Khamis, 29 September 2011

USAHA MELAKSANAKAN DAN PENENTANG PELAKSANAAN...MEMANG ADA..TAK KAN SYAITAN MENDIAMKAN DIRI..JIKA ITU TAKDIR ALLAH TIADA SAPE BOLEH MENOLAK...

Semua tertumpu ke Pejabat Agung PAS malam ini | Print |
Zulkifli Sulong

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Semua mata tertumpu kepada Pejabat Agung PAS malam ini iaitu tempat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan mesyuaratnya.

Walaupun tidak ada panggilan untuk sidang akhbar, adalah dijangka wakil media akan memenuhi perkarangan bangunan PAS itu bagi mendapatkan keputusan mesyuarat yang bakal menentukan hala tuju politik Malaysia selepas ini.

Harakahdaily difahamkan, pimpinan tertinggi PAS, PKR dan DAP akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan cadangan PAS 'untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah untuk orang Islam dan di Kelantan sahaja.'

Isu ini berbangkit ekoran cabaran bekas Perdana Tun Dr Mahathir Mohamed agar kerajaan Kelantan melaksanakan hukum hudud kerana beliau sudah tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Kata Dr Mahathir, beliau telah dianggap oleh PAS sebagai penghalang pelaksanaan hudud ekoran surat amaran yang beliau hantar kepada Menteri Besar Kelantan yang melarang kerajaan negeri Kelantan melaksanakannya.

Ekoran itu, Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau akan meminta kebenaran daripada PM sekarang, Datuk Seri Najib Razak.

Belum sempat permohonan dibuat, Najib sudah berkata, kerajaan tidak akan membenarkan hudud dilaksanakan di negara ini.

Pengerusi DAP, Karpal Singh juga berkata, hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana berlawanan dengan perlembagaan dan DAP tidak bersetuju dengannya.

Yang menjadi bertambah parah lagi apabila media melaporkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, kesemua pimpinan DAP yang ada sekarang akan meletakkan jawatan jika hudud dilaksanakan melalui platform Pakatan.

Walaupun ia laporan yang tidak tepat (kerana apa yang dikatakan beliau adalah kesemua pemimpin DAP akan meletakkan jawatan jika pelaksanaan hudud ada dalam agenda bersama Pakatan iaitu dalam buku Jingga yang telah dikeluarkan), ia telah mengelirukan banyak pihak.

Hubungan PAS dan DAP sebelum ini telah pecah pada tahun 2003 apabila berbangkit isu Negara Islam selepas dokumen negara Islam dikeluarkan PAS.

Selepas satu mesyuarat yang diadakan di sebuah hotel, DAP memutuskan keluar dari Barisan Alternatif (BA) dengan meninggalkan PAS dan Keadilan.

Ekoran dari perpecahan itu dan isu-isu yang berkaitan dengannya, PAS dan Keadilan ketika itu telah kalah teruk dalam pilihan raya umum 2004 termasuk kehilangan sebuah negeri iaitu Terengganu dan mengekalkan Kelantan dengan majoriti yang kecil (tiga kerusi yang kemudiannya menjadi satu kerusi selepas PAS kalah dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir).

Suasana berbeza

Kini, dengan suasana yang berbeza, isu panas antara PAS dan DAP datang lagi dan pemimpin PAS dan DAP akan bertemu lagi. Isunya adalah pelaksanaan undang-undang jenayah syariah yang termasuk hukum hudud di dalamnya.

Tetapi kali ini, ada PKR di tengah-tengah dengan pengerusi kepada mesyuarat ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hampir semua pemimpin kanan ketiga-tiga parti akan hadir dalam mesyuarat yang bermula jam 9 malam ini kecuali Tuan Guru Nik Aziz yang tidak dapat hadir (mungkin keberatan untuk memberikan kebebasan perbincangan).

Bagi penganalisis politik, Profesor Bridget Welsh, hudud bukan isu utama rakyat negara ini sekarang kerana isu utamanya adalah isu ekonomi, isu bagaimana kerajaan BN telah menggunakan duit rakyat untuk mempertahankan kuasa mereka.

Namun, bagi sesetengah pihak dalam PAS, isu ini adalah kebaikan yang datang dalam masalah yang menimpa (blessing in disguise).

Bagi mereka, serangan Umno terhadap PAS kononnya 'PAS adalah kuda tunggangan DAP' akan dibuktikan dalam isu ini.

"Jika PAS berkata bersetuju untuk tidak melaksanakan hudud sebagaimana kehendak DAP, maka sahlah tuduhan Umno bahawa PAS adalah kuda tunggangan DAP.

"Namun, jika PAS, PKR dan DAP dapat mencapai kata sepakat untuk berkata, 'kita benarkan PAS laksanakan undang-undang ini untuk orang Islam sahaja dan di Kelantan sahaja bukan untuk lain-lain negeri', saya yakin halangan untuk Pakatan Rakyat menuju Putrajaya tidak ada lagi.

"Tetapi, jika isu ini gagal dicapai kata sepakat malam ini, dan DAP akan mengambil tindakan yang sama sebagaimana tahun 2003 lalu, Pakatan akan hancur dan saya yakin DAP juga akan kehilangan sokongan khasnya orang Melayu," kata pemimpin PAS itu.

Bagi beliau, Kelantan dimenangi oleh PAS sejak tahun 1990 tanpa sebarang kaitan dengan DAP dan negeri itu berjaya dipertahankan oleh PAS sehingga kini.

PAS pula bersama dengan Pakatan Rakyat membentuk bersama negeri Selangor, Kedah dan juga Pulau Pinang di samping Perak sebelum ini.

Beliau dengan penuh yakin berkata, pihak yang paling rugi jika perpecahan berlaku adalah DAP kerana sudah pasti Selangor akan jatuh dan silap-silap Pulau Pinang pun akan jatuh dalam pilihan raya akan datang tanpa sokongan Melayu.

"PAS boleh jadi akan berjaya mengekalkan Kelantan dan Kedah walaupun bersendirian atau bersama PKR atas sokongan Melayu dengan isu ini dan boleh jadi akan menang juga di beberapa negeri lain," kata beliau.

Namun, bagi Bridget Welsh (gambar kanan) , andaian ini tidak tepat kerana sebahagian Melayu juga tidak bersetuju dengan hudud dan lebih terpengaruh dengan isu ekonomi apatah lagi pengundi Cina dan India.

Namun beliau bersetuju bahawa, jika PAS benar-benar mahu melaksanakannya, ia perlu melalui proses demokrasi yang terbaik termasuk pungutan suara selepas menang agar tidak ada mana-mana pihak yang terasa dizalimi.

"Itupun akan masih ada golongan minoriti yang akan terasa dizalimi," kata beliau kepada Harakahdaily menjelang mesyuarat malam ini.

Namun, semua persoalan di atas akan dicerakinkan oleh para pimpinan utama Pakatan Rakyat malam ini.

Jika mereka berjaya melepasinya, bermakna jalan ke Putrajaya terbuka luas. Namun, jika ujian hasil mainan Tun Dr Mahathir ini gagal diatasi, esok tidak akan ada Pakatan Rakyat lagi.

Pun begitu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustyafa Ali dikatakan sangat yakin, soal pecah antara PAS dan DAP tidak akan berbangkit dalam mesyuarat malam ini.

Ini kerana, binaan Pakatan yang ada sudah cukup kuat untuk menempuh segala badai yang melanda dan yakin pemimpin Pakatan sudah cukup dewasa untuk mengatasinya dengan baik.


Web Kerajaan Melaka nafi Adun Pakatan
Ahmad Danial

BUKIT KATIL, 28 Sept: Kerajaan Negeri Melaka takut kepada kepada bayang-bayangnya sendiri sehingga menafikan fakta bahawa 5 Dun Melaka diwakili oleh Pakatan Rakyat iaitu DAP.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Muhammad Aizat Baharuddin berkata laman web rasmi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melakahttp://adun.melaka.gov.my/ tidak menyertakan sekali maklumat tentang Adun dan Dun dari Pakatan Rakyat sebagai pembangkang.

"Kerajaan Melaka tidak dapat menerima kenyataan bahawa 5 kerusi Dun di Melaka dimenangi pembangkang.

"Macam mana mereka boleh menafikan fakta dan tidak dapat menerima keputusan rakyat. Sepatutnya sebagai laman web kerajaan, pihak terbabit tidak mendiskriminasikan Adun pembangkang keraan mereka dipilih oleh rakyat dan juga berkhidmat untuk rakyat.

"Ini bukan laman web Umno atau BN, ini laman web rasmi kerajaan yang menggunakan domain kerajaan iaitu gov.com," ujar Aizat

Beliau menggesa pihak berkenaan dan 'webmaster' laman web tersebut supaya segera membuat pembetulan agar rakyat tidak memandang serong kepada kerajaan.

"Jangan dek kerana sentimen politik kita tidak dapat membezakan yang mana laman web kerajaan dan parti. Laman web ini sepatutnya menyertakan maklumat lengkap semua Adun tanpa mengira parti politik kerana pembangkang juga adalah sebahagian dari Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk Ketua Pembangkang, ianya termaktub dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri"

Untuk rekod, 5 Dun dimenangi oleh DAP pada PRU 12 lalu iaitu melalui Betty Chiew, Dun Kota Laksamana; Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh); Lim Jak Wong (Bachang), Goh Leong San (Kesidang) dan Tey Kok Kiew (Banda Hilir).


Hari Bertemu Pelanggan sempena 60 Tahun PAS | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Pejabat Agung PAS dengan kerjasama Jabatan Teknologi Maklumat PAS sekali lagi akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan sempena Sambutan 60 tahun PAS pada 30 September dan 1 Oktober ini di Dewan Millenium, Kepala batas, Pulau Pinang.

Menurut Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, ini adalah kali pertama diadakan di sebelah utara tanah air.

“Ia bertujuan untuk memudahkan ahli-ahli berurusan dengan Pejabat Agung di samping melakukan proses pemutihan keahlian sempena dengan sambutan 60 tahun PAS,” ujarnya.

Katanya, kaunter itu akan menawarkan perkhidmatan pendaftaran keahlian PAS, semakan keahlian, mengemaskini maklumat keahlian,mencetak kad dan sijil keahlian serta menaiktaraf keahlian biasa kepada keahlian seumur hidup.

Beliau meminta ahli-ahli PAS yang datang bagi memeriah sambutan tersebut dapat mengunjungi kaunter yang disediakan bagi menyemak status keahlian dan mengemaskini maklumat ahli.

“Kepada ahli lama yang pernah membuat permohonan untuk pindah kawasan tetapi dia tidak tahu status juga boleh membuat semakan di kaunter ini. Kami menyediakan empat petugas pada satu-satu masa. Semua itu boleh diselesaikan,” jelas Takiyuddin.

Menurut beliau, sempena dengan sambutan ini juga ahli-ahli yang berminat untuk mendapat kad keahlian edisi terhad sempena 60 tahun PAS dengan bayaran RM5 sahaja boleh berbuat demikian di kaunter berkenaan.


PAS cadang bawa isu Kg Baru ke antarabangsa | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR,28 Sept: Jika kerajaan terus berdegil tidak mahu memulihara Kampung Baru sebagai khazanah warisan Melayu, PAS akan membawa perkara itu ke peringkat dunia, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar kanan).

"Jika kerajaan terus bersikap keras kepala dengan keengganannya untuk memulihara Kampung Baru sebagai khazanah warisan Melayu, banyak lagi yang akan dilakukan dalam pelan tindakan bersama-sama Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) termasuk membawa perkara itu ke peringkat dunia dan bukan setakat isu nasional sahaja.

"Bukan setakat perjuangan demi mengekalkan warisan bangsa Melayu yang semakin pupus, tetapi kami yang terlibat membantu bantahan penduduk Kampung Baru terhadap Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010 (RUU PPKB 2010) menyifatkan perjuangan itu sebagai pejuangan peribadi kami sehingga dapat diselamatkan Kampung Baru sebagai khazanah warisan Melayu," tegas beliau.

Menurut Salahuddin, para pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru menyifatkan kandungan RUU PPKB 2010 jelas cuba memanipulasi mereka dan mereka membantah dengan menaikkan kain rentang di rumah-rumah mereka.

Hasilnya, bacaan kedua rang undang-undang berkenaan telah ditangguhkan pada sesi Mac 2011.

"Tetapi, jika kerajaan terus berdegil dan RUU PPKB 2010 akan dibaca bagi kali kedua di peringkat jawatankuasa, PAS dan SPKB akan menggunakan semua saluran yang sah di sisi undang-undang untuk mempertahankan Kampung Baru sebagai khazanah warisan Melayu," tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Beliau juga kesal dengan kegelojohan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang melihat Kampung Baru dari sudut keuntungan komersil dan ekonomi semata-mata.

"Pemuliharaan warisan bangsa tidak sepatutnya ditangani secara komersil tetapi ia adalah tanggungjawab sosial kerajaan untuk memulihara warisan bangsa.

"Jika perkampungan Portugis di Ujong Pasir, Melaka boleh dipulihara, mengapa kerajaan BN menunjukkan sikap yang luar biasa rakus terhadap Kampung Baru yang menjadi khazanah warisan Melayu?" Salahuddin mempersoalkan.

Beliau mengingatkan kerajaan supaya jangan terus mengabui mata orang-orang Melayu dengan apa yang didakwa sebagai persetujuan sebahagian mereka yang telah mengembalikan borang referendum yang diedar oleh kerajaan kepada mereka.

"Jangan gunakan suara minoriti untuk menekan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru supaya tunduk dan menyerah kalah kepada taktik pulas tangan kerajaan (Datuk Seri) Najib (Razak)," katanya.

Salahuddin menyifatkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tidak bersikap jujur kepada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru

Menurut beliau, borang referendum itu diedarkan pada Jun 2011 oleh kementerian dengan janji bahawa ia akan dijadikan asas utama untuk menentukan sama ada RUU PPKB 2010 akan diteruskan.

"Pada 17 September menteri wilayah mengumumkan sekali lagi bahawa bacaan kali kedua akan diteruskan pada sesi parlimen Oktober 2011.

"Walau bagaimanapun beliau langsung tidak menyatakan perkembangan referendum yang telah dijalankan," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak hairan dengan taktik di luar apa jua ukuran moral itu..

"Kalau kuota Bumiputera pun mereka nak buang, apa nak dihairankan kalau pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru ditipu," katanya.


Felda Plantation dicagarkan tanpa restu pengurusan | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) curiga dengan keputusan yang dibuat mesyuarat Lembaga Pengarah Felda yang didakwa dipengaruhi ahli politik yang berkepentingan terhadap Felda.

Lebih menimbulkan persoalan apabila mesyuarat pada Ogos lalu dibuat ketika Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab tiada kerana menunaikan umrah.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, salah satu keputusan penting iaitu mencagarkan keseluruhan tanah Felda Plantation kepada kumpulan pelaburannya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) selama 60 tahun wajar dipertikaikan.

Difahamkan, Dzulkifli tidak dimaklumkan apa-apa sebelum cadangan tersebut dibawa dalam Lembaga Pengarah, dan Lembaga Pegarah bersetuju mungkin atas permintaan ahli-ahli yang sebahagiannya ialah orang politik.

"Apa hak Lembaga Pengarah Felda membuat keputusan demikian?

"Adakah ini bermakna FGVH akan membuat pinjaman berskala besar dengan Tanah Felda Plantation sebagai cagarannya?

"Dan bagaimana keputusna itu boleh dibuat di saat Datuk Dzulkifli tiada dalam mesyuarat?Adakah memang sudah dirancang mesyuarat itu dibuat ketika beliau tiada?" soalnya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Gombak Setia, dekat sini hari ini.

Turut menimbulkan keraguan apabila mesyuarat membuat keputusan melantik Pengerusi Felda, Tan Sri ISa Samad untuk menerajui Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) atas alasan program penstrukturan semula FGVH.

Ini kerana Isa bukan peneroka, kakitangan kumpulan Felda, isteri dan anak peneroka yang menjadi ahli berdaftar koperasi.

"Adakah pelantikan beliau melalui 'pintu belakang' bagi membolehkan ekuiti KPF bernilai RM398.32 juta iaitu sebanyak 51 peratus dalam Felda Holding dibawa masuk ke FGVH?

"Adakah ini juga membawa maksud Isa akan menguasai aset KPF yang bernilai RM1.17 bilion dan memudahkannya melaksanakan polisi perniagaan tanpa sebarang gangguan? soalnya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembagunan Wilayah PAS Pusat.

Tuntut pendirian kerajaan


Ekoran beberapa keputusan yang dilihat berpihak kepada individu berkepentingan dan mengenepikan nasib peneroka, Anak mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendirian secara terbuka mengenai keputusan tersebut.

Ini kerana keputusan tersebut dilihat bukan hanya mewujudkan konfrantasi dengan Dzulkifli namun dengan 23 kakitangan kumpulan Felda dan peneroka.

"Perdana Menteri mesti nyatakan pendirian yang jelas mengenai implikasi keputusan ini.

"Anak difahamkan keputusan Lembaga Pengarah ini dipersetujui oleh Menteri yang bertanggungjawab mengenai Felda iaitu Datuk Ahmad Maslan yang didalangi Isa.

"Mereka berdua adalah pengkhianat yang mencampuri urusan Pengarah Besar Felda.Perdana Menteri tidka boleh berdiam diri sahaja," katanya.


Kedah terus utuh dengan pentadbiran sifar rasuah | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Setelah tiga tahun mengurus dan mentadbir negeri, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah ternyata terus utuh dengan pentadbiran sifar rasuah.

Sehingga kini tiada kes rasuah yang disabitkan kepada pemimpin kerajaan mahupun pegawai kerajaan, malah Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah ternyata berjaya mentadbir negeri dengan baik dengan mengutamakan keadilan, pertanggungjawaban dan intergiti.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan, penentangan terhadap rasuah merupakan dasar utama Kerajaan Pakatan Rakyat dan sesiapa sahaja yang terbabit dengan rasuah hendaklah dihukum dan tidak dilindungi, manakala semua urusan kerajaan mestilah dilaksanakan secara telus tanpa sebarang penyelewengan.

Menurut beliau, sejak mengambilalih tampuk pemerintahan negeri, beberapa langkah berhubung hasrat kerajaan untuk menegakkan pentadbiran yang berintegritikan telah dilaksanakan.

Katanya, antaranya termasuklah Menteri Besar dan Exco telah membuat pemotongan gaji dan elaun secara bulanan ke Tabung Tunku Mahmud serta pengurangan elaun mesyuarat bagi Menteri Besar dan Exco yang menjadi anggota Lembaga Pengarah anak-anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC).

"Ahli-ahli Lembaga Pengarah GLC tidak lagi dibayar elaun tetap bulanan seperti yang diamalkan semasa Kedah berada di bawah pemerintahan BN sebelum ini yang mencecah sehingga RM7 juta setahun tetapi sekarang hanya menerima eluan hadir mesyuarat yang tidak pun mencapai RM2 juta setahun," katanya.

Setelah Pakatan Rakyat memerintah Kedah, menurut beliau seperti yang dicatatkan di dalam buku Kedah Sejahtera 2008, Menteri Besar tidak lagi menggunakan jet khas, tidak lagi tinggal di hotel mewah ketika ada urusan kerja di Kuala Lumpur, sebaliknya hanya tinggal di apartmen biasa yang disewa oleh Kerajaan Negeri.

Katanya, Menteri Besar turut meminimumkan perjalanan ke luar negara dengan hanya 3 kali dalam tempoh 3 tahun, manakala Exco pula dinasihati menaiki penerbangan kelas ekonomi jika melakukan perjalanan dengan pesawat walaupun layak menggunakan "business class".

"Sebaik mengambil alih pentadbiran kerajaan pada 2008, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah terus bertindak dengan merangka dan melaksanakan aktiviti strategik dalam bidang pembangunan, pendidikan, pembangunan insan, ekonomi, pertanian, industri, kebajikan dan pelancongan demi merealisasikan gagasan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua," katanya.

Di dalam buku yang diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah itu, Azizan menegaskan, walaupun baru tiga tahun mengurus dan mentadbir negeri, pencapaian Kerajaan Negeri dapat dilihat dengan jelas oleh rakyat.

Katanya, dalam masa yang sama, rakyat juga dapat melihat usaha ke arah kemajuan negeri dan kebaikan rakyat akan diteruskan oleh Kerajaan Negeri melalui Pelan Strategik Kedah Sejahtera 2010-2015 yang telah dilancarkan sebelum ini.

Dari sudut pentadbiran, setelah mengambil alih pemerintahan negeri, pemberian kontrak sesuatu projek di bawah Kerajaan Negeri telah dilaksanakan secara telus dan adil.

Hasilnya, menurut beliau, Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2009 menyatakan Kedah telah berjaya meningkatkan hasil sehingga 205 peratus dari hasil balak berbanding tahun 2007, hasil pemberian konsesi secara tender terbuka," jelasnya.

Sejak Pakatan Rakyat memerintah Kedah, perakuan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 jelas menunjukkan Kerajaan Negeri berjaya meningkatkan hasil negeri.

"Buat pertama kalinya, GLC telah berjaya menyumbang sebanyak RM30 juta kepada Kerajaan Negeri. Sumbangan seperti ini tidak pernah dilakukan semasa Kedah berada di bawah BN sebelum ini.

"Lebih jauh dari itu, ekoran dari perancangan strategik yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah, Defisit Belanjawan 2010 sebanyak RM16 juta telah berjaya diatasi," jelasnya.

Tiada ulasan: