Selasa, 6 November 2012

MARANG OK LAGI...KALAU BUKIT BINTANG LAGI NAYA

Pemuda PAS sokong gesaan agar Nazri bercuti

Harakahdaily, 06 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendapat Datuk Seri Nazri Aziz sepatutnya tahu batas perhubungan khususnya dengan mereka yang dikaitkan dengan tuduhan rasuah.

Ketua peneranganya, Riduan Mohd Nor berkata, hubungan dengan individu seperti itu hanya akan mewujudkan pandang serong masyarakat lebeih-lebih lagi beliau merupakan menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang negara.

"Sebagai seorang Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang negara, beliau semestinya tahu batas-batas pergaulan supaya tidak dilihat serong.

"Kes ini akan dilihat pelik sekiranya beliau atau anak beliau mempunyai hubungan dengan individu yang sudah terpalit dengan rasuah," katanya.

Beliau mengulas pendedahan PKR sebelum ini yang mendakwa keluarga Nazri ada kaitan dengan Michael Chia, jutawan balak kontroversi yang pernah ditangkap di Hong Kong dalam percubaan untuk menyeludup wang.

Hubungan itu yang didedahkan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, adalah berupa kenderaan mewah SUV Hummer yang diguna oleh anak Nazri, Nedim.

"Saya bersetuju dengan cadangan Rafizi Ramli, supaya Datuk Seri Nazri Aziz mengambil cuti sebagai Menteri Kabinet ekoran dakwaan rasuah yang dilemparkan terhadap menteri undang-undang itu," kata Riduan lagi.

Menurut Riduan lagi, Nazri perlu bercuti kerana beliau adalah menteri undang-undang dan SPRM berada di bawah tanggungjawab beliau.

SPRM katanya, tidak mampu bertindak bebas dan telus jika badan itu berada di bawah individu yang turut dikaitkan dengan isu rasuah.

"Kebenaran perlu dibuktikan dan Datuk Seri Nazri Aziz tidak perlu gusar sekiranya beliau berada di pihak yang benar.

"Jika Datuk Seri Shahrizat Jalil sanggup bercuti malah melepaskan jawatannya, Datuk Seri Nazri sepatutnya bersikap lebih gentleman dengan mengambil pendirian yang sama iaitu dengan bercuti bagi memberi peluang kepada SPRM menyiasat dakwaan yang dilemparkan terhadapnya," kata Riduan lagi.

Jika Nazri menyahut seruan bercuti itu kata Riduan, menteri itu akan terus dihormati kerana mempunyai prinsip yang jelas dan tegas terhadap rasuah dengan sanggup menjadikan dirinya role model yang boleh dicontohi oleh masyarakat.

RM10 bilion bajet tetapi entah ke mana...

-, 06 Nov 2012



Tahukah anda bahawa negeri Terengganu di sepanjang di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Sri Ahmad Said, perbelanjaan kerajaan negeri telah mencecah hampir RM10 billion?

Bermula dari tahun 2008, negeri Terengganu telah mencatatkan bajet tertinggi di seluruh Semananjung Malaysia dengan berbelanja lebih RM2 bilion setiap tahun.

Perbelanjaan tahunan ini jauh mengatasi negeri-negeri maju seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Ini merupakan 'perbelanjaan amat luar biasa’ dan menghairankan sepanjang pentadbiran Datuk Ahmad Said memimpin negeri ‘Darul Iman’ ini.

Ya, siapa boleh menjangkakan bahawa ‘negeri kaya rakyat miskin’ ini boleh berbelanja dengan jumlah yang amat besar dan menakjubkan.

Persoalannya, apakah ini telah memberi manfaat kepada rakyat Terengganu yang rata-rata terpaksa bergelut dengan kehidupan harian yang amat mencabar?

Cubalah anda tinjau sepanjang persisir pantai di bandar Kuala Trengganu. Anda akan bertemu dengan manusia-manusia miskin yang menjadi nelayan, petani atau pengayuh beca yang kesemuanya hidup 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Ini ditambah lagi dengan kos kenaikan sara hidup yang terpaksa dibebani oleh setiap penduduk Terengganu.

Lihat sahajalah kenaikan harga barang keperluan harian seperti minyak, gas, gula, tepung serta pelbagai keperluan dapur lain yang terlalu membebankan golongan bawahan.

Malahan ramai memperkatakan bahawa kos barang keperluan harian di negeri Terengganu adalah jauh lebuh tinggi dari dari kota-kota besar seperti Kuala Lumpur atau Ipoh.

Cuba anda bayangkan, manusia-manusia seperti Pak Ali yang tinggal di hujung Tanjung. Umurnya lewat 50-an, Pak Ali masih mempunyai kederat. Tulang empat keratnya masih mampu dikerah untuk mencari rezeki halal buat mengisi perut lapan anaknya yang semuanya masih bersekolah.

Tapi apakan daya, Pak Ali tidak punya kerja tetap dan menyara hidup hanya dengan melakukan kerja kampung. Kadang-kadang Pak Din meredah lautan untuk menangkap ikan tetapi bila tiba musim tengkujuh, punca rezeki Pak Ali kembali ke daratan.

Pak Ali pula saban hari terpaksa bergantung kepada bantuan dan subsidi dari pemimpin-pemimpin Umno di Terengganu.

Nasib Pak Ali dan keluarganya ini dikongsi bersama oleh hampir 20,000 keluarga lain yang dikategorikan sebagai miskin di seluruh Terengganu.

Sukar untuk digambarkan, negeri yang menghasilkan lebih separuh keluaran petroleum negara, mempunyai keluarga miskin yang agak ramai jumlahnya.

Namun golongan miskin seperti Pak Ali inilah yang sentiasa menjadi sasaran bantuan dalam bentuk  subsidi, samada dalam bentuk ‘wang ehsan’, ‘bantuan hari raya’, ‘bantuan air zam-zam dan buah kurma’, ‘bantuan atap biru’ maupun ‘bantuan baju dan beg sekolah’.

Persoalannya, apakah cara hidup  subsidi ini menepati sasaran bagi membantu warga miskin di seluruh negeri Terengganu yang kaya ini?

Perlu diingat bahawa di negeri Terenganu, taraf kemiskinan rakyat adalah antara antara negeri yang termiskin di Malaysia walaupun ia telah menikmati lebih RM 20 billion hasil minyak sejak hampir 30 tahun lalu.

Apakah 'budaya subsidi’ ini releven dengan kos kenaikan sara hidup yang terpaksa dibebani oleh setiap penduduk Terengganu?

Lihat sahajalah kenaikan harga minyak, gas, gula, tepung serta pelbagai keperluan harian lagi yang terlalu membebankan golongan bawahan. Ramai memperkatakan bahawa kos barang keperluan harian di negeri Terengganu adalah jauh lebuh mahal dari dari kota-kota besar seperti Kuala Lumpur atau Ipoh.

Namun apa yang amat menyedihkan, kemiskinan serta penderitaan rakyat Terengganu masih terus dijadikan ’senjata politik’ bagi menuntut ketaatan dan sokongan kepada kerajaan Umno/BN.

Rakyat termiskin terpaksa terus bergantung kepada apa jua bantuan dari kerajaan Umno sehinggakan ramai memperkatakan kini sesetengah rakyat Terengganu hidup dengan ’mentaliti subsidi’ dan ’makan ditangan’.

Namun realitinya, kemiskinan serta penderitaan rakyat Terengganu masih jauh dari dapat di atasi. Menipulasi ‘budaya subsidi’ kepada rakyat termiskin serta ugutan terus di lakukan oleh sesetengah pemimpin Umno yang tidak bertanggungjawab.

Sesiapa sahaja yang 'ingkar’ akan diugut untuk ditarik segala bantuan, termasuk bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat serta bantuan anak-anak bersekolah.

Amat malang bagi seluruh rakyat Terengganu. Ketirisan dalam perbelanjaan, penyelewengan serta menipulasi ‘budaya subsidi’ kepada rakyat termiskin terus berlaku seolah-olah tanpa batasan. Pemimpin-pemimpin Umno pula terus angkuh memerintah walaupun rakyat tahu Stadium Sultan Mizan telah runtuh bersama lebih RM300 juta duit rakyat, Zoo yang menelan belanja hampir RM100 juta terus di bina dengan duit rakyat walaupun rata-rata rakyatnya miskin, Lebuhraya Pantai Timur terus di bina walaupun kosnya telah melambung dari RM2.7 bilion kepada hampir RM5 bilion yang kesemuanya merupakan duit rakyat Terengganu.

Lebih mencabar lagi, kerajaan pimpinan Datuk Sri Ahmad Said amat berani membahagikan-bahagikan tanah kepada wakil-wakil rakyat Umno dalam waktu yang sama ribuan lagi rakyat Terengganu yang miskin masih tidak mempunyai sebarang tanah walaupun sekangkang kera!

Malang oh sungguh  malang bagi rakyat negeri penyu bertelur ini.

* Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adun Batu Burok, Terengganu. Email: syedazmans@yahoo.co.uk Twitter: @syedazman

Awasi lakonan Umno dalam hudud dan perpaduan Melayu

Iskandar Kamarul Amin,
Dalam tempoh teka-teki tarikh pilihan raya umum ini, kelihatan Barisan Nasional (BN) cuba menyerang Pakatan Rakyat (PR) dengan isu air Selangor, isu tajaan Soros, dan lain-lain. Namun, kelihatan isu-isu ini kurang berjaya menggugat PR dan kadang-kadang dilihat menjadi senjata makan tuan.

Saya melihat ada dua isu yang menjadi senjata ampuh bagi Umno/BN yang dilihat mampu mengugat PR;  iaitu isu hudud dan isu perpaduan. Mengapa dua isu ini? Hal ini kerana, sejak selepas tsunami politik 2008, dua isu ini yang sentiasa diulang tayang silih berganti dan dilihat berjaya menggugat kesepakatan parti-parti dalam PR. Apabila bercerainya parti-parti dalam PR, mimpi Umno-BN untuk terus berkuasa semakin cerah.

Taktik permainan media BN dalam memainkan isu hudud bermula dengan memetik kenyataan mana-mana pemimpin PAS berkaitan hudud. Walaupun kenyataan itu hanya dibuat dengan ayat pendek tetapi dibesarkan di muka hadapan akhbar. Kemudian wartawan upahannya akan minta respon daripada pemimpin DAP yang tidak setuju dengan hudud. Perbezaan pendapat pemimpin PAS dan DAP ini lantas digembar-gemburkan seolah-olah perbalahan besar sedang berlaku.

Pendapat daripada pemimpin Umno dan ulama mudanya akan disiar untuk melaga-lagakan lagi isu ini. Pemimpin Umno biasanya cuba menjadi hero menbela pendirian PAS menyokong hudud walaupun masa umum mengetahui pendirian sebenar Presiden Umno.

Taktik yang sama juga pernah dibuat melalui isu Perpaduan Melayu. Bermula dengan ucapan beberapa kerat pemimpin Umno yang tiba-tiba mengalunkan ayat-ayat indahnya tentang perpaduan Melayu. Isu perkauman dimainkan. Dalil-dalil al-Quran dan hadis dibekalkan oleh ulama mereka untuk dilaungkan. Selepas beberapa hari isu ini dimainkan di media mereka, mereka timbulkan respon bahawa ada beberapa pemimpin PAS yang dilihat menyokong “perpaduan” itu.

Lalu digambarkan seolah PAS-Umno akan bersatu. Kemudian, mereka akan minta respon daripada pemimpin PKR atau DAP. Apabila ada daripada mereka yang dilihat mengkritik PAS, tiba-tiba fokus isu telah berubah. Alunan indahnya perpaduan Melayu tidak lagi dilagukan, yang ada hanyalah berita-berita persepsi seperti “Pakatan Rakyat retak”, “ DAP ugut keluar Pakatan Rakyat” dan sebagainya.

Taktik ini bukan sahaja dapat menggambarkan Pakatan Rakyat tidak kuat, taktik ini juga berjaya mengkambinghitamkan beberapa pemimpin PAS yang dilihat pro-perpaduan dan memburukkan pemimpin ini di mata ahli-ahlinya.

Maka, saya amat berharap kepada pemimpin PAS, PKR dan DAP, jangan cepat melatah dengan taktik ini khususnya isu hudud dan perpaduan Melayu. Suburkan diskusi antara agama untuk menerangkan perbezaan ini. Jangan mudah terpengaruh dengan lakonan Umno-BN kerana kita semua tahu Melayu mana yang mengkhianati Melayu. Berdasarkan situasi sekarang, menjatuhkan kezaliman Umno-BN adalah langkah terbaik berbanding bersatu dengan Umno/BN, maafkan kesalahan lama, dan mulakan kesepakatan baru.

Iskandar Kamarul Amin
Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)   

Adakah kekal beragama Islam satu paksaan?

Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz, 06 Nov 2012
Salam Palestin,

Seseorang yang dilahirkan sebagai seorang muslim merupakan satu anugerah Allah untuk dirinya. Ia tidak akan begitu bersusah payah mengenal tuhannya sebagaimana non muslim.

Kelahirannya sebagai seorang muslim itu juga adalah satu ganjaran besar Allah kepada kedua ibu bapanya yang istiqamah dengan iman dan Islam sepanjang hayat mereka. Dengan itu, menjadi mudahlah bagi mereka untuk mendidik anak-anak kepada Islam. Anak-anak adalah amanah yang diperlu dijaga, tidak dikhianati dan akan ditanya Allah nanti.

Oleh sebab anak suatu anugerah agung daripada Allah, adalah pelik dan tidak logik jika anugerah itu dianggap satu paksaan ke atasnya untuk memeluk Islam.

Bukankah Islam itu agama fitrah yang lahir bersama kelahiran dirinya?

Bukankah Islam itu saudara akalnya yang turut membesar, matang dan baligh bersama tumbesaran fizikalnya?

Bukankah ibu bapanya yang muslim sentiasa di sisinya menjadi tiang yang gagah untuknya bergantung dan meminta pertolongan?

Justeru, seorang muslim semenjak lahir tidak berhak menukar agamanya atau murtad. Ia adalah satu penderhakaan dan penghinaan terhadap tuhannya, agamanya, ibu bapanya dan juga masyarakat. Ia telah sengaja mendatangkan kesusahan dan fitnah terhadap agama Islam dan penganutnya.

Jika dia keliru dan was-was dengan agamanya akibat sebab-sebab peribadi dan tertentu yang boleh menyebabkannya menyimpang daripada landasan istiqamah masyarakat Islam di sekelilingnya, maka dia mestilah merujuk atau dirujuk kepada masyarakatnya itu yang diwajibkan oleh agama untuk berperanan dan bergandingan menjaga agama dan iman setiap individu muslim dalam kalangan mereka.

Islam adalah agama hujah akal dan diperkuatkan pula dengan petunjuk al-Quran yang penuh keterangan menakjubkan yang menjadi mukjizat agung kehidupan. Maka, ruang syaitan adalah tertutup rapat untuk memurtadkan individu muslim dalam sebuah masyarakat muslim.

Jika dia masih enggan tunduk kepada kebenaran dan bersedia murtad daripada agamanya, maka dia sebenarnya adalah pemberontak terhadap Allah, al-rasul, agama dan masyarakatnya. Demi kelangsungan martabat dan kemuliaan masyarakat muslim yang menjunjung Islam sebagai nikmat tertinggi, syariat Islam akan mengancamnya dan mengenakan hukuman keras ke atas kemurtadan. Ia adalah hukuman hudud yang telah nyata daripada Allah sendiri. Hukuman agama, bukan hanya hukuman daripada masyarakat.

Dia akan ditahan, kemudian diberi peluang masa untuk belajar, bertanya, berhujah dan berfikir bersama ulama berwibawa yang dikira mampu membuka segala kekusutan yang melanda dirinya. Ia mungkin ditahan dan diberi peluang berbulan-bulan, bahkan bertahun sehingga keputusan akhir dibuat. Jika dia sedar, maka dengan izin Allah dia akan bertaubat dan dibebaskan dengan sambutan lega masyarakat. Jika sebaliknya, maka hukum Allah adalah paling adil dan layak ke atasnya. Perbincangan lanjut boleh didapati dalam bab hukum murtad di tempatnya.

Pernyataan di atas secara jelas menunjukkan bahawa ayat ‘tiada paksaan dalam beragama’ adalah merujuk kepada hak non muslim untuk kekal dalam agama mereka sebebas-bebasnya. Itu suatu hak yang Allah berikan kepada manusia untuk memilih agama masing-masing. Tiada pemerintah muslim yang berkuasa atau sesiapa pun boleh memaksa non muslim untuk memeluk agama Islam.

Tetapi, jika Allah telah membuat pilihan (menjadikan manusia dilahirkan sebagai muslim), maka manusia itu tidak ada hak untuk melanggar pilihan Allah ke atasnya.

Bagaimana dibayangkan seorang muslim dipaksa untuk menjadi muslim? Bukankah dia itu telah muslim?

Bagaimana dibayangkan haknya untuk menukar agama? Bukankah itu melanggar hak Allah dan hak maruah ibu bapanya juga? Bagaimana dianggap hak jika ia melanggar hak yang lain??

Adapun seorang muslim yang murtad di negara bukan Islam dan di luar masyarakat Islam, maka tiada hukuman murtad ke atasnya di dunia, tetapi dia tetap dilaknat Allah sehinggalah dia bertaubat. Dia tidak akan diburu di dunia oleh masyarakat Islam. Kekurangan bantuan sosial ke atas agamanya menjadikan hukuman duniawi adalah tidak terpakai untuknya.

Kemudian, bagaimana seorang bukan Islam jika dia memeluk Islam? Bukankah itu melanggar hak agama asalnya dan masyarakat non muslim? Mengapa Islam melarang di sini dan membenarkan di sana?

Carilah jawabannya. Ia pasti menyeronokkan untuk lebih berilmu. Tetapi bukan di sinilah. Saya berhenti di sini dulu. Jika diizin, saya tulis lagi.

Bersama menyintai agama Islam. Agama terbaik dan terpilih dari tuhan pencipta alam. Allahu akbar wa liLlahil Hamd..

http://nikabduh.com/  
Nurul ambil tindakan undang-undang terhadap Utusan, BH
  • Ahmad Fadli KC
  • 6:45PM Nov 6 2012
 
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia dan Berita Harian berhubung isu kebebasan beragama.

Katanya, beliau telah mengarahkan peguamnya mengambil tindakan terhadap akhbar-akhbar tersebut dan kemungkinan beberapa blog yang didakwa memutar belit kenyataannya berhubung isu tersebut.

Hudud forum Nurul IzzahMenurutnya, peguam Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah akan mewakili beliau dalam hal itu.

"Saya tidak rela fitnah akidah begini diteruskan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang demi menegakkan kebenaran dan keadilan," kata Izzah dalam satu kenyataan hari ini.

Izzah sebelum ini, dalam satu forum, dilapor sebagai berkata bahawa tiada paksaan wajar dikenakan dalam beragama.

Kenyataan itu menyebabkan beberapa harian berbahasa Melayu melaporkan beliau menyokong amalan murtad di kalangan orang Islam.

Susulan kenyataan itu, pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Marzuki Husin dilapor bercadang mengambil tindakan terhadap Nurul Izzah jika ada maklumat cukup tentang perkara itu.

Izzah dalam kenyataan balasnya menggesa JAIS turut sama menyiasat Utusan Malaysia jika JAIS bercadang menyiasatnya.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ulasannya menyifatkan kesungguhan JAIS menyiasat Nurul Izzah sebagai bersifat politik.

Menurut Anwar, ia juga menggambarkan "tahap ketaksuban beragama" daripada serangan yang diterima Nurul Izzah akibat laporan berita terhadap kenyataan anaknya itu.
Hadi: Mesti 100 peratus jelas sebelum menghukum...
  • Abdul Rahim Sabri
  • 6:58PM Nov 6 2012
 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan mengulas lanjut berhubung kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataannya berkaitan isu kebebasan beragama agama seperti yang dilapor media.

Menurutnya, beliau tidak mendapat gambaran sebenarnya untuk mengulas berhubung kenyataan ahli parlimen Lembah Pantai itu.

"Kita tidak mendapat gambaran sebenar. Saya tidak boleh buat kenyataan. Kita tidak boleh bergantung kepada laporan media kerana tak lengkap," katanya.

Kemudian, wartawan cuba menjelaskan isi kenyataan Nurul Izzah itu, Abdul Hadi berkata: "Tidak boleh... Kita mesti baca sepenuhnya".

Hadir sama di sidang akhbar tersebut antaranya ialah Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, dua Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa, serta Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali.

Diasak wartawan bahawa laporan Utusan yang memetik laporan Malaysiakini berhubung kenyataan Nurul itu, Abdul Hadi berkata: "Kita kena detail, nak menghukum tak boleh".

Ditanya oleh wartawan sama ada mahu berjumpa dengan anak sulung ketua umum PKR itu, untuk mendapat penjelasan sebenar Abdul Hadi berkata:

"Kita rasa kita banyak hal-hal lain yang hendak kita hadapi terutama pilihan raya. Memang dekat dengan pilihan raya, memang dicari apa sahaja isu untuk dijadikan satu perkara sehingga kita tidak tumpu kepada pilihan raya," katanya.

Menurutnya lagi, dalam Islam sesuatu perkara mesti 100 peratus jelas sebelum membuat hukuman atau keputusan.

"Kalau 99 peratus jelas, 1 peratus tak jelas, maka kita tidak boleh hukum orang," kata Abdul Hadi.
Pemandu kereta jenazah maut dipanah petir
  • Bernama
  • 9:00PM Nov 6 2012
 
Seorang pemandu kereta jenazah mati dipanah petir di sebuah tanah perkuburan dekat Kota Kinabalu hari ini.
  
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata kejadian itu berlaku semasa Daniel Rodie, 34, berlindung daripada hujan di sebuah pondok di Tanah Perkuburan Taman Century, Luyang.
  
"Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.50 petang selepas mangsa selesai menghantar mayat untuk dikebumikan di tanah perkuburan tersebut.
  
"Polis mendapat maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.25 petang," katanya dalam kenyataan.
  
Jauteh berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.
  
- Bernama
Anwar cabar Najib tanding di Marang
6:35PM Nov 6 2012  
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bertanding di kawasan Parlimen Marang di Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut Anwar, perdana menteri seharusnya bertanding di kawasan Parlimen Marang yang kini disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang setelah presiden PAS itu menawarkan diri untuk bertanding di kawasan Parlimen Pekan di Pahang yang disandang Najib.
  
Ditanya sama ada Abdul Hadi pasti bertanding di Pekan, Anwar yang ditemui di lobi Parlimen, berkata: "Kami belum membincangkan perkara itu, beliau (Abdul Hadi) kata akan tunduk kepada keputusan PAS, jadi tunggu keputusan parti."
  
Sebelum ini Abdul Hadi dilaporkan berkata beliau akan bertanding di
mana-mana kawasan yang diminta parti termasuk untuk kerusi Parlimen Pekan.
  
Najib semalam berkata beliau tidak fikir Abdul Hadi akan bertanding di
kawasan Parlimen Pekan.

- Bernama
Panggilan bom palsu ganggu prosiding mahkamah 3 jam
  • Bernama
  • 3:16PM Nov 6 2012
 
Prosiding di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam terganggu sehingga tiga jam hari ini dari pukul 8.30 pagi kerana panggilan bom palsu.

Lebih 300 petugas mahkamah beserta orang awam diarah mengosongkan kompleks itu dan berhimpun di perkarangan letak kereta sementara menunggu pasukan unit pemusnah bom dan unit anjing pengesan memeriksa seluruh bangunan mahkamah.

Mereka tidak menemui bom atau sebarang unsur bahan letupan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Mazlan Othman berkata polis menerima maklumat mengenai panggilan bom itu kira-kira pukul 8.25 pagi selepas seorang lelaki menelefon operator wanita mahkamah itu dan mengugut akan meletupkan bom di kawasan mahkamah pada tiga waktu, pukul 9, 10 dan 11 pagi.

"Hasil siasatan kami mendapati ia adalah panggilan palsu. Kami juga belum dapat memastikan sama ada panggilan itu dibuat melalui telefon awam atau telefon bimbit serta dari mana panggilan itu dibuat," katanya.

Mazlan berkata sepanjang operasi pemeriksaan dijalankan, semua tertuduh untuk kes sebutan dan perbicaraan, ditempatkan di lokap berpusat di Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam.

-Bernama

Tiada ulasan: