Khamis, 14 Julai 2011

KINI ORANG SUKA MEMBACA MAKLUMAT YANG BENAR@HAQ BUKAN BERITA YANG PALSU...KERANA RAKYAT TELAH CERDIK SERTA BIJAK...JANGAN BERANGGAP KITA DITAHUN 60AN.

PAS Sarawak bimbang kerosakan CIQ
Harakahdaily

KUCHING, 14 Julai: PAS Sarawak bimbang kerosakan Kompleks Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Biawak akan mengganggu-gugat keselamatan penduduk.

Ketua Penerangan PAS Sarawak, Mohd Azwani Abd Rani menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan Borneo Post hari ini berhubung perkara itu yang benar-benar membimbangkan setiap warga Sarawak khasnya penduduk berdekatan kawasan sempadan.

Stesen pihak berkuasa Kastam (CIQ) di Biawak bernilai RM13 juta dilaporkan tidak efektif dalam menjadi benteng kawalan sebarang aktiviti haram seperti penyeludupan dan sebagainya kerana kerosakan yang dialami.

“Malahan bukan sekadar manusia malahan kenderaan pun sudah keluar masuk sempadan ini tanpa kawalan.

“PAS Sarawak bimbang ia akan mengganggu-gugat keselamatan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau berkata, alasan kurangnya petugas adalah amat dangkal sedangkan apabila adanya program melibatkan Pakatan Rakyat seperti Bersih, seluruh tenaga dikerahkan untuk mengawal rakyat yang berhimpun secara aman.

“Sepatutnya penjagaan kawasan sempadan ini dijadikan perkara penting demi memastikan kestabilan negara,” ujarnya.

Justeru, katanya PAS Sarawak mahu tindakan segera kerajaan agar memastikan jentera keselamatan secukupnya dimobilisasi segera untuk memastikan keselamatan kawasan sempadan dan menghalang sebrang aktiviti haram berlaku.

PAS Sarawak juga, tambahnya mendesak satu tindakan segera untuk menilai semula kos projek itu sama ada wujud salah guna atau ketirisan.

“Adakah semua faktor keselamatan dan sistem peralatan canggih disediakan seperti CCTV dan kad automasi sesuai dengan harga yang tinggi?” soalnya.

Beliau menambah, PAS Sarawak tidak mahu laporan SPRM 2009 yang melaporkan ketirisan sejumlah 60% projek kerajaan berlaku pada projek itu juga.

“Kiranya ini benar, satu badan khas perlu ditubuhkan segera bagi memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas,” ujarnya.


Bersih gelombang ketiga boleh berulang
Muhammad Yusri Amin

RANTAU PANJANG, 14 Julai: Dewan Muslimat PAS Pusat turut membayangkan kemungkinan gelombang ketiga Bersih berulang sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus angkuh dan enggan berubah.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, berdasar kepada situasi sekarang nampaknya rakyat tidak teragak-agak meneruskan gelombang Bersih 3.0.

“Mungkin gelombang itu akan lebih hebat lagi. Kita melihat keangkuhan SPR dan kerajaan seolah-olah mengenepikan pandangan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Masjid Al-Mujahidin dan penyampaian kelulusan hak milik tanah kepada penduduk di Kampung Kubang Kual, hari ini.

Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hadir sama Adun Gual Periuk, Mohamad Awang, wakil-wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.

Tanggal 9 Julai lalu menjadi detik bersejarah apabila puluhan ribu rakyat menghadiri perhimpunan anjuran Bersih 2.0 biar pun dihalang pasukan polis.

Malah lebih 100 pemimpin Pakatan Rakyat dan orang ramai ditangkap lebih awal hanya kerana memakai baju Bersih 2.0 dan berwarna kuning.

Siti Zailah yang juga anggota parlimen Rantau Panjang berkata, kerajaan juga seperti tidak menghiraukan titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong supaya perhimpunan rakyat berlaku secara aman.

Menurut beliau sekiranya perhimpunan rakyat itu dibiarkan berlangsung secara aman tanpa gangguan polis seperti di negara lain, sudah tentu tidak berlaku kecederaan dan kematian.

Namun malangnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak mempunyai kematangan berpolitik sehingga menganggap perhimpunan anjuran Bersih sebagai musuh negara.

“Tindakan provokasi dan serangan gas pemedih mata dan tembakan air berkimia menyebabkan rakyat marah,” katanya.

Menurutnya himpunan Bersih 1.0 pada 2007 membuktikan tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa kerana provokasi polis tidak berlaku.

Oleh itu beliau mencadangkan satu suruhanjaya khas perlu diwujudkan bagi menyiasat dakwaan kekasaran pasukan polis sehingga di luar batasan kemanusiaan.

Manakala di Kota Bharu semalam, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat berkata, imej Perdana Menteri kini semakin tercalar biar pun baru dua tahun menduduki kerusi tersebut.

Katanya, sikap berdolak dalih Najib dan Menteri Dalam Negeri menghalang perhimpunan aman Bersih 2.0 diadakan di Stadium Merdeka menyebabkan rakyat marah.

“Rakyat melihat ketidakupayaan Perdana Menteri menunaikan janjinya bagi menyediakan tempat kepada Bersih 2.0 menyebabkan orang ramai begitu kecewa.

“Sekali kata boleh dan di masa lain pula kata tidak boleh. Ini sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat,” katanya selepas majlis penyerahan tugas sukarelawan Festival Makanan Antarabangsa Kelantan Cheng Ho di pekarangan Bazar Tok Guru, petang semalam.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Sukarelawan Hijau Kelantan (Green-V), Mohd Adilan Mat Jusoh dan timbalannya Norsham Sulaiman.

Zulkifli yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat berkata, sebagai pemimpin tertinggi negara Najib perlu konsisten dalam mengeluarkan kenyataan.

Beliau juga menyokong cadangan banyak pihak supaya ditubuh Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji tuntutan Bersih 2.0 dan keganasan pasukan polis terhadap orang ramai 9 Julai lalu.


JAWATAN KOSONG
administrator

JAWATAN KOSONG

* Pereka Grafik
* Wartawan Media Baharu
* Web Designer

Petugas sepenuh masa, sambilan dan sukarelawan dalam bidang-bidang di atas adalah diperlukan untuk bertugas di Kuala Lumpur.


Siapa yang Layak Memohon:

Terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berminat dan mempunyai kelulusan dan pengalaman kerja yang sesuai. Graduan baru dan graduan menganggur digalakkan memohon.

Tugas Utama:

Pereka Grafik

Mereka bentuk laman web, poster, multimedia seperti flash, video untuk kempen barangan dan produk di samping risalah, poster, banner dan sebagainya.

Wartawan Media Baharu

Wartawan yang boleh membuat laporan untuk blog, laman web, twitter, facebook dan juga youtube.


Cara Memohon:


Untuk memohon jawatan ini, sila hantarkan maklumat berikut beserta resume

• Maklumat peribadi diri (nama, tarikh lahir, alamat dan nombor telefon)

• sekeping gambar pasport (sertakan dalam resume jika menggunakan MS Word)

• Kelulusan akademik, termasuk CGPA

• Projek-projek waktu belajar yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon.
Nyatakan sama ada projek itu dilakukan secara sendirian atau secara
kumpulan.

• URL kepada mana-mana projek berkaitan yang dilakukan sendirian.

• Pengalaman kerja, jika ada

• Senarai perisian dan tahap kemahiran dalam setiap perisian itu

• Gaji yang diminta

• Tarikh boleh mula kerja

Dan emelkan permohonan anda kepada:
roadmap2putrajaya@gmail.com


Tahniah 11 doktor berani akui hospital ‘diserang’
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) merakamkan ucapan tahniah di atas keberanian dan kesanggupan kumpulan 11 orang doktor dari Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina di Jalan Pudu untuk tampil menyanggah tuduhan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengatakan hospital tersebut tidak ‘diserang’ oleh pihak polis semasa himpunan Bersih 9 Julai yang lalu.

Malahan, kata ketuanya Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, kumpulan doktor tersebut yang terdiri daripada Datuk Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Jeffrey Abu Hassan, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Ahmad Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Datin Low Low Paik See dan Dr Steve Wong sanggup mengemukakan afidavit bersumpah jika perlu untuk pertahankan kebenaran.

DPPNS, katanya cukup berbangga di atas komitmen yang telah ditunjukkan oleh para doktor tersebut semata-mata kerana ingin menegakkan kebenaran dan mempertahankan nilai-nilai "integriti moral, maruah, dan ketelusan".

“Sudah pasti pendedahan ini memberikan tamparan hebat kepada pembohongan Menteri Kesihatan dan pihak PDRM sebelum ini yang menceritakan perkara sebaliknya,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga, ujarnya mengecam sikap tidak bertanggungjawab Menteri Kesihatan dan pihak PDRM sebelum ini yang telah membuat ‘pembohongan’dan penafian kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap isu serangan ke atas hospital terbabit sedangkan terdapat pembuktian daripada saksi-saksi yang ditangkap semasa himpunan tersebut, pelbagai rakaman video, pengamatan dan pemantauan daripada Majlis Peguam dan lain-lain pihak menceritakan kisah yang sebaliknya.

“Bagaimanakah rakaman kejadian serangan ke atas hospital tersebut telah tersebar luas di laman-laman web dan menjadi tontonan masyarakat sedunia sedangkan pada masa yang sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein mengatakan pihak polis juga ada merakamkan kejadian pada hari tersebut tetapi tiada serangan yang dimaksudkan berlaku?” soalnya.

Ini, katanya merupakan satu bala apabila pemimpin semakin berleluasa melakukan pembohongan dan penipuan semata-mata kerana ingin mempertahankan tampuk kekuasaaan.

Beliau menambah, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan keberanian kumpulan 11 orang doktor itu untuk mendedahkan kebenaran sebenar kejadian yang berlaku semasa himpunan Bersih tempoh hari tidak akan disusuli dengan tekanan dan ancaman oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap mereka.

“DPPNS mengharapkan semoga dengan pendedahan ini akan dapat menyedarkan rakyat Malaysia betapa kronik dan rosaknya akhlak pemimpin Umno BN yang sanggup mempergunakan institusi awam dan media massa untuk kepentingan mereka selain berterusan berbohong dan menipu untuk mempastikan rakyat terus diperbodohkan dan dapat dipergunakan di dalam Pilihanraya Umum yang ke 13 nanti,” katanya.

Justeru, tambahnya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menuntut supaya Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Kesihatan dan Ketua Polis Negara meletakkan jawatan secara bermaruah di atas pertanggungjawaban insiden serangan ke atas Hospital Tung Shin dan Pusat Bersalin Cina semasa Himpunan Bersih 2.0 oleh pihak PDRM pada 9 Julai lalu.


Pemuda PAS seru mangsa, saksi adu keganasan polis
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru semua mangsa dan saksi keganasan polis pada himpunan Bersih 9 Julai lalu tampil membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Dalam satu kenyataan hari ini ketuanya, Nasruddin Hassan (gambar) berkata dewan itu menyokong penuh keputusan Suhakam mengadakan siasatan awam terhadap dakwaan keganasan polis itu.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong pendirian yang dikeluarkan oleh pihak Suhakam dalam menentang keganasan yang dilakukan ke atas sebilangan rakyat Malaysia.

"Dewan Pemuda PAS juga meminta untuk sekalian mangsa dan saksi keganasan polis pada 9 Julai baru-baru ini untuk kita tampil bersama memberikan keterangan kepada pihak Suhakam," katanya.

Ianya juga selaras dengan seruan pesuruhjaya Mohd Sha’ani Abdullah yang mahu semua mangsa yang dizalimi polis pada hari kejadian tampil ke depan bagi mengemukakan aduan secara terus supaya Suhakam boleh memperkukuhkan bahan bukti yang diperolehi Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS (Juham).

Mohd Sha’ani sebelum ini juga mendakwa penangkapan yang dilakukan ke atas peserta himpunan aman dan menempatkan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) adalah satu bentuk pencabulan.

Beliau juga dilapor berkata, tindakan yang dilakukan polis untuk menangani peserta perhimpunan Bersih 2.0 juga adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab malah ia merupakan tindakan penyalahgunaan kuasa dan ia jelas bertentangan dengan hak asasi manusia.

"Rakyat perlu bersuara apabila berlaku pencabulan ke atas hak asasi mereka. Keganasan dan ketidak adilan yang dilakukan oleh pihak yang berkuasa perlu dibongkarkan supaya masyarakat lain dapat melihat realiti demokrasi yang ada di dalam negara kita," kata Nasrudin.


PAS sambut baik Suhakam adakan siasatan awam

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 14 Julai: PAS menyambut baik dan mengalu-alukan langkah yang diambil oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk mengadakan siasatan awam terhadap dakwaan keganasan polis ketika menyuraikan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan, beliau bersetuju dengan langkah yang diambil oleh Suhakam itu dan bersedia memberikan segala kerjasama yang diperlukan.

Dalam masa yang sama, beliau berharap agar Suhakam memainkan peranan lebih berkesan termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung perkara itu.

Katanya, setelah siasatan awam diadakan, Suhakam perlu memainkan peranan di PBB bagi membawa Malaysia keluar dari keadaan primitif terutama berhubung pengendalian perhimpunan aman.

"Sebelum ini, Suhakam telah pun mengadakan beberapa siasatan awam yang melibatkan beberapa perkara lain, tetapi tetap juga tidak diendahkan oleh kerajaan.

"Sekarang diharap Suhakam akan turut memainkan peranan berkesan di PBB untuk meminta Malaysia keluar dari keadaan primitif," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau turut hadir bersama Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bagi membuat pengaduan kepada pihak Suhakam berhubung keganasan polis dalam menyuraikan perhimpunan aman pada 9 Julai lalu.

Dalam pengaduannya yang didengar oleh Naib Pengerusi Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee dan Pesuruhajaya Suhakam, Muhammad Sa'ani Abdullah itu, beliau antara lain meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan pihak polis yang melanggar motosikal yang ditumpanginya pada hari perhimpunan itu, sehingga menyebabkan beliau mengalami kecederaan lutut yang teruk.

Akibatnya, beliau terpaksa berkerusi roda dan akan menjalani pembedahan esok di sebuah hospital di Petaling Jaya bagi memulihkan kembali lututnya, tetapi terpaksa memakan masa agak lama dan mengganggu kehidupan hariannya.

Sebelum itu, Khaw Lake Tee dan Muhammad Sa'ani turut mendengar aduan dari pihak Bersih 2.0, Suaram dan beberapa orang saksi yang menjadi mangsa kekerasan pihak polis dalam menyuraikan perhimpunan itu.

Beberapa hari lalu, pihak Suhakam turut mendengar aduan dari beberapa pihak lain berhubung tindakan penggunaan kekerasan melampau pihak polis dalam menyuraikan perhimpunan itu termasuk dari Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Sekitar jam 12.15 tengah hari tadi, Khaw Lake Tee dan Muhammad Sa'ani turut menerima memorandum dari peserta perhimpunan Bersih 2.0 yang diketuai Ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Selepas itu, Khaw Lake Tee mengumumkan akan mengadakan siasatan awam terhadap dakwaan keganasan polis ketika menangani perhimpunan tersebut Sabtu lalu.

Bagaimanapun, pihak Suhakam masih belum bersedia untuk memperincikannya pada hari ini, sebaliknya sedang mengkaji bidang rujukan siasatan tersebut yang akan diumumkan kemudian.


BN dilanda Xantho Phobia
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Julai: PAS menyifatkan kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak sekarang sedang mengidap penyakit Xantho Phobia atau ketakutan kepada warna kuning.

Bagi AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefli Ahmad, ketakutan ini cukup mempamerkan ketidakstabilan dan rasa tidak selamat yang dialami oleh Najib sejak perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lepas.

(Datuk Seri Anwar [kanan] dan pengawal peribadinya antara mangsa Xantho Phobia BN)

Beliau mengulas masalah terbaru yang dialami oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) yang terpaksa mempertahankan program "Relay fo life" atau larian berganti-ganti untuk kehidupan selama 16 jam yang akan diadakan Sabtu ini.

Yang menimbulkan masalah kepada mereka adalah apabila mereka menetapkan baju T warna kuning untuk penyokong dan baju T warna ungu untuk pesakit kanser untuk yang menyertai larian ini.

Menurut Penasihat Kehormat NCSM, Datuk Zuraidah Atan, pemilihan warna ini dibuat di peringkat antarabangsa dan ini adalah tahun ke tujuh sambutan sebegini dibuat untuk membantu pesakit kanser.

Ekoran larian yang akan dibuat di Stadium UKM selama 16 jam Sabtu ini, pihak penganjur telah menerima pelbagai tekanan ekoran pemilihan warna kuning itu agar menukar warnanya.

Namun, NCSM bertegas mereka akan terus menggunakan warna yang telah ditetapkan di peringkat antarabangsa itu.

Sabtu lepas, lebih 100,000 penyokong Bersih 2.0 berhimpun di Kuala Lumpur bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil walaupun Kuala Lumpur sudah dikepong oleh pelbagai jenis sekatan polis.

Lebih 1600 orang ditangkap dengan pelbagai dakwaan termasuk kerana memakai baju kuning sahaja.

Adun Pakatan di Perak ditangkap kerana memakai baju berwarna kuning yang bertulis "Bersihkan kawasan kita" pada bajunya menjelang perhimpunan 9 Julai lepas.

"Dulu mereka marahkan warna hijau pada logo Petronas sehingga terpaksa menukar logonya pada seluruh operasi Petronas termasuk pada stesen pam dan kereta lumba yang ditajanya.

"Lepas itu, akibat menjatuhkan kerajaan Perak, mereka marah kepada warna hitam kerana ramai pakai baju hitam kerana berkabung.

"Baru-baru ini, mereka takut kepada warna jingga apabila Pakatan mengeluarkan buku jingga.

"Kini Xantho Phobia atau penyakit takutkan warna kuning yang telah menyebabkan kecelaruan dalam pentadbiran Najib dan ia satu disorder dalam bahasa perubatannya," kata Dr Dzul (gambar kanan) yang merupakan bekas pensyarah toksikologi Fakultil Perubatan USM, Kubang Kerian, Kelantan.

Beliau melahirkan rasa terkejutnya kerana selama ini Najib sentiasa menyatakan kerajaan BN yang ada sekarang stabil dan berwibawa tetapi apabila lihat baju kuning sahaja takut dan diambhil tindakan yang bukan-bukan hatta selepas perhimpunan 9 Julai.

Semalam, tiga hari selepas perhimpunan Bersih 2.0, dua pemimpin PAS kawasan di Johor ditahan polis kerana memakai baju kuning bercetak "Bersih 2.0".

Kedua-duanya adalah Yang Dipertua PAS Johor Bharu Rosli Kemim dan Naib Yang DiPertua PAS Pulai Zaaba Ibrahim.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengahari ketika mereka sedang mengadakan sidang media bersama pemimpin PAS negeri itu selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan keganasan pihak berkuasa pada perhimpunan Bersih, 9 Julai lalu.

Dalam ulasannya, Dr Dzulkefli berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan dua pemimpin Umno yang mempertikaikan cara pemimpin mereka mengendalikan perhimpunan dan tuntutan Bersih 2.0.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Saifudin Abdullah berkata, pemimpin BN sepatutnya tidak mengambil tindakan bertembung sedemikian tetapi kena 'engage' atau berbincang dan berdialog dengan pemimpin Bersih 2.0.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar pula mencadangkan agar Putrajaya memohon maaf kepada Hospital Tung Shin ekoran tindakan polis menembak gas pemedih mata ke dalam kawasan hopital 9 Julai lepas.

Sekumpulan doktor termasuk doktor pakar pula sanggup menjadi saksi dan memberikan keterangan bagi mengesahkan polis memang bertindak demikian pada hari perhimpunan Bersih itu.

Seorang peserta pehimpunan, Baharudin Ahmad, 58, seorang bekas tentera meninggal dunia yang pada awalnya disyaki kerana sesak nafas akibat terkena gas pemedih mata di KLCC pada hari perhimpunan itu.

Lebih 10,000 daftar epaper Harakah
administrator

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Pengurus Perniagaan dan IT Harakah, Suhaimi Embong memberitahu lebih 10,000 pengguna telah berdafatar eharakah untuk melanggan akhbar digital tersebut sejak epaper Harakah dilancarkan.

Bagi meraikan sokongan pengguna dan pembaca Harakah sempena dengan penyambungan semula permit penerbitan oleh KDN baru-baru ini, beliau memaklumkan bahawa satu promosi baru e-harakah telah dipersetujui.

Secara ringkasnya, harga eharakah akan lebih murah sehingga hampir 40 peratus berbanding dengan akhbar cetak, harga langganan eharakah untuk sebulan sebanyak lapan edisi adalah RM15 berbanding dengan RM16 untuk akhbar cetak.

Manakala harga langganan eharakah untuk 3 bulan (26 edisi) adalah RM45 berbanding dengan RM52 untuk edisi cetak, 6 bulan (52 edisi) RM85 berbanding RM104 untuk edisi cetak dan 1 tahun (104 edisi) hanya RM150.

“Di bawah promosi eharakah ini juga, kami menawarkan lebih diskaun untuk pelanggan setia yang menyambung langganan mereka, yakni bagi sambungan langganan 3 bulan seterusnya hanya perlu bayar RM40 sahaja,” katanya.

Begitu juga, katanya dengan penyambungan langganan 6 bulan kedua, pelanggan perlu bayar sebanyak RM70 manakala untuk tempoh setahun kedua, pelanggan hanya perlu bayar sebanyak RM130 sahaja.

Untuk mendapatkan keterangan lanjut, sila emel kepada epaper@harakah.net.my atau telefon 03-4021 3425.


PSM dakwa EO ganti ISA
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Parti Sosialis Malaysia (PSM) terus mendakwa kerajaan menggunakan Ordinan Darurat (EO) menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan enam aktivis parti itu untuk mengaburi mata rakyat.

Pengerusinya, Dr. Nasir Hashim berkata, aktivis PSM tidak seharusnya ditahan di bawah EO kerana mereka bukan penjenayah sebaliknya bergerak di bawah parti yang sah.

"Kawan-kawan kami terperangkap dalam akta ini dan EO tak boleh digunakan ke atas orang politik. Ia hanya untuk penjenayah yang sangat berbahaya," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), dekat sini hari ini.

Beliau yang pernah ditahan di bawah ISA juga berkata, cara tahanan di bawah EO sama seperti ISA yang penuh dengan tekanan.

"Dalam ISA akan ditimbulkan pelbagai kemungkinan. Saya tak percaya kalau sesorang tahanan itu membuat sesuatu pengakuan selepas 60 hari ditahan kerana mereka mengalami pelbagai tekanan," katanya yang juga Adun Kota Damansara.

Sementara itu, bendahari GMI, Nashita Md Nor berkata, kerajaan takut untuk menggunakan ISA kerana rakyat sudah celik mengenai akta zalim itu.

"Rakyat sudah biasa dengan ISA, daripada kempen penerangan kita dan sebagainya tapi EO rakyat tak biasa lagi. Sebab itu kerajaan berani guna EO," katanya.

Beliau turut mendakwa EO lebih teruk daripada ISA kerana selain daripada ditahan tanpa bicara, tahanan juga akan disumbat ke Penjara Simpang Renggam bersama penjenayah yang terlibat dengan pelbagai kesalahan berat.

"Menurut peguam Edmund Bon, terdapat kira-kira 1,000 tahanan di Simpang Renggam dan tempatnya sangat penuh dengan penjenayah dari pelbagai latar belakang kesalahan," katanya.

ISA versi baru

Aktivis GMI, Norlaila Othman yang juga merupakan isteri bekas tahanan ISA, Mat Sah Satray dalam sidang media sama menyifatkan EO sebagai "ISA versi baru".

Beliau berkata, daripada pengalaman suaminya yang ditahan selama tujuh tahun di kem Kamunting, tindakan yang dilakukan terhadap enam aktivis ini sama dengan apa yang pernah dilalui oleh suaminya yang ditahan kerana dituduh terlibat dengan gerakan Jemaah Islamiyah.

Antaranya mengenai soalan-soalan yang ditanya kepada tahanan dan dipaksa untuk menyetujui jawapannya.

Tahanan juga katanya akan dikaitkan dengan gerakan komunis dan musuh utama kerajaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bila saya dan suami saya tengok soalan-soalan dan jawapan ini, sama sebiji dengan apa yang pernah diberikan kepada suami saya.

"Memang sama dengan ISA. Ada satu soalan, satu jawapan. Hari-hari begitu, nak atau tidak memang kena terima.

"Apa yang disoal sama dengan ISA.Dikaitkan dengan komunis, dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar, nak tunjukkan betapa bencinya kerajaan dengan Anwar," katanya yang melalui pelbagai cabaran dan tekanan sepanjang bergerak aktif dalam GMI.

Beliau turut mencadangkan segala pendedahan itu ditulis dalam blog yang diuruskan oleh aktivis agar maklumat samapai keapda rakyat.

"Semasa suami saya dalam tahanan, memang saya menulis dalam blog dan saya rasa dalam hal EO ini juga perlu dicatat dalam blog supaya dapat diketahuai oleh ramai orang mengenai EO ini," katanya.

3 ahli parlimen dibenar melawat Dr. Jeyakumar
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Selepas dihalang melawat di hospital kelmarin, pemimpin Pakatan Rakyat akhirnya dibenar melawat ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar yang kini ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Bagaimanapun hanya tiga orang dibenarkan untuk berbuat demikian.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini yang memberitahu Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar telah memberi kebenaran kepada tiga orang ahli parlimen untuk melawat Dr Jeyakumar yang berada di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia.

Mereka adalah Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang (DAP), Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub (PAS) dan Ahli Parlimen Subang R Sivarasa (PKR).

"Saya telah mengemukakan permohonan kepada Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar untuk melawat YB Dr Micheal Jeyakumar pada 12 Julai 2011, beliau membalas surat pada 13 Julai 2011 dan memberitahu bahawa YB Dr Micheal Jeyakumar telah pun keluar daripada Institut Jantung Negara pada 13 Julai 2011 jam 2.30 petang.

"Dalam suratnya, Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar juga mengatakan bahawa pihak polis membenarkan lawatan ke atas YB Dr Micheal Jeyakumar pada 15 Julai 2011(Jumaat) jam 11 pagi di Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman. Walau Bagaimanapun lawatan ini terhad kepada tiga orang Ahli Parlimen sahaja," katanya.

Kelmarin lapan ahli parlimen dan senator Pakatan Rakyat dihalang polis daripada melawat Dr. Jeyakumar di Pusat Jantung Negara (IJN).

Mereka yang dilarang itu adalah – Tian Chua (Batu), R Sivarasa (Subang), Nurul Izzah Anwar (Pantai Dalam) M Manogaran (Teluk Intan),
Khalid Samad (Shah Alam), Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Fong Po Kuan (Batu Gajah) – dan senator S Ramakrishnan.

Difahamkan IJN tidak membenarkan perjumpaan itu dengan alasan ia arahan pihak polis.

Jeyakumar dan lima yang lain dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebelum ini ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Beliau dibawa ke IJN Sabtu lalu dan ditempatkan di Unit Rawatan Koronari selepas mengadu sakit dada.

Beliau bersama 29 ahli PSM yang lain ditangkap pada 26 Jun ketika dalam perjalanan menghadiri program parti itu ‘Udah La Tu… Bersaralah’.


Juham lancar Kempen Aduan Keganasan Polis 9/7

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia telah melancarkan Kempen Aduan Keganasan Polis 9/7.

Pengarah Juham DPPP, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi (gambar) berkata, kempen itu bertujuan untuk mengumpul segala maklumat dari orang awam berkaitan salah-laku dan keganasan yang dilakukan oleh pihak polis dalam himpunan aman Bersih 2.0 di sekitar Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

“Kempen secara besar-besaran ini adalah susulan daripada aduan rasmi yang telah pihak Juham serahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 12 Julai lalu, di mana Juham telah menyenaraikan tindakan-tindakan ganas pihak polis yang menumbuk, menendang, memijak, menembak gas pemedih mata secara dekat dan membuta-tuli serta segala bentuk kekerasan yang sangat tidak munasabah serta tidak berperikemanusiaan kepada peserta himpunan yang hadir secara aman dan tidak bersenjata,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Malah, katanya peserta himpunan Bersih 2.0 tidak langsung melakukan sebarang provokasi terhadap pihak polis yang menjustifikasikan sebarang tindakan kekerasan digunakan terhadap mereka.

Menurutnya, pihak Juham telah menerima banyak laporan daripada peserta-peserta himpunan yang telah dilayan dengan ganas termasuklah yang mendapat kecederaan yang serius dan dimasukkan ke hospital.

Justeru itu, ujarnya Juham mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen itu untuk mengumpul segala maklumat tersebut dan untuk diteliti bagi menjadikan asas tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap pihak terbabit.

Beliau berkata, segala aduan berupa maklumat, bukti-bukti bergambar, foto, rakaman video, laporan perubatan dan sebagainya boleh disalurkan melalui talian Hotline Juham iaitu 016-3126463, 016-3126473 dan 014-6451753 atau melalui email rasmi Juham iaitu juhampusat@gmail.com dan fanpage fb ‘Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia’.

Jelasnya, rakyat harus disedarkan akan hak-hak mereka di sisi undang-undang dan pihak berkuasa pula tidak boleh sewenang-wenangnya membelasah rakyat yang hanya melaksanakan hak-hak mereka yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya lagi, tuntutan Bersih 2.0 adalah tuntutan yang suci murni untuk kepentingan rakyat terbanyak dan pihak kerajaan tidak patut melayan mereka sebegitu rupa.

“Peristiwa ini adalah satu tragedi hitam dalam sejarah hak asasi manusia di negara ini,” ujarnya.

Adakah kempen 1Malaysia berdaftar?
Khairil Abdul Rahim

BENTONG, 14 Julai: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa semua pihak memahami antara satu kempen dengan sebuah pertubuhan supaya tidak keliru.

Menolak tohmahan Menteri Dalam Negeri yang mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram, beliau berkata ia merupakan satu kempen bagi membersihkan sistem pilihan raya yang didukung oleh lebih 60 buah pertubuhan bukan kerajaan.

“Cuba kita tanya adakah kempen 1Malaysia iaitu agenda propaganda Perdana Menteri, sebuah pertubuhan berdaftar?

“Begitu juga sebagai contoh, jawatankuasa Sambutan Bulan Kemerdekaan kali ke-50, adakah terpaksa berdaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan?” soalnya.

Tambahnya, ia sudah tentu tidak berdaftar kerana merupakan kempen.

Begitu juga, ujarnya Bersih 2.0 yang menggabungkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan satu matlamat mahukan permbersihan dalam sistem pilihan raya di negara ini yang amat dipertikaikan.

“Jadi pihak tertentu sama ada menteri dan media sengaja mahu menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat sedangkan isu yang sebenar ditutup,” ujarnya ketika berucap di Kedai Tok Ayah, Felda Mempaga semalam sempena pembebasan empat orang aktivis PAS yang ditahan selama lima hari di Balai Polis Bentong.

Mengenai beberapa pihak yang mempertikaikan PAS hanya menurut Datuk S. Ambiga sebagai pengerusi Bersih, Tuan Ibrahim berkata ia tidak ada masalah jika tujuannya baik.

Beliau mengambil contoh dalam sejarah Islam bagaimana pada satu hari kumpulan Arab jahiliyyah yang dipengerusikan oleh Abu Jahal untuk membersihkan Kota Mekah di mana Nabi Muhammad s.a.w. sendiri dilantik sebagai seorang daripada ahli jawatankuasanya.

“Maknanya tidak ada masalah jika satu program dan kempen yang baik, disokong oleh umat Islam walaupun pengerusinya bukan Islam,” katanya.

Darurat: Konspirasi baru dicipta
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini mendedahkan bahawa polis sedang mencipta konspirasi baru untuk dikaitkan dengan parti itu berhubung penahanan enam aktivisnya di bawah Ordinan Darurat.

Setiausahanya, Arutchelvan berkata, dakwaan itu berdasarkan soal siasat yang dilakukan oleh tiga unit polis iaitu siasatan ibu pejabat polis daerah (IO), D6 Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Cawangan Khas Bukit Aman.

Menurutnya, mereka menggunakan pelbagai teknik untuk soal siasat, bahasa kesat, pendekatan lembut dan keras, menanam ketakutan, penderaan (dipaksa berdiri untuk tujuh jam) serta melagakan satu ahli dengan ahli yang lain.

"Mengenai enam tahanan EO, walaupun kami tidak ada sebarang laporan kecederaan fizikal tetapi mereka dikurung dalam bilik kurungan perseorangan, diseksa secara mental dan diminta untuk mengaku banyak dakwaan, kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) pagi tadi.

3 teori konspirasi

Mengulas lanjut, Arutchelvan berkata, antara konspirasi yang dicipta ialah kononnya aktivis PSM yang menyertai kempen 'Udahlah' digunakan oleh parti itu dan diberikan wang.

Polis membuat andaian ini kerana enam tahanan itu bertegas mahu memberikan segala keterangan di mahkamah.

"Perkara ini ditafsirkan oleh polis bahawa ahli-ahli PSM telah menjalani latihan khas yang membuat mereka sangat kuat dan kental," katanya.

Teori kedua jelas Arutchelvan, PSM didakwa mempunyai rancangan seperti Revolusi Arab-Mesir di Malaysia.

Ini berdasarkan salah satu daripada resolusi PSM di kongres parti dan dokumennya bukan lagi rahsia malah turut diedarkan keapda media.

"Dalam risalah Udahlah...Bersaralah, PSM telah bercakap tentang membuat pilihan yang berani untuk pilihan raya tetapi sekali diputar belit untuk mengatakan PSM yang merancang untuk menjatuhkan kerajaan dengan demonstrasi jalanan.

Selain itu, SB juga telah menyediakan beberapa soalan dan jawapan dan dibimbangi tahanan tersebut dipaksa untuk menandatangani dokumen tanpa mengetahui kandungan atau akibatnya.

Antara soalan dan jawapan adalah seperti berikut:

i. Siapakah pemimpin utama kumpulan ini? Dr. Jeyakumar
ii. Siapa yang membayar untuk risalah? Letchumanan
iii. Siapa yang membayar/membeli sepanduk dan kemeja -T? Letchumanan
iv. Kenapa anda menyertai PSM? Disebabkan ideologi komunis tetapi aman
v. Apakah aktiviti yang anda lakukan dalam PSM? Membantu golongan miskin dan menjatuhkan kerajaan.

Hubungan PSM dengan Pakatan Rakyat

Selain itu, menurut Arutchelvan, rangka soalan dan jawapan juga banyak mengaitkan PSM dengan Pakatan.

Contoh soalan dan jawapan:

Adakah PSM mempunyai MOU dengan Pakatan?

Apa yang anda fikir mengenai Anwar? Beliau adalah dalang di belakang, bukan di hadapan.

Adakah anda memberi risalah Bersih? Adakah mana-mana pemimpin Pakatan datang untuk menyambut anda?

Lihat anda mencabar Pakatan di Kampung Buah Pala. PR pasti tidak gembira dengan anda.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Pengerusi PSM, Dr Mohd Nasir Hashim, bendahari Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Nashita Md Nor dan aktivis GMI, Norlaila Othman.


Syed Ahmad: Tulis penghakiman dalam masa sebulan
Hafiz Yatim
Jul 14, 11
5:05pm

Satu bulan merupakan tempoh paling sesuai untuk hakim menulis dan menyampaikan penghakiman mereka, kata bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Syed Ahmad Idid.

Berucap di majlis pelancaran bukunya 'Writing of Judgments: A practical Guide for Courts and Tribunals', (Menulis Penghakiman: Panduan praktikal untuk Mahkamah dan Tribunal), Syed Ahmad berkata yang terbaik ialah menyediakan fakta-fakta penting selepas seleasa mendengar perbicaraan.

NONE"Anda tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyediakannya ketika minda masih segar. Kemudian anda peruntukkan masa dua minggu untuk menulis draf.

"Kemudian anda ambil masa dua minggu lagi untuk memikirkan semula apa yang anda telah menulis sekiranya tiba-tiba mengubah fikiran.

"Ini kerana anda mungkin memikirkan sesuatu, sebagai contohnya, semasa memandu. Jadi, satu sebulan merupakan tempoh yang sesuai yang anda perlukan untuk menulis penghakiman," katanya.

Bekas hakim itu berkata, isterinya, Datin Noraini Abdullah tahu beliau kadang-kadang berjaga sehingga jam 2 pagi untuk menulis penghakiman kerana itu masa yang terbaik untuk berbuat demikian.

Syed Ahmad (kiri), yang pernah mengaku menulis surat mendedahkan percutian bekas ketua hakim Negara, Tun Eusoff Chin bersama seorang peguam kanan ke New Zealand, berkata para hakim tidak perlu mengambil masa lama untuk menulis penghakiman mereka.

Ditanya sama ada pada hakim hari ini berdepan dengan kes-kes yang kompleks berbanding dengan sebelum ini, Syed Ahmad berkata semasa berkhidmat, beliau telah mengendalikan kes jenayah, bank dan sekuriti dan juga pertikaian sempadan antarabangsa.

Pada masa ini, terdapat ramai hakim yang mengambil masa yang lama untuk menyediakan penghakiman bertulis, dan ada yang mengambil masa lapan tahun atau lebih dan masih belum menulisnya.

Sesetengahnya membabitkan nyawa di mana ada pesalah yang berdepan dengan hukuman mati. Bagaimanapun, rayuan mereka tidak dapat didengar kerana alasan bertulis belum disiapkan.

Buku ini setebal 234 halaman dan Syed Ahmad mengambil satu setengah tahun untuk menulis dengan bantuan pembantu penyelidik.

Katanya, beliau telah mengumpulkan pengalaman dari Ketua Hakim di Singapura, Indonesia dan juga hakim-hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa dalam menulis buku tersebut.

Beliau bersetuju penghakiman tidak semestinya pandang dalam semua kes, tetapi ia perlu jelas dan padat.

Syed Ahmad berkata para hakim perlu menegakkan undang-undang dan tidak membuat tafsiran yang tidak perlu jika ia sudah jelas di sisi undang-undang.

Beliau merujuk kepada kes ahli parlimen Batu, Tian Chua, yang didenda RM2,000, sebagai contoh, tetapi enggan mengulas lanjut lagi.

Dalam kes Tian Chua, ahli parlimen PKR dapat mengekalkan kerusi itu walaupun telah didenda RM2,000.

Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia, telah membuat keputusan muktamad bahawa Chua masih ahli parlimen walaupun Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman denda itu dalam rayuan terakhir ahli parlimen tersebut.

Pelancaran buku tersebut telah dilakukan oleh Ketua Hakim Negara Zaki Azmi. Baca berita penuh

Dalam ucapannya, lapor Bernama, Zaki mengingatkan hakim bahawa penghakiman mereka perlu ditulis secara ringksa dan padat serta jelas bagi memudahkan pihak-pihak dalam kes mahkamah memahami alasan penghakiman hakim serta bagi mahkamah rayuan memahami rasional keputusan mereka.

Sementara itu, Syed Ahmad berkata buku itu bertujuan memberikan panduan dan pengetahuan dan kebolehupayaan untuk menulis penghakiman kepada para hakim khususnya mereka yang baru berkhidmat.

Kepada soalan pemberita mengenai terdapat hakim yang menangguhkan menulis penghakiman mereka antara dua tahun hingga lapan tahun, Syed Ahmad hanya berkata Ketua Hakim Negara juga bimbang dengan perkara itu.

Tiada ulasan: