Khamis, 18 November 2010

BERJUANGLAH KERANA ALLAH DAN IKUT QURAN SERTA SUNNAH...BERHENTILAH BERBUAT MUNGKAR...MAKSIAT NI JELAS...JANGAN DEGIL

Najib mungkin tak dapat majoriti 2/3 kata Dr M
Nov 18, 10 3:58pm

Parti pemerintah BN dijangka terus gagal mendapatkan majoriti dua pertiga di parlimen tetapi mungkin berjaya merampas satu atau dua buah negeri kembali pada pilihan raya umum akan datang, kata mantan, perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada wawancaranya dengan Bloomberg pada 16 November lalu, Mahathir berkata “BN mungkin tidak dapat dua pertiga majoriti yang membolehkan mereka memerintah negara dengan mandat yang kukuh” pada pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum 2013.

Namun, katanya parti pemerintah itu “mungkin mendapat satu atau dua” daripada lima negeri yang sekarang di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.

Mahathir bagaimanapun tidak menamakan negeri-negeri yang dijangkakan akan jatuh semula ke tangan BN. Namun dipercayai beliau merujuk kepada negeri asalnya, Kedah yang jatuh kepada PAS buat pertama kali pada pilihan raya 2008.

Sebuah negeri lain yang diintai oleh BN adalah Selangor, antara negeri paling kaya di Malaysia.

Andaian Mahathir itu dipercayai dipengaruhi oleh kejayaan BN pada dua pilihan raya kecil awal bulan ini - kerusi DUN Galas dan parlimen Batu Sapi - dan juga krisis kepimpinan yang melanda PKR sekarang.

“Buat masa ini, partinya (ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dalam keadaan kucar-kacir,” kata Mahathir.

Anwar, yang merupakan bekas anak didik Mahathir dijangka menghadapi tentangan dalaman dari partinya berikutan perletakkan jawatan bekas menteri, Zaid Ibrahim yang merupakan pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Mahathir juga menyifatkan Perdana Menteri, Datuk seri Najib Razak sebagai “satu perubahaan besar” jika dibandingkan dengan penggantinya, Tun, Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah dipilih oleh Mahathir untuk menggantikannya apabila beliau bersara pada Oktober 2003. Namun, akibat pergeseran kedua-duanya dan diburukkan lagi dengan prestasi buruk BN pada pilihan raya umum 2008, Mahathir terus membidas Abdullah dan mendesaknya meletak jawatan



Periksa tahap mental Soi Lek
Harakahdaily

IPOH, 18 Nov: Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dianggap sudah kurang siuman apabila mempertikaikan kedai ditutup pada hari cuti umum, kata Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim.

“Harap dia jumpa doktor pakar untuk periksa tahap mental dia,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons terhadap kenyataan Presiden MCA itu yang sekali lagi cuba mencetuskan isu untuk membelasah PAS semalam apabila mempersoalkan mengapa kebanyakan kedai di Kota Bharu tutup sempena sambutan Aidil Adha.

“Disebabkan Hari Raya Haji, semua kedai nampak tertutup untuk sambutan ataupun ini adalah arahan daripada majlis tempatan? Ia sunyi di Kota Bharu,” soal Chua di laman twitter walaupun sememangnya umum diketahui bahawa sambutan Hari Raya Haji di Kelantan dan beberapa negeri lain adalah jauh lebih meriah berbanding Hari Raya Aidilfitri.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak polis menyiasat Chua kerana kenyataannya itu ada unsur melaga-lagakan antara muslim dan bukan muslim.

“Tidakah Chua sedar bahawa Hari Raya Haji adalah cuti umum,” katanya.

Khalil juga menuntut Chua memohon maaf secara terbuka dengan kenyataan biadabnya dan memberikan penjelasan yang sebenarnya, apakah maksud kenyataannya itu.

"Kenyataannya menimbul keresahan dalam masyarakat," katanya.

Menurutnya lagi, umat Islam dan bukan Islam mesti membantah sikap Soi Lek itu yang mempertikaikan amalan biasa yang sudah lama diamalkan yang menggambarkan toleransi beragama.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menyifatkan tindakan Chua itu menggambarkan dan membuktikan bahawa parti MCA dan dirinya sendiri sudah tidak relevan lagi untuk rakyat Malaysia.

"Juga membuktikan bahawa BN bukan lagi wadah yang sesuai untuk menyatupadukan masyarakat," katanya lagi


Umno tak seharus selesa dengan masalah PKR
Nov 18, 10 4:02pm

Anggota Umno tidak seharus merasa selesa dalam usaha memenangi hati rakyat akibat masalah dalaman yang sedang dihadapi PKR sekarang, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

"Anggota Umno perlu terus menerus berusaha memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat," katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Sebelum itu, Ahmad yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri mengkritik PKR yang menurutnya dilihat seperti kehilangan sokongan anggotanya kerana jumlah yang keluar mengundi bagi memilih kepimpinan parti itu sangat rendah.

Beliau berkata pemilihan barisan kepimpinan tertinggi parti sepatutnya mendapat sambutan yang hangat daripada anggota, seperti yang berlaku dalam Umno, di mana kehadiran ahli untuk memilih kepimpinan di peringkat cawangan pun sangat tinggi.

"Saya pun terperanjat kerana menjangkakan ramai anggota parti itu akan keluar mengundi untuk memilih barisan kepimpinan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis korban di Masjid Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Selepas 165 cabang PKR melangsungkan pemilihannya setakat ini, hanya 8.4 peratus daripada 400,000 anggotanya di seluruh negara keluar mengundi.

Baki 57 lagi cabang akan mengadakan pemilihan memilih anggota majlis pimpinan pusat Sabtu dan Ahad ini


Rais: Anwar bagai 'sembilang di lubuk keruh'
Nov 18, 10 2:56pm

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, mengumpamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "sembilang dalam lubuk keruh" yang hanya tahu menyengat untuk kepentingan dirinya.

Beliau berkata, dengan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang, Anwar sentiasa mengkritik melulu banyak perkara termasuk mengenai Malaysia yang diiktiraf banyak pemimpin asing sebagai sebuah negara Islam moden.

Rais meminta Anwar supaya melihat pengiktirafan terhadap negara ini menerusi "pintu hatinya" dan bukannya bersandarkan kepada firasat politik beliau terutamanya ketika beliau dan parti yang diterajuinya Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini dalam keadaan bercelaru.

"Datuk Seri Anwar, sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan sekarang Ketua Pembangkang, janganlah apabila dalam lubuk yang berair jernih lain bahasanya tetapi apabila di dalam lubuk yang keruh airnya lain pula bahasanya.

"Semasa berenang dalam air yang keruh dalam lubuk tertentu, beliau macam seekor ikan sembilang yang suka menyengat ke kiri dan ke kanan, tetapi bila di dalam keadaan air yang jernih, beliau selesa dan tidak membuat apa-apa," katanya.

Rais berkata demikian kepada pemberita pada majlis ibadah korban peringkat Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan di perkarangan Masjid Muhammadi, Angkasapuri di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar bahawa pengiktirafan yang diberi oleh negara asing terhadap kemajuan Malaysia sehingga dianggap sebagai negara Islam moden adalah satu penghinaan.

Rais berkata, kenyataan Anwar itu mencerminkan bahawa Penasihat PKR itu mulai merasa keperitan dalam kerjaya politiknya berbanding semasa beliau dalam kerajaan.

"Jadi saya kata begini, seekor ikan yang berada dalam air tidak tahu bahawa ia berada dalam air, bila keluar ke pasir baru tahu hangat dan peritnya hidup.

“Jadi, Datuk Seri Anwar perlu melihat menerusi pintu hati bukan menerusi pintu politik yang beliau sedang berada dalam keadaan kacau sekarang," katanya.

Rais berkata, Malaysia bukan sahaja diiktiraf oleh Australia tetapi turut diperakui kepimpinan negara Timur Tengah dan Eropah bersandarkan pengamatan mereka terhadap pegangan dan amalan negara ini.

Katanya, perakuan mengenai Malaysia sebagai negara Islam moden pernah dibuat seorang tokoh orientalis dari Itali yang memerhatikan tamadun Islam di seluruh dunia bahawa Islam di Malaysia adalah Islam yang paling liberal, paling bersekutu dan saling memupuk erti kebangsaan serta keadaan yang memberi makna kepada pelbagai kaum.

Beliau berkata, tokoh dari Mesir juga menyatakan Islam di Malaysia adalah sebuah agama yang dianut dan dipupuk menerusi Perlembagaan dan amalan.

Rais berkata, jika Anwar melihat kenyataan itu bukan sebagai pengiktirafan, beliau boleh menilai ucapan yang dibuat di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di mana Malaysia sebenarnya sudah jauh ke hadapan berbanding negara lain dalam sifat modennya sebagai sebuah negara Islam.

- Bernama


Korbankan Umno BN dalam PRU 13 nanti
http://ustsaifulbahri.blogspot.com/

Dulu gawat masa Hari Raya Eiduladha apabila MB Selangor mengagihkan 46 ekor lembu korban untuk Hari Raya Adha. Gerakan Anti Korupsi (Gerak) dan Pemuda Umno Selangor membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan tersebut. Gerak membuat aduan kepada SPRM terhadap Abdul Khalid kerana didakwanya menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu korban yang diedarkan kepada surau dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak - kawasan Parlimen Abdul Khalid - ketika Hari Raya Korban yang lalu.

Masa itu PR baru menang. Ramai yang nak jadi pahlawan. Para media pun nak tunjuk juara mengampu mereka. Pemuda UMNO ketika menyerang MB Selangor itu memberi sebab dan alasan dengan menyebut amalan korban ni adalah satu amalan yang dikhaskan untuk dilakukan oleh seseorang individu. Amalan korban bukan ditujukan kepada institusi. Kalau suruh institusi yang buat korban, nilai amalan dan pahala tu tuhan nak bagi siapa pulak. Jadi, di sini sudah wujud dua kesalahan. Pertama melakukan amalan korban tidak mengikut seperti mana tertib yang tuhan syaratkan iaitu kepada individu muslim dengan duit poket sendiri.

Kedua, mengarahkan institusi perbendaharaan kerajaan pula menanggong kos amalan korban bagi pihak Ahli Parlimen Bandar Tun Razak. Ini adalah satu penipuan serentak yang dilakukan terhadap tuhan dan manusia. Inilah bahananya bila amalan agama pun mahu dijadikan sandaran untuk persembahan politik.

Khalid Ibrahim pula menafikan tuduhan yang mendakwa beliau menyalahgunakan dana kerajaan negeri oleh Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak). Beliau berkata: Kerajaan negeri sentiasa berpegang teguh kepada konsep ketelusan dan bertanggungjawab secara menyeluruh dalam menjalankan pentadbiran negeri dan anak syarikat.
“Saya peka dengan tuduhan ini yang dilemparkan tentang menyalahgunakan kuasa dalam isu pembelian 46 lembu untuk program korban diperingkat Perlimen Bandar Tun Razak untuk 46 buah surau dikawasan itu.

“Lembu tersebut sebenarnya disumbangkan oleh sebuah syarikat milik agensi kerajaan negeri,” tambahnya ketika diminta mengulas tuduhan ini.
Tegas beliau, dana kerajaan negeri Selangor tidak digunakan untuk membeli lembu-lembu tersebut. Sebaliknya, lembu itu telah didermakan oleh enam anak syarikat dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah membuat apa-apa keputusan yang boleh menyebabkan kerugian kepada rakyat”.
Entah kenapa SPRM senyap aje isu ini hingga kini. Kot-kot tak boleh makan. Apatah lagi pengerusi GERAK pun dah lompat menyertai PKR. Puak-puak UMNO pun mungkin dah habis suara kot nak menyalak. Tahun ini sunyi sepi. SPRM pun mungkin sibuk, mungkin terlalu banyak kes-kes rasuah?. Ish yang ni tak sempat nak siasat ke?

Eidul Adha 2010: Najib bahagi 659 ekor lembu kepada Umno bahagian Pahang

16 Nov 2010. PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ibadah korban bukanlah diertikan sebagai penyembelihan haiwan semata-mata tetapi perlu diterjemahkan kepada skop yang lebih luas.
Beliau berkata ibadah korban perlu dilihat sebagai suatu konsep yang menuntut setiap umat Islam berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan negara mereka.
"Kita mesti melihat pengertian berkorban dari skop kecil penyembelihan binatang korban kepada skop yang lebih luas iaitu pada setiap saat dan ketika. "Kita mesti menggandakan korban tenaga, pemikiran, kepakaran dan masa bagi mentransformasikan negara dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, sosial dan politik,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan lembu-lembu korban untuk Parlimen Pekan di sini, Selasa.
Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan ketua-ketua Bahagian Umno bahagian di Pahang. Sebanyak 659 ekor lembu disumbangkan oleh 20 syarikat untuk diagih-agihkan kepada 14 bahagian Umno di Pahang dan 55 buah masjid di kawasan Parlimen Pekan- BERNAMA

Hah! Macam mana yang ini ni? Apakah makna korban yang lebih luas? Selama ini UMNO faham secara sempit ke? Berjuang atas nama bangsa tu sempit ke luas. Dalam masa yang sama slogan 1Malaysia, berbilang kaum pulak. Pemimpin UMNO kekadang melarang mencampuradukkan ibadah dan politik. Mereka nakkan sekular. Dah bagi lembu ke Bahagian UMNO di Pekan Pahang tu apa? Lidah mereka ni bercabang berapa sebenarnya? Kekadang tak faham mana satu nak ikut pemimpin-pemimpin UMNO ni bercakap? Inilah bahana apabila si jahil menjadi pemimpin! rakyat akan dilembukan. Mufti dibisukan. Bila berkuasa yang lain menjadi mangsa.
Semoga Eidul-Adha kali ini dapat kita mempertingkatkan perjuangan kita. Bukan hanya sekadar berupaya melakukan pengorbanan terhadap lembu dan kambing sahaja. tetapi mempertingkatkan jihad kita ke arah menegakkan cita-cita Islam di negara tercinta ini.
Jangan lupa kita pakat-pakat korbankan UMNO BN dalam PRU 13 nanti.


Zaid batal sidang media, Anwar beri 'amanat' penting
Nov 18, 10 1:17pm

Bekas calon timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim membatalkan sidang medianya Jumaat ini bagi menjelaskan "semuanya" berhubung pengundurannya daripada parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya itu.

"Sila ambil perhatian, sidang media Datuk Zaid esok dibatalkan ekoran beliau mempunyai hal penting, tetapi ia (penjelasannya) akan dimuatkan di blognya," kata seorang pegawainya Muhammad Firdaus Christopher melalui SMS kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, merujuk kepada laporan mengejutkan oleh sebuah harian berbahasa Inggeris bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai anggota PKR, Zaid mengesahkan perkara itu melalui blognya.

Bagaimanapun, menurutnya penjelasan lanjut berhubung perkara itu akan dimuatkan dalam blog Zaid untuk Rakyat esok.

Bermula dengan tidak puas hati dengan pemilihan parti, bekas pengerusi perhubungan PKR Wilayah Persekutuan itu sebelum ini turut menyifatkan Anwar dan Naib Presiden Azmin Ali sebagai "punca masalah" dalam PKR.

Sementara itu, Anwar pula esok dijadual menyampaikan "amanat penting" bagi menjelaskan perkembangan semasa dalam parti itu, dijangka berkaitan sekitar kontroversi dalam pemilihan langsung parti.

Azmin - pesaing utama Zaid dalam perebutan jawatan nombor dua parti sebelum ini - mengumumkan perkara itu dalam program 'kempen' Pentas Perdana di Shah Alam minggu lalu.

"Beliau (Anwar) akan beri amat penting kepada anggota dan pemimpin parti untuk jelaskan perkembangan baru-baru ini," kata Azmin yang kini selesa dengan lebih 10,000 undi majoriti selepas Zaid berundur.

Menurut Azmin, program itu - dinamakan 'Rapat Perdana Keadilan bersama Kepimpinan Anwar - dijangka disertai 1,500 anggota parti itu.

Menurut laman berita PKR pula, program dua jam bermula 8 malam itu akan dilangsungkan di Dewan MBSA Shah Alam.

Pemilihan PKR masuk minggu terakhir Sabtu dan Ahad ini dalam keadaan diasak daripada pelbagai penjuru.

Selain Zaid, seorang lagi naib presiden dan calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub juga telah dua kali mendesak pemilihan itu dibatalkan kerana pelbagai aduan dan rungutan mengenai ketelusannya diutarakan

Tiada ulasan: