Sabtu, 25 Disember 2010

BILA PILIHANRAYA...SEMUA PARTI MENGAMBARKAN DAN MENCERITAKAN KEHEBATAN MASING2

PAS gesa Majlis Fatwa semak kenyataan Harussani
Harakahdaily

TEMERLOH, 24 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru Majlis Fatwa Kebangsaan untuk campurtangan menyemak semula kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berhubung isu ancak.

Harussani sebelum ini dilaporkan mempertahankan tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meletakkan ancak sebagai tidak khurafat.

“PAS memohon Majlis Fatwa Kebangsaan melakukan semakan terhadap kenyataan yang dikeluarkan Mufti Perak bahawa tindakan Menteri Besar Perak melakukan upacara ancak, tepung tawar tiang seri rumah dengan pelbagai upacara tidak bercanggah dengan syarak,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Di dalam satu laporan akhbar minggu lepas, Harussani dilihat sebagai terpaksa menghalalkan dengan mengkategorikan tindakan Zambry yang merenjis dan menepung tawar semasa memasang ancak tiang seri baru-baru ini sebagai ‘satu amalan biasa dalam masyarakat Melayu dan tidak bercanggah dengan syarak’.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang juga Adun Pasir Panjang membangkitkan semula perkara itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini.

Sebelum ini, Nizar juga mendakwa kenyataan Harussani bukan sahaja boleh mengelirukan umat Islam di negara ini, malah turut mencalarkan kredibiliti ulamak termasuk mufti.

Lebih bahaya menurut Nizar, perbuatan Zambry itu dibuat di dalam kawasan kampung yang sekaligus memberi gambaran amalan itu boleh terus diamalkan dan tidak khurafat.

Dalam kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut membidas tindakan Harussani sambil berkata bahawa PAS khuatir kenyataan Harussani akan menyemarakkan lagi amalan khurafat yang semakin menghakis kini kerana beliau dilihat sebagai seorang mufti yang berpengaruh di negara.

“PAS melihat beliau sebagai seorang mufti yang berpengaruh, beliau sepatutnya menasihati umat Islam agar menjauhi amalan yang tidak mendasari hukum syarak, bukan kenyataan yang tidak membantu memperkukuhkan akidah ummah,” bidas Tuan Ibrahim.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Perak sedang merancang bertemu dengan ahli majlis fatwa dan ulama, bagi medapatkan penjelasan berhubung isu ancak secara lebih dekat.

Untuk permulaan, mereka telah mengadakan pertemuan dengan salah seorang Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Perak, Haji Abdul Majid Zainal Abidin semalam.

Pertemuan hampir dua jam itu antara lain membincangkan permasalahan ummat Islam yang masih meneruskan amalan khurafat khususnya di Perak.

Ketua Pemuda PAS Perak, Zawawi Hassan memaklumkan mereka akan turut mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh agama lain


Salahudin kesal SPRM 'abai' kes MAS, 'cepat' kes Rosli Dahlan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Salahuddin Ayub kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang cepat mahu membuat rayuan terhadap kes peguam kanan Rosli Dahlan.

Salahudin yang juga anggota jawatankuasa khas suruhanjaya itu berkata, SPRM sebaliknya dilihat masih berdolak dalih untuk bertindak ke atas bekas Pengerusi eksekutif MAS Tan Sri Tajudin Ramli berhubung kerugian syaraikat penerbangan itu.

"Saya terkilan dengan kenyataan SPRM tersebut untuk merayu terhadap kes En Rosli Dahlan kerana mereka tidak menunjukkan minat dan ketangkasan yang sama keatas aduan MAS yang dibuat terhadap Tan Sri Tajudin Ramli berhubung kerugian yang ditanggung MAS semasa diterajui oleh Tan Sri Tajudin.

"Dalam skandal Sime Darby yang terkini, tindakan sivil dan jenayah telah pun diambil tetapi Tan Sri Tajudin kelihatan kebal dari proses undang-undang. Rakyat bertanya kenapa bagitu jadinya," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Tambahnya lagi, umum mengetahui bahawa En Rosli Dahlan adalah peguam MAS yang mengendalikan kes terhadap Tan Sri Tajudin Ramli.

Juga umum mengetahui bahawa En Rosli Dahlan dikenakan pertuduhan semasa mewakili Datuk Ramli Yusuff, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, yang telah mengesyorkan kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi bahawa Tan Sri Tajudin wajar dikenakan pendakwaan atas beberapa pertuduhan.

Pada 20 Disember lalu, Rosli bebas tanpa dipanggil membela diri selepas Mahkamah Sesyen di sini memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kegagalannya mematuhi satu notis untuk mendedahkan segala maklumat mengenai asetnya.

Hakim Abu Bakar Katar memutuskan bahawa notis yang ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya Kanan SPRM Anthony Kevin Morais gagal membuktikan peguam itu merupakan seorang daripada sekutu bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Ramli Yusof.

Beliau juga memutuskan pendakwaan gagal untuk membuktikan bahawa Rosli secara sengaja gagal memberi maklum balas terhadap notis yang dikeluarkan Morais.

Pada 12 Oktober, Rosli dihadapkan ke mahkamah kerana kerana dituduh gagal mematuhi notis untuk mendedahkan segala maklumat berhubung harta miliknya dalam tempoh dua bulan sebagaimana disyaratkan mengikut notis bertarikh 17 Julai, yang kemudiannya dilanjutkan ke 16 Ogos, satu kesalahan mengikut Seksyen 32 (2) Akta Pencegah Rasuah 1997.

Rosli, 46, rakan kongsi sebuah syarikat guaman terkenal dan seorang rakan karib Ramli, pada hari tuduhan dibaca ke atasnya pada 12 Oktober, 2007 memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan terhadapnya sehari sebelum Aidilfitri akan menyebabkan beliau menjadi bahan cemuhan jika ke masjid esoknya untuk bersolat raya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Zulqarnain Hassan berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS itu berkata Rosli adalah peguam Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang mengendalikan kes terhadap bekas pengerusi eksekutifnya Tan Sri Tajudin Ramli.

"Hal ini lebih mengecewakan kerana SPRM juga tidak menunjukkan sebaran reaksi terhadap pendedahan bahawa Peguam Negara Tan Sri Gani Patail mempunyai hubungan mencurigakan dengan proksi Tan Sri Tajudin Ramli, seorang yang dikenali sebagai Shahidan Shafie iaitu bekas OKT dalam kes rasuah beberapa tahun dahulu.

"Hali ini telah pun dibangkitkan oleh Tan Sri Robert Phang, seorang Ahli Lembaga Penasihat SPRM. Tapi sehingga kini Peguam Negara masih membisu," kata Salahudin lagi.

Beliau juga jelasnya terpanggil untuk merujuk kepada ucapan En Rosli Dahlan bahawa dia dimangsakan kerana dikenakan pertuduhan lebih awal sedangkan pada masa itu Ramli masih belum pun dituduh atas sebarang kesalahan.

Dan kesudahannya ialah setelah Ramli dibebaskan, SPRM masih enggan menarik balik pertuduhan terhadap En Rosli.

"Ini menunjukkan seolah-olah terdapat elemen salah guna kuasa oleh pihak SPRM dan Peguam Negara.

"En Rosli juga menuduh bahawa terdapat konspirasi membabitkan media arus perdana dengan “rogue elements in the government” atau elemen bajingan dalam kerajaan. Hali ini amatlah menggerunkan," katanya



Kampung Warisan: Muafakat kesal sikap DBKL

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Muafakat) kesal dengan sikap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang masih enggan memenuhi tuntutan mereka untuk mengisytiharkan Kampung Padang Balang dan 6 kampung lain di sekitarnya, di sini, sebagai Perkampungan Melayu Warisan.

Pengerusi Muafakat, Ishak Surin menegaskan, pengisytiharan Perkampungan Melayu Warisan ke atas 7 buah kampung terbabit amat penting bagi menyelamatkan perkampungan tersebut dari menjadi mangsa perlaksanaan Pelan DBKL 2020 yang akan menghakis tanah rezab Melayu di kawasan itu.

Menurut beliau, selain itu, ia juga bertujuan untuk menyelamatkan warisan Melayu dari terus terhakis sekiranya pelan DBKL 2020 dilaksanakan di kawasan itu.

"Sekiranya Pelan DBKL 2020 dilaksanakan di perkampungan kami ini, tanah-tanah rezab Melayu di kawasan ini bukan sekadar hilang dari pemilikan Melayu, tetapi kawasan ini juga akan bertukar menjadi pusat pembangunan komersial yang sekali gus akan menghilangkan identiti Melayu seratus peratus.

"Itulah sebabnya kami menuntut pengisytiharan itu. Jika kawasan ini diisytiharkan sebagai Perkampungan Melayu Warisan, kawasan ini akan selamat dari menjadi mangsa pelan tersebut dan tidak lagi boleh diganggu gugat oleh sebarang pihak," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Kampung-kampung terbabit terdiri daripada Kampung Bandar Dalam, Kampung Padang Balang, Kampung Chubadak, Kampung Puah, Kampung Sungai Merali, Kampung Sungai Mulia dan Kampung Kuah Seberang.

Bagaimanapun setelah sekian lama berjuang menentang perancangan itu, para penduduk di 7 buah kampung terbabit masih belum menerima tindak balas yang baik dari pihak DBKL.

Katanya, pada 29, 30 dan 31 November lalu, sempena Hari Terbuka DBKL, pihak DBKL telah memanggil beliau dan AJK Muafakat untuk mendengar taklimat mengenai perkembangan terkini hasil dari tuntutan mereka itu.

"Taklimat itu diadakan di tingkat 31 bangunan DBKL. Saya hadir bersama 10 AJK Muafakat. Taklimat itu disampaikan oleh perunding DBKL. Dalam taklimat itu, kami diberitahu tuntutan kami telah dipersetujui tetapi dipinda kepada 'Urban Villege' (Perkampungan Bandar).

"Selain 7 kampung terbabit, kawasan lain yang turut dimasukkan dalam 'Urban Villege' itu ialah India Settlement Kampung Pandan (penempatan India di Kampung Pandan) dan Kampung Malaysia Tambahan di Bandar Tun Razak," katanya yang juga YDP PAS Kawasan Batu.

Pindaan tersebut, menurutnya, tetap dibantah oleh pihaknya kerana ia masih tidak memenuhi tuntutan mereka. Perjuangan Muafakat bukanlah untuk mendapatkan title 'Urban Village' bagi kawasan itu, tetapi Perkampung Melayu Warisan.

Tambahan pula, pengisytiharan ke atas 7 perkampungan terbabit sebagai Perkampung Melayu Warisan telah dibuat sendiri oleh pihaknya pada 10 Oktober lalu menerusi satu perhimpunan besar-besar yang dihadiri para penduduk di kampung-kampung terbabit.

"Pengisytiharan itu dibuat hasil muafakat kami. Ia dah tak boleh diubah lagi. Jadi, apa pun berlaku, kami mesti teruskan perjuangan kami sehingga berjaya," tegasnya yang juga AJK Badan Bertindak Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat.

Beliau yang juga AJK Lajnah Kemajuan Tanah dan Wilayah PAS Pusat kesal kerana pindaan yang dibuat itu bukan sekadar memperlihatkan keengganan pihak DBKL memenuhi tuntutan mereka, tetapi masih turut menunjukkan hasrat pihak terbabit untuk mengagungkan bahasa Inggeris dengan ingin menamakan kawasan mereka sebagai 'Urban Villege'.

Turut dikesalkan oleh beliau, taklimat yang diadakan oleh pihak DBKL itu bukannya disampaikan oleh pihak DBKL sendiri, tetapi hanya perundingnya. Ia seolah-olah memperlihatkan sikap pihak DBKL yang enggan bertemu dengan mereka untuk mengadakan perbincangan lanjut.

Sehubungan itu, pihaknya bercadang untuk mengadakan satu perhimpunan kesyukuran pada 1 Januari 2011 nanti di Madrasah Tarbiyah Kampung Bandar Dalam bermula solat Maghrib, bagi mengadakan satu memorandum khas untuk mendesak DBKL memenuhi tuntutan mereka.

"Memorandum itu akan dihantar kepada pihak DBKL, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ketua Pembangkang, Ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pemimpin-pemimpin politik termasuk yang berada dalam Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) khususnya yang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," jelasnya



Tenang: PAS Melaka mahu pastikan PR menang

Ahmad Danial

ALOR GAJAH, 24 Dis: Jentera Pilihanraya PAS Negeri Melaka akan turun habis-habisan bagi memastikan calon Pakatan Rakyat daripada PAS menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Tenang yang akan diadakan pada 30 Januari nanti.

Setiausaha Jentera Pilihanraya Negeri (JPN) Melaka, Bahiki Ismail berkata seperti biasa pada mana-mana pilihanraya kecil JPN Melaka akan menyediakan sepasukan petugas sepenuh masa yang mahir sepanjang kempen PRK di mana-mana sahaja ianya diadakan.

"Kita memang komited membantu calon PR walau di mana sahaja PRK hatta pada PRK Sibu tempoh hari, kali ini kita akan lebih bersedia kerana Tenang adalah dekat lokasinya dengan Melaka.

"Jentera Melaka akan sentiasa patuh dan akur dengan arahan pimpinan PR dalam apa juga gerakerja dan strategi yang digunakan oleh pimpinan," ujar Bahiki yang juga Setiausaha PAS Kawasan Alor Gajah.

Bahiki berkata, JPN negeri menjadikan gerak kerja kempen di mana-mana PRK sebagai medan latihan untuk dipraktikkan di Melaka menjelang pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.

"Petugas-petugas dari Melaka memang sentiasa komited dan bermotivasi tinggi untuk membantu kemenangan PR di Tenang," kata Bahiki.

Menurutnya, JPN Melaka menyediakan jentera yang lengkap termasuk ketua kontinjen, petugas pentadbiran, penerangan, jentera kempen, gerak saraf dan lain-lain.

"Kami sekarang sedang menunggu arahan rasmi dari pimpinan pusat dan pihak akan mengadakan mesyuarat tergempar sebaik sahaja menerima arahan dari pusat," tambahnya.

Dalam pilihan raya umum lalu, bekas Adun Tenang, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha mempertahankan kerusi Dun tersebut menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Sulaiman mendapat 6,367 undi, manakala Mohd Saim memperolehi 3,875 undi. Dun Tenang merupakan salah satu kubu kuat Umno di Johor.

SPR menetapkan penamaan calon pada 22 Januari depan.



Pemuda PAS tekad rampas kerusi Tenang
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Pakatan Rakyat akan menjadi saingan yang sengit kepada Umno BN di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, kata Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat, Firdaus Jaafar.

Beliau berkata, meskipun kerusi tersebut merupakan kubu kuat Umno BN, namun jentera pemuda akan berkerja bersungguh-sungguh untuk merampas kerusi tersebut.

"Harapan saya jentera pemuda turun berkerja habis-habisan. Walaupun itu kerusi kuat BN tapi melihat kepada mood rakyat dan cabaran semasa, kita akan beri saingan yang sengit kepada Umno BN untuk mencapai kemenangan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sehubungan itu katanya, jentera pilihan raya pemuda PAS bersama pemuda DAP dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan merencanakan gerakan pilihan raya besar-besaran bagi menghadapi pilihan raya kecil ini (PRK).

"Saya akan bersama pemuda Johor dalam merencanakan gerakan pilihan raya besar-besaran dan saya pasti semua jentera PAS seluruh Malaysia sudah bersedia untuk turun ke Tenang.

"Kita akan berkerjasama dengan jentera dalam Pakatan Rakyat dan saya akan bawa cadangan untuk meubuhkan bilik gerakan Pakatan Rakyat untuk berkampung sepanjang kempen pilihan raya," katanya yang juga ahli Parlimen Jerai.

Menurutnya, jentera pemuda meletakkan sasaran untuk menerangkan secara terperinci agenda Pakatan Rakyat kepada pengundi agar mereka faham.

"Kita ada satu target iaitu kita akan mengenengahkan untuk menerangkan secara terperinci agenda Pakatan untuk ke Putrajaya.

"Kita tak menipu rakyat dan tak gula-gulakan rakyat.kita bersifat menerang terutamanya kejayaaan Pakatan Rakyat dan kenapa perlu kemenangan di Dun Tenang untuk bagi kuasa di Dun Johor.

"Dalam masa yang sama saya mengharapkan kerjasama Dapsy dan AMK untuk turun berkampung dan beri penjelasan isu yang sepatutnya rakyat tahu," katanya lagi.
Ujarnya juga, Pakatan Rakyat amat berbeza dengan Umno BN yang hanya mengutamakan pengundi di Felda sahaja.

"Kita melihat kepada Umno yang memberi tumpuan kepadda 4,000 ribu pengundi Felda sebagai pengundi emas. Inilah Umno.Tapi Pakatan melihat kepada semua pengundi yang layak mengundi dan semua rakyat adalah emas.

"Kita tak kira Felda, luar bandar ataupun bandar.bandar.Ini beza kita dengan Umno," katanya lagi.

Beliau turut memberitahu, Pakatan akan bermesyuarat esok bagi merangka gerak kerja dan melihat persediaan pemuda negeri sebagai tuan rumah.

"Kita lihat dahulu persiapan tuan rumah. Kita akan membantu mereka untuk melaksanakan segala gerak kerja.

"Saya minta Pemuda Labis mula berkampung bermula 10 Januari dan kita akan keluarkan jadual penuh tugasan," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat menetapkan tarikh penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Tenang, Labis, Johor pada 22 Januari depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 30 Jan



Program 100 Hari PR atasi 53 tahun BN
Muhayat Jasmin

ALOR SETAR, 24 Dis: Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar menyifatkan reaksi mengelabah para pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadap janji pakatan rakyat sekiranya memerintah, khususnya Program 100 Hari kerana ia akan mengatasi pencapaian BN selama 53 tahun mentadbir negara.

Kata beliau, apa yang terkandung dalam 'Buku Jingga' PR adalah sesuatu yang diluar jangkauan BN sendiri, sebaliknya bagi PR ia adalah satu aspirasi yang akan menjadi realiti sekiranya berjaya menjadi pemerintah.

"Setelah 53 tahun memerintah BN tidak mampu untuk memberi apa yang tercatat dalam Program 100 Hari PR tersebut," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai.

"Misalnya, pemberian imbuhan khas pendidikan kepada para guru dan pegawai pendidikan tidak dilakukan oleh BN. Tapi PR akan lakukan, ini sudah mencabar dasar yang selama ini BN amalkan.

"Malah imbuhan ini juga akan menelan belanja sebanyak RM3.2 bilion setahun. Ia lebih baik daripada menyalahgunakankan wang dengan penyelewengan, korupsi dan pembaziran melalui projek tidak berfaedah seperti diamalkan pemerintah ketika ini," kata beliau mengulas serangan bertali arus pemimpin BN terhadap janji PR melalui saluran media.

Sebelum ini PR mengeluarkan Buku Jingga yang mengariskan rancangan jangka pendek dan jangka panjang mentadbir negara sekiranya diberi peluang mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang.

Buku Jingga yang merupakan dasar bersama dipersetujui parti-parti dalam PR itu dikeluarkan melalui Konvensyen Ke-2 PR di Pulau Pinang pada 19 Disember lalu.

Antara yang menjadi perhatian, Buku Jingga itu turut mengariskan sepuluh perkara yang akan dilakukan oleh PR dalam tempoh 100 hari pertama memerintah, iaitu :

  1. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
  2. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
  3. Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.
  4. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
  5. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
  6. Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
  7. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannyakepada generasi kedua dan ketiga Felda.
  8. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.
  9. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.
  10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata perancangan PR yang merangkumi pendidikan, ekonomi, pengurusan negara, merombak struktur subsidi dan menitiberatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat itu bukan satu pembohongan sepert dakwaan pemimpin BN.

"Kenapa BN mesti takut dengan cadangan PR sekiranya mereka benar-benar yakin bahawa rakyat sememangnya menyokong kepimpinan mereka. Apa yang jelas mereka gentar kerana Program 100 Hari tersebut mencabar kewibawaan dan kredibilit mereka," ujarnnya.



PAS: Kita sedia kenal siapa SPR
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 22 dan 30 Januari depan iaitu hari cuti sebagai tarikh penamaan dan pengundian bagi PRK Dun Tenang, jelas memperlihatkan sikap 'double standard' suruhanjaya itu.

Menurut Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, SPR dilihat tidak konsisten apabila pada PRK Galas 4 November lalu, pengundian dibuat pada hari bukan cuti umum sehingga memaksa kerajaan negeri Kelantan pada waktu itu mengumumkan tarikh itu sebagai cuti peristiwa.

Katanya, apabila berdepan PRK di kerusi yang dikuasai Pakatan Rakyat, SPR dilihat cenderung mengadakan proses penamaan dan pengundian pada hari bekerja, sedangkan apabila di kerusi BN, tindakan sebaliknya dilakukan SPR.

"Kita dapat melihat dengan jelas perbezaan ini dan ini bukannya pelik dalam negara kita ini.

"Kita kenal siapa SPR ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

SPR hari ini mengumumkan tarikh PRK Dun Tenang, Johor pada 30 Januari tahun depan manakala penamaan calon pula pada 22 Januari.

Walaupun berdepan situasi itu, Nasharuddin mahu jentera PAS berkerja bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon PAS yang akan bertanding kelak.

Kepada jentera yang sudah mula menjalankan tugas, beliau mahu semua tenaga kerja yang ada dimobilisasi pada tahap terbaik berdepan Umno BN.

"Bagi kita cuti ke tak cuti ke, kita tetap masuk dengan niat untuk menang dengan memberi tentangan sehebat mungkin kepada lawan kita, BN," katanya lagi.

Beliau juga optimis PAS berpotensi menang apabila pada pilihan raya umum lalu mereka dapat mengurangkan majoriti kepada 2,492 undi berbanding sebelumnya.

"Kejayaan mengurangkan majoriti pada PRU lalu akan menjadi perangsang kepada PAS untuk menambah satu lagi kerusi di Johor nanti," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan PAS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan isu PRK Tenang termasuk soal pemilihan calon


Sejarah Dinar Emas dan Dirham Perak
http://emasdinar.blogspot.com

Kesohoran dinar sebagai satu mata wang rasmi dalam sektor ekonomi sudah lama tersemat dalam lembaran sejarah Tamadun Islam. Dewasa ini komoditi ini seringkali dicanangkan sebagai instrumen alternatif dalam aktiviti ekonomi dunia semasa. Fakta ini adalah berasaskan kepada nilai intrinsik atau tersendiri yang diyakini boleh digunapakai secara lebih meluas serta konsisten. Namun demikian, masih ramai belum mengetahui dari mana dan bagaimana ia boleh berkembang sehingga menjadi satu mata wang utama dalam kronologi ketamadunan Islam.

Sekiranya dinar emas mampu dinobatkan sebagai mata wang utama pada ketika itu adalah tidak mustahil seandainya penggunaan komoditi ini boleh diperkenalkan semula sebagai mata wang alternatif pada alaf baru ini. Barangkali slogan Nothing Beats Gold, Zero Inflation in 1400 years adalah amat berketepatan dan bersesuaian dalam menyatakan hakikat tersebut.

Terfikirkah anda semenjak zaman Nabi Muhammad SAW lagi, kita tidak pernah mendengar serta mengalami keadaan inflasi. Tetapi pada hari ini ungkapan tersebut seringkali “menjelma“ sambil disulami atau lebih sinonim dengan kelesuan ekonomi sejagat. Kenapa semua ini boleh berlaku? Jawapannya ialah mata wang konvensional yang tersedia ada tidak lagi berlandaskan pada sandaran emas secara mutlak. Justeru marilah kita mengimbas kembali keunggulan serta kegemilangan dinar emas semenjak bermulanya era ketamadunan Islam.

Masyarakat Arab Jahiliyyah pada ketika itu menggunakan dinar emas Heraclius Byzantine yang berasal dari negeri Syam manakala dirham perak Sasaniyah pula dari Iraq. Tatkala itu mereka tidak mempunyai mata wang tersendiri untuk melaksanakan urusniaga perniagaan dalam mahupun luar negara.

Penggunaan kedua-dua mata wang ini adalah bagi memudahkan urusniaga terutamanya pada masa yang melibatkan perdagangan utama di Syam pada musim panas manakala di Yaman pada musim sejuk. Namun demikian, keadaan mulai berubah apabila Nabi Muhammad SAW dipilih sebagai Rasul, dinar dan dirham telah dinaiktarafkan sebagai matawang rasmi urusniaga sektor ekonomi kerana terdapat keseragaman bagi tujuan memudahkan urusniaga.

Ketika ini jugalah reka bentuk berunsur Islam mula digunakan dalam penempaan dinar serta dirham. Pada tahun 18H atau 20H, Saidina Omar RA telah menambah pada dirham Sasaniyah beberapa elemen dengan tulisan khat Kufi seperti Bismillah, Bismillah Rabbi dan Alhamdullillah serta sesetengahnya Muhammad Rasulullah yang ditempa pada keliling gambar Kisra.

Beliau turut menetapkan piawaian bahawa 10 dirham bersamaan 7 dinar dan ini kekal digunapakai sehingga kini. Satu dinar mempunyai 91.6 peratus atau 22 karat seberat 4.25 gram manakala dirham ialah syiling perak seberat 2.975 gram.

Dalam rekaan ini ukiran pada permukaan mata wang adalah rekabentuk Islam yang khusus tanpa wujudnya elemen-elemen Byzantine dan Parsi muncul pada tahun 76H hasil cetusan idea Khalifah Abd al-Malik bin Marwan pada zaman Bani Umaiyyah. Senario ini turut dimangkinkan oleh perselisihan faham yang berlaku antara baginda dengan Raja Rom. Pada ketika itu khalifah Abd Al-Malik bin Marwan telah diktiraf oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Athir sebagai perintis menempa dinar dan dirham dalam unsur-unsur Islam.

Aplikasi dinar tidak hanya berlegar di bumi Arab tetapi melangkaui kepada ketamadunan Andalusia. Kegiatan perdagangan berkembang pesat selama 700 tahun di Andalusia telah memangkin penggunaan dinar emas serta perak sebagai mata wang utama.

Pada tahun 716 M, umat Islam Andalusia telah mula menempa dinar emas dengan ukiran bahasa Arab serta ditulis “Muhammad Rasulluah” di samping mencatatkan nama Andalusia iaitu tempat tempahan dinar berserta tahun diperbuat. Di belakang dinar emas ini turut diukir dengan tulisan Latin yang bersesuaian dengan kehidupan masyarakat Islam Andalusia pada ketika itu.

Bukti sejarah juga menunjukkan bahawa setelah tamatnya pemerintahan Andalusia, masyarakat semasa pemerintahan Kristian masih meneruskan penggunaan dinar emas selama lebih 400 tahun. Dalam era moden ini, pada tahun 1992 dinar emas pertama Eropah kembali ditempah di Granada, Sepanyol yang sekaligus merupakan sesuatu peristiwa yang sungguh menarik.

Menurut analisa yang dibuat sepanjang kecemerlangannya dinar emas turut mengalami ketidaktentuan terhadap cabaran serta krisis semasa. Pada suatu ketika stok emas tidak mencukupi memandangkan siri peperangan semakin meruncing. Justeru perak dicampurkan tembaga menjadi matawang rasmi dan digunakan di Mesir serta Syam di bawah pentadbiran Bani Ayyub.

Penggunaan dinar serta dirham terus bertahan aplikasinya pada masa keagungan kerajaan Othmaniah Turki (1299M-1924M). Pada hari ini, nama dinar serta dirham masih digunakan sebagai mata wang rasmi di beberapa buah negara di Timur Tengah seperti dinar di Tunisia, Kuwait, Libya, Bahrain, Algeria, Jordan manakala dirham Di Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Maghribi.

Di Malaysia berkat pengalaman kelesuan ekonomi global pada 1997 dinar emas yang diperbuat daripada emas 916 telah mula dikembalikan kegemilangan sebagai medium penyimpan nilai yang tinggi, stabil, sentiasa berpotensi untuk meningkat nilai serta komoditi yang paling selamat.

Dalam konteks yang lebih luas dinar emas turut mampu dijadikan perantaraan urusniaga , gaji dan bonus pekerja, mahar dan hantaran perkahwinan, urusan haji dan umrah, zakat dan serta semua pembayaran perniagaan dalam dan luar negara bagi negara yang berminat.

Hal ini kerana dinar emas mempunyai nilai intrinsik atau tersendiri yang diterimapakai oleh masyarakat dunia. Nilai emas adalah stabil dan meningkat dari semasa ke semasa berbanding mata wang konvesional yang seringkali menjadi mangsa “serang hendap” para penyangak mata wang antarabangsa bagi mengaut keuntungan mudah dan besar


Tiada ulasan: