Isnin, 18 Julai 2011

AMARAN RAKYAT APA DIA HAIRAN ...AMARAN ALLAH MELALUI QURAN MEREKA TAK PENDULI....JANGAN KITA TERMASUK GULUNGAN YANG ALLAH MURKAI IAITU ALLAH BIARKAN

MB Kelantan berehat di wad
Harakahdaily

KOTA BHARU, 18 Julai: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dinasihat doktor berehat di wad memandangkan kepenatan melaksana tugas harian.

Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Menteri Besar dimasukkan ke wad di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian tengahari semalam selepas mengadu sakit perut.

“Mungkin hanya silap makan menyebabkan perutnya sakit. Ketika datang mendapat rawatan, doktor menasihatkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz supaya berehat di wad.

“Lagi pun apabila berada di wad membolehkan doktor membuat rawatan susulan sambil beliau berehat tanpa ada gangguan lain,” katanya di sini.

Menteri Besar kembali daripada lawatan di luar negara minggu lepas selepas lebih seminggu berada di beberapa negara termasuk menunaikan umrah di Makkah.

Oleh itu Fadhli menasihat orang ramai tidak perlu gusar dengan perkembangan kesihatan Mursyidul Am PAS berikutan berada di hospital sejak semalam.

Sementara itu dalam perkembangan lain Menteri Besar Kelantan turut merakam ucapan takziah di atas kematian anggota parlimen Titiwangsa almarhumah Dr Lo' Lo' Ghazali malam tadi.

“Beliau seorang yang istiqomah berjuang untuk Islam sehingga ke saat akhir hayatnya. Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh,” katanya.


Pusat hiburan: Umno patut malu dengan PAS
Nik Abdul Aziz Nik Mat

Saya mengikuti perkembangan yang berlaku di Kedah iaitu yang melibatkan isu arahan penutupan pusat-pusat hiburan sepanjang bulan Ramadhan. Seperti biasa, media massa yang dimiliki oleh UMNO terus menerus menghentam PAS dan melaga-lagakan di antara pimpinan Pakatan Rakyat dalam isu ini. Utusan Malaysia yang menjadi lidah rasmi UMNO pula mengambil kesempatan untuk membina keyakinan palsu di benak pembaca dengan tajuknya PAS Tunduk Kepada DAP.

Saya kira UMNO sudah lupa bahawa mereka sendiri yang meluluskan Enekmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang mana di dalam dalam Jadual C, muka surat 150 dinyatakan dengan jelas syarat am no.8 seperti berikut: … Jenis-hiburan yang tersebut di atas tidak boleh diadakan pada bulan Ramadhan atau pada hari Jumaat (iaitu, antara jam 6 petang hari Khamis dan jam 2.30 petang hari Jumaat)kecuali izin bertulis daripada Pihak Berkuasa Negeri diperolehi. UMNO sudah lupa bahawa pada tahun 1997, mereka masih lagi menjadi kerajaan di Kedah dan sehingga tahun 2011 ia baru dikuatkuasakan di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Layakkah UMNO bertempik sorak pada hari ini kononnya PAS tunduk kepada DAP? Jika demikian, selama ini UMNO tunduk kepada siapa? Simpati sungguh saya kepada kaedah permainan politik kampung yang dimainkan oleh UMNO pada hari ini. Barangkali mereka masih terbawa-bawa dengan politik zaman purbakala yang mengharapkan rakyat di’butatulikan’ pancaindera mereka dengan hanya menerima maklumat sehala sahaja.

Berkali-kali saya nyatakan, PAS sangat berbeza dengan UMNO dalam hal bertahaluf dengan non muslim. Di antara PAS dengan DAP misalnya, PAS sentiasa melontarkan dasar-dasar yang selari dengan prinsip Islam. Berbeza dengan UMNO yang bertempik sakan mahu memelihara Islam, alih-alih bukan sahaja tidak mahu menutup pusat hiburan, bahkan melanjutkan masanya dari jam 2.00 pagi kepada jam 3.00 pagi! Ini telah diputuskan di Melaka melalui mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka pada 7 Julai 2011. Saya menurunkan kata-kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam ketika mengumumkan perkara ini, “Keputusan ini diambil sebagai memenuhi permohonan pengusaha terbabit kerana mereka mendapat permintaan pelanggan yang sebahagian besarnya datang bercuti dan mahu berhibur hingga lewat pagi” (Lihat Utusan Malaysia, 8 Julai 2011).

Di Kedah, sewaktu Datuk Seri Azizan mengumumkan bahawa operasi rumah hiburan sepanjang Ramadhan 100% untuk bukan Islam, dan penarikan lessen serta merta akan dilakukan jika terdapat pengunjung muslim, Utusan Malaysia melompat tinggi melatah seolah-olah langit sudah runtuh. PAS dikatakan tunduk kepada DAP sedangkan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kedah ialah memberikan hak kepada bukan Islam dan juga memastikan umat Islam terhindar daripada perkara-perkara yang menjejaskan ibadah sepanjang bulan itu. Namun apabila kerajaan negeri Melaka mengumumkan untuk melanjutkan tempoh operasi pusat hiburan, di mana Utusan Malaysia? Di mana NGO-NGO yang hebat membela Islam? Sudah hilangkah darah segala pendekar Melayu yang siap mengatur pencak membela kesucian agama mereka?

Hakikatnya, UMNO tidak pernah meletakkan akhirat menjadi agenda dalam perjuangan. Di mana-mana sahaja tempat UMNO berkuasa dan menjadi majoriti, tidak pernah agenda Islam menjadi keutamaan. Berbeza dengan PAS yang ditohmah menjadi alat DAP, PAS mengambil ruang dan peluang yang ada untuk sentiasa melontarkan dasar yang selari dengan Islam. Di Melaka, siapakah yang menjadi majoriti jika bukan UMNO? Jika PAS dikatakan menjadi alat DAP, UMNO alat siapa? Alat nafsu? Sayangnya, UMNO menjadi majoriti langsung tidak menguntungkan Islam. Barangkali itulah sebabnya tangan mereka sentiasa menggapai PAS. Saya katakan, turun sahajalah UMNO dari takhta kuasa, bertenggek di situpun tiada apa yang boleh ditumpang bakti.

Apapun, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri Kedah. Usah dipeduli nista dan cerca pihak yang berkokok berderai-derai dengan ekor yang memalukan.

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

Bertarikh: 18 Julai 2011


Pertahan Kampung Baru wasiat terakhir Dr Lo' Lo'
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof menegaskan, muslimat bertekad untuk memenuhi pesanan terakhir Allahyarhamah Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali agar mereka meneruskan perjuangan mempertahankan Kampung Baru yang merupakan amanah daripada penduduk.

Siti Zailah berkata, penduduk kampung Baru di bawah Parlimen Titiwangsa amat bertuah mempunyai wakil rakyat yang sanggup berjuang membela hak mereka walaupun dalam keadaan sakit.

"Wasiat beliau kepada kami supaya kami bersama rakyat mempertahankan maruah Kampung Baru. Itulah di antara wasiat beliau yang terakhir kepada kami.

"Jadi saya rasa penduduk Kampung Baru amat bertuah kerana walaupun wakil rakyatnya meninggal dunia tapi beliau memperjuangkan nasib Kampung Baru sehingga ke akhir nyawa dan kami akan menyambung perjuangan beliau untuk mempertahankan tanah Kampung Baru," katanya.

Sejak mula dipilih sebagai ahli parlimen Titiwangsa, Allahyarhamah sangat komited dalam membantu penduduk kawasan itu mempertahankan tanah mereka daripada dirampas BN.

Beliau merupakan ahli Parlimen yang lantang membawa suara rakyat ke Parlimen bagi menolak Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru dan pelan perancangan membangunkan kampung tersebut.

Selain itu, beliau memberikan sokongan penuh dengan menghadiri sesi dialog penduduk dengan peguam dalam memberikan penjelasan mengenai status tanah yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Selain itu Siti Zailah menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang yang sangat tabah dan cekal menghadapi segala cacian pihak lawan dalam emnegakkan kebenaran.

"Beliau tokoh mujahidah Islam yang cukup sabar, cukup tabah walaupun dalam keadaan kesakitan tapi masih cukup memberi semangat dan dorongan kepada kami dan banyak memberi pandangan bernas demi kebangkitan Islam," katanya.

Sambil menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai kehilangan sebutir permata berharga, beliau berkata Allahyarhamah sentiasa memberikan semangat kepada kepimpinan muslimat untuk meneruskan perjuangan.

"Kami doakan roh beliau dicucuri rahmat, ditempatkan di kalangan orang yang soleh dan apa yang beliau tinggalkan adalah amal jariah yang kita akan teruskan.

"Bagi kami kehilangan beliau satu kehilangan permata yang amat berharga untuk negara kita

"Di antara pesanan beliau kepada kami ialah supaya kami meneruskan perjuangan dan melaksanakan yang terbaik untuk masa depan Islam dan rakyat dan mengingatkan kami supaya sabar dan tabah dalam mengharungi perjuangan dan tidak patah semangat," katanya yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang.

Sementara itu, ahli Parlimen PAS akan mengagihkan tugas untuk membantu menguruskan Parlimen Titiwangsa setelah pemergian Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS akan mengaihkan tugas sebaik mungkin bagi memastikan tugas-tugas di kawasan tersebut tidak tergendala.

"Sudah tentu tidak akan ada pilihan raya kecil di Titiwangsa jadi oleh sebab itu tugas untuk memantau kehidupan masyarakat di Titiwangsa ini akan diagihkan kepada beberapa ahli parlimen PAS khususnya bersama rakan-rakan pakatan Rakyat," kata beliau ketika ditemui di majlis pengebumian allahyarhamah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Datuk Keramat, pagi tadi.

Beliau juga berkata, kehadiran orang yang sangat ramai untuk memberikan penghormatan terakhir menunjukkan allahyarhamah seorang yang sangat disayangi dan pemergiannya amat dirasai.

"Bertuah rakyat Titiwangsa memiliki wakil rakyat seperti ini yang sukar dicari ganti. Kehadiran orang ramai hari ini menunjukkan betapa kasih dan sayangnya mereka kepada beliau," ujarnya

Tambahnya, sepanjang berjuang bersama Allahyarhamah, beliau dianggap seperti kakak dan ibu yang sentiasa memberikan motivasi kepada orang lain.

"Saya kehilangan seorang sahabat yang banyak memberikan motivasi walaupun kadang-kadang di kalangan kawan-kawan kami ketawa di atas sifat beliau yang membawa watak sebagai seorang ibu yang sentiasa memberikan leteran.

"Tetapi sebenarnya leteran itu ialah satu motivasi untuk kita bekerja lebih kuat untuk menjayakan misi rakyat ini dan saya lihat bahawa beliau seorang wakil rakyat yang sangat gigih turun ke padang memberikan khidmatnya kepada masyarakat," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Keputusan undian tajuk Amaran Rakyat

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Peratus keputusan undian tajuk Harakah ‘Amaran Rakyat’ telah meningkat lagi kepada tahap 97.14 peratus atau 1,189 daripada 1,224 undian bersetuju dengan tajuk tersebut.

Terdapat 32 undian (2.61%) yang tidak bersetuju dan juga 3 undian (0.93%) yang berkecuali.

Sebelum ini, jumlah undian melebihi 1,000 pengundi hanya berlaku 2 (dua) kali sahaja iaitu bagii tajuk 'Sejuta Sokong Bersih 2.0' yang mendapat 1,644 undian dan tajuk 'Putar Belit Najib' yang mendapat 1,061 undian.

Untuk melihat keputusan terperinci terhadap undian semasa dan yang telah dilakukan sebelum ini, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php

Mulai semalam, undian dilakukan terhadap tajuk muka depan Harakah wajarkah perkataan ‘Memang Kejam’ ekoran demonstrasi Bersih 2.0 pada 9 Julai lepas digunakan sebagai tajuk berita utama.

Undian ini terbuka kepada semua pembaca dan mereka boleh mengundi sekali sahaja sama ada untuk setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Untuk membuat undian tinjauan@harakah, boleh terus kepada link http://myharakah.net.


Tiada ulasan: