Jumaat, 23 September 2011

MAAF JE...TAK BERTAUBAT...BAGAIMANA DOSA2 YANG LAIN...AGAK2LAH...JANGAN KITA MENGAJAR PERKARA SIA2 DAN MENGABAIKAN HUKUM DALAM BAB CARI REZEKI

Simpanan tunai Selangor RM1.1b, rekod 28 tahun | Print |
Harakahdaily

SHAH ALAM, 23 Sept: Dalam tempoh enam bulan tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor berupaya menambah simpanan tunai sebanyak RM200 juta, menjadikannya RM1,100 juta.

“Jumlah ini merupakan rekod kewangan paling baik negeri bertuah ini dalam tempoh 28 tahun,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Santapan Malam anjuran Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.

Selain Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, pada akhir tahun lepas, simpanan tunai Kerajaan Negeri Selangor berjumlah sebanyak RM918 juta.

Secara keseluruhan, katanya, kejayaan Selangor memperkasa pembangunan dan melestarikan kemajuannya adalah dengan restu, nasihat dan sokongan penuh Tuanku Sultan terhadap kerajaan negeri sekarang yang mengamalkan tadbir urus yang telus, bertanggungjawab, berhemah dan berhemat.

Katanya, Negeri Selangor juga telah menunjukkan peningkatan yang begitu ketara di dalam jumlah pelaburan dalam negeri.

Jelasnya, semenjak 2008 hingga Jun 2011, Selangor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah lebih RM35,000 juta.

Ini bermakna, ujarnya Kerajaan Negeri Selangor sekarang bukan sahaja berjaya meningkatkan hasil negeri tetapi juga berjaya melaksanakan pengurusan kewangan dengan cekap dan berkesan.

“Walhal pada awalnya adalah menjadi kekhuatiran yang teramat sangat dalam diri patik selaku peneraju Kerajaan Negeri yang baharu untuk memikul amanah majoriti rakyat majmuk di negeri Selangor yang inginkan pembaharuan dalam erti kata hasil mahsul negeri dinikmati secara adil dan saksama dalam kalangan rakyat majmuk di negeri ini,” ujarnya.

Beliau menambah, demi kemaslahatan negeri dan rakyat negeri ini seluruhnya pula, Kerajaan Selangor sekarang melaksanakan dasar “Merakyatkan Ekonomi Selangor” yang mengandungi pelbagai program kebajikan bagi membantu rakyat majmuk pelbagai peringkat agar dapat sama-sama menikmati hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini.

Menurutnya, melalui dasar itu, beliauk dan barisan kepemimpinan di peringkat negeri, daerah, mukim dan kampung bersependapat bahawa hasil bumi negeri Selangor ini adalah milik rakyat Sultan Selangor.

Oleh itu, katanya limpahan daripada hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini sewajarnya dikembalikan kepada seluruh rakyat negeri Selangor supaya sama-sama menikmatinya.

Katanya, dengan penduduk negeri berjumlah 5.3 juta orang yang terdiri daripada Melayu sekitar 49 peratus; Cina sekitar 29 peratus, India sekitar 16 peratus, dan keturunan lain sekitar 6 peratus, mereka tanpa mengira kelainan bahasa, agama, latar belakang pendidikan dan kecondongan politik, adalah layak menerima bantuan menurut program dan skim yang ditawarkan oleh kerajaan negeri sejak Jun 2008, sejajar dengan misi menjadikan Selangor sebuah negeri idaman, maju dan berkebajikan.

Beliau berkata, sejak dasar itu diperkenalkan 100 hari selepas menerajui pentadbiran Negeri Selangor hinggalah Jun 2011; sejumlah RM500 juta telah disalurkan terus kepada rakyat Selangor.

Selain itu, katanya Skim Air Percuma 20 meter padu berjumlah melebihi RM387 juta, Skim Tabung Warisan (RM1.8 juta), Hadiah Anak Masuk Universiti (RM19 juta), Skim Usia Emas dan OKU (RM49 juta) dan Skim Mikro Kredit Luar Bandar dan Kemiskinan Bandar yang kini melebihi RM2 juta dan berbagai-bagai bantuan kemasyarakatan yang akan diberikan secara berterusan.

Dalam bidang pelaburan pula, beliau bersyukur kerana negeri Selangor terus didatangi oleh para pelabur dari dalam dan dari luar negara.

Katanya, sejak Januari hingga 30 Jun tahun 2011 ini sahaja jumlah pelaburan negeri Selangor bernilai sebanyak RM5,200 juta iaitu 18 peratus dari keseluruhan pelaburan di dalam negara.

Beliau menambah, pelaburan tersebut terdiri dari pelaburan domestik sejumlah RM2,100 juta dan pelaburan asing berjumlah RM3,100 juta.

“Ini bermakna Selangor berada di tempat teratas dalam keseluruhan pelaburan di dalam negara,” katanya.

Menurutnya, dari jumlah RM5,200 juta pelaburan tersebut terdapat sebanyak 135 projek yang terdiri dari 89 projek baharu dan selebihnya 46 projek sedia ada.

“Hal ini menjadikan Selangor jauh meninggalkan negeri-negeri lain yang kebanyakannya mempunyai tidak lebih dari 50 projek,” katanya lagi.

Jelasnya, melalui pelaburan RM5,200 juta di atas Selangor telah berjaya membuka ruang pekerjaan sebanyak 10,000 pekerjaan yang kebanyakannya di dalam bidang elektronik dan elektrikal produk.

“Selangor berbangga menjadi penyumbang terbesar cukai dalam negara iaitu sebanyak 21 peratus pada 2010 dan kita menjangkakan jumlah yang sama dapat kita unjurkan pada tahun ini jika tidak jumlah yang lebih besar,” katanya.

Rakyat Selangor juga, kata beliau menikmati hasil dari pengurusan hasil pasir yang kini dijalankan secara tersusun kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri; Kumpulan Semesta Sdn Bhd di mana peningkatan hasil pasir amat ketara sekali.

Katanya, pada tahun 2007, kutipan royalti hasil pasir hanya RM4 juta, 2009 sejumlah RM 5 juta dan pada 2010 melonjak kepada RM11 juta.

Menurutnya lagi, manakala pada tahun ini setakat bulan Jun telah mencapai kepada RM12 juta.

“Sejak ditubuhkan hingga setakat Jun 2011, Kumpulan Semesta telah berjaya mengumpul keuntungan berjumlah hampir RM50 juta,” katanya.


Mahathir patut nasihat Najib tarik surat ugut Kelantan | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 22 Sept: "Tun Dr Mahathir Mohamadlah yang sepatutnya menasihati Perdana Menteri supaya menarik balik surat yang mengugut mahu dikenakan tindakan terhadap Kelantan sekiranya Kanun Jenayah Syariah (II) dilaksanakan," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Dr Mahathir jangan hanya pandai menyuruh (Menteri Besar Kelantan) Tuan Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) "pi la tanya (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kot dia nak bagi (laksanakan hukum hudud)".

"Beliau sendirilah yang sepatutnya menasihati Najib supaya menarik balik surat ugutan itu.

"Kalau Dr Mahathir boleh menasihati Najib supaya menangguhkan pilihan raya, tak mungkin beliau tak boleh nasihatkan Najib supaya menarik balik surat yang mengugut mahu dikenakan tindakan terhadap Kelantan sekiranya Kanun Jenayah Syariah (II) dilaksanakan," kata Salahuddin.

Surat yang masih dalam simpanan pejabat Menteri Besar Kelantan itu dihantar kepada kerajaan Kelantan oleh Dr Mahathir sendiri atas sifatnya sebagai Perdana Menteri waktu itu.

Ketika menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir juga memberi amaran pada 14 Ogos 1994 bahawa "kita (kerajaan pusat) akan ambil tindakan jika Kelantan meneruskan usaha melaksanakan hudud".

Salahuddin juga menyeru Dr Mahathir menarik balaik pelbagai tuduhannya terhadap hukum hudud.

"Sempena bulan Syawal ini, saya dengan rendah diri menyeru Dr Mahathir menarik balik pelbagai tuduhannya terhadap hukum hudud.

"Beliau pernah menuduh perlaksanaaan hukum hudud boleh menyebabkan umat Islam menjadi mundur," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Dalam temubualnya dengan wartawan pada 18 Ogos 1991, Dr Mahathir dilaporkan mendakwa perlaksanaaan hukum hudud boleh menyebabkan umat Islam menjadi mundur kerana tidak boleh bersaing dengan orang bukan Islam apabila orang Islam dipotong tangannya dan dilakukan hukum hudud yang lain, sedangkan orang bukan Islam tidak dikenakan.

Dalam ucapannya pada di Papar Sabah 2 Mei 1992 pula, Dr Mahathir dipetik sebagai berkata: "Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa2 lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama".

Salahuddin berkata, Dr Mahathir sepatut berjiwa besar dan menarik balik persendaannya terhadap hukum potong tangan itu memandangkan hukum tersebut diperintahkan di dalam al-Quran.

"Kalau ada kelapangan, dengan rendah diri juga saya menyeru Dr Mahathir membaca surah al-Maidah ayat 38 dan 39," kata beliau.

Ayat tersebut membawa maksud, "Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Maka barangsiapa bertaubat (diantara pencuri-pencuri itu) sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Semalam, Dr Mahathir meminta Tuan Guru melaksanakan hukum hudud di Kelantan sekarang memandangkan beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri yang dahulunya dianggap menghalang hasrat kerajaan negeri itu melaksanakannya.

“Saya bukan perdana menteri dah, pasal apa tak laksanakan (hudud). Pi la tanya Najib kot dia nak bagi... ni dia (Nik Aziz) dok salahkan saya kononnya pasai saya, (PAS) tak dapat laksana hukum hudud,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, The Malaysian Insider melaporkan, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan sokongannya kepada Kelantan yang sudah lebih sedekad berhasrat mahu melaksanakan undang-undang hudud sambil berkata perundangan yang diusahakan oleh kerajaan PAS itu melindungi hak bukan Islam.


Analisis Pakatan Rakyat menuju PRU 13 di Sabah
Siti Salasiah Salamun
Pendahuluan

Pada 16 September yang lalu, bersamaan dengan sambutan Hari Malaysia, Konvensyen Pakatan Rakyat Sabah telah berlangsung dengan jayanya di Convention and Event Center, Star City, Kota Kinabalu Sabah. Konvensyen ini dihadiri oleh semua penyokong dan ahli dari Pakatan Rakyat seluruh negeri.

Konvensyen yang bermula dari pukul 1.00 petang hingga 5.00 petang itu bertujuan untuk merasmikan Buku Jingga Pakatan Rakyat Negeri Sabah. Lim Kit Siang, Haji Mohamad Sabu dan Datuk Seri Dr Wan Azizah antara pimpinan Pakatan Rakyat yang turut hadir memberikan ucapan dan sekaligus merasmikan Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Tawaran PR

Tawaran baru Pakatan Rakyat (PR) untuk rakyat Sabah meliputi 20 perkara. Antaranya adalah mengenai agama, menjunjung kedaulatan negeri Sabah, menangani pendatang asing tanpa izin (PATI), pemuliharaan tanah Sabah, Borneonisasi, pengambilalihan Blok L dan M, 20 perkara autonomi Sabah, royalti minyak dan gas, dasar kabotaj, pengawalan cukai hasil negeri Sabah, kajian fungsi FELDA dan FELCRA, Yayasan Orang Asal, pembasmian kemiskinan, perumahan rakyat, peranan Yayasan Sabah dan lain-lain.

Penerimaan rakyat Sabah terhadap PR pada masa ini adalah pada tahap yang amat baik. Di sesetengah kawasan, wakil PR sama ada terdiri daripada PAS, DAP atau PKR, dijadikan rujukan utama oleh masyarakat setempat untuk memberitahu masalah dan mendapatkan penyelesaian kepada masalah itu, hal ini menjadi simbolik kepada ketidakcekapan wakil rakyat BN yang ada untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Menurut Ketua Penerangan Pas Sabah, Hisamudin Sulaiman yang juga merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Pensiangan, apabila beliau turun mendengar keluhan dan permasalahan masyarakat di kawasannya, di samping mendedahkan penipuan yang dilakukan oleh BN, pada ketika itulah masyarakat sedar bahawa selama ini mereka hanya ditipu dan tidak diambil berat langsung oleh wakil rakyat yang dipilih oleh mereka dalam PRU lalu.

Beliau juga mendakwa bahawa penduduk kampung memberikan kepada beliau beberapa pucuk surat yang mengandungi berbagai-bagai permintaan daripada penduduk kampung. Beliau menegaskan kepada penduduk kampung bahawa tugas wakil rakyat yang dipilih dalam pilihanraya bukan hanya untuk memberikan beras sekilo dua ataupun memberikan ‘tandas segera’, tetapi ia lebih dari itu, iaitu mendengar dan menyelesaikan permasalahan yang wujud.

PAS mengukuh di Sabah

Di kawasan Sandakan pula, penerimaan masyarakat terhadap PR juga pada tahap yang amat memberangsangkan. Masyarakat di sekitar Batu Sapi sangat teruja apabila mengetahui bahawa Tuan Guru Haji Hadi akan turun ke kawasan mereka, namun harapan mereka untuk bertemu dengan dengan beliau tidak kesampaian apabila beliau tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Namun kedatangan beliau di tempat lain seperti di Tawau, amat meriah dan disambut dengan baik.

20 perkara yang ditawarkan oleh PR untuk rakyat Sabah dalam PRU ke 13 yang diurakan-urakan bakal berlangsung dalam masa terdekat ini, merupakan antara isu yang sangat genting dan menjadi satu tuntutan kepada PR untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat Sabah jika PR berjaya menakluki ‘fixed deposit’ BN ini.

Antara isu yang cukup sinonim dengan rakyat negeri ini, adalah isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). Di semua kawasan, terutamanya kawasan pedalaman, seperti di kawasan Pensiangan, kawasan Batu Sapi, dan kawasan Beluran serta di Merotai, penduduk kampung meneroka dan mengusahakan tanah-tanah tersebut untuk dijadikan kawasan petempatan dan pertanian atau penternakan. Apabila tanah-tanah tersebut diusahakan, ia sepatutnya menjadi milik penduduk yang mengusahakannya.

Namun, hal yang sebaliknya pula terjadi apabila kerajaan sewenang-wenangnya merampas tanah NCR tersebut. Pampasan yang dijanjikan hanya menjadi ‘pemanis mulut’ sahaja tanpa ada tindakan susulan. Rakyat dibiarkan turun naik ke mahkamah dan akhirnya kes ditutup.

Pembelaan yang sewajarnya dibuat oleh wakil rakyat seperti yang diharapkan oleh penduduk kampung, tidak terjadi. Malahan wakil rakyat pula hilang entah ke mana. Hanya akan muncul apabila ada program nyanyian, kebudayaan dan acara tari menari yang sememangnya sinonim dengan jiwa wakil rakyat BN negeri ini.

Tahun ini, PAS Sabah amat tekun dan gigih untuk memastikan Sabah tidak lagi menjadi ‘fixed deposite’ BN pada PRU akan datang. Pada Mei tahun ini, Konvensyen PAS Sabah yang berlangsung di Sabah Hotel, Sandakan yang bermatlamatkan “merakyatkan PAS di Sabah” telah mengusulkan juga beberapa tindakan lain antaranya untuk menyebarkan isi kandungan Buku Jingga, menarik undi masyarakat bukan Islam, mengenalpasti permasalahan masyarakat setempat, kursus pilihanraya kawasan dan penekanan kualiti ahli.

Seminar pendidikan yang diadakan di Kundasang yang turut berlangsung beberapa bulan yang lalu turut menarik perhatian. Resolusi seminar ini antaranya menubuhkan Sekolah Rendah Islam (SRI), menubuhkan Pusat Pendidikan Islam, Pusat Tahfiz, Pondok Fi Zilalil Quran, Madrasah Al Ulumiyyah wa Tarbiah dan sebagainya.

Hal ini berikutan insitusi keagamaan yang seperti ini yang kurang di Sabah. Ia merupakan langkah yang sangat bijak untuk mendekatkan rakyat Sabah terhadap ilmu keagamaan yang bersistemkan madrasah, pondok dan SRI.

Pada 17 September yang lalu pula, Konvensyen Pas Negeri Sabah telah berlangsung di Yaho Hotel, Kota Kinabalu. Konvensyen pada kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran semua ahli PAS dari seluruh pelusuk negeri ini. Konvensyen yang berlangsung selama sehari ini turut mengupas mengenai Negara Berkebajikan: Tawaran Pas yang telah disampaikan oleh ahli parlimen Pasir Putih Kelantan, Ustaz Muhammad Husin.

Menariknya, konvensyen kali ini menggunakan buku MENEGAKKAN PERJUANGAN: Memenangi Pilihanraya Menerusi Persiapan Tarbiyyah yang ditulis oleh Ustaz Datuk Abu Bakar Chik yang turut digunakan ketika Ijtimak Tarbawi DPPP di Rusila Terengganu pada Oktober tahun lalu.

Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan iaitu ‘Menegakkan Perjuangan’ yang disampaikan oleh Ustaz Anuar Ali merangkap Timbalan Pesuruhjaya Pas 3, ‘Pilihanraya adalah Jihad dan Wasilah Perjuangan’ yang disampaikan oleh Ketua Dewan Ulama Pas Sabah, Ustaz Nuruddin Abdullah dan pembentangan ketiga mengenai ‘Adakah PAS boleh menang dan memerintah Malaysia’ yang disampaikan oleh Ketua Penerangan PAS Sabah, Saudara Hisamudin Sulaiman. Majlis ini diakhiri dengan bacaan doa wehdah oleh Ketua Pemuda PAS Sabah, Saudara Lahirul Latigu.

Jaringan PAS dan NGO

Konvensyen PAS kali ini juga disertai oleh beberapa wakil NGO yang turut serta bersama-sama memperjuangkan isu setempat, antaranya NGO ini bekerjasama dengan PAS Sabah untuk menangani isu alam sekitar yang melibatkan pembukaan lombong arang batu di Felda UMAS. Hasilnya, mereka berjaya menghentikan pembukaan lombong tersebut. Hal ini secara tidak langsung menampakkan bahawa PAS adalah sebuah parti yang universal, tidak hanya merangkumi hal ehwal keagamaan semata-mata.

Di Sabah, pilihanraya Parlimen Batu Sapi yang diadakan tahun lalu adalah cerminan kepada usaha PR di Sabah, khususnya di Sandakan. Walaupun ketika itu wakil dari PKR yang menjadi calon bertanding, namun usaha untuk memenangkan calon ini turut dibantu oleh jentera dari semua parti PR. Hasilnya, lebih 3000 pengundi yang mengundi calon PKR ini. Ia merupakan satu ‘hint’ awal betapa rakyat Sabah mahukan perubahan yang lebih baik dan wakil rakyat dipilih biarlah menjadi mata dan telinga kepada rakyat di parlimen nanti, bukan hanya melihat dan membiarkan rakyat terseksa.

Keberkesanan pendidikan rendah PAS

Penerimaan masyarakat terhadap PAS juga turut dilihat melalui peningkatan murid yang berdaftar di PASTI yang ada di seluruh negeri. Hal ini menunjukkan kepercayaan yang tinggi oleh masyarakat agar anak-anak mereka dapat dididik dengan baik dan berkonsepkan Islam.

Dakwah Islamiyyah turut dapat disebarkan secara ‘bil hikmah’ melalui PASTI. Rata-rata ibu bapa pelajar yang menghantar anak-anak ke sekolah PASTI, berpakaian tidak menepati syariat Islam dan disinilah peranan guru ditonjolkan. Beretika pakaian yang sopan dan menutup aurat merupakan tuntutan wajib untuk semua guru PASTI.

Pada masa ini juga, PASTI beroperasi di seluruh tempat yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan tidak hanya tertumpu pada sesuatu kawasan sahaja. PASTI ada di bandar-bandar besar, di flat-flat mewah dan ada juga di kawasan perumahan elit. Hal ini menunjukkan bahawa PAS mampu untuk memberikan pendidikan bukan hanya kepada golongan sasaran tertentu sahaja tetapi merangkumi kepada semua golongan.

Rintangan seteru politik

Namun, kepastian yang nyata adalah pihak BN tidak akan pernah untuk berdiam diri membiarkan Sabah jatuh ke tangan PR. Ternyata pelbagai usaha difokuskan kepada negeri ini untuk memenangkan BN di Sabah pada pilihanraya akan datang.

Ketika syawal baru-baru ini pun, Ketua Menteri turun ke semua masjid yang ada untuk menyampaikan sumbangan dan membuat rumah terbuka menjamu rakyat yang dahagakan janji ketika PRU lalu. Pemberian beras dan barang-barang keperluan lain kepada golongan sasaran seperti ibu tunggal atau orang kurang upaya sudah menjadi kelaziman untuk wakil BN apabila turun bertemu masyarakat.

Malangnya wakil BN menganggap bahawa itu sudah cukup untuk memadamkan janji-janji yang dibuat ketika PRU lalu. Rakyat Sabah sudah bertahun hidup dalam keadaan yang sama, tidak ada perubahan yang drastik walaupun Sabah merupakan negeri yang kaya pada suatu ketika dahulu. Jalan raya misalnya, hanya dibaiki apabila tiba musim pilihanraya, jambatan di kampung hanya akan dibaiki apabila wakil rakyat BN akan melawat kampung tersebut dan jalan yang berlubang hanya akan ditampal apabila Ketua Menteri melawat kawasan tersebut.

Fenomena yang amat menyedihkan. Adakah rakyat yang tinggal di kawasan itu tidak berhak untuk mendapat kemudahan yang baik? Kenapa perlu tunggu ‘orang besar’ masuk ke kawasan tersebut baru semuanya akan dipulihkan? Saya menyarankan agar Ketua Menteri dan jemaah menterinya berulang alik dari Sandakan ke Kota Kinabalu, atau dari mana sahaja, dengan menaiki kereta melalui jalan raya yang ada. Biar mereka turut merasai betapa sistem perhubungan jalan raya yang ada di negeri ini berada pada tahap yang amat teruk.

Di kawasan Sandakan, misalnya di kawasan pedalaman Batu 12, sehingga saat ini penduduk masih belum mendapat bekalan air bersih walhal tempat tersebut mempunyai sekolah dan petempatan. Penduduk di kawasan itu juga perlu menunggu 11 tahun untuk mendapatkan sistem perhubungan jalan raya yang lebih baik.

Logik atau tidak rakyat perlu menunggu bertahun lamanya untuk mendapat kemudahan yang lebih baik? Sedangkan BN memerintah Sabah lebih lama daripada tempoh itu. Jika anda berkesempatan ke Sandakan, anda akan melihat sepanjang jalan dari Batu 14 hingga ke Batu 12, jalan raya sedang dalam proses pembesaran. Hal ini rentetan daripada jumlah kenderaan yang semakin bertambah. Satu langkah yang amat baik dan disambut baik oleh semua penduduk namun persoalan yang timbul, kenapa sekarang usaha itu dibuat?

Kenapa tidak selepas sahaja kemenangan BN di Sabah pada PRU lalu? Bergerak pula ke kawasan bas ekspres Sandakan, anda akan melihat satu kawasan yang amat daif. Kawasan bas ekspress ini hanya terdiri daripada beberapa pondok tiket bas dan tandas serta beberapa gerai jualan makanan. Dan lebih malang lagi, kawasan bas ekspres ini tidak berbumbung.

Namun, jika anda ke Tawau atau Kota Kinabalu, anda akan dapat merasakan bahawa stesen bas ekspres yang ada setaraf dengan stesen bas ekspres di bandar utama negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Cukup lengkap dan gah. Walhal, Ketua Menteri Sabah adalah anak jati Sandakan, namun mengapa Sandakan seakan-akan dianaktirikan, sedangkan Sandakan merupakan bandar terpenting selain Kota Kinabalu dan Tawau.

Stesen bas harian yang terletak di tengah-tengah bandar Sandakan turut mengalami nasib yang sama, dianaktirikan daripada pembangunan. Stesen bas ini tidak berbumbung, (kecuali stesen bas Labuk yang merupakan stesen bas swasta) dan ia sangat menyukarkan pengguna apabila hujan. Hal ini bertambah sukar apabila terdapat bas sesuatu kawasan yang adakalanya jauh dari tumpuan orang ramai.

Hal ini sudah wujud bertahun lamanya tanpa ada apa-apa tindakan daripada pihak kerajaan negeri. Perkara ini patut dipandang dengan serius kerana kebanyakan penduduk menggunakan bas sebagai pengangkutan utama. Jika hal ini tidak ditangani dengan baik, ia akan membebankan rakyat. Jika alasan sempit dan tidak ada ruang yang diberikan, ia adalah tidak relevan kerana kemudahan ini adalah lebih penting daripada pembinaan kompleks membeli belah (Harbour Mall) yang semakin pesat dibangunkan di pinggir bandar Sandakan. Jika kompleks ini ada tempatnya di bandar ini, kenapa pula tidak boleh diperuntukkan tempat untuk stesen bas harian?

Masalah setinggan

Isu setinggan juga amat sinonim dengan negeri ini sama ada di Sandakan, Kota Kinabalu dan Tawau. Di Sandakan, kawasan setinggan BDC yang dulunya terletak di Batu 2 dirobohkan tanpa pembelaan yang wajar diberikan kepada penduduk yang terlibat. Kawasan tersebut kononnya akan digunakan untuk mendirikan Hotel Sri Malaysia namun sehingga ke hari ini, lebih dari 5 tahun kawasan setinggan itu dirobohkan, belum pun ada tanda-tanda pembangunan dilakukan. Semuanya hanya untuk menghapuskan kawasan setinggan agar negeri ini dikatakan ‘zero setinggan’ walhal hakikatnya rakyat merempat dan terpaksa mencari tempat tinggal yang lebih mahal kosnya.

Adakah ini langkah yang betul-betul bijak mengurangkan kemiskinan di Sabah? Penduduk masa kini yang tinggal di kawasan setinggan bagaikan telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja tempat mereka akan dirobohkan. Ketika berkunjung ke Batu Sapi Ramadhan lalu, rumah penduduk di kawasan Kampung Lupak Meluas juga ingin dirobohkan dan tidak ada seorang pun wakil rakyat yang turun menjadi ‘front liner’ mempertahankan penduduk.

Apabila ditanya kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab merobohkan kawasan tersebut, mereka hanya menyatakan bahawa wakil rakyat mereka yang memberikan arahan. Sudah terang lagi bersuluh bahawa wakil rakyat yang dipilih oleh mereka hanya ‘menyayangi’ mereka apabila tiba musim pilihanraya sahaja.

Isu PATI

Kebanjiran PATI di Sabah juga tidak dapat ditangani dengan baik oleh kerajaan Negeri. Tawaran PR untuk PRU akan datang adalah menyempurnakan penubuhan Suruhanjaya DiRaja bagi mencari jalan menyelesaikan kemelut pendatang asing tanpa izin di negeri ini. Pendaftaran PATI sebagai penduduk tetap yang dijalankan oleh kerajaan bulan lalu amat membimbangkan.

Penduduk amat takut jika hak yang sepatutnya dimiliki dirampas dan diberikan kepada PATI. Pendaftaran yang dilakukan juga amat merobek hati penduduk, kerana ada antara penduduk tetap negeri ini yang terpaksa berurusan ke Putrajaya semata-mata untuk mendapatkan kad pengenalan penduduk tetap, tetapi kerajaan sewenang-wenangnya memberikan hak tersebut kepada PATI.

Rakyat menghabiskan ribuan ringgit dan perlu menanti bertahun-tahun untuk mendapatkan kad pengenalan, PATI pula mendapat kerakyatan hanya dalam masa beberapa jam. Bukan itu sahaja, kebanjiran PATI di Sabah turut menyebabkan kadar jenayah meningkat. Pecah rumah, mencuri, penyeludupan rokok dan sebagainya turut membimbangkan masyarakat tempatan.

Pelbagai isu yang boleh dicanang untuk menjatuhkan BN di Sabah, point utamanya adalah menyampaikan kepada masyarakat tentang maklumat dan kebenaran yang sepatutnya mereka ketahui.

Meraih kepercayaan penduduk tidak mudah, tapi apabila kita menyampaikan kebenaran insya Allah mereka akan dapat berfikir pilihan yang lebih baik. Jika tempat mereka tidak boleh diakses menggunakan internet, kita perlu turun menyampaikan. Keadaan di Sabah amat berbeza dengan kawasan lain.

Di Sabah ada tempat yang perlu untuk menaiki kereta pacuan empat roda, ada tempat yang hanya boleh menggunakan pengangkutan air, dan ada jalan yang tidak berturap, dan tanah merah. Namun semua ini bukan halangan untuk kita membantu menyampaikan kepada masyarakat. Saya amat yakin dan percaya bahawa rakyat di bawah bayu ini mahukan perubahan kerana semuanya sudah muak menderita di bawah pemerintahan BN yang tidak mempedulikan rakyat.

Penutup

Bahang pilihanraya semakin terasa samada akan diadakan pada tahun ini atau tidak. Pelbagai usaha harus dijalankan oleh semua jentera pilihanraya kawasan. Penculaan, mengenalpasti permasalahan setempat, mendekati golongan sasaran, menarik undi bukan Islam, memantapkan kualiti ahli dan memperbanyakkan program dan aktiviti bersifat luaran, tidak hanya tertumpu aktiviti dalaman sahaja. Jika usaha sudah dibuat sebesar Gunung Kinabalu dan sedalam Lautan China Selatan, namun jika kemenangan masih belum diberikan, bersabarlah kerana Allah SWT beserta dengan orang-orang yang sabar.


Hantu Bonceng: Peminat hargai Zizan mohon maaf | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Pelakon filem Hantu Bonceng, Zizan Razak mulai dihujani penghormatan para peminatnya, apabila bersikap terbuka memohon maaf kepada orang ramai berhubung dialog kontroversi yang dituturkannya di dalam filem itu.

Penghormatan tersebut antara lain dikesani menerusi laman-laman blog para peminatnya yang jelas memuji sikap keterbukaan beliau mengakui kesilapannya menuturkan dialog yang menghina Islam tanpa disengajakan di dalam filem berkenaan.

Di dalam blog ustazlove.com, pemiliknya sendiri berserta beberapa orang peminat Zizan menyuarakan kesyukuran mereka kepada Allah kerana telah menggerakkan hati Zizan memohon maaf kepada para penonton dan peminat beliau di atas keterlancangannya itu.

"Ustaz Love sangat menghargai usaha beliau memohon maaf itu.. secara tak langsung, ini menunjukkan Zizan merupakan antara pelakon yang tak segan silu memohon kemaafan atas kesilapannya," tegas pemilik blog itu.

Zizan Razak atau lebih dikenali sebagai Zizan Raja Lawak dalam Twitternya semalam telah tampil meminta maaf atas kesilapannya menghina Rasulullah dalam filem tersebut.

“Saya faham, apa yang salah… salah jugak. Tapi pasal hina Islam memang jauh dari otak fikiran saya la.. takde lagsung terniat. Ini adalah Agama dan Rasul saya.. Maaf sekiranya saya silap,” tegasnya.

Mengulas perkara itu, beberapa orang pemilik blog termasuk pemilik blog ustazlove dan wangerrardblogsport.com mengucapkan tahniah atas keberanian Zizan memohon maaf dan menjelaskan segala kekeliruan berhubung isu tersebut.

"Begitulah sikap yang terbaik.. Dah buat silap, mohon maaf.. kerana sebaik2 orang yg melakukan kesilapan adalah mereka yang bertaubat," ujar mereka.

Sehubungan itu, mereka turut berharap agar Zizan diberikan keberkatan hidup dan dimurahkan rezeki oleh Allah di atas kemuliaan hati beliau itu.

Filem Hantu Bonceng ditayangkan bermula 31 Ogos sehingga 4 September 2011 lalu secara serentak di 80 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei dengan kutipan sebanyak RM5 juta dalam tempoh lima hari ditayangkan.

Sehingga semalam, filem tersebut dilaporkan melakar sejarah tersendiri apabila menjadi filem kedua tertinggi dalam sejarah daripada segi kutipan apabila mencatat kutipan tiket RM8.35 juta.

Hantu Bonceng yang diterbitkan oleh Excellent Pictures Sdn Bhd adalah arahan Ahmad Idham dan dibintangi Zizan, Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie, Tai, Zahid Baharudin dan beberapa orang pelakon lain.

Filem ke-23 arahan Ahmad Idham itu merupakan filem komedi dan mengisahkan Amran yang gemar berlumba haram yang tiba-tiba terlibat dalam satu kemalangan yang meragut nyawa gadis yang memboncengnya.

Sejak itu, gadis yang tidak tenteram itu menghantui Amran dan Amran meminta kekasihnya, Halimaton dan rakannya Kunyit menyempurnakan mayat gadis tersebut.

Namun filem tersebut dikecam hebat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia kerana dalam satu adegannya, Zizan jelas menghina Rasulullah saw dengan menyebut “Ashaduanna Muhammadar ... syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu ... syaitan”.

Selain itu turut ditambah dengan adegan mempersendakan azan, memakai baju yang mempunyai tanda salib ke masjid dan beberapa isu tahyul seperti bogel depan hantu.

Sejak ditayangkan, Zizan turut dimarahi para peminatnya khususnya yang beragama Islam kerana menuturkan dialog tersebut sehingga memaksa Zizan melakukan beberapa tindakan wajar termasuk menghubungi pendakwah terkenal dari Terengganu, Ustaz Azhar Idrus bagi bertanyakan perkara itu.

Dalam responsnya, Ustaz Azhar turut menghormati tindakan Zizan yang menghubunginya bagi bertanyakan perkara itu bagi mendapatkan kepastian dari segi hukum dan turut menasihati Zizan supaya bertaubat kepada Allah di atas keterlanjurannya itu.

Zizan dipercayai menuturkan kata-kata itu bukan atas niat menghina Islam, tetapi mengikut skrip dan akibat kejahilannya. Beliau diingatkan oleh Ustaz Azhar bukan sahaja perlu memohon maaf kepada orang ramai, malah lebih penting lagi bertaubat kepada Allah, di samping menginsafi diri agar tidak mengulangi lagi kesalahan seperti itu pada masa akan datang.


Kartun Zunar kaitkan Umno sebagai "United Myanmar & Nepal Organization" | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Karya terbaru Zunar yang mengkritik dasar kerajaan BN yang memberi kerakyatan sebagai warga asing bagi tujuan politik hangat diperkatakan di ruang maya.

Dalam kartun paling terus terang dan berani itu, Zunar melukis logo parti-parti komponen BN dan mengaitkan dengan dasar tersebut antara lain menafsirkan Umno sebagai "United Myanmar and Nepal Organization."

Tinjaun dalam laman facebook kelab peminat Zunar menunjukkan sambutan yang begitu hangat, malah ada yang memberi komen sebagai kartun terbaik untuk tahun ini.

"Seperti biasa saya menafsir isu-isu politik dari otak kartun saya dan tekanan berterusan dari kerajaan mungkin membangkitkan idea yang lebih baik," kata beliau kepada Harakahdaily.

Tekanan kerajaan membolehkan Zunar menerima beberapa anugerah antarabangsa termasuk 2011 Award for Courage in Editorial Cartooning dan terbaru anugerah hak asasi dari Yayasan Hellman/Hammett.

Selain itu, mulai Oktober ini dia akan berada di Sepanyol selama tiga bulan sebagai artis jemputan sebuah yayasan kesenian di Bilbao serta membuat pameran kartun di sana.

Kerana itu, Zunar akan mengadakan satu majlis bersama peminat pada hari Sabtu, 24 Sept di padang depan Amcorp Mall, Petaling Jaya dari jam 5 hingga 7 petang. Turut diadakan jualan buku-buku koleksi beliau.

"Saya berharap peminat-peminat akan datang ke majlis ini kerana ini adalah program terakhir saya sebelum keluar negara untuk tempoh yang lama," kata beliau.

Tiada ulasan: