Rabu, 23 Februari 2011

MENUNJUK BAIK KEPADA RAKYAT TU BIASA....MENGHINA MEMPERLEKEH PIHAK LAWAN PUN BIASA....YANG TERUK MEMPELEKEH ISLAM..LAGI TERUK MENGHINA HUKUM ALLAH SWT

Umno jangan tunjuk hero bela Melayu
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Feb: PAS meminta Umno supaya tidak berlagak menunjuk hero sebagai pembela Melayu kerana realitinya Umno adalah pengkhianat Melayu.

“Umno cuba menunjukkan mereka juara Melayu, telatah mereka seperti pencuri menjerit pencuri,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Justeru, katanya permintaan Datuk Fatimi Saleh, Setiausaha Politik Perdana Menteri supaya Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat memohon maaf terlebih dahulu kepada orang Melayu sebelum PAS hendak membela melayu suatu permintaan yang melucukan.

Hakikatnya, kata beliau Umno yang perlu meminta maaf dan bertaubat terlebih dahulu kerana dosa yang mereka lakukan kepada orang Melayu.

PAS, katanya mencabar Umno supaya menjawab beberapa persoalan, antaranya angkara siapa sehingga tanah rezab Melayu selepas merdeka ada 3 juta hektar tetapi pada tahun 1995 hanya tinggal 1.7 juta hektar.

“Kenapa minyak yang ditemui di persisiran pantai Kelantan, tetapi dinaikkan di Songkla Thailand?

“Apakah Menteri Besar Kelantan berbangsa Monggolia sehingga tergamak berbuat demikian?” soalnya.

Beliau bertanya lagi, siapa yang mengkhianati tulisan jawi, membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pelajar-pelajar Melayu ketika memperkenalkan matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

Beliau turut mempersoalkan ke mana wang RM52 bilion untuk saham orang Melayu yang lesap sedangkan ianya boleh menaikkan kedudukan bumiputera dalam ekonomi.

“Siapa yang tabal Tengku Ibrahim sebagai Sultan Kelantan di padang bola di Ketereh. Siapa yang panggil Sultan Terengganu binatang?” soalnya lagi.

Menurutnya, terlalu banyak jenayah Umno kepada orang Melayu, Islam, tanah dan Raja-raja Melayu kalau hendak dilakarkan, cukup sebagai bukti Umno yang berdosa dengan orang Melayu.

Tambahnya, Umno tidak perlu menuding jari kepada PAS kerana hak Melayu tergadai.

Katanya, selagi Umno mendakwa PAS yang mengkhianati orang Melayu, maka lama kelamaan akan terdedah siapa pengkianat sebenar kepada Melayu di negara ini.

PAS, ujarnya akan mendedahkan kepada orang Melayu mengenai pengkhianatan Umno selama ini.

Beliau menambah, perjuangan Umno untuk membela Melayu hanya topeng semata-mata bagi mengkayakan beberapa kerat pemimpinnya sedangkan orang Melayu keseluruhannya tertinggal jauh daripada bangsa lain.

“Semua ini angkara umno sudah meninggalkan Islam sebagai cara hidup dan mengguna pakai Umno Putera sehingga menindas sesama bangsa,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa tidak ada bukti Tuan Guru Nik Aziz dan PAS mengkhianat bangsa.

Jelasnya, PAS mengkritik Umno selama ini kerana mereka hanya memperjuangkan bangsa, akhirnya Melayu dan Islam merempat di bumi sendiri.

“Apabila bangsa yang diperjuangkan, Islam sendiri tidak selamat. Contohnya ketika Selangor di bawah pemerintahan Umno, ulamak diburu seperti penjenayah. Sedangkan PAS memperjuangkan Islam, maka Islam, Melayu dan bukan Melayu turut selamat.


Pemuda PAS kumpul peminjam PTPTN, MARA

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan satu majlis pertemuan dengan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mengalami masalah pembayaran balik pinjaman mereka.

Himpunan tersebut dijadualkan pada hari Sabtu ini, 26hb Februari 2011 jam 2 petang di Dewan Semantan Perdana, Hotel Sri Malaysia, Temerloh, Pahang.

Menurut Ketua Penerangannya, Suhaizan Kaiat, pemuda PAS mengambil inisiatif tersebut kerana perihatin dengan nasib mereka yang tidak mampu membayar balik pinjaman kerana faktor kekangan ekonomi negara.

"Mereka dalam keadaan tertekan kerana mereka tidak mampu membuat bayaran.

"Faktor utama adalah kerana tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan kos hidup yang meningkat setiap tahun khususnya di bandar," katanya.

Menurutnya sehingga kini terdapat 1.7 juta peminjam PTPTN yang mengalami masalah tersebut. Dari Jumlah itu terdapat 191,262 orang peminjam yang langsung tidak mampu membuat bayaran balik pinjaman.

PTPTN telah membelanjakan sebanyak RM 37 bilion sejak 13 tahun yang lalu.

Agensi itu juga telah mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 4% kepada peminjam dan ianya didakwa membebankan.

Masalah yang dihadi peminjam ketika ini katanya berkaitan jumlah pinjaman mereka yang meningkat setiap tahun jika mereka tidak membuat pembayaran.

Mereka juga tidak dibenarkan pergi ke luar negara jika tidak membuat pembayaran yang ditetapkan oleh PTPTN.

Sebahagian mereka menghadapi kesukaran untuk mendapat pinjaman lain khususnya pinjaman perniagaan.

Selain PTPTN, masalah sama turut menimpa peminjam MARA yang ada diantara mereka terpaksa membayar balik jumlah pinjaman terlalu besar sehingga RM80 ribu.

"Pihak PTPTN pula sedang berusaha untuk membuat pindaan terhadap akta PTPTN yang berkemungkinan pada sidang parlimen akan datang bagi mengetatkan lagi kawalan pembayaran balik pinjaman. Tindakan ini sudah semestinya akan memberikan lebih tekanan kepada mereka.

"Dalam usia mereka yang masih muda mereka telah dibebankan dengan hutang yang banyak. Hidup mereka menjadi tidak tenteram dengan hutang tersebut," tambahnya lagi.

Menurutnya juga, pertemuan itu turut akan dihadiri ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat yang akan sama-sama mendengar rintihan mereka.

Semua pandangan mereka akan dirumuskan dalam persidangan meja bulat dan akan diserahkan kepada pihak kerajaan dalam sidang parlimen akan datang.

Sehubungan itu, beliau menjemput semua peminjam PTPTN dan MARA untuk hadir ke program itu.



Peribadi nasional: Bahana merdeka separuh masak
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 23 Feb: Kegagalan pembinaan keperibadian nasional adalah disebabkan kegagalan tekad politik dan budaya pihak pemerintah yang lebih terpengaruh dengan bentuk penjajahan baru.

Senator Dr Syed Husin Ali berkata, inilah bahana yang menimpa negara apabila kemerdekaan yang diperolehi dalam bentuk separuh masak menyebabkan timbul berbagai isu meski telah lama merdeka.

Menurutnya, negara kita ini kompleks bentuknya kerana rakyatnya majmuk berbilang keturunan dari itu, timbullah tuntutan terhadap hak mereka di mana kerajaan mesti melihat ini sebagai cabaran.

"Cabaran perlu dihadapi dengan baik dan dan tidak boleh menggunakan kuasa untuk menekan cabaran, bukan hanya hadapi cabaran tetapi mesti mendengar dan mengambil tindakan mengatasi masalah yang timbul tersebut," tegasnya.

Syed Husin menegaskan demikian ketika mengulas buku Kumpulan Esei 29 Budayawan Bertindak hasil tulisan 29 Penulis terbitan Persatuan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi) dalam program Bicara Karya, pagi tadi.

Majlis anjuran Paksi ini diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), dekat sini turut menampilkan Seniman Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Pegawai Unit Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohamad Daud Mohamad dan Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kesusasteraan UKM, Che Abdullah Che Pa.

Ucapan pembukaan dilakukan oleh Presiden Paksi, Che Shamsudin Che Othman atau Dinsman dan penutup program separuh hari itu disempurnakan oleh Pengarah PPAS, Puan Mastura Muhamad.

Mengulas lebih lanjut, Syed Husin yang juga seorang penulis yang banyak menghasilkan buku antaranya, Dua Wajah tentang kisah beliau diISAkan selama enam tahun bermula 1974, berkata, setiap penulis wajar bertindak mengikut apa yang ditulis.

Katanya, mereka bukan sahaja berfikir dengan akal, menulis dengan tangan tetapi mesti bertindak jika perlu di jalanan untuk menyampaikan tekad dan erti penulisan mereka.

Mengambil contoh, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang bukan hanya berfikir dan menulis malah turun ke jalan raya untuk membuktikan apa yang dikehendakinya tercapai seperti dalam peristiwa bantah PPSMI pada 7 Mac 2009.

"Karya A Samad Said semakin kuat dan bertenaga selepas dari penyertaan beliau secara terbuka bersama dengan rakyat," tegasnya.



Kedah giat promosi 'Green Tourism' sebagai tarikan pelancongan baru
Muhayat Jasmin

ALOR SETAR, 23 Feb: Usaha bagi mempelbagaikan daya tarikan pelancong ke negeri Kedah dipergiatkan melalui pelbagai program yang telah direncanakan bagi mencapai matlamat menjadikan Kedah sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang amat menarik.

Exco Pelancongan, S. Manikumar yang mengulas mengenai daya tarikan ini berkata, Kerajaan Negeri sedang giat mempromosikan 'Green Tourism' dimana tempat-tempat menarik yang mempunyai keindahan alam hijau dan juga flora serta fauna akan diketengahkan.

"Banyak tempat-tempat menarik seperti Ulu Muda, Lembah Bujang di Merbok, Sungei Sembeling dan juga Gunung Jerai mempunyai keindahan kehijauan alam yang mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong.

"Usaha sedang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi mempromosikan keindahan dan tarikan ini kepada pelancong-pelancong luar negara seperti Singapura dan juga Thailand. 'Green Tourism' ini amat membantu pelancongan di Kedah. Oleh kerana itu ia perlu diketengahkan kepada pelancong kerana keindahan flora dan fauna yang begitu unik dipunyai oleh negeri Kedah," katanya.

Kata beliau, usaha terbaru itu juga bertujuan meluaskan tumpuan pelancongan di Kedah supaya tidak hanya tertumpu kepada Langkawi sahaja.

"Selain Langkawi, banyak lagi kawasan-kawasan pelancongan yang ada di negeri Kedah boleh dipromosikan sebagai destinasi pelancongan yang amat menarik. Jika di Thailand, agensi pelancongan yang ada di sana mempromosikan pusat pelancongan dalam negara.

"Maka itu, adalah tidak sukar bagi semua agensi pelancongan yang ada di Kedah mempromosikan pelancongan di tanah besar Kedah supaya ia setara dengan promosi pelancongan yang dilakukan di Langkawi bagi meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini, " ujarnya.



Jui Meng dedah akui pernah takutkan orang Cina dengan PAS
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 23 Feb: Naib Presiden PKR Datuk Chua Jui Meng mendedahkan ketika beliau berada dalam MCA telah berkali-kali menakut-nakutkan orang Cina supaya jangan menyokong PAS.

Katanya, antara lain beliau mengatakan jika PAS memerintah orang Cina akan dipotong ‘anu’ dan tidak boleh lagi makan ‘kerbau pendek’.

Bagaimanapun, bekas Menteri Kesihatan itu yang berceramah di Tapak Kompleks PAS Pahang di Kerdau kelmarin, mengaku kini beliau bertaubat dan tidak mahu lagi mengulangi penipuan yang sama.

“Saya masa dalam MCA berkempen memberitahu orang Cina jangan sokong PAS, sebab PAS nak bina negara Islam. Kalau negara Islam nanti anu orang Cina kena potong, tak boleh makan kerbau pendek.

“Itulah penipuan kami kepada orang Cina dan saya percaya ia berlanjutan hingga sekarang. Tapi hari ni saya nak minta maaf... saya taubat,” katanya sambil disambut dengan sorakan lebih 12,000 orang yang hadir.

Tambah bekas Naib Presiden MCA itu, beliau mendapati orang Cina pada masa ini tidak boleh ditipu atau tidak ditakut-takutkan lagi kepada PAS dan ini dibuktikan dengan sokongan majoriti entiti tersebut kepada PAS sejak pilihan raya umum (PRU) 2008 yang lalu.

Turut berceramah pada malam tersebut ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PKR Tian Chua dan beberapa orang lagi.

Chua selanjutnya menceritakan bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak jatuh kerana mengaut kekayaan melampau dengan keluarga beliau mempunyai kekayaan lebih RM270 bilion.

Tambahnya, sedangkan sejumlah besar rakyat hidup melarat dan dibelenggu kemiskinan sehinggalah mereka bangun memberontak.

“Saya nak beritahu apa bezanya dengan Malaysia, 11 juta penduduk di negara ini berpendapatan di bawah RM1,500 iaitu berstatus miskin jika dibandingkan dengan kos hidup. Dan 8 juta daripada mereka adalah orang Melayu.

“Satu perkara lagi yang mempunyai persamaan Malaysia dengan negara-negara Arab yang menghadapi kebangkitan rakyat itu ialah rasuah. Semasa saya mulai memasuki parlimen tiga dekad yang lalu kedudukan indeks rasuah Malaysia sekitar nombor 20.

“Tetapi ketika Perdana Menteri sekarang mengambil alih pemerintahan sudah berada di kedudukan ke 57,” katanya.

Jelasnya, beliau percaya jika rakyat dalam keadaan tertekan mereka akan bertindak untuk mendapatkan keadilan.



Tsu Koon layak menteri 'perpecahan'
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menarik balik kenyataan berhubung portfolio baru bagi menguruskan hal ehwal agama bukan Islam.

“Kalau tidak tarik balik, saya cabar beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri,” ujarnya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini, hari ini.

Katanya, kenyataan Tsu Koon mengenai portfolio baru yang diwujudkan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang itu adalah tidak berasas.

Justeru, beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Tsu Koon tidak layak diberi tanggungjawab portfolio perpaduan dan prestasi di Jabatan Perdana Menteri kerana kenyataan membawa perpecahan.

“Kenyataan Tsu Koon itu tidak layak keluar dari menteri (portfolio perpaduan) tetapi layak sebagai menteri perpecahan,” ujarnya.

Tsu Koon menganggap portfolio baru bagi menguruskan hal ehwal agama bukan Islam hanya untuk mencari publisiti.

(menyusul lagi)



Pro-M UPM bantah calon mereka menang dibatalkan
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 23 Feb: 50 aktivis Pro-M UPM terpaksa bersengkang mata sejak awal malam tadi, bagi mengadakan perhimpunan untuk membantah keputusan Jawatankuasa Pelaksana PRK yang membatalkan kemenangan semua calon mereka.

Mereka bersama 11 calon mereka mula berkumpul di hadapan pejabat pentadbiran UPM sejak jam 10.30 malam tadi, sejurus selepas dimaklumkan pembatalan kemenangan calon-calon mereka oleh Ketua Unit Tindakan Tatatertib Hal Ehwal Pelajar (Hep) UPM, Noraihan Noordin jam 9.30 malam tadi.

Jurucakap Majlis Politik Nasional (MPN) Gamis, Shukri Kamarudin menjelaskan, pembatalan kemenangan mereka itu dimaklumkan oleh Noraihan kepada semua calon Pro-M menerusi telefon, atas alasan disebabkan mereka menyertai PRK secara berkumpulan.

Menurut beliau, pada hal pihak lawan mereka, Aspirasi, juga menyertai PRK secara berkumpulan, tetapi anehnya semua kemenangan calon Aspirasi tidak pula dibatalkan.

Katanya, keputusan tersebut amat mengejutkan dan ia tentunya tidak boleh diterima sekali-kali oleh mereka, sehingga menyebabkan mereka terpaksa berkumpul di hadapan pejabat pentadbiran UPM sehingga saat ini, bagi menyampaikan bantahan rasmi kepada pihak pentadbiran universiti itu.

"Sehubungan itu, saya telah menghubungi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sekitar jam 12.30 malam tadi untuk menyatakan bantahan kami kepadanya.

"Datuk Saifuddin sendiri juga amat terkejut dan berasa aneh dengan pembatalan kemenangan calon-calon Pro-M itu. Beliau turut berjanji akan menyelesaikan perkara itu kerana ia merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku," katanya ketika menghubungi Harakahdaily hari ini.

Setelah menunggu sekian lama, mereka baru berpeluang untuk mengadakan perbincangan dan menyampaikan bantahan kepada pihak pentadbiran UPM, setelah Naib Canselor UPM, Datuk Ir Radin Umar tiba sekitar jam 8.00 pagi tadi.

"Sebaik Datuk Ir Radin tiba, kami terus menyerbunya dan Datuk Ir Radin bersetuju untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan kami dengan diwakili calon-calon Pro-M di biliknya sekejap lagi," jelasnya.

Pembatalan kemenangan calon-calon Pro-M itu melibatkan 9 kerusi Fakulti dan 2 kerusi Umum yang ditandingi mereka, dengan mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana PRK dan pihak pentadbiran UPM sendiri.

Kini bilangan aktivis Pro-M yang mengikuti perhimpunan itu semakin bertambah. Dari hanya 50 orang, kini bilangan mereka sudah meningkat ke angka 100 orang dan bilangan itu dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

"Yang kami tuntut hanyalah keadilan. Kenapa seteruk ini diskriminasi yang dilakukan terhadap kami, tetapi kepada pihak Aspirasi tidak pula dibatalkan kemenangannya?" katanya.


Pro-M UTHM nafi majoriti 2/3 Pro-A
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menafikan dua pertiga majoriti Pro-Aspirasi (Pro-A) meskipun kalah secara keseluruhannya.

Pro-M tewas selepas mendapat 13 daripada 30 kerusi yang dipertandingkan iaitu enam dari sepuluh kerusi umum dan tujuh daripada 20 kerusi fakulti.

Manakala pro-A mendapat 17 kerusi.

Mengulas kekalahan yang disifatkan 'kalah bergaya' itu, jurucakap Pro-M UTHM, Muhammad Syafiq Abdul Rahman berkata, pihaknya berpuas hati kerana berjayameningkat dua kali ganda dari sebelum ini. Sebelum ini kami hanya menang tujuh kerusi, tetapi sekarang 13 sementara Aspirasi 17.

"Kami sudah berjaya menafikan dua pertiga majoriti. Kami berpuas hati dengan peningkatan momentum ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Muhammad Syafiq menambah, kekalahan itu berpunca daripada gangguan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang mengganggu proses kempen.

Ini berikutan pembatalan keseluruhan proses penamaan calon yang telah berlangsung pada 17 Februari lalu.

Kesemua 56 calon-calon yang layak bertanding merebut 30 kerusi yang ditawarkan dalam kabinet MPP UTHM telah dibatalkan pencalonan mereka atas alasan masalah teknikal.

"Episod pembatalan kesemua calon pada 18 Februari lalu sedikit sebanyak telah merencatkan gerak kerja kempen kami.

"Antara faktor kekalahan yang lain adalah jumlah calon yang tidak mencukupi," katanya lagi.

Namun ujarnya, Pro-M menjadikan keputusan tersebut sebagai semangat untuk menawan UTHM pada sesi akan datang.

Sementara itu di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), pro-M mengekalkan kemenangan sebelum ini dengan menguasai 23 daripada 26 kerusi yang dipertandingkan.

Hanya satu kerusi dimenangi pro-A. Dua dimenangi calon bebas.

Kemenangan ini juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu di mana mereka menang 15 kerusi.


Arkib video >

Melayu Bangkit: Pemuda PAS bantah penglibatan IIM

Kerdau: Media cuba lagakan Pakatan Rakyat
Harakahdaily

KUANTAN, 23 Feb: Pakatan Rakyat Pahang telah mengadakan mesyuarat pada 21 Februari lalu telah mengeluarkan kenyataan muafakat Pakatan Rakyat untuk PAS meletakkan calon bagi mewakili Pakatan Rakyat Pahang.

Mesyuarat yang dipengerusikan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga telah membentuk jawatankuasa bersama bagi menghadapi pilihanraya kecil (PRK) Kerdau.

Kenyataan muafakat PR Pahang sekaligus menidakkan laporan sesetengah media yang cuba melagakan parti komponen Pakatan Rakyat dengan mengatakan bahawa PKR berminat untuk meletakkan calon mereka sekadar mainan media semata-mata.

Mesyuarat tersebut juga telah merangka strategi bersama bagi menghadapi PRK kali ini di mana DAP, PKR dan DHPP telah diberi tugasan bagi menjayakan gerak kerja PRK Kerdau.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ahli Jawatankuasa Kuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu akan hadir pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS bagi pilihanraya kecil Dun Kerdau yang akan diadakan pada 24 Februari ini.

Majlis Pengistiharan Calon di Darul Hikmah, Kerdau yang bermula jam 9.00 malam akan turut dihadiri oleh pimpinan PKR dan DAP.

Tiada ulasan: