Ahad, 26 Ogos 2012

KADANG2 APA KITA CAKAP...KITA BUAT MAKAN DIRI....ORANG SEKARANG KATA 'KANTOI'...JANJI2 MANIS SEMUA ORANG BUAT...ORANG TENGAH BERCINTA PUN BUAT...SEMUA PIHAK MENABUR JANJI...RAKYAT TAHU SAPE KAKI AUTA DAN KAKI SONGLAP

Khutbah Raya: Pihak mana sebenarnya berpolitik

M Faqih, 26 Ogs 2012
KOTA BHARU: Usaha pihak tertentu cuba mengaitkan Dewan Ulamak PAS menyediakan khutbah Aidilfitri kononnya mengajak perpecahan, akhirnya mendedahkan pekung sebenar.

Antara lain khutbah disediakan pihak tertentu menyebut, "Kita turut menyatakan kesyukuran kerana dapat berhimpun dalam masjid, dalam rumah Allah, bukan di medan-medan, di padang-padang atau di jalanan untuk menimbulkan keadaan keresahan dan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan".

Bagi banyak pihak ia jelas ditujukan kepada BERSIH 3.0 yang dituduh sebagai pencetus pergaduhan dan perbalahan.

Selain itu khutbah yang dikeluarkan pihak berkenaan juga mengajak orang ramai menyedari bahawa Malaysia bukan Mesir, Malaysia bukan Syria, Malaysia bukan Pakistan, Malaysia bukan Iran.

Gerakan Anak Muda Tolak Umno (AMTU) mempersoalakan apakah tujuan petikan itu dimasukkan dalam khutbah Hari Raya.

“Tidakkah ini bahasa pemimpin Umno yang seringkali berhujah agar dipertahankan kerajaan Malaysia yang sedia ada biar pun terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa,” kata setiausaha AMTU, Muhammad Hanif Wan Ahmad.

Kata beliau pihaknya mendapati teks asal yang dibekalkan pihak berkuasa agama kepada imam pada Aidilfitri lalu jelas mempunyai mesej politik kepartian.

Menurutnya ia sangat jelas dan dapat difahami tanpa sebarang keraguan.

“AMTU melihat pihak yang bertanggungjawab menyedia teks tersebut menjadi alat politik murahan dengan mengambil kesempatan di atas tanggungjawab yang dipikul untuk menyebarkan dakyah politik jahat.

“Jika sebelum ini ada imam dikenakan tindakan kerana memegang jawatan dalam parti politik, maka apakah bezanya tindakan pihak yang bertanggungjawab mengambil sikap untuk berpihak di atas mimbar,” katanya di sini.

Sebelum ini anggota parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dilaporkan mendakwa Dewan Ulamak PAS menyediakan teks khutbah Aidilfitri berunsur politik dan mengajak kepada perpecahan. Begitu juga Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed juga cuba menunding jari kepada PAS.

Baru-baru ini Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Abdullah Ya’kub memberitahu ramai imam di kampung mengubah suai teks khutbah disediakan Maik memandangkan sikap berpihak dipamerkan dalam teks asas khutbah berkenaan.

Manakala teks khutbah disediakan Dewan Ulamak PAS membicarakan isu menentang kezaliman dalam negara adalah jihad yang paling afdal, di mana isu disentuh secara umum.

Hanif berkata, banyak petikan dalam teks khutbah pihak berkuasa agama yang bukan berada di bidang kuasa kerajaan negeri itu mengandungi mesej politik kepartian bertujuan menjayakan agenda politik golongan tertentu.

“Benar Islam dan politik tidak boleh dipisahkan, tetapi bukannya membawa mesej politik kepartian untuk diwajibkan kepada imam membacanya di atas mimbar masjid.

“Melakukan tindakan sebegini ialah satu tindakan tidak bermaruah. Siapakah yang bemain politik sebenarnya?

“AMTU mengingatkan pihak-pihak yang bertanggungjawab menyediakan teks khutbah itu agar tidak melakukan tindakan yang dilihat memperkudakan mimbar khutbah demi politik murahan,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, AMTU yakin tindakan tersebut tidak direstui Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan.
Entri kontroversi: Facebook 'Pemuda Umno Malaysia' minta maaf
Raziatul Hanum A Rajak
26 Ogos 2012
Entri kontroversi: Facebook 'Pemuda Umno Malaysia' minta maaf
Paparan entri permohonan maaf yang dikeluarkan oleh akaun laman Facebook atas nama Pemuda Umno Malaysia.
SHAH ALAM - Laman Facebook Pemuda Umno Malaysia, yang akaunnya didakwa palsu, meminta maaf berhubung poster berbaur hasutan yang dibawa lebih seminggu lalu atas akaun pergerakan itu.

Gerakan itu meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi entri ringkas malam tadi, beberapa jam selepas Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata bahawa pihaknya sudah mengenal pasti individu yang bertanggungjawab atas penyebaran mesej itu.

Malah status Facebook yang menerima 131 komen itu juga menyatakan bahawa 'admin' yang terbabit turut sudah dikeluarkan dari fanpage tersebut.

"Kami meminta maaf secara terbuka kepada semua rakyat atas kesilapan mengeluarkan gambar (poster) yang tidak patut pada 17/18 Ogos (lalu). Admin itu sudah dikeluarkan dari fanpage," sebutan entri itu.

Namun begitu, timbul persoalan di kalangan pengikut yang mengikuti fanpage itu.

Antaranya mempersoalkan siapa dalang yang memuat naik poster berkenaan serta perkembangan siasatan polis.

Pengikut, Nur Miba mempersoalkan laporan polis yang dibuat Ketua gerakan itu, Khairy Jamaluddin selain ingin tahu siapa admin yang dikeluarkan dari fanpage Pemuda Umno tersebut.

"Ye ye je KJ cakap akaun palsu. Rupanya akaun betul la nih... siap buat report polis bagai akaun palsu. Senang-senang je nak bodoh-bodohkan kami ye. Siapa admin yg kena remove tu? Cepat dedahkan siapa... memburukkan imej Pemuda Umno. Kami mahu admin dedahkan siapa dalang," katanya.

Menurut seorang lagi pengikut yang menggunakan nama  Ezad Hafidz: "Mula-mula kantoi, tak mengaku ini page Umno. Pastu kantoi lagi, minta maaf dan buang admin pulak. soalan aku, siapa admin yang dibuang tu? Ye ke admin tu dibuang?"

Permintaan maaf yang dibuat kira-kira jam 10 malam itu turut menerima reaksi positif apabila ada peminat yang menerima permintaan maaf tersebut.

Pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Muammar Ghadafi menulis:"Aku secara individunya mampu menerimalah dan tindakan ini wajar dipuji walaupun terlambat dan bila jadi isu besar baru bertindak."
Mohd Afzan pula berkata: "Saya sebagai rakyat Malaysia menerima permintaan maaf anda."

Semalam Khairy memberitahu pemberita bahawa beliau akan menyerahkan kepada polis nama-nama orang yang disyaki mengendali akaun palsu gerakan itu.

Beberapa hari lalu pula Khairy menyahut cabaran Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan berkata, Peguam Negara boleh mendakwa Pemuda Umno dan pihaknya bersedia untuk membuktikan siapa yang betul dalam isu laman sosial Facebook yang kontroversi.

Isnin lalu, Setiausaha Kerja Pemuda Barisan Nasional (BN), Ibdillah Ishak membuat laporan polis berhubung satu akaun Facebook yang memuat naik poster berbaur fitnah di Balai Polis Tun H S Lee.

Laman itu memaparkan wajah Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di bahagian utama dan disusuli dengan siri laporan berkaitan dengan aktiviti pemimpin-pemimpin Umno khususnya dari Selangor.

Poster yang kontroversi itu membawa mesej bahawa “Jika anda setuju untuk jadikan KRISTIAN sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia, teruskan sokongan anda kepada Pakatan Rakyat. ‘God bless you my son’ (Tuhan berkatimu, anakKu).”
2 'bouncer' mati ditembak di hadapan kelab hiburan

26 Ogos 2012
KUALA LUMPUR - Dua 'bouncer' atau pengawal di sebuah kelab hiburan di Jalan Dooraisamy di sini mati setelah ditembak di hadapan premis berkenaan awal pagi ini, dipercayai dilepaskan oleh seorang daripada sekumpulan lelaki yang dikatakan meradang kerana dihalang memasuki kelab hiburan itu.
Dalam insiden kira-kira 4.30 pagi itu, dua 'bouncer' berumur dalam lingkungan awal 20-an dikatakan menghalang sekumpulan enam lelaki tempatan daripada memasuki kelab hiburan itu kerana premis berkenaan telah tamat waktu operasi.

Kumpulan itu bagaimanapun berterusan mendesak 'bouncer' berkenaan agar membenarkan mereka memasuki kelab tersebut namun tindakan itu telah mencetuskan pergaduhan sehingga berlaku kejadian tumbuk-menumbuk antara mereka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Bernama hari ini berkata seorang daripada lelaki itu naik berang apabila melihat dua rakannya dipukul teruk, lalu mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan ke arah kedua-dua 'bouncer' berkenaan.

Zainuddin berkata tembakan itu mengenai bahagian kepala Mohd Akmal Gemain dan bahagian rusuk kiri Mohd Nor Firdaus Rashid, kedua-duanya berumur 21 tahun, yang menjadi punca kematian mereka.
Seorang mangsa mati di tempat kejadian manakala seorang lagi mati di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Mayat kedua-dua mangsa dibedah siasat di HKL.
Zainuddin berkata serpihan tembakan itu turut mencederakan dua orang awam yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian.

Kedua-dua orang awam yang mengalami kecederaan di tangan dan jari dihantar ke HKL untuk rawatan, katanya.
Zainuddin berkata polis sedang memburu anggota kumpulan terbabit yang melarikan diri selepas insiden itu termasuk suspek yang disyaki melepaskan tembakan menggunakan pistol semi-auto jenis Revolver untuk membantu siasatan.

"Motif sebenar pergaduhan dan berapa das tembakan yang dilepaskan masih dalam siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.- Bernama
Hudud: Fathul Bari pelawa Nik Aziz bincang
Wartawan Sinar Harian
26 Ogos 2012
Fathul Bari Mat Jahaya
Fathul Bari Mat Jahaya
SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya mengajak Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berbincang mengenai masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan hudud di negara ini.

Beliau berkata, perbincangan  perlu diadakan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam melaksanakan hukum itu kerana rakyat negara ini terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum.

Katanya, pelaksanaan hudud juga perlu melakukan perbahasan, perbincangan, yang perlu dihadiri oleh golongan profesional, ahli agama, diketuai Raja-raja Melayu, penguat kuasa, pentadbiran, badan kehakiman, wakil-wakil politik dan sebagainya.

“Kalau mahu ia dilaksanakan, kita duduk berbincang bersama-sama. Saya mempelawa Nik Aziz dan Pas bincang bersama-sama mengenai masalah pelaksanaan hukum tersebut.

“Banyak masalah dihadapi untuk melaksanakan hukum itu, antaranya ialah Pas hanya meletakkan masalah pelaksanaan hukum hudud di negara ini kepada Umno, Umno sendiri melihat ada halangan untuk melaksanakannya kerana masyarakat majmuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Nik Aziz agar Umno membentangkan hudud versi parti itu yang dikatakan adil.

Fathul Bari berkata, banyak pemimpin pembangkang, malah beberapa pemimpin Pas juga menyatakan tidak sesuai hukum hudud dilaksanakan sekarang kerana banyak halangan dan keadaan belum sesuai.

Fathul Bari berkata, hudud tidak boleh mempunyai versi kerana untuk laksanakan hukum hudud perlu berdasarkan hukum Islam yang sebenar.

“Saya menyangkal kenyataan beliau untuk membentangkan hudud versi Umno, saya tidak setuju. Sekiranya hukum hudud mempunyai versi Umno atau Pas bermakna hukum itu dilaksanakan berdasarkan parti politik,” katanya.
Umno: Hudud hanya alat politik Pas
Wartawan Sinar Harian
26 Ogos 2012
Ahmad Maslan
Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan
PONTIAN – Hudud hanya dijadikan alat politik oleh Pas untuk meraih sokongan pengundi bukan Islam setiap kali menjelang pilihan raya umum.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, sudah jelas, bermula dari tahun 1989 sehingga 2008, sudah lima kali PRU dijalankan dan selepas Pas menang di Kelantan, hudud tidak pula dijalankan seperti mana yang digembar-gemburkan.

“Janji hanya tinggal janji di mana mereka tidak melaksanakannya dan membiarkan isu hudud ini terus sepi sehinggalah menjelang pilihan raya umum yang seterusnya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Ahli Parlimen Pontian di Dewan Jubli Intan, Pontian, di sini, semalam.
Menurut Ahmad, dalam hal ini, Pas hanya bersendirian kerana Pakatan Rakyat (PR) gagal untuk menyatakan persetujuan bersama dalam hal penting seperti pelaksanaan hukum hudud.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas isu pelaksanaan hukum hudud serta pendirian rakan-rakan di dalam PR seperti PKR dan DAP yang dilihat tidak menyokong perjuangan tersebut.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, apa yang lebih penting kini, ketiadaan kesepakatan di antara PKR dan DAP yang jelas menunjukkan penolakan hudud.

Oleh yang demikian, beliau meminta supaya rakyat di negeri yang ditadbir oleh PR tidak mudah terperdaya dengan janji kosong bukan sahaja oleh Pas, tetapi juga melibatkan PKR dan DAP.
Exco nafi MB Kedah sakit teruk, cuma rehat
ROSLINDA HASHIM
26 Ogos 2012
Azizan nafi sakit teruk
Amiruddin (kanan) dan Faekah (tiga, kanan) melayan tetamu yang hadir pada Rumah Terbuka MB di Seri Mentaloon.
ALOR SETAR - Ketidakhadiran Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada majlis-majlis rasmi sejak penghujung Ramadan, termasuk majlis raya bersama anak muda Kedah, Rabu lalu menimbulkan pelbagai spekulasi, konon beliau mengalami masalah kesihatan serius.

Spekulasi bertambah kencang apabila semalam, kelibat Azizan tidak kelihatan pada majlis Rumah Terbuka Menteri Besar, di Seri Mentaloon, yang turut dihadiri Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Hanya isteri Menteri Besar, Datin Seri Faekah Sheikh Hamzah bersama ahli keluarga dan barisan Exco Kerajaan Negeri menyambut ketibaan tetamu yang hadir. Manakala Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah hadir mewakili Menteri Besar pada majlis itu.

Mengulas perkara itu, Amiruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Rumah Terbuka Menteri Besar, berkata, Azizan tidak mengalami masalah kesihatan serius seperti heboh diperkatakan, sebaliknya hanya dinasihat oleh doktor supaya berehat ekoran demam dan alahan.

“Tidak benar Azizan dikatakan demam atau sakit sejak dua minggu lalu. Keadaan beliau stabil dan tahap kesihatan memuaskan, cuma tidak pulih sepenuhnya. Selepas demam sekitar dua minggu lalu dan dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC), Azizan kembali sihat dan bertemu rakyat pada hari raya pertama,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, Azizan mengalami alahan ubat selepas itu menyebabkan beliau tidak dapat hadir pada majlis ‘Jom Anak Muda, Raya Dengan MB’, Rabu lalu, di Seri Mentaloon.

“Azizan hadir pada Rumah Terbuka Pusat Khidmat Dun Sungai Limau, Khamis lalu bertemu penduduk setempat dan beliau bercadang bertemu media, semalam, namun masih tidak sihat sepenuhnya,” katanya.

Amiruddin berkata, buat masa ini, Azizan berehat di rumahnya dan dinasihatkan doktor supaya tidak menyertai aktiviti luar.

“Azizan dijangka berehat sehingga Selasa depan, dan jika sihat akan mempengerusikan mesyuarat Exco minggu depan. Rakyat tidak perlu bimbang kerana keadaan Azizan tidak serius,” katanya.

Menurutnya, sepanjang Azizan bercuti sakit, urusan pentadbiran negeri berjalan lancar .
Remaja 13 tahun hilang dirayu pulang
Wartawan Sinar Harian
26 Ogos 2012
NURUL ATIKAH
NURUL ATIKAH
TAIPING - Seorang bapa merayu anak berusia 13 tahun pulang ke pangkuan keluarga selepas dipercayai hilang 22 Ogos lalu sekitar jam 3.30 petang.

Bapa, Ahmad Safari @ Yatim Mustafa berkata, anaknya, Nurul Atikah Ahmad Safari @ Yatim Mustafa, 13, dilihat asyik berbual bersama rakannya menerusi telefon bimbit ketika berada di dalam kereta dalam perjalanan pulang dari kampung, di Kuala Selangor ke Taiping.

Menurutnya, anaknya yang merupakan pelajar tingkatan satu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)  Simpang, Taiping tidak menunjuk reaksi yang mencurigakan sewaktu dalam perjalanan pulang beraya pada hari raya ke tiga lalu.

"Dari maklumat adik Nurul Atikah iaitu Mohd Fikri, petang sebelum kehilangannya, dia melihat keadaan kakaknya agak gelisah ketika berada di dalam rumah.

“Sebaik saja Mohd Fikri keluar dari bilik air dia dapati kakaknya sudah tidak ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata Ahmad Safari, pada mulanya dia hanya menduga anaknya itu pergi berjalan ke rumah sepupunya yang tidak jauh dari rumah mereka.

Jelasnya, setelah dua hingga tiga jam tidak pulang-pulang baru dia mula mencari Nurul Atikah di rumah sepupu selain turut bertanyakan hal tersebut kepada jiran tetangga.

“Namun sehingga kini anaknya menghilang tanpa sebarang khabar berita.

"Lebih merisaukan, anak saya tidak biasa keluar berseorangan dan jika dia hendak keluar sekalipun pasti ditemani emaknya atau emak saudaranya," katanya.

Ahmad Safari berkata, dari segi fizikal ketinggian anaknya itu lebih kurang 1.57 meter, berbadan sedikit gempal dan berkulit sawa matang.

Dia berharap sesiapa sahaja yang melihat atau mengetahui di mana Nurul Atikah berada kini segera menghubunginya di talian 019-5267736.

“Laporan Polis juga sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Taiping bagi menyiasat kedudukan Nurul Atikah yang dipercayai masih berada tidak jauh dari Bandar Taiping.

“Kepada Nurul Atikah jika terbaca berita mengenai kehilangan ini pulanglah Ayah dan emak rindukan kamu,” katanya.
Umno tubuh Kelab Penyokong di IPTA

26 Ogos 2012
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
REMBAU - Umno menerusi sayap Pemudanya akan menubuhkan kelab penyokong parti itu di setiap kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini bagi meraih sokongan golongan mahasiswa terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN).
  
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata ia adalah langkah awal yang diambil Pemuda Umno selari dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2012 baru-baru ini, yang kini membenarkan mahasiswa untuk telibat dan memegang jawatan dalam mana-mana persatuan dan pertubuhan termasuk parti politik.
  
"Jadi daripada kita menunggu mereka untuk masuk menyertai parti kita dan BN, ada baiknya kita memainkan peranan proaktif untuk turun ke kampus dan menubuhkan kelab penyokong Umno di setiap kampus," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbukanya sempena Aidilfitri yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Gadong, di sini hari ini.
  
Katanya, Pemuda Umno akan masuk ke setiap kampus IPTA dalam masa terdekat untuk mengadakan sesi dialog bersama mahasiswa dan merangka penubuhan kelab itu.
  
Katanya, selain berperanan memberi sokongan terhadap Umno dan BN, penubuhan kelab itu juga adalah sebagai landasan untuk mahasiswa mengetengahkan pandangan dan idea mereka kepada kerajaan.

"Kita dapat banyak pertanyaan dari mahasiswa yang mana mereka mahu ada platform khas untuk mereka dan untuk menyahut permintaan tersebut, kita proaktif sebab kita tidak mahu tunggu mereka untuk menjadi ahli kita, tapi kita ke hadapan berjumpa mereka," katanya.
  
Katanya, walaupun sokongan mahasiswa dilihat lebih cenderung kepada kerajaan, namun usaha sebegini perlu dilakukan bagi mengekalkan perasaan itu di kalangan mahasiswa dan memastikan mereka terus menyokong BN.
  
Dalam pada itu, Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata, PAS perlu mengeluarkan kenyataan berhubung pendirian rakannya DAP yang menentang penubuhan undang-undang hudud jika Pakatan Rakyat mentadbir negara ini.
  
Katanya, sikap PAS yang masih berdolak-dalih terhadap pendirian DAP itu hanya memburukkan keadaan dan tidak membantu menyelesaikan isu tersebut.
  
"Mereka perlu menjawab perkara itu, di hadapan DAP dan di hadapan rakyat kerana rakyat perlu tahu pendirian sebenar PAS," katanya.
  
Lebih 5,000 tetamu hadir ke majlis rumah terbuka itu termasuk Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan. - Bernama
Najib: Jangan termakan janji manis Pakatan

26 Ogos 2012
Najib: Jangan termakan janji manis Pakatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak (tengah) beramah-mesra dengan pengunjung Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Parlimen Pekan, hari ini.
PEKAN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta rakyat supaya tidak membuat 'perubahan' yang belum pasti menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kepada mereka.

Bukan semua perubahan membawa kepada sesuatu yang baik, kata Najib sambil mengingatkan supaya rakyat tidak menukarkan sesuatu yang mereka boleh bergantung harapan daripada memberi kepada pihak lain yang ternyata belum terbukti rekod perkhidmatannya.

"Kita mestilah berpegang kepada sesuatu yang kita tahu, Insya-Allah kita (kerajaan BN) akan membawa kepada keadaan yang lebih baik pada masa akan datang," kata Najib ketika berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dihoskan beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Tasik Sultan Abu Bakar dekat sini, hari ini.

Najib mengingatkan rakyat supaya jangan mudah termakan janji manis pembangkang yang ternyata gagal mentadbir empat buah negeri yang dimenangi selepas pilihan raya umum 2008.

Katanya tidak semua perubahan yang dijanjikan akan memberi kebaikan kepada rakyat namun kerajaan pimpinan BN sejak era Tunku Abdul Rahman telah membawa pelbagai perubahan yang kini dinikmati oleh rakyat.

"Kita tak boleh tukar kerajaan sebab (semata-mata) sudah sampai masa kita (perlu) buat perubahan, tapi (sebaliknya) kita (BN) bukan nak bawa perubahan tapi nak sesuatu yang lebih baik.

"Tidak semestinya (semua) perubahan itu membawa kepada kebaikan ada juga membawa kepada sesuatu yang tidak dijangka malah lebih buruk dari apa yang kita kecapi hari ini," katanya.

Kerajaan BN sekarang meneruskan kesinambungan perjuangan pemimpin-pemimpin sebelum ini dalam usaha menambah nilai dan membina perubahan yang lebih baik untuk mencapai Wawasan 2020.

Beliau berkata negara maju pun jika tidak ditadbir dengan baik dan gagal membina kekayaan baru ia juga akan runtuh dan menyebabkan ekonomi negara mereka gawat seperti yang berlaku di beberapa negara Eropah yang mengalami masalah pengangguran dan kemelesetan ekonomi.

"Hakikatnya kita tak boleh terima bantuan demi bantuan tanpa memikirkan macam mana nak mencipta dan menjana kekayaan...negara yang bagi bantuan tanpa jana pndapatan baru, ekonomi negara akan menghadapi masalah," katanya.

Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah adalah di antara lebih 70,000 tetamu menghadiri majlis rumah terbuka Perdana Menteri itu.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan barisan kepimpinan negeri. - Bernama
Hudud: Umno terus amal politik melulu, kata Anwar
Wartawan Sinar Harian
26 Ogos 2012
SHAH ALAM - Pendirian Umno dalam isu berkaitan dengan hukum hudud sejak kebelakangan ini membuktikan parti teras Barisan Nasional (BN) itu terus mengamalkan gejala politik melulu, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu menurut beliau, Umno juga kelihatan mengamalkan politik terdesak dan ugutan untuk "membangkitkan persengketaan agama dan etnik" ketika negara bakal menyaksikan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
"Kita tak seharusnya terpengaruh dengan keterdesakan politik serta ugutan oleh Umno-BN.
"Keyakinan dan kepercayaan sewajarnya diletakkan terhadap kematangan dan kebijaksaan rakyat untuk menilai dan membuat pilihan mereka sendiri," kata beliau dalam satu kenyataan lewat malam ini menjawab siri polemik terbaru - yang berlarutan hampir dua dekad selepas Kerajaan Pas Kelantan meluluskan undang-undang berkaitan dengan hukum hudud.
Semalam, Pas mengadakan mesyuarat Biro Politik, yang antara lain membincangkan polemik hukum hudud, yang antara lain siri serangan menjadikan parti itu dan DAP sebagai sasaran.
Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) ini menambah, percubaan terkini Umno menyemai sentimen perkauman dan kesangsian agama seperti yang dipaparkan menerusi permainan isu hudud dan Negara Islam dalam media-media kawalan Umno sekali lagi membuktikan gejala politik melulu yang membudaya di kalangan mereka.
"Percubaan keji bersifat ugutan dan hasutan bertujuan membangkitkan persengketaan agama dan etnik merupakan langkah terdesak untuk mengalih perhatian rakyat dari isu-isu berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya.
Jelas beliau, tidak kira bagaimana sesuatu isu itu diputar belit oleh media kawalan Umno, "kami dalam Pakatan Rakyat kekal komited terhadap prinsip asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan; kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan manakala pada masa sama menjamin kebebasan agama-agama lain untuk diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni; Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan kebebasan untuk menggunakan bahasa ibunda pelbagai kaum; kedaulatan raja-raja Melayu berserta kedudukan hak istimewa kaum Melayu dan Bumiputera dan hak-hak kaum lain seperti yang dilindungi oleh Perlembagaan."
Katanya, dDasar bersama PR dan Buku Jingga tetap kekal sebagai pernyataan rasmi piahknya tentang kebijakan dan prinsip tadbir urus mereka.
"Marilah kita mengekalkan tumpuan terhadap agenda perubahan.
"Kita seharusnya perlu terus komited dalam meningkatkan daya saing negara, nilai pendapatan rakyat, mutu pendidikan dan kesihatan serta peningkatan kos hidup yang semakin membebankan rakyat," kata beliau.
Berkaitan persoalan syariah, hudud dan Negara Islam, kata Anwar, pihaknya mengiktiraf serta menghormati perbezaan pandangan dan kedudukan parti-parti komponen dalam PR.
"Ini mencerminkan penerimaan kami terhadap amalan konsensus politik.
"Sebagai seorang Muslim, saya tetap meyakini al-Quran dan Sunah; dua asas yang membangunkan prinsip-prinsip syariah," kata beliau sambil menambah, "saya percaya bahawa Maqasid al-Shariah adalah prinsip penting dalam tadbir urus dan tidak bercanggah dengan amalan demokrasi."

Anwar Ibrahim
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Gelora saham FGVH

http://gigitankerengga.blogspot.com, 26 Ogs 2012
Mazlan Aliman
BILA saya dedahkan beberapa hari lalu mengenai pinjaman saham FGVH melalui FB, saya menerima terlalu banyak respon mengenainya. Suka saya jelaskan, mereka yg terselamat adalah peneroka yg tidak menandatangani apa2 perjanjian pinjaman dengan bank samada perjanjian yang pertama dan blue form.

Sehingga hari ini masih tidak diketahui status pinjaman pertama manakala notis bayaran balik blue form berjumlah 800 unit atau RM3640 telah mula dihantar kpd peneroka atau pentadbir/waris. Saya sarankan agar semakan dibuat kerana interest atas pinjaman telah mula dikira setiap hari selagi pinjaman tidak dibayar.

Adalah malang rata2 peneroka atau waris yg menemui saya menyangka 800 unit saham FGVH yg mereka dapat adalah percuma. Mereka keliru kerana istilah yg digembar gemburkan adalah durian runtuh. Mereka menyumpah bila terima penyata pinjaman dari bank terbabit.

Sebab itu dari awal lagi saya telah mengingatkan para peneroka dan waris agar berfikir banyak kali sebelum sign apa2 borang. Jangan gopoh dan pertimbang risiko yang akan timbul. Ada seorang menantu peneroka mengadu pada saya, ipar duai dia bertengkar siapa yg nak ambil tgjawab bila bapa mereka meninggal dunia bulan puasa baru2 ini. Ada waris yang dinamakan sebagai peminjam pening kepala bila surat bank sampai; walhal yang beria2 dulu suruh sign adalah adik beradik.

Saya belum dedah lagi ada peneroka kena halau dari rumah, ada anak peneroka mati dibunuh keluarga sendiri, curi kad pengenalan ibu dan bg tau pengurus Felda yg ibunya dah meninggal dunia pasal nak ambil duit RM15k dan berbagai aduan yg dimaklumkan pada saya.

Dulu bila ANAK bg pandangan, orang fitnah macam2. Sampai ada yg sebut, kalau tergadai tanah pun bukan kita sorang. Main saham ni untung puluh ribu bodoh siapa yang tak ikut. Saya kata interest ni 5%, dikira setiap hari...dosa besar. Ada peneroka mengolok cakap saya, ala masuk neraka ramai2....

Maaf, saya tak ada niat nak pulang paku buah keras atau nak padankan muka peneroka...
Bahkan ANAK akan tubuh suatu taskforce utk tangani isu yg berbangkit dari saham FGVH ini. Insyaallah, taskforce yg akan dilancarkan pada 7 sept ini akan membantu peneroka dan waris yg teraniaya dan tak tau nak mengadu pada siapa.

Apapun keadaannya, ANAK tetap bersama warga Felda!

"Ya, bukan laman FB kami" kata Khairy Jamaluddin.. tapi akhirnya...KANTOI!

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 26 Ogs 2012

Itu kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin apabila laman Facebook Pemuda UMNO Malaysia menyiarkan poster yang membawa mesej menghasut di atas.

Kata Khairy lagi menerusi mesej seterusnya, Khairy berkata, pihaknya sudah ada maklumat susulan berkenaan dengan pengurusan dan pentadbiran laman yang membawa mesej yang "memudaratkan."


Kemudiannya bagi menyakinkan rakyat Malaysia bahawa bukan Pemuda UMNO yang menyiarkan poster itu Khairy Jamaluddin menegaskan, pihaknya akan membuktikan laman sosial Facebook kontroversi, yang didakwa membawa mesej berbaur hasutan, bukan dikendalikan oleh pihaknya.


Untuk lebih menyakinkan lagi rakyat Malaysia.. Pemuda Umno Pusat mahu pihak polis menyiasat kewujudan akaun laman sosial Facebook kontroversi tersebut.

Sehubungan itu satu laporan Polis telah dibuat oleh Setiausaha Kerja Pemuda Barisan Nasional (BN), Ibdillah Ishak di Balai Polis Tun H S Lee.

Ibdillah memberitahu, insiden seperti itu boleh memecahbelahkan masyarakat dan menimbulkan fitnah serta memberi imej yang salah.

"Kami jelas-jelas menolak kenyataan siapa-siapa berhubung isu agama tidak kira daripada pihak kita mahupun pembangkang," tegas beliau.

Sehubungan itu katanya, Pemuda Umno berharap siasatan segera dapat dijalankan pihak polis bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab mengendalikan akaun laman sosial terbabit dan memuat turun poster berbaur hasutan tersebut.

"Pihak yang memuat turun poster itu harus bertanggungjawab dan dikenakan tindakan," katanya.


Oleh kerana Pemuda UMNO telah buat laporan Polis... Polis telah memulakan siasatan berkenaan dengan kewujudan akaun laman sosial Facebook tersebut.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.


Bagaimanapun belum sempat pihak Polis mengumumkan hasil siasatan mereka.. Khairy Jamaluddin telah mendahului mereka dengan mengumumkan hasil siasatannya sendiri..


Dan pada sebelah malamnya setelah Sinar Harian melaporkan hasil siasatan Khairy Jamaluddin itu.. tiba-tiba terpapar kenyatan minta maaf kerana mengeluarkan gambar yang tidak sepatutnya di laman Facebook Pemuda UMNO Malaysia..

Dan Admin itu sudah dikeluarkan dari fanpage..


Jadi.. Admin yang dikeluarkan dari Fanpage Pemuda UMNO Malaysia itu.. sudah tentulah seorang Pemuda UMNO.. takkan Pemuda PAS atau Pemuda PKR kot??

Itulah budaya UMNO.. buat kerja tanpa menggunakan otak.. berani baling batu tapi takut nak tunjuk tangan..

Apabila menyedari tindakan mereka bakal mengundang padah buat UMNO dan Barisan Nasional.. dengan segera mereka menafikan itu adalah kerja bodoh mereka.

Padahal selama ini laman Facebook Pemuda UMNO Malaysia itu menyiarkan berbagai aktiviti Pemuda UMNO..

Apa hasil siasatan Polis? dihentikan begitu saja ke sebab yang buat kerja menghasut itu adalah Pemuda UMNO??

Apa khabar pencacai UMNO yang kata ini satu black op pihak pembangkang untuk memalukan parti UMNO?


Patutlah CyberTrooper UMNO bangang-bangang belaka.. tenaga pengajar utamanya pun bangang rupanya..

Tiada ulasan: