Rabu, 29 Disember 2010

BUAT APA2 PUN BIARLAH BERLANDASKAN ISLAM....PELANGGAN SELESA DAN AMAN BEGITU JUGA PERNIAGA@BANK

Nik Aziz mahu mereka yang fitnahnya mohon maaf

Dis 28, 10 10:20pm


Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu mereka yang menyebarkan berita memfitnah kononnya beliau meninggal dunia agar memohon maaf dengannya.

"Saya tidak akan ampun dan akan menanggung dosa di akhirat kelak selagi dia tidak minta maaf dengan saya," kata Mursyidul Am PAS itu kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat mengenai bekalan air di kediaman rasminya di JKR 10, di Kota Bharu hari ini.

Sebelum ini, berita mengenai kesihatan Nik Abdul Aziz, 79, heboh diperkatakan malah dikatakan telah meninggal dunia malam tadi.

Menteri besar itu minggu lalu menerima rawatan di Wad Eksekutif Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana sakit pinggang.

Ketika ditanya sama ada beliau masih mampu mentadbir Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata beliau masih mampu berbuat demikian kerana tugas mentadbir negeri bukan dengan tenaga zahir tetapi dengan otak dan mengaku otaknya masih berfungsi dengan baik.

Beliau juga menyifatkan spekulasi mengenai kesihatan seseorang pemimpin terutama pemimpin politik adalah perkara biasa.

- Bernama


Pemuda PAS lancar jelajah tawan Putrajaya
Fadzly Esa
Dis 28, 10
6:51pm


Pembuka tirai 2011 menyaksikan PAS akan mengadakan siri jelajah seluruh negara untuk memberi kesedaran supaya menilai perubahan yang ingin dibawa oleh parti itu dalam rangka menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Siri jelajah itu, dinamakan Projek 2011: Masa untuk berubah - PAS Sedia Gantikan Umno, dijadual berlangsung antara Januari hingga Mac 2011.

NONEKetua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan (kiri) berkata segala persiapan sedang dipergiatkan dan diatur melibatkan seluruh anggota Pemudanya dalam program tiga bulan itu.

"Kami juga telah mengeluarkan arahan untuk menggerakan jentera di setiap peringkat kawasan dan negeri,' katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Dalam siri jelajah yang akan bermula di Pahang dan berakhir di Terengganu itu, rombongan Pemuda PAS dijadual mengadakan sesi dialog dengan Pemuda negeri serta taklimat khas daripada Nasrudin.

Di sebelah malamnya pula akan diadakan ceramah perdana, dinamakan Pentas Pemuda.

Nasrudin berkata, setiap jentera Pemuda terlibat menyelesaikan culaan undi, daftar pemilik dan jumlah semak semasa berada di lapangan.

NONEDitanya bilangan anggota PAS akan turut serta, katanya, itu semua bergantung kepada keluasan sesuatu kawasan.

"Kita tidak meletakkan jumlah kapasiti, jumlah tenaga (ahli) bukan berada di atas kertas tetapi di lapangan kelak," ujarnya.

Nasrudin berkata, siri jelajah mencapai kemuncaknya pada 19 Februari, dijangka 30,000 Pemuda PAS Kedah akan menghadiri program tersebut.

Ditanya sama ada sudah memohon permit polis, Nasrudin memberitahu telah memohon permit daripada pihak berkuasa untuk kesemua siri jelajahnya.

"Ada negeri dah serah borang permohonan dua minggu lebih awal untuk mohon permit," kata beliau yang menjangka tiada masalah akan timbul dalam program sulung mereka untuk tahun depan itu.



Rakyat Iran dinasihat hormat undang-undang

Dis 28, 10 7:23pm


Rakyat Iran yang berada di Malaysia dinasihatkan supaya menghormati undang-undang dan peraturan di negara ini selain melakukan aktiviti yang didasarkan kepada perpaduan dan persaudaraan Islam.

Menurut kenyataan Konsul Kebudayaan Kedutaan Iran di sini, apa yang harus diutamakan ialah prinsip amalan umat Islam berhubung kerjasama, persefahaman dan rundingan.

"Kami yakin prinsip ini lebih penting daripada berbalah mengenai perbezaan yang kecil," kata kenyataan itu yang dikeluarkan berikutan bantahan terhadap laporan media mengenai pengikut ajaran Islam tertentu.

Konsul itu berharap kerajaan Malaysia akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengikis kesan negatif daripada dakwaan terhadap ajaran itu dan mengelaknya daripada berulang.

--Bernama

ANGKASA tubuh koperasi perbankan Feb 2011
Dis 28, 10 4:45pm


Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan melancarkan penubuhan sebuah Koperasi Perbankan Angkasa (KPA) pada Februari depan, bagi memberi kemudahan kepada 7,688 koperasi di bawahnya di seluruh negara.

Presiden Angkasa Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata KPA itu akan mempunyai modal berbayar RM300 juta dan surat kelulusan penubuhan telah diterima daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia pada bulan ini.

"Sudah banyak koperasi yang sedia memberi komitmen untuk memberi modal. Angkasa dibenarkan melabur 8.0 peratus dari modal berbayarnya, iaitu RM24 juta manakala koperasi lain boleh melabur sekurang-kurangnya RM1,000 sehingga maksimum RM15 juta," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Kempen Keahlian KPA Zon Selatan, dari kalangan koperasi di Melaka hari ini.

Mohd Ali berkata Angkasa sudah mengumpul modal RM50 juta dan penuh yakin jumlah itu (RM300 juta) mudah dikumpulkan malah ia dijangka menerima lebih daripada jumlah itu.

Dengan penubuhan KPA itu kelak, banyak bidang perniagaan boleh dibiayai oleh koperasi di seluruh negara, yang mempunyai 7.9 juta ahli, sehingga November lepas.

Antara cadangan produk yang akan dilaksanakan ialah membiayai modal untuk koperasi kredit memberi pinjaman peribadi kepada anggota mereka.

Skim Pinjaman perumahan secara konsep Musyarakah Mutanaqisah dan membantu membiayai projek hartanah milik koperasi.

Beliau berkata ciri-ciri produk perbankan ini akan memberi situasi menang-menang antara koperasi dan KPA dan tidak bersaing dengan mana-mana bank koperasi yang telah beroperasi di negara ini.

Mohd Ali juga berkata dengan tertubuhnya KPA, semua masjid besar di seluruh negara, yang kebanyakannya mempunyai banyak sumber kewangan yang kukuh, boleh menubuhkan koperasi kariah masjid masing-masing dan memajukan aset dan tanah wakaf masjid.

Beliau berkata apabila masjid ingin membangunkan aset masjid seperti tanah wakaf dan memerlukan sumber kewangan maka KPA akan menyalurkan pinjaman tersebut kerana bank komersil amat keberatan untuk menyalurkan pinjaman kewangan kepada masjid kerana tidak mempunyai cagaran dan penjamin.

"Kita akan memberi pinjaman tetapi dengan syarat wang yang dikutip setiap minggu atau bulanan dibayar semula kepada KPA," katanya.

Dengan tertubuhnya koperasi masjid itu kelak, bermakna semua ahli kariah akan menjadi ahli kepada koperasi tersebut dan kempen penubuhan sedang giat dijalan sejak bulan lepas, yang bermula di Pahang.

"Kita berpandangan sektor koperasi masjid juga perlu diwujudkan untuk menangani masalah tersebut secara khusus dan masjid perlu mempunyai perancangan bersepadu seperti koperasi sekolah yang mempunyai program yang seragam," katanya.

Katanya alat untuk menggerakkan ekonomi masjid adalah Koperasi Kariah Masjid, yang perlu mendapat galakan dan kelulusan dari semua Majlis Agama Islam negeri masing-masing dan ia perlu ada perjanjian antara masjid dengan koperasi masjid.

Banyak program yang fokus boleh dijalankan antaranya menyediakan pusat hemodialisis bagi pesakit buah pinggang.

--Bernama



Suspek pengedar dadah cedera ditembak polis
Dis 28, 10 6:34pm


Seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah, cedera di leher akibat ditembak polis dalam satu kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Intan Baiduri di Kepong hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu bermula apabila beberapa anggota polis yang kebetulan membuat rondaan di kawasan Batu Caves dengan menaiki tiga buah motosikal melihat kelibat sebuah kereta Kancil yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Kereta itu dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan anggota kita telah meminta lelaki itu untuk memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan, namun dia enggan berbuat demikian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di Kuala Lumpur.

Beliau berkata suspek kemudian cuba melarikan diri dengan memandu keretanya dengan laju menyebabkan kereta suspek turut melanggar kenderaan yang lain.

Langgar polis, rempuh orang awam

"Satu daripada tiga buah motosikal peronda kita berjaya mengekori suspek sejauh 4 km sehingga ke kawasan perumahan ini (Taman Intan Baiduri).

"Suspek kemudian bertindak melanggar motosikal anggota kita hingga menyebabkan anggota kita terjatuh. Melihat keadaan yang terancam, anggota terpaksa melepaskan dua das tembakan yang mana satu dari tembakan itu kena pada leher suspek," katanya.

Akibat terkena tembakan itu, lelaki terbabit tidak dapat mengawal kenderaannya lalu menyebabkan kereta Kancil terbabit mengundur dan merempuh orang awam yang turut berada di tempat kejadian.

Zulkifli berkata ekoran kejadian itu, tiga wanita yang masing-masing berumur 36, 40 dan 53 tahun serta seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun cedera di badan akibat rempuhan berkenaan.

Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut.

"Manakala suspek yang berusia 26 tahun itu turut dibawa ke hospital yang sama untuk rawatan dan akan ditahan untuk siasatan," kata Zulkifli.

Empat rekod jenayah lampau

Katanya, pemeriksaan ke atas kereta suspek, polis menemui tujuh paket dadah jenis heroin, sejumlah wang tunai dan dua nombor pendaftaran kereta.

"Siasatan awal mendapati suspek turut mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dengan kes dadah dan satu kes curi. Kita juga akan menyiasat punca dadah diperolehi dan nombor pendaftaran kereta yang ditemui dalam kereta suspek," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang suspek meninggal dunia dalam perjalanan ke Mahkamah Jalan Duta kira-kira pukul 7 pagi tadi.

Zulkifli berkata lelaki yang berusia 35 tahun itu telah ditahan di lokap Balai Polis Bukit Jalil sejak 22 Disember lepas atas kesalahan menceroboh.

"Suspek sepatutnya didakwa di mahkamah hari ini mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. Namun belum sempat sampai (di mahkamah) dia mengalami sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia.

"Pemeriksaan awal mendapati suspek mati akibat penyakit tibi yang dihidapinya, namun kita telah menghantar mayatnya ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya yang sebenar," kata Zulkifli.

- Bernama



137 terima bantuan Sultan Kelantan

Dis 29, 10 11:38am


Seramai 137 penduduk miskin termasuk 29 daripada kalangan Orang Asli di Gua Musang menerima bantuan zakat dan rumah yang disampaikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semalam.

Daripada jumlah itu, 129 menerima bantuan zakat manakala bakinya menerima bantuan rumah daripada Majlis Agama Islam Kelantan dalam satu majlis di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap B di Gua Musang.

Selepas penyampaian itu, Sultan Muhammad V turut berkenan melawat seorang peneroka, Sudin Che Ya, 59, yang menghidap asma kronik di RKT itu.

Sudin ketika ditemui Bernama selepas itu meluahkan rasa terharu dengan kunjungan Sultan Kelantan tersebut.

Kunjungan baginda adalah bukti Sultan Muhammad V amat prihatin terhadap rakyat pedalaman, katanya.

Sementara itu, seorang penerima bantuan rumah, Asiah Ahmad, 57, berkata dengan adanya rumah baru itu dia sekeluarga tidak perlu lagi tinggal dalam keadaan daif.

--Bernama

Tiada ulasan: