Khamis, 16 Ogos 2012

DIMANA2 ISLAM DIANAK TIRIKAN...DISISIH..DIMUSUHI DLL...ADA YANG DIBENCI OLEH YANG SEAGAMA...KENAPA TIDAK PADA AGAMA2 LAIN...ADAKAH NI MENUNJUKAN ISLAM AGAMA YANG BENAR...YANG ALLAH TERIMA.

S'gor akan maklum status bekalan air setiap hari

Harakahdaily, 15 Ogs 2012
SHAH ALAM: Jawatankuasa Pemantauan Syabas yang ditubuhkan Kerajaan Selangor akan mengeluarkan kenyataan akhbar setiap hari selepas selesai mengadakan mesyuarat harian dengan pengurusan syarikat air itu.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, langkah ini bertujuan memaklumkan perkembangan terkini tentang status pembekalan dan perkhidmatan air kepada seluruh rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Cara ini juga membuktikan Kerajaan Selangor sangat telus dalam menangani isu pembekalan air demi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik dan memuaskan setimpal dengan kadar tarif air yang dibayar.

"Kerajaan Selangor komited untuk mengambil alih syarikat konsesi menerusi kaedah penyusunan semula yang merupakan jalan terbaik untuk menguruskan industri perkhidmatan air di Selangor dan Lembah Klang," katanya.

Jawatankuasa itu diketuai Datuk Khusrin Munawi dan turut dianggotai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Konsortium ABBAS dan bekas kakitangan Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS), dan telah menjalankan pemantauan terhadap operasi SYABAS bermula 18 Julai lalu.

Sebelum ini pemantauan jawatankuasa ini mendapati Syabas 'beroperasi di bawah keupayaan'.

Presiden Persatuan Boksing dapat kerusi elektrik

Yaakub Dasan & M Zin, 15 Ogs 2012
RANTAU PANJANG: Kesukaran Presiden Persatuan Boksing Kelantan, Ramli Awang (Pak Usop), 60, untuk berjalan terubat apabila dihadiahkan kerusi roda elektrik oleh wakil rakyat.

Pak Usop menderita sakit di bahagian kaki kesan penyakit kencing manis. Selepas itu beliau menjalani pembedahan kecil di hospital.

Namun selepas kembali dari Makkah beberapa bulan lalu penyakit lama merebak semula sehingga menyebabkan beliau menjalani pembedahan kali kedua.

Kerusi tersebut disumbang Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun kepada Pak Usop di rumahnya di Kampung Chicha Tinggi dekat sini, baru-baru ini.

Abdul Fatah berkata, dengan adanya kerusi roda elektrik membolehkan Pak Usop bergerak sendiri di atas rumah atau ke masjid tanpa perlu bantuan orang lain.

Katanya, kerusi roda tersebut boleh digerakkan sendiri kerana dilengkapi dengan peralatan elektronik dengan kuasa bateri.

Pak Usop mengakui beliau hanya boleh berjalan perlahan-lahan di atas rumah dan bermasalah untuk turun ke masjid biar pun terletak tidak jauh dari rumahnya.

“Pergi ke masjid agak sukarlah sedikit,” katanya ketika ditemui. Kerusi roda tersebut berharga RM8,000 dilengkapi bateri berharga RM800.

Pada hari sama Adun Bukit Tuku juga menziarahi Wan Ibehim Wan Yusof, 69, yang baru keluar hospital akibat diserang demam denggi.

Di TANAH MERAH Adun Bukit Panau, Dato’ Abdul Fattah Mahmood meraikan 50 penduduk miskin pada majlis berbuka puasa di Kampung Pondok Kelewek, baru-baru ini.  Mereka juga menerima zakat sebanyak RM100 seorang.

260 pesakit di hospital terima hamper wakil rakyat

M Zin, 15 Ogs 2012
TANAH MERAH: Menjelang lebaran tidak lama lagi, 260 pesakit di Hospital Tanah Merah dapat menyembuyikan rasa sedih dan sayu seketika kerana dikunjungi wakil-wakil rakyat semalam.

Lawatan anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Adun Gual Ipoh, Wan Yusuf Wan Mustafa dan Penyelia Dun Bukit Bunga, Suply Abdul Razak dapat melegakan perasaan mereka.

Rombongan wakil rakyat juga disertai Muslimat PAS Tanah Merah, pemuda dan penghulu-penghulu. Kehadiran  mereka diiringi pegawai hospital terbabit.

Setiap pesakit menerima hamper sebagai buah tangan, pengubat duka ketika menjalani rawatan di hospital.

Pada kunjungan itu Abdul Fattah juga menyumbangkan kerusi roda kepada seorang warga emas, Zaharah Abdul Rashid, 75, yang terlantar sakit. Beliau berasal dari Kampung Pondok Lama Tanah Merah.

Mereka juga mengunjungi wad kanak-kanak sambil menghulur buah tangan di samping bermesra dengan pesakit dan keluarga mereka.

“Acara ini merupakan aktiviti rutin bagi setiap wakil rakyat di Kelantan. Melalui kunjungan ini diharap dapat melahirkan perasaan gembira pesakit ketika mereka sedang terlantar sakit.

“Malah Islam amat menuntut umatnya menziarahi orang sakit dan mendoakan kesejahteraan buat mereka,” katanya ketika ditemui selepas itu.

Hari ini Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota-anggota Exco melawat pesakit di Hospital Raja Peremuan Zainab II.

PKR lancar kempen turun harga kereta

Muhammad Faizal, 15 Ogs 2012

PETALING JAYA:
PKR hari ini melancarkan kempen 'Turunkan Harga Kereta' mengambil kesempatan cuti balik kampung Hari Raya Aidilfitri.

Pelancaran dilakukan di Ibu Pejabat PKR oleh Pengarah Komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad tengahari ini.

Menurut Nik Nazmi, pelancaran itu bertujuan agar cadangan PKR menurunkan harga kereta melalui penghapusan cukai eksais secara berperingkat sampai ke seluruh pelosok negara.

Sebanyak 50 ribu pelekat kereta 'Turunkan Harga Kereta' telah dicetak dan akan diagihkan mulai hari ini di sekitar Lembah Klang.

"Untuk minggu ini, kita akan mengagihkan pelekat ini di tol-tol, manakala selepas cuti Hari Raya kita akan mengagihkannya keseluruh negara melalui pejabat-pejabat PKR setempat," katanya.

Selain dari pelekat kereta, PKR juga turut mengubahsuai sebuah kereta Proton Tiara bagi menjadi kereta rasmi kempen tersebut.

"Bermula 24 Ogos ini, pasukan kempen akan mula menjelajah tempat-tempat yang dipilih di Lembah Klang dan seluruh negara sebagai sebahagian dari Jelajah Turunkan Harga Kereta.

"Kita juga akan turut mengadakan forum yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat yang akan bermula 2 September nanti," sambungnya lagi.

PKR juga turut mengadakan kempen di laman sosia www.facebook.com/turunkanhargakereta dan menyeru seberapa ramai rakyat menyokong laman ini dan menyebarkan logo kempen.

PKR yakin desakan menurunkan harga kereta adalah satu tuntutan yang disokong oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.

"Logo kempen dipilih tidak melambangkan unsur politik supaya semua rakyat tanpa mengiran latar belakang dan kepercayaan politik boleh bersatu dan bersetuju bahawa masanya telah tiba untuk memastikan harga kereta tidak membebankan rakyat," sambung beliau lagi.

PKR turut meminta rakyat Malaysia membantu mempromosi kempen ini dengan menghiasi laman facebook dan twitter dengan logo 'Turunkan Harga Kereta' bermula hari ini.

37 terbunuh serangan berani mati di Afghanistan

Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya, 15 Ogs 2012


(Salah seorang mangsa letupan)

KABUL: Sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh selepas beberapa siri pengeboman di Afghanistan, termasuk satu serangan di mana tiga pengebom berani mati melakukan serangan di barat daya Afganistan.

Letupan di Zaranj, ibu negeri wilayah Nimroz, di sepanjang sempadan Iran, mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang dan mencederakan 80 orang.

"Pengebom meletupkan diri dalam pasar yang sesak kerana menjadikan orang awam sebagai sasaran, tiada pengkalan tentera kerajaan yang berdekatan tempat tersebut," Gabenor  wilayah tersebut, Abdul Karim Barahawi, memberitahu agensi berita Reuters.

Tiga pengebom berani mati dari kumpulan 11 orang pengebom meletupkan diri di kawasan berasingan di bandar, salah satunya di luar hospital, kata polis.

"Ini adalah sebuah kumpulan  yang terdiri dari 11 pengebom yang mahu mengadakan serangan serentak di seluruh bandar," timbalan ketua polis wilayah Mujibullah Latifi memberitahu agensi berita AFP.

"Pasukan keselamatan membunuh dua dari tiga pengebom berani mati malam tadi dan menahan tiga yang lain pagi ini. Tiga  pengebom berani mati yang lain berjaya meletupkan bom manakala tiga yang lain ditembak mati."

Tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap kajian itu, tetapi serangan seumpama ini biasanya dikaitkan dengan Taliban, yang berjuang untuk menggulingkan kerajaan Presiden Hamid Karzai yang disokong oleh Barat.

Wartawan Al-Jazeera, Jennifer Glasse, melaporkan dari Kabul, berkata serangan ini "menandakan hari yang paling menakutkan untuk orang awam Afghanistan pada tahun ini".

Nimroz merupakan wilayah yang biasanya aman tetapi telah berlaku peningkatan dalam keganasan baru-baru ini di wilayah tersebut.

Bom juga diletupkan di sebuah pasar di wilayah utara Kunduz, mengorbankan 10 orang dan mencederakan 36 yang lain.

Letupan, yang membunuh beberapa orang kanak-kanak itu berlaku ketika orang-ramai yang selesai membeli barang-barang sedang menuju rumah ke rumah untuk berbuka puasa.

Sabtu lalu, seorang anggota polis Afghanistan membunuh 11 pegawainya di daerah Dilaram.

Laporan asal

http://www.aljazeera.com/news/asia/2012/08/201281412411098743.html

LRT Ampang: Henti ugut Fauziah, kata PKR

Muhammad Faizal, 15 Ogs 2012
PETALING JAYA: PKR mengutuk sekeras-kerasnya tindakan blogger-blogger Umno yang menyerang dan memfitnah Datuk Fauziah Yaacob, seorang pegawai tinggi Kementerian Kewangan yang berjawatan Setiausaha Bahagian Perolehan, Kementerian Kewangan kononnya beliau membocorkan dokumen-dokumen sulit berhubung skandal anugerah kontrak LRT Ampang kepada George Kent.

Menurut ketua wanita PKR, Zuraida Kamarudin, Fauziah bukanlah individu yang bertanggungjawab menyerahkan dokumen tersebut kepada PKR.

"Oleh yang demikian, tindakan blogger-blogger Umno memfitnah beliau adalah bertujuan untuk menakut-nakutkan pegawai-pegawai kerajaan agar tidak membantah sebarang keputusan melibatkan kerajaan yang diambil oleh ahli politik Umno.

"Mereka berharap dengan tekanan yang diberikan bertujuan mengaib dan mengasingkan Datuk Fauziah Yaacob, ia menghantar amaran yang keras kepada semua kakitangan awam supaya hanya menurut telunjuk Umno Barisan Nasional," katanya pada sidang media hari ini.

Selain itu katanya, ugutan tersebut juga dilihat menghina kaum wanita di negara ini, apabila serangan ditujukan terhadap penjawat awam wanita yang dihormati dan dikenali ramai.

"Saya mencabar pimpinan-pimpinan wanita di dalam Umno untuk tampil membela Fauziah dengan mengambil tindakan keras terhadap blogger-blogger Umno," sambungnya.

Jelasnya, sewajarnya pimpinan kanan perkhidmatan awam diberi kebebasan supaya tindakan mengikut undang-undang demi menjaga kepentingan negara.

Jika benar, Fauziah telah bertegas mempertahankan keputusan Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan yang menganugerahkan kontrak LRT Ampang kepada sebuah konsortium yang mendahului keputusan penilai, beliau sepatutnya dinaikan pangkat serta diberikan penghormatan kerana keberanian menentang campur tangan Perdana Menteri.

"Inilah jenis kepimpinan dan integriti yang sewajarnya dipamerkan oleh pimpinan wanita di negara ini," kata Zuraida.

Muslimah saman Disney kerana larang pakai tudung

Terjemahan Mohamad Yahya, 15 Ogs 2012

(Ketua Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (American Civil Liberties Union) Mark Rosenbaum (bertali leher merah) berucap sambil bekas pekerja Disney Imane Boudlal, (bertudung) melihat pemberita selepas mereka mengumumkan tuntutan mahkamah terhadap Disney, atas dakwaan diskriminasi dan gangguan kerana kepercayaan agamanya di ibu pejabat ACLU di Los Angeles, California OGOS 13, 2012. REUTERS / Jason Redmond)

LOS ANGELES: Seorang bekas pekerja restoran Disneyland menyaman Walt Disney Co pada Isnin lalu atas alasan gangguan dan diskriminasi agama, mengatakan beliau dipecat hanya kerana mahu memakai tudung di tempat kerja.

Imane Boudlal, seorang Muslim yang berusia 28 tahun, bekerja sebagai pelayan di Storytellers Cafe, sebuah restoran di dalam Disney’s Grand California Hotel & Spa di Disneyland di Anaheim, California, menurut aduan yang difailkan di mahkamah persekutuan.

Selepas dua tahun bekerja, Boudlal meminta kebenaran untuk memakai tudung ketika di tempat kerja.

Beliau menawarkan untuk memakai tudung yang sepadan dengan warna pakaian seragam beliau atau yang memaparkan logo Disney.

Menurut tuntutan mahkamah itu, pengurus Disney menafikan permintaan tersebut, dengan alasan ia akan melanggar dasar syarikat yang berkaitan ‘penampilan’ pekerja mereka semasa bertugas.

Disney juga melarang tatu yang jelas kelihatan dan kuku yang melebihi satu perempat inci, jelas tuntutan mahkamah itu lagi.

Boudlal telah diberikan pilihan untuk bekerja di bahagian belakang, jauh daripada pelanggan, atau memakai topi gaya fedora di atas tudungnya.

Apabila Boudlal enggan, dia terus dipecat dari jawatannya, jelas tuntutan mahkamah.

Seorang warganegara Amerika Syarikat yang dilahirkan di Maghribi, Boudlal berkata beliau juga menjadi subjek kepada penghinaan anti-Arab dan anti-Islam, termasuk dipanggil "pengganas" dan "unta" oleh rakan sekerja dan penyelia.

Beliau berkata beliau melaporkan kejadian tersebut kepada pengurus tetapi mereka tidak mengambil sebarang tindakan.

"Disneyland memanggil dirinya sebagai tempat yang paling gembira di bumi, tetapi saya menghadapi banyak  gangguan sejak saya mula bekerja di sana," Boudlal berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kesatuan Kebebasan Awam Amerika.

"Ia hanya menjadi lebih buruk apabila saya memutuskan untuk memakai hijab."

Jurucakap Disney bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Kes ini adalah kes Boudlal melawan Disney.

24 kanak-kanak istimewa diraikan menjelang Aidil Fitri

Harakahdaily, 15 Ogs 2012

(Zailah bergambar kenangan dengan kanak-kanak istimewa di Sekolah Pendidikan Khas AsSyakirin pagi tadi)

RANTAU PANJANG: 24 kanak-kanak istimewa mendapat perhatian khas dari anggota Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Zailah Yusof pagi ini.

Zailah telah berkunjung ke sekolah mereka, Sekolah Pendidikan Khas AsSyakirin Rantau Panjang pagi ini bagi bertemu mereka menjelang Aidil Fitri ini.

Mereka diberikan hamper dan duit raya sempena kunjungan itu.

Bagi Zailah, beliau menjalankan tugas ini sebagai menunaikan tanggungjawab untuk menceriakan kanak-kanak istimewa ini.

(Zailah menyampaikan bantuan kepada penduduk miskin di kampung Chicha)

Semalam, Zailah telah mengunjungi orang-orang tua dan miskin di Kampung Chicha dekat sini bagi menyampai bantuan kepada mereka.

Bantuan berupa beras, tepung, gula dan lain-lain diberikan bagi meringankan beban mereka menjelang Aidil Fitri ini.

Bersih 3.0: Polis serbu, tangkap dalam lobi hotel

Hazayani Zakaria, 15 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Seorang peserta Bersih 3.0 memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa 10 hingga 15 polis tanpa tanda nama menyerbu lobi sebuah hotel dan menangkap orang ramai yang berada di situ.

Selamat Abul Hamid, 42, (gambar) berkata beliau menyaksikan anggota polis memaksa orang ramai terutamanya yang memakai baju T Bersih keluar dari hotel tersebut.

Apabila mereka tidak mengikut arahan, polis memukul dan menerajang mereka sebelum dibawa ke Dataran Merdeka.

"Pada mulanya saya ingin keluar dari hotel tapi tak jadi sebab tengok keadaan di luar kelam kabut selepas gas pemedih mata dilepaskan. Gas terasa hingga ke lobi hotel.

"Kemudian 10 hingga 15 polis yang tidak memakai tanda nama dan berbadan besar masuk ke lobi dan menghalau orang ramai," kata pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Menurut Selamat lagi, beliau yang ketika itu bersama isteri dan empat anak hanya mendiamkan diri namun turut dipaksa mengikut polis ke Dataran Merdeka, di mana semua peserta yang ditahan dikumpulkan.

Tambah beliau, sepanjang perjalanan dari hotel ke Dataran Merdeka, polis tidak henti-henti berleter dan mencercanya.

"Kami mengikut sahaja polis dan sepanjang jalan saya dicerca, antaranya polis kata 'ini mak bapak tak guna' kepada saya," katanya yang merupakan seorang juruteknik di sebuah kilang di Batu Pahat, Johor.

Ujar Selamat lagi, sewaktu di Dataran Merdeka, seorang anggota polis memberitahu mereka akan dibawa ke Masjid Negara menaiki bas namun apa yang berlaku, mereka dibawa ke Pulapol.

"Polis ada bagitahu akan bawa kami ke Masjid Negara tapi saya tak berapa percaya. Ramai juga yang percaya bulat-bulat tapi akhirnya kami dibawa ke Pulapol dan di Pulapol, semua diminta memegang nombor dan polis mengambil gambar kami," katanya.

Ditanya sama ada beliau memang berniat melibatkan anak-anaknya dalam perhimpunan tersebut, Selamat menafikannya.

"Memanglah salah satu faktor saya ke Kuala Lumpur sebab nak mengikut perkembangan perhimpunan tapi dalam masa yang sama, saya nak bawa anak-anak saya makan angin dan membeli-belah di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Sementara itu, Khaw pada sidang media selepas itu berkata, Suhakam telah menghantar surat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meminta pihaknya turut hadir sebagai saksi.

"Kita sudah hantar surat kepada DBKl sebab daripada saksi sebelum ini, Suhakam mendengar ada pegawai DBKL turut mengambil beberapa tindakan pada 28 April," katanya.

Selain itu, Suhakam juga berharap dapat mendengar keterangan polis berhubung insiden kereta diterbalikkan di Jalan TAR," katanya.

Pendengaran akan bersambung kembali 10 September depan.

PKR tuntut jaminan Najib jangan lupus hutang NFC

Muhammad Faizal, 15 Ogs 2012
PETALING JAYA: PKR mahu satu jaminan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa tiada sesen pun hutang NFCorp yang akan dilupuskan kerajaan.

Sebaliknya kata Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, NFCorp perlu membayar sepenuhnya RM250 juta melalui jaminan peribadi sebelum lantikan kontraktor baru dilakukan.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar pada 13 Ogos lalu bahawa proses tender semula National Feedlot Corporation (NFC) sedang berjalan.

"Kita mahu sebelum apa-apa tindakan diambil, Najib mengesakan pembekuan aset yang diumumkan sebelum ini telah berjaya mengutip kembali semua perbelanjaan yang melanggar tujuan asal pemberian dana oleh kerajaan.

"Malah laporan audit bebas yang dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri perlu dibentangkan kepada rakyat, setelah enam bulan berlalu masih belum ada laporan diberikan" katanya.

Menurut beliau lagi, NFCorp juga perlu membayar setiap sen dari RM250 juta yang digunakan sebelum ini apabila projek tersebut diberikan kepada kontraktor baru yang akan dilantik oleh kerajaan.

Rafizi berpendapat tindakan menjalankan proses tender kali kedua untuk melantik kontraktor baru adalah satu muslihat untuk melupuskan hutang NFCorp sebanyak RM250 juta tanpa disedari oleh rakyat.

Dalam pada itu, beliau juga mahukan Najib mengesahkan bahawa tidak akan ada sebarang hutang NFCorp yang akan dilupuskan dan NFCorp perlu membayar sepenuhnya RM250 juta melalui jaminan peribadi.

"Selain itu, tidak akan ada suntikan dana baru ke dalam projek NFC ini walaupun kontraktor baru dilantik kerana dana sedia ada perlu digunakan dan diperolehi dari NFCorp terlebih dahulu.

"Malah tidak ada sebarang lantikan baru akan dibuat sehinggalah dana RM250 juta dikutip sepenuhnya," desaknya lagi.

PKR menyatakan kegagalan Najib melaksanakan perkara yang dituntutkan ini mengukuhkan lagi pandangan rakyat bahawa Umno-Barisan Nasional cuba sedaya upaya untuk melindungi Shahrizat dan keluarga

Myanmar: Najib kena belajar dari PM Turki

Mohd Sabri Said, 16 Ogs 2012

(Anwar sedang menyampaikan tazkirah Ramadhan di Masjid Taqwa, Bertam Indah, Kepala Batas.)

KEPALA BATAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak patut lantang dan berani bersuara mengatakan bantahan terhadap kerajaan Myamar sebagaimana Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang berani berbuat demikian apabila berlakunya penindasan terhadap masyarakat Islam Rohingya.

Demikian kata Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan takzkirah Ramadhan di Masjid Bertam Indah, Kepala Batas semalam.
Beliau mengulas kenyataan PM Turki, Reccep Toyyib Erdogan yang mengecam pembunuhan umat Islam Mnyanmar di samping menghantar isteri dan menteri luarnya ke sana bagi melihat sendiri penderitaan umat Islam Roghingya.

Ini tidak sambung Anwar, Najib hanya berani berhadapan dengan pembangkang dalam negeri tetapi takut bersuara terhadap negara luar yang bertindak zalim terhadap Umat Islam.

"Malaysia adalah anggota Pertubuhn Persidangan Islam (OIC) serta The Association Southeast Asean Nations (ASEAN) ada hak untuk bersuara sebagaimana Perdana Menteri Turki yang memberi amaran Kerajaan Myanmar agar jangan membunuh Umat Islam di negara itu sekiranya tidak mahu melihat kebangkitan mereka menjatuhkan pemerintah yang ada, "tegasnya.

Sebaliknya, Najib sekadar bersuara tidak boleh masuk campur hal ehwal negara luar dan biarkan pemerintahan di Myanmar berleluasa dalm tindakan mereka.

OIC juga lambat bertindak sehingga pemerintahan di Myanmar tidak gentar untuk mendengar teguran OIC,  katanya yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, peranan OIC seolah tiada sengat lagi bukan sahaja terhadap Myanmar malahan Palestin dan negara Arab lain yang diancam pembunuhan Umat Islam secara berleluasa.

"Jika Malaysia lantang bersuara besar kemungkinan Myanmar sedikit sebanyak akan akur demi memelihara keharmonian, kesejahteraan dan persahabatan yang sudah terjalin sekeIian lama, " terangnya.

Audit bebas: Syabas enggan beri kerjasama, kata exco

Selangorkini, 15 Ogs 2012
PETALING JAYA: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dilihat tidak berminat untuk bekerjasama dalam penubuhan audit bebas bagi mengkaji data-data terperinci untuk diberitahu umum berhubung masalah bekalan air di negeri itu.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata sehingga kini Syabas tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung cadangan daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid itu.

Katanya, sebelum ini, Kerajaan Negeri sudah memaklumkan beberapa syarikat yang layak untuk dipertanggungjawab menjadi audit bebas.

Beliau berkata cadangan itu sudah dimaklumkan kepada Syabas sebulan yang lalu, bagaimanapun, tiada kerjasama dari pihak Syabas.

“Ia perlu dilaksanakan segera agar rakyat tidak keliru dengan perbezaan kajian yang dibuat.

“Data-data syarikat-syarikat konsesi perlu diaudit kerana ia berbeza-beza. Jadi kena perlu penjelasan.

Bukan sahaja mengenai statistik tetapi juga dari segi kewangan supaya kita dapat satu gambaran perlaksanaan penyelesaian akan datang.

“Kita harap pihak berkenaan mengakui cadangan dan kerjasama dalam usaha ini kerana data-data yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) diperolehi daripada syarikat konsesi, Syabas . Jelas beliau di Majlis Dialog Air Selangor di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

Pelajar hanya 25 tetapi dapat RM2 juta

Harakahdaily, 15 Ogs 2012

KOTA BHARU: Dengan memiliki hanya 25 pelajar lelaki, Madrasah Al-Najmiah atau Pondok Geting mendapat sumbangan RM2 juta dari Jabatan Pembangunan Persekutuan semalam, 14 Ogos.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad.

Minggu lalu akhbar Umno membuat kekecohan apabila menyiarkan kenyataan Abdullah Sa`amah kononnya haram mengundi DAP kerana mereka 'kafir harbi'.

Ekoran itu, pelbagai bantahan dibuat ke atas akhbar Umno itu khasnya Abdullah Sa'amah.

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya misalnya berpendapat bahawa kerajaan yang bermaruah tidak akan membiarkan pihak yang mencabar kuasa mereka seperti tindakan mengisytiharkan perang dengan menggelar golongan tertentu sebagai "kafir harbi".

Katanya, pandangan bahawa haram bagi umat Islam menyokong DAP yang diutarakan guru pondok, Abdullah Sa'amah itu juga merupakan pendapat "ketinggalan zaman dan bersifat kebudak-budakan"

Namun, tanda tanya mengenai kenyataan itu seolah-olah terjawab semalam apabila Pengerusi Umno Kelantan menyampaikan cek RM2 juta kepada pondok itu.


(Mustapa menyampaikan sumbangan RM2 juta kepada Pondok Geting)

Pondok ini dinamakan Madrasah Al-Najmiah. Ia diasaskan pada tahun 1983M oleh Abdullah bin Sa`amah.

Ia terletak kira-kira 40 km dari Bandar Kota Bharu dan hanya kira-kira 1 km dari jalan besar Pengkalan Kubor - Kota bharu.

Pengerusi pentadbir pondok ini adalah Haji Abdullah bin Sa`amah.

Antara kemudahan di pondok ini Madrasa, elektrik, air, kolah air, rumah tetamu dan 18 buah pondok untuk pelajar.

Tiada ulasan: