Khamis, 1 November 2012

ADAKAH KITA SELAMAT DIDUNIA DAN DIAKHIRAT MAKAN HAK RAKYAT...SONGLAP SERTA TIPU RAKYAT

RM207b: Nizar akan bawa buruh paksa ke parlimen

Muhammad Faizal, 01 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terus mempersoalkan ke mana wang pampasan sebanyak RM207 bilion hak milik waris buruh paksa landasan keretapi Siam-Burma dibelanjakan serta disalurkan.

Ketika ditanya mengenai perkembangan terkini wang pampasan tersebut, beliau berkata terdapat maklumat mengatakan perkara itu telah selesai.

Namun beliau sendiri belum pasti dalam bentuk apakah ia diistilahkan sebagai telah selesai.

"Ada usaha mengatakan isu ini telah selesai dan pihak persatuan juga mengatakan mereka menerima surat dan memberitahu isu ini telah selesai.

"Tetapi saya sendiri tidak mengetahui apa yang telah selesai, sedangkan sewaktu saya kemukakan di Parlimen sehinggalah penggulungan tidak ada jawapan dari menteri berhubung isu tersebut," katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Malah beliau juga turut bertemu Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim dan bertanyakan kenapa kementerian tidak memberi maklum balas berhubung isu tersebut.

Namun, Donald Lim menyatakan tidak mengetahui dan meminta Nizar menulis surat kepada kementerian bagi mengetahui status sebenar.

"Saya akan ketengahkan isu ini dan ia merupakan isu yang besar apatah lagi kebanyakan mereka yang terlibat merupakan ahli Umno.

"Saya akan membawa ahli persatuan dan mereka yang masih hidup ke Parlimen bagi mengetengahkan permasalahan ini dan menjelaskan kepada rakyat," sambung beliau lagi.

Beliau yang terus memperoalkan apa yang sebenarnya berlaku terhadap wang pampasan tersebut sedangkan ada dokumen-dokumen yang mengatakan ia berada dalam simpanan perbendaharaan.

"Kerajaan perlu jelaskan dan kita tidak mahu wang tersebut lesap begitu sahaja. Kalau di Indonesia, Filipina mahupun Vietnam bila Jepun menyerahkan wang pampasan terus diberikan kepada rakyat kenapa tidak di negara ini," soal beliau.

Sebelum ini, Nizar telah membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 pada 10 Oktober lalu.

Nizar memaklumkan waris mangsa tidak mendapat wang pampasan tersebut biarpun ia telah diserahkan kepada kerajaan Malaysia sebelum ini.

‘Wang ehsan’ bukti Umno tidak bertanggungjawab

Muhammad Faizal, 01 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan penggunaan istilah ‘wang ehsan’ adalah menggambarkan sikap yang tidak bertanggungjawab Umno.

Malah apabila istilah wang ehsan digunakan maka mereka yang menerima wang tersebut boleh berbelanja mengikut kehendak serta boleh disalahguna.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, selain ia boleh disalahgunakan, wang tersebut juga tidak boleh diaudit oleh sesiapa.

"Istilah wang ehsan telah direka ciptakan oleh Umno apabila Terengganu jatuh ke tangan PAS sebelum ini dan bagi saya penggunaan istilah ini adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab.

"Kita tahu wang ehsan boleh dibelanjakan sesuka hati dan tidak boleh diaudit oleh sesiapa sahaja, malah bila keadaan ini wang tersebut senang disalahgunakan oleh mereka yang menerimannya," katanya di lobi parlimen.

Salahuddin juga berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu mengikuti apa yang telah dipersetujui dalam perjanjian Petronas sebelum ini dengan menggugurkan istilah wang ehsan kepada royalti.

"Najib perlu kembali kepada landasan yang sebenar, apabila istilah wang royalti digunakan maka setiap wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri.

"Ini akan meletakkan satu sikap kebertanggungjawaban terhadap sumber tersebut terutamanya dalam soal perbelanjaan, kita mahu apabila segala wang yang disalurkan dibelanjakan dengan betul bukannya disalahgunakan," sambung beliau lagi.

Beliau yang sebelum itu merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri berhubung penemuan baru minyak di pengairan Negeri Pahang, yang mana Najib menyatakan Pahang berkemugkinan akan mendapat RM100 juta setahun wang ehsan dari sumber tersebut.

"Saya menyeru rakyat Pahang mengambil peluang dalam soal ini kerana apabila Pakatan Rakyat memerintah, Pahang akan mendapat lebih dari yang dijanjikan oleh Najib kerana Pakatan menetapkan 20 peratus untuk bayaran royalti.

"Selain itu juga istilah wang ehsan tidak akan digunakan dan ini bagi memastikan tidak ada penyelewengan berlaku apabila wang tersebut disalurkan kepada kerajaan negeri," kata beliau lagi.

Hudud: Utusan jahil terus kelirukan rakyat

Datuk Harun Taib, 01 Nov 2012
Utusan masih jahil tentang hukuman hudud yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadis. Melalui artikel yang disiarkan dalam akhbar itu yang bertajuk ‘Polemik Hukum Hudud PAS’ menyerlahkan bagaimana akhbar itu telah digunakan oleh pihak tertentu untuk memburukkan usaha PAS dalam memberikan penjelasan berkenaan hudud.
Dalam artikel tersebut telah mempersoalkan bagaimana terdapat 2 versi Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu, kita ingin menegaskan bahawa pengarang tersebut telah hilang fokus dalam perbincangannya, perbezaan versi ini adalah termasuk dalam bab teknikal dan bukannya isu pokok, apa yang kita bahaskan sekarang ialah berkenaan dengan pokok iaitu memberikan penjelasan berkenaan keindahan hukum hudud dan Utusan tidak memainkan peranan ini selaku akhbar milik orang Islam.

Fakta-fakta yang dikemukakan oleh penulis tersebut juga cukup mengelirukan para pembaca, sedangkan apa yang diusahakan oleh kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu berdasarkan pandangan para ulamak yang muktabar yang diiktiraf keilmuan mereka, ianya bukan hudud PAS tetapi ianya merupakan hudud yang berdasarkan disiplin ilmu Islam yang berpaksikan Al-Quran dan As-sunnah.

Adapun berkenaan dengan dakwaan bekas Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan seperti mana yang dilaporkan dalaman artikel itu bahawa Hukum Hudud yang diperjuangkan PAS tidak berlandaskan Al-Quran dan Sunnah adalah dakwaan yang tidak benar dan menyeleweng daripada hakikat yang sebenarnya.

Pengarang artikel juga turut juga sudah tersasar daripada perbincangan ilmiah apabila cuba mengelirukan pembaca dan mencampuradukkan di antara perbincangan berkenaan manifesto dan enakmen.

Berkenaan isu liwat dan umur aqil baligh dalam enakmen tersebut, ianya telahpun dijawab oleh Dewan Ulamak sebelum ini tetapi sebagai manfaat bersama, ulamak tidak keberatan mengulanginya.

Adapun dakwaan Penasihat Agama Menteri Besar Terenganu, Mohd Kamal Saidin yang mempertikaikan umur bagi mukallaf adalah 15 tahun dan bukannya 18 tahun menggambarkan beliau jahil tentang perbahasan para ulamak.

Berkenaan dakwaan bahawa had umur 18 tahun bercanggah dengan hukum syarak, masalah berkenaan had baligh seseorang muslim itu, sebenarnya ianya adalah perkara khilafiah, ianya bukan suatu yang qat’ie.

Ada ulamak dalam mazhab Syafie kata 15 tahun, barulah seseorang itu dianggap baligh, kalau dalam mazhab Hanafi, mereka kata 18 tahun barulah dikira sebagai mukallaf. Jadi dalam isu yang beliau bangkitkan ini, maka kita mengambil had umur yang paling tinggi supaya tidak berlaku masalah khilafiah.

Sebagai contoh, kalau diambil umur 15 tahun, nanti apabila perbicaraan diadakan, mungkin pihak peguam tertuduh akan mendakwa bahawa anak guaman bermazhab Hanafi, semata-mata untuk lari daripada hukuman.

Jadi kita ambil pandangan 18 tahun supaya tidak berlaku at-tahayul atau helah dalam perbicaraan di samping ianya merupakan petunjuk kepada tahap baligh dan kematangan atau dikenali sebagai 'sinnu rusyd', itu hanya sebahagian sebab mengapa kita pilih 18 tahun dan di sana masih ada sebab-sebab lain yang boleh kita rujuk kepada buku-buku feqah.

Berkenaan dakwaan meliwat isteri yang didakwa oleh seorang ahli parlimen yang seolah-olah dilihat dibenarkan dalam enakmen hudud yang dikemukakan oleh PAS, adalah dakwaan yang melambangkan kejahilan orang yang membangkitkan isu ini.

Liwat di antara suami isteri tidak termasuk di dalam hukum hudud tetapi bukan bererti perbuatan itu tidak salah. Perbuatan itu tetap salah, cuma tidak termasuk dalam hukum hudud dan dari sudut hukuman tetapi ia akan dikenakan hukum takzir.

Mengapa ianya dikenakan hukuman takzir dan bukannya hudud? Jawapannya ialah kerana berlaku syubhah di situ.

Untuk makluman beliau, dalam perlaksanaan hudud, seperkara yang mesti diambil kira dalam pelaksanaan ialah pelaksanaan hukuman hudud mesti meraikan satu kaedah yang penting iaitu yudra’ul hudud bi syubhat iaitu hudud itu tidak boleh dilaksanakan sekiranya ada syubhah.

Persoalannya di mana syubhah itu dalam kes ini? Syubhahnya ialah hubungan suami isteri itu sendiri atau dalam istilah feqahnya ialah syubhatul milk iaitu syubhah kerana isteri itu adalah milik suami tidak sepertimana dalam kes kesalahan hudud yang beliau nyatakan yang mana pasangan yang bersalah tersebut tidak mempunyai hubungan yang sah dari sudut syarak, ianya adalah berbeza dengan kesalahan liwat suami isteri.

Pengarang tersebut tidak sepatutnya membaca sepintas lalu dan terus menjatuhkan hukuman tanpa merujuk kepada para ulama kerana pengetahuan hukum syarak ada disiplinnya yang tersendiri, bukannya mengikut akal fikiran manusia yang lemah.

Sebelum ini Dewan Ulamak telah memberikan penjelasan berkenaan perkara tersebut secara rasmi. Dakwaan yang menyatakan Ulamak PAS gagal memberikan penjelasan berkenaan dakwaan ahli parlimen tersebut adalah dakwaan yang tidak benar sama sekali.

Isu hukum hudud yang hanya dilaksanakan ke atas orang Islam manakala orang bukan Islam diberikan pilihan, Enakmen kelantan dan Terengganu jelas menerangkan bahawa enakmen ini terpakai kepada orang Islam dan orang bukan Islam secara mutatis mutandis iaitu mereka yang bukan beragama Islam diberikan pilihan untuk memilih samada ingin diadili dengan hukum Islam ataupun memilih untuk dibicarakan mengikut undang-undang mereka.

Ini adalah berdasarkan ayat al-Quran daripada surah al-Maidah ayat 42 yang bermaksud: "Apabila mereka(orang yang bukan Islam) datang kepada kamu untuk diadili, hendaklah kamu adili mereka (dengan Islam) atau biarkan mereka (untuk membuat pilihan), sekiranya mereka enggan ianya tidak memudaratkan kamu, apabila kamu mengadili manusia hendaklah kamu berlaku adil seadil-adilnya”.

Ianya jelas berdasarkan peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w, apabila orang bukan Islam khususnya Yahudi yang datang bertemu Rasulullah s.a.w untuk menyelesaikan kes mereka yang berkaitan hudud, lalu Allah s.w.t memberikan pilihan kepada nabi sama ada mengadili dengan hukum Islam atau sekiranya mereka enggan mereka boleh menyelesaikan pertikaian itu berdasarkan undang-undang mereka sesama di kalangan mereka. Ini nas al-Quran. Al-Quran memberitahu sekiranya kamu mengadili mereka hendaklah berlaku seadil-adilnya. Mazhab Syafie menyatakan adil di sini ialah hukum Islam.

Kenyataan Nazri terhadap Chia diragui, kata PKR

Muhammad Faizal, 01 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Undang-undang Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz di parlimen baru-baru ini bahawa ahli perniagaan Michael Chia telah dibersihkan daripada tuduhan rasuah dilihat mempunyai konflik berkepentingan, kata PKR.

Menurut Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli, PKR mendapati keluarga beliau khususnya anak sulung Nazri, Nedim ada hubungan dalam bentuk kenderaan dengan Chia.

Kenderaan itu ujarnya berupa SUV Hummer berwarna hitam, yang berharga lebih RM459,000, yang dimiliki oleh Chia dan mungkin telah digunakan oleh Nedim.

"Sebagai seorang menteri kanan, yang bertanggungjawab dalam soal perundangan terutamanya dalam isu rasuah dan pengubahan wang haram, Mohamed Nazri perlulah lebih telus dan bersih tanpa mempunyai sebarang kepentingan terutama dengan individu yang dikaitkan dengan tuduhan," kata Rafizi.

Rafizi turut menunjukkan satu salinan saman trafik yang dinyatakan pemiliknya sebagai Chia Tien Woh dan gambar-gambar yang menunjukkan bahawa kenderaan itu kerap dikesan di kondo di mana Nedim tinggal.

Rafizi menyatakan dalam keadaan Michael Chia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun dalam masa yang sama Mohamed Nazri mempertahankan Chia telah menimbulkan konflik kepentinga,

"PKR menunggu maklum balas dari Mohamed Nazri yang sebelum ini begitu gah mempertahankan Michael Chia, sebelum kami mengambil tindakan selanjutnya," kata beliau lagi.

Tolak royalti 20%, PAS Sabah bidas Shafie Apdal

Anis Nazri, 01 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Sabah terlebih dahulu perlu menerima hasil dari sumber minyaknya sebelum diagihkan ke negeri-negeri lain.

Apabila terdapat lebihan dari agihan tersebut, barulah ia wajar diagihkan ke negeri-negeri lain, tegas Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling (gambar).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin Umno Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal yang menolak tawaran Pakatan Rakyat memberikan bayaran royalti sebanyak 20 peratus jika berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Seperti yang diucapkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, ketika sambutan hari Malaysia di Sabah sebelum ini, Islam telah memperingatkan mana-mana hasil yang diperoleh dari negeri tersebut perlu diagihkan untuk keperluan negeri itu sendiri sebelum diagihkan ke negeri lain.

"Justeru, untuk mengagihkannya (hasil negeri) untuk negeri lain dengan meninggalkan Sabah terus terpinggir dari arus pembangunan, merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima rakyat Sabah," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau lagi, mengapa Sabah perlu berkongsi kemakmuran bersama di saat Sabah ketinggalan dari pelbagai aspek keperluan asas.

Katanya, Sabah masih ketinggalan dari segi jajaran jalan rayanya, bekalan air terawat, kemudahan elektrik yang menghantui penduduk Sabah sekian lama.

"Kenapa hasil dari Sabah itu tidak ditawarkan kepada Sabah terlebih dahulu?  Jika selesai masalah di Sabah, tidak mengapalah jika hendak diagihkan kepada negeri lain sekalipun," kata Aminuddin lagi.

Sambil menyifatkan Shafie sebagai pemimpin yang tidak memahami denyut nadi penduduk Sabah, Aminuddin berkata kerana ketakutan mereka terhadap kebangkitan rakyat terhadap Pakatan Rakyat menyebabkan mereka tidak sedar apa yang mereka ucapkan.

Shafie, yang juga Naib Presiden Umno, sebelum ini berkata tawaran royalti minyak 20 peratus kepada negeri itu yang dibuat pembangkang tidak dapat diterima walaupun menarik, demi perkongsian kemakmuran negara.

Menteri itu juga sebaliknya menyifatkan tawaran Pakatan Rakyat itu sebagai usaha memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Pakatan Rakyat menawarkan bayaran royalti minyak 20 peratus kepada pengundi Sabah semenjak pilihan raya umum 2008.

Jangan guna 'alasan kartun' naik harga barang

Abdul Aziz Mustafa, 01 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan kerajaan supaya menggunakan alasan munasabah untuk menaikkan harga barang dan bukan "alasan kartun".

Dengan mengambil contoh alasan kerajaan untuk menaikkan harga gula, beliau mempersoalkan "apakah dengan menaikkan harga gula, kita boleh mengurangkan penyakit kencing manis?"

"Alasan yang diberikan oleh kerajaan bahawa ini baik untuk kesihatan kerana apabila harga gula mahal, orang kurang makan gula.

"Akan tetapi apakah munasabah gula mahal, orang kurang makan gula?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan alasan tersebut ketika membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat.

Sambil mengemukakan harga gula yang sentiasa naik dari masa ke semasa, Mahfuz berkata, "kalau ikut logik kerajaan apabila berlaku kenaikan tidak ada penyakit kencing manis, tetapi wad kencing manis ramai, penuh".

Sambil mengaitkan dengan statistik yang beliau kemukakan dalam perbahasan sebelum itu, beliau menyatakan, angka penyakit kencing manis terus meningkat malah yang sangat kritikal.

"Adakah munasabah maknanya hujah apabila hendak kurangkan penyakit kencing manis, kita naikkan harga gula?

"Lepas ini hendak kurangkan penyakit darah tinggi, naikkan harga garam. Hendak mengurangkan penyakit kolesterol, naik harga sotong dan udang... Hendak mengurangkan penyakit gout," kata Mahfuz.

Kalau hendak mengurangkan penyakit obesiti, adakah menaikkan harga tepung, sebab makan tepung banyak jadi gemuk, beliau mempersoalkan lagi.

"Gunalah alasan yang munasabah. Ini bagi alasan yang jadi kartun," katanya.

Beliau menyifatkan kerajaan sendiri yang mendorong kepada kenaikan harga barang yang berangkai.

"Kenaikan harga gula ini sudah tentu dia akan mengheret kepada kenaikan-kenaikan barangan yang menggunakan gula," katanya.

Mahfuz juga menolak dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) boleh membantu rakyat meringankan kos sara hidup rakyat akibat daripada kenaikan harga barang.

Bantuan tersebut, katanya, "tidak mampu mengatasi masalah kenaikan harga barang yang berlaku saban hari".

Malah, Mahfuz melihat kenyataan Perdana Menteri itu sebagai pengakuan kerajaan "bahawa berlaku kenaikan harga barang".

Tangguh AES: Kerajaan PR prihatin keluhan rakyat

Harakahdaily, 01 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) yang telah bersetuju menangguhkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
“Walaupun AES ini dibuat bagi bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta mampu mengurangkan kemalangan maut, namun ianya seolah-olah ingin mencari keuntungan dengan merompak duit rakyat,” kata Ketua Penerangannya, Yusapiza Yaacob (gambar).

Bahkan, katanya kedudukan AES yang tidak munasabah dilihat bagaikan ingin mencari kesalahan pemanduan rakyat dengan apa cara sekalipun.

Menruutnya, DPPWP melihat penangguhan perlaksanaan AES sebagai satu pengajaran kepada pihak kerajaan Umno BN supaya berhenti dari menyembelih tengkuk rakyat demi memenuhi poket kroni-kroni.

“Apakah kerajaan ingin mendidik rakyat atau memeras ugut rakyat sendiri? Apakah kerajaan begitu terdesak kini untuk mendapatkan sumber pendapatan sehingga sanggup memecahkan tabungan rakyat sendiri?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Tambahnya, DPPWP juga bersetuju bahawa pemasangan AES seharusnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu.

Katanya, tindakan penangguhan tersebut juga dilihat bertepatan memandangkan begitu ramai rakyat yang teraniaya dengan saman AES.

Beliau berkata, ia juga membuktikan betapa kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat begitu prihatin dengan keluhan setiap rakyatnya yang kian dihimpit dengan pelbagai kos hidup yang kian mencengkam saban hari.

Justeru, ujarnya DPPWP mencabar kerajaan negeri Umno BN supaya turut menangguhkan perlaksanaan AES jika benar-benar prihatin terhadap permasalahan rakyat.

“Janganlah kerana AES ini projek kroni maka rakyat sanggup dikorbankan,” katanya.

Bantah AES: Rakyat tidak boleh berpeluk tubuh

Harakahdaily, 01 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Himpunan Rakyat Bantah AES mensasarkan fokus untuk mendesak Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha supaya mengkaji semula dan mengambil kira beban rakyat sebelum melaksanakan AES.
Koordinator bersama Bantah AES, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, menyedari segala hakikat mengenai pelaksanaan kamera itu, rakyat tidak boleh berpeluk tubuh.

Katanya, hasil mesyuarat yang dijalankan pada 27 November lepas yang dihadiri oleh parti politk, NGO dan pimpinan masyarakat sekitar Parlimen Lumut telah sepakat untuk menubuhkan Bantah AES.

“Bantah AES dengan ini telah memutuskan untuk menggerakkan satu himpunan aman untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengangkutan di Pejabat Parlimen Lumut Barisan Nasional di Sitiawan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, di parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha sebagai ahli parlimennya bakal dipasang 9 buah kamera AES.

Sejak dilaksanakan pada 23  September 2012, dalam masa 8 hari dengan 14 kemera AES sebanyak 63,558 saman dikeluarkan.

Justeru, ujarnya Perhimpunan Rakyat Bantah AES diadakan pada 9 November ini selepas solat Jumaat di Masjid Nasriyah, Sitiawan sekitar jam 1.30 petang.

“Bantah AES menyeru seluruh rakyat terutama di Parlimen Lumut untuk hadir bersama-sama di perhimpunan ini bagi menyerah memorandum kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: