Khamis, 1 November 2012

PERJUANGAN KEARAH ISLAM...JADI KEWAJIPAN ORANG ISLAM MENYOKONG...BUKAN MENENTANGNYA

MB Pahang mesti pertahan hak negeri!

Nasrudin bin Hassan, 01 Nov 2012
1. Negeri Pahang kelak akan menjadi satu lagi negeri pengeluar minyak di Malaysia dengan jumlah pengeluaran 17,500 sehingga 20,000 tong sehari  bermula suku tahun ketiga 2014. Jika diambil kira pengeluaran dari medan minyak Malay Basin yang sama, petroleum dari medan minyak luar pesisir (99 batu dari pantai) Pahang ini berkemungkinan dari jenis Tapis Blend yang sangat bermutu tinggi dengan telaga berada pada kedalaman 76 meter (blok Tapis di Terengganu pada kedalaman 64 meter, 118 batu dari pantai), kos pengeluaran dijangka rendah.

2. Jumlah pengeluaran di bawah purata 25,000 tong ini sebenarnya masih kecil tetapi perlu diingatkan bahawa ini cuma jumlah permulaan. Potensi ekonominya tinggi mengambil kira jumlah simpanan terbukti mencapai 64 juta tong sehari dan angka-angka ini dijangka terus meningkat melalui usaha eksplorasi minyak yang terus digiatkan.

3. Sebaiknya sebagai orang Islam, kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas pemberian rezeki dan nikmat-Nya kepada kita. Begitupun, pengumuman YAB Perdana Menteri bahawa hasil mahsul petroleum Pahang akan dibayar melalui mekanisme wang ehsan cukup mengejutkan dan mengundang persoalan perundangan dan politik.

4. Berdasarkan amalan terdahulu, pemberian wang ehsan bermakna hasil mahsul petroleum Pahang akan disalurkan ke agensi persekutuan di peringkat negeri dan bukannya ke akaun kerajaan negeri sepertimana amalan pembayaran wang tunai Petronas ke Terengganu pada tahun 1999-2003. Anggaran RM100 juta setahun sepatutnya memberi tambahan 20 peratus kepada perolehan negeri yang sekarang ini berada di dalam lingkungan RM530 juta setahun.

5. Dari segi perundangan, pemberian wang ehsan adalah bertikaian dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dan kerajaan negeri Pahang. Dari segi politik, kaedah ini menampakkan ketidakyakinan kerajaan pusat dan negeri Umno-BN untuk mengekalkan pemerintahan di Pahang selepas PRU-13, lantas memastikan awal-awal lagi agar hasil minyak tidak diberikan kepada kerajaan negeri.

6. Alasan kerajaan Pusat, sewaktu kes di Terengganu dahulu adalah kerana kerajaan negeri pimpinan PAS pada waktu itu tidak kompeten di dalam pengurusan wang tunai hasil petroleum negeri. Maka bolehlah diandaikan bahawa kerajaan negeri Pahang sekarang ini juga tidak kompeten?

7. Menteri Besar seharusnya merasa kecewa dengan perkembangan ini tetapi sebaliknya beliau terus sahaja mengucapkan terima kasih. Selayaknya, kerajaan Pusatlah yang seharusnya berterima kasih kepada Pahang kerana memberikan hasil tambahan kepada negara.

8. Fakta medan minyak Blok PM 307 Pahang ini juga menguatkan hujah tuntutan royalti petroleum kerajaan negeri Kelantan ke atas pengeluaran medan minyak yang berada pada kedudukan 93 batu dari pantai Kelantan. Apakah tidak cukup pembuktian bahawa pemerintah Umno-BN di Putrajaya mempolitikkan urusan sumber hasil petroleum negara dengan wewenangnya?

9. Kes-kes sebegini dipantau pula oleh masyarakat antarabangsa lalu menjatuhkan kredibiliti Petronas. Antara sebab kerajaan pusat Ottawa menghalang pembelian Petronas ke atas Progress Energy Canada adalah kerana wujud campur tangan kerajaan dalam Petronas.

10. Alasan ini jugalah yang digunakan oleh Fitch Ratings dalam memberi komentar negatif terhadap kebolehupayaan masa depan Petronas. Tindakan-tindakan kerajaan pusat Umno-BN khususnya pada era pentadbiran Datuk Seri Najib ini sebenarnya menghambat prestasi Petronas.

11. Dewan Pemuda PAS menggesa kerajaan negeri Pahang menunjukkan sikap tegas dalam mempertahankan hak negeri ke atas sumber hasil alamnya. Sikap ini harus dimulakan dengan menuntut ketelusan daripada Petronas dan Kerajaan Pusat dalam urusan pengeluaran minyak ini dan seterusnya membentangkan perinciannya dalam sidang Dun agar rakyat boleh membuat penilaian.

12. Pada asasnya, kita berandaian jumlah pembayaran royalti 5 peratus adalah lebih besar daripada jumlah wang ehsan yang ingin diberikan Kerajaan Pusat. Kita juga berharap agar kerajaan Pusat menghormati semangat federalisme yang telah dimetarai di bawah perlembagaan, akta dan perjanjian sedia ada dengan membuat pembayaranf royalti dan bukannya wang ehsan yang bunyinya cukup menjengkelkan.

Selamatkan Pahang dan Malaysia

Minyak: PAS saran Pahang dibayar ikut perjanjian

Harakahdaily, 01 Nov 2012
KUALA LUMPUR: PAS Pahang mengucapkan tahniah kepada negeri Pahang atas penemuan minyak di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM307.

“Namun, PAS Pahang berharap Negeri Pahang tidak dianiaya seperti Kelantan dalam sistem pemberian wang ehsan. Sepatutnya semua negeri termasuk Pahang bertaraf sama di sisi Akta Kemajuan Petroleum 1974,” kata Pesuruhjayanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikut kenyataan penuh beliau.

PAS Pahang mengucapkan tahniah kepada negeri Pahang atas penemuan minyak di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM307.

Namun, PAS Pahang berharap Negeri Pahang tidak dianiaya seperti Kelantan dalam sistem pemberian wang ehsan. Sepatutnya semua negeri termasuk Pahang bertaraf sama di sisi Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Semua negeri yang mendatangani perjanjian dengan Petronas pada tahun 1975/76 akan mendapat bayaran tunai sebanyak 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dalam negeri berkenaan.

Sistem Wang Ehsan adalah tidak adil kepada negeri-negeri pengeluar minyak seperti Pahang dan Kelantan kerana ia amat tertakluk pada budi bicara Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri.

Kelantan, yang minyaknya dicuri bertahun-tahun hanya diberi wang ehsan dalam lingkungan kurang daripada RM25 juta dibandingkan dengan Pahang, sebelum korek dah diumum bakal mendapat RM100 juta setahun.

Ini membuktikan negeri yang ditadbir oleh pembangkang akan teraniaya dalam sistem ini kerana Kerajaan Persekutuan tidak mengamalkan dasar federalisme secara professional dan sering membalas dendam terhadap rakyat yang menolak mereka seperti keengganan mereka membayar royalti kepada Kelantan.

PAS Pahang turut menyarankan Jawatankuasa khas bagi mengkaji bayaran hasil petroleum bagi negeri-negeri di Pantai Timur yang dianggotai wakil daripada tiga kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang agar menyokong Pahang dan Kelantan supaya dapat menikmati hasil minyak secara pembayaran royalti dan bukannya melalui wang ehsan.

Apakah status jawatankuasa khas ini yang sudah lama tidak kedengaran berita?

Janji Pakatan Rakyat untuk menaikkan royalti  negeri yang mempunyai minyak kepada tahap 20% mesti disambut baik oleh seluruh rakyat Pahang dengan menggerakkan perubahan kepimpinan negeri selepas PRU ke 13 nanti.

Di bawah PR, Pahang dan Kelantan akan memberi duit royalti sebagaimana Terengganu, Sabah dan Sarawak dan bukannya ‘sedekah wang ehsan’ berdasarkan budi bicara Kerajaan Persekutuan.

PAS Pahang yakin dengan usaha bersungguh sungguh dan strategi yang tepat, tidak mustahil Pahang akan turut mengecapi perubahan. Insya Allah.

Meneruskan perjuangan Tuan Guru

Abd Shukur Harun, 01 Nov 2012
Apabila Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpesan bahawa, “Apabila ketiadaan saya nanti, pemimpin lain hendaklah menyambung dan meneruskan perjuangan memarbatkan Islam.”, maka saya teringat akan pesan Al-Marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor bahawa perjuangan Islam ini bagai perjalanan kafilah yang panjang.


Menurutnya lagi, kafilah itu ada ketikanya berhenti menurunkan orang dan barang-barang, kemudian orang lain naik pula dan kafilah itu meneruskan lagi perjalanannya, begitulah seterusnya. Penumpang silih berganti, tetapi kafilah meneruskan perjalanan. Pendukung perjuangan Islam silih berganti dan tidak akan ada putus-putusnya justeru kafilah perjuangan Islam itu akan terus hadir meneruskan perjuangan.

Apabila para pejuang itu meninggal, kata Al-Marhum lagi, orang lain akan meneruskan perjuangannya. Demikianlah unik dan indahnya perjuangan Islam.

Analogi yang sama diberi oleh murabbi PAS, Al-Marhum Ustaz Yahya Orhman  ketika menyampaikan kuliah tarbiyahnya lama dulu dan masih saya ingat.

Dalam hubungan ini, kita tidak akan melupakan perjuangan dan pesan-pesan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz itu dan marilah kita berdoa kepada Ilahi agar beliau sihat wal’afiat dan dapat terus berbakti untuk memartabatkan Islam, memimpin jamaah PAS dan rakyat Negeri Kelantan.

Untuk meneruskan perjuangan penuh cabaran ini, Tuan Guru berharap generasi pelapis hari ini akan meneruskan perjuangan Islam dan beliau
melahirkan rasa syukur kepada Ilahi kerana di Kelantan dan di negeri-negeri lain golongan profesional semakin ramai meninggalkan Umno dan menyertai PAS, termasuk juga di Sabah dan Sarawak.


Beliau menyatakan ini dalam pertemuannya dengan Harakah, Salmah Mat Husein dan Rizal Tahir baru-baru ini.

"Rakyat boleh lihat sendiri apa yang berlaku di Kelantan, di mana pemimpinnya tidak pentingkan diri sendiri, sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat dan tidak rasuah. Ini menjadi model kepada masyarakat untuk lebih mempercayai perjuangan PAS," kata beliau.

Seperti pemimpin besar PAS yang lain, Tuan Guru telah menjadi sebuah legasi yang akan dikenang lama oleh rakyat, bukan saja di kalangan pendukung PAS, tetapi juga di kalangan lain baik yang beragama Islam mahupun bukan Islam yang tidak prejudis terhadap PAS. Tuan Guru menjadi legasi bukan semata-mata kerana nama besarnya, tetapi justru lebih kerana usahanya menjadi besar.

Bayangkan hingga ada di kalangan pemimpin politik bukan Islam, seperti Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen DAP dari Rasah, Negeri Sembilan membela Tuan Guru dari cercaan Ketua MCA, Chua Soi Lek dangan menyifatkan Chua biadap kerana mencaci Tuan Guru serta mengkritik hukum Islam. Dalam masa yang sama pendukung Umno membisu seribu bahasa.

Saya percaya, ramai lagi kalangan bukan Islam yang marah dengan sikap pemimpin MCA itu, memandangkan Tuan Guru mempunyai hubungan yang sangat baik dengan kalangan bukan Islam dalam usaha politik dakwahnya yang sangat berkesan.

Tuan Guru sebagai Mursyidul ‘Am PAS, Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Kelantan telah meneruskan perjuangan Al-Marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor untuk membawa perubahan kepada PAS dari segi pendekatan, sedangkan teras perjuangan Islam PAS tetap unggul.

Beliau mengalu-ngalukan kemasukan sekian ramai golongan profesional - dengan pelbagai kepakaran - ke dalam PAS, menghapuskan imej ‘jumud’ atau ‘beku’ yang dilemparkan oleh musuh-musuh PAS. Kini imej itu sudah dapat dihapuskan dan PAS telah diakui bukan saja oleh penganalisis politik yang tidak prejudis, tetapi juga di kalangan intelektual dan kalangan rakyat biasa yang prihatin – Muslim dan bukan Muslim.

Perwatakannya yang warak, dengan berjubah, berserban  dan bertongkat tidak menghalangnya berinteraksi dengan pelbagai golongan masyarakat Muslim dan bukan Muslim di mana saja bertemu. Ternyata Tuan Guru tidak dipuja tetapi disayangi.

Kalangan pimpinan Kerajaan PAS Kelantan yang dididiknya sejak puluhan tahun menerima siraman tarbiyah dan ilmu dari beliau, terutama dari segi memegang amanah, memimpin melalui teladan, mendekati dan peduli rakyat. Lebih dari segalanya, tanggungjawab pemimpin di depan Allah s.w.t.

Selama 22 tahun beliau memimpin Kerajaan Kelantan, negeri itu menjadi negeri cemerlang, bagaikan emas tempawan yang sangat tinggi mutunya. Benar, masih terdapat kelemahan dan kekurangan di sana sini dalam kerajaan Kerajaan Kelantan pimpinannya, tetapi kejayaan jauh lebih besar dari kekurangan dan hakikat ini sentiasa disedari dan berusaha membaikinya.

Sementara itu, PAS di bawah pimpinannya bersama Datuk Presiden, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan saf pimpinan pada umumnya mendapat inspirasi dan panduan sangat bernilai akan bentuk kepimpinan Tuan Guru Nik Abd Aziz.

Beliau dan pasukan pimpinannya sentiasa ke depan dalam menangani perubahan yang membawa PAS menjadi sebuah parti politik moden Islam yang dinamik, penuh toleransi, terbuka dan terkini. Beliau telah mempertahankan Tahaluf-Siasi (pakatan dengan parti politik lain) dan menganggapnya sebagai ijtihad jamai’e yang sesuai dengan persekitaran politik negara ini masa ini.

Sebab itu, ramai pemerhati melihat, walaupun umurnya sudah lanjut, tetapi pemikiran dan idea Tuan Guru jauh ke depan, malah mendahului zamannya. Inilah kehebatannya yang dianugerah oleh Allah s.w.t.

Keunggulannya bukan saja di bidang kepimpinan politik dan agama tetapi juga peribadinya yang sangat bersahaja dan tawaduk. Bayangkan seorang wartawan Jerman yang datang ke rumahnya di Pulau Melaka untuk menemuramahnya, tercengang melihat Tuan Guru sedang memberi makan kambingnya di belakang rumah.

Biasanya jika tidak menghadiri jemputan di mana-mana, Tuan Guru akan balik ke rumah atau makan nasi bungkus bersama staf atau tetamu yang datang di pejabatnya. Biasanya pula, beliau mengangkat sendiri minuman ke ruang tamu rumahnya jika ada tetamu.

Ada banyak lagi hal-hal yang menggambarkan wataknya yang sangat sederhana, bukan dibuat-buat tetapi semula jadi.

Kesimpulannya, saya tidak mengatakan Tuan Guru Nik Abd Aziz tidak ada kelemahan dan kekurangan, namun keunggulannya sangat menyerlah dan wajar diteladani, terutama mereka yang menjadi pemimpin.

Kini Tuan Guru masih besedia untuk terus berkhidmat, suatu pengumuman yang menggembirakan bukan saja rakyat Kelantan, pendukung PAS, bahkan umat Islam dan juga bukan Islam yang melihat kejayaan kepimpinannya.

PAS Perak anjur kembara jelajah seluruh Felda

Muhammad Faeez Azahar, 01 Nov 2012
IPOH: Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Perak akan menjelajah ke kawasan Felda di seluruh negeri bagi menyedarkan serta memberi penerangan kepada masyarakat khususnya peneroka tentang isu terkini berkenaan Felda.

Pengerusinya, Razman Zakaria berkata, program Kembara Oren Selamatkan Felda itu akan berlangsung pada Sabtu ini.

Menurutnya, program dengan kerjasama Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) itu akan disertai oleh Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan AJK PAS Pusat yang juga Pengerusi Anak, Mazlan Aliman.

Katanya, program kembara tersebut bertujuan memberi penerangan tentang beberapa isu hangat termasuklah berkenaan tanah Felda Plantation yang diserah kepada Felda Global Ventures Holdings (FGV) dimana pemiliknya bukan lagi hak Melayu dan peneroka scara total.

“Peneroka juga perlu tahu tentang Penipuan dalam jumlah pemberian dan pembelian saham unit peneroka sebanyak 800 unit pada harga tawaran (IPO) RM4.55 bernilai sekitar RM3640 sedangkan pinjaman peneroka unit jumlah itu RM5000,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu menjelaskan, pihaknya akan memberi penjelasan tentang harga saham peneroka semakin turun dan akan memberi kesan langsung yang sepatutnya kerajaan tidak membawa peneroka ke dalam kancah perniagaan berisiko.

“Peneroka dikelirukan dengan durian runtuh sebanyak RM15000 dan peruntukan RM5000 daripada jumlah itu untuk anak peneroka dijangka akan diberi menjelang PRU13 nanti yang bertujuan untuk memancing serta mengaburi mata peneroka.

“Kami akan mengemukakan tawaran Pakatan Rakyat kepada peneroka yang ternyata lebih berbaloi daripada pemberian durian runtuh daripada kerajaan,” jelas beliau.

Pengerusi Badan Bertinda Peneroka Felcra (Bapa) itu juga berkata, kembara tersebut bermula di Felda Lasah, Sungai Siput jam 8.00 pagi sebelum bergerak ke Felda Ijok, Larut dan akan sampai kira-kira 12.00 tengahari.

Ujarnya, Program tersebut akan diteruskan ke beberapa Felda di Lenggong termasuklah Felda Lawin Selatan, Felda Lawin Utara dan Felda Papulut disebelah petang sebelum program kemuncak iaitu ceramah Umumnya pada malam tersebut.

“Saya menyeru seluruh rakyat Perak khususnya peneroka untuk bersama-sama menyertai kembara ini bagi merealisasikan matlamat kami untuk memberi kesedaran kepada peneroka,” tegasnya.

Polis wajar benarkan Himpunan Kebangkitan Rakyat

Muhammad Faizal, 01 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihak polis sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk memberi kelulusan kepada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Negeri Sembilan Sabtu ini.

Katanya, alasan yang dibangkitkan berhubung pengisian borang permohonan tidak lengkap adalah perkara kecil dan beliau percaya pihak penganjur akan mengambil maklum perkara itu.

"Apa yang penting adalah tempat yang telah ditetapkan untuk perhimpunan tersebut telah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan undang-undang dari sudut keselamatan.

"Isu pengisian borang yang tidak mengikuti peraturan adalah perkara yang kecil," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly semalam bahawa  himpunan yang dijadualkan Sabtu ini itu melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dikenakan tindakan.

Saiful Azly berkata sehingga petang semalam, tiada sebarang permit di bawah akta undang-undang tersebut dikeluarkan kepada pihak penganjur.

Ini kerana borang permohonan dari penganjur tidak dapat diproses ekoran maklumat permohonan yang tidak lengkap seperti yang dikehendaki undang-undang.

Mengulas lanjut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pihak polis wajar membenarkan himpunan itu kerana ianya peluang untuk rakyat mendengar amanat daripada pemimpin mereka.

"Perhimpunan tersebut tetap diteruskan dan ia merupakan perhimpunan terakhir untuk rakyat dan pengundi mendengar amanat yang akan disampaikan oleh pimpinan utama Pakatan Rakyat," sambung beliau lagi.

DAP cabar MP MCA sokong tangguh AES

Harakahdaily, 01 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Lim Kit Siang mencabar ahli-ahli parlimen MCA menyokong penangguhan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) seperti yang didedas Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan beberapa orang ahli parlimen Umno.

Beliau berpendapat, AES boleh ditangguh jika ahli-ahli parlimen MCA turut menyokong penangguhan itu sekaligus mewujudkan bilangan majoriti di parlimen.

Bukan itu sahaja, Menteri Pengakutan Datuk Seri Kong Cho Ha tiada pilihan lain selain meletakkan jawatan jika menolak bantahan majoriti ahli parlimen.

"Pakatan Rakyat mempunyai 76 Ahli Parlimen dan sekiranya ada sekurang-kurangnya 36 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional dan Bebas yang menyokong penangguhan AES, itu akan menjadikan jumlah majoriti parlimen paling kurang 112 daripada 222 Ahli Parlimen.

"Dengan itu Kong Cho Ha tidak ada pilihan lain lagi melainkan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sekiranya beliau menolak untuk mendengar suara majoriti Ahli Parlimen supaya segera menangguhkan AES," kata Ahli Parlimen Ipoh Timur itu.

Bantahan katanya boleh dibuat ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2013 ke atas Kementerian Pengangkutan pada 20 November nanti.

Sebelum ini beberapa ahli parlimen Umno, termasuk Khairy Jamaluddin (Rembau), Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan), Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (Kangar), serta ahli parlimen bebas Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas) menyokong AES ditangguhkan sehingga satu kajian meneluruh dilakukan.

Kerajaan Negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan pula telah awal-awal lagi membuat keputusan untuk menangguh pemasangan kamera AES di negeri mereka sehingga kajian penuh dan satu proses rundingan dengan semua pihak diadakan.

Sebelum ini, beberapa pihak mendakwa perlaksanaan saman AES ini bakal menguntungkan dua syarikat pengendali yang mendapat kontrak daripada kerajaan yang didakwa ada kaitan dengan MCA.

Difahamkan setiap syarikat itu akan mendapat RM16 daripada setiap saman yang dikeluarkan.

Bendahari PKR William Leong ketika mendedahkan perkara itu sebelum ini mendakwa, syarikat-syarikat tersebut adalah Ates Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.

Beliau mendakwa, salah seorang pengarah syarikat Beta Tegap Sdn Bhd mempunyai hubungan dengan pemimpin MCA dan pernah diberikan kontrak yang besar pada tahun 2005 daripada Kementerian Kesihatan melalui syarikat Mediharta Sdn Bhd.

MCA bagaimanapun telah menafikan kaitan partinya dengan kontrak ini.

"Persoalannya sekarang adalah apakah ada Ahli-Ahli Parlimen MCA, Timbalan Perdana Menteri atau Menteri yang berani untuk turut serta menuntut penangguhan segera AES supaya menghasilkan “politik berprofil tinggi” MCA yang pertama atau apakah semua cakap besar tentang “politik berprofil tinggi” itu hanyalah mengarut," kata Kit Siang.

Penduduk Matau lawan pemaju di mahkamah

Khairil Abdul Rahim, 01 Nov 2012
BANDAR TUN RAZAK JENGKA: Kira-kira 300 penduduk Matau di sini akhirnya mengambil keputusan untuk membawa masalah mereka ke mahkamah setelah tidak berpuas hati dengan tawaran pemaju yang bakal mengambil tapak kediaman yang telah diduduki sejak lebih 40 tahun lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Matau, Zakri Yusof, 45, berkata mereka sepakat meskipun mungkin kehilangan segala-galanya setelah tidak berpuas hati dengan tawaran hanya RM7,500 bagi setiap keluarga tanpa tapak rumah gantian.

Katanya, sedangkan permintaan penduduk untuk persetujuan berpindah ialah RM20,000 serta tanah setengah ekar setiap keluarga bagi bertapak semula perniagaan di lokasi baru.

“Pada kami ‘demand’ kami amat munasabah kerana kami kehilangan kampung halaman serta sumber menyara hidup jadi dengan wang dan tanah itulah kami memulakan penghidupan baru yang belum pasti.

“Namun proses rundingan (mediasi) melalui Mahkamah Tinggi Temerloh antara penduduk dengan pemaju Topland Resources menemui jalan buntu dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk lawan di mahkamah,” katanya.

Tambahnya, penduduk sedar dengan risiko yang mungkin ‘tidak dapat apa-apa’ tetapi terpaksa bersepakat mengambil keputusan melawan demi maruah dan hak.

Pengambilan kawasan Matau untuk pembinaan pusat perdagangan baru merupakan isu yang menghantui penduduk sejak sekian lama apabila apabila tahun lalu Majlis Daerah Maran (MDM) telah mengarahkan penghuni di situ mengosongkan kediaman masing-masing atau akan dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Matau ialah penempatan awal di kawasan Felda terbesar itu dan mula diduduki pada tahun 1969 oleh pekerja-pekerja syarikat pembalakan dari Kanada di samping penghijrah-penghijrah dari luar Pahang yang membuka tanah di situ.

Ketika Bandar Pusat Jengka dibangunkan sekitar 1980-an di kawasan Jengka Tiga Segi merangkumi tiga daerah iaitu Maran, Temerloh dan Jerantut, penduduk Matau sudah pun bermastautin dan mengusahakan pelbagai aktiviti perniagaan.

Bermula pada tahun 1986 penempatan di Matau telah diiktiraf oleh MDM dan penduduk telah dikenakan bayaran TOL. Bagaimana pun pada tahun 2000 ketika penduduk ingin menjelaskan bayaran seperti biasa, tiba-tiba tidak diterima oleh MDM tanpa sebarang penjelasan.

Pada tahun 2003 pula MDM mengisytiharkan kawasan Matau sebagai milik MDM.

Permasalahan penduduk Matau yang tidak mendapat geran tanah dan ketiadaan bekalan air paip telah lama diperjuangkan mereka dan mendapat perhatian pemimpin politik terutama daripada Umno sehingga seringkali berjanji untuk menyelesaikan permasalahan penduduk setiap kali pilihan raya.

Menurut Zakri, kini terdapat 75 keluarga dan 300 penduduk dengan seratus peratus Melayu daripada 101 buah rumah termasuk 33 premis kedai di kawasan seluas 22 ekar itu.

[Gambar: Zakri (kiri) bersama Ketua Penerangan PAS Kuala Krau, Aris Fezul.]

Difahamkan, anak syarikat kerajaan negeri Mentiga Corporation Bhd. telah melantik Topland Resources untuk membangunkan 212 kedai dua tingkat berserta 20 buah gerai dan 25 buah warung medan selera.

Jelas Zakri, sebelum ini penduduk Matau telah menyediakan pelan alternatif dengan bersetuju kawasan tersebut dijadikan pembangunan tersusun kerana menyedari kerajaan mahu membesarkan jalan dan mencantikkan kawasan. Penduduk boleh lakukannya cuma pada masa ini kawasan Matau nampak tidak tersusun kerana masalah status tanah.

“Sebenarnya tempat lain luas lagi untuk dimajukan kenapa pilih tempat penduduk yang sudah duduk di sini sejak puluhan tahun. Di sini ada 33 buah kedai semuanya dan kami sanggup buat lot kedai sebelah depan jika sekarang ini cacatkan pemandangan.

“Kami pun  dah jenuh menderita. Bayangkan pihak berkuasa bagi premis niaga, ambil cukai pintu tapi kemudahan bekalan air paip tak disalurkan. Sebenarnya dah lama hak kami dinafikan.

“Ada juga sesetengah pemimpin yang mainkan isu negeri-negeri, kononnya kebanyakan penduduk Matau dari pendatang dari negeri lain. Sebenarnya generasi pertama dah ramai yang meninggal dan sekarang ini kebanyakan yang ada merupakan generasi kedua dan ketiga. Semuanya lahir di sini.

“Lagi pun cuba tengok di Sungai Jerik, dalam daerah Maran ini juga... kenapa boleh buat kedai untuk penduduk yang meneroka tanah di sana yang berbangsa Cina. Lagikan bukan bangsa Melayu pun boleh bangunkan dengan tidak ketepikan peneroka asal. Begitu juga dengan Gambang dan Sri Jaya... kenapa boleh? Sebab itu saya rasa ini hanya untuk kepentingan pihak tertentu saja," tegasnya.

Sebelum ini Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, telah beberapa kali menyatakan akan menyelesaikan permasalahan penduduk dengan sebaik-baiknya jika Pakatan Rakyat diberi peluang mentadbir negeri Pahang.

Syria: PAS cadang adakan p’raya dikendali OIC

Harakahdaily, 01 Nov 2012
TEMERLOH: PAS berpandangan kemelut di Syria mesti diselesaikan melalui satu pungutan suara rakyat negara itu secara adil dan saksama.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, campurtangan kuasa asing bukan sahaja tidak menyelesaikan kemelut di negara iru malah hanya memburukkan lagi keadaan.

“Sebuah pilihan raya yang diselenggara oleh Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) mesti diadakan segera.

"PAS bertegas menentang sebarang campurtangan kuasa asing di Syria, samada ianya ditaja oleh kuasa barat atau timur,” tegasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

PAS, katanya melahirkan dukacita di atas tindakan badan dunia yang terus membiarkan kezaliman berlanjutan, sehingga mengorbankan ribuan nyawa rakyat Syria.

Kata Tuan Ibrahim, tindakan tersebut nyata sangat jauh bezanya dengan tindakan segera badan antarabangsa di Libya, Iraq dan Afghanistan.

“Sikap double standard ini akan hanya merendahkan martabat dan kedudukan badan dunia di mata umat Islam khasnya dan mereka yang cintakan keadilan dan kesaksamaan,” tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu lagi.

Tuan Ibrahim juga menegaskan bahawa pendirian rasmi PAS berhubung isu keganasan Bashar di Syria sangat jelas iaitu menentang kezaliman pimpinan Syria terhadap rakyatnya dan mendesak Bshar turun dari tampuk pemerintahan.

"Kezaliman adalah kegelapan di hari akhirat. Dan kita tidak sesekali menyokong kezaliman ke atas rakyat Syria.

"Bahkan kezaliman pemimpin ke atas rakyat sendiri adalah malapetaka besar yang sering berlaku di dunia Islam semata-mata dalam usaha mempertahankan kekuasaan yang ada,” tegas beliau.

Bagi mana-mana ahli PAS yang memberikan pendapat yang berbeza dengan parti dalam isu Syria, Tuan Ibrahim berkata itu hanya pandangan peribadi mereka.

Tiada ulasan: