Selasa, 22 Februari 2011

BILA RAKYAT TAK BOLEH DIGULA2@DITIPU LAGI...BILA PENYELEWENGAN DAH TAK BOLEH DITUTUP..BILA LIHAT PEMIMPIN TIDAK JUJUR DAN MELAKUKAN PELBAGAI MUNGKAR..

PAS kutuk pembunuhan rakyat Libya
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Feb: PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam pembunuhan ke atas ratusan rakyat Libya dan meminta Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) campur tangan segera.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat Libya yang tidak bersenjata telah turun ke jalan raya menuntut hak mereka yang dinafikan selama puluhan tahun.

Tambahnya, tindakan pihak keselamatan kerajaan di bawah pimpinan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang telah menggunakan senjata berat ke atas rakyat yang menunjukkan perasaan mereka adalah tindakan tidak bertamadun dan tidak patut berlaku pada zaman moden ini.

Justeru, katanya masyarakat antarabangsa, yang bermati-matian mempertahankan hak asasi manusia, demokrasi dan perundangan antarabangsa wajar untuk memberikan tekanan kepada kepimpinan negara Libya.

Ini, tegasnya agar kepimpinan negara itu menghentikan segera kezaliman berkenaan dan menubuhkan badan siasatan bebas bagi menyiasat pembunuhan itu bagi memberi keadilan kepada mangsa-mangsa pembunuhan tentera dan polis Libya.

“Kepimpinan Libya yang telah menyekat hak rakyat selama puluhan tahun ini pula wajar untuk melepaskan jawatan dan mengembalikan demokrasi yang tulen kepada rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

PAS, tegasnya bersama dengan gerakan Islam juga menyeru agar dunia barat tidak memandang serong terhadap peranan gerakan Islam dalam melakukan perubahan secara demokrasi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, dunia barat juga tidak wajar mengamalkan sikap double standard dalam mencadangkan penyelesaian kemelut di Asia Barat.

Ini, katanya kerana tindakan meminggirkan peranan gerakan Islam yang ingin bersama rakyat untuk melakukan perubahan secara demokrasi akan hanya merumitkan lagi penyelesaian ke arah keamanan sejati.

Menurut laporan, pasukan keselamatan bertindak ganas menembak ribuan penunjuk perasaan dan mereka yang menyertai perarakan pengebumian di timur bandar Benghazi berikutan kebangkitan rakyat.

Kejadian itu menyebabkan 60 terbunuh pada Ahad saja, menurut doktor di sebuah hospital.

Sejak kebangkitan itu bermula, 233 penduduk Libya terbunuh, menurut pegawai perubatan, kumpulan hak asasi manusia dan pembangkang.

Di Kota Benghazi, penunjuk perasaan menguasai keadaan dan mengambil alih pejabat keselamatan utama selepas pertempuran membunuh 60 lagi penduduk.

Tindakan Libya terhadap penunjuk perasaan itu dikatakan yang paling keras antara negara Arab, berbanding bantahan yang menggulingkan pemimpin Tunisia dan Mesir.

OIC diminta bersidang segera

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antabangsa PAS, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi (gambar) dalam kenyataannya pula mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Libya sekarang ini.

Beliau juga berkata, PAS bersama rakyat Libya yang mahukan keadilan dan kebebasan.

Sehubungan itu, katanya, PAS meminta semua pihak membuat gesaan agar kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Razak mengutuk pembunuhan rakyat Libya oleh regim Gadaffi.

Beliau juga berkata, PAS meminta agar kerajaan Malaysia membekukan hubungan diplomatik segera dengan Libya.

Beliau juga menggesa agar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) segera bersidang untuk menghantar pemerhati dan pengaman ke sana.

"PAS doakan kejayaan rakyat Libya dan bebaskan negara mereka dari kekejaman pemerintah Ghadafi yang didokong dan dilindungi kuasa besar Barat khususnya Amerika syarikat, Italy dan Britain kerana kepentingan minyak dan Gas," katanya dalam kenyataan itu.


Skandal Pulau Jerejak: Guan Eng desak Tsu Koon bayar balik RM30 juta
Muhayat Jasmin

GEORGETOWN, 22 Feb: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetap mendesak mantan Ketua Menteri Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon supaya bertanggungjawab terhadap skandal Pulau Jerejak yang menyebabkan kerugian sebanyak RM30 juta kepada rakyat dan kerajaan negeri.

Mengulas isu yang semakin meruncing ini, Lim menggesa Tsu Koon supaya membayar balik wang yang telah merugikan rakyat semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan beliau dahulu.

Lim berkata, kini telah tiba masanya bagi kerajaan negeri pimpinan beliau menuntut kembali wang rakyat yang telah hilang tanpa memberi apa-apa manfaat kepada rakyat maupun kerajaan negeri ini.

"Kerajaan negeri telah membuat keputusan meminta Tsu Koon supaya menebus kembali nilai kerugian yang dialami sebanyak RM30 juta demi kepentingan rakyat negeri ini.

"Sebagai seorang menteri kabinet yang bertanggungjawab terhadap petunjuk prestasi utama (KPI) yang profesional maka adalah tanggungjawab beliau untuk mengarahkan syarikat UDA untuk memulangkan kembali wang skandal Pulau Jerejak kepada rakyat negeri ini, " tegas Lim.

Sebelum ini isu penyelewengan skandal penyerahan tanah Pulau Jerejak kepada Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan operasi perjalanannya kepada Tropical Island Resort (TIR) telah berlaku semasa Tsu Koon sebagai Ketua Menteri.

Manakala nilai kerugian melibatkan premium tanah berjumlah RM10.6 juta bagi 32 hektar tanah di Pulau Jerejak tidak dibayar kepada kerajaan negeri walaupun Tsu Koon telah memberikan geran tanah.

Selain dari itu, kos pelaburan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sejumlah RM15.44 juta kepada TIR tidak mendapat pulangan kerana syarikat tersebut tidak mendapat keuntungan.

Pinjaman oleh PDC berjumlah RM3.6 juta kepada TIR antara tahun 1992 sehingga 2007 selepas penyerahan Pulau Jerejak kepada UDA juga belum dijelaskan sehingga kini.

Skandal yang dibongkar ini sepatutnya mendapat perhatian SPRM dan juga pihak berkuasa supaya penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang berlaku sentiasa memberi keadilan kepada mereka yang menjadi mangsa.



PAS gesa SPR halang BN perguna agensi kerajaan
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 22 Feb: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa bertindak segera menghalang tindakan parti kerajaan menggunakan agensi kerajaan dengan memberi wang kepada pengundi dalam waktu pilihan raya.

Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanuddin Salim berkata tindakan itu penting sebelum keyakinan rakyat hilang terhadap demokrasi dan pilihan raya di negara ini.

Menurut Hassanuddin, sehari dua ini menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kerdau, pemimpin kerajaan telah memasuki kawasan berkenaan menyampaikan sumbangan wang atau janji projek.

“Semalam Timbalan Menteri Datuk Ahmad Maslan telah masuk ke Felda Jengka 23 dengan menyerahkan wang peruntukan sukan dan jalan selain ebrjanji membina dewan bernilai RM900,000.

“Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Adnan Yaakob) pula masuk ke kawasan Orang Asli Paya Sendayan dan akan menyampaikan sumbangan wang Yayasan Pahang kepada anak pengundi Dun Kerdau di Sekolah Menengah Teluk Sentang esok.

“Kita lihat bendera-bendera Umno dan BN juga sudah dipasang di premis awam seperti balai raya dan dewan serba guna sedangkan perbuatan ini tidak dibenarkan sebelum tarikh penamaan calon,” hujahnya.

Tambah Hassanuddin, lebih menghairankan perbuatan pemimpin kerajaan yang dianggap melanggar tata susila demokrasi itu dilakukan tanpa rasa bersalah malah disiarkan terus menerus melalui media arus perdana.

Katanya, perkara ini buaknnya baru tetapi berterusan sedangkan ia memberi contoh dan gambaran yang sangat tidak baik kerana pihak berkuasa dibenarkan melanggar undang-undang.

“Sebab itu kita desak SPR yang sepatutnya berkuasa penuh mengawal demokrasi bertindak segera sebelum rakyat sendiri tidak percaya dengan demokrasi dan pilihan raya.

“Lebih membimbangkan kita, rakyat akan memilih cara lain untuk menuntut keadilan seperti di negara-negara yang sedang bergolak jika sistem demokrasi dikhianati sendiri oleh pemerintah,” ujarnya.



Kerdau: PAS tidak bimbang Umno dakwa Felda kubu kuat mereka
harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Feb: "Kami akan terus mendedahkan penyelewengan dalam pengurusan Felda yang melibatkan pemimpin Umno," kata Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Beliau berkata demikian dalam reaksinya terhadap Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang mendakwa kawasan tanah rancangan Felda merupakan kubu kuat Umno.

"Umno boleh terus mendakwa apa sahaja yang mereka mahu, tetapi Anak mengambil tanggungjawab untuk terus menyedarkan masyarakat peneroka sama ada di Felda atau Fecra tentang hak-hak mereka yang telah dikhianati selama puluhan tahun.

"Kami akan meneruskan siri pendedahan ini di Kerdau dengan usaha yang lebih gigih lagi..di kawasan Ahmad Maslan kata kubu kuat mereka (Umno)," tambah Mazlan yang juga Pengerusi Lujnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Selain itu, walaupun Ketua Penerangan Umno itu cuba mengaitkan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang baru-baru ini yang menyaksikan Umno menang di semua tanah rancangan Felda sebagai bukti peneroka masih memilih Umno, Mazlan berkata beliau tidak gusar dengan perkembangan tersebut kerana tidak mencerminkan realiti sebenar.

Sebaliknya beliau menyifatkan kemenangan yang diukur dalam sebuah PRK seperti itu hanya kemenangan palsu.

"Mereka menang dengan sogokan serta menakutkan para peneroka dengan pelbagai ugutan, adakah kemenangan seperti itu boleh menjadi ukuran tepat kawasan tersebut kubu kuat atau tidak.

"Saya cabar Umno turun dalam kempen pilihan raya sebagai anak jantan, tidak mengunakan jentera kerajaan dan membuka peluang sama rata...kita tengok selepas itu Felda kubu kuat siapa," ujar beliau.

Kata Mazlan lagi, dalam PRK juga PAS dan Pakatan Rakyat pernah kalah di kawasan-kawasan bandar dan kampung tradisi seperti di Galas dan Hulu Selangor.

"Kalau mengikut ukuran itu, bukan sahaja Felda kubu kuat Umno, kampung tradisi dan bandar juga kubu kuat Umno, tetapi dalam pilihan raya umum Pakatan Rakyat menang di kawasan tersebut dan Umno kalah. Jadi Ukuran dalam PRK ini tidak semestinya tepat," kata beliau.

Tambah Mazlan, dalam PRU 2008 lalu juga menyaksikan peningkatan sehingga 40 peratus undi daripada peneroka kepada PAS dan Pakatan Rakyat di beberapa kerusi dalam negeri Johor walaupun negeri itu sering dikatakan kubu kuat Umno.

Hari ini Ahmad dalam lawatan ke Felda Jengka 22 - satu daripada tiga kawasan Felda yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dilaporkan berkata peneroka Felda amat menyokong kerajaan kerana banyak usaha dilakukan bagi membantu mereka.

PRK DUN Kerdau akan diadakan pada 6 Mac ini ekoran Adunnya, Datuk Zaharuddin Abu Kasim meniggal dunia pada 12 Februari lalu akibat serangan jantung.

Terdapat tiga kawasan rancangan Felda di DUN Kerdau iaitu Jengka 22, Jengka 23 dan Jengka 25 yang pengundinya berjumlah 3,011 orang.

Selain itu Kerdau meliputi kawasan pinggir bandar, kampung tradisional Melayu, estet, pekan lama dan sebuah Fecra.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, pihaknya akan memberi tumpuan khusus dalam kawasan Felda sebagaimana dilakukan dalam PRK-PRK kecil sebelum ini.

"Apa yang lebih penting kita mahu menyampaikan maklumat sebenar kepada para peneroka, lambat laun saya percaya mereka akan membuka mata dan bangkit membuat perubahan," katanya.

Bagaimanapun ditanya peluang mendapatkan undi peneroka dalam PRK Kerdau tidak lama lagi, Mazlan berkata beliau optimis peneroka mampu membuat kejutan, malah katanya ia pernah dilakukan oleh peneroka khususnya di Pahang ketika Pilihan Raya Umum pada tahun 1999.

"Dun Jengka, Dun Chini,Dun Tahan dan Dun Penor yang diliputi kawasan-kawasan Felda pernah di menangi oleh PAS dalam pilihan raya itu. Ini sekaligus membuktikan Felda bukan lah kubu kuat Umno cuma mereka (peneroka) ditekan, dikongkong dan cuba dipisahkan dari dunia luar," kata Mazlan.



Selangor Terkini: Faekah dakwa Umno Selangor terlibat
Harakahdaily
SHAH ALAM, 22 Feb: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin mendakwa Umno Selangor dalang dalam penerbitan dan penyebaran akhbar Selangor Terkini.

Bercakap pada sidang media di bangunan SUK hari ini beliau berkata, perkara itu jelas apabila akhbar tersebut diedar bersama kalendar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang Abdul Shukor Idrus pada Sabtu lalu ketika sambutan Maulidur Rasul.

Selain menggunakan logo rasmi kerajaan Selangor tanpa kebenaran,akhbar itu juga didakwa menabur fitnah dan cuba mengaburi pemikiran rakyat dengan bertindak menghentam pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sehubungan itu beliau mendesak Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis menyiasat perkara itu lebih terperinci sama ada ianya disengajakan atau kebetulan.

“Kami desak Kementerian Dalam Negeri, kerajaan, polis untuk siasat lebih terperinci dakwaan bahawa Umno Selangor terlibat.

“Malah penggunaan logo rasmi tanpa kebenaran adalah kesalahan serius kerana tidak menghormati undang-undang dan Sultan Selangor. Inilah penderhakaan sebenar,” katanya.

Beliau juga memberitahu akan menyerahkan bukti terbaru itu kepada pihak polis hari ini.

Ketika ditanya dalang utama disebalik akhbar itu, beliau berkata “Datuk Noh Omar sebahagian daripada Umno Selangor.”

Faekah berkata akhbar itu juga tidak mempunyai lesen penerbitan.

Pada 17 Januari lalu kerajaan Negeri melalui seorang pegawai kanan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam terhadap akhbar berkenaan.

Namun menurut Faekah, pihaknya masih tidak menerima maklumat mengenai perkembangan terkini hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat.

Menurut Faekah, pihaknya sedia memberi bantuan kepada polis dengan mendapat khidmat penyiasat persendirian bagi mencari dalang disebalik penerbitan akhbar terbabit.




Menang di kampus petanda baik projek kuburkan BN
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Kejayaan pelajar Pro Mahasiswa menguasai lapan daripada 13 kampus dalam pilihanraya semalam memberikan petanda baik kepada gerak kerja anti Barisan Nasional.

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh dalam satu kenyataannya melalui twitter berkata, kemenangan itu adalah petanda baik (untuk Pakatan).

Dalam pilihan raya kampus semalam, kumpulan Pro Mahasiswa menguasai kampus Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia kampus Kubang Kerian (USMKK), Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan (UMSL) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Hari ini pilihan raya untuk kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Teknologi Mara (UITM) sedang berlangsung.

Pro-M dijangka akan menang di UIA kerana mereka telah berjaya merampas 14 kerusi tanpa bertanding dalam kampus itu.

Berbanding sesi lalu, pilihan raya kali ini menyaksikan Pro Mahasiswa mencatatkan sejarah dengan menawan kepimpinan MPP di beberapa universiti selepas tempoh yang lama dikuasai Pro Aspirasi.

Pro Mahasiswa dikaitkan dengan sokongan kepada pembangkang manakala Pro Aspiras lebih cenderung kepada parti pemerintah kerajaan pusat.


Pereka grafik buka laman web 2Malaysia

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Kerana tidak berpuashati dengan slogan 1Malaysia Datuk Seri Najib Razak, seorang pereka grafik membuka satu laman web khas untuk melawannya.

Menurut Ariff Junaidi dalam satu kenyataannya, beliau telah melancarkan satu laman web di http://www.2malaysia.org semalam bagi menyampaikan hasratnya itu.

"Sebelum ini saya telah mempromosikan 2Malaysia menerusi laman Facebook, http://www.facebook.com/2malaysia," kata Ariff dalam kenyataannya.

Ariff berkata, beliau mendapat inspirasi daripada kempen parodi politik luar negara seperti MyDavidCameron dan berhasrat melancarkan 2Malaysia untuk menunjukkan hipokritnya kerajaan dalam kempen 1Malaysia mereka.

Tiga poster kini disediakan mengikut tema 1Malaysia iaitu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Saya berhasrat orang ramai boleh turut serta dengan menghantar poster rekaan mereka mengikut tema 2Malaysia kepada saya menerusi laman web dan Facebook saya.

"Saya yakin orang ramai juga muak dengan propaganda Kerajaan," kata Ariff dalam kenyataannya kepada Harakadaily.

Menurut Ariff, dia bukan ahli mana-mana parti tetapi kecewa melihat perbezaan antara apa yang Najib katakan dan apa yang berlaku dalam realiti.

"Sebagai seorang pereka grafik, ini antara apa yang saya mampu lakukan," katanya.

Antara poster awal yang dimasukkan Ariff dalam laman itu adalah poster runtuhnya bangunan Stadium Sultan Mizan di Kuala Terengganu yang Ariff lakarkan ia sebagai 'pencapaian diutamakan'.

Turut dimuatkan Ariff dalam laman 2Malaysia beliau adalah parodi kepada 1Malaysia Najib dengan peranan yang dimainkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia.



Keputusan STPM Kelantan lebih baik dari kebangsaan
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 22 Feb: Kelantan mencatatkan keputusan STPM lebih baik dari peringkat kebangsaan apabila mendapat 96.23 peratus kelulusan penuh berbanding 92.49 peratus peringkat kebangsaan.

Berdasarkan laporan terbaru, daripada jumlah tersebut, seramai 3,365 calon (56.08 peratus) pelajar Kelantan memperolehi empat dan lima prinsipal berbanding seramai 3,245 pada 2009.

Sekaligus, rekod ini mencatatkan peratusan kelulusan penuh lebih baik dari peringkat nasional iaitu 92.49 peratus, umum Pengarah Pelajaran Kelantan Hussein Awang.

Sementara itu di sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK), pencapaian Lulus Penuh ‘A’ di Sekolah Menengan Ugama (A) Kerajaan mencatat 10.20 peratus berbanding 6.49 peratus pada 2009.

Sejumlah 49 calon dari SMU (A) Kerajaan yang menduduki peperiksaan STPM 2010 memperolehi 10.20 peratus berbanding 6.49 peratus pada 2009 (kelulusan Penuh A dan A-), sementara pada SMU (A) Bantuan Kerajaan mencapai kelulusan Penuh A dan A-, dan 0.00 peratus berbanding 28.57 peratus pada 2009.

Penolong Pengarah Peperiksaan YIK Che Kamaruddin Kamel Che Muhammad ketika dihubungi sebentar tadi berkata seramai 53 calon SMU (A) YIK menduduki peperiksaan STPM 2010 berbanding 2009 seramai 148 orang.

“Dari jumlah itu sebanyak 81.13 mencapai peratusan lulus pada 2010 berbanding 78.82 peratus pada 2009,” katanya.


Mee segera hingga bila-bila
Subky Latif

PENGUMUMAN projek baru dan pemberian berbagai perkara oleh kerajaan Barisan Nasional berlaku dalam setiap pilihan raya umum dan pilihan raya kecil sejak selepas merdeka.

Hadiah rasuah politik itu kini dikenali sebagai projek mee segera. Tetapi ia tidak pernah dikenali sebagai projek mee segera hinggalah berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terangganu yang dimenangi calon PAS, Mohamad Abdul Wahid Endut tidak lama selepas Pilihan Raya Umum yang lalu.

Dalam kempen di Kuala Terengganu itu, Datuk Seri Najib, masih lagi Timbalan Perdana Menteri masa itu mengisytiharkan, tiada lagi projek mee segera dibuat melalui kempen pilihan raya.

Pengumuman tentang mee segera oleh Datuk Najib itu, secara berani mengakui adanya amalan pemberian mee segera dalam setiap pilihan raya sebelum itu.

Tanpa menyatakan ia adalah satu perbuatan tidak bermaruah dalam pilihan raya, ia adalah untuk menyatakan bahawa perbuatan itu adalah tidak bermaruah, melanggar susila budaya pilihan raya dan ia adalah bersemangat rasuah.

(Gambar fail: Projek mee segera di Tenang)

Jika selama ini dibiar jalan di kampung berlubang dan berlopak, tetapi sebaik mati wakil rakyat jalan pun bertar – baru dan licin jalannya. Selama ini dibiarkan kantin sekolah dengan keadaan yang uzur, maka pada kempen PRK dikeluarkan bantuan segera membaharui bangunan kempen.

Dalam tahun 60an dulu ada kampung yang tidak ada bekalan air dan api dihantar alat-alat bagi membina projek itu menjelang pilihan raya atau sebaik bermula kempen pilihan raya. Orang dapat melihat berlonggok-longgok peralatan itu di tepi jalan.

Ada tempatnya bahan itu terus berlonggok di situ sehingga lama selepas pilihan raya, projek itu tidak pernah tiba. Dan ada pula di kawasan yang calon parti kerajaan kalah, bahan yang dilonggokkan itu dipunggah dibawa balik ke tempat asalnya. Projek mee segera itu tidak jadi dilaksanakan kerana pengundi kononnya tak mahu projek itu. Itulah sebabnya mereka tidak mengundi calon parti kerajaan.

Sehinggalah dalam kempen PRK di Kuala Terangganu yang Datuk Najib berkempen di kawasan yang ibu saudaranya – adik Tun Razak – sebok JKR menurap jalan dan sebagainya bagi menarik sokongan pengundi. Ia tidak dibuat sebelum kempen itu tetapi diadakan secara tiba-tiba bila tiba-tiba ada pilihan raya.

Itulah yang dikatakan projek mee segera. Mee segera itu ialah mee yang boleh diperolehi dan dimakan masa itu juga. Ia bukan mee yang sudah dimasak. Tetapi ramuan mee yang disediakan dalam kotak khas, dibeli dan dituang air panas dan boleh dimakan ketika itu juga.

Kata Najib, projek mee segera itu tidak akan ada lagi.

Orang pun tahu semua pengumuman mengenai projek secara tiba-tiba itu dipanggil projek mee segera. Dan calon BN Kuala Tereangganu itu kalah. Sebelumnya wakil rakyat BN yang mati itu dua kali menang di situ.

Orang pun menyangka seperti hendak bermulalah kempen pilihan raya yang sihat dan akan wujudkan kerajaan yang sihat. Kalau Najib nanti jadi Perdana Menteri, tiada lagilah barang-barang seperti mee segera itu.

Tetapi bila Najib menggantikan Abdullah Badawi, penyakit mee segera menjadi-jadi lebih teruk dari sebelumnya.

Dalam pilihan raya kecil di Manek Urai hampir dua tahun lalu, tidak pernah terfikir penduduk di situ untuk membina jambatan menyambung dua bahagian pekan. Tiba-tiba di tengah kempen itu menteri mengumumkan akan membina jamabatan di situ. Itulah janji projek mee segera.

Rancangan itu tidak ada. Ia diada-adakan saja. Sehingga ini belum ada apa-apa. Ia baru dikira sebagai satu wawasan. Entah bila hendak diadakan.

Dalam PRK di DUN Tenang baru-baru ini banyaklah kotak mee segera dibawa ke situ dan banyak pengumuman dan pemberian yang tidak pernah dibuat dan diberi kepada penduduk di situ disampaikan.

Makmur sekejap dan makmur segera penduduk kawasan itu oleh limpahan pemberian dan janji projek mee segera.

Sebaik selesai PRK Tenang orang beralih ke DUN Merlimau. Sebelum penamaan calon, mengikut Pengerusi badan pemantau pilihan raya bebas (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh, jalan-jalan di DUN itu mula diturap belaka. Pengumuman projek baru pun menjadi-jadi, ikut sedap mulut menteri dan Ketua Menteri.

Santa Klaus BN itu bersepah-sepah di Merlimau dan setengahnya berkampung pula di Dun Kerdau, Pahang membawa kotak mee segera dan projek tiba-tiba.

Kata Syed Ibrahim, ia melanggar peraturan pilihan raya. Janji Najib tiada lagi projek mee segera sudah tidak dipedulikannya sendiri. Betullah dia seorang pawang memecah timba. Mee segera ada bila-bila selagi ada Umno dan BN.




Tulisan Zainal Epi bayangkan apa agendanya
Cicit Mat Kilau

Sekali lagi penulis upahan Umno yang dibayar gajinya melalui Jasa (Jabatan Hal Ehwal Khas) Kementerian Penerangan Malaysia, Zainal Epi cuba memecahkan PAS dan PKR.

Kali ini dengan menulis berita kononnya PAS tidak akan bertanding di Kerdau, Pahang dan akan memberikan laluan kepada PKR.

Kononnya ada pemikiran PAS untuk memboikot pilihan raya kecil itu. Baca "PAS may give way to PKR in Kerdau" (PAS mungkin bagi jalan kepada PKR di Kerdau) dalam Free Malaysian Today.

Pada 19 Februari, beliau juga menulis dengan nada yang sama iaitu melagakan PAS dan PKR melalui tulisannya bertajuk "On the horns of a dilemma".

Dalam tulisan ini, wartawan berpengalaman tetapi diketepikan selepas akhbarnya, The Malay Mail diambil alih oleh satu pihak lain, mengatakan PAS akan memberikan tumpuan kepada Kerdau berbanding dengan Merlimau kerana peluangnya lebih besar.

Namun, tulis Zainal, PAS terpaksa berebut dengan PKR kerana parti itu juga mahu bertanding dalam pilihan raya kecil ini selepas terlepas Merlimau.

Sebelum ini, pada 15 Februari, beliau juga membuat berita yang senada iaitu 'PAS may stay out of Kerdau fray" (PAS mungkin akan tidak menyertai pertandingan di Kerdau).

Penulis ini membayangkan, PAS mungkin tidak menyertai pilihanraya ini jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya serentak dengan Merlimau.

Pada 12 Februari, Zainal juga menulis dengan nada yang sama

Dalam tulisan ini, beliau menggambarkan PKR pada awalnya mahu bertanding kerusi ini tetapi setelah membuat kajian lapangan, mereka mendapati akan kalah lalu membiarkan PAS bertanding di situ.

Semua tulisan ini membayangkan agenda sebenar penulis ini. Mungkin beliau berpengalaman sebagai wartawan tetapi nada tulisan beliau kini jauh benar dengan tulisan ketika beliau berada di zaman kegemilangannya dahulu.

Ketika bersama The Star, Zainal antara penulis yang disegani. Begitu juga ketika beliau bersama memulakan akhbar Harian Watan bersama bekas pengarang Harakah, Zin Mahmud.

Ketika itu, tulisan Zainal disegani oleh rakan dan musuh politik BN. Ini kerana, tulisan itu penuh dengan isi dan laporannya menepati apa yang berlaku di lapangan.

Namun, sejak kebelakangan ini, tulisan beliau umpama 'armchair reporter' sahaja. Duduk depan komputer, ketuk dan terhasillah tulisan 'maha hebat' itu.

Lihat sahaja ulasan beliau tentang Kerdau. Tidak berbangkit langsung PAS mahu melepaskan kerusi Kerdau itu kerana ia adalah kubu PAS. Mungkin PAS Pahang sekarang tidak kuat tetapi kerusi ini adalah antara yang terbaik di Pahang.

Mungkin ada faktor Suhaimi Said di kerusi ini yang menyebabkan ada yang terfikir PAS perlu memberikan peluang kepada PKR untuk bertanding. Namun, dari segi realitinya tidak begitu. PAS Pahang atau PAS Pusat sesekali tidak akan terfikir untuk menyerahkan kerusi itu kepada pihak lain.

Jadi dari mana sebenarnya maklumat kononnya PAS akan melepaskan kerusi itu. Mungkin dari Umno kerana bimbang untuk bertembung dengan PAS di situ tambah-tambah lagi apabila PAS Pahang kebelakangan ini sangat meningkat semangat juang mereka.

Cicit Mat Kilau





Tiada ulasan: