Isnin, 19 September 2011

MAKA BILA ITU ADA...ITU TIADA...SEMUA KUASA DAN IZIN ALLAH...TAK BOLEH DEBIK DADA...KITA SEBAGAI PENYEBAB DAN MENGUSAHAKAN SAJA...

Nik Aziz harap kaum India kekal bersama Pakatan | Print |
Harakahdaily

KOTA BHARU, 18 Sept: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap kaum India terus kekal bersama Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyatakan demikian sebagai respons kepada surat permohonan Makkal Sakti untuk menjadi komponen Pakatan Rakyat.

Pemangku Presiden Makkal Sakti, A Vathemurthy, menyerahkan surat permohonan itu kepada beliau di Pejabat Menteri Besar, Kota Darulnaim di sini, pagi tadi.

“Semoga sokongan kaum India terus kekal bersama Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang akan datang, insya Allah,” katanya.

Sementara itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menyampaikan sijil kepada wakil pelajar cemerlang sempena Majlis Sambutan 100 tahun Peranakan India Kelantan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), semalam.


ISA: Yang dibantah ialah prinsip zalimnya
Mohd. Nasir Awang
Sementara pelbagai pihak pada zahirnya mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memansuhkan beberapa akta dan peraturan yang selama ini dianggap membelenggu kehidupan rakyat, berita mengembirakan itu sewajarnya disambut dengan lebih berhati-hati dan berpada.

Dalam perutusan khasnya sempena Hari Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi kaca tv pada malam 15 September, Najib antara lain mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

Beliau memberi jaminan dua undang-undang baru yang bakal digubal menggantikannya bagi maksud mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan mana-mana individu semata-mata kerana ideologi politik.

Turut diumumkannya ialah pemansuhan Akta Buang Negeri 1956, selain kajian semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933 (AKT) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP). Manakala kajian semula terhadap Seksyen 27 Akta Polis 1967 akan mengambil kira peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun.

Di sebalik keghairahan merayakan keputusan kerajaan itu yang dianggap bukti kejayaan agenda diperjuangkan rakyat selama ini, ada beberapa perkara atau perincian berkisar pemansuhan akta-akta zalim itu yang tidak sayugia dipandang ringan.

Pertama, wajar diingatkan bahawa kesemua undang-undang dimaksudkan itu telah menjadi agenda bantahan parti-parti pembangkang, khususnya PAS sejak sekian lama. Suara menuntut pemansuhan mereka bukan berkumandang sedekad dua atau hanya setahun dua kebelakangan ini.

Perjuangan PAS membantah dan menuntut pemansuhan ISA bersama beberapa undang-undang lain yang disifatkan ‘draconian’ boleh dikatakan bermula sebaik tergubalnya undang-undang itu, sama ada pada era 50-an, 60-an atau sebagainya. Lebih jelas lagi, bantahan terhadap peraturan-peraturan zalim itu bersemarak tatkala yang menjadi mangsa kebanyakan peruntukan akta-akta tersebut ialah parti-parti pembangkang, khsusunya PAS.

Sebagai contoh, ISA yang walau pun pada zahir dan maksud asalnya digubal bagi mencegah dan mengekang akvtiviti subversif, khususnya gerakan komunis, tidak pernah terlepas daripada turut memangsakan para pemimpin PAS. Sebilangan pemimpin PAS, termasuk para alim ulama dan tok gurunya sudah pun tersenarai sebagai tahanan ISA seawal 60-an lagi. Apakah perbuatan mengajar agama dan menghuraikan hukum-hakam Islam dianggap ‘keganasan terancang’ di sisi kerajaan Umno?

Apakah pemimpin sebuah pertubuhan berdaftar dan diakui ‘halal’ di sisi peraturan negara melakukan aktiviti subversif dan mengancam keselamatan negara? Perkara itu tidak pernah pula dibuktikan di mahkamah terbuka, kerana peruntukan di bawah ISA membolehkan mereka ditahan tanpa bicara untuk tempoh selama mana dikehendaki kerajaan.

Kezaliman itu telah berlaku sejak lebih enam dekad lalu. Selama itu jugalah PAS yang kerap dimangsakannya lantang menyuarakan bantahan. Parti Islam itu secara aktif dan konsisten menuntut akta itu dihapuskan.

Lalu adalah tidak tepat dari perspektif masanya jika dikaitkan perjuangan membantah akta-akta zalim itu dengan perjuangan Pakatan Rakyat yang baru berusia tiga tahun. Walau pun hasrat para pendukung Pakatan menjulang dan menonjolkan agenda perjuangan gabungan parti-parti pembangkang itu suatu yang murni dan wajar didukung, kita jangan tersasul sehingga mengelirukan fakta sebenar.

Jangan sampai keghairahan kita mengutamakan Pakatan akhirnya mendorong kita mengemukakan fakta yang silap, terutama berkaitan fakta masa. Akuilah perjuangan para pendukung pembangkang, khususnya PAS dan DAP, untuk menolak kezaliman BN menerusi penguatkuasaan akta-akta zalim dan menindas itu bermula jauh lebih lama berbanding usia Pakatan.

Ia malah mendahului kewujudan Barisan Alternatif (BA) lebih sedekad lalu. Bahkan, dalam konteks perjuangan menuntut pemansuhan ISA, ia bukannya bermula hanya dengan penubuhan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) pada 2001.

Sebab itu lebih tidak sayugia dan amat tidak kena apabila ada pendukung Pakatan yang ‘tersasul’ mendakwa tindakan Najib memansuhkan ISA dan beberapa peraturan lain itu sebagai tunduk kepada tuntutan ‘Buku Jingga’. Hujah itu sebenarnya menjerat diri sendiri. Ia sekali gus memberikan modal percuma kepada para pemimpin BN.

‘Buku Jingga’ hanya berusia setahun jagung. Mudah saja bagi pemimpin BN menafikan peranan buku yang menjadi pernyataan agenda pemerintahan Pakatan itu. Bahkan sudah ada pemimpin BN membidas bahawa hasrat memansuhkan ISA telah disuarakan Najib sebaik beliau mengambilalih teraju pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009, iaitu setahun lebih awal daripada tertonjolnya ‘Buku Jingga’. Justeru, apa rasional mana-mana pihak mendakwa ia ekoran tuntutan terkandung dalam buku itu?

Perkara kedua yang seharusnya diperhalusi ialah hakikat bahawa yang dibantah pada ISA dan akta-akta disebutkan tadi adalah prinsip dan dasarnya yang zalim serta menindas rakyat. Ertinya perjuangan rakyat membantah dan menuntut agar dimansuhkan itu bukan butiran lahiriah ISA, Akta Polis, AMCP atau AKT itu sahaja.

Sebab itu pendirian PAS dan rakan-rakan Pakatan untuk mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ perkembangan selepas ini adalah lebih tepat. Apakah apa yang diumumkan Najib itu benar-benar terlaksana sepertimana semangat mentransformasi politik dan pentadbiran serta menjulang demokrasi dan kepentingan rakyat atau tidak, masih terlalu awal untuk diberikan pemarkahan.

Pemansuhan ISA contohnya telah diumum akan disusuli penggubalan dua undang-undang baru sebagai ganti. Apakah ia nantinya akan menjadi suatu yang dialu-alukan sekiranya prinsip dan dasar zalim di bawah ISA, terutama peruntukan tahanan tanpa bicara dengan budi bicara kelangsungannya tertakluk secara mutlak di atas menteri atau polis, turut dimuatkan di dalam undang-undang baru itu?

Tepat sepertimana ditegaskan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dalam wawancaranya dengan sebuah tabloid mingguan, Ahad, “kritikan pembangkang atau NGO terhadap ISA bukan sebab undang-undang itu saja, tetapi prinsip dan kandungannya juga, iaitu prinsip utamanya menahan tanpa bicara. Jika prinsip itu kekal dalam undang-undang lain (baru), saya rasa ia akan mendapat perhatian (bantahan) sebab ia bercanggah dengan prinsip keadilan”.

Langkah beringat-ingat itu agak tepat mengambilkira penegasan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein mengenai kemungkinan dibimbangi itu. Selaku menteri bertanggungjawab ke atas penguaktkuasaan hampir kesemua akta disebutkan Najib di atas, Hishammuddin sedari awal telah membayangkan bahawa pemansuhan ISA bukan bermaksud segala tindakan pencegahan dan penindasan di bawahnya juga terhapus, terutama mengambilkira peruntukan yang akan diwujudkan di bawah undang-undang baru nanti.

“Ramai ingat ISA dimansuhkan, tetapi sebenarnya dua akta baru bakal digubal juga berkaitan dengan keselamatan dan anti keganasan,” katanya, yang mengundang penafsiran amat membimbangkan.


Dalam hati saya hanya ada PAS - Hassan Ali | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 Sept: AJK PAS Pusat yang juga Exco Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyatakan beliau tetap akan bersama PAS dan tidak berminat untuk menyertai Umno.

Beliau berkata, tiada sebab untuk beliau menyertai Umno yang disifatkannya sedang "nazak dan hampir karam".

"Dalam hati saya hanya ada perjuangan Islam (PAS), bukan Umno.

“Untuk apa saya buat begitu (masuk Umno) sedangkan Umno dalam keadaan nazak, jentera dan kapalnya semua hampir tenggelam," katanya tegas.

Beliau berkata demikian sebagai menafikan spekulasi yang ditimbulkan dalam blog bahawa beliau akan meninggalkan PAS dan menyertai Umno dalam masa terdekat.

Menurut beliau yang menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah jahat terhadap dirinya, PAS tetap pilihannya kerana beliau yakin dengan perjuangan PAS kerana dasar perjuangan Islam parti itu yang berpandukan berpandukan Al-Quran dan Al-sunah, Ijma' Ulama dan Qias.

"Semenjak cerita bohong ini disebarkan dalam blog dan laman sesawang facebook saya telah menerima 15 panggilan telefon dan 25 SMS megenai hal tersebut.

"Semua buang masa, dan lebih baik saya beri tumpuan dengan kerja pentadbiran kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) untuk pertingkatkan ekonomi negeri Selangor, " katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Gombak semalam.

Turut hadir bersama Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang Shari Sungib, pimpinan Pakataran Rakyat Selangor dan AJK Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor.

Sementara itu beliau sekali lagi turut menafikan dakwaan bahawa ada berjumpa dengan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menyatakan hasrat menyertai Umno.

"Saya harap provokasi murahan yang dilemparkan terhadap saya dapat menenangkan semua rakyat. Yakinlah saya tetap dengan perjuangan PAS dan terus berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat sehingga akhirnya bagi menentang kezaliman Umno BN," tegasnya.


Jangan niat buat kerja untuk jadi calon p'raya | Print |
Nazmi Nik Din

MARANG, 19 Sept: Ahli PAS di segenap peringkat diingatkan agar tidak menjadikan habuan dunia sebagai matlamat perjuangan.

Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Tuan Guru Datuk Harun Taib berkata, ianya termasuk berkerja semata-mata untuk menjadi calon dalam pilihanraya.

“Kita dalam PAS ini kena berjuang kerana Allah SWT dan bukan kerana hendak jadi calon.

"Kita kena sanggup berkorban dengan apa sahaja baik dalam keadaan murah atau mahal,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ijtima’ Pilihan Raya PAS Kawasan Marang, di Masjid Rusila, baru-baru ini.

Berucap lanjut beliau berkata, setiap ahli PAS perlu sentiasa memperbetul niat dan mentapkan pendirian dalam perjuangan Islam.

Apa yang lebih penting katanya adalah usaha memenangkan perjuangan Islam berbanding matlamat bersifat peribadi.

“Dalam kita (PAS) menghadapi musuh, musuh pilihan raya kita, musuh politik kita dan musuh dalam perjuangan kita ini, kita kena tetap pendirian dalam apa keadaan sekali pun menghadapi perjuangan.

“Kena ingat kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya. Selain itu, kerja dengan cara berorganisasi yang tersusun akan membantu mempercepatkan kemenangan PAS,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa musuh-musuh Islam pada waktu ini lebih ramai dan ‘senjata’ mereka lebih canggih.

Tetapi, katanya musuh-musuh Islam banyak melakukan maksiat serta kezaliman yang tidak wajar dilakukan oleh pejuang Islam.

“Musuh lebih ramai dari kita, ‘senjata’ (propaganda) musuh lebih canggih dari kita tetapi musuh melakukan maksiat.

“Kita (PAS) jangan melakukan maksiat seperti musuh. Jangan langgar perintah Allah SWT khususnya dalam menghadapi musuh,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Yang Dipertua PAS Marang, Yahaya Ali, Timbalan Yang Dipertua PAS Marang, Ahmad Ma’aruf Ismail dan Setiausaha PAS Marang, Hasan Jusoh.


Najib enggan akui kesilapan - Pak Samad | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 19 Sept: Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said mempersenda pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkan sebagai "tidak mengakui kesilapan kerajaannya".

A. Samad yang juga dikenali sebagai Pak Samad berkata, amat malang apabila BN khususnya Najib masih enggan mengakui bahawa pengumuman pemansuhan itu hasil desakan rakyat khususnya anak muda yang mahukan perubahan demokrasi.

"Selama 54 tahun mereka tak terfikirkan pun ISA itu harus dikikis. Tiba-tiba sahaja mendapat ilham, dan tidak mengakui bahawa ini adalah desakan daripada kelompok antaranya anak muda bahawa kita sudah tidak tertahan lagi.

"Perdana Menteri pun dua tiga hari ini mengumumkan...oh, kami...kami sahaja yang meluruhkan ISA tapi tidak diceritakan kerana desakan-desakan itulah yang mendorongnya untuk merubah. Kalau tidak ada desakan-desakan itu, saya tidak fikir (ISA dimansuhkan) kerana itu adalah alat yang sangat bermanfaat untuk menekan (rakyat)," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan pelancaran buku Puisi Jadi Senjata yang memuatkan himpunan sajak anak muda sookoong A. Samad Said dan Bersih 2.0 di Dewan Annex, Central Market, dekat sini, semalam.

Pak Samad yang merupakan antara pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menghadap Sultan Mizan untuk merundingkan Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu juga tidak menafikan puisi anak muda ini turut mempengaruhi tindakan Najib.

"Apa yang dilakukan ini sebenarnya satu keberanian, satu pernyataan yang akhirnya antalogi ini masuk dalam arus massa Perdana Menteri untuk mengumumkan penghakisan ISA.

"Itu saya fikir satu kemenangan yang baik, dan tentunya Perdana Menteri tidak akan mengakui itu. Tapi mahu tidak mahu, ini adalah satu jalur yang menggerakkan dan kemudian menjadi sungai yang besar mengasak, dan itulah yang berlaku," katanya di hadapan kira-kira seratus hadirin, majoritinya golongan muda.

Seni senjata anak muda

Menyifatkan seni khususnya puisi sebagai 'senjata' berkesan untuk menyedarkan pemerintah, Pak Samad mahu antalogi ini disebarluaskan ke serata negeri untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

"Saya mengharapkan bahawa puisi ini tidak hanya bergerak di Kuala Lumpur, tetapi tentunya ada teman lain di Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

"Walaupun dalam bentuk kecil-kecilan, pergerakan menyatakan bahawa seni itu senjata sangat penting.

Sambil menyatakan rasa bangga terhadap usaha anak muda menerbitkan antalogi ini, Pak Samad berkata suara anak muda yang diterjemahkan melalui seni mampu merubah keadaan negara berbanding orang tua yang sudah selesa dengan kedudukan mereka.

"Yang sudah-sudah orang mengatakan seni itu hiburan sahaja, main-mainan sahaja. Tapi di tangan anak-anak muda, puisi menjadi senjata.Saya amat berbangga

"Saya sangat yakin hanya suara anak muda sahaja akan merubah. Orang tua ia sudah bersikap, maksudnya dia tidak mahu diganggu. Tapi yang benar sekarang ini ialah dunia anak muda. Bukan dunia saya lagi," katanya.

Beliau turut mengingatkan anak muda agar tidak terus membiarkan kuasa zalim terus membelenggu rakyat namun harus menghapuskannya melalui undi dalam pilihan raya akan datang.

"Saya harap suara muda ini membenihkan suatu keazaman untuk regim change. Kalau tidak, bermakna andalah yang membenarkan suatu kuasa itu berterusan dan jangan salahkan orang-orang tua, salahkan diri anda sendiri.

"Saya mengharapkan anak muda tidak hanya menggunakan sajak sebagai senjata tapi menggunakan undi juga sebagai senjata yang sangat bermanfaat," pesan beliau yang mula menjadi ikon anak muda sejak lantang menyuarakan bantahan terhadap sikap kerajaan BN melalui karya dan turut turun ke jalanan berdemonstrasi.


Pejabat Tanah Besut, Adun diminta beri penjelasan
Harakahdaily

SETIU, 19 Sept: Kewujudan aktiviti penerokaan tanah secara berleluasa melibatkan ratusan ekar tanah yang kemudiannya ditanam kelapa sawit di Kampung Gong Dohud, Jabi dekat sini menimbulkan tanda tanya dan kecurigaan penduduk sekitar.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Dr Azman Ibrahim (gambar) berkata, ini ekoran tiada sebarang papan tanda projek dan penjelasan pihak berwajib tentang kerja-kerja yang telah dan sedang dijalankan sedangkan anak-anak kelapa sawit yang ditanam telah mencecah usia setahun lebih malah ada sebahagiannya telah mengeluarkan hasil.

Menurutnya, seorang penduduk, Hapsah Jusoh yang juga pemilik lot tanah PT 2057, nombor Geran Mukim 2197, Kampung Gong Dohud yang bersebelahan dengan lokasi tersebut memanjangkan aduan kepada pihak Majlis Tindakan Dun (MTD) Jabi.

“Dan kami telah membuat tinjauan lapangan di kawasan terbabit dan didapati aduan tersebut mempunyai kebenaran dan asas fakta,” katanya yang juga Pengarah MTD Jabi.

Beliau berkata, lebih menimbulkan persoalan kerana kami dimaklumkan oleh penduduk sekitar bahawa ladang yang dipenuhi anak-anak kelapa sawit dan kenaf serta dipagar rapi.

Di samping itu, ujarnya terdapat rumah ladang yang didiami pekerja-pekerja warga Bangladesh dikatakan milik Adun BN di samping beberapa ladang sekitar yang didakwa dimiliki beberapa orang kuat Umno termasuk pengerusi-pengerusi JKKK dengan keluasan yang mencecah belasan hingga puluhan ekar setiap orang.

Sehubungan itu, katanya penduduk menuntut penjelasan pihak berwajib dan penyiasatan rapi tentang status sebenar tanah-tanah yang diterokai.

Ini, ujarnya kerana berdasarkan makluman mereka yang telah menetap di situ sejak puluhan tahun dahulu, tanah-tanah tersebut adalah tanah kerajaan yang belum diberi hak milik.

“Kalau telah diberikan hak milik, mereka ingin tahu siapakah pemiliknya. Pejabat Tanah Daerah Besut atau Adun Jabi mungkin boleh memberi penjelasan.

“Bagi kami, tiada siapa yang boleh bertindak mengatasi undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya yang juga AJK PAS Terengganu.


Pemuda PAS sokong usaha daulatkan Palestin | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Sept: Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan langkah Presiden Mahmoud Abas yang akan meneruskan usaha untuk memastikan pengiktirafan negara Palestin berdaulat terutamanya ketika Persidangan Pertubuhan Bangsa-banga Bersatu tidak lama lagi.

Naib Ketua DPPM, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss (gambar) berkata, pihaknya juga mempertikaikan kesungguhan Presiden Obama yang kelihatan tidak konsisten dalam janjinya dahulu ketika ucapannya di Mesir bahawa beliau akan memastikan bumi Palestin mndapat pembelaan yang sewajarnya.

Katanya, ucapan Presiden Amerika itu sejak akhir-akhir ini dilihat semakin menikus apabila Israel mengancam untuk berkerjasama dalam menjayakan pelan kedaulatan Palestin.

DPPM juga, ujarnya menyelar sikap kerajaan Malaysia bersama-sama seluruh negara umat Islam terutamanya kerjasama negara-negara pertubuhan persidangan Islam (OIC) yang dilihat sehingga kini tidak mampu untuk mengiktiraf dan menggerakkan inisiatif bagi negara Palestin berdaulat.

“Kerajaan Malaysia umpamanya sehingga kini tidak berani untuk menyuarakan isu ini di peringkat antarabangsa kerana khuatir kepada Amerika dan sekutunya,” ujarnya yang juga pengerusi lajnah itu.

Katanya, kekhuatiran tersebut menyelebungi sehingga membunuh ribuan umat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Justeru, tegasnya DPPM akan berusaha bersama-sama semua gerakan Islam antarabangsa bagi memastikan pembelaan sewajarnya untuk umat Islam Palestin.

“DPPM juga menyeru supaya semua rakyat Malaysia mengekalkan sokongan buat umat Palestin,” katanya.


Bukan tukar bendera tapi tumbangkan BN | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Sept: PAS menegaskan tiada keperluan untuk menukar bendera negara kerana bendera adalah lambang kedaulatan negara.

Disebabkan itu, sebagai rakyat Malaysia, bendera negara perlu dipertahankan, tidak boleh diperlekehkan dan dipersendakan.

“Isu ini tidak perlu jadi polemik kerana ia tidak akan menjadi dasar Pakatan Rakyat, dan PAS secara tegas tidak akan sesekali menyokong cadangan sedemikian daripada sesiapa pun,” tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) sebagai mengulas serangan Umno terhadap kenyataan seorang pemimpin DAP, M Manoharan.

Manoharan, yang juga Adun Kota Alam Shah dalam Twitter beliau baru-baru ini menyatakan akan bertindak menukar design bendera Malaysia sekiranya menang.

Bagaimanapun, beliau telah memadamkan komen tersebut dan memohon maaf secara terbuka atas keterlanjurannya.

Isu utama kini, kata Tuan Ibrahim bukanlah bendera tetapi Barisan Nasional yang memerintah negara.

“Slogan Barisan Nasional, 1Malaysia yang menggunakan lambang bendera Malaysia itu juga bukan isu utama kerana slogan akan sentiasa bertukar.

"Pada zaman Tun Dr Mahathir, berapa banyak slogan yang telah digunakan Barisan Nasional hanya sebagai penyedap kata? Demikian juga zaman Tun Abdullah Badawi dengan Islam Hadharinya dan kini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan dengan promosi 1Malaysia yang hebat, namun tetap gagal memahamkan orang sebijak Tun Dr Mahathir mengenai maksud slogan tersebut sehingga kini, apatah lagi rakyat Malaysia,” kata beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menyeru agar semua pimpinan Pakatan Rakyat bekerja keras bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional akan datang.

“Itulah isu yang harus difokuskan oleh semua pemimpin, anggota, penyokong Pakatan Rakyat dan rakyat yang inginkan pembaharuan dan jaminan masa depan yang lebih baik,” nasihat beliau.


Najib sengaja ketepi pejuang mansuh ISA | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 Sept: PAS hari ini membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan bahawa inisiatif untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah “keputusan dibuat kerajaan Barisan Nasional sahaja dan bukan perjuangan mana-mana pihak lain” tanpa memberi pengiktirafan kepada pejuang-pejuang mansuh akta zalim itu yang menentang ISA sejak dahulu lagi.

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kini tetiba sahaja, pejuang-pejuang yang dulunya bermati-matian nak kekalkan ISA hendak menjadi hero, yang hendak mansuhkan ISA sejak dulu pula sengaja diketepikan.

Ttindakan itu, katanya terus mengingatkan rakyat kepada nasib yang menimpa pejuang-pejuang haluan kiri pra-kemerdekaan seolah-olah sejarah diulang tayang untuk membuka mata rakyat.

“Mana ia penghargaan kepada jasa-jasa pejuang-pejuang memansuhkan ISA selama ini? Tak akanlah disebabkan mereka ini rakyat jelata yang menyokong perjuangan samada dalam wadah pembangkang ataupun tidak, dalam menuntut memansuhkan ISA tiada kredit?

Siapakah pencetus inisiatif tersebut kalau bukan rakyat yang membantah kerajaan dalam isu ISA, terutamanya barisan pembangkang dulu, sehinggalah Pakatan Rakyat kini yang menyerang habis-habisan ugutan dan salahguna ISA oleh puak-puak kanan di dalam Umno, dan adik mereka Perkasa selama ini yang menggunakan akta ini demi kepentingan politik semata-mata?” selar beliau.

Tindakan juak-juak Umno, yang dulunya lantang melaungkan pentingnya ISA dikekalkan, sindir Tuan Ibrahim telah menebalkan muka dan memuji bertubi-tubi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang yang berani, tegas dan hebat.

“Jika pujian itu diterima, secara logiknya - bukankah itu bermaksud dulu semua pemimpin Umno ini penakut, tiada ketegasan dan tiada kehebatan? Cuma sekarang saja ada keberanian,” kata beliau dengan sinis.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mengimbas kembali kata-kata kerajaan Barisan Nasional pada 2009, di mana ia telah berkali-kali menegaskan bahawa dasar dan pendirian Kerajaan adalah untuk mengkaji dan “bukannya memansuhkan ISA.”

Malah pada bulan Disember 2009, kata Tuan Ibrahim, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah berkata bahawa “semua pihak” sepakat Akta Keselamatatan Dalam Negeri (ISA) dikekalkan.

Pakatan Rakyat pula, kata beliau telah menyatakan akan memansuhkan ISA dalam Buku Jingga yang dilancarkan mereka.

“Apabila Pakatan Rakyat kata penghapusan akta zalim ini meniru idea dalam Buku Jingga, tiba-tiba bangkitlah beberapa orang menteri Umno amnesia yang menyatakan bahawa ini idea asli Perdana Menteri, bukannya tiru idea Buku Jingga,” bidas beliau.

“Cukup marah nampaknya Perdana Menteri dan para pimpinan Umno apabila dikatakan mereka telah meniru idea orang lain - barangkali itu sebenarnya punca utama di sebalik penggantungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa ahli parlimen dari Parlimen dalam kontroversi APCO kerana mereka juga pernah menyatakan idea 1Malaysia adalah hasil ciplak 1Israel.”

Media perdana, katanya kini terus memberikan bayangan bahawa Perdana Menteri sedang disanjungi kerana keberaniannya dalam menghapuskan ISA.

“Sehinggakan Presiden KITA, Zaid Ibrahim perlu cepat-cepat memohon maaf kepada Najib kerana tersilap membuat andaian bahawa menyangka Perdana Menteri tidak berani, walaupun tiada apa-apa konkrit yang berlaku lagi selain pengumuman lisan beliau,” sindir beliau.

Tambah Tuan Ibrahim, PAS akan meneliti secara dekat hasrat murni ini dengan hati-hati kerana pada masa yang sama, Najib turut mengumumkan untuk menggubal dua akta baru bagi menyekat golongan “pengganas” yang akan mencetuskan suasana huru-hara dan menggugat ketenteraman awam.

“Tafsiran “pengganas” dan “ancaman” ini pula luas, tak tahulah ia mengikut tafsiran Umno-BN ataupun kerajaan memerintah? Semuanya masih samar dan tidak diketahui,” terang beliau, sambil menambah bahawa PAS akui keamanan negara menjadi keutamaan dan tiada pihak ingin melihat negara menjadi tidak aman.

Namun, Tuan Ibrahim berhujah bahawa kerajaan BN tidak boleh menyalahkan rakyat yang bersangka buruk pada pengumuman ini kerana rakyat sudah banyak kali dikecewakan.

Apa yang menjadi keraguan rakyat, katanya ialah kebanyakan akta digubal asalnya dengan tujuan yang sangat baik, tapi rakyat sedar apabila sampai sudut pelaksanaannya, ia sering kali disalahgunakan bukan untuk menjaga kepentingan negara, tapi hanya kepentingan Umno BN, terutamanya apabila hipokrisi mereka telah terlondeh dan nyawa-nyawa ikan.

“Ini ditambah pula dengan pelbagai janji Umno BN yang jarang ditunaikan, terutamanya janji-janji yang ditaburkan semasa pilihanraya telah menyebabkan majoriti rakyat serik dengan pengumuman sedemikian,” tambah beliau.

Rakyat kini, kata Tuan Ibrahim dibelenggui satu persoalan yang amat mustahak - apakah jaminan yang boleh mereka harapkan dengan mengekalkan Umno-BN, selain ISA yang dijanjikan akan dimansuhkan, apakah jaminan bahawa penyelewengan, rasuah, salahguna kuasa, politik fitnah akan turut terhenti daripada terus berlaku itu?

“Rakyat sebenarnya sedar bahawa tiada apa yang boleh dijamin dalam hal-hal sedemikian sekiranya Umno-BN dikekalkan, tambahan pula, Najib sudahpun memberikan bayangan jaminan bahawa rakyat akan terpaksa menanggung kedatangan GST sekiranya Umno-BN kekal berkuasa selepas PRU13.”

Jaminan terbaik sekarang untuk rakyat, hujah beliau ialah dengan mengambil langkah berani untuk mencuba pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat untuk satu penggal bagi membolehkan segala janji yang diterterakan dalam Buku Jingga dilaksanakan selepas pilihanraya umum ke 13.

“Percayalah kerajaan Pakatan Rakyat akan bersungguh-sungguh melaksanakan semua janji mereka kerana Pakatan Rakyat sedar ‘Rakyat’ adalah bos mereka yang sebenar dan hakikatnya, tiada kerajaan yang hanya ingin berkuasa untuk satu penggal. Inilah jaminan yang lebih menyakinkan daripada terus mempercayai bahawa Umno-BN akan berubah satu hari nanti,” kata beliau.

Tiada ulasan: