Selasa, 14 Ogos 2012

SEKARANG ALLAH SEDANG MENGHUKUM...ATAS TINDAKAN YANG MELAMPAUI BATAS...SEWA KEDIAMAN SISWA UNISEL TERLALU TINGGI...PERJANJIAN DIBUAT SEBELUM KERAJAAN YANG ADA SEKARANG...DAN PERKARA2 LAIN YANG MENEKAN RAKYAT DAN PENGGUNA...DENGAN PELBAGAI CUKAI YANG TINGGI

PRU13: Najib tertekan, perisik lapor peralihan kuasa

Muhammad Faizal, 14 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: PAS melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus berada dalam keadaan tertekan untuk membuat pengumuman pembubaran parlimen bagi menghadapi Pilihanraya Imum ke-13 (PRU13).

Kenyataan tersebut disuarakan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) apabila 'task force' rasmi yang terdiri daripada perisikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut melaporkan akan berlaku peralihan kuasa pada PRU13 nanti.

"Melihat kepada apa yang berlaku sekarang pada senario politik negara, Najib terus berada dalam keadaan tertekan untuk membuat pengumuman pembubaran parlimen bagi mengadakan PRU13.

"Tekanan itu lebih teruk lagi apabila laporan dari perisik rasmi kerajaan yang telah menyatakan rakyat telah menunjuk sikap tidak selesa mereka kepada kerajaan, malah menjangkakan akan ada perubahan kuasa," jelasnya sewaktu majlis berbuka puasa di sebuah hotel semalam.

Mahfuz yang turut menjangkakan Najib akan mengadakan pilihanraya pada awal tahun hadapan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Katanya lagi, faktor kesuntukkan masa iaitu sambutan kemerdekaan, musim haji dan juga peperiksaan kepada pelajar-pelajar sekolah juga antara sebab utama PRU13 dibawa ke tahun hadapan.

"Sudah pasti pilihanraya tidak akan diadakan pada musim haji kerana rakyat negara ini akan keluar untuk menunaikan haji dan begitu juga musim peperiksaan yang mana ibubapa akan lebih tumpukan kepada peperiksaan anak mereka.

"Jika Najib ingin mengadakan pada musim peperiksaan ia akan menimbulkan kemarahan kepada ibubapa, malah peglibatan guru-guru dalam menguruskan peperiksaan juga akan turut terganggu," sambungnya.

Menurutnya, kerajaan akan menggunakan sebaik mungkin belanjawan 2013 yang akan dibentangkan pada sesi parlimen akan datang.

"Sokongan rakyat sudah semakain menurun dan saya pasti Najib akan menggunakan sepenuhnya kelebihan senjata terakhir mereka pada belanjawan kali ini untuk menarik undi rakyat.

"Apatah lagi senario perubahan yang besar akan berlaku di Sabah, Najib dijangka bertindak luar biasa kepada rakyat di sana.

Sebelum itu, menurut laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin  yang telah keluar BN dan mengisytiharkan sokongan kepada Pakatan Rakyat turut mendakwa tiga lagi ahli parlimen BN akan lompat parti selepas Hari Raya.

Menurut Lajim lagi, seramai 18 daripada 35 ahli jawatankuasa Umno bahagian Beaufort menuruti langkahnya meletak jawatan dan mempromosi Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang menyokong Pakatan.

Jelajah Ramadhan temui golongan kurang mampu

Anis Nazri, 14 Ogs 2012

(Zailah bergambar selepas mengunjungi mereka yang diraikan)

KUALA LUMPUR: Berbaki beberapa hari menjelang Syawal, Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf terus setia menyantuni golongan kurang berkemampuan.

Menjelajah seluruh negara dalam program 'Jelajah Ramadhan', Siti Zailah bergerak ke parlimen Pasir Salak, Perak, baru-baru ini.

Di Pasir Salak, beliau sempat menziarahi ke semua Unit Peti Undi (UPU) di parlimen tersebut bagi menemui golongan dhaif, selain orang kekurangan upaya (OKU), serta anak-anak Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) bagi menyampaikan sumbangan Ramadhan.

(Mengacau bubur lambuk di Pasir Garam)

Ketiga-tiga UPU itu ialah Pasir Garam, Sungai Manik dam Teluk Sareh, yang berada di dalam Dun Kampung Gajah.

Siti Zailah juga berkesempatan menyediakan bubur lambuk bersama penduduk kampung sebelum diagihkan kepada para penduduk.

Malah, beliau juga sempat merasmikan sebuah surau di Pasir Garam yang sebelum ini dibaikpulih secara bergotong-royong oleh penduduk setempat pada program jelajah tersebut.

(Memberikan bantuan kepada yang memerlukan)


Selain menyampaikan sumbangan berbentuk makanan dan duit raya, ahli parlimen Rantau Panjang itu turut berkesempatan menyampaikan tazkirah ramadan kepada penduduk kampung.

"Alhamdulillah, sambutan amat baik diterima pihak kami. Kita bertemu dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada golongan memerlukan.  Ia merupakan program tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat.  Tahun ini, kita fokus parlimen Pasir Salak," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut Siti Zailah, kini beliau berada di Kelantan dan akan menghabiskan program jelajahnya di sekitar Kelantan, khususnya di Rantau Panjang.

Ramai rasai Umno meniti di benteng akhir

Rossem, 14 Ogs 2012

KETEREH: Peristiwa yang berlaku sekarang di mana semakin ramai menyertai PAS dan Pakatan Rakyat sebenarnya pernah terjadi ketika Nabi Muhammad saw berjaya membuka kota Mekah.

Ketika itu berbondong-bondong orang Musyrikin Mekah memeluk Islam kerana mereka melihat Islam sudah berada di ambang kemenangan dan dapat memerintah negeri.

Speaker Dun Kelantan, Datuk Nassaruddin Daud (gambar) berkata, begitu juga dengan suasana yang berlaku sekarang, di mana ramai melihat PAS dan Pakatan Rakyat sudah berada di ambang kemenangan pada pilihan raya ke-13.

“Sekarang semua golongan menyertai PAS termasuk mantan pegawai tertinggi polis, tentera, pegawai tadbir, ahli korporat, artis bahkan menteri kabinet,” katanya ketika menyampaikan tazkirah Ramadan di Masjid Al-Mukarabbin, Kampung Bechah Kura, Peringat kelmarin.

Nassurudin yang juga Adun Meranti berkata, Umno sekarang terpaksa mencipta helah dengan memberi gambaran buruk terhadap PAS, PKR dan DAP.

Katanya terbaru mereka mengatakan mengundi DAP haram kerana DAP menentang pelaksanaan hudud.

“Kalau DAP menentang hudud munasabah kerana mereka bukan Islam, tapi bagaimana dengan Umno yang menentang hudud sedangkan mereka orang Islam.

“Hukum  hudud diwajibkan  ke atas orang Islam sahaja sementara bukan Islam  tidak tertakluk kepada hukum tersebut,” katanya.

Sementara itu pegawai penyelidik bidang politik di Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Muhamad Zainal Abidin Hussin berkata, sudah tidak ada lagi parti yang menang sejak zaman kemerdekaan terus kekal berkuasa di dunia sekarang kecuali Umno.

Katanya, Umno terpaksa melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kuasa, biar pun nasibnya sudah tidak menyebelahi mereka sekarang.

"Masa untuk Umno sudah luput, jadi mereka terpaksa mencuba pelbagai ramuan awek muda kononnya untuk menyambung jangka hayat. Ramuan itu antaranya wang ringgit dan undi pos," ujarnya.

Air: Penduduk dakwa Ibrahim Ali semberono

Attif Idris, 14 Ogs 2012
PASIR MAS: Penduduk di sini hairan kenyataan anggota parlimen Bebas kawasan ini, Datuk Ibrahim Ali kononnya masalah bekalan air di Pasir Mas begitu kronik.

Sedangkan kata mereka ketika tekanan rendah baru-baru ini, bekalan air masih dapat disalur dengan tempoh yang agak terhad.

“Ketika itu air kadang-kadang keluar siang, kadang-kadang malam. Tidak ada air terputus bekalan 24 jam sehingga seminggu seperti didakwa wakil rakyat terbabit. Ia seperti kenyataan semberono,” kata Mohamad, 50 dari Tendong.

Menurutnya juga dakwaan jenazah seorang penduduk lambat dimandikan kerana tiada air juga tidak berasas kerana sumber air masih ada.

Pegawai Komunikasi Korporat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Azahari Abd Rahman berkata, kapasiti pengeluaran air di Loji Kelar sejak 8 Ogos lalu lebih 64 juta liter sehari berbanding 30 juta liter sebelum ini.

“Tidak ada tempat yang kritikal di jajahan Pasir Mas seperti didakwa wakil rakyat Bebas,” katanya ketika meninjau tekanan air di beberapa kampung di sini semalam.

Ketua Operasi AKSB Pasir Mas Mohd Adam Nik Marazi berkata, kakitangan AKSB sentiasa turun ke bawah bagi memastikan setiap pengguna mendapat bekalan air.

Katanya juga tiga telaga tiub dijangka akan beroperasi menjelang Aidilfitri dan empat lagi akan disiapkan selepas Hari Raya nanti.

Sebelum ini Ibrahim dilaporkan mendakwa bekalan air di Pasir Mas terputus sejak seminggu lalu dan masih belum pulih sepenuhnya.

Pada 9 Ogos lalu Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota Exco melawat loji rawatan air di Kelar Pasir Mas dan kerja-kerja membina telaga tiub.

PKPIM sambut baik penghijrahan artis

Khairul Anuar Abdul Manap, 14 Ogs 2012
Umum mengetahui, penghijrahan artis tempatan dengan imej yang mesra syariah telah menjadi fenomena dalam arus perdana. Rata-ratanya, mereka tampil dengan pakaian yang menutup aurat, imej yang lebih sopan serta terlibat secara langsung dengan program bersama masyarakat.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memuji dan menyambut baik perubahan positif tersebut yang dianggap berani menongkah arus dunia selebriti.

Realitinya, bukan perkara mudah untuk keluar dari kebiasaan kerana barangkali terdapat pelbagai halangan untuk merealisasikannya namun terbukti hijrah pada hakikatnya bukanlah sesuatu perkara yang mustahil untuk dilaksanakan dengan syarat berpaksikan niat yang baik dan kesedaran yang mendalam.

Demikianlah peristiwa hijrah golongan Muhajirin dari Mekah ke Madinah dalam sejarah Islam turut merakamkan pengorbanan dan peristiwa getir yang dihadapi oleh Nabi dan para sahabat.

Perlu kita sedari bahawa artis adalah kelompok manusia yang berpengaruh terhadap masyarakat khususnya generasi muda. Daripada gaya pertuturan, fesyen berpakaian mahupun gaya hidup, kesemuanya telah menjadi budaya dan contoh ikutan.

Maka, fenomena penghijrahan artis yang telah disebutkan sebenarnya berfungsi menyuntik budaya baru dalam mempengaruhi golongan muda ke arah yang dituntut oleh agama.

Maka, hendaklah para artis yang telah berhijrah ini mewujudkan gelombang budaya yang boleh dijadikan ikutan seperti tutur kata yang baik, cinta kepada ‘ilmu, hormat-menghormati sesama insan serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Oleh yang demikian, PKPIM melihat fenomena ini berpotensi menjadi benteng sekaligus alternatif kepada lambakan budaya artis luar negara yang tidak sesuai dengan semangat kesopanan dalam wilayah kemalaysiaan untuk dicontohi oleh generasi muda.

Dalam pada itu, kemampuan, kepakaran, bakat dan kecenderungan yang dimiliki oleh mereka harus dimanfaatkan untuk merealisasikan agenda transformasi dalam industri seni dan hiburan yang lebih mematuhi lunas-lunas Islam, membina jati diri sekaligus menyeru masyarakat ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Sepertimana Khalid Al-Walid r.a yang tetap diberikan tugas memimpin angkatan tentera Muslim walaupun baru memeluk Islam kerana kepakaran dalam taktik peperangan yang dimiliki olehnya tidak dipunyai oleh para sahabat yang lain. Maka, tidak wajar andai ada sesetengah pihak yang menganggap artis bertudung itu tidak komersial atau tidak sesuai dengan kehendak ramai.

Dalam masa yang sama, PKPIM turut mengkritik suara sumbang yang tidak senang dengan penonjolan artis yang berhijrah.

Pendapat yang mengatakan bahawa artis tidak layak menjadi ustaz atau ustazah adalah keterlaluan dan tidak mencerminkan semangat berlumba-lumba membuat kebaikan seperti yang disarankan oleh Al-Quran. Mereka seharusnya dibimbing dengan betul bukan dikritik dengan kata-kata yang tidak enak didengar.

Sehubungan dengan itu, PKPIM berpendirian bahawa suara-suara ‘tidak senang’ tersebut mesti dihentikan segera untuk mengelakkan konflik atau tuduhan-tuduhan melulu yang tidak mendatangkan faedah.

Sindiran negatif juga tidak seharusnya datang dari kelompok agamawan yang dikhuatiri bakal mencemarkan imej mereka sendiri sebagai golongan yang dihormati oleh khalayak umum.

Hakikatnya, tugas menyeru kepada kebaikan adalah tanggungjawab setiap yang bernama Muslim seperti yang disebutkan oleh Nabi SAW: “Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat”.

Demikian juga PKPIM turut bersedia memberi ruang kepada mereka untuk terlibat sama dalam menjayakan misi ta’dib generasi muda yang menuntut penglibatan dan komitmen daripada semua pihak.

Tambahan pula keberadaan dalam bulan Ramadhan ini akan meningkatkan perubahan diri ke arah yang lebih baik dan medan yang baik untuk berubah.

Kesimpulannya, PKPIM berharap agar kita sama-sama berdoa supaya penghijrahan para artis tersebut berterusan dan menyuntik semangat hijrah ke dalam kehidupan masyarakat.

Penulis ialah Setiausaha Agung PKPIM.

Hari-hari terakhir memburu lailatul qadr

Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz, 14 Ogs 2012
1) Di dunia ini, semua makhluk adalah daripada tanah. Tanah adalah unsur yang mengumpulkan sifat-sifat nafsu dan keserakahan. Ia terserlah jelas dalam cara hidup haiwan. Kerana itu kita biasa menamakannya nafsu kebinatangan.

2) Manusia juga dicipta daripada tanah. Maka sifat-sifat kebinatangan dikandung tubuhnya. Manusia menjadi jahat kerana nafsunya. Dan manusia bertambah jahat, bahkan sehingga lebih buruk daripada binatang kerana mereka memiliki kurniaan akal yang tiada pada binatang. Dengan akal yang dibiar mengikut kehendak nafsu, manusia bervariasi melakukan kerosakan dan kejahatan sehingga tak tergambar dalam kehidupan haiwan di hutan.

3) Sebelum kurniaan akal, binaan manusia berbeza daripada binatang dan semua kejadian di bumi dengan unsur kedua, iaitu unsur ruh. Ruh bukan dari bumi, bahkan dari langit, hidup bersama para malaikat menyembah tuhan di langit. Malaikat Jibril diberi nama al Ruh al Amin, sebagai satu pengenalan kepada hakikat kehidupan makhluk tuhan di langit. Ruh memiliki sifat-sifat ketinggian dan memburu kemuliaan.

4) Dengan roh, manusia membina dan membaiki diri. Ia mengenal tuhan seasal tanah airnya di langit, sebelum dihantar ke bumi, ke sangkar tanah manusiawi. Ia akan melonjak mencari kemuliaan, bermimpi untuk menyembah tuhan sebagaimana malaikat Allah. Bahkan, dengan akal yang memandu dengan ilmu kurniaan Allah, manusia mampu melonjak dan terbang di medan ubudiyah mengatasi kehebatan para malaikat Allah. Justeru perlumbaan manusia di medan rohani menuju tuhan amat terbuka dan dipenuhi contoh-contoh dan al mathal al a’la yang hebat.

5) Justeru pertembungan tidak dapat dielakkan. Nafsu dan roh saling tarik menarik. Manusia acap tersadung, bahkan rebah di jalan mencari hakikat kehidupan. Ia adalah hikmat penciptaan manusia. Manusia diuji agar memenangi perlawanan agung sepanjang zaman. Perlawanan yang menjadi tunjang ciptaan langit dan bumi oleh Allah tuhan pencipta.

6) Nafsu lebih terkedepan memenangi pertembungan ini. Antara sebabnya, gelanggang adalah bumi dan tanah. Nafsu daripada tanah. Maka ia memiliki sebab-sebab penguasaan yang lebih baik. Ia seperti menjadi tuan rumah sebuah pertarungan. Godaan-godaan dunia begitu mendominasi berbanding godaan akhirat yang sukar dikesan. Maka keghairahan nafsu di dunia ini begitu sukar dibendung kecuali roh memiliki  kekuatan dan bukaan baru yang mampu melonjakkannya dan melepaskannya daripada pengaruh dan kekangan nafsu.

Bagaimana ruh manusia memenangi perlawanan ini?

7) Allah merahmati manusia. Diciptakannya untuk mencapai kemuncak kemuliaan, bukan menghumbankannya ke lembah hina. Bukankah ditunjukkan kehebatan Adam alaihissalam di hadapan para malaikat, lalu disuruh bersujud kepadanya tanda penghormatan kepada makhluknya yang terbaik? Justeru rahmat Allah ke atas manusia hadir sepanjang masa, apatah saat manusia mencari-cari dan kelemasan.

8) Ada malaikat yang sentiasa berdoa demi kebahagiaan manusia, bahkan membantu mereka menempuh kesusahan dengan izin tuhannya. Kemudian ada insan maksum yang dihantar tuhan ke pelusuk mana manusia tinggal. Mereka para nabi  yang sering diperteguhkan dengan rakan-rakan, bahkan paling jitu, dengan kitab-ktab langit yang suci yang tak tersentuh kekotoran dan tangan iblis. Jalan lurus terbentang jelas dan hidayat tuhan memancar terang, manakala pintu taubat ibarat bunga-bunga taman yang menggamit keindahan dan keterujaan.

9) Dia berfirman saat Adam  diturunkan ke bumi; “Maka jika sekiranya datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka barang siapa yang mengikut petunjuk-Ku, tiadalah lagi ketakutan menimpa ke atas mereka dan tiadalah mereka itu bersedih lagi.” – (al Baqarah: 38) Itu janji tuhan. Maka pertarungan menentang iblis, nafsu, kejahatan dan pendukungnya di bumi ini bukanlah keseorangan dan terbiar bagai menanti ketewasan dan penyesalan.

10) Kemuliaan manusia adalah pada pancaran akalnya. Akal bersinar dengan pengaruh ilmu yang diperolehnya. Sebagaimana ilmu bawahan duniawi menyinarkan laluan hidup duniawi dan membina tamadun agung di dunia, begitulah ilmu atas dan akhirat mencerahkan laluan menuju kehidupan akhirat. Nabi adalah bapa ilmu dan hikmat, manakala al-Quran adalah ilmu dan hikmat juga. Justeru al-Quran adalah kurniaan atas dan langit yang paling penting menyuluh manusia memasuki kubur. Begitulah nabi yang membaca dan mensyarah al-Quran dan al-hikmah.

11) Difardhukan ibadah solat lima waktu sebagai pencegah tarikan nafsu melakukan kejahatan. Dengan solat, ingatan kepada Allah dan akhirat kekal di dalam hati. Manusia solat akan berhenti melakukan kejahatan atau jika terlanjur, penyesalan dan ketakutan meliputi diri, lalu beristighfar dan memohon taubat. Begitu seluruh rukun yang lima. Ia mendidik hati dengan kemuliaan dan cinta kepada kerahmatan dan ketinggian.

12) Janganlah lupa ibadah puasa! Terkhusus ia untuk pertarungan menentang dan seterusnya mendidik nafsu agar boleh diurus dengan baik. Nafsu dilemahkan dengan kelaparan bernizam dan bersistem 30 hari berturutan. Ia tempoh terhangat meredakan asakan nafsu dan pengembalian roh ke medan penguasaan terhadap diri setiap mukmin.

13) Al-Quran turun di bulan Ramadan membantu roh dengan suluhan akal yang murni dengan ajaran al-Quran yan penuh hidayat dan hikmat. Justeru, penantian lailatul qadr adalah kesungguhan memuncak bagi hamba-Nya yang beriman.

Selamat memburu malam lailatul qadr yang agung. Semoga Allah merahmati sampai ke syurga-Nya. Aamin.

http://nikabduh.com

Mahasiswa minta Unisel selesai isu asrama

Ekhsan Bukharee Badarul Hisham,
Unisel sebuah universiti yang ditubuhkan di bawah kerajaan negeri Selangor dan merupakan aset dalam menjana arus pendidikan bagi negeri Selangor serta melahirkan mahasiswa yang progresif & profesional, sesuai dengan visi dan misinya. Baru-baru ini kita digemparkan dengan isu mahasiswa/i yang tidak dibenarkan memasuki asrama atas faktor Unisel tidak membayar hutang kepada Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) yang berjumlah RM15 juta.

Kami tidak mahu isu sijil layak menduduki (CF) menjadi modal politik samada daripada BN/PR sendiri. Walaubagaimanapun ianya jelas apabila kontrak yang telah ditandatangani oleh pihak Unisel dengan pihak JNSB pada tahun 2003 mendapati infrastruktur yang telah dibina oleh pihak Jana Niaga gagal mendapat Sijil Layak Menduduki (CF). Hasil pemantauan daripada pihak Unisel mendapati pelbagai masalah dan kerosakan terhadap bangunan kolej kediaman. Hal ini telah menyebabkan Lembaga Pengarah telah membuat keputusan untuk membuat audit terhadap bangunan kolej kediaman tetapi malangnya pihak Jana Niaga tidak memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Unisel.

Di peringkat kami khususnya Mahasiswa Unisel tidak mahu isu ini dipolitikkan atas dasar kepentingan politik terutamanya kepentingan kroni. Diperingkat AKSI sendiri mahu kedua-dua (Unisel & JNSB) belah pihak menyelesaikan isu ini melalui perbincangan kerana kami memandang perjanjian yang telah ditandatangani sewaktu zaman Khir Toyo (Bekas MB Selangor) iaitu Unisel terpaksa membayar kepada pihak JNSB samada asrama tersebut mempunyai penghuni ataupun tidak walaupun sewaktu cuti semester. Ini perkara yang tidak masuk akal yang hanya memberikan keuntungan sebelah pihak dan ternyata menguntungkan syarikat kroni.

Oleh sebab itu diperingkat mahasiswa sendiri kami telah membuat satu group media sosial (facebook) iaitu Sekretariat Hapus Syarikat Kroni, Selamatkan Unisel (HAPUS) bagi menggabungkan mahasiswa, pensyarah, staf & alumni Unisel serta rasa bertanggungjawab kami di atas kepincangan yang berlaku dan akhirnya memberikan kesan kepada mahasiswa sendiri. Kami juga menyambut baik tindakan alternatif daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unisel yang telah mengadakan rundingan dengan pihak Unisel dan kerajaan negeri bagi menempatkan pelajar di Kota Puteri sekiranya Jana Niaga berdegil lagi. Tetapi ianya perlu lebih efisyen dan memudahkan pelajar khususnya.

Kami tidak mahu pihak JNSB memandang enteng isu sebegini kerana ia menjejaskan kebajikan mahasiswa. Kami mahu semua mahasiswa serta warga Unisel fokus kepada perjanjian yang dilihat berat sebelah yang hanya menguntungkan syarikat JNSB sahaja. Kami tahu ianya (perjanian) sukar untuk dibatalkan dan jika dibatal sekalipun Unisel terpaksa memberikan pampasan yang besar nilainya kepada syarikat kroni berkenaan. Tetapi pihak JNSB perlu ada budi bicara yang sewajarnya dan tidak memberikan bebanan ini kepada mahasiswa.

Jika pihak JNSB langsung tidak menghiraukan dan tidak bersimpati dengan kami selaku mahasiswa, kami tidak teragak-agak menggunakan saluran lain dengan mengumpulkan seramai mungkin mahasiswa dalam ertikata lain demonstrasi bagi membantah sikap JNSB yang membiarkan mahasiswa seperti gelandangan. Kami juga mendesak agar pihak Unisel sendiri menyelesaikan masalah ini secara baik dan tidak mahu juga Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lepas tangan begitu sahaja serta bertanggungjawab di atas kapasiti beliau selaku Menteri Besar Selangor dan jangan hanya duduk diam tanpa melakukan sebarang tindakan.

Setiausaha AKSI Mahasiswa Peduli,
Unisel.

Kuning malam Merdeka, peringatan buat kerajaan

Syukri Razab,
Setiap rakyat Malaysia yang mengimpikan sebuah pilihanraya yang bersih dan adil semestinya menyokong penuh penganjuran Janji Bersih yang dijadualkan akan berlangsung pada malam ambang Merdeka ini. Pertemuan aman berbaju kuning ini merupakan satu lagi acara solidariti rakyat Malaysia untuk menyuarakan tuntutan agar pihak kerajaan menunaikan janji membersihkan sistem pilihanraya. Penganjuran Janji Bersih di ambang merdeka ini tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman kepada sambutan kemerdekaan kerana Hari Kemerdekaan adalah milik setiap rakyat Malaysia. Oleh itu terpulang kepada setiap rakyat Malaysia untuk menjiwai sambutan kemerdekaan sama ada ingin berbaju kuning, biru, hijau mahupun merah. Apa yang penting ialah sambutan kemerdekaan mestilah penuh etika dan tidak melanggari batas tatasusila yang sudah sebati dengan budaya rakyat Malaysia.


Melihat kepada lemahnya komitmen kerajaan dalam melaksanakan transformasi terhadap sistem pilihanraya, adalah wajar untuk rakyat meneruskan desakan secara konsisten. Oleh itu pertemuan kuning malam ambang Merdeka ini sangat bersesuaian dengan tema sambutan kemerdekaan peringkat persekutuan iaitu Janji Ditepati. Kerajaan Malaysia tidak seharusnya berpuas hati dengan laungan transformasi dan perlaksanaan beberapa inisiatif seperti TR1MA dan BR1MA, sedangkan masalah pokok yang lebih penting untuk masa depan demokrasi masih tidak diselesaikan.


Pihak kerajaan perlu memberi tumpuan kepada permasalahan yang lebih utama iaitu melaksanakan tuntutan pilihanraya yang bersih dan adil. Pilihanraya merupakan hak hakiki setiap rakyat yang perlu dijaga dan dihormati. Membiarkan pilihanraya berlangsung dengan penuh kecelaruan merupakan pengkhianatan yang serius terhadap hak rakyat.


Pilihanraya yang tidak bersih seolah-olah menutup peluang rakyat untuk memilih kepimpinan Negara secara adil setelah mereka membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan sedia ada. Sekiranya Kerajaan benar-benar menjunjung prinsip rakyat diutamakan, Kerajaan seharusnya jujur dalam menyediakan ruang demokrasi yang adil untuk rakyat memilih pemimpin. Pilihanraya yang bersih dan adil juga akan menjadi satu evaluasi yang telus untuk mengukur tahap penerimaan rakyat terhadap segala usaha yang telah kerajaan lakukan.


Sekiranya Kerajaan Malaysia tidak menyemarakkan usaha menyuburkan demokrasi, maka sudah pasti semangat demokrasi dalam kalangan rakyat juga akan menjadi suram. Alexander Woollcott seorang tokoh sejarah Amarika pernah membuat satu kenyataan yang disiarkan dalam New York Megazine yang mengatakan demokrasi hanya akan berfungsi, sekiranya manusia menggunakannya dengan baik. Oleh itu apabila pilihanraya dibiarkan tercemar, maka tidak hairan sekiranya rakyat memilih jalan raya sebagai alternatif demokrasi yang lain.


Setelah 55 tahun merdeka, adalah tidak wajar untuk kerajaan Malaysia terus membiarkan sistem pilihanraya berjalan dalam keadaan yang cukup meragukan. Lebih parah apabila pilihanraya ini dibiarkan kotor dalam keadaan cabang-cabang demokrasi yang lain juga masih tidak hormati seperti sekatan terhadap kebebasan media, limitasi terhadap hak berhimpun dan masih ada tahanan tanpa bicara yang belum dibebaskan.


Jika kerajaan ingin sambutan 55 tahun kemerdekaan menjadi lebih bermakna, maka Kerajaan perlu bersedia untuk membuat perubahan besar dalam arena demokrasi Malaysia. Mengulangi cerita yang sama pada setiap 31 Ogos hanya menimbulkan rasa bangga pada sejarah, tetapi tidak memberi sebarang makna sekiranya Negara dibiarkan berada dalam keadaan demokrasi lapuk.


Adalah amat dirisaukan sekiranya kerajaan membiarkan Negara terlalu lama berada dalam keadaan demokrasi usang, rakyat mungkin akan hilang percaya pada pilihanraya. Akhirnya rakyat terpaksa memilih jalan-jalan demokrasi yang lain seperti mana yang digunakan oleh rakyat mesir dalam menumbangkan regim diktator Hosni Mubarak. 


Oleh itu keberadaan lapisan rakyat berbaju kuning pada malam ambang merdeka diharap dapat mengingatkan pihak kerajaan agar segera mengambil inisiatif untuk memulihkan keadaan demokrasi Malaysia. Hal ini perlu dimulakan dengan melaksanakan tuntutan BERSIH agar kepercayaan rakyat terhadap pilihanraya dapat dipulihkan.


Sekian


Penulis merupakan Penyelaras Hak Untuk Dibicarakan, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan juga merupakan mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia.

Tiada ulasan: