Jumaat, 6 Ogos 2010

FIKIRLAH...HANYA ALLAH SAJA YG TAHU.....BERAPA LAMA KITA HIDUP DI DUNIA ...AKHIRNYA MATI GAK

Nasihat ulama muda Umno
Fathul Bari Mat Jahya
Ogos 6, 10
10:43am

Masih teringat lagi tarikh keramat 25 Jun 2010, di PWTC. Saya dan beberapa sahabat menyerahkan borang penyertaan Umno kepada perdana menteri.

Pelbagai respons diperolehi daripada teman-teman seperjuangan, juga masyarakat yang peka terhadap perkembangan politik semasa.

Ada yang memberi semangat dan ada yang memberi nasihat. Tidak kurang juga ada pihak yang mencemuh dan membuat pelbagai tuduhan palsu.

"Ustaz, teruskan perjuangan, teruskan dakwah. Ustaz, kena banyak nasihati Umno. Ustaz, lakukan perubahan dalam Umno, jadikan mereka cinta kepada Islam," kata mereka.

Respons positif seperti ini membuatkan kami terus bersemangat. Terima kasih kami ucapkan. Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa sesuatu nasihat itu bukan untuk Umno semata-mata. Bahkan nasihat adalah untuk semua manusia.

Rasulullah SAW bersabda: "Agama itu nasihat. Para sahabat bertanya, untuk siapa nasihat itu? Nabi bersabda, untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemerintah Muslim dan manusia umumnya." (Riwayat Muslim, hadis nombor 55).

al-Khatthobi ketika menjelaskan erti nasihat berkata: "Menjamin atau menghendaki kebaikan bagi yang diberi nasihat." (lihat Syarh Shahih Muslim al-Imam al-Nawawi).

Adakah Umno sahaja yang sering melakukan kesilapan dan perlu dinasihati? Adakah PAS dan PKR tidak pernah melakukan kesalahan? Wahai manusia, usah terlalu prejudis.

Sibuk cari kesalahan orang

Sabda Nabi SAW, maksudnya: "Setiap anak adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pesalah adalah yang bertaubat atas segala kesalahannya." (Riwayat al-Tirmidzi, hadis nombor 2499).

Nah, Rasulullah sendiri menyatakan setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan. Maka, usah kita tunding menuding antara satu dengan yang lain.

Sewajarnya, di mana ada kesalahan, maka di situ perlu ada nasihat tanpa mengira agama, parti, bangsa dan warna kulit.

Soal bagaimana nasihat itu perlu dilakukan, ia perlu kembali kepada etika-etika yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Kadang kala, si jasus (mata-mata) yang sibuk mencari kesalahan orang lain terlupa tentang dirinya. Akidah, ibadah dan akhlaknya bagaimana?

Jiwanya kacau, kerana itu mereka sering meracau.

Bagi pihak yang dikritik, sekiranya kritikan tersebut kena pada tempatnya, maka menjadi satu kewajipan baginya untuk menerima dengan hati yang terbuka.

Ustaz kena pastikan wanita Umno bertudung!

Takutilah firman Allah, maksudnya:

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (surah al-A'raf, ayat 179).


Imam Ibnu Kathir ketika mengulas ayat di atas menyatakan: "Mereka (ahli neraka) tidak memanfaatkan anggota yang Allah jadikan sebab untuk mendapat hidayah." (Tafsir Al-Quran al-'Adzhim).

Sebaliknya, jika kritikan tersebut merupakan fitnah dan tuduhan palsu, maka usah cepat melatah. Berdiam di samping muhasabah diri adalah tindakan bijak.

Teringat saya pada satu syair Imam Syafie: "Berkatalah sesuka hatimu untuk menghina kehormatanku. Maka diamku dari orang yang hina adalah suatu jawapan . Bukanlah ertinya aku tidak memiliki jawapan, tetapi tidak pantas bagi seekor singa melayani kerenah anjing-anjing. (Lihat Diwan al-Syafi'e).

Bagaimana pula dengan sindiran seperti: "Selamat menjadi orang kaya. Ustaz kena pastikan semua orang Umno simpan janggut bulan depan! Ustaz kena pastikan semua wanita Umno bertudung! Ustaz kena pastikan hukum hudud dilaksanakan segera! Ustaz kena hapuskan rasuah!"

Terasa letih mendengar suara-suara sindiran sebegitu. Bagaimanapun, saya dan para sahabat jadikan ia sebagai satu dugaan dan cabaran.

Perjuangan tanpa dugaan ibarat berbuka puasa tanpa manisan. Apatah lagi Allah SWT telah menetapkan ujian bagi sesiapa yang beriman.

Rasuah, hudud dan mata duitan


Firman-Nya, bermaksud: "Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum dari mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang berdusta." (surah al-'Ankabut, ayat 2-3)

Suara-suara sindiran tadi adalah harapan dalam berbentuk ugutan. Seolah-olah hidayah berada di tangan kami. Sedangkan Nabi SAW tidak mampu merubah hati saudaranya sendiri dari kekufuran kepada keimanan. Apatah lagi kami.

Hairan apabila manusia cuba mencabar tugas Allah.

Bahkan adakah amalan rasuah, menolak hudud dan mata duitan merupakan dasar Umno? Sudah tentu tidak.

Sebaliknya, mungkin ia berlaku pada individu-individu tertentu yang mendahulukan hawa nafsu mengatasi disiplin beragama. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Sebenarnya kesalahan itu boleh berada di mana-mana dan pengawalnya adalah takwa, bukan parti politik atau kelompok tertentu.

Kerana itu, Allah berfirman, maksudnya: "Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa." (surah al-Hujurat, ayat13).

Oleh itu, isu melibatkan individu, usahlah dimaklumkan kepada umum kerana ia termasuk dalam kategori mengumpat.

Mungkin ada yang berkata, isu tersebut memberi kesan kepada masyarakat di Malaysia. Saya katakan: "Adakah anda telah menasihatinya?"


Fathul Bari Mat Jahya merupakan pengerusi jawatankuasa kerja Sekretariat (Ulama Muda UMNO (iLMU ). Graduan hadis daripada Universiti Islam Madinah dan Universiti Yarmouk Jordan itu kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam bidang yang sama di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau kini bertugas sebagai penasihat agama di Institut Jantung Negara.




Hubungan romantis: Saiful, Farah diheret
Ogos 6, 10 12:51pm
Perbicaraan liwat II menjadi semakin 'panas' apabila pihak pembelaan kini cuba memaksa timbalan pendakwa raya, Farah Azlina Latif dan pengadu yang diliwat, Mohd Saiful Bukhari Azlan ke kandang saksi berhubung 'hubungan romantis' mereka.

Peguam utama pihak pembelaan, Karpal Singh berkata permohonan akan dibuat apabila hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mendengar permohonan Anwar untuk membatalkan pendakwaan berkenaan.

Tindakan itu diambil berikutan jawapan dalam bentuk afidavit oleh pihak pendakwaan tidak menyentuh berhubung kebimbangan tertuduh, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Farah Azlina dan Mohd Saiful menjalinkan hubungan romantis.

Pada Isnin lalu, Karpal mencabar kedua-dua mereka memfailkan afidavit bagi menjawap tuduhan hubungan berkenaan dan memandangkan tiada yang diberikan. Justeru, Karpal berkata Anwar mengandaikan apa yang diperkatakan mengenai hubungan itu adalah betul.

"Saya terkejut tidak ada afidavit daripada kedua-dua mereka...Malah, Peguam Negara sepatutnya mengarahkan Farah dan Saiful untuk mengemukakan afidavit masing-masing,” kata Karpal.

Hubungan romantis itu dijangka memberi kesan ke atas perbicaraan yang berlangsung kerana ada kemungkinan ia mencabuli Akta Rahsia Rasmi 1972, kerana Saiful yang mempunyai hubungan dengan Farah mempunyai akses kepada dokumen pendakwaan.

Perkara itu kini di bawah siasatan polis setelah laporan dibuat oleh Anwar.

Pada Rabu lalu, pihak pendakwaan memfailkan dua afidavit dalam bentuk jawapan oleh timbalan pendakwa raya Mohd Hanafiah Zakaria dan pegawai penyiasat Jude Blacious Pereira - yang menafikan Farah dan Saiful mempunyai akses kepada dokumen penting seperti kenyataan saksi dan laporannya.





Kematian bekas ADUN, motif hampir dikenalpasti
Ogos 6, 10 10:04am
Polis hampir kenal pasti motif kematian misteri bekas ADUN Permatang, Datuk Aziz Mohd Noor dan pembantu peribadinya, Siti Rohana Ismat, kelmarin, lapor Berita Harian Online.

Ketua Polis Selangor,, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata siasatan polis terhadap kes kematian itu kini sudah 90 peratus siap.

Beliau juga mengulangi bahawa tiada pihak ketiga terbabit dalam kes kematian Aziz dan Siti Rohana yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Karang.

Semalam, Khalid berkata, siasatan polis hanya menjurus untuk mencari motif tembakan terhadap kedua-dua mangsa.

Katanya, polis juga sedang merakam percakapan beberapa saksi antaranya orang pertama tiba di tempat kejadian dan orang yang melihat kenderaan mangsa terbabas di Kilometer 455.7, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sungai Buloh dekatShah Alam.

Dalam pada itu, bercakap kepada pemberita selepas Penutupan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2010, semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengingatkan mana-mana pihak agar tidak membuat spekulasi berhubung kes itu.

Katanya, polis akan memaklumkan hasil siasatan kes itu selepas laporan bedah siasat kedua-dua mangsa diperoleh.

"Seperti yang diberitahu sebelum ini, tiada orang ketiga terlibat dalam kes itu. Jadi jangan buat sebarang spekulasi, kami akan maklumkan hasil siasatan selepas mendapat laporan bedah-siasat kedua-dua mangsa," katanya.

Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan sama ada Abdul Aziz menembak dirinya sendiri setelah melepaskan tembakan ke arah bekas pembantu peribadinya itu.

Pada kejadian pada jam 11 pagi itu, Abdul Aziz, 64, dan Siti Rohana Ismat, 43, ditemui mati dengan kesan tembakan pada kedua-dua kepala mereka dalam kereta yang dipandu Abdul Aziz yang terbabas di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh dekat Kuala Lumpur.

Polis
turut menemui sepucuk pistol Revolver .38 yang dipercayai milik Abdul Aziz dalam kereta itu.

Mengulas mengenai had umur yang ditetapkan terhadap individu yang ingin
memiliki lesen senjata api, Musa berkata tiada had umur yang ditetapkan.

“Tiada had umur. Tetapi mereka yang ingin memiliki lesen senjata api perlu mendapatkan surat sokongan dari doktor kerajaan yang menyatakan mereka ini mampu untuk mengendalikan senjata itu...iaitu mesti sihat dari segi mental dan fizikal," katanya.



Kasihan sungguh Fathul Bari yang malang
Yangretibase

Tulisan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya yang bertajuk 'Nasihat ulama muda Umno' dalam sebuah akhbar dalam talian baru-baru ini tidak sedikit pun memperlihatkan dirinya sebagai ilmuan yang hebat. Saya tidak berminat langsung untuk menjawabnya, walaupun dengan cara mudah; apalagi membuat analisis setiap fakta janggal yang diutarakannya.

Respons saya ini hanya sekadar peringatan ikhlas kepada Fathul Bari Mat Jahaya agar beliau dan kumpulan ulama muda yang bersama-samanya menyertai Umno pada 25 Jun, 2010 memuhasabah diri sendiri, menghisab diri sendiri dan mengira-ngira diri sendiri. Tertanya-tanya saya, adakah Umno itu sebuah parti politik suci yang dianggotai pula oleh ahli-ahli yang keramat sehinggakan tarikh seseorang itu menyerahkan borang untuk menyertai Umno pun dianggap keramat? Saya bimbang, tarikh keramat itu sama juga dengan tarikh sesat.

Seorang ulama akhiratkah Fathul Bari Mat Jahaya? Seorang ulama akhirat atau ulama benar sudah pasti berpegang teguh dengan mantapnya kepada kesemua 6,236 ayat al-Quran. Cukup banyak ayat Allah SWT yang melarang unsur-unsur persekongkolan, persahabatan dan persubahatan dengan pihak yang fasiq. Mengapa Fathul Bari tergamak dan berani melanggar ayat 44, 45, 47 dan 49 dalam Surah al-Maidah dan ayat 3 dalam Surah Ibrahim?

'Al-ulama warathatulanbia'. Seorang ulama itu waris para Nabi. Mana mungkin seseorang itu layak dan tergamak menggelarkan dirinya ulama jika taat setianya kepada Rasulullah tidak setepu-tepunya? Waris Nabikah dia? Seorang ulama benar yang imannya kental tidak tergoyah sedikit jua oleh godaan, cubaan dan ujian dunia yang fana ini, tetapi bertentangan sekali dengan ulama dunia yang lebih mementingkan dan mengutamakan dunia daripada akhirat.

Malu dan takut seorang ulama Rabbani hanya kepada Allah SWT, tetapi seorang ulama suk lebih takut dan malu kepada manusia. Demikian juga seorang ulama Malaki pasti tetap senantiasa bersama-sama dengan jemaah yang istiqamah menjunjung tinggi akan setiap titah perintah Allah SWT dengan berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

Kesimpulannya, saya bimbang, dengan menyertai Umno, Fathul Bari Mat Jahaya dan kumpulan ulama mudanya hanyalah ulama dunia atau ulama suk yang kasih dan cinta mereka kepada dunia mengatasi kasih dan cinta mereka kepada Allah SWT dan Rasulullah s.a.w.

Kasihan sungguh Fathul Bari Mat Jahaya yang malang.

Yangretibase,

Kuala Terengganu.




Kematian bekas ADUN, polis sahkan bunuh, bunuh diri
Ogos 10, 10 4:53pm
Polis mengesahkan kematian bekas ADUN Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noor, dan pembantu peribadinya, Siti Rohana Ismat sebagai kes bunuh dan bunuh diri.


Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata hasil siasatan pihak polis mengesahkan perkara berkenaan tetapi beliau enggan memberikan butiran lanjut termasuk motif pembunuhan itu.

Pada kejadian pada jam 11 pagi Selasa lalu di kilometer 455.7 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sungai Buloh, Abdul Aziz, 64, ditemui terkulai di tempat duduk pemandu kereta yang terbabas, manakala Siti Rohana, 43, dalam keadaan terduduk di sebelahnya.
Polis juga menjumpai kesan tembakan di kepala kedua-dua mangsa.

Polis juga menjumpai sepucuk revolver .38 yang masih berisi dua peluru milik Abdul Aziz, di celah tempat duduk depan Toyota Caldina milik Siti Rohana yang dipandu bekas ADUN itu.
A
ziz berkhidmat sebagai ADUN Permatang selama sepenggal sehingga 2008 apabila beliau menewaskan calon PKR Samry Masri dengan majoriti 4,285 undi.

Bagaimanapun, dalam pilihan raya umum lalu, beliau memberikan laluan kepada Sulaiman Abd Razak bertanding mewakili Umno








Sime Darby hadapi masalah lagi, kali ini di Indonesia
LFG

KUALA LUMPUR, Aug 12: Umpama jatuh ditimpa tangga, Sime Darby, syarikat yang belum pulih daripada derita kerugian hampir RM3 bilion tahun lalu terus dibelenggu masalah, kali ini di negara jiran, Indonesia.

Kumpulan Guthrie Berhad, syarikat yang kini sebahagian daripada Sime Darby, baru-baru ini diarah membayar tuntutan sivil kepada syarikat Indonesia PT Adhiyasa Saranamas oleh Mahkamah Agung Indonesia lebih dari USD25 juta, yang kini menggelembung sehingga USD41 juta.

Sebuah portal berita online melaporkan bahawa masalah itu telah dibawa ke perhatian parlimen negara itu untuk diselesaikan berikutan Guthrie terus mengingkari perintah untuk membayar.

"Pengingkaran terus daripada syarikat yang mempunyai kaitan kerajaan Malaysia telah menimbulkan tanda tanya atas kewujudan broker dan mafia undang-undang di sebalik kes ini," lapor Rakyat Merdeka, sebuah portal berita online di Indonesia.

Persengketaan antara dua syarikat tersebut bermula pada tahun 2000 ketika Guthrie Berhad merancang untuk menguasai aset PT Holdico Kuasa yang telah diambil alih oleh Badan Penyehatan Perbankan Nasional (BPPN) milik kerajaan Indonesia.

Guthrie telah melantik PT Adhiyasa Saranamas sebagai orang tengah untuk memudahkan prosedur dalam pengambilalihan PT Holdico Kuasa, serta anak syarikat dan aset milik syarikat berkenaan termasuk ladang kelapa sawit di beberapa bandar.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Guthrie telah bersetuju untuk memberikan yuran sebanyak tujuh peratus daripada hasil nilai urus niaga untuk Adhiyasa, menurut portal tersebut.

Selepas pengambilalihan berjaya, syarikat milik kerajaan Malaysia itu telah dituduh melanggar kontrak kerana sengaja melewatkan bayaran yang dijanjikan kepada Adhiyasa.

Adhiyasa kemudian mengambil pelbagai tindakan undang-undang, tetapi gagal, bahkan sehinggakan permohonan rayuannya di Mahkamah Agung Indonesia tidak mendatangkan hasil.

Pada tahun 2007, dengan pelbagai kelengkapan dokumen dan bukti, Adhiyasa telah berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Agung untuk mengarahkan Guthrie untuk memenuhi kewajipannya dalam membayar yuran yang dijanjikan, dengan enam peratus tambahan sebagai bunga.

Namun, keputusan ini terus diingkari Guthrie sehingga memaksa Adhiyasa untuk mengajukan petisyen dengan Mahkamah Negeri Jakarta Selatan untuk merampas aset Guthrie yang akhirnya diterima.

(Gambar: Salah satu dokumen yang disiarkan Raja Petra dalam Malaysia-Today tentang Guthrie di Indonesia yang dikatakan sedang menghadapi masalah)

Rakyat Merdeka menambah bahawa Guthrie cuba untuk melawan penghakiman tersebut dengan menyekat perintah untuk pembayaran melalui PT Holdico Kuasa, syarikat yang dikuasainya pada tahun 2000.

Kumpulan Guthrie merupakan syarikat yang terlibat dalam perladangan dan pengilangan yang dibeli pada tahun 1981 di bawah pemerintahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed melalui syarikat pelaburan kerajaan Pemodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi Bursa Saham London.

Bersama kerajaan dan PNB sebagai pemegang saham terbesar, Guthrie digabungkan dengan Sime Darby dan Golden Hope untuk membentuk Synergy Drive, kemudiannya Sime Darby sebagai nama bersama.

Pada November 2007, Sime Darby menjadi syarikat terbesar di Malaysia dan syarikat perladangan terbesar di dunia dengan bank tanah lebih daripada 540,000 hektar. Namun begitu, akibat salah urus tadbir, Sime Darby dilaporkan berada di dalam kemelut pentadbiran dengan kerugian hampir RM3 billion pada tahun lepas.


Khalid: Saya lebih baik daripada Khir Toyo
Jimadie Shah Othman & Aidila Razak
Ogos 13, 10
10:00am

Selepas lebih dua tahun merampas teraju pemerintahan Selangor daripada Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim merasakan pentadbirannya di negeri itu jauh lebih baik daripada penyandang sebelumnya.

“Kami (Pakatan Rakyat) jauh lebih baik daripada kerajaan sebelum ini, lebih berdedikasi dan bukan penurut semata-mata jika dibandingkan dengan (pentadbiran Datuk Seri Dr) Khir Toyo,” kata Khalid yang juga ADUN Ijok dan ahli parlimen Bandar Tun Razak.

“Khir Toyo berkhidmat kepada kerajaan pusat dahulu sebelum kepada rakyat. Beliau sendiri ambil banyak masa untuk stabilkan kedudukan sendiri.

“Oleh itu sebahagian keputusannya bertentangan dengan kepentingan negeri.”

Dalam
wawancara dengan Malaysiakini Selasa lalu, Khalid bahkan menggambarkan Khir mempunyai kualiti pentadbiran yang teruk sekali sehingga sekiranya berada dalam dalam sektor swasta, beliau tidak mampu pergi jauh.

“Kalau bekerja di (kumpulan) Guthrie, beliau (Khir Toyo) tidak akan sampai tahap pengurus kanan pun,” kata Khalid, bekas ketua pegawai eksekutif konglomerat itu.

Ketawa besar

Khalid mula terkenal apabila mengambil alih Guthrie – semasa itu syarikat perindustrian British – kurang daripada dua jam pada tahun 1981 setelah menyelesaikan "dawn raid" di London Stock Exchange.

Mengkritik ketua pembangkang negeri itu lagi, Khalid berkata, masalah lawan politiknya itu bukanlah pada sikap atau wawasannya, tetapi watak kepimpinannya.

“Kepimpinannya bukan seperti contoh yang dia bawa. Saya rasa dia, seperti peribahasa Melayu sebut, sambil menyelam minum air,” katanya yang sudah dua tahun lima bulan menjadi menteri besar Selangor.

Sementara itu, Khalid ketawa besar apabila diajukan soalan sama ada beliau melantik isteri keduanya sebagai pegawai kanan di Perbadanan Menteri Besar Selangor, seperti dakwaan yang tersebar di internet.

Malah, jelasnya, beliau hanya mempunyai seorang isteri sahaja, iaitu Salbiah Tunut.

“Tidak (benar). Mereka (penulis blog) bercakap tentang pembantu peribadi saya. Dia sudah bekerja dengan saya semasa di PNB (Permodalan Nasional Berhad) sejak tahun 1980 lagi,” jelas bapa kepada empat orang anak itu.

Hanya satu isteri

Khalid menjelaskan, beliau membawa masuk pekerja lamanya ke pejabat menteri besar bagi mengatasi kemungkinan berlakunya kebocoran maklumat pentadbiran.

Tambahan lagi, kata beliau, pembantunya itu sudah berkahwin, mempunyai dua anak dan turut mengenali isterinya Salbiah.

“Mereka (yang menuduh ini) bodoh. Apa boleh buat, banyak orang bodoh di negara ini. Isteri saya kenal dia. Dia sudah bekerja dengan saya selama 30 tahun, bukan kelmarin atau hari ini,” kata Khalid.

Beberapa blog anti-Pakatan, antaranya Ruang Bicara Faisal dan The Unspinners melaporkan Khalid mewujudkan jawatan baru, pegawai koordinasi kepada menteri besar, bagi menempatkan isteri mudanya ke jawatan itu.

Mereka juga mendakwa jawatan tersebut tidak wujud semasa pemerintahan BN dahulu.

Bagaimanapun, jawab Khalid: “Ini jawatan lama.”




Kamera tersembunyi: Menjejaki siapa dalang?
Regina Lee
Ogos 13, 10
10:44am

Pejabat Menteri Besar Selangor yang baru-baru ini dikejutkan dengan penemuan sebuah kamera tersembuyi menghadapi laluan sukar mengenalpasti dalang di sebalik kejadian itu.

Ini kerana pejabat Tan Sri Khalid ibrahim tidak mempunyai sistem keselamatan kamera litar tertutup atau CCTV yang mempunyai keupayaan merakamkan apa yang berlaku.

Menurut seorang pegawainya, Khalid mempunyai kamera CCTV di hadapan pejabatnya tetapi peralatan itu hanya menyiarkan gambar secara langsung untuk menunjukkan apa yang berlaku di luar pintu pejabat.

"Ini adalah sistem yang diwarisi daripada kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum ini.

"Semasa (bekas MB Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo) itu, ini adalah sistem yang diguna-pakai. Kita tidak membuat sebarang perubahaan apabila mengambil-alih pada 2008,” kata pegawai itu yang mahu identitinya dirahsiakan.

Kunci lama

Malah, tidak ada banyak perubahaan atau pengubah-suaian yang dilakukan, katanya selepas kerajaan Pakatan Rakyat mengambil-alih. “Kita juga tidak menukar kunci-kunci yang digunakan,” katanya.

Namu

n, semua itu akan diubah apabila pentadbiran Khalid meninjau semula kawalan keselamatan di pejbat menteri besar tidak lama lagi.

"Sistem yang ada juga perlu diubah, bermula dengan mendaftarkan juruteknik yang memasuki biliknya untuk membaiki peralatan yang tidak berfungsi dan juga langkah-langkah ketat bmengenai siapa yang dibenarkan ke bilik itu,” katanya.

Ketika ini, hanya tiga orang yang mempunyai akses langsung ke pejabat berkenaan - pengawal keselamatan Khalid, setiausaha sulit menteri besar dan seorang pengawai penyelaras.

Pihak pentadbiran bangunan SUK itu juga dikatakan berkemungkinan mempunyai satu set kunci ke pejabat berkenaan.

Kame
ra itu dikesan oleh Khalid di pejabatnya di tingkat 21 pada jam 6 petang Selasa lalu dan beliau berkata adalah dipercayai peralatan itu digunakan untuk mengintip aktiviti hariannya.

"Saya sedang melakukan tugasan apabila terdengar bunyi dan sebaik mencari di seluruh bilik saya menemui alat perakam video itu yang disorok di belakang langsir bilik saya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco negeri pada Rabu lalu.

Ini bukan kali pertama pemimpin PKR menjumpai alat bagi merakam kegiatan di pejbat mereka.

Lebih kurang tahun lalu, exco kerajaan negeri, Rodziah Ismailyang juga ADUN Batu Tiga menjumpai mikofon di pejabat exconya.


Nota akhir: Keluarga nafi tulisan, tandatangan Teoh
Ogos 12, 10 5:13pm
Keluarga mendiang Teoh Beng Hock melahirkan “rasa tidak puas hati, marah dan kecewa” berhubung tindakan Peguam Negara untuk mengemukakan satu nota misteri sebagai bukti ketika inkues bagi menentukan kematian pembantu politik itu hampir kepada penghujungnya.

Dalam satu kenyataan keras yang dikeluarkan di Melaka, keluarga Teoh berkata tindakan Peguam Negara itu amat dicurigai dan menggesa kerajaan mendapatkan pakar tulisan bagi menentukan ketulenan nota berkenaan.

"AG tidak melihat penderitaan kami. Hampir lebih setahun, kami terpaksa berulang-alik dari Melaka ke Shah Alam untuk menghadiri inkues berkenaan,” petik kenyataan itu.

"Jika inkues dimulakan semula, bagaimana kami sebagai satu keluarga mampu melalui penderitaan ini sekali lagi? Adakah AG sengaja cuba menghalang kami daripada menjalani kehidupan seharian?”

Menurut keluarga Teoh, AG memaklumkan bahawa pejabatnya telah memiliki nota berkenaan sejak Oktober tahun lalu tetapi mengapa nota itu tidak dirujuk kepada ahli keluarga Teoh, mahupun peguam mereka.

"Kami menghadiri inkues itu sepanjang tahun. Mengapa mereka tidak memohon bantuan kami? AG hanya mencari alasan (untuk melenggah-lenggah),” kata keluarga itu.

Keluarga Teoh juga mengulangi dakwaan bahawa tulisan dan tandatangan pada nota itu adalah berlainan berbanding yang dimiliki Teoh.

Pada 9 Ogos lalu, inkues yang sedang berlangsung ditangguhkan kepada 18 Ogos, selepas perbincangan semua pihak terbabit di kamar koroner.

Ia dipercayai berhubung spekulasi terdapat nota yang didakwa tinggalan daripada Teoh yang merupakan 'bukti terakhir'


Tiada ulasan: