Jumaat, 6 April 2012

KITA KENA TAHU MANA YANG BETUL/BAIK/HAQ....MANA YANG BURUK/JAHAT/BATIL...KITA KENA HINDAR YANG BURUK PERGI KEPADA YANG BAIK...DALAM ISLAM MENINGGAL YANG BATIL DAN MENUKARKAN KEPADA YANG HAQ ADALAH WAJIB...

Tarikh PRU: Ini kena tanya Rosmah

Harakahdaily, 05 Apr 2012
KUALA TERENGGANU, 5 April: Rakyat Malaysia perlu bertanya kepada Datin Seri Rosmah Mansor samada suaminya Perdana Menteri Najib Razak sudah mendapat satu tarikh yang sesuai untuk pilihanraya umum ke 13 (PRU13).

“Beliau berkerja bersama-sama dengan Rosmah bukan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir atau sesiapa saja dalam Umno, Najib sedang mencari satu tarikh yang boleh memberikan ganjaran 2/3 majoriti di PRU13.

"Bagi Rosmah dan Najib, perkara ini bukanlah susah kerana semua bekas perdana menteri Umno, termasuklah Pak Lah telah memenangi PRU mereka melebihi 2/3 majoriti apabila pertama kali mereka menerajui Barisan Nasional (BN).

"Ini adalah kali pertama untuk Najib dan mereka berdua adalah pendekar, sudah tentu mereka tidak mahu kehebatan politik mereka kelihatan tidak sehebat para pemimpin terdahulu yang membawa BN ke arah kemenangan,” kata Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily hari ini.

Namun, kata Mustafa (gambar bawah), Najib sebenarnya dalam dilemma untuk memilih satu tarikh yang sesuai untuk pilihanraya, kerana seandainya silap, teori RAHMAN akan menjadi kenyataan.

Ini kerana, menurut teori RAHMAN, Najib adalah perdana menteri terakhir daripada Umno.

Teori RAHMAN adalah khabar angin yang sering diperkatakan orang mengenai rancangan menyusun turutan perdana menteri di Malaysia.

Teori RAHMAN merupakan singkatan kepada nama perdana menteri Malaysia yakni Tunku Abdul (R)ahman, Tun (A)bdul Razak, Tun (H)ussien Onn, Tun Dr (M)ahathir, Tun (A)bdullah dan (N)ajib.

“Najib kini sebenarnya tersepit mencari tarikh yang sesuai untuk PRU13. Terlalu awal, negeri-negeri Pakatan Rakyat mungkin tidak ikut.
"Terlalu lambat, segala faktor feel good yang dijana melalui pemberian duit seperti RM100 kepada sekolah rendah, RM200 baucar buku dan RM500 melalui BR1M akan dilupakan,” kata Mustafa.

Mustafa berkata pemberian duit bantuan yang bertujuan untuk menunjukkan bahawa pengundi telah mendapat pembelaan tidak akan bertahan lama.

“Untuk kekal perasaan feel good itu, pilihanraya tidak boleh dilengahkan. Seperti kata Mahathir, Melayu mudah lupa,” kata Mustafa dengan seloroh.
“Jadi apakah tarikh sesuai untuk Najib? Rasanya Jun hingga pertengahan Julai kerana selepas itu ialah bulan Ramadan, Hari Raya dan orang bersiap hendak pergi menunaikan haji – ia adalah tidak sesuai dan perasaan feel good dah hilang,” kata beliau.

Negeri Selangor, pusat pertembungan dalam pilihan raya ini telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan ikut serta PRU13 sekiranya ia diadakan sebelum bulan Jun.

Negeri Pakatan Rakyat (PR) yang lain, selain Kelantan belum menyatakan hasrat samada akan turut mengadakan pilihanraya serentak atau tidak.

Dengan itu, Mustafa berkata Najib kini berdepan dengan satu lagi dilemma di mana beliau akan berlawan di PRU13 kemungkinan tanpa hadiah utama, Selangor yang dihajatkannya.

“Kini, PR telah menemui jumlah pengundi hantu yang besar di Selangor, modus operandi yang sama digunakan BN untuk mengalahkan PAS di Terengganu pada 2004.

"Tidak mustahil untuk negeri Pakatan Rakyat untuk menangguhkan pilihanraya ke Mei 2013 untuk membersihkan daftar pemilih terlebih dahulu.

"Najib boleh meneruskan untuk pillihanraya parlimen, dan mungkin menang tapi negeri PR masih kekal,” kata Mustafa.

Namun dengan prediksi bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa BN hanya selamat di tiga negeri iaitu Pahang, Melaka dan Johor, Mustafa bertanya samada Najib berani memanggil PRU13 sekiranya negeri-negeri PR tidak ikut serta.

“Teori RAHMAN akan menjadi kenyataan sekiranya tarikh yang salah dipilih, dan Najib mungkin adalah perdana menteri terakhir daripada Umno dan ketika itu berakhirlah BN,” Mustafa memberikan amaran.

Siapakah yang Najib patut rujuk untuk mendapat tarikh PRU13.

“Saya rasa Rosmah. Beliau juga ingin kekal terus berkuasa, jadi beliau mungkin memanggil pilihanraya sekiranya rasa BN boleh menang di peringkat parlimen.

"Peranan Rosmah mungkin ialah mengumpulkan segala prediksi daripada ahli astronomi, nujum, bomoh dan feng shui untuk mendapat tarikh yang sesuai,” sindir beliau

MCA dicabar keluar BN jika Lynas diteruskan

Harakahdaily, 05 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 5 April: PAS mencabar Presiden MCA memberikan kata dua kepada Barisan Nasional (BN) untuk keluar parti jika kilang Lynas teruskan operasinya di Gebeng, Kuantan.

Cabaran itu dibuat Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkefly Mohamad Omar dalam satu kenyataan medianya.

"Sekiranya MCA tidak menarik diri, ini menunjukkan bahawa Presiden MCA dan juga MCA tidak ada kredibiliti atau prinsip memperjuangkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat," kata Zulkefly dalam kenyataan itu.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua SoiLek, yang menyatakan bahawa MCA bersetuju dan menyarankan agar Kilang Lynas ditutup disebabkan rakyat tidak bersetuju dengan pembinaan kilang tersebut di Malaysia.

"Saya selaku Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia beranggapan bahawa kenyataan Presiden MCA tersebut sebagai kenyataan rhetorik politik kerana MCA sebagai gabungan kerajaan Barisan Nasional boleh bertindak lebih awal lagi dalam menghalang pembinaan kilang tersebut, sebelum tindakan mahkamah yang diambil oleh rakyat," katanya.

Bagi beliau, kenyataan Presiden MCA itu adalah kenyataan terdesak kerana beliau sedar bahawa masyarakat cina tidak lagi menyokong MCA dan beliau sedar bahawa masa depan MCA bergantung penuh kepada sokongan masyarakat Cina bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 13.

Semalam, beliau bersama beberapa pihak lagi berkesempatan bersama-sama rakyat di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta untuk mendengar semakan kelulusan TOL Lynas di mahkamah.

Mahkamah dibanjiri semua lapisan masyarakat dari pelbagai kaum, umur dan peringkat yang turun untuk memberi sokongan kepada plaintiff.

Hakim yang mendengar kes ini, Datuk Rohana Yahya dan beliau menyatakan bahawa keputusan mahkamah akan diumumkan pada 12hb April, 2012.

"Sehubungan itu, kami berharap rakyat yang bersimpati dan tidak bersetuju dengan kewujudan Lynas ini akan turun ke mahkamah pada tarikh tersebut untuk memberikan sokongan kepada plaintiff dan juga rakyat Kuantan," kata Zulkefly (gambar).


Di samping itu, Solidariti Hijau SeMalaysia yang dianggotai oleh pelbagai NGO telah menyatakan pendirian mereka bahawa mereka menolak PSC (Parliamentary Select Committee) dan pemberian lesen TOL kepada Lynas dengan mengisytiharkan Himpunan Solidariti Hijau SeMalaysia – Stop Lynas pada 13hb April 2012 di seluruh negara.

Tempat utama perhimpunan tersebut adalah Dataran Shah Alam, Selangor

Bazar Tok Guru terima urusniaga dinar, dirham

Harakahdaily, 05 Apr 2012
KOTA BHARU, 5 April: Sempena Tahun Melawat Kelantan 2012, rakyat serta pelancong yang berkunjung ke negeri itu boleh merasai pengalaman membeli belah di Bazar Tok Guru (BTG) dengan menggunakan matawang syariah dinar dan dirham.

Atas inisiatif anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Golden Trade (KGT), kedai-kedai di BTG kini menerima urusniaga menggunakan mata wang syariah itu sejak pertengahan bulan Mac lalu.

(Gambar: Seorang peniaga Bazar Tok Guru menunjukkan logo 'Kami Terima Dinar dan Dirham')

Untuk kemudahan pengunjung dan pembeli, kedai-kedai yang menerima dinar dan dirham boleh dikenalpasti dengan dengan melihat kertas penanda bercetak 'Kami Terima Dinar dan Dirham' yang ditampal di dalam kedai atau bertanyakan terus kepada peniaga.

"Sebanyak 50 peratus peniaga di Bazar Tok Guru, Kota Bharu sudah menerima dinar dan dirham dalam jualan harian mereka dan ini adalah satu perkembangan positif ke arah mengembalikan matawang syariah kepada ummah.

"ini satu usaha murni Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," kata Pengurus Besar KGT, Mahadi Mokhtar dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sementara itu, KGT juga katanya akan menganjurkan Souq Dinar Dirham bagi memberi lebih peluang kepada orang ramai membeli belah dengan menggunakan dinar dan dirham.

Beberapa program diluar Kelantan juga turut diadakan termasuk penganjuran pasar terbuka yang menjalankan jual beli menggunakan dinar dirham yang telah diadakan di Shah Alam dan Bangi baru-baru ini.

Terbaru katanya, ianya akan diadakan di Masjid Bandar Sunway, berdekatan dengan Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 7 April ini.

"KGT menjemput peniaga barangan halal untuk menyertai Pasar Terbuka Dinar Dirham  tanpa yuran penyertaan dan sewaan tapak hanya perlu bawa kerusi meja sahaja," katanya.

Phahrolrazi, Dr Ismail angkat sumpah exco

Harakahdaily, 05 Apr 2012
ALOR SETAR, 5 April: Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh selamat mengangkat sumpah sebagai Exco kerajaan negeri Kedah pagi ini.

Upacara angkat sumpah jawatan exco itu berlangsung di Istana Anak Bukit pagi tadi.

Majlis berjalan di depan  Pangerusi dan ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Turut hadir adalah Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Azizan Razak, para exco, pegawai kanan dan para Adun.

Phalrolrazi diamanahkan untuk menjaga portfolio Kerajaan Tempatan, Air dan Tenaga manakala Dr Ismail pula menjaga Teknololi, Teknologi Maklumat, NGO, Sains dan Inovasi.

Phahrolrazi, ADUN Pengkalan Kundor dan Dr Ismail, ADUN Alor Mengkudu tidak menyertai majlis angkat sumpah exco sebelum ini ekoran masalah beliau dengan menteri besar.

Dengan majlis hari ini, krisis yang dikatakan berlaku di Kedah itu selesai sepenuhnya dan kembali seperti biasa.

Kedua-duanya berazam untuk mempastikan PAS menang besar dalam pilihan raya umum akan datang ini.

PAS pusat sebelum ini campurtangan dengan menghidupkan semula Jawatankuasa Pemandu untuk membantu pentadbiran kerajaan negeri yang disertai PAS.

Lima AJK PAS Pusat telah menyertai jawatankuasa yang dibentuk pada awal tahun 1990 ketika PAS menang di Kelantan.

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Anggotanya adalah Datuk Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS), Asmuni Awi (Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS), Datuk Kamarudin Jaffar (AJK PAS Pusat) dan Datuk Dr Mahfudz Mohamad (Pesuruhjaya PAS Johor).

Mereka telah mula menjalankan kerja selepas jawatankuasa diaktif dan dibuat perlantikan baru.

Himpunan mansuh PTPTN 'warming up' Bersih 3.0

Harakahdaily, 05 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 5 April: Selain akan meyertai himpunan Mansuh PTPTN 14 April ini, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) juga turut menyatakan komitmen menyertai himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

Malah menurut pengerusinya Muhamad Safwan Anang, himpunan mansuh PTPTN di Dataran Merdeka itu akan dijadikan sebagai medan 'pemanas badan' menjelang himpunan Bersih 3.0 yang juga dijadual berlangsung tempat yang sama.

"Walaupun terdapat tekanan daripada pihak kerajaan, anak muda dan mahasiswa akan tetap meneruskan himpunan bagi menggesa pihak kerajaan memansuhkan PTPTN.

"Himpunan ini adalah sebagai persediaan atau “acara warming up” sebelum Bersih 3.0, " katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

SMM sebelum ini mengumumkan untuk berhimpun jam 2 petang, 14 April ini di Dataran Merdeka sebagai medesak kerajaan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Himpunan itu selang dua minggu sebelum menjelang himpunan Bersih 3.0 seperti yang diumum Pengerusi bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) , Datuk A. Samad Said semalam.

"Anak muda dan mahasiswa inginkan keadilan. Justeru, kami berikrar akan turun ke Himpunan mansuh PTPTN dan Bersih 3.0 yang masing-masing akan diadakan pada 14 dan 28 April," katanya.

Pemuda PAS sifat Umno BN dalang ‘jual negara’

Harakahdaily, 05 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 5 April: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius pembongkaran isu ‘task force’ yang bertanggungjawab untuk memberikan taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka layak menjadi pemilih berdaftar dan seterusnya mengundi di dalam pilihanraya yang akan datang seperti yang didedahkan oleh Datuk Mahfuz Omar.

Ketua Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan (gambar) berkata, apa yang lebih mengejutkan ialah pembabitan SPR itu sendiri melalui Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Selain itu, ujarnya pembabitan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Osman Razak serta Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Tajudin Wahab telah membuktikan bahawa agenda pengkhianatan untuk ‘menjual negara’ ini sememangnya didalangi oleh Umno dan Barisan Nasional.

“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia bersetuju supaya sebuah Suruhanjaya Diraja perlu dibentuk dengan kadar yang segera supaya dapat melakukan siasatan terhadap pengkhianat negara ini selain beberapa orang pegawai lagi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang turut bersekongkol  dengan ‘penjualan maruah negara’ ini termasuklah Ketua Pendaftaran Negara, Datuk Jariah sebelum daripada Perdana Menteri membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada pilihanraya umum ke 13,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, Sany berkata perkara yang telah didedahkan itu perlu mendapat perhatian segera pihak kerajaan dan pihak yang berwajib supaya dapat ‘menahan’ pengkhianat-pengkhianat yang telah dinamakan oleh Mahfuz itu untuk membantu siasatan dan menarik kembali jawatan serta kelayakan mereka sebagai seorang penjawat awam supaya sebarang siasatan dapat dilakukan dengan telus dan adil.

Apa usaha atasi lambakan guru sains, matematik

Harakahdaily, 05 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 5 April: Menteri Pelajaran diminta menyatakan apakah perancangan kementerian untuk menangani masalah lambakan guru subjek Sains dan Matematik di seluruh negara.
Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) juga meminta menteri berkenaan menyatakan apakah pelan kontigensi untuk memastikan guna tenaga guru-guru ini masih dapat dimanfaatkan oleh para pelajar dan kementerian.

Beliau mengemukakan pertanyaan itu bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini yang bermula jam 10.00 pagi.

Berikut ialah soalan-soalan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli Parlimen PAS, hari ini.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli [Kuala Krai] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan usaha tebatan banjir yang dilakukan bagi mengatasi banjir daripada Sungai Durian di jalan utama Kuala Krai ke Kota Bharu.

DatukTaib Azamudden Md Taib [Baling] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah rancangan Kerajaan untuk mengelakkan negara daripada terus mengalami defisit pada masa akan datang.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan adakah Kementerian masih mempunyai perancangan untuk membina lebuh raya antara Kota Bharu-Kuala Krai.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan kadar celik huruf (literasi) dan numerasi mengikut negeri di seluruh negara.

Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan keluasan sawah padi terbiar di negeri Kelantan yang berjaya dipulihkan dan apakah halangan-halangan yang dihadapi pihak Kerajaan dalam menjayakan usaha ini.

Dr. Siti Mariah Mahmud [Kota Raja] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan apakah perancangan Kementerian untuk menangani masalah lambakan guru subjek Sains dan Matematik di seluruh negara dan apakah pelan kontigensi untuk memastikan guna tenaga guru-guru ini masih dapat dimanfaatkan oleh para pelajar dan Kementerian.

Mohd. Abdul Wahid Endut [Kuala Terengganu] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan status terkini pembinaan Hospital baru untuk Daerah Dungun, Daerah Marang dan Daerah baru, Kuala Nerus.

Nasharudin Mat Isa [Bachok] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah benar terdapat pegawai-pegawai kanan Kerajaan termasuk yang bertaraf JUSA C hingga JUSA A yang berada dalam 'pool' JPA begitu lama yang tidak diserapkan ke dalam jabatan Kerajaan tertentu dan sekiranya ya, berapakah jumlah mereka dan apakah tindakan yang bakal diambil.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan:-
(a) bilakah tarikh sebenar Sistem Penguatkuasaan Automatik (Automated Enforcement System) akan dilaksanakan; dan
(b) nyatakan nama dua syarikat yang sudah dimuktamadkan untuk mengendalikan AES dan nyatakan juga bentuk model kewangan yang telah dipersetujui antara Kerajaan dan dua syarikat tersebut.

Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah status pertukaran saham dan CCF di antara MAS dan AirAsia.

Najib bertanggungjawab 'task force' warga asing

Harakahdaily, 05 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 5 April: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah orang yang paling bertanggungjawab atas kewujudan 'task force' yang memberi taraf kerakyatan kepada warga asing, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Apabila 'task force' itu memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti, tak mungkin mereka diberi kerakyatan untuk memilih mana-mana parti. Tentulah mereka dikehendaki memilih Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Najib sahaja.

"Lebih penting lagi, tak mungkin 'task force' seperti itu boleh wujud tanpa keizinan dan persetujuan Perdana Menteri memandangkan sebahagian dari yang terlibat itu adalah pegawai-pegawai kerajaan berprofil tinggi," katanya.

Bagi Salahuddin, apa yang berlaku itu adalah satu pengkhianatan yang sangat keji ke atas kedaulatan negara dan undang-undangnya.

"Lebih malang lagi, bolehkah kita mendakwa bahawa Perdana Menteri bukanlah boss besar kepada 'task force' itu?

"Apabila berlaku pengkhiantan, bolehkah kita mendakwa Perdana Menteri tidak mengetuai pengkhianatan terhadap negara itu?" katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga yakin projek memenangkan BN yang melibatkan 'task force' itu pasti menggasak wang rakyat dalam jumlah yang sangat besar.

"Selepas diberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti, tentulah wajib diadakan sistem pemantauan dan ugutan untuk memastikan warga asing berkenaan mengundi BN.

"Semua itu tentulah menggasak begitu banyak wang rakyat. Tak mungkin Najib dan para pemimpin Umno dan BN mahu mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk membiayai projek memenangkan BN itu," kata Salahuddin.

Malah, katanya, pelbagai kesan dan akibat dari tindakan membanjirkan negara ini dengan warganegara asing yang diberi taraf kerakyatan itu juga akan memakan belanja yang luar biasa besar.

"Dengan taraf sebagai warganegara semata-mata kerana hendak memenangkan Umno dan BN, mereka juga akan mendapat pelbagai keistimewaan yang sememangnya dinikmati oleh rakyat negara ini. Semua itu akan memakan belanja berterusan yang sangat besar jumlahnya.

"Negara terpaksa menangung beban tambahan berterusan semata-mata kerana hendak memenangkan Umno dan BN. Itu belum lagi diambilkira kesan dan masalah sosial yang tidak dapat dielakkan akan tercetus," kata Salahuddin.

Sebab itulah beliau yakin, 'task force' tersebut akan menjadi pencetus kemarahan rakyat dan mereka akan membanjiri ibu negara dan tempat-tempat perhimpunan lain yang ditentukan di seluruh negara pada 28 April ini.

Bersih 3.0 menetapkan 28 April ini untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran duduk bantah di Dataran Merdeka dan di tempat-tempat lain yang ditentukan di seluruh negara.

"'Task force' itu pasti menjadi satu lagi penyebab utama yang mendorong seramai-ramai rakyat berhimpun dalam perhimpunan Bersih 3.0 seluruh negara 28 April ini.

"500,000 duduk dan bantah di ibu negara bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai oleh perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini," kata beliau.

Salahuddin tidak menolak kemungkinan besar PAS akan menubuhkan 'task force'nya sendiri bagi menghadapi kerja jahat 'task force' itu.

Bosan konflik punca 69 ahli keluar Umno

Yaakub Dasan, 04 Apr 2012
RANTAU PANJANG, 4 April: Bosan dengan konflik yang tiada penghujung melanda Umno bahagian ini menyebabkan ramai pemimpin di peringkat akar umbi bertindak keluar daripada parti tersebut.

Bagi mereka hubungan dingin Ketua Bahagian, Abdullah Mat Yassin dan bekas ketua bahagian, Datuk Mohd Zain Ismail tidak mampu dipulih lagi, biar pun ada kenyataan menggambarkan keadaan sebaliknya.

Bekas Timbalan Ketua Umno Cawangan Kampung Kedap, Abdul Rashid Daud berkata, permusuhan di peringkat bahagian belum reda kerana masing-masing mahu menjadi ketua.

Katanya, situasi itu sudah merebak ke peringkat akar umbi sehingga menyebabkan aktiviti parti tidak dapat diadakan seperti biasa.

“Pemimpin Umno Rantau Panjang tidak berkesudahan bermusuhan sesama sendiri. Sedangkan PAS nampak lebih padu perjuangan mereka.

“Sebab itulah kami merasakan tidak teragak-agak dan tiada sebab tidak mahu menyokong PAS. Perjuangannya bersandarkan agama,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan borang menyertai PAS beramai-ramai malam tadi.

Seramai 69 ahli dan penyokong Umno dari Cawangan Kampung Dangar dan Kampung Kedap menyerah borang menyertai PAS di majlis tersebut.

Borang berkenaan diserah Wan Zaidi Wan Hanapi kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis yang diadakan di rumah bekas Timbalan Ketua Umno Cawangan Kampung Dangar, Ismail Daud. (Gambar atas)

Hadir sama Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud dan Adun Gual Periok, Ustaz Mohamad Awang.

Sebelum ini konflik yang melanda Umno Rantau Panjang mengundang campur tangan Perhubungan Umno Kelantan. Biar ada kenyataan hubungan Abdullah dan Mohd Zain sudah pulih, namun keadaan di akar umbi menggambarkan sebaliknya.

Sementara itu di Kubang Kerian difahamkan lebih 300 bekas ahli dan penyokong Umno di bahagian terbabit dijangka menyerah borang menyertai PAS dalam masa terdekat ini. Sempena program itu diadakan ceramah perdana dihadiri Menteri Besar.

(Ikuti laporan penuh dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Kereta buruk makan minyak pun kena tukar

Harakahdaily, 04 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 4 April: Mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak enggan berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana beliau boleh mewar-warkan kejayaan cemerlangnya dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP)?

Bagi Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching (gambar), ini kerana pencapaian Najib itu tidak dapat dipertahankan sekiranya dilihat dengan teliti.

Isnin lalu, Najib melalui siaran langsung TV mengumumkan betapa berjayanya program GTP dan ETP, di mana kesemua 12 Bidang Ekonomi Utama Negara atau NKEA telah melepasi atau memenuhi sasaran 2011.

Namun Nie Ching tidak bersetuju.

Mengambil contoh pencapaian perkapita negara yang disebut Najib meningkat daripada US6,700 ke US9,700 dalam masa dua tahun ETP dilaksanakan, Teo berkata angka tersebut adalah tidak selari dengan apa yang diberikan Menteri Sumber Manusia Datuk S Subramaniam.

Subramaniam berkata 33 peratus pekerja Malaysia hanya berpendapatan RM700 ke bawah.

“Najib mendakwa kerajaan telah mengeluarkan hampir RM3 bilion terus kepada rakyat tahun ini, tetapi faktanya ialah, subsidi untuk keperluan asas telah berkurang,” tegas Nie Ching.

Berdasarkan carta di bawah, beliau berkata hampir semua keperluan asas seperti petrol, makanan, minyak masak, gula dan tepung telah berkurangan, subsidi untuk gas cecair (LPG), diesel dan petrol sahaja sudah berkurangan RM3 billion antara 2011 dan 2012.

“Pada masa yang sama, pampasan kepada konsesi lebuhraya telah meningkat daripada RM300 juta pada 2011 kepada RM343 juta pada tahun 2012. Angka-angka tersebut tidak termasuk pampasan RM120.55 juta yang kerajaan persekutuan kena bayar kepada Grand Saga Sdn Bhd ketika memansuhkan dua tol sepanjang lebuhraya Cheras-Kajang,” tambah beliau.

Mengenai seruan Najib kepada rakyat supaya tidak menukar “pemandu” separuh jalan, Teo berkata, dengan data sedemikian, rakyat Malaysia sepatutnya berfikir untuk membuang kereta lapuk 54 tahun yang 'makan minyak' itu untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam kemalangan maut.

“Dengan menukar pemandu dan kereta buruk barulah rakyat Malaysia mempunyai harapan untuk masa depan dan negara yang lebih baik,” tegas beliau.

Jenis Subsidi Perbelanjaan 2011 (RM Juta) Perbelanjaan 2012 (RM Juta)
Subsidi Gas Cecair (LPG), Diesel dan Petrol 20,375.02 17,000.00
Subsidi Baja Padi 756.31 409.00
Dasar Jaminan Bekalan Makanan 655.69 488.00
Subsidi Beras  400.00 0
Skim Penstabilan Minyak Masak 1564.21 1523.36
Gula   262.4 200.00
Tepung Gandum 129.12 113.00
Pengangkutan Udara Luar Bandar 251.71 164.68

Tiada ulasan: