Khamis, 29 September 2011

MASING2 ADA TEMPUH..MASING2 SEDANG BERUSAHA LANJUTKAN TEMPUH..TALI HAYAT ABIS..MAKA ABISLAH...

Keputusan kes PKINK saman Adun BN 23 Okt | Print |
Aslani M

KOTA BHARU, 28 Sept: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguh keputusan kes saman Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) terhadap wakil rakyat BN, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berhubung kes fitnah.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan 23 Oktober hadapan bagi keputusan kes tersebut.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, penangguhan itu dibuat dalam kamar tanpa kehadiran peguam defendan, Datuk Hafarizam Harun.

Saman tersebut dibuat ekoran Mingguan Watan pada edisi ke-17 bertarikh 21-27 Disember 2008 menyiarkan berita berunsur fitnah terhadap PKINK dan tiga lagi pemimpin PAS Kelantan.

Raja Ahmad Zainuddin yang juga Adun BN di Perak bertindak sebagai Penasihat Jabatan Pengarang akhbar berkenaan.

Sebelum ini pada Ramadan lalu Mahkamah Tinggi memerintahkan akhbar Mingguan Watan membayar sebanyak RM1.4 juta kepada Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, Datuk Husam Musa dan Datuk Anuar Tan Abdullah

Pada keputusan itu juga Mahkamah Tinggi memerintahkan Mingguan Watan membayar sebanyak RM675,000 kepada PKINK.

Sebelum ini PKINK menyaman Mingguan Watan dan menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta.

Manakala kes saman terhadap Raja Ahmad Zainuddin dibuat secara berasingan.

Mingguan Watan pada keluaran edisi ke-17 memaparkan tajuk “Siasat Pemimpin-Pemimpin PAS Kelantan Seleweng Ekuiti PKINK” ditulis M Goenawan.

Akhbar mingguan itu mendakwa PKINK mengalami kerugian puluhan juta ringgit akibat penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan beberapa pemimpin PAS Kelantan yang menjadi ahli lembaga pengarah PKINK.

Ekoran penyiaran berita berunsur fitnah tersebut Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Mohd Sabri Abdullah menghantar surat dan memberi notis selama 14 hari untuk membolehkan Mingguan Watan memohon maaf.

Bagaimanapun akhbar berkenaan pada edisi bertarikh 4-10 Januari 2010 menyiarkan berita pihaknya tidak perlu memohon maaf.


Parlimen tak boleh bubar sebelum bajet lulus | Print |
Nazli Ibrahim

PETALING JAYA, 28 Sept: Bajet 2012 yang dibentangkan sebelum pembubaran parlimen dianggap tidak sah dan perlu dibentangkan semula sekiranya parlimen dibubarkan sebelum bajet tahunan tersebut tidak diluluskan terlebih dahulu.

Demikian menurut Pensyarah Fakulti Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Aziz Bari (gambar) hari ini.

Menurutnya proses pembentangan bajet tahunan itu perlu diluluskan terlebih dahulu dalam persidangan yang sama dimana proses tersebut akan memakan masa lebih sebulan.

"Bila bajet dah dibentangkan, ia harus diselesaikanlah sehingga diluluskan dalam persidangan parlimen itu.

"Kalau bajet belum lagi diluluskan tetapi PM dah bubarkan parlimen, bajet tersebut boleh dianggap tidak sah dan bajet baru perlu dibentangkan semula dalam persidangan parlimen selepas pilihan raya dijalankan," kata Dr Aziz yang juga dianggap sebagai pakar perlembagaan.

Beliau juga memberitahu pembentangan bajet tidak boleh dibuat ketika parlimen sudah dibubarkan.

"Kalau parlimen sudah bubar, lagilah tak boleh bentangkan bajet, macamana nak bentangkan bajet sedangkan pada masa itu parlimen dah bubar, dianggap tak wujud," kata beliau lagi.

Pembentangan bajet yang dijadualkan pada 7 Oktober ini perlu dibahaskan oleh Ahli-ahli Parlimen terlebih dahulu sebelum undian untuk meluluskan bajet dibuat dalam mesyuarat ketiga, penggal keempat bagi Parlimen ke-12 yang hanya berakhir pada 1 Disember ini.

Sebelum ini, beberapa pemerhati politik menjangkakan PRU 13 bakal diadakan pada bulan Oktober ini atau beberapa hari selepas Bajet 2012 dibentangkan.

Rata-rata pemerhati politik turut menganggap bajet kali ini merupakan bajet pilihan raya bagi memancing undi pengundi dalam PRU 13 yang pertama kali diterajui oleh Najib.


Madrasah Darussyifa lahirkan ramai hafiz | Print |
Sapar Sutir (saparsutir@yahoo.com)

TAMPIN, 28 Sept: Madrasah Tahfiz Al-Quran Darussyifa kampung Seri Repah Tampin merupakan sekolah agama rakyat yang di uruskan oleh jawatan kuasa yang di bentuk oleh madrasah tahfiz sendiri tanpa mendapat sumber kewangan dari kerajaan.

(Para pelajar tahfiz sedang belajar dengan bimbingan guru mereka)

Namun, tanpa bantuan kerajaan mereka mampu melahirkan para pelajar yang mahir dalam tahfiz al-Quran kerana mampu menghafal al-Quran dalam tempoh masa yang singkat sekitar 3 tahun pelajar di madrasah berkenaan.

Selain itu pelajar-pelajar juga di ajar fardu ain dan tauhid.

Madrasah ini telah di tubuhkan pada 1996 di mana pada awal penubuhan hanya seramai tiga pelajar dan seorang guru yang ketika itu beroperasi di bangunan rumah kayu.

Kini atas sumbangan bantuan dari masyarakat, telah terbinanya bangunan batu yang lebih selesa yang menempatkan seramai 113 pelajar dan sembilan guru sepenuh masa mengajar.

Pada 16.6.2011 madrasah telah menerima kunjungan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Tunku Besar telah bekesempatan melihat sendiri operasi pengajaran al-Quran yang di ajarkan di situ dan sempat melawat ke berapa kawasan di sekitar kawasan madrasah untuk lebih mengetahui keadaan di madrasah tersebut. Madrasah hanya terletak 10 kilometer dari Pekan Tampin.

Madrasah Tahfiz Al-Quran Darussifa di kampung Seri Repah Tampin telah berjaya melahirkan pelajar yang mahir dalam menghafal al Quran.

Pelajar yang di lahirkan dari madrasah berkenaan telah berjaya menjadi guru agama yang terkenal bila memasuki bulan Ramadhan pihak luar juga negara asing memohon untuk mendapatkan imam untuk solat tarawih.

(Bangunan madrasah yang kini menjadi lebih moden)

Pihak Madrasah pernah menghantar pelajar untuk menjadi iman ke negara Afrika Selatan juga ada pelajar berjaya memasuki pusat pengajaran agama yang terkena termasuk di Indonesia bagi memperolehi pengetahuan mengenai al-Quran dan fardu ain lebih mendalam.

Yang Dipertua Madrasah Tahfiz Al-Quran Darussifa, Haji Suhaimi bin Hj. Othman mengatakan tanah di mana terdirinya Madrasah ini adalah tanah yang di wakafkan oleh seorang individu sejak tahun 1996.

Kini pihak madrasah juga telah di berikan seluas 6.1 ekar tanah lagi oleh individu berkenaan untuk tujuan mendirikan bangunan bagi tujuan pembelajaran al-Quran juga hadis yang akan memberikan peluang lebih ramai pelajar dapat pelajar di Madrasah berkenaan.

Pelajar yang belajar di situ terdiri dari mereka yang berlainan latar belakang keluarga dari seluruh negeri di Malaysia juga dari luar negara.

Individu-individu juga pihak syarikat-syarikat besar yang mahu menyumbang kepada madrasah amat di alu-alukan. Sumbangan boleh
di salurkan terus kepada pihak Madrasah Al-Quran Darussifa Kg Seri Repah, Tampin, Negeri Sembilan.


Berapa jumlah pengundi klon? | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Dewan Pemuda PAS mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut mengemukakan hasil siasatan ke atas dakwaan wujudnya pengundi klon atau pemilih yang mempunyai kad pengenalan 'palsu'.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat berkata, sehingga kini tiada sebarang penjelasan berhubung perkara itu biarpun banyak pihak telah mengemukakan bukti wujud parkara tersebut.

Beliau mengulas pengumuman SPR semalam bahawa suruhanjaya itu telah mengeluarkan sebanyak 69,293 nama daripada rekod pemilih berdaftar antara Julai hingga 15 Sept lalu setelah disahkan meninggal dunia.

Selain itu, dalam tempoh berkenaan, SPR juga telah memotong 1,068 nama pemilih berdaftar yang disahkan telah dilucutkan kewarganegaraan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Malah SPR juga menyatakan 50 ribu lagi pemilih sedang di siasat lanjut.

"Yang disemak dan dibuang hanya yang meninggal dunia dan yang dilucut kewarganegaraan.

"Kita juga nak tahu berapa pula yang digugurkan kerana memiliki kad pengenalan klon yang boleh menyebabkan mereka mengundi lebih sekali," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mengulas 50 ribu nama pemilih yang didakwa sedang disiasat SPR itu, Suhaizan berkata beliau yakin sebilangan besarnya adalah pengundi klon yang pernah didedahkan mereka.

Menurutnya, SPR tidak boleh berdalih dalam perkara tersebut kerana Timbalan Pengerusi SPR Dato Wan Ahmad Wan Omar sendiri pada 24 Julali telah mengakui bahawa terdapat kad pengenalan klon atau palsu dalam daftar pemilih sah SPR.

Antara soalan yang memerlukan jawapan telus SPR seperti berikut :

- Berapa banyakkah kad pengenalan lama dimiliki oleh lebih daripada satu identiti pemilih?

- Berapa ramaikah pemilih berkembar?(Memiliki nama pemilih yang sama dan kad pengenalan yang 83% adalah sama)

- Berapa ramaikah pemilih yang berkod negara “71” yang telah digugurkan?

Kejayaan rakyat


Sementara itu, beliau yang juga ketua pemuda PAS Johor menyifatkan pengumuman oleh Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria semalam sebagai kejayaan rakyat yang selama ini mendesak agar daftar pemilih dibersihkan.

Ianya termasuk desakan besar-besaran rakyat melalui tuntutan dalam Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu dan beberapa pendedahan berterusan oleh pelbagai pihak selepas itu.

"Persoalannya apakah SPR akan melaksanakan pemutihan secara intensif tanpa sebarang desakkan daripada rakyat," soalnya.

"Pemuda PAS penuh yakin bahawa pemutihan ini tidak akan berlaku tanpa tekanan yang kuat daripada rakyat. Tahniah rakyat Malaysia," katanya.

Lebih besar ujarnya, pendedahan terbaharu SPR itu telah menempelak penafian Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof pada 19 hb Ogos lalu bahawa kemungkinan kesilapan dalam daftar pemilih SPR hanyalah 0.0001 peratus sahaja.

Ini kerana jumlah pemilih yang digugur dan di siasat adalah 120,361 daripada 12.3 juta pemilih iaitu 0.98 peratus bukannya 0.0001 peratus seperti yang didakwa.


Kuota Bumiputera: Umno terus khianati Melayu | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik hasrat yang mahu menghapuskan terus kuota Bumiputera dan menggunakan sistem meritokrasi sebagai kaedah baru bagi mendesak usahawan Bumiputera untuk bersaing secara terbuka.

“Penghapusan kuota Bumiputera ini adalah satu pengkhianatan Umno kepada orang Melayu dan bukan masanya perkara ini dilakukan,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Noor kepada Harakahdaily.

Katanya, jika kuota dihapuskan, apa lagi yang tinggal sedangkan baki yang ada dari 30 peratus dahulu sebenarnya hanyalah tinggal 12.5 peratus sahaja.

Menurutnya, rakyat tidak lupa bahawa pada 2009, Najib jugalah orang yang bertanggungjawab menurunkan kuota ekuiti Bumiputera daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus dan menurunkan ekuiti bukan Bumiputera daripada 25 peratus kepada 12.5 peratus.

Katanya, demi merealisasikan Model Ekonomi Baru (MEB) Kuota Bumiputera dimangsakan, sedangkan banyak lagi perkara lain yang belum dilakukan Umno sepanjang hampir 12 penggal pemerintahannya.

Tambahnya, kegagalan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) di Jabatan Perdana Menteri memainkan peranannya menunjukan bahawa Perdana Menteri dan Umno tidak serius dalam menjaga hak dan kepentingan orang Melayu.

“Cadangan mewujudkan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) juga hanyalah satu helah untuk menunjukan bahawa mereka telah melakukan sesuatu sedangkan MTEM ini hanyalah dianggotai oleh ahli-ahli yang bernaung dalam Biro Ekonomi Umno yang terus menerus diberikan projek-projek khas oleh agensi Kerajaan,” ujarnya lagi.

Justeru, tegasnya DPPM menyeru agar rakyat dan NGO khususnya kalangan Melayu bangkit menentang dasar itu.

“Jangan biarkan Presiden Umno sekarang menggadai kepentingan Melayu demi meraihkan pelaburan asing dan juga meningkatkan kekayaan kroni-kroni beliau,” katanya.

Sehubungan itu, tegasnya rakyat wajib menolak Umno BN dalam pilihan raya akan datang jika mahu negara ini tidak digadaikan oleh pengkhianat.


Sabuisme: Pensyarah kagum perubahan rakyat | Print |
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 28 Sept: Ungkitan sejarah baru yang ditimbulkan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mengaitkan pejuang Melayu, Mat Indera telah mencetus fenomena baru dalam negara ini.

"Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu telah merancakkan perbualan malah menjadi perbahasan pihak-pihak tertentu sehingga seluruh negara sekarang merungkai balik sejarah-sejarah lama dan inilah fenomena 'Sabuisme'.

"Satu pertubuhan sejarah baru yang sihat di mana sebelum ini kita melihat rakyat terlalu sukar untuk berbicara tentang sejarah malah golongan politik juga tidak mahu menyebutnya tetapi keberani Mat Sabu menjadikan mereka minat untuk mengetahui sejarah yang sebenar," kata Dekan Fakulti Sastera dan Sains Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Dalam pada itu beliau memberitahu sejarah perlu ada malah ia patut menjadi teras kerana sejarah merupakan laluan antarabangsa.

"Perlu ada malah ia perlu menjadi teras ini adalah kerana sejarah merupakan laluan antarabangsa.

"Dalam masa yang sama selain kita mengekalkan sejarah yang ada penemuan baru seperti ini perlu dirungkai dan saya tidak berkata ia perlu ditulis kembali tetapi perlu ada 'renovation' dan digilap kembali sejarah itu kerana telah wujud penemuan baru yang boleh mengukuhkan fakta yang telah ada.

"Selari dengan arus sekarang dalam globalisasi dunia yang mahukan pembaharuan serta tuntutan pelbagai pihak maka sejarah negara perlu dikaji kembali.

"Kita juga tidak mahu hanya golongan yang memperjuangkan kemerdekaan sahaja dikatakan pejuang sedangkan mereka yang lebih awal tidak pernah dikatakan sebagai pejuang kemerdekaan dan bagi saya tidak salah ia dipulihkan," sambungnya lagi.

Mengaitkan Mohamad sebagai pencetus polemik politik negara, beliau begitu kagum dengan perubahan rakyat di negara ini.

"Saya menghadiri satu forum di Kota Bharu yang mana Mohamad Sabu adalah salah seorang panel bersama saya dan belum terjadi dalam sejarah negara dengan kehadirian puluhan ribu orang pada forum tersebut kerana ingin mengetahui sejarah sebenar negara ini.

"Saya amat kagum dengan perubahan tersebut malah bukan di sana sahaja, forum di Jabatan Sejarah juga melihatkan kehadiran yang ramai. Rakyat sudah bangkit dalam fenomena sejarah baru kita.

"Kalau dulu forum sejarah yang dijadualkan pukul 8 tapi 8.30 baru kita lihat kehadiran tetapi hanya beberapa kerat tetapi sekarang semua rakyat berlumba-lumba untuk mengetahui sejarah sebenar," tambahnya lagi.

Mohamad juga memberitahu di wacana "Wajarkah sejarah ditulis semula" anjuran Sinar Harian di Shah Alam, semalam itu bahawa penemuan baru perlu dikaji kembali dan sejarah bukannya perlu ditulis kembali tetapi perlu digilap serta dilakukan perubahan selaras dengan penemuan baru.

"Berkaitan dengan Mat Indera yang sebelum ini mengatakan beliau adalah komunis tetapi penemuan baru menafikan dakwaan tersebut dan ini merupa fakta sejarah yang penting.

"Mungkin komunis ini adalah taktik baru untuk beliau menentang penjajahan Inggeris apabila barisan hadapan yang lain telah mengharamkan penglibatannya untuk berjuang," usulnya lagi.

Turut menjadi ahli panel Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mohd Puad Zarkashi, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan sejarawan, Prof Datuk Ramlah Adam.

Mohamad Sabu telah mengejutkan negara apabila ucapannya pada 21 Ogos lalu mengenai tragedi Bukit Kepong dan Mat Indera menimbulkan ketidaksenangan pihak tertentu.

Kenyataan yang dikeluarkan olehnya telah menyebabkan beliau didakwa di mahkamah kerana menyifatkan pasukan polis yang mempertahankan rumah pasung Bukit Kepong sebagai "polis British".

Tiada ulasan: