Ahad, 1 Ogos 2010

ALHAMDULLILLAH....SYABAS...KITA DOAKAN AGAR BELIAU MENUNAIKAN JANJINYA...

"Menteri Kabinet tidak terlepas"

KUALA LUMPUR - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata beliau akan meletakkan jawatan jika aduan kepada suruhanjaya itu termasuk membabitkan Menteri Kabinet tidak disiasat.

“Jika tidak ada siasatan dijalankan mengenai mana-mana laporan, walaupun terhadap Menteri Kabinet, saya sedia meletak jawatan,” katanya ketika sesi soal jawab pada hari terakhir Persidangan Undang-undang Malaysia, di sini, semalam.

Beliau bersedia menerima aduan terus daripada orang ramai atau melalui Jawatankuasa Aduan SPRM yang diketuai bekas seorang hakim.

"Terdapat 119 aduan diterima jawatankuasa itu tahun lalu.

“Kita tidak akan menyembunyikan apa-apa. Jika kita salah, kita salah, atau jika kita tidak bagus, kita akan bekerja keras untuk memperbaiki diri kita,” kata Abu Kassim, yang dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM Januari tahun ini.

Beliau berkata sejak SPRM ditubuhkan pada Januari tahun lalu, kira-kira 10,000 orang ditangkap, antara mereka menteri, Ahli Parlimen dan pegawai kanan kerajaan, tanpa mengira pendirian politiknya.

"SPRM juga terbabit menangani kes politik wang dalam UMNO, di mana 12 ahli parti itu didakwa," katanya.

“Tindakan SPRM mengakibatkan satu demonstarsi ditaja Pemuda UMNO yang mendakwa kita tidak berhak menyiasat politik wang parti itu,” katanya di hadapan kira-kira 300 peguam.

Beliau berkata, cabaran utama SPRM mengubah persepsi masyarakat bahawa suruhanjaya hanya menyiasat “ikan bilis dan bukan yang besar. - Bernama


Tangkapan: SPRM perbetul laporan Bernama
Harakahdaily

PUTRAJAYA, 1 Ogos: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin merujuk kepada laporan berita yang disiarkan dalam portal Bernama yang bertarikh 1 Ogos (hari ini) bertajuk MACC Chief Vows To Probe Every Complaint yang turut disiarkan di beberapa media lain.

Untuk makluman, terdapat kesilapan fakta yang dipetik dari Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Sri Abu Kassim Mohammed dalam laporan berkenaan.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, kesilapan berkenaan adalah berkaitan jumlah tangkapan yang dilakukan oleh SPRM sejak penubuhannya pada Januari 2009.

Laporan berkenaan seperti di bawah:

”He said that since the setting up of the MACC in January last year, about 10,000 people had been arrested, among them ministers, members of parliament and senior civil servants, irrespective of their political leaning”.

Fakta yang dijelaskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM berkaitan jumlah tangkapan sebanyak 10,000 orang sebagaimana yang dilaporkan oleh Bernama dan dipetik oleh beberapa media lain sebenarnya adalah merujuk kepada jumlah tangkapan yang membabitkan rasuah sejak penubuhan Badan Pencegah Rasuah dan seterusnya sehingga ke hari ini, dan bukan sejak penubuhan SPRM sahaja.

SPRM ingin memaklumkan bahawa jumlah tangkapan sebenar sejak SPRM ditubuhkan pada 1 Januari 2009 hingga Jun 2010 adalah sebanyak 919 orang, yang juga termasuk dalam jumlah tangkapan yang dimaksudkan.

Sehubungan dengan itu, SPRM berharap pihak berkenaan mengambil maklum dan membuat pembetulan yang sewajarnya terhadap kesilapan data dalam laporan berkenaan, supaya masyarakat tidak terkeliru atau salah tanggapan.

Tiada ulasan: