Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin akan menyerahkan kepada polis nama-nama orang yang disyaki mengendali akaun palsu sebuah laman sosial Facebook didakwa milik pergerakan itu.

Facebook itu dikatakan memaparkan poster berbau hasutan: Jika orang ramai setuju untuk jadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, teruskan sokongan kepada gabungan pembangkang, Pakatan Rakyat.

Anggota Parlimen Rembau itu berkata berdasarkan siasatan dan maklumat yang dikumpul beliau dan rakan-rakannya, 'satu atau dua nama' disyaki mengendali laman facebook palsu itu.

“Satu laporan polis telah dibuat pada Isnin lepas. Kami masih menunggu untuk dipanggil polis untuk memberi keterangan.

“Saya akan menyerahkan maklumat mengenai individu itu...untuk siasatan lanjut apabila dipanggil polis untuk memberi keterangan nanti,” katanya kepada pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Seri Endon, Presint 10 di Putrajaya hari ini.

Khairy berkata poster berbaur hasutan dalam laman Facebook itu tidak mencerminkan pendirian Pemuda Umno dan motif pengendali poster tersebut berpendirian extremis, bodoh atau sabotaj.

Isnin lepas, Setiausaha Kerja Pemuda BN, Ibdilillah Ishak membuat laporan polis berhubung kewujudan laman facebook itu.

- Bernama
Dr M cabar Karpal bukti dakwaan hasutan

  • Nigel Aw
  • 4:45PM Ogos 25 2012
Dr Mahathir Mohamad mencabar pengerusi DAP Karpal Singh supaya membuktikan bahawa beliau membuat kenyataan menghasut ke atas Raja-Raja Melayu semasa perbahasan di parlimen berhubung pindaan ke atas kuasa kekebalan Raja pada 1993.

Cabaran itu disuarakannya susulan usaha Karpal untuk mengemukakan sepina ke atas Mahathir untuk dalam perbicaraan kes yang kini dihadapi MP Bukit Gelugor.

Karpal mendakwa Mahathir telah membuat kenyataan yang lebih menghasut, tetapi terlepas daripada tindakan.

“Boleh dia petik dan tunjukkan saya Hansard itu, jika apa yang saya kata dianggap menghasut?” kata Mahathir dalam satu sidang media hari ini di kediamannya di Sri Kembangan.

Perbicaraan kes yang kini dihadapi Karpal adalah berhubung kenyataannya dalam satu sidang media pada 6 Februari 2009, bahawa tindakan undang-undang boleh diambil ke atas Sultan Perak atas peranan dalam krisis perlembagaan di negeri itu pada tahun berkenaan.
Pas mahu mansuh faedah pinjaman rumah sektor awam
NURUL AINI MOHAMED ALI
25 Ogos 2012
 Pas mahu mansuh faedah pinjaman rumah sektor awam
.
KUALA LUMPUR - Di sebalik spekulasi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan dipanggil bila-bila masa, Pas berjanji untuk memansuhkan faedah pinjaman perumahan kakitangan awam sebanyak empat peratus yang dikenakan sekarang.

Parti itu berkata perkara tersebut akan dikemukakan kepada rakan-rakannya untuk dimasukkan dalam manifesto PRU13 Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, usul ini akan dikemukakan kepada PR sebagai agenda bagi menghadapi PRU13.

"Kita memutuskan untuk memberi usul ini kepada PR semasa mesyuarat Biro Politik, hari ini.

"Jadi, apabila caj ini dimansuhkan, peminjam (kakitangan awam) tidak akan terbeban dengan caj sebanyak empat peratus yang dikenakan sebelum ini (sekarang)," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat Pas, hari ini.

PR, yang dianggotai Pas, PKR dan DAP akan menggunakan manifesto tunggal buat kali pertama.

Perikatan belum didaftarkan ini dibentuk selepas PRU12.

Sebelum PKR berjanji untuk menyediakan pendidikan percuma peringkat institusi pengajian tinggi jika menguasai Kerajaan Pusat.

Baru-baru ini ia juga menawarkan untuk menurunkan harga kereta.
Hadi: Majlis Syura tentukan nasib Nasharudin 9 Sept
NURUL AINI MOHAMED ALI
25 Ogos 2012
 Nasharudin Mat Isa
Nasharudin Mat Isa
KUALA LUMPUR - Pas menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Syura bagi menentukan kedudukan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang menggesa agar parti itu keluar Pakatan Rakyat (PR), selain terlibat dalam pertikaman lidah dengan pemimpin DAP.
Majlis Syura dijadual bermesyuarat pada 9 September ini. Nasharudin juga merupakan anggota Majlis Syura.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kenyataan Nasharudin itu tidak sedikit pun memberi kesan ke atas parti.

"Saya akan serahkan kepada Majlis Syura untuk mengambil sebarang tindakan kepada Nasharudin," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Biro Politik Pas di sini,  hari ini.

Beliau menambah, Pas akan tetap berjuang bersama PR kerana perjuangan agenda perjuangan parti lebih besar berbanding dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Nasharudin sebelum ini.

Beliau turut berkata yang Umno kehilangan tokoh agama dan terpaksa mengambil pemimpin agama dari parti Pas untuk "tumpang semangkuk" kerana mereka tidak ada kewibawaan yang cukup dalam menjawab isu agama.

"Bagi kami, tiada sebarang masalah di kalangan akar umbi jika mahu keluar parti. Pas sendiri ada saluran sendiri jika ada ahli yang mahu keluar parti," katanya.

Tambah beliau, tindakan Nasharudin baru-baru ini juga tidak akan menjejaskan parti sama sekali.

Awal minggu lalu, media memaparkan gambar Nasharudin, Ahli Parlimen Bachok, bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada
dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama di Makkah.

Kemunculan itu mencetuskan tanda tanya di kalangan ahli Pas.

Dalam kenyataannya kepada media Nasharudin menafikan spekulasi akan keluar Pas.

Nasharudin sebelum ini pernah dikaitkan dengan usaha ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan Umno-Pas.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulas isu itu, juga awal minggu lalu, berkata, beliau tidak akan terkejut jika Nasharudin keluar parti.

Awal tahun ini, Pas memecat bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.
Hadi: Pendirian Karpal tidak patah semangat Pas dalam isu hudud
NURUL AINI MOHAMED ALI
25 Ogos 2012
hadi awang
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR - Pas menerima secara positif kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dalam soal hukum hudud dan Negara Islam, tetapi akan meneruskan perjuangan parti bagi menegakkan syiar Islam di negara ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Karpal itu tidak sedikit pun mematahkan semangat perjuangan Pas terus mempertahankan hukum hudud.

"Apa yang Karpal katakan sebelum ini, kita terima saja secara positif. Umno sebelum ini pun pernah memperlekehkan dan memperkecilkan pelaksanaan hukum hudud di negara ini," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Biro Politik Pas, hari ini.
Karpal sebelum ini mengatakan pelaksanaan hukum hudud kemungkinan tidak berupaya mengurangkan jenayah.

DAP dari awal tidak setuju dengan pelaksanaan hukum hudud di negara ini atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Abdul Hadi, Pas akan terus berusaha bagi menjalankan hukum hudud di negara ini melalui proses demokrasi.

"Karpal hanya menentang dan ini tidak mungkin mematahkan semangat kami kerana kami percaya dan sentiasa mendukung sistem demokrasi negara ini," ulas beliau.

Beliau turut menambah, pelaksanaan hukum Hudud ini merupakan perintah ALLAH dan pihaknya tidak akan "menutup mulut" dengan kenyataan yang diberi Karpal.
Mahathir: BN bertambah kuat di bawah kepimpinan Najib

25 Ogos 2012
Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kedudukan kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin kuat di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, jika Perdana Menteri memberi sedikit masa sebelum mengumumkan tarikh pilihan raya umum, sokongan ke atas BN akan berjaya dipulihkan.

"Mereka (pembangkang) kata selepas 55 tahun BN memerintah, sudah sampai masa untuk berubah. Kamu perlu berubah untuk menjadi lebih baik tapi kalau berubah jadi buruk?," katanya kepada pemberita semasa jamuan rumah terbuka beliau di The Mines yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 orang termasuk Perdana Menteri sendiri.

Pada masa sekarang, pembangkang sedang menyemai perasaan benci di kalangan orang ramai terhadap kerajaan sebagai salah satu taktik mereka, katanya.

Katanya keutamaan mereka sekarang ini adalah untuk mewujudkan kebencian ke atas kerajaan dan termasuklah serangan-serangan yang dibuat ke atas dirinya sendiri walaupun tidak lagi memegang kuasa.

"Mengapa nak serang saya kerana saya tidak ada kuasa, macam ada kebencian terhadap saya, mereka hidup atas kebencian ini," katanya.

Katanya bagaimana boleh dikatakan kerajaan hari ini gagal kerana BN berjaya mengekalkan prestasi kewangan semasa dunia dilanda kemelut ekonomi dan ketika dunia hari ini dilanda masalah etnik dan perkauman, kerajaan BN masih mampu mengekalkan keharmonian kaum.

"Mengapa mereka (pembangkang) tidak sebutkan hal ini, sudah tentu jika disebut, rakyat tidak akan benci kerajaan," katanya. - Bernama