Isnin, 28 Februari 2011

INI KESAN BILA RAKYAT LAPAR DAN DITINDAS SERTA PILIH BULU...YANG MENGHUKUM ITU ALLAH....AKHIRAT HUKUM LAIN MENUNGGU...

Rakyat Libya tubuh pemerintahan sementara


SEORANG pegawai tentera yang berpaling tadah menunjukkan cara-cara menggunakan senjata antipesawat di Benghazi, Libya semalam.


BENGHAZI - Para penunjuk perasaan yang menentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menubuhkan majlis pemerintahan baru di timur Libya.

Kerajaan sementara itu dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Libya dan ia tidak akan berunding dengan Muammar Gaddafi.

Seorang jurucakap majlis itu menyatakan kepada agensi berita Reuters bahawa ia bukannya sebuah kerajaan sementara.

Penubuhan majlis itu mencetuskan kontroversi kerana bekas menteri kehakiman Libya, Mustafa Abdel Jalil membuat pengumuman menerusi stesen televisyen Al-Jazeera pada awal kelmarin bahawa sebuah kerajaan sementara sudah ditubuhkan.

Mustafa berkata, beliau akan mengetuai kerajaan sementara itu tidak kurang daripada tiga bulan.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan pilihan raya yang adil bagi membolehkan penduduk memilih pemimpin mereka.

Bagaimanapun, para penunjuk perasaan yang mewujudkan majlis pemerintahan baru itu menyatakan pandangan Mustafa bahawa beliau mengetuai sebuah kerajaan baru hanyalah satu pendapat peribadi.

- Agensi


Penunjuk perasaan gabung tenaga


SEJUMLAH orang berhimpun di sebuah cawangan bank untuk mendapatkan sumbangan wang daripada pemerintah di Tripoli semalam.


ZAWIYA - Para penunjuk perasaan yang bersenjata dan yang dibantu oleh rakan-rakan mereka di sebuah bandar dekat dengan Tripoli semalam bergabung tenaga untuk menyingkirkan Muammar Gadadfi yang memerintah negara itu sejak 1 September 1969.

Para penunjuk perasaan berada di bandar ini 50 kilometer dari Tripoli yang merupakan ibu kota Libya.

Menurut wartawan agensi berita Associated Press, para penunjuk perasaan itu mempunyai kereta kebal tentera dan senjata antipesawat.

Wartawan itu menyatakan, para penunjuk perasaan menguasai pusat bandar Zawiya.

Namun, terdapat enam pusat pemeriksaan tentera yang dikawal oleh askar-askar yang setia dengan Gaddafi di sebatang jalan raya dari Tripoli ke Zawiya.

Setiap pusat pemeriksaan itu, terdapat sebuah kereta kebal yang ditempatkan.

"Bagi kami, Gaddafi merupakan Dracula Libya," kata seorang pegawai tentera, Wael al-Oraibi yang berpaling tadah dengan menyertai para penunjuk perasaan antipemerintah.

Sementara itu, di kawasan pinggir Tripoli, kebanyakan kedai ditutup dan orang ramai berbaris di beberapa buah bank untuk membuat urusan.

Sebahagian orang berbaris di bank-bank selepas stesen televisyen dan khidmat pesanan ringkas melaporkan beberapa hari lalu bahawa setiap keluarga akan memperoleh AS$400 (RM1,221) selain kredir AS$100 (RM305) untuk perkhidmatan telefon daripada pemerintah.

Stesen televisyen Libya melaporkan keluarga di negara itu juga berhak untuk mendapatkan peruntukan AS$49,000 (RM149,621) dalam pinjaman tanpa faedah bagi membeli apartmen.

Semua insentif itu diumumkan selepas para penunjuk perasaan bangkit menentang pemerintahan Gaddafi yang dianggap tidak membantu penduduk miskin. - Agensi


Istana Muammar Gaddafi di Al-Baida diselongkar


BEBERAPA pokok menghiasi kawasan pekarangan istana milik Muammar Gaddafi di bandar Al-Baida, Libya.


AL-BAIDA - Sebuah istana milik pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di bandar ini diselongkar dan dirosakkan oleh kumpulan penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya, lapor stesen televisyen Al-Jazeera semalam.

Istana itu dihiasi dengan tumbuhan hijau, sebuah kolam renang tertutup, sauna dan jakuzi untuk tetamu-tetamunya.

Menurut stesen televisyn itu, istana itu dilengkapi dengan kubu bawah tanah yang dibina untuk perlindungan selama beberapa bulan jika beliau diserang dengan senjata bukan konvensional.

Kubu bawah tanah itu dilengkapi dengan sistem penapisan udara dan janakuasa untuk tujuan kecemasan.

Alat penggera kebakaran, paip air dan tangga digunakan untuk membantu pemimpin tersebut melarikan diri jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Dalam imej yang disiarkan stesen televisyen itu, beberapa orang merosakkan barang-barang yang terdapat di dalam istana tersebut.

Istana itu diceroboh selepas para penunjuk perasaan berjaya menguasai bandar ini daripada tentera upahan Gaddafi baru-baru ini.

Gaddafi kini berdepan dengan penentangan rakyat yang tidak berpuas hati dengan pemerintahannya selama hampir 42 tahun kerana sumber kekayaan negara tidak digunakan untuk membantu kehidupan rakyat yang miskin.

Kebangkitan rakyat itu didorong oleh kejayaan tunjuk perasaan yang berjaya menyebabkan Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan selepas hampir 29 tahun beliau memerintah.

Gaddafi sanggup menggunakan bedilan peluru berpandu dan tentera upahan untuk memerangi penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya namun beberapa buah bandar dilaporkan sudah jatuh ke tangan para penunjuk perasaan. - Agensi


Polis Oman bertempur dengan penunjuk perasaan

MUSCAT - Polis Oman bertempur dengan para penunjuk perasaan di bandar Sohar semalam ekoran kebangkitan rakyat bagi menuntut perubahan politik di negara beraja itu.

Anggota-anggota polis melepaskan tembakan gas pemedih mata manakala sejumlah penunjuk perasaan bertempur dengan para penunjuk perasaan.

"Ia merupakan satu tunjuk perasaan yang besar dan terdapat pertempuran di antara para penunjuk perasaan dengan polis," kata beberapa saksi yang hanya dikenali sebagai Mohamed.

Polis menggunakan cota untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang berhimpun di sebuah dataran utama di sini.

Menurut beberapa saksi, dua orang terbunuh dalam pertempuran tersebut.

Oman diperintah oleh Sultan Qaboos bin Said selepas baginda merampas kuasa daripada bapanya sendiri pada 1970.

- Agensi

Tiada ulasan: