak tertentu berkaitan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Kuala Lumpur.

Jangan abaikan tarbiah walaupun musim p'raya

Idris Haji Ahmad, 22 Apr 2012


Sesungguhnya keperibadian Muslim yang tulen merupakan batu bata yang menjadi tapak kepada pembinaan jamaah. Kukuhkan peribadi Muslim melalui program tarbiah fardi (perseorangan) atau secara jama’i). Jika berlaku kelemahan dan kecacatan di dalam proses pembinaan ini maka jamaah perlu dipertangungjawab kenapa perkara ini berlaku. Sekiranya jamaah sudah berusaha semaksimum mungkin mengatur program, namun sikap ahli atau pimpinan yang  tidak memperdulikan program ini, maka jamaah boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab ini.

Kerana kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan jangka panjang kepada parti Pas untuk meneruskan perjuangan, kerana  perjalanan masih jauh. Kegagalan ini akan memberi kesan jangka panjang dan keruntuhan kepada jamaah.  Mengakibatkan parti  tidak boleh melahirkan keperibadian yang bertanggungjawab dan petugas yang sanggup memikul beban tugas yang merupakan amanah. Paling malang sekali,  kesan yang paling buruk ialah mereka ini membebankan parti, bukan meringankan parti.

Sesungguhnya tabiat perjuangan itu sendiri yang perlu meletakkan asas yang kukuh kerana ia menuntut kita kepada amal jihad yang berterusan. Untuk mendapat kejayaan cemerlang, jamaah mesti melahirkan  manusia yang memiliki akidah yang betul-betul memahami Islam mengikut sistem tarbiah  yang baik untuk persediaan kepada jihad dan pengorbanan.

Imam Syhid Hassan al-Banna pernah menyatakan “Sesungguhnya lelaki bercakap bukan lelaki kerja,lelaki kerja pula bukan lelaki jihad, lelaki jihad yang semata-mata berjihad saja bukan lelaki yang bijaksana yang boleh mengeluarkan hasil yang memberi keuntungan besar melalui pengorbanan yang sidikit saja”

Tarbiah mempunyai kesan dan pengaruh jangka panjang dan pendik untuk menghadapi berbagai-bagai peristiwa dan keperluan amal di jalan dakwah, samada ketika menghdapi dugaan atau tipu helah musuh.

Tarbiah tidak sepatutnya  dibataskan untuk ahli biasa sahaja, sedangkan peringkat atasan ditinggal begitu sahaja. Ia wajib diamalkan  tanpa ada pilihan kerana setiap orang memerlukan bekalan dan bahan ingatan.

Tarbiah amat diperlukan sepanjang masa, terutama ketika suasana kritikal , seperti sewaktu pilihanraya. Suasana begini amat penting kerana unsur iman diperlukan untuk mendapat sokongan dan pertolongan Allah.

Meneruskan usaha tarbiah amat diperlukan sebagai persediaan kepada generasi akan datang untuk menyambung tugas perjuangan jihad sebagai barisan pelapis.

Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan kecuaian terhadap program tarbiah.

Sheik Mustafa Masyhur dalam bukunya “Tariq al-Dakwah Baina al-Asalah wal-Inhiraf” (Jalan Dakwah Antara Keaslian Dan Penyelewingan) telah menggariskan beberapa perkara yang boleh menyebabkan program tarbiah terencat untuk menjadi ingatan kepada kita, supaya perkara ini tidak berlaku kepada parti Pas

a. Memberi tumpuan yang lebih kepada bidang politik dan meringankan aspek tarbiah . Hal ini diatur oleh politik yang terlalu sibuk menghabiskan masa dalam menyelesaikan masalah , kemusykilan dan perhitungan.

b. Tidak menyediakan para murabbi dan para pelatih. Para murabbi hanya menumpukan kepada peringkat tinggi, dan mengabaikan peringkat bawahan. Selain itu berlebihan memberi keutamaan kepada berceramah ke merata-rata tempat kerana banyak jemputan hingga melemahkan  tugas mereka dalam aspek tarbiah.Dengan ini amat penting disediakan para murabbi  untuk mengimbangkan program  ceramah dengan tarbiah.

c. Usrah tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Usrah tidak digunakan untuk mengasah bakat dan  pembentukan peribadi dan membina akhlak.

d. Sibuk dengan bidang-bidang lain hingga mengenepikan tugas tarbiah.

Muhasabah yang diberikan oleh Sheikh Mustafa Mashur ini boleh kita mmbuat koreksi terhadap diri kita dan juga jamaah kita supaya ia menjadi jamaah yang unggul. Walaupun beliau menulis di dalam konteks negeri Mesir yang berbeza dari segi demografi dan suasana persekitaran politik. Namun beberapa saranan dan teguran beliau itu ada relevan untuk kita muhasabah diri dan parti kita.

Setiap ahli Pas mesti melatih  diri mereka mengutamakan sudut amali daripada banyak bercakap. Elakkan diri daripada terjebak dengan pencemaran riya’ yang boleh membawa kepada kerosakan dan kemusnahan amalan dan parti. Elakkan diri daripada menyebarkan diayah palsu sesama ahli jamaah

Elakkan pertengkaran dan perbalahan sesama anggota, kerana syaitan akan masuk campur dan berlakulah pertelingkahan dan permusuhan sehingga merosakkan ukhwah. Semua ini menjejaskan amal kerja untuk berdakwah. Rasulullah melarang kita dari bersifat demikian kerana ia tidak mendatangkan kebaikan.

Memanglah ukhwah sangat penting dalam berdakwah dan berjihad supaya tidak ada peluang kepada musuh menembusi masuk ke dalam saf jamaah. Kecuaian terhadap ruh atau semangat ukhwah dan kasih sayang sesama anggota akan memberi  peluang kepada syaitan dan musuh sehingga membawa kepada pertelagahan, kegagalan dan keruntuhan. Firman Allah SWT

“Dan janganlah kamu berbalahan, maka kamu akan gagal dan hilang kekuatan kamu” (Surah al-Anfal 46)

Imam Syahid Hassan al-Banna menasihat perkara ini “Masa merupakan kehidupan, dan tanggungjawab lebih banyak dari masa. Oleh itu janganlah kita sibuk dengan menguruskan kulit mengenepikan isi dan jangan sibuk dengan banyak cakap dan bertengkar tetapi mengenepikan amal.

Penyenaraian: Felda jerat leher sendiri

Muhammad Faizal, 22 Apr 2012

SHAH ALAM: Bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menyifatkan tindakan kerajaan mahu menyenaraikan Felda Global Ventures Ventures Holding Berhad (FGVH) ke Busrsa Malaysia sebagai cuba menjerat leher Felda sendiri.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang banyak syarikat gergasi yang sedang cuba keluar dari penyenaraian untuk lebih bebas, namun Felda pula mengambil sikap sebaliknya.

"Ini perlu diperjelaskan kenapa," katanya yang merupakan bekas menteri penerangan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvesyen Halatuju Felda anjuran gabungan NGO Selamatkan Felda di Dewan Serbaguna, Universiti Industri Selangor pagi tadi.

Selain itu beliau turut melemparkan persoalan, sekiranya benar kedudukan kewangan Felda kukuh, kenapa FGVH perlu disenaraikan dan sanggup berdepan resiko begitu besar.

"Syarikat bertindak melakukan penyenaraian adalah untuk mendapatkan duit tunai bagi mengembangkan perniagaan tetapi Felda sudah mempunyai jumlah aliran tunai yang banyak serta aset yang besar kenapa perlu disenaraikan.

"Kalau ingin mengembangkan perniagaan, Felda boleh menggunakan wang tunai yang dimiliki oleh mereka (Felda) dan tidak perlu berada dalam Bursa Saham bagi tujuan mendapatkan modal," katanya.

Konvesyen Halatuju Felda hari ini dihadiri hampir 1,000 peneroka dari seluruh negara.

Selain Kadir, turut akan membentangkan kertas kerja adalah Exco Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dan bekas Adun Pulau Manis Datuk Ariff Sabri Abd Aziz.

Tiada ulasan: