Isnin, 16 Ogos 2010

SEMALAM BUNUH...HARI INI SIMBAH ASID...MOHONLAH PERLINDUNGAN DARI ALLAH.


NEGARA

Empat sekeluarga disimbah asid


NURUL DAHYATUL yang melecur teruk dirawat di Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Seorang wanita tidak menyangka suaminya sanggup membawa asid untuk mengugutnya mendapat wang sehingga menyebabkan dia tiga beranak dan ibunya melecur di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.45 pagi itu, suspek dipercayai bertindak demikian kerana berang dengan keputusan mangsa yang telah berpindah pulang ke rumah ibunya dan dalam proses memohon penceraian dengan suspek.

Semasa kejadian suspek didakwa memecah masuk rumah ibu mangsa dengan membawa bersama sebungkus plastik mengandungi cecair asid.

Kehadiran suspek mencetuskan pertengkaran dengan mangsa sebelum mangsa cuba merebut bungkusan asid itu dan menyebabkan cecair itu terkena mangsa.

Tindakan suspek itu menyebabkan mangsa Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, cedera di muka dan kedua-dua belah tangan serta bahagian belakang badan.

Turut melecur dua orang anak mangsa, Nurul Dahyatul Fazlinda Khalid, 8, dan Mohd. Irfan Firdaus, 2, serta ibunya, Minah Omar, 56. Masing-masing melecur di beberapa anggota badan.

Paling teruk, Nurul Dahyatul yang mungkin hilang deria penglihatan apabila seluruh muka sehingga paras dada kanak-kanak itu terkena asid.



Sahur berdarah

Oleh KASDI ALI dan RAVALE SAVARINATHAN
am@hmetro.com.my
2010/08/15

TELUK INTAN: “Bang mengucap banyak-banyak... kenapa naik angin tiba-tiba ni? Tak elok bulan Ramadan buat perangai macam ni, malu kat jiran. Tolong jangan apa-apakan saya dan anak-anak, ingat Tuhan.”

TRAGIS... polis mengusung mayat mangsa keluar dari rumah.
TRAGIS... polis mengusung mayat mangsa keluar dari rumah.

Insiden yang turut menyebabkan dua anak perempuan mangsa cedera dengan seorang daripadanya parah, termasuk putus dua jari tangan kanannya, berakhir tragis kira-kira jam 8.30 pagi apabila polis menembak mati suspek yang cuba menyerang mereka menggunakan parang dan pisau.


Jiran sebelah rumah mangsa yang hanya mahu dikenali Tamarai, 30-an, berkata dia terjaga kira-kira jam 3 pagi apabila mendengar bunyi bising dipercayai pertengkaran mangsa dengan suspek.


“Pada mulanya saya tidak begitu terkejut kerana pasangan suami isteri itu memang kerap bertengkar dan mengamuk secara tiba-tiba.


“Tetapi pertengkaran pagi tadi (semalam) agak menakutkan kerana Bariah beberapa kali menjerit supaya dia dan dua anaknya tidak diapa-apakan oleh suspek.

“Saya percaya ketika itu suspek mungkin sedang menghayunkan parang atau pisau ke arah mereka.


“Sejurus kemudian, suasana menjadi senyap seketika tetapi disusuli pertengkaran kecil. Saya kemudian menyambung tidur kerana beranggapan ia sudah berakhir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.


Menurut Tamarai, tidurnya sekali lagi terganggu apabila dikejutkan dengan bunyi jeritan nyaring disusuli suara dua anak mangsa meminta tolong kira-kira jam 5.15 pagi.


“Ketika itulah saya berasa tidak sedap hati kerana suspek memang berperangai menakutkan setiap kali ‘anginnya’ tidak baik dan mahu mengamuk iaitu mengasah parangnya sehingga berjam-jam. “Saya tidak sangka dia menggunakan parang itu untuk membunuh isterinya dan mencederakan dua anak perempuannya.


“Bagaimanapun, saya hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas polis tiba kira-kira jam 8.30 pagi kerana tidak berani keluar rumah. “Saya dimaklumkan jiran suspek menetak mangsa hingga mati dan turut menyerang dua anaknya. Saya begitu terkejut kerana tidak menduga suspek sanggup bertindak sedemikian.


“Saya sedih kerana mangsa seorang yang peramah dan sentiasa tersenyum setiap kali bertemu saya serta jiran lain walaupun keluarganya bermasalah disebabkan sikap panas baran suaminya,” katanya sedih.


Sementara seorang lagi jiran mangsa yang turut bekerja bersamanya di sebuah kilang plastik di Chui Chak, dekat sini, Ramlah Mohammad, berkata arwah ada mengadu kepadanya mengenai sikap melampau suaminya yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

“Saya memang mengetahui mengenai masalah rumahtangga arwah disebabkan suaminya yang mempunyai masalah mental dan dia juga selalu mengadu kepada saya,” katanya. “Tetapi dua hari lalu, saya terkejut lihat arwah bermuka pucat seperti orang ketakutan. Dia memberitahu saya penyakit mental suaminya semakin teruk apabila dia selalu kacau, buat bising dan memukulnya serta dua anak mereka.


“Saya menasihatkan arwah supaya membuat laporan polis jika keadaan tidak terkawal. Saya kesal arwah tidak sempat berbuat demikan.


“Suami ada memberitahu saya kira-kira jam 4 pagi tadi (semalam), arwah ada datang ke rumah kami yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Arwah mencari saya tapi suami beritahu saya tidur menyebabkan dia pulang semula ke rumahnya.


“Saya tak sangka tidak lama kemudian, arwah mati ditetak suaminya. Saya terkilan kerana arwah mungkin mencari saya untuk meminta pertolongan,” katanya yang menitiskan air mata.


Sementara itu, tinjauan Metro Ahad di sekitar rumah mangsa dan bilik mayat Hospital Teluk Intan mendapati suasana lengang dengan kelihatan beberapa ahli keluarga mangsa dan suspek.


Bagaimanapun, usaha wartawan Metro Ahad menemubual keluarga mangsa gagal selepas dihalang secara baik daripada berbuat demikian oleh seorang saudara mangsa yang hanya mahu memberi komen seluruh ahli keluarganya, trauma dan masih terkejut dengan kejadian tragis itu




Gadis mangsa amuk bapa kian stabil


2010/08/16

NAJIHAH yang cedera di kepala dan putus dua jarimasih dirawat di wad ICU, HTI semalam.
NAJIHAH yang cedera di kepala dan putus dua jarimasih dirawat di wad ICU, HTI semalam.
TELUK INTAN: Najihah Mohamad Natri, yang cedera parah akibat ditetak dengan senjata tajam oleh bapanya dalam kejadian amuk di Taman Mawar, Langkap awal pagi kelmarin, kini masih dirawat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan (HTI) dan keadaannya dilaporkan stabil.

Najihah, 13, pelajar tingkatan satu, Sekolah Menegah Dato Sagor, Langkap kira-kira 17 kilometer dari sini, cedera parah di kepala, leher dan tangan termasuk putus dua jari di tangan kanan

Pihak hospital tidak membenarkan wakil media menemu bual mangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ketika ditemui selepas melawat Najihah, berkata keadaan mangsa kini stabil dan perlu rawatan rapi sekurang-kurangnya untuk sehari lagi sebelum dapat dipindahkan ke wad biasa.

“Menurut pegawai perubatan HTI yang saya temui, mangsa kini beransur pulih. Namun, dia perlu diberi rawatan rapi sebelum dipindahkan ke wad lain. Mangsa masih mengalami trauma dan perlu masa untuk pulih sepenuhnya," katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, Mohammad Natri Saharuddin, 39, mengamuk dan menetak sehingga mati isterinya, Khairul Bariah Mohamat Aaripin, 36, sebelum polis menembak mati lelaki terbabit.

Anak kedua pasangan berkenaan, Nazuwa, 10, bagaimanapun tidak dicederakan.
Zainol berkata, beliau akan mengkaji bentuk bantuan khususnya dari segi pembelajaran untuk Najihah dan Najwa seperti mereka ditempatkan di sekolah berasrama ataupun tinggal bersama datuk dan neneknya di Kampung Attatduri.

“Saya akan melihat dulu perkembangan perkara ini sebelum memutuskan bagaimana untuk menghulurkan bantuan kepada pelajar ini. Yang pasti kita akan cari jalan untuk membantu dari segi pembelajaran supaya mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Sementara itu, adik kepada Najihah, Nazuwa ketika ditemui di HTI berkata, dia sihat dan tidur seperti biasa malam semalam (kelmarin).

Ibu saudara mangsa, Asmah Mohamat Aaripin, seorang guru di Sarawak berkata, dia menerima panggilan daripada ahli keluarga tengah hari semalam (kelmarin) dan sempat mendapatkan tiket kapal terbang untuk pulang.

“Saya sampai ke rumah malam tadi (semalam) dari Sarawak. Saya sangat sedih kehilangan seorang kakak yang periang,” kata Asmah yang masih kelihatan terkejut.

Jenazah Allahyarhamah Khairul Bariah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Attaduri malam kelmarin, manakala jenazah Allahyarham Natri dikebumikan bersebelahan pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, laporan bedah siasat ke atas Mohammad Natri mendapati ada dua kesan tembakan, masing-masing satu di bahagian perut yang menembusinya manakala satu lagi kesan tembakan pada lengan kiri dan terus menembusi lengan kanan dan terkena paru-paru.

Katanya, bedah siasat ke atas isteri mangsa menunjukkan ada banyak kesan luka di badan.

“Terdapat kesan tetakan di bahagian leher dan atas kening kiri serta banyak kesan tetakan di badan dan tangan,” katanya





Bapa simbah asid
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin, Hamid Salleh dan Ahmad Rabiul Zulkifli
bhkt@bharian.com.my
2010/08/16

NURUL Dahyatul Fazlinda cedera parah di muka dan mata, manakala adiknya, Mohd Irfan Firdaus turut cedera disimbah cuka getah oleh bapa mereka yang mengamuk di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, semalam. Mereka kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
NURUL Dahyatul Fazlinda cedera parah di muka dan mata, manakala adiknya, Mohd Irfan Firdaus turut cedera disimbah cuka getah oleh bapa mereka yang mengamuk di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, semalam. Mereka kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Lelaki disyaki penagih dadah naik angin isteri minta cerai

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang terlalu marah terhadap isterinya kerana menuntut cerai bertindak menyimbah cuka getah ke muka wanita itu dan dua anaknya dalam kejadian amuk di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu di sini, awal pagi semalam.


Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, anak suspek, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 8, melecur pada muka dan badan manakala isterinya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, melecur belakang badan dan sebahagian lehernya


Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata seorang lagi anak suspek, Muhammad Irfan Firdaus, 2, melecur pada muka dan badan, manakala ibu mentua, Minah Omar, 56, cedera ringan pada mata kiri.

“Siasatan awal mendapati suspek, Mat Haizan Mat Yasin, 32, yang disyaki seorang penagih dadah dan tidak bekerja, marah dengan isterinya yang bekerja sebagai penjual sayur di pasar di Kuala Berang, kerana menuntut cerai.

“Mereka masih pasangan suami isteri, tetapi sudah tidak tinggal sebumbung sejak lima bulan lalu. Mangsa (Che Ku Zaimah) membawa empat anak mereka berusia antara 10 dan dua tahun berpindah ke rumah ibunya di Kampung Sekayu.

“Bagaimanapun, suspek dikatakan sering ke rumah ibu mentuanya untuk meminta wang daripada mangsa,” katanya.
Katanya, keempat-empat mangsa kecuali Minah yang dibenarkan pulang, masih dirawat di Unit Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), manakala dua daripada mangsa iaitu Che Ku Zaimah dan anaknya Nurul Dahyatul tidak mampu bercakap kerana melecur teruk.

Manoharan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serius dan polis kini memburu suspek.

Sementara itu, Minah berkata, menantunya datang ke rumahnya awal pagi semalam untuk meminta wang RM30.

Bagaimanapun, katanya anaknya enggan memberi wang berkenaan menyebabkan menantunya itu berang dan menendang pintu rumah.

“Sebelum ini, menantu saya memang pernah mengugut untuk menyimbah asid di muka anak saya apabila menuntut bercerai, tetapi anak saya tidak ambil peduli sehingga kejadian ini berlaku.

“Sepanjang pengetahuan saya, menantu saya bukan saja pernah menampar isterinya apabila berlaku pergaduhan, malah pernah menyimbah cat rumah ke atas kepalanya, selain mencederakannya dengan api rokok.

“Menantu saya tidak bekerja dan hanya tahu meminta wang daripada anak saya yang menjual sayur di pasar, menyebabkan dia tidak tahan dengan kerenah suaminya itu dan pergi ke pejabat agama untuk menguruskan perceraian,” katanya




Dua anak meraung

Oleh Mohd Nasif Badruddin, Ahmad Rabiul Zulkifli dan Rohaya Bu-za

2010/08/16

KUALA TERENGGANU: “Tersentak hati saya melihat dua cucu tidak berdosa, Nurul Dahyatul Fazlinda, 8, dan adiknya, Muhammad Irfan Firdaus, 2, meraung kesakitan akibat terkena simbahan cuka getah oleh bapanya yang hilang kewarasan.

SAKIT...Afika Alina Mat Haizan menunjukkan mata neneknya, Minah yang cedera terkena cuka getah.
SAKIT...Afika Alina Mat Haizan menunjukkan mata neneknya, Minah yang cedera terkena cuka getah.
“Malah, saya yang cuba menyelamatkan anak, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, yang bergelut dengan suaminya turut terkena percikan cuka getah di mata menyebabkan mata kiri kini menjadi kelabu,” kata Minah Omar, 56, ibu Che Ku Zaimah dan nenek dua kanak-kanak yang disimbah cuka getah pada kejadian kira-kira jam 1.45 pagi semalam di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.

Menceritakan detik cemas itu, Minah ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam berkata, kira-kira jam 1.30 pagi dia dikejutkan dengan teriakan anak perempuannya meminta tolong dari bilik bersebelahan sebelum bergegas ke tempat kejadian dan melihat dua cucunya menggelupur menahan kesakitan sementara dua lagi cucunya bersembunyi ketakutan.

“Saya yang terkejut tidak terfikir membantu dua cucu sebaliknya merayu menantu (suspek) menghentikan pergelutan dengan isteri, sebelum mata kiri terkena percikan cuka getah yang cuba disimbah pada anak.

“Ketika itu, saya tertanya-tanya apa cecair yang disimbah sehingga bahagian yang terkena cecair itu kepanasan dan berasa pedih, cuma dalam perhatian saya suspek membawa cecair di dalam plastik.

“Melihat keengganan suspek berhenti mencederakannya, saya menjerit meminta tolong anak saudara yang tinggal bersebelahan rumah,” katanya.

Menurutnya, sebaik saja anak saudaranya datang, suspek yang ketakutan melarikan diri sebelum anak dan cucu bergegas ke bilik air untuk mandi kerana kepanasan.

Katanya, mereka dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) sebelum dirujuk ke HSNZ memandangkan kecederaan dialami agak serius dan tengah hari semalam dia dibenarkan keluar hospital sementara ahli keluarga lain masih dirawat di situ

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati Che Ku Zaimah cedera di belakang badan serta paha kanan dan kiri, manakala anak keduanya, Nurul Dahyatul Fazlinda cedera teruk di muka dan mata sementara Muhammad Irfan Firdaus cedera di muka dan dada,” katanya.

Minah berkata, menurut cerita Che Ku Zaimah, lelaki terbabit ke rumahnya untuk meminta wang RM30, bagaimanapun dia (Che Ku Zaimah) tidak memberi wang berkenaan menyebabkan suspek berang dan bertindak nekad menendang pintu rumah.

“Sebaik pintu itu dibuka, suspek meluru ke arahnya sebelum berlaku pergelutan dan dia nekad menyimbah cuka getah ke wajah Che Ku Zaimah, tetapi dielak menyebabkan ia terkena bahagian belakang.

“Lebih menyedihkan, cuka getah itu terkena muka dan badan kedua-dua cucu yang tidur sementara dua cucu lagi sempat menyelamatkan diri dan lebih kejam apabila dia bukan saja menyimbah, malah menyapu cuka getah itu di belakang badan Che Ku Zaimah,” katanya.

Katanya, suspek pernah menyatakan hasratnya untuk menyimbah asid di muka anaknya kerana mangsa ingin bercerai dengannya, bagaimanapun mangsa tidak mengambil serius ugutan itu.

“Dia bukan saja menampar mangsa apabila berlaku pergaduhan, malah pernah menyimbah cat ke atas kepala anak saya selain mencederakannya dengan api rokok.

“Sikap suspek yang panas baran serta tidak bekerja dan hanya tahu meminta wang daripada Che Ku Zaimah yang bekerja sebagai peniaga pasar malam menyebabkan dia tidak tahan kerenah suspek dan ke pejabat agama untuk menguruskan perceraian mereka.

“Suspek yang berang pernah berkali-kali mengugut anak saya selain dipercayai menyimpan sijil perkahwinan mereka menyebabkan kes perceraian itu tertangguh sehingga sekarang,” katanya.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan K Manoharan, ketika ditemui di pejabatnya semalam mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat masalah rumah tangga, apabila suspek, Mat Haizan Mat Yasin, 32, seorang penagih dadah dan tidak bekerja berdendam serta marah dengan isterinya yang bekerja sebagai penjual sayur di pasar di Kuala Berang kerana mahu bercerai.

Katanya, pasangan itu sudah berkahwin sejak 10 tahun lalu, tetapi tidak tinggal sebumbung sejak lima bulan lalu apabila mangsa membawa empat anak mereka berusia 10, lapan, tujuh dan dua tahun berpindah ke rumah ibunya di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.

Suspek sering ke rumah ibu mentuanya untuk meminta wang daripada isterinya dengan yang terbaru sebelum kejadian ini.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro ke rumah mangsa mendapati, percikan asid atau cuka getah bertaburan di lantai dan dinding bilik tidur berkenaan, manakala jiran mangsa yang enggan dikenali mengaku mendengar bunyi bising daripada rumah berkenaan sebelum mengetahui mengenai kejadian



NEGARA

Suspek simbah asid direman


SUSPEK kes simbah asid terhadap empat beranak dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam untuk direman.


KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian simbah asid sehingga mencederakan empat mangsa termasuk isteri dan dua anaknya Ahad lalu direman selama enam hari bermula semalam.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 32 tahun itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen di sini, Mohd. Erman Che Mat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, lelaki itu ditahan berdekatan kawasan semak berhampiran Kampung Poh dan Kampung Pasir Nering, Kuala Berang dekat sini pada pukul 12.55 petang kelmarin.

Menurut beliau, ketika ditahan polis turut menemui sebilah pisau sayur dan sebatang jarum suntikan dadah dalam poket seluar lelaki itu.



Tiada ulasan: