Selasa, 26 Julai 2011

JANGAN TAK JUJUR...KETIDAK JUJURAN AKHIRNYA ALLAH BONGKAR JUGA...

MPSP: Dari hampir bankrap kepada yang terbaik
Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 26 Julai: Sebelum ini, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) boleh diibaratkan sebagai 'mayat' kerana terpaksa ditampung selalu oleh kerajaan negeri bagi membantu 'hayat'nya.

Ia boleh dianggap hampir bangkrap. Pernah MPSP kehilangan wang sebanyak 230 juta tanpa dikesan.

Namun, kini dengan dipimpin oleh seorang wanita, Puan Maimunah Shariff, kejayaan demi kejayaan dicapai oleh kerajaan tempatan ini sehingga menjadi kebanggaan kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat.

(KM, Lim Guan Eng, melancarkan Taman Bersih, CCTV dan Gotong royong Online dengan diperhati Maimunah dan Dr Mansor)

Sempena perayaan Haji Majlis ke 37 baru-baru ini, Yang Dipertua MPSP Puan Maimudah Sharif mengumumkan tiga projek besar yang meletakkan pihak berkuasa tempatan ini dikedudukan sekarang.

Pertamanya Pelancaran Taman Bersih iaitu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran permbersihan melalui penglibatan komuniti atau 'Community Engagement' khususnya menjadikan kontraktor yang dilantik lebih proaktif dan bertanggungjawab, menggalakan penyertaan masyarakat di dalam aktikviti bagi kebaikan semua serta melestarikan kehidupan bersih dan teratur.

Keduanya pelancaran CCTV yang diletakan pada 24 lokasi iaitu 8 unit di Seberang Perai Utara, 12 unit di Seberang Perai Tengah dan 4 unit di Seberang Perai Selatan.

Manakala ke tiganya Sistem Gotong Royong Online yang mana MPSP boleh menerima permohonan gotong royong daripada berbagai pihak hanya menerusi laman web MPSP iaitu www.mpsp.gov.my.

"Adanya tiga pertambahan baru MPSP itu nanti menjadikan MPSP terus maju dengan lonjakan kualiti dari semua kakitangan MPSP. Sebab itu MPSP memperkenalkan anugerah KAIZEN iaitu istilah dari Jepun yang bermaksud penambahbaikan berterusan kepada sesiapa sahaja yang memberi sumbangan idea kreatif yang mendatangkan impak kepada MPSP, " katanya.

Hadir sama dalam program yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ialah Timbalan Ketua Menteri 1, Dato' Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri 2, Prof Dr Ramasamy dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow .


Tindakan pada pelajar semarak kebencian Umno BN

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Julai: PAS hari memberi amaran bahawa tindakan yang dikenakan oleh pihak Kedutaan Malaysia dan Jabatan Penuntut Malaysia terhadap para pelajar negara di Mesir yang mengadakan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu di Kaherah akan menyemarakkan lagi kebencian mahasiswa-mahasiswi terhadap kerajaan Umno Barisan Nasional.

“Tindakan yang diambil jelas menzalimi mahasiswa tersebut dan melanggar hak mahasiswa untuk berhimpun secara aman yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan tidak dihalang oleh pihak berkuasa Mesir.

“Tindakan zalim ini hanya akan menyemarakkan kebencian mahasiswa-mahasiswi terhadap kerajaan Umno Barisan Nasional, dan ia tidak membina sesuatu yang berguna bagi masa depan negara,” selar Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut Lajnah Keahlian dan Ulamak Pelapis, Dewan Ulamak PAS Pusat, antara tindakan yang diambil adalah pembatalan pengajian seorang mahasiswa negeri Selangor, menghalau 3 orang mahasiswa daripada Asrama Rumah Melayu di Abbassiyah (ARMA) tanpa sebarang notis dan surat tunjuk sebab, menyenarai hitamkan 40 orang mahasiswa negeri Perak dan beberapa orang mahasiswa negeri Terengganu yang menerima ugutan.

Tambah Lajnah itu lagi, tindakan yang diambil juga dilakukan secara terburu-buru tanpa ada penyiasatan yang teliti dan tidak memberikan hak kepada mahasiswa terbabit untuk mempertahankan diri.

Tuan Ibrahim mempersoalkan mengapa hanya di Mesir sahaja pelajar-pelajar negara yang mengadakan perhimpunan Bersih 2.0 dikenakan tindakan sedangkan perhimpunan yang sama turut berlaku di beberapa buah negara lain pada 9 Julai yang lalu.

“Walhal, mereka yang ditahan dalam negara semasa perhimpunan Bersih 2.0 Julai 9 yang lalu telah dibebaskan tanpa sebarang tindakan.

“Apakah kedutaan Malaysia di Keherah ketinggalan maklumat atau sengaja menjadi barua Umno bagi menunjukkan seolah-olah ia sahaja yang berani mengambil tindakan?” bidas beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Menyeru pihak yang bertanggungjawab supaya tidak menjadi “lebih sudu dari kuah”, Tuan Ibrahim turut menyeru campur tangan Kementerian Pengajian Tinggi dan Wisma Putra bagi mengatasi kezaliman yang berlaku itu.

“Mereka sepatutnya bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada, di mana seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan oleh mahkamah ia bersalah.

“Tindakan yang diambil jelas menzalimi mahasiswa tersebut dan melanggar hak mahasiswa untuk berhimpun secara aman yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan tidak dihalang oleh pihak berkuasa Mesir,” tegas beliau.

Pelajar-pelajar berkenaan, difahamkan sebahagiannya akan menamatkan pengajian beberapa bulan sahaja lagi, kata Tuan Ibrahim tidak seharusnya dibiarkan dibuang, dihalau dari asrama Malaysia dan dikenakan pelbagai ugutan.

“Pihak Lajnah Guaman PAS akan meneliti isu ini secara dekat bagi membela nasib pelajar yang teranianya ini,” tambah beliau.


PAS tolak biometrik
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Cadangan SPR untuk menggunakan keadah biometrik bagi menyelesaikan isu pengundi hantu dan pengundi bertindih bukan penyelesaian yang sebenar.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, malah ia juga terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir sahaja yang ada kepakaran dan terlibat mengendalikan biometrik.

"PAS tetap berpendirian untuk mendesak supaya SPR menggunakan dakwat celup jari ketika mengundi bagi membasmi pengundi hantu dan juga pengundi yang mengundi banyak kali dalam setiap pilihan raya," ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, begitu juga dengan pendaftaran pemilih secara automatik.

"Kita pelik bagaimana SPR boleh bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam pengendalian biometrik ini, tetapi tidak boleh bekerjasama dalam mengendalikan pendaftaran pemilih secara automatik," ujarnya yang juga ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menjelaskan, PAS mengambil keputusan menolak cadangan kerajaan untuk menggunakan sistem biometrik dalam pilihan raya di negara ini seperti yang diumumkan oleh SPR baru-baru ini.

Penolakan PAS terhadap sistem biometrik kerana diyakini sistem tersebut tidak berkemampuan menyelesaikan masalah pengundian bertindih dan menghalang masalah yang berlaku dalam pilihanraya di negara kita sejak sekian lama.

Beliau menjelaskan, sebaliknya PAS tetap bertegas untuk menggunakan dakwat kekal kerana hanya dengan cara itu yang dapat mengatasi masalah pengundian bertindih dalam pilihanraya di negara kita.

Menurutnya, keputusan menolak penggunaan sistem biometrik dibuat oleh PAS hasil perbincangan yang diadakan oleh para pemimpin PAS pada mesyuarat khasnya di Pejabat Agung PAS hari ini.

Katanya, kewujudan pengundian bertindih atau pengundian dua kali tidak boleh dinafikan oleh SPR atau pihak kerajaan kerana ia telah dikesan oleh PAS dengan menggunakan sistem komputer.

"Antara hasilnya, di Selangor sahaja sehingga kini, PAS telah berjaya mengesan 500 orang pengundi bertindih. Pengesanan itu bukan hanya dibuat menerusi sample-samplenya, tetapi dengan orang-orangnya sekali," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, menurut beliau, pihak SPR sendiri turut mengakui kewujudan pengundian bertindih pada senarai pendaftaran badan itu dan jumlahnya pula amat besar serta menakutkan.

"Pengakuan SPR itu menjadi bukti bahawa kebimbangan kita tentang kewujudan pengundian bertindih itu selama ini memang berasas dan ia merupakan fenomena yang amat membimbangkan," katanya.

Bertolak dari realiti itulah, Bersih 2.0 membuat cadangan agar SPR menggunakan kaedah dakwat kekal untuk mengatasi pengundian dua kali baru-baru ini, tetapi SPR pula menolaknya dengan memperkenalkan sistem biometrik.

"Penggunaan sistem biometrik itu sebenarnya adalah cadangan Perdana Menteri dan telah diterima oleh SPR untuk dilaksanakan, tetapi kita tetap menolaknya dan mahu menggunakan dakwat kekal seperti yang telah dicadangkan oleh Bersih 2.0 baru-baru ini," tegas beliau.


Lynas : Perjuangan rakyat menentangnya
Huzir Sulaiman

Dua tahun sudah berlalu, Ahli Parlimen Kuantan Hjh.Fuziah Salleh dari PKR secara solo cuba menentang Lynas daripada bertapak di Gebeng Kuantan. Namun beliau dikatakan gagal. Namun saya tidak fikir begitu.

Selepas perhimpunan bersama penduduk dari Bandar Kuantan pada 20hb Mac 2011 yang lalu, sambutan cukup menggalakkan sehingga pada hari yang sama, 1500 tandatangan berjaya dikumpul dalam masa 2 jam sahaja dan diikuti dengan perhimpunan rakyat khususnya dari Kuantan di Parlimen kemudiannya sebagai bantahan kepada hasrat Kerajaan Negeri Pahang dan Persekutuan untuk membenarkan Lynas daripada mula beroperasi pada bulan September atau November tahun ini di Kawasan Perindustrian Gebeng Kuantan di mana terletaknya juga kepentingan pelaburan lain kepada negara seperti Kaneka, MTBE, Petronas BASF dan BP Chemicals, syarikat Petro-Kimia yang besar di pantai timur negara dengan pelaburan yang hampir mencecah ratusan juta ringgit.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam tulisan beliau di Harakah baru-baru ini, memaklumkan kesan loji nadir bumi di Bukit Merah 20 tahun yang lalu masih berhadapan dengan kerja-kerja pembersihan sisa radioaktif sebanyak RM300 juta sehingga ke hari ini, termasuk dikaitkan dengan 8 kes Leukimia dan 7 kematian. Syarikat yang dimiliki oleh Mitsubishi Chemical itu telah ditutup pada tahun 1992 selepas mendapat protes dan bantahan daripada pihak awam.

Di Kemaman Terengganu, poster menentang Lynas dilihat terpampang di semua Markas Parti Islam Semalaysia (PAS) sebagai usaha membantah keputusan Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan yang dilihat seolah-olah membelakangkan keselamatan dan kesihatan rakyat serta impak negatif kepada persekitaran demi mengejar keuntungan wang ringgit semata-mata kerana mungkin terdesak dengan laporan Merrill Lynch, Bank of America, melalui tinjauan ‘Fund Managers’ mereka bahawa kedudukan Malaysia sebagai pilihan pelaburan rantau Asia telah jatuh ke kedudukan tercorot berbanding negara lain.

Saya juga melihat, Kerajaan Persekutuan seolah-olah cuba mengambil peluang daripada jangkaan penurunan export nadir bumi atau ‘rare earth’ China dari 72% kepada 37% pada tahun ini. China merupakan pembekal nadir bumi terbesar dunia sebanyak 95% dan penurunan export itu menyebabkan beberapa syarikat nadir bumi seperti Lynas berlumba-lumba untuk meningkatkan pengeluaran masing-masing kesan daripada pengurangan bekalan dunia itu yang banyak digunakan di dalam industri berteknologi tinggi seperti Smartphone, Kereta hybrid, Skrin LCD dan Komputer khususnya di Amerika Syarikat dan di Jepun.

Kita tahu, kebocoran radiasi di Fukushima mendesak kerajaan negeri Jepun yang dikatakan cukup maju dalam pengurusan bencana untuk melebarkan kawasan evakuasi dari 16KM kepada hampir 40KM termasuk mengisytiharkan tahap 7 kebocoran radiasi, sama seperti yang dialami di Chernobyl Ukraine pada tahun 1986 yang telah meragut hampir 200,000 ribu kematian akibat kanser seperti yang dilaporkan oleh Greenpeace ketika itu.

40KM kawasan evakuasi jika diambil kira dari Gebeng Kuantan, lokasi pusat pemprosesan nadir bumi Lynas akan melibatkan keseluruhan penduduk di Kuantan, Gambang, Cherating malah Kemaman di Terengganu sekalipun. Jumlah penduduk yang mungkin terlibat boleh mencecah hampir 800 hingga 900 ribu secara keseluruhannya dengan Kuantan sahaja di sekitar 600 hingga 650 ribu orang.

“Saya membantah Lynas kerana kesan negatifnya kepada penduduk setempat khususnya kepada keselamatan, kesihatan dan harta benda kami sekeluarga. Membenarkan Lynas untuk beroperasi akan menyebabkan nilai hartanah merudum teruk kerana tiada siapa yang mahu tinggal berdekatan Lynas. Banyak syarikat yang berdekatan termasuk Pusat Pelancongan terkemuka Cherating akan terjejas. Mereka yang kaya mempunyai pilihan untuk berpindah tetapi kami yang tidak kaya, tidak akan berupaya untuk berpindah. Hanya ini sahaja harta benda yang kami ada dan kami tidak yakin dengan Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan Lynas kekal selamat untuk beroperasi dalam tahun yang mendatang kerana masalah bumbung Parlimen yang bocor pun tidak dapat mereka selesaikan, inikan pula Lynas. Malah, Jaminan 100% tidak akan dapat menyakinkan kami. Jika keputusan mereka selepas ini ialah untuk terus membenarkan Lynas beroperasi, kami, seluruh rakyat Kuantan dan Malaysia akan terus komited untuk menukar mereka dari terus memerintah negara ini di PRU-13 nanti”, amaran keras dari sahabat saya Mr.Alex yang berbangsa Cina yang kini sedang menetap di Kuantan Pahang.

Kuantan yang kini dikenalpasti sebagai Zon Ekonomi Khas atau ‘Special Economic Zone (SEZ)’ di bawah ECER (East Coast Economic Region) dijangka akan menghasilkan hampir RM 90 Billion pelaburan dan RM23 Billion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) termasuk menyediakan hampir 200,000 ribu peluang pekerjaan baru menjelang 2020. Saya berharap Jawatankuasa Khas Pelaburan ECER yang dianggotai oleh MOF, MITI, MIDA dan Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan implikasi Lynas kepada kesihatan, keselamatan dan persekitaran rakyat Malaysia dan tidak gelap mata dengan pelaburan infrastruktur Lynas hampir RM700 juta di kawasan itu dan potensi nilai pengeluaran Lynas yang dijangka sekitar RM5 Billion pada tahun pertama dan RM8 Billion pada tahun yang ke-2 dan seterusnya.

Saya ragu-ragu, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi (MOSTI) yang pastinya duduk di bawah telunjuk Kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan pelaburan Lynas sebanyak itu dan potensi keuntungan tinggi kepada ekonomi negara khususnya kepada SEZ ECER akan berpihak kepada rakyat Kuantan dan Kemaman khususnya untuk tidak membenarkan Lynas beroperasi walaupun kajian semula sedang dilakukan selama sebulan oleh panel yang dikatakan bebas dengan dibantu oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Lebih-lebih lagi, kenyataan wakil syarikat Lynas yang cukup yakin bahawa panel bebas itu akan berpihak kepada mereka.

Saya juga bertambah ragu apabila Kerajaan Persekutuan bercadang untuk membuka 2 lagi reaktor nuklear di mana salah satunya dicadangkan untuk dibuka di Temerloh Pahang dan berkemungkinan, sumber tenaga atau ‘fuel’ yang akan digunakan untuk menjana reaktor nuklear itu adalah dari sisa thorium yang dihasilkan oleh Lynas.

Saya tidak pasti AELB akan bersikap telus dalam kajian semula itu lebih-lebih lagi hanya RM50 juta sahaja denda yang akan dikenakan kepada Lynas untuk setiap kebocoran radiasi daripada potensi pendapatan atau ‘revenue’ RM8 Billion Lynas yang dijangka diperolehi pada tahun 2013 dan tahun seterusnya sedangkan kebocoran radiasi itu walaupun hanya sekali mampu memberi impak yang cukup besar dan tidak ternilai kepada kesihatan, keselamatan dan persekitaran penduduk dan syarikat berdekatan. RM50 juta denda kepada Lynas adalah ibarat ‘kacang putih’ tetapi kemudaratan yang mungkin berlaku akan mengambil berpuluh malah beratus tahun untuk dipulihkan seperti yang berlaku kini di Bukit Merah dan di Chernobyl.

Saya pasti tiada jaminan 100% keselamatan dari Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Kuantan dan Kemaman khususnya. Risiko kebocoran radiasi dari Lynas berpotensi masih ada walaupun kecil, kesannya cukup besar.

Kita juga tahu, kadar pertumbuhan penduduk di Kuantan adalah yang terbesar di pantai timur pada kadar 3.88 seperti yang dilaporkan oleh World Gazetter. Sejauh mana semua ini diyakini akan terus selamat dan kekal akan terus dipersoalkan oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya di Kuantan dan Kemaman jika Lynas atau syarikat lain yang dikaitkan dengan pemprosesan atau pengurusan bahan radioaktif ini dibenarkan untuk bertapak dan beroperasi di negara ini menjelang suku ke-3 atau ke-4 tahun ini.

Kita tahu kesan radiasi kepada tubuh badan manusia seperti kanser tiroid, kanser tulang, kanser paru-paru, kanser usus, kanser pundi kencing, kanser otak, kanser buah pinggang, kanser buah dada dan leukemia.

Malah ia juga boleh menyebabkan hilangnya selera makan, lemah, demam, sawan, loya, muntah, cirit birit, rosaknya tulang sum-sum dan juga kesan alahan dan kanser kepada kulit manusia termasuk impak yang besar kepada sumber air, binatang ternakan, sayur dan pelbagai sumber makanan lain jika berlakunya kebocoran radiasi.

Peristiwa kebocoran radiasi yang sedang dialami Jepun dan sejarah hitam di Toyama Pulau Honshu kerana sikap tidak bertanggungjawab Syarikat Kamioka Mines seharusnya mengajar kita untuk lebih berhati-hati dalam segala urusan yang berkaitan dengan pengurusan bahan radioaktif.

Sejauh mana Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan dapat memberi jaminan 100% bahawa Lynas akan sentiasa bertanggungjawab?

Malaysia lebih selamat tanpa Nadir Bumi atau ‘Rare Earth’. Perjuangan yang menuntut setiap rakyat Malaysia untuk berjuang demi masa hadapan anak dan cucu kita.

Marilah bersama Pakatan Rakyat!. Katakan TIDAK pada LYNAS!!!.

LAPORAN BERKAITAN

Lynas : Apa yang perlu anda ketahui

Penduduk Kuantan resah dengan Lynas

Lynas: Badar mahu jumpa Adnan


Pemuda PAS Sarawak sasar 2 parlimen
Harakahdaily

KUCHING, 26 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak telah berjaya mengadakan Ijtimak Pemuda PAS Negeri Sarawak (Impak 2.0) pada 23 hingga 24 Julai lalu.

Impak 2.0 telah diadakan di Markaz PAS Sarawak di Kuching dengan kehadiran lebih 100 orang pemuda PAS Sarawak yang terdiri daripada ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan.

Antara kawasan yang hadir adalah Limbang, Miri, Sibuti, Bintulu, Sibu, Sarikie, Lubok Antu, Sri Aman, Samarahan, Batang Lupar, Batang Sadong dan Petrajaya.

IMPAK 2.0 pada kali ini amat bermakna bagi pemfokusan gerak kerja pemuda PAS Sarawak terutama selepas Pilihan raya Dun Sarawak yang lepas dan persediaan menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Segala kelemahan dalam pilihan raya negeri yang lepas telah dikenal pasti dan telah dicari cara penyelesaian bagi permasalahan tersebut.

Menjelang Pilihanraya Umum Ke-13 yang dijangka sekitar hujung tahun ini atau awal tahun hadapan, Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 2 kerusi Parlimen dengan penyusunan gerak kerja jentera sebelum dan semasa pilihan raya berlangsung.

Selain itu, Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Sarawak akan terus diteguhkan dengan usaha daftar pemilih secara bersama.

Impak 2.0 telah dirasmikan oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia dan penutup dirasmikan oleh Khairul Faizi, Setiausaha Pemuda PAS Malaysia.

Turut bersama-sama menjayakan Impak 2.0 kali ini adalah Dr Zuhdi Marzuki, Pengarah Jabatan Strategi Pemuda PAS Malaysia dan Ir Khairil Nizam, Bendahari Pemuda PAS Malaysia.


Salleh patut rujuk laporan polis, bukan hear say
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rashid perlu merujuk kepada laporan polis, bukan hear say.

Katanya, salinan laporan polis yang dibuatnya mengenai kejadian kejadian pada 9 Julai yang sepatutnya dirujuk oleh Salleh, bukan merujuk kepada hear say atau laporan akhbar.

Beliau menyatakan demikian di dalam blognya, mohamadsabu.com.

Berikut adalah salinan laporan polis berkenaan.


Peguam Anwar panggil Najib, Rosmah ke mahkamah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan satu notis usul memohon peguam bela dibenarkan menemubual lima saksi, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam perbicaraan Fitnah II sebelum beliau membela diri pada 8 Ogos depan.

Peguam Anwar, Ram Karpal berkata, tiga saksi lain termasuk Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof dan pemilik unit kondominium, Hasanuddin Abd Hamid, lapor KeadilanDaily.

Permohonan itu difailkan Anwar menerusi Tetuan Karpal Singh & Co di Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini.

Antara lain ia menyatakan, mengikut undang-undang adalah tanggungjawab pihak pendakwa memastikan mereka mengemukakan kesemua saksi untuk ditemu bual dan semua kos pula ditanggung pihak pendakwa.

“Kita menawarkan Najib dan Rosmah antara saksi yang perlu ditemubual kerana sebelum ini mereka gagal hadir ke mahkamah apabila dipanggil untuk memberi keterangan apabila mahkamah bersidang antara 6 hingga 30 Jun lalu,” kata Ram.

Peguam Anwar mahu memanggil Anwar dan Rosmah ke mahkamah kerana pasangan suami isteri itu pernah menemui pengadu, Saiful Bukhari Mohd Azlan sehari sebelum dia membuat laporan polis memfitnah Anwar.

Najib sebelum ini memberikan alasan Saiful bertemunya atas urusan biasiswa sedangkan Saiful sebenarnya adalah pelajar yang gagal menamatkan pengajian di universiti.

Namun, Polis menyukarkan persediaan pasukan peguam bela Anwar untuk menyediakan pembelaannya apabila enggan memanggil Najib untuk disiasat.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, di dalam afidavit sokongan, Anwar turut menyatakan peguamanya, S.N Nair menerima sepucuk surat daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Brickfields bertarikh 18 Julai lalu.

Ia menyebut bahawa Rodwan, Najib, Rosmah dan Musa enggan ditemu bual tetapi bersetuju menjadi saksi pihak pembelaan dengan syarat sapina dikeluarkan terhadap mereka.

“Sementara Hasanuddin enggan ditemu bual kecuali jika ia dilakukan dengan kehadiran peguamnya,” kata Anwar dalam afidavitnya.

Anwar berkata, jika kesemua saksi itu gagal hadir untuk ditemu bual peguamnya, bermakna beliau dinafikan hak untuk perbicaraan adil.

Daripada 25 orang yang dikenal pasti untuk ditemu bual pihak pembelaan, hanya lima ditemu bual setakat ini.

Mereka ialah bekas ratu pecut Datuk Mumtaz Jaafar; Dr Mohd Osman Abd Hamid, bekas doktor Pusrawi; adik perempuan Mohd Saiful Bukhari Azlan, Saidaiti Azlan; Seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) bernama Dr Daniel dan Khairil Anaz Yusof, bekas pegawai khas Najib semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Pada 13 Julai lalu, hakim perbicaraan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 8 hingga 26 Ogos depan untuk mendengar hujahan pihak pembelaan.

Manakala pada 16 Mei lalu, Hakim Mohamad Zabidin yang turut dipertikaikan kredibilitinya kerana kerap bersifat berat sebelah memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan sukarelawan KEADILAN, Saiful, yang merupakan pengadu kes itu kononnya ialah saksi boleh dipercayai dan berwibawa.

Pada penghujung kes pendakwaan, pihak pendakwaan mengemukakan 71 saksi, yang mana pihak pembelaan memilih untuk menemu bual 25 orang.

Pada 7 Ogos 2008, Anwar, 63, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan meliwat Saiful di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun, 2008.




Tiada ulasan: