Selasa, 17 Ogos 2010

PERKARA/BENDA KEDEPAN ALLAH SAHAJA YANG TAHU.....ESOK HUJAN ATAU TIDAK.... KITA TAK TAHU...JANGAN KITA MENDAHULUI TAKDIR...ATAU MERAMAL2...




‘Elak perang besar’

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) mengesahkan tahu siapa dan parti politik mana yang terlibat dalam mewujudkan perlembagaan baru tetapi enggan mendedahkannya.

Beliau berkata, langkah itu bagi mengelakkan berlakunya ‘peperangan besar’ di negara ini.

“Saya tahu siapa, parti politik mana terlibat dalam menubuhkan perlembagaan baru itu. Tetapi saya tidak akan dedahkan, biarlah sekadar memberitahu terdapat kegiatan pihak tertentu untuk mewujudkan perlembagaan baru menggantikan Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya didedahkan kesannya terlalu besar sehingga boleh mencetuskan peperangan besar di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Harussani mendedahkan terdapat kegiatan pihak tertentu mewujudkan ‘perlembagaan baru’ bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan dalam satu Wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu di Taman Budaya, Ipoh, Perak.

Menurut beliau, perlembagaan baru itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

Mengulas lanjut, Harussani bagaimanapun berkata, beliau mungkin akan mendedahkan maklumat mengenai pihak yang terlibat sekiranya mendapat permintaan daripada kerajaan.

“Buat masa ini tiada pendedahan akan dibuat,” katanya.



Ganti perlembagaan implikasi besar

PUTRAJAYA 16 Ogos – Rakyat negara ini diperingatkan bahawa sebarang cadangan untuk menggantikan Perlembagaan Persekutuan boleh membawa padah negatif yang menyusahkan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan, ini kerana ia semacam membuka ‘empangan bah sosiopolitik’ yang amat besar dan meluas implikasinya.

Dalam aspek ini, beliau khuatir kepentingan-kepentingan kontrak sosial sedia ada mungkin pecah dan merugikan banyak pihak terutama orang Melayu.

‘‘Sesuatu pindaan perlembagaan negara tidak harus dianggap mudah.

‘‘Cadangan itu juga bercanggah dengan gagasan 1Malaysia yang meletakkan ‘penerimaan’ sebagai salah satu tiangnya.

‘‘Pada masa ini, cadangan itu tidak mungkin lantaran tiadanya kuasa dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat. Lagipun perpecahan Melayu kini di bawah pelbagai badan politik tidak mengharuskan cadangan tersebut.

Apa-apa cadangan meminda perlembagaan dalam masa terdekat akan membawa implikasi berat yang menyukarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas pendedahan yang dibuat oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semalam bahawa sudah ada ‘perlembagaan baru’ dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras kemakmuran negara selama ini.

Perkara tersebut didedahkan mufti berkenaan semasa menjadi panel Wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu di Taman Budaya, Ipoh.

Menurut Harussani, perlembagaan baru itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

“Saya dimaklumkan sekarang sudah ada perlembagaan baru yang dibuat oleh pihak tertentu.

“Kebetulan saya ada memberi satu ceramah di Alor Setar. Ada seseorang datang dan memberikan saya tiga buah buku Perlembagaan yang dikehendaki pihak tertentu,” katanya.




Dinar: Peniaga berdepan risiko

BACHOK 16 Ogos - Lebih 1,000 pengusaha kedai dan restoran di negeri ini bakal berdepan risiko tinggi termasuk ditipu sekiranya menggunakan mata wang dinar emas dan dirham perak yang diperkenalkan kerajaan negeri untuk transaksi perniagaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, ini kerana sebahagian besar peniaga dan pengguna tidak mahir membezakan antara dinar emas dan dirham perak tulen dengan yang palsu.

"Mereka mungkin mudah ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana hendak mendapat keuntungan besar dan sememangnya peluang untuk menipu sering ditunggu-tunggu oleh penyangak mata wang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian wang zakat sempena Ramadan kepada lebih 150 orang fakir miskin di Masjid Perupuk di sini, semalam.

Khamis lalu, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melancarkan mata wang berkenaan yang akan digunakan dalam transaksi seharian termasuk pembayaran gaji kepada kakitangan awam.

Nik Abdul Aziz berkata, mata wang itu boleh digunakan di kira-kira 1,000 kedai dan restoran sebagai transaksi perniagaan.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri turut mempersoalkan bagaimana pekedai di negeri ini boleh menguruskan perniagaan jual beli dengan peniaga dari Kuala Lumpur yang enggan menerima pakai mata wang berkenaan.

Beliau berkata, pengguna atau pembeli pula akan mengalami kesukaran untuk menukarnya kerana mata wang itu tidak akan diterima oleh bank konvensional tempatan kerana ia bukan nilai kewangan yang diiktiraf di peringkat nasional.

"Disebabkan kesukaran itu, nilai mata wang berkenaan akan jatuh secara mendadak. Contohnya, jika nilainya RM100 mungkin jatuh kepada RM80 tunai," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok berkata, kerajaan negeri tidak boleh menuduh Kerajaan Pusat mempolitikkan isu ini kerana ia sebenarnya tertakluk di bawah Akta Bank Negara dan pelaksanaan nilai mata wang bukannya seperti menghasilkan barangan cenderamata.

"Sebagaimana nilaian Ringgit Malaysia, ia bukan sahaja berharga sebagai mata wang domestik tetapi diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan piawaiannya yang mampu mengelak daripada dipalsukan sebagai jaminan nilainya," katanya.

Beliau berkata, golongan yang paling malang sekali rakyat yang tinggal di kampung-kampung yang tidak mempunyai pengalaman dalam urusan pertukaran wang untuk ke bandar-bandar membeli barangan dan menukarnya.

Katanya, lebih memburukkan lagi jika nilai emas jatuh secara mendadak di pasaran antarabangsa dan perkara itu tidak mustahil kerana nilai emas sentiasa turun naik setiap hari dan sukar diramal.

Tiada ulasan: