Ahad, 11 September 2011

TAK BODOH ORANG MENGATAKAN TAK PERNAH DIJAJAH...CUMA TOLOL DALAM MEMAHAMI SEJARAH....DAN RASA IA ORANG PENTING...PENTING2 PUN DALAM TANAH ULAT MAKAN..

Kenapa Tunku laungkan merdeka jika tidak dijajah | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Sept: “Rakyat tertanya-tanya, jika negara tidak pernah dijajah, kenapa Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka?

“Kenapa setiap tahun kita menyambut kemerdekaan? Apakah penulisan sejarah perlu dibakar kerana telah tipu pelajar-pelajar sekolah?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Katanya, sekarang terbukti siapa yang hendak membohongi sejarah.

“Rasa kesian kepada profesor upahan Umno yang mengakhiri hidup mereka yang akan dicemuh oleh semua makhluk di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kenyataan mereka memalukan ahli akademik yang jujur.

Justeru, ujarnya ahli akademik perlu bangkit membetulkan kenyataan itu.

“Biarkan Majlis Profesor Umno dengan khayalan mereka semata-mata untuk mendapat sanjungan Umno. Kenyataan mereka juga akan menjadi sejarah hitam dalam negara ini,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya, tembelang Umno terserlah bahawa parti itu bukan pelopor memperjuangkan kemerdekaan negara.

Ini, katanya kerana selama ini Umno menipu rakyat Malaysia termasuk ahli-ahli Umno bahawa Umno yang memperjuangkan kemerdekaan.

Apa tidaknya, kata beliau setiap kali menyambut kemerdekaan, pemimpin Umno menipu rakyat seolah-olah perjuangan kemerdekaan bermula daripada 11 Mei 1946.

Menurutnya, sekarang mereka biarkan orang suruhan mereka yang konon bergelar profesor untuk menjadi penangkis Umno.

“Rakyat tidak pelik dengan kenyataan mereka ini yang memang menjadi Umno sejak di dalam perut emak mereka lagi.

“Rakyat pelik jika mereka ini mengkritik Umno,” ujarnya lagi.

Tambahnya, oleh kerana terlalu hendak menjadi pembodek, sehingga mengeluarkan kenyataan bahawa negara kita tidak pernah dijajah, kenyataan yang diketawa oleh orang pekak dan buta.

“Saya yakin pemimpin Umno pun tersenyum melihat gelagat ayam sabung mereka, sehingga pemimpin Umno pun tidak sanggup untuk menipu rakyat,” katanya.


Rakyat keliru "fakta" Malaysia tidak pernah dijajah | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Sept: Kenyataan jurucakap Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Zainal Kling semalam bahawa Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya hanya dinaungi atau dilindungi oleh British, mencetus kekeliruan baru terhadap pemahaman sejarah di kalangan rakyat.

Bukan sahaja dilihat sebagai "fakta sejarah baru", namun ianya juga dilihat bercanggah dengan apa yang diajar kepada rakyat dalam mata pelajaran sejarah di sekolah sejak berpuluh tahun dahulu.

Seperti biasa, laman sosial Facebook, Twitter dan blog antara yang digunakan rakyat negara ini membangkitkan kekeliruan itu.

Jika benar Malaysia tidah pernah dijajah British, antara persoalan yang dilontarkan termasuklah kenapa kita menuntut merdeka sedangkan tidak pernah dijajah.

Selain itu ada juga natara mereka mempersoal siapakah perdana menteri Malaysia yang pertama ketika "dinaungi" British, kenapa 31 Ogos 1957 diwartakan sebagai hari merdeka sedangkan tidak pernah dijajah dan perlukah tarikh 31 Ogos tersebut disambut lagi selepas ini.

Dr Zainal Kling dalam sidang media semalam berkata, berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

Katanya, Tanah Melayu hanya terjajah selama dua tahun sewaktu pemerintah Malayan Union pada awal 1946 hingga akhir 1947 dan di zaman penjajahan Jepun.

Sehubungan itu, beliau mahu "fakta" sejarah itu dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik.

Kenyataan itu bagaimanapun mengundang kekeliruan banyak pihak yang selama ini diberi kefahaman bahawa Tanah Melayu sememangnya dijajah sehinggalah merdeka pada tahun 1957.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam dalam reaksi spontanya juga mempersoal kenyataan Dr Zainal Kling tersebut dengan berkata “Kalau kita tak pernah dijajah, buat apa sambut merdeka?”

Katanya, jika benar dakwaan beliau itu, bermaksud tarikh 31 Ogos 1957 bukanlah tarikh merdeka.

"Jadi Dr Zainal secara tidak langsung nak bagitahu rakyat dah terkena tipu 54 tahun oleh Umno ke?” sindir beliau lagi.

Selain Tuan Ibrahim, turut membidas kenyataan MPN itu termasuklah Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Prof Zainal Kling kata bahawa 'kita tidak pernah dijajah, siapa kata kita pernah dijajah itu kesalahan besar'..ertinya selama ini ramai yang tertipu..seruan menghalau penjajah, bebas dari penjajah, merdeka dari penjajahan itu semua itu tidak benar.. satu kesalahan besar..” tulis beliau secara sinis di laman Facebooknya.

“Kemerdekaan lawan bagi kehambaan atau penjajahan..ertinya tiada hari merdeka yang sebenar..kita tidak pernah dijajah..buku sejarah mesti diubah semula..entahlah..siapa yang hendak berteori silalah lagi..macam-macam ada..” tambah beliau.


Konvensyen bukti PAS sedia hadapi PRU-13 | Print |
Hazayani Zakaria

GOMBAK, 10 Sept: PAS tidak gentar untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan berlaku pada bila-bila masa meskipun sedar Umno BN sedang rancak melakukan penipuan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Umno BN tidak akan dapat menutup penipuan mereka dalam sistem pilihan raya khususnya isu daftar pemilih dalam keadaan dunia yang serba canggih ini.

"PAS anjur konvensyen negara berkebajikan yang merupakan tema muktamar untuk dipanjangkan bagi menghadapi pilihan raya umum.

"Ini menunjukkan PAS bersungguh-sungguh untuk menghadapi pilihan raya umum walaupun kita dibayangi maklumat yang mendukacitakan di mana perancangan untuk penipuan yang lebih besar dilakukan dalam pilihan raya umum.

"Zaman ini zaman internet dan kita dapat kesan penipuan ini dan mereka (Umno BN) nak tutup cepat-cepat jadi tapi jangan nak tipu kita dah dapat maklumat," kata beliau pada sidang media di sini.

Terdahulu beliau merasmikan Konvensyen Negara Berkebajikan di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar, dekat sini hari ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Marang berkata, Umno BN sengaja membangkitkan isu-isu yang dapat menimbulkan kemarahan rakyat sekaligus membuatkan mereka lupa kepada usaha membersihkan sistem demokrasi di negara ini.

"Mereka (Umno BN) nak tutup isu penipuan pilihan raya dengan isu-isu yang sengaja dibangkitkan untuk menggelegakkan perasaan rakyat supaya lupa isu sebenar iaitu untuk menghidupkan dan memulihkan proses demokrasi," kata beliau lagi.

Beliau turut mengingatkan Umno BN agar tidak terus memperbodoh rakyat dengan menutup segala maklumat yang benar sebaliknya menunjukkan kesungguhan mereka untuk menghidupkan amalan demokrasi bersih.

"PAS menasihatkan kerajaan jangan menggunakan gula-gula sementara kepada rakyat untuk menghentikan tangisan. Bila habis gula-gula, dia tipu lagi,lepas itu sambung lagi, tak selesai masalah.

"Oleh itu kerajaan mesti sungguh-sungguh menyelamatkan negara dengan menghidupkan demokrasi sebenar dan PAS sungguh-sungguh nak masuk pilihan raya," tegasnya.

Justeru katanya, konvensyen hari ini bagi menggerakkan jentera parti khususnya penerangan parti untuk menyalurkan maklumat mengenai negara berkebajikan kepada rakyat.

"PAS gerakkan jentera parti di seluruh negara pada hari ini supaya membawa mesej konsep negara berkebajikan yang kita nak kenalkan kepada rakyat yang diselaraskan bersama Pakatan Rakyat.

"PAS sudah perkenalkan dalam manifesto pilihan raya ke arah negara berkebajikan dan kita memaklumatkan kepada jentera parti melalui konvensyen supaya jentera parti dapat memahami hasrat negara kebajikan supaya dapat disampaikan kepada rakyat," katanya.

Konvensyen anjuran Lajnah Penerangan PAS ini melibatkan seluruh jentera penerangan dari setiap negeri.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Adram Musa.


PAS gesa bina segera rumah mangsa tanah runtuh | Print |
Khairil Abdul Rahim

CAMERON HIGHLANDS, 10 Sept: PAS Pahang menggesa pihak kerajaan menyegerakan bantuan perumahan untuk keluarga Orang Asli mangsa bencana tanah runtuh di Sungai Ruil, yang masih ditempatkan di Dewan Jubli Perak di sini.

Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal berkata, bantuan tersebut amat mendesak kerana keadaan di tempat penempatan sementara sejak tragedi itu bulan lalu didapati tidak selesa.

“Bagi kami pembinaan semula rumah mangsa yang musnah dalam tragedi tanah runtuh ini amat mendesak kerana ada ahli keluarga mereka yang cedera dan memerlukan suasana kediaman yang selesa untuk pemulihan.

“Di samping itu juga ramai anak keluarga mangsa berkenaan terdiri daripada kanak-kanak yang masih bersekolah jadi sudah tentulah memerlukan suasana lebih sesuai untuk pembelajaran mereka terutama menjelang musim peperiksaan sekarang,” katanya kepada Harakahdaily ketika melawat keluarga tersebut kelmarin.

Rombongan yang membuat lawatan kebajikan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, turut disertai Yang Dipertua PAS Kawasan Cameron Highlands, Ustaz Abdul Karim Noor serta ahli-ahli jawatankuasanya sebelum itu telah beramah mesra dengan mangsa enam keluarga yg masih ditempatkan di situ.

Pada 7 Ogos lalu, tujuh penduduk Kampung Orang Asli Sungai Ruil maut selepas rumah mereka musnah akibat ditimbus banjir lumpur dan tanah runtuh.

Sejak itu pelbagai pihak dan agensi kerajaan berjanji untuk membina semula rumah-rumah mangsa yang musnah sama sekali dalam tragedi berkenaan.

Mereka merupakan antara 60 keluarga yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Perkampungan Orang Asli berkenaan.

Sementara itu, Roslan juga meminta pihak kerajaan memperjelaskan dakwaan penduduk Orang Asli yang ditemui bahawa tapak projek perumahan Taman Golden Hills yang dibina bersebelahan dengan kampung mereka pada asalnya merupakan tanah yang diwartakan sebagai rezab Org Asli.

“Jika dakwaan tersebut benar, pihak kerajaan perlu memberikan penjelasan bagaimana pihak pemaju boleh diberikan laluan untuk projek perumahan mewah tersebut.

“Selain itu PAS Pahang juga menggesa kerajaan menyediakan pelan atau skim perumahan mampu milik untuk penduduk Orang Asli Sungai Ruil menggantikan rumah-rumah kediaman mereka yang amat daif dan terdedah kepada risiko bencana dalam jangka panjang,” ujarnya.


Tidak dijajah: MPN dicabar terbit buku ilmiah | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Sept: Pusat Penyelidikan PAS (PPP) mencabar Majlis Profesor Negara (MPN) terutama jurucakapnya Prof Zainal Kling untuk menulis artikel atau buku ilmiah bagi mengemukakan cadangannya bahawa Malaya tidak pernah dijajah dan pegawai yang berkhidmat semasa zaman kependudukan British tidak boleh disebut pegawai British.

Pengarah Operasi PPP, Dr Ahmad Zuhdi Marzuki berkata, demikianlah sepatutnya seseorang ahli akademik apalagi yang bergelar profesor mengemukakan sesuatu pandangan, supaya pandangannya dapat dinilai dan dibahaskan oleh ahli-ahli lain dalam komuniti akademik.

Menurutnya, mengeluarkan sesuatu cadangan intelek atau tesis tidak memadai hanya melalui sehelai dua muka surat kenyataan akhbar.

“Mengemukakan cadangan intelek melalui cara ini bukanlah kaedah ahli-ahli akademik sebaliknya kaedah orang awam termasuklah ahli-ahli politik,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya sesuatu pandangan ahli akademik termasuklah profesor dikemukakan melalui kaedah itu, maka ia tidak mempunyai nilai intelek, sebaliknya samalah seperti sembang-sembang politik orang awam di kedai kopi.

Tambah beliau, sebaliknya sekiranya seseorang ahli politik menggunakan kaedah akademik iaitu menerbitkan artikel atau buku ilmiah untuk mengemukakan pandangannya, maka pandangan itu adalah sarat nilai akademik.

Oleh sebab itu, ujarnya PPP melihat tindakan MPN itu merendahkan martabat akademik mereka sendiri.

Menurutnya, cadangan yang dikemukakan oleh MPN khususnya beberapa profesor seperti Zainal Kling, Khoo Kay Kim dan Ramlah Adam bukan satu perkara yang kecil sebaliknya menyanggah tesis yang sudah diterima oleh ramai para ahli akademik di dalam mahupun di luar negara.

Katanya, kependudukan British sebelum 31 Ogos 1957 di Malaya, rata-rata diterima oleh para ahli akademik sebagai penjajahan sama ada di Negeri Selat, Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu tidak bersekutu, manakala pentadbirannya disebut pentadbiran oleh British.

“Di atas premis inilah, kajian-kajian sama ada di peringkat Sarjana Muda, Sarjana, PhD dan Pasca Kedoktoran telah dibuat sejak bertahun-tahun,” ujarnya.

Beliau berkata, pandangan yang menyatakan Malaya tidak pernah dijajah, justeru pegawai yang berkhidmat tidak boleh disebut pegawai British merupakan satu premis akademik yang nyata bertentangan.

Oleh sebab itu, katanya cadangan intelek seperti itu tidak sepatutnya dilontar hanya dengan sehelai dua muka surat kenyataan akhbar sehingga tidak dapat dikritik, dinilai, diteliti dan disahkan oleh ahli-ahli akademik yang lain.

“Bagaimana mereka boleh melakukan semua ini sedangkan tiada argumen-argumen akademik yang dikemukakan, sebaliknya hanya sekadar bergantung kepada takrif sempit istilah colonialism yang dipilih.

“Bukankah seseorang ahli akademik dan profesor sentiasa hidup dengan argumen?” soalnya.

Tambahnya, takrifan colonialism yang dipilih juga tidak dijelaskan kaedah pentakrifannya dan jauh sekali keabsahan sumbernya.

“Tidakkah istilah ‘naungan’ (protectorate) pada kurun ke 19 lazimnya adalah merujuk kepada colonial protectorate?” tanya beliau.

Demikian juga, jelasnya dengan istilah ‘lindungan’ (protected) lazim merujuk kepada penjajahan sebagaimana status negara Brunei sebelum merdeka.

“Kalaulah kedua istilah ini tidak bermaksud jajahan, maka Empayar British adalah kecil iaitu hanya Australia, New Zealand, Kanada, India-Pakistan, Sri Lanka, Nigeria, Papua New Guinea dan Negeri-negeri Melayu Selat,” ujarnya

Menurutnya lagi, menyedari hakikat tersebut, tesis yang dikemukakan oleh MPN bukan hanya melibatkan Malaysia, bahkan status negara-negara lain seperti Uganda, Maldives, Palestin dan Mesir.

“Oleh kerana tesis baru MPN ini perkara yang besar malah turut melibatkan status negara-negara yang lain, adalah tidak wajar ia dilontarkan hanya melalui kenyataan akhbar,” katanya.

Katanya, mereka sepatutnya mengemukakan satu artikel atau buku ilmiah, supaya ahli-ahli akademik dan profesor-profesor di seluruh dunia dapat memberi maklum balas terhadap tesis mereka.

Beliau menambah, berdasarkan tesis baru mereka, MPN juga perlu menentukan kedudukan Raymond Dancey yang merupakan ketua Rumah Pasong Bukit Kepong dan ketika itu baru sahaja menamatkan perkhidmatan di Wilayah Naungan British, Palestin.

“Menurut banyak pihak dialah menjadi sasaran utama Mat Indera. Adakah dia Polis British atau Polis Malaya?” soalnya lagi.


Mohamad Sabu saman Utusan Isnin ini | Print |
Mohd Sabri Said

BUKIT MERTAJAM, 10 Sept: "Masanya dah tiba saya saman Utusan Malaysia sampai bankrap sesuai dengan fitnah yang sengaja diatur untuk menjatuhkan maruah saya sekaligus bertujuan melumpuhkan pengaruh PAS bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal," jelas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau ketika berucap di majlis mengutip dana Pondok Turith di Kampung Sekolah, Juru, Bukit Mertajam malam tadi menegaskan, masa yang diberikan kepada Utusan Malaysia selama 24 jam untuk menarik balik siaran muka depan ‘Mat Sabu hina pejuang' sudah berakhir dan saman akan bermula Isnin ini.

Katanya, semua maklumat telah pun diserahkan kepada peguam dan terserah kepada peguam beberapa tuntutan yang harus dikenakan selari dengan fitnah yang tidak henti-henti selama 15 hari berturut-turut.

Tambahnya, tindakan itu bukan untuk mencari kekayaan sebaliknya mahu pengamal media di negara ini bersikap adil dan telus dalam setiap penyiaran berita dan tidak mencipta cerita yang bukan-bukan semata-mata untuk mewujudkan prasangka yang tidak baik terhadapnya, PAS dan Pakatan Rakyat.

"Saya diluku sampai hari ini padahal ceramah saya dah lama dan banyak fakta yang direka merapu dan tak wujud.

“Saya tidak langsung diberikan peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar yang ada dalam TV, saya bercakap tak dak suara, macam itik," jelasnya disambut laungan Allahuakbar dan reformasi para hadirin.

Berceramah sama pada malam tadi ialah Pengarah Pilihan raya PAS Pulau Pinang, Rosidi Husain, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Amirudin Ahmat.


37 peneroka Felcra buat laporan polis | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 10 Sept: Seramai 37 peneroka Felcra Nasaruddin (Belia) di Bota, Perak telah membuat laporan polis berhubung kes penyelewengan pemberian hak milik tanah dan penyelewengan kos pembangunan tanah oleh pihak Felcra terhadap mereka, kelmarin.

Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Seri Iskandar dengan diwakili Yusuf Mat, 50, dan ditemani 5 orang rakannya yang lain yang turut menjadi peneroka di kawasan itu.

Menurut Yusuf, Felcra Nasaruddin (Belia) telah diteroka dengan tanaman kelapa sawit dan getah sejak tahun 1973 lalu dan setiap peneroka diberikan 10 ekar tanah oleh Felcra seperti yang tercatit di dalam surat perjanjian.

Katanya, tetapi sehingga kini peneroka tidak mendapat salinan surat perjanjian itu walaupun sudah memohon beberapa kali sehingga ke ibu pejabat Felcra di Kuala Lumpur.

"Sehingga pada bulan Mac 2009 lalu, kami dipaksa menandatangani surat projek tanam semula dan pihak Felcra menjanjikan kepada kami tanah seluas 10 ekar.

"Kemudian pada bulan Julai 2009, kami telah diberi hak milik ke atas tanah itu, tetapi malangnya kami hanya mendapat 7 ekar sahaja daripada tanah itu," katanya menerusi Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak) Lembah Klang yang juga Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail ketika menghubungi Harakahdaily.

Yusuf yang juga Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra Perak (Bapa) menjelaskan, mereka amat tidak puas hati terhadap pihak Felcra yang mungkir janji apabila tidak menyerahkan keluasan tanah yang sepatutnya diterima oleh mereka seluas 10 ekar seorang seperti yang dijanjikan dan turut tercatit di dalam surat perjanjian itu.

Katanya, mereka percaya kos pembangunan tanah yang sudah dipotong dari jumlah dividen yang diterima oleh mereka selama ini adalah berdasarkan 10 ekar tanah seperti yang dijanjikan itu dan ia tentunya amat merugikan mereka.

"Kami juga percaya perkara ini adalah satu penipuan dan penyelewengan kuasa apabila surat salinan perjanjian tidak pernah diberikan untuk kami mendapatkan maklumat sebenar berkenaan kedudukan tanah milik kami," ujar beliau.

Turut hadir bersama mereka di Balai Polis Seri Iskandar, Pengerusi Bapa Kebangsaan, Razman Zakaria dan seorang peserta Felcra Jalan Kuncu, Tapah, Perak, Ramli Kanji yang telah menang kes samannya ke atas Felcra baru-baru ini.

Sementara itu, Razman berkata, kes tersebut akan dilaporkan oleh beliau kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat supaya disiasat dan dapat dibawa kemuka pengadilan.

Katanya, para peneroka yang tertindas tidak seharusnya takut untuk bertindak bagi mendapatkan keadilan kerana setiap peneroka mempunyai haknya yang tersendiri seperti yang dijanjikan.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak yakin keberanian 37 peneroka Felcra Belia mengatur tindakan awal dengan membuat laporan polis itu ekoran dari kemenangan kes saman peserta Felcra Jalan Kancu, Tapah, Ramli ke atas Felcra baru-baru ini.


Kalau tak pernah dijajah, kenapa sambut merdeka | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Sept: “Kalau kita tak pernah dijajah, buat apa sambut merdeka?” tanya Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam bidasan sinis sebagai reaksi spontan kepada kenyataan sejarahwan Profesor Datuk Dr Zainal Kling yang berhujah bahawa berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu ‘tidak pernah terjajah’, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

“Sekiranya benar begitu, jadi maksudnya 31 Ogos 1957 bukanlah tarikh merdeka. Jadi Dr Zainal secara tidak langsung nak bagitahu rakyat dah terkena tipu 54 tahun oleh Umno ke?” sindir beliau lagi.

Malaysiakini melaporkan bahawa Zainal berhujah berkata “fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British).”

“Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik," katanya.

Beliau turut mendakwa adalah kesalahan yang amat besar jika rakyat menyebut negara kita terjajah selama 400 tahun kerana menurutnya sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi.

"Dinaungi tidak sama dengan kolonial... Hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan iaitu, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

"(Negeri-negeri) yang lain adalah dinaungi (atau) dilindungi... Sejak mula Tanah Melayu bukan tanah jajahan atau koloni. Ini fakta sejarah dan perspektif sejarah (itu) perlu diubah.

"Jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang amat besar," Malaysiakini memetik beliau sebagai berkata.
Berdasarkan hujah Zainal, Tuan Ibrahim bertanya secara sinis ‘adakah tarikh merdeka sebenar ialah apabila Jepun kalah dalam Perang Dunia ke 2?’

“Rakyat semakin ‘fening’ di bawah pemerintahan Umno. Sebenarnya ini menandakan bahawa pemikiran rakyat masih terjajah dengan pelbagai fakta mengelirukan,” kata beliau.

Sementara itu, bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyindir hujah yang dibuat Dr Zainal.

“Prof Zainal Kling kata bahawa 'kita tidak pernah dijajah, siapa kata kita pernah dijajah itu kesalahan besar'..ertinya selama ini ramai yang tertipu..seruan menghalau penjajah, bebas dari penjajah, merdeka dari penjajahan itu semua itu tidak benar.. satu kesalahan besar..” tulis beliau secara sinis di laman Facebooknya.

“Kemerdekaan lawan bagi kehambaan atau penjajahan..ertinya tiada hari merdeka yang sebenar..kita tidak pernah dijajah..buku sejarah mesti diubah semula..entahlah..siapa yang hendak berteori silalah lagi..macam-macam ada..” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarang Siasah, Mohd Sayuti Omar turut menyindir Zainal dengan soalan-soalan bertubi di blognya.

“Saya ingin tanya profesor yang mahir sejarah itu, apakah yang dilakukan oleh British semasa mereka melindungi Tanah Melayu dalam tempoh itu mereka tidak melaksanakan kerja-kerja menjajah Tanah Melayu.

“Siapa yang mengawal kewangan, hasil bumi serta menjaga keselamatan? “Bukankah pihak British. Apakah pengertian dilindingi berbanding dengan dijajah?

“Bukankah British melantik suruhanjayanya di negeri-negeri yang bertindak menjadi Pegawai Daerah yang mempunyai kuasa eksekutif?

Apakah hanya kerana tidak ada catatan itu maka ia diterima sebagai tidak kena dijajah atau digoreng oleh British. Semudah itukah penerimaan dan pentafsiran kita. Bukankah selama 'melindungi' itu penjajah membunuh ramai pahlawan Melayu, seperti Tok Janggut, Tok Sago dan lain-lain?

“Atau sejarah baru akan ditulis oleh Zainal dan sekutunya akan membuangkan pengikhtiraf mereka dibunuh penjajah itu sebagai penderhaka atau dalam semangat sehari dua ini komunis?” soal beliau lagi.

Jika benar apa yang dihujahkan Dr Zainal, Sayuti bertanya bagaimana pula dengan hakikat negara menyambut hari kemerdekaan 31 Ogos setiap tahun?

“Kenapa tidak disebut atau Prof Kling maaf Zainal Kling mencadangkan kepada kerajaan ditukar menjadi sambutan hari ditidak dilindungi? Seharusnya beliau menerusi sekutunya sudah lama membuat cadangan dan bantahan apa dilakukan kerajaan itu?” soal beliau dengan sinis.


Bakun: Najib digesa bela nasib orang asal | Print |
Muhammad Faizal

PETALING JAYA, 9 Sept: Pakatan Rakyat mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Sarawak memberi pembelaan terhadap nasib pemilik tanah adat (NCR) yang kehilangan tanah mereka akibat ditenggelami air daripada projek empangan hidroelektrik Bakun.

Biarpun Mahkamah Persekutuan mengenepikan rayuan berhubung saman yang dikemukakan oleh pemilik tanah iaitu Bato Bagi dan lima yang lain, namun hak yang perlu diperolehi oleh komuniti yang masih tinggal di sana mesti ditunaikan.

Bercakap pada satu sidang media hari ini, ahli parlimen Pakatan Rakyat berkata mereka bukan mempertikaikan tindakan yang telah diambil oleh Mahkamah Persekutuan itu namun mempersoal pembelaan daripada kerajaan terhadap penduduk yang terjejas.

"Walaupun sesetengah penduduk disekitar bakun itu telah dipindahkan tetapi masih ada lagi segelintir keluarga yang masih tinggal disana dan sebagai sebuah kerajaan yang mengatakan sentiasa perihatin dengan permasalah rakyat perlu tampil serta menyediakan kemudahan asas yang sewajarnya kepada mereka.

"Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah menyatakan komuniti di bakun ini mempunyai hak dan akan mengambil tahu keperluan komuniti tersebut tetapi sehingga sekarang apa yang dijanjikan itu tidak pernah ditunaikan, kita mahu Najib menunaikan janji yang beliau nyatakan itu," kata Ahli Parlimen Batu, Tian Chua..

Selain beliau, sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Turut serta adalah lima wakil orang asal yang menjadi magsa projek tersebut.

Tambah Tian lagi, Pakatan Rakyat akan tetap memberi sokongan dan akan mengetengahkan permasalahan tersebut ke parlimen agar rakyat diluar tahu bahawa komuniti orang asal Sarawak yang masih tinggal di Bakun terus terabai kerana keengganan kerajaan membantu golongan tersebut.

Malah ujarnya tiada satu pun kemudahan disediakan oleh kerajaan disana seperti klinik mahupun sekolah.

"Kita ingin tahu kemana perginya peruntukkan yang berjuta-juta ringgit yang diumumkan oleh Najib iaitu RM62 juta bagi kemudahan jalan dan juga RM46 juta menyediakan klinik," sambung Naib Presiden Keadilan itu lagi.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad memberitahu isu Bakun ini sudah lama dibangkitkan namun sehingga sekarang masih belum selesai sama ada dari segi penempatan mahupun soal keselamatan.

"Kegagalan projek empangan bakun ini dilihat gagal dari sudut pembinaan, keselamatan mahupun alam sekitar dan ia telah dimaklumkan di dalam laporan Enviromental Impact Analysis (EIA) yang mana ia dilihat sebagai bom jangka kepada seluruh rakyat Sarawak.

"Kerajaan perlu tampil kedepan dalam soalan permasalahan tersebut agar mereka yang masih tinggal dikawasan tersebut terus terbela dari segi kemudahan serta memastikan empangan tersebut selamat digunakan sepenuhnya," usul Dr Dzulkefly.

Semalam Mahkamah Persekutuan yang dianggotai tiga panel orang hakim, dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi, membuat keputusan sebulat suara untuk mengenepikan kes yang dikemukakan itu.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Sarawak pada 26 April 2008 mengetepikan permohonan saman Orang Asal berkenaan dan keputusan itu kemudiannya dikekalkan di Mahkamah Rayuan tahun lalu.


Tiada ulasan: