PAS hari ini membidas kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat Abdullah Sa'amah yang mendakwa bahawa hukum menyokong parti DAP adalah haram.

Ketua penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kenyataan Abdullah itu tidak berdasarkan fakta yang tepat dan beliau tidak boleh mengeluarkan hukum di luar bidang kuasanya.

pas muktamar 130610 tuan ibrahim tuan manSambil membawa kisah Khalifah Umar al-Khattab dalam sejarah Islam yang pernah 'dinasihati' seorang individu kerana "mahu menyenangkan hati Khalifah", Tuan Ibrahim turut menyamakan tindakan Abdullah dalam kisah itu.

"Kenyataan itu saya lihat sama (dengan kisah). Beliau tidak menasihati mengikut hukum, tetapi lebih kepada mahu senangkan pemimpin Umno.

"Sepatutnya (keluar hukum itu) bawah Majlis Fatwa Kebangsaan. Kenyataan beliau tidak berdasarkan maklumat yang tepat, hanya (berdasarkan) satu pihak sahaja untuk mengeluarkan hukum.

"Kalau kata lihat, penentangan MCA tentang hudud lebih hebat daripada DAP sehingga beri amaran kepada Umno (jika menyokong hudud)," katanya.

NONELaporan muka depan Utusan Malaysia hari ini memetik Abdullah sebagai mendakwa DAP "secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud."

Bagaimanapun, Abdullah mendakwa MCA yang lantang menentang hukum hudud disifatkan sebagai "bukan kafir harbi kerana tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umatnya".

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang menganggap kenyataan Abdullah itu tidak bermaklumat serta tidak sahih, dan PAS tidak perlu melayaninya.

"Orang awam juga dapat membezakan sama ada kenyataan itu dibuat dengan ilmu atau mengikut parti pemerintah," katanya sambil mendakwa rakyat di Kelantan 'mengenali' guru pondok itu.

Sementara itu Setiausaha Politik ketua menteri Pulang Pinang Zairil Khir Johari berkata pihak tidak perlu mengulas kenyataan Abdullah itu.

"Kita rasa tak payah beri komen apa-apa," katanya sambil menambah rakyat mampu menilai perkara yang benar atau yang salah.
Utusan: Guru pondok kata haram sokong DAP