Rabu, 29 Ogos 2012

KENAPA KITA LAMBATKAN BAB AKHIRAT@AGAMA ITULAH BEKALAN AKHIRAT...UNTUK BAHASA INGGERIS MACAM2 USAHA DAN TINDAKAN...HINGGA KE SASTERANYA TAPI AGAMA DIABAIKAN..SYAITAN LICIK MENIPU KITA

Syaitan: Dr Haron Din sanggah Dr Mahathir

Khaulah Azwar, 28 Ogs 2012
SHAH ALAM: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din  menyifatkan Tun Dr Mahathir membuat silap percaturan apabila berkata 'berkawan dengan syaitan yang dikenali lebih baik dari malaikat yang tidak dikenali'.

Bagi beliau, kenyataan dibuat Dr Mahathir itu ternyata memakan diri sendiri dan Umno-BN kerana umum terutamanya umat Islam mengetahui syaitan itu adalah makhluk Allah yang paling kejam dan derhaka.

Sebagai bekas pemimpin tertinggi negara dan pernah mengetuai Umno-BN untuk tempoh yang lama, tambahnya, adalah amat tidak wajar Dr Mahathir membuat kenyataan sedemikian rupa dengan melabelkan sesuatu pihak atau pertubuhan dengan nama seburuk itu.

“Di dalam Al Quran juga tidak terdapat ayat yang mengatakan malaikat sama ada dikenali atau tidak dikenali sebagai makhluk Allah yang lebih buruk atau derhaka kepada perintah Allah.

"Malaikat dijadikan Allah sebagai makhluk yang patuh dan tidak derhaka akan perintah-Nya. Mereka akan kekal begitu sejak dari awal hingga ke akhirnya.

“Ia berlawanan dengan sifat syaitan kerana mereka memang diakui sebagai makhluk yang jahat dan derhaka kepada perintah Allah,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan dibuat bekas Perdana Menteri itu yang ditulis dalam blognya www.chedet.cc pada 22 Ogos lalu yang berharap rakyat tidak memberi mandat kepada Pakatan Rakyat (Pakatan) dalam pilihan raya akan datang

Beliau berkata demikian ketika dihubungi  wartawan  hari ini bagi menjelaskan kenyataan malaikat yang tidak dikenali itu lebih buruk berbanding syaitan yang dikenali.

"Tiada istilah atau ayat di dalam Al Quran yang menjelaskan  begitu", kata nya.

Dalam tulisannya, Dr Mahathir menulis “Better the devil you know than the angel you don’t” yang membawa maksud “Lebih baik syaitan yang anda kenali daripada malaikat yang anda tidak kenali”.

Kenapa KPM berdolak-dalik penempatan Guru KPLI j-QAF 2011

Bapa Perihatin, Segamat, Johor,
Saya merupakan bapa kepada salah seorang pelajar KPLI j-QAF ambilan 2011 ingin merujuk kenyataan Dato’ Mohd Puad Zarkashi di akhbar Utusan Malaysia pada  4 ogos 2012, "Oleh itu, kita minta supaya JPA mempercepatkan kelulusan perjawatan bagi guru j-QAF yang sudah dimohon Kementerian Pelajaran bagi membolehkan kekurangan diisi segera”. Saya berasa hairan kerana menurut pegawai JPA kelulusan telah di luluskan sejak awal.

Ini adalah emel yang saya dapat dari pegawai  JPA, “Terima kasih di atas persoalan yang dibangkitkan. Untuk makluman tuan, perjawatan yang disediakan adalah berdasarkan keperluan yang dikemukakan oleh pihak KPM pada awal tahun 2012. JPA telah pun meluluskan perjawatan tersebut dengan mengambilkira permohonan dan kedudukan kekosongan perjawatan KPM termasuk pelatih yang sedang mengikuti latihan perguruan program j-QAF dan akan tamat latihan sehingga pada tahun 2012. Sehubungan itu, tuan dinasihatkan untuk berhubung dengan Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, KPM kerana isu penempatan dan pelantikan adalah di bawah bidang kuasa KPM”.

Saya juga ingin merujuk kenyataan jurucakap KPM di Berita Harian pada 22 0gos 2012 menyatakan bahawa  pihak SPP sedang mengemaskini, akan tetapi apabila saya menelefon, pihak SPP mengatakan bahawa mereka sedang menunggu jadual dan senarai nama dari bahagian sumber manusia KPM.

Saya ingin bertanya adakah kelulusan perjawatan yang telah diluluskan oleh pihak JPA diberikan kepada pemegang ISMP IPTA yang penempatannya pada Mei dan Jun 2012. Saya berharap agar KPM tidak berdolak-dalik dalam hal ini dan membuat kenyataan yang tidak mengelirukan mana-mana pihak. Diharapakn juga agar pihak KPM menetapkan tarikhnya sama ada pada Januari 2013 atau oktober 2012. Janji ditepati!

Kami ajak mahasiswa turun Janji Demokrasi

Harakahdaily, 29 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) menggesa dan mengajak anak muda khususnya mahasiswa untuk turun bersama dengan sasterawan rakyat Datuk A. Samad Said pada program Janji Demokrasi, 30 Ogos ini di Dataran Merdeka.


Timbalan Presiden Kami, Khalid Mohd Ismath berkata, Kami merupakan salah sebuah anggota jawatankuasa dari pihak mahasiswa dalam gabungan Janji ingin mengajak mahasiswa dalam memainkan peranan bagi menunjukkan kepada kerajaan peri penting tuntutan rakyat dari golongan muda.

“Kami telah mula mengedarkan handbill mempromosikan Janji Demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, kata beliau Kami berharap pihak yang berkuasa tidak mengambil langkah kurang bijak pada malam tersebut memandangkan malam itu akan dihadiri bukan sahaja golongan biasa, tetapi golongan terpelajar seperti mahasiswa dan pensyarah.

Langkah Bank Negara dipuji, tetapi...

Ahmad Sauki Idris,
Baru-baru ini, saya menerima surat daripada bank yang berkaitan dengan kad kredit yang saya miliki. Dalam surat tersebut meminta semua pemilik kad yang belum mengemaskini maklumat gaji hendaklah berbuat demikian dengan bank masing-masing.

Hal kini kerana, pihak bank telah menerima arahan atau garis panduan baru daripada Bank Negara. Antara arahan tersebut ialah had kredit bagi setiap pemegang kad ialah dua kali gaji dan seseorang itu hanya boleh memiliki dua kad kredit sahaja.

Peraturan baru ini wajar dipuji kerana telah ramai rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis dan disenaraihitamkan kerana gagal mejelaskan hutang kad kredit.

Namun, pada masa yang sama, kerajaan melalui Bank Negara perlu juga memikirkan kaedah untuk mengatasi jumlah rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis dan disenaraihitam kerana sebab-sebab lain seperti penjamin kepada peminjam bank, gagal membayar ansuran kereta, atau tidak membayar pinjaman perumahan yang terbengkalai.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh kerajaan tidak lama dahulu, selain masalah kredit kad, tiga masalah di atas juga agak serius. Apatah lagi bagi masalah penjamin kepada peminjam dan kes rumah terbengkalai.

Sehingga kini tiada apa-apa langkah yang serius diambil oleh pihak kerajaan dalam membantu rakyat yang teraniaya akibat dua kes ini. Mungkin masalah ini tidak terkena “batang hidung”kerajaan, maka mereka buat endah tak endah sahaja. Atau, mereka memang tidak prihatin dengan masalah rakyat. Yang mereka perlukan daripada rakyat hanyalah undi, yang lain-lain pandai-pandailah rakyat uruskan sendiri dengan bank dan peguam.

Bagi masalah gagal membayar ansuran kereta pula, kita sedia maklum bahawa harga kenderaan di Malaysia amat mahal jika dinisbahkan dengan gaji, ditambah pula bunga bank yang tinggi. Hasrat Pakatan Rakyat menurunkan harga kenderaan amat dialu-alukan demi mengurangkan senarai rakyat Malaysia yang disenaraihitam.

Saya berpendapat kesemua masalah ini tidak dapat diselesaikan selagi kerajaan yang ada pada hari ini tidak menukar sikapnya atau pilihan lain yang ada ialah kita tukar sahaja kerajaan yang ada dengan kerajaan Pakatan Rakyat!

Lebuh raya: Rakyat tahu Pusat sisih Kelantan

Muhammad Yusri Amin, 29 Ogs 2012
KOTA BHARU: Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata rakyat Kelantan sudah arif dengan tindakan menyisihkan mereka dari arus pembangunan oleh pihak Persekutuan selama ini.
Bahkan beliau mendakwa tindakan menindas dan menganaktirikan  Kelantan  itu adalah kerana dendam politik pihak berkenaan.

Ini kerana bagi mereka, katanya tidak guna membantu Kelantan kerana rakyat negeri ini tetap memilih PAS dan Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri mengulas cadangan pihak tertentu yang mahu menjadikan pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Gua Musang sebagai agenda utama antara manifesto parti pada Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU13).

Takiyuddin ditemui pemberita pada sidang media sempena Pesta Makanan dan Buah-Buahan Kelantan 2012, Dataran Cintawangsa, Kuala Krai, di sini petang semalam.

Katanya, lebuh raya bukan satu-satunya ‘janji’ pihak berkenaan, bahkan apabila Kerajaan Kelantan hendak membina stadium, mereka mahu membinanya juga.

“Kita nak buat lebuh raya, dia kata nak buat lebuh raya juga. Jadi saya berkeyakinan penuh, rakyat Kelantan memang sudah tidak makan dengan janji-janji politik kosong mereka.

“Kalau betul-betul mereka hendak membina lebuh raya tersebut, kenapa semasa Kerajaan Umno-Barisan Nasional memerintah Kelantan dahulu, tidak dibina, bahkan (rancangan) lebuh raya di Kelantan itu telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kelima (RMK5) dahulu lagi dengan peruntukan kira-kira RM500 juta.

“Masa itu BN memerintah di Kelantan ini, kenapa lebuh raya tidak buat juga?” tanya beliau.

Oleh sebab itu, katanya sehingga kini Kelantan satu-satunya negeri yang tidak ada lebuh raya.

Namun, tegasnya Kerajaan Kelantan tidak boleh dipersalahkan kerana tidak membina lebuh raya itu.

Katanya, ini kerana diketahui bidang kuasa untuk membina lebuh raya itu adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Cuma baru-baru ini kita cuba menonjolkan isu betapa kita perlukan lebuh raya ini, bahkan kalau perlu sampai kepada peringkat kita buat sendiri, maka kena buat sendirilah lantaran betapa perlunya kepada lebuh raya itu.

Kata Takiyuddin, sekiranya BN sebagai parti yang memerintah di peringkat Persekutuan melaksanakan tanggjungjawabnya di bawah (peruntukan) Perlembagaan, khususnya dalam konteks pembinaan lebuh raya itu.

Ini, ujarnya kerana pembinaan lebuh raya di mana-mana negeri adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

“Dan ini telah ditulis di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan,” ujar Takiyuddin yang juga pengamal undang-undang.

Kecewa Dzulkifli disingkir sebagai Pengarah Besar Felda

Muhammad Adam Lee Bin Abdullah,
Kecewa sekali perasaan saya apa bila membaca berita penyingkiran Dato’ Dzulkifli Abd Wahab sebagai Pengaraha Besar Felda. Takziah Dato' dan bersabarlah; sesungguhnya kecemerlangan khidmat Dato' sebagai Pengarah Besar FELDA telahpun diiktiraf massa, dan paling penting, Dato' telah berjaya dalam berjihad menentang kemungkaran golongan berkepentingan. Semoga Allah SWT mengurniakan keberkatan dan rahmat-Nya kepada Dato' sekeluarga khasnya sekaligus membuktikan lagi hipokrasi mereka terhadap matlamat dan prinsip perjuangan sendiri.

Jelas sekali peristiwa ini merupakan satu lagi sejarah hitam negara, khasnya FELDA. Sudahlah sebelum ini, pada November tahun lalu, Perdana Menteri telah sewenang-wenangnya meminta Dato' Zulkifli bercuti sambil berkursus, kononnya untuk transformasi FELDA.

Kini, terbukti sekali lagi bahawa apa yang mereka war-warkan kepada kita bahawa merekalah pejuang tulennya hanya sandiwara murahan. Penyenaraian FGVH ke bursa saham hanya untuk menghimpun sebanyak mungkin harta peribadi. Tindakan menggantikan seorang pakar pengurusan yang berilmu, beriltizam lagi berpengalaman dengan seorang yang "rasuah" yang hanya disokong para politikus yang "rasuah" juga, satu lagi petanda keruntuhan akhlak dan syakhsiah politik regim pemerintah sekarang. Tetapi, adakah mereka mahu mengakui ini semua?

Justeru, ayuh kita bersama-sama memerdekakan negara Islam Malaysia tercinta ini daripada kemerosotan prestasi sebegini akibat keangkuhan para pemegang amanah yang kita pilih selama ini.

Sekadar perbandingan, zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) berbanding Dato' Sri Najib - setidak-tidaknya, terdapat sedikit sebanyak transformasi yang agak berjaya dilakukan di era Pak Lah, seterusnya membuka ruang ke arah perubahan lanskap politik dengan kemenangan pembangkang yang agak ketara pada pilihan raya lalu, walaupun menyebabkan Tun Mahathir berang dan merestui rampasan kuasa terbesar di dalam Umno setahun kemudian.

Oleh itu, marilah kita menyambut kemerdekaan yang menjelang tiba ini dengan keazaman untuk berhijrah daripada jahil kepada berilmu dan matang, insya-Allah.

Hormati dunia mahasiswa

Hafizuddin An-Nuri,
Beberapa hari lepas, dunia kampus digemparkan dengan isu penubuhan Kelab Penyokong UMNO di setiap IPTA yang dicadangkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin. Sebelum itu juga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memulakannya dengan melacarkan Kelab Mahasiswa Keadilan yang sama konsepnya iaitu sebagai cawangan parti masing-masing di kampus-kampus Malaysia. Ini bukanlah perkara baru dalam dunia mahasiswa, lihat sahaja kelab-kelab UMNO yang ditubuhkan untuk mahasiswa di kebanyakan negara luar.

Sampai bilakah parti-parti politik ini mahu memancing undi mahasiswa dengan strategi-strategi yang lupus dek zaman ini? Sewajarnya, berdepan dengan generasi facebooktwitter dan teknologi moden ini pastinya satu metode dan pendekatan yang lebih memberi nilai kepada mahasiswa hari ini. Parti-parti politik mestilah memahami kehendak dan mengetahui keadaan semasa mahasiswa dengan membuat kajian-kajian secara imiah, bukan bertindak secara 'syok sendiri'.

Mahasiswa ada dunia sendiri, ada fikiran tersendiri, dan yang penting ada pilihan masing-masing untuk menentukan siapa yang terbaik bukan berdasarkan batang tubuh seseorang pemimpin dalam parti semata-mata bahkan tindakan, kenyataan dan tawaran-tawaran yang dibuat kepada masyarakat.

Mungkin ada pihak menyambut baik kewujudan kelab-kelab tersebut, ada juga yang membangkang. Penubuhan kelab ini ada baik dan buruknya, inilah yang saya katakan sebagai penilaian mahasiswa. Apa yang penting, parti-parti politik mesti menghormati dunia mahasiswa dan gaya mahasiswa berfikir. Jika mahu memancing ikan gunalah cacing sebagai umpan, jika mahu memburu harimau cacing bukan lagi menjadi umpan.

Mahasiswa asasnya 3 kriteria utama yang membolehkan institusi mahasiswa ini bergerak lebih terkehadapan iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme.

1. Idealisme yang diterjemahkan kepada daya fikir atau kekuatan mental yang menjadi titik mula kepada seorang pemimpin yang berjaya, mahasiswa mesti terdidik atas landasan pemikiran tersendiri dengan kombinasi kepercayaan dan pendirian yang tegas, jelas dan berlandaskan kecintaan kepada nilai murni dan pada masa yang sama kebencian kepada perkara yang negatif.

2. Idealisme hanyalah berkonsep teori dan masih belum terbukti kecuali dengan adanya aktivisme dalam diri seorang pimpinan mahasiswa, kesanggupan berkorban dan kesungguhan yang jitu demi merealisasikan idea dan fikiran yang tercetus

3. Seorang mahasiswa tidak layak digelar mahaiswa sehingga budaya keilmuan dihidupkan di dalam dirinya melalui pembacaan, diskusi, debat, pendengaran atau apa sahaja yang mampu melahirkan sifat intelektual di dalam diri seorang mahasiswa

Mahasiswa dalam kancah politik tidak dapat dipisahkan dengan tema 'mahasiswa agen perubahan'. Tidak mengira siapa kerajaan dan siapa pembangkang, mahasiswa hanya mahu mencetuskan perubahan. Dan perubahan tersebut pastinya perubahan daripada tidak baik kepada baik dan daripada yang baik kepada lebih baik. Setiap kerajaan tidak pernah sempurna, kerana itu mahasiswa bertindak sebagai kelompok check and balance.

Inilah realiti mahasiswa yang parti-parti politik samada daripada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) mesti hadapi. Hormati dunia mahasiswa dengan tawaran-tawaran yang lebih merakyat dan berfaedah, bukan helah politik yang hanya akhirnya menjadi gula-gula kepada rakyat.

Penulis ialah Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Kurangnya Jalur Gemilang, Merdeka ke-55 hambar

Khairil Abdul Rahim, 29 Ogs 2012
Beberapa hari sahaja lagi menjelang tanggal ulang tahun sambutan hari kemerdekaan, rata-rata orang ramai dilihat bagaikan tidak cakna dan tidak pedulikan tarikh yang dianggap “keramat” oleh pemerintah itu.

Ini dapat diukur daripada kurangnya pengibaran Jalur Gemilang di premis-premis perniagaan, rumah kediaman dan kenderaan sehingga sambutan merdeka ke-55 tahun ini dilihat paling hambar.

Memang terdapat gesaan daripada pihak kerajaan terutama melalui media televisyen menyeru rakyat mengibarkan bendera kebangsaan. Namun berdasarkan pemerhatian, gesaan tersebut hanya dipandang sepi oleh umum.

Kenapa? Adakah rakyat negara ini sudah hilang semangat patriotismenya? Atau mesyarakat sudah bosan dan jelak kerana merdeka asyik dikaitkan dengan Umno sahaja? Atau adakah rakyat masih mengambil kira kenyataan seorang profesor tahun lalu bahawa “Tanah Melayu tidak pernah dijajah?”

Persoalan beginilah yang kerap bermain di fikiran orang yang pernah menyaksikan sambutan merdeka saban tahun sejak dahulu.

“Memalukan... pihak kerajaan ada beri bendera percuma tapi orang ramai masih enggan memasang atau mengibarkannya,” kata ahli jawatan kuasa Persatuan Sejarah Pahang, Alang Ahmad Teh, 73, yang berpendapat tahun ini paling teruk sambutan merdeka yang ditunjukkan rakyat.

Katanya, terdapat tanda-tanda seolah-olah rakyat sudah ‘fed-up’ terutama golongan muda. Justeru perkara ini perlu diperbetulkan dengan segera. Tambahnya, menyambut ulang tahun kemerdekaan sepatutnya mesti datang daripada kesedaran dan kesyukuran rakyat, bukannya paksaan daripada kerajaan.

“Saya pernah ke Indonesia dan mendapati kukuhnya semangat, betapa bangga dan ghairahnya mereka apabila menjelang sambutan hari merdeka. Walau rumah berlantai buluh sekalipun mereka tetap mengibarkan bendera Sang Saka Merah melambangkan semangat dan penghargaan kepada erti kemerdekaan.”

Oleh itu, baginya sejarah yang betul perlu diajarkan sekarang kerana selama ini generasi muda disumbatkan dengan maklumat bahawa kemerdekaan hanya bermula dengan penubuhan Umno dan pemimpin parti tersebut bersama gabungannya iaitu MCA dan MIC mendapatkan kemerdekaan daripada Inggeris.

Sedangkan perjuangan berdarah yang panjang sebelum itu tidak dikaitkan langsung dengan kemerdekaan. Akhirnya kemerdekaan digambarkan milik Umno semata-mata.

“Yang kita bimbangkan ialah anak-anak muda mula naik menyampah apabila meraikan merdeka bermakna mereka meraikan kejayaan Umno. Saya nak tegaskan merdeka ini bukan dimonopoli oleh Umno saja, bahkan parti itu melaungkan merdeka setelah parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan diharamkan,” katanya.

Kita tidak nafikan Umno juga mendapatkan kemerdekaaan secara bertulis di London tetapi kenapa harus dilupakan jasa pencetus kemerdekaan sebenarnya?

Maknanya janganlah dipadamkan sejarah kemerdekaan kerana sejarah perjuangan kemerdekaan bukannya bermula daripada Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman saja. Ramai pejuang-pejuang lain yang berjuang menyabung nyawa menuntut kemerdekaan tetapi seolah-olah dipadamkan daripada sejarah negara.

Alang Ahmad berkata Pertubuhan Kebangsaan Melayu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) serta sayapnya Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan lain-lain pertubuhan revolusioner lebih awal lagi berarak menuntut kemerdekaan  iaitu pada April 1948 di tengah-tengah bandar Temerloh, Pahang.

Ertinya sejarah tidak boleh ditipu malah sejarah yang sebenar perlu ditulis semula untuk tatapan generasi akan datang.

Seorang generasi muda Hasanal Bolkiah Hasan Basri, 31, turut berpendapat sambutan merdeka tahun ini amat hambar dan malap jika diukur daripada pengibaran bendera.

“Saya bekerja merata-rata dan dapat disaksikan begitu kurang bendera yang dipasang melainkan di pejabat-pejabat kerajaan dan sekolah, tetapi itu sudah tentu atas arahan. Tetapi jika dilihat kepada individu yang secara sukarela mengibarkan bendera, memang boleh dikira dengan jari saja,” katanya.

Beliau tidak menolak, punca membuatkan rakyat terutama generasi muda merasa tidak ghairah menyambut merdeka ialah kerana kemerdekaan itu sendiri dikaitkan dengan Umno sehingga dianggap tidak perlu menjadi keutamaan.

Tahun lalu, Timbalan Presiden PAS Hjai Mohamad Sabu ketika berceramah di Pulau Pinang pernah mempertikaikan media Umno yang lazimnya menjelang merdeka hanya mengetengahkan beberapa kerat pemimpin daripada Umno tetapi melupakan pejuang-pejuang kemerdekaan  yang lain seperti Burhanuddin Helmy, Ishak Mohamad (Pak Sako), Ibrahim Yaakob, Mat Indera dan lain-lain.

Rupa-rupanya pandangan tersebut telah dieksploitasi secukup-cukupnya oleh media Umno sehingga membawa kepada beberapa siri demonstrasi, laporan polis oleh penyokong Umno dan kes mahkamah terhadap beliau.

Ketika itu Umno yang mempengaruhi bekas perajurit seolah-olah ‘mengisytiharkan perang’ terhadap bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu kerana didakwa menyanjung perjuangan komunis. Sehinggalah baru-baru ini mahkamah mendengar isu mainan media itu sebenarnya palsu.


Kerajaan pula bagaikan tidak pernah serik apabila saban tahun sambutan ulang tahun kemerdekaan negara semakin kurang mendapat sambutan, terutama daripada generasi muda. Ini tidak lain disebabkan kerajaan yang ditulangbelakangkan oleh Umno begitu ghairah mempergunakan tarikh dan acara tersebut untuk kepentingan politik mereka, bukan perjuangan rakyat.

Tahun ini sambutan telah menggunakan slogan 'Janji Ditepati', iaitu slogan yang digunakan pemimpin nombor satu Umno untuk turun berkempen menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 13 ini.

Apakah slogan pilihan Umno itu menggambarkan jerit perih rakyat dahulu untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah? Apakah wujud roh perjuangan kemerdekaan dalam tema tersebut?

Tidakkah menyambut kemerdekaan ertinya mengenang semula sejarah perjuangan bangsa terdahulu yang menggalang-gantikannya dengan nyawa dan darah? Tidakkah hari kemerdekaan bermakna kita meraikan bangsa bermaruah kerana mempunyai pahlawan menuntut kemerdekaan daripada penjajah?

Kenapa tidak mahu mengenepikan kepentingan politik sebentar kerana kemerdekaan adalah milik rakyat bukannya Umno sahaja?

Rasanya belum ada Perdana Menteri selain daripada Najib yang tergamak menukarkan kehebatan hari kemerdekaan negara dengan kempen Umno.

Tidak cukupkah Umno berkempen 24 jam sehari di media-media massa dan elektronik? Tidak cukupkah lagi pentas-pentas rasmi dipergunakan untuk berkempen sehingga terpaksa meletakkannya pada hari kemerdekaan negara?

Jika demikian, ini bukan sambutan hari kemerdekaan tetapi festival Umno yang menggunakan acara negara untuk berkempen PRU.

Jangan hairan selepas ini jika sambutan kemerdekaan tidak akan menjadi kebanggaan generasi muda lagi kerana mereka jelak dan jengkel dengan perangai pemimpin atasan!

Wanita Malaysia diseru sertai Janji Demokrasi

Harakahdaily, 29 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat menyeru semua wanita Malaysia perihatin untuk bersama-sama mereka turun ke Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos sempena program Janji Demokrasi.

Ketua penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi (gambar) berkata, sebagai rakyat yang cintakan negara, wanita juga perlu menunjukkan sikap dan komitmen mereka.

"Malam itu nanti akan menjadi simbol kesetiaan tidak berbelah bahagi kita terhadap Malaysia. Hatta sebagai manifestasi komitmen kita untuk terus memastikan Malaysia dalam keadaan  aman, harmoni berdaya maju serta berdaya saing di peringkat lokal mahupun global.

"Jika anda adalah seorang rakyat prihatin terhadap masa depaan negara ini, jom bersama kami," katanya dalam satu kenyataan.

Program Janji Demokrasi adalah anjuran gabungan beberapa NGO termasuk Bersih.

Ianya akan bermula pada jam 10 malam 30 Ogos ini dan lebih berbentuk temu santai dan sembang-sembang bermaklumat.

"Ia wajar dilihat sebagai sebuah acara yang menjulang keamanan, perpaduan, kasih sayang yang menebal dengan semangat kekitaan rakyat daripada pelbagai kaum, latar belakang, agama dan kepercayaan politik.

"Ia bukan suatu yang mencabar hati budi sesiapa jua hatta termasuk pemerintah. Ia adalah impian rakyat," katanya.

Tiada ulasan: