Khamis, 15 September 2011

BILA ORANG BODOH..TERLEBIH BODEK...HINGGA MENYUSAHKAN ORANG NAK JAWAB..MASHITAH KE...KES DULU PUN TAK TARIK BALIK...SESAT DAN MENYESATKAN ORANG LAIN..

Tidak dijajah: Bila Najib mahu buat pendirian | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Sept: “Bila lagi Datuk Seri Najib mahu membuat pendirian rasmi bahawa negara kita tidak pernah dijajah sebagaimana kenyataan Prof Dr Zainal Kling, kemudian disokong pula oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir,” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, selaku Perdana Menteri, beliau mesti menyatakan pendirian rasmi kerajaan dan pendirian Umno di dalam hal itu.

Beliau menambah, satu jawapan yang segera perlu dibuat untuk meredakan keresahan rakyat di negara ini.

Katanya, tidak boleh mendiamkan diri dengan tidak membuat apa-apa pendirian, kerana ia sudah menjadi polemik di dalam masyarakat sejak kenyataan ini dikeluarkan, lebih-lebih lagi guru sejarah yang sedang mengajar anak murid mereka yang sedang menghadapi peperiksaan UPSR.

“Datuk Seri Najib mesti ada keberanian untuk menyatakan pendirian rasmi, jika beliau bersetuju dengan Profesor Umno ini maka kena batal sambutan kemerdekaan negara kali ke 54 jika tidak akan diketawakan oleh orang,” ujarnya.

Tambahnya, semua soalan Sejarah mengenai kemerdekaan yang sudah dibuat perlu dibatalkan.

Katanya lagi, semua tesis yang ditulis oleh sarjana yang berkaitan dengan kemerdekaan hendaklah dikeluarkan daripada semua perpustakaan yang disimpan di universiti negara ini.

“Anugerah bapa kemerdekaan kepada al-Marhum Tunku Abdul Rahman hendaklah ditarik balik.

“Nama Dataran Merdeka hendaklah ditukar segera. Segala ucapan Tun Dr Mahathir sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri hendaklah dibakar kerana ia hanya pendustaan semata-semata selama 22 tahun,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Selain itu, katanya semua silibus Sejarah daripada sekolah rendah sehingga ke universiti hendaklah dirombak.

Menurutnya, jika Najib tidak bersetuju, maka beliau mesti menarik balik anugerah Profesor Negara, kerana kenyataan yang tidak ada nilai akademik dan memalukan dunia akademik.


MES: RM49 juta sudah diagih kepada warga emas Selangor | Print |
Muhammad Faizal

SIRI KEDUA

SHAH ALAM, 14 Sept: Melalui Skim Mesra Usia Emas iaitu salah satu program kebajikan di bawah Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), sekurang-kurangnya 20,999 warga emas di negeri ini sudah menikmati bantuan kerajaan negeri.

Jumlah itu merangkumi peruntukan sebanyak RM49 juta oleh kerajaan negeri sejak ia dilancarkan pada tahun 2008 sehingga April 2011.

Program yang dimasukkan dalam Fasa I program MES itu juga merupakan program yang telah mempunyai perbelanjaan kedua tertinggi selepas program pemberian bekalan air percuma 20 meter padu kepada rakyat negeri ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin berkata, ianya merupakan inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam usaha membela dan menghargai warga emas di negeri itu.

Ianya merupakan satu skim khairat kematian sebagai menghargai warga emas tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi mahupun tahap sosial mereka.

Melalui program ini, warga emas dan juga golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang telah berdaftar dan apabila berlakunya kematian, maka waris mereka akan menerima RM2,500 bagi perbelanjaan menguruskan jenazah tersebut.

"Daripada RM49 juta ini seramai 20,999 orang rakyat Selangor telah mendapat manfaat skim ini sejak ia dilancarkan pada tahun 2008 sehinggalah April 2011, pada awal pelancarannya tahun 2008 seramai 867 orang sahaja dengan kos RM867 ribu, angka ini meningkat pada 2009 iaitu seramai 8,303 melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM19 juta.

"Pada tahun 2010 kerajaan negeri mengeluarkan bantuan sebanyak RM21 juta untuk rakyatnya iaitu seramai 8,673 orang dan sehingga April 2011 ini sebanyak RM7.1 juta dikeluarkan bagi mengenang jasa baik warga emas seramai 3,156 orang," jelasnya dalam satu temubual dengan Harakahdaily.

Tiada kerjasama dari BN

Mereka yang ingin menyertai skim tersebut ujarnya perlu mendaftar di Pusat Khidmat Dun ditempat masing-masing, tidak kira sama ada kawasan tersebut di menangi oleh Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional.

Bagaimanapun wakil rakyat BN ujarnya tidak memberi kerjasama dalam urusan mendaftarkan warga emas di kawasan mereka.

"Apa yang pasti bagi kita tidak mempunyai masalah untuk mendaftarkan nama bagi kawasan yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat tetapi bagi kawasan Barisan Nasional mereka tidak mahu membantu warga emas untuk mendaftar di dalam skim tersebut kerana mereka beranggapan ini adalah kerja politik dari Pakatan Rakyat bukannya usaha kerajaan negeri.

"Wakil rakyat BN sepatutnya perlu mengenepikan ideologi politik terlebih dahulu kerana apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri adalah untuk membantu rakyat, apa jua hasil yang diperolehi oleh kerajaan perlu dinikmati kembali oleh rakyat walaupun jumlahnya tidak begitu besar. Jika halangan sedemikian tidak diubah maka usaha murni kerajaan tidak akan sampai kepada seluruh rakyat terutamanya bagi golongan warga emas," sambung Faekah lagi.

Tambah beliau lagi tujuan Khairat Kematian ini adalah untuk meringankan beban pewaris dalam menyelesaikan urusan yang berkaitan dengan si mati, seperti pembayaran keseluruhan atas sebahagian kos pengurusan jenazah dan pengkebumian, menyelesaikan sebahagian atau keseluruhan hutang si mati, dan sebagainya.

"Skim Usia Emas ini bukan sahaja tertumpu kepada sumbangan khairat kematian malah kerajaan negeri telah memperkenalkan Program 'Jom Shopping' kepaada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas bagi menghargai jasa mereka di samping mengukuhkan hubungan akrab di antara rakyat dan pemimpin.

"Program 'Jom Shopping' ini adalah bertujuan agar pemimpin dapat bermesra dan bertanya khabar dengan warga emas berkenaan dalam masa dua jam di samping kupon bernilai RM 100," jelasnya lagi.

Program 'Jom shopping' ini merupakan serampang dua mata yang mana selain sebagai usaha kerajaan menghargai rakyatnya malah ia juga dapat mengeratkan wakil rakyat yang dilantik bagi setiap kawasan kerana mereka yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan bagi membantu warga emas ke pusat membeli belah yang dipilih.


Ganti rugi: Eloklah Adnan lepas jawatan | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad menyifatkan Kerajaan Negeri Pahang sebagai "kerajaan samseng" kerana enggan membayar tuntutan ganti rugi sebanyak RM70 juta kepada sebuah syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd.

Beliau berkata, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sangat angkuh apabila tidak mengendahkan arahan Mahkamah Tinggi Kuantan agar membayar ganti rugi tersebut.

"Dalam kes ini, Kerajaan Pahang seperti samseng bila melanggar arahan mahkamah untuk bayar saman kepada Seruan Gemilang," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan sepuluh pemegang saham syarikat tersebut yang mengadakan mogok lapar di hadapan sebuah tokong di Segambut bermula Khamis lepas bagi mendesak Adnan melunaskan ganti rugi itu.

Dua daripada mereka sudah jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital selepas hanya minum air kosong sejak bermula mogok lapar itu.

Johnson Chong, 68, dibawa pulang ke rumah selepas pemeriksa doktor Sabtu lalu dan diikuti Ramli Sulaiman, 42, yang dimasukkan ke hospital kelmarin.

Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam juga tidak menolak kemungkinan kerajaan Pahang tidak mempunyai wang untuk membayar ganti rugi tersebut dan menggesa Kerajaan Pusat bertanggungjawab menjelaskan bayaran itu.

"Kerajaan Pahang mungkin bankrap, sebab itu tak bayar ganti rugi ini. Kerajaan Pusat mestilah tolong jelaskan bayaran kerana ianya hak pemegang saham.

"Mereka mahu hak mereka sebab itu sanggup adakan mogok lapar sehingga jatuh sakit," katanya.

Tegasnya, Adnan harus bertanggungjawab kerana perkara itu sudah diketahui umum dan menjejaskan reputasi kerajaan negeri di bawah pimpinan BN.

"Kalau Adnan rasa tak mahu pikul tanggungjawab, eloklah lepaskan jawatan sahaja," katanya.

Seruan Gemilang memfailkan saman tersebut terhadap Kerajaan Negeri Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri pada Disember 2002 kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah milik Umno di Mukim Bebar, Daerah Pekan seluas 4,000 hektar.

Seruan Gemilang menamakan Kerajaan Negeri Pahang sebagai defendan pertama dan Pengarah Perhutanan Negeri, defendan kedua.


Munajat perdana sempena 60 tahun PAS | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Sambutan 60 tahun PAS yang bakal diadakan pada 30 September sehingga 1 Oktober ini di Dewan Milenium, Kepala Batas akan dimulakan dengan munajat perdana.

“Dalam situasi PAS berhadapan dengam pelbagai tekanan dan fitnah kini, sambutan 60 tahun PAS ini akan dimulakan dengan munajat perdana pada malam 30 September.

"Munajat ini dijangka akan dihadiri oleh sepuluh ribu orang terdiri dari pimpinan utama negeri-negeri, ahli dan penyokong PAS serta pimpinan Pakatan Rakyat. Munajat ini turut akan membariskan kepimpinan utama parti dari Mursyidul Am, Presiden, Timbalan Presiden, dan seluruh kepimpinan utama PAS Pusat,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim juga memaklumkan bahawa sambutan 60 tahun PAS akan mengingatkan seluruh kepimpinan dan ahli parti terhadap usaha gigih pejuang-pejuang lampau dalam mengharungi pelbagai suka duka, tekanan, penindasan dan pelbagai mehnah selama 60 tahun PAS di persada tanahair.

Menurut beliau, sejarah jatuh bangun PAS selalu berhadapan dengan golongan yang menolak gagasan Islam sebagai satu sistem hidup yang lengkap kerana fahaman sekularisme yang menebal.

“Semua tekanan dan penindasan in berterusan sehingga kini. Ketabahan pimpinan lampau dengan penuh kesabaran mendidik masyarakat memahami tuntutan menegakkan Islam dan penghayatan bagi menegakkan sebuah masyarakat yang terlaksana di dalamnya seluruh sistem Islam adalah mujahadah yang besar, yang perlu dihayati, difahami dan dihargai oleh generasi baru,” kata beliau.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut memaklumkan sambutan 60 tahun PAS akan dimeriahkan lagi oleh pameran dari negeri-negeri, tayangan video kejayaan negeri Pakatan Rakyat serta gerai-gerai pameran dan perdagangan.

Pelbagai aktiviti dari dewan-dewan, katanya akan turut diadakan melibatkan persembahan, sukaneka dan pelbagai anugerah kejayaan PAS di seluruh negara.

“Kemuncak program ialah ceramah perdana melibatkan pimpinan tertinggi parti dan pelancaran jentera pilihanraya seluruh negara. Diharapkan pelancaran ini akan menyemarakkan semangat bekerja seluruh petugas parti bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13,” tambah beliau lagi.


ISA: Jangan tertipu sandiwara Najib | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Seluruh rakyat negara ini diingatkan agar jangan tertipu dengan sandiwara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ia mempunyai muslihat lain di sebaliknya.

Sebaliknya, jika ISA dimansuhkan, rakyat tetap tidak boleh bersuara dengan bebas kerana pasti terdapat pula undang-undang lain yang akan dilaksanakan bagi menggantikannya.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu samalah seperti keputusan yang diambil oleh kerajaan untuk menangguhkan pembayaran caj cukai perkhidmatan 6% kad prabayar telefon mudah alih.

Menurut beliau, walaupun pembayaran caj cukai 6% itu ditangguhkan, tetapi Kerajaan BN telah menggantikannya dengan cukai lain iaitu cukai barangan yang akan dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Katanya, perlaksanaan cukai barangan selepas pilihanraya itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini, iaitu hanya dua hari sahaja selepas keputusan penangguhan bayaran caj cukai 6% itu dibuat oleh kerajaan.

"Dengan itu sahaja orang ramai sudah boleh nampak permainan Umno BN. Walaupun dimansuhkan sesuatu akta atau cukai, pasti ada undang-undang lain atau cukai-cukai lain yang akan digantikannya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Kelmarin, media tempatan melaporkan, Najib dalam kenyataannya membayangkan kemungkinan akan memansuhkan ISA kerana kajian dan perubahan melibatkan ISA dan akta lain yang berkaitan dengan ISA dilihat perlu bagi kesesuaian keadaan semasa dan kehendak rakyat.

“Kita akan buat kajian dan perubahan terhadap akta tersebut supaya lebih sesuai dengan keadaan semasa dan sesuai dengan kehendak rakyat,” kata Najib.

Sehari sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pindaan ISA perlu dibentang di Dewan Rakyat bersama enam akta undang-undang pencegahan yang berkaitan dan kajian semula akta itu akan dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama Majlis Peguam.

Akta-akta berkenaan termasuk Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang akan dikaji daripada aspek keberkesanan undang-undang dalam pencegahan jenayah; Seksyen 27 Akta Polis 1960 berkaitan perhimpunan awam yang tidak memerlukan permit; Akta Buang Negeri 1959 (Pindaan 1972) berkaitan sama ada undang-undang itu masih relevan.

Selain itu, Akta Kediaman Terhad 1933 berkaitan keberkesanan undang-undang dan perintah yang dikeluarkan dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 berkaitan tempoh tahanan, hak dan layanan terhadap tahanan, kuasa Menteri Dalam Negeri dan penahanan tanpa perbicaraan.

Hishammuddin juga berkata, akta itu sebenarnya sudah lama dalam penelitian kementeriannya dan Pejabat Peguam Negara dan cadangan sama ada akta berkenaan akan dipinda atau dimansuhkan sedang diambil kira.

Menurut Tuan Ibrahim, sebelum ini, Pakatan Rakyat seperti yang terdapat dalam Buku Jingga telah menegaskan akan memansuhkan ISA dan akta-akta zalim lain jika diberikan mandat memerintah negara pada PRU Ke-13 nanti.

Kini, keputusan Kerajaan BN untuk mengkaji dan memansuhkan ISA dan akta-akta itu sebenarnya adalah sebagai ikutan dari Buku Jingga, manakala keputusan itu pula dibuat sebagai lambang keadaan Umno BN yang amat tertekan sekarang.

"Kini kecenderungan rakyat negara ini telah beralih kepada Pakatan Rakyat. Untuk mendapatkan sokongan orang ramai, Umno BN terpaksa memansuhkan akta-akta itu untuk mengelaburi mata dan mengambil hati rakyat," katanya.

Malah dalam keadaan yang tertekan seperti sekarang, beliau yakin Umno BN pasti akan turut mengumumkan pelbagai insentif lain lagi kepada rakyat menjelang PRU Ke-13 bagi meraih sokongan daripada orang ramai.

"Tetapi rakyat sudah sekian lama tertipu. Rakyat yang sudah semakin sedar dengan permainan licik Umno BN pasti faham semua permainan mereka itu dan tidak mungkin akan terus tertipu lagi," ujar beliau.


Muslimat PAS ajak Mashitah dialog | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Dewan Muslimat PAS Pusat mengajak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berdialog berhubung tuduhannya terhadap PAS dalam artikel "Episod-episod Pembohongan PAS".

Mashitah dalam tulisannya yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia kelmarin antaranya menuduh PAS tidak lagi mempertahankan Konsep Negara Islam, tidak bercakap mengenai hukum hudud, malah bersekongkol dalam soal penjualan arak dan rumah urut di Selangor kerana ingin mengecapi sedikit kuasa.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat, Aiman Athirah Al Jundi berkata, pihaknya akan menghantar surat tawaran kepada Mashitah sesegera mungkin dan menunggu jawapan positif daripada Mashitah.

Athirah berkata, Dewan Muslimat akan memberi ruang kepada Mashitah untuk mengemukakan semua hujah berkaitan tuduhannnya dalam artikel tersebut dan diikuti oleh hujah panel daripada Dewan Muslimat.

"Dewan Muslimat ingin menawarkan satu program pencerahan minda kepada khalayak umum secara terarah, beradab dan bertamadun sesuai dengan sifat Islam.

"Samaada dalam bentuk forum ilmiah atau debat ilmiah atau mungkin juga wacana, terpulang kepada Mashitah untuk memilih," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Menyifatkan artikel tersebut sebagai tulisan yang sangat dangkal dan bertujuan memesongkan pemikiran rakyat terhadap perjuangan Islam yang dibawa PAS, Athirah berkata Mashitah sebagai seorang Sarjana Wanita Islam tidak wajar berbuat demikian.

"Budaya penulisan tidak sihat seperti ini tidak wajar dilakukan oleh seorang yang bertaraf Senator dan Timbalan Menteri," katanya.

Beliau turut mempersoal sikap Mashitah yang hanya berani melontarkan pandangan bersifat tuduhan melulu melalui media milik Umno BN.

"Ianya sudah menjadi menjadi pemimpin politik yang lemah khususnya dari kalangan Umno BN," katanya.


ISA: Tak perlu timbang, mansuh terus | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor tetap beranggapan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak perlu diberikan pertimbangan untuk diubah melainkan ianya perlu dimansuhkan terus kerana sudah tidak relevan lagi masa kini.

Ketuanya, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) menyambut baik hasrat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak untuk melakukan beberapa pindaan terhadap undang-undang keselamatan negara bagi menjamin kebebasan bersuara yang lebih meluas yang antara lain membabitkan pindaan membataskan kuasa menteri dalam negeri dan mengurangkan tempoh penahanan awal di bawah ISA.

Tambahnya, akta-akta yang memerlukan pindaan seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Auku dan Akta Pilihan raya perlulah disegerakan supaya dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap keadilan sistem pemerintahan di dalam negara ini.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meminta supaya Perdana Menteri tidak beretorik dan hanya mengeluarkan kenyataan ini semata-mata untuk membeli ‘jiwa’ rakyat supaya menyokong Umno BN yang sedang ‘kelemasan’,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya Perdana Menteri dan Umno sendiri pun telah mempunyai sejarah dalam menipu rakyat berkenaan dengan pelbagai perkara dan isu yang berlaku di dalam negara.

Katanya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor tidak mahu isu cadangan pindaan ini juga akan menjadi ‘gula-gula dan ‘penipuan baru Perdana Menteri terhadap rakyat disebabkan pilihanraya umum yang semakin hampir dan tarikh pembubaran parlimen untuk diadakan pilihanraya hanya diketahui oleh beliau sahaja.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berharap semoga pindaan yang akan dicadangkan oleh Perdana Menteri untuk kebebasan bersuara yang lebih meluas akan benar-benar menepati aspirasi dan hak rakyat Malaysia walaupun kami cukup yakin dan percaya Umno BN tidak akan melakukan sebarang pindaan terhadap mana-mana akta sekiranya tidak memberikan keuntungan dan kelebihan kepada agenda penerusan politik kotor mereka,” ujarnya.

Tambahnya, Pemuda PAS negeri akan memberikan sokongan sekiranya pindaan yang akan dilakukan menepati kehendak dan keperluan rakyat dan akan memberikan tentangan dan penolakan sekiranya pindaan tersebut mengkhianati amanah dan kemahuan rakyat.









Tiada ulasan: