Khamis, 21 April 2011

INI YANG SEBENAR....TAK ELOK BUAT KENYATAAN BERAT SEBELAH....AMAN DAMAI DLL....INI KERJA ALLAH....ANUGERAH ALLAH...SELAGI ADA AMAL MAKRUF NAHI MUNGKAR

UUM kemuka rayuan

ALOR SETAR – Universiti Utara Malaysia (UUM) menghantar surat rayuan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam agar melanjutkan tempoh rebat cukai tanah sebanyak RM1.7 juta setahun seperti yang diluluskan oleh kerajaan negeri pada tahun 2006.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, UUM selama ini dikenakan cukai tanah berjumlah RM1.8 juta setahun sebelum ia dikurangkan kepada RM100,000 sehingga 2008.


Serah UUM pada Kedah
Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 19 April: "Serahkan Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada kerajaan negeri kalau dah tak mampu nak tadbir kewangannya," kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) sebagai respons kepada isu yang ditimbulkan timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Semalam, Menteri Pedidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin juga dilaporkan mengecam kerajaan negeri Kedah yang kononnya menaikkan cukai tanah UUM sehingga 10 kali ganda sejak mengambil alih pemerintahan negeri sehingga pihak universiti terpaksa membayar RM1.8 juta setahun berbanding RM150,000 sebelum ini.

Azizan bagaimanapun menafikan dakwaan kenaikan cukai tanah tersebut, sebaliknya menjelaskan bahawa apa yang berlaku adalah tempoh pemberian rebat kerajaan negeri kepada universiti itu yang telah berakhir.

"Mengikut perjanjian asal, jumlah perlu dibayar oleh universiti adalah sebanyak RM1.2 juta tetapi pihak universiti hanya perlu bayar RM100 ribu setahun bagi tempoh 2006 hingga 2008 setelah permohonan mereka mendapatkan rebat diluluskan oleh kerajaan.

"Saya harap penjelasan ini membuktikan kerajaan negeri bukan naikkan cukai tanah, cukai asal lebih RM1 juta dan setelah diberi rebat UUM cuma bayar RM100,000 sahaja dan kini perjanjian telah berakhir, UUM kenalah bayar penuh.

"Sepatutnya mereka kena bayar RM1.2 juta tapi kalau UUM menghadapi masalah kewangan, mereka boleh memohon untuk mendapatkan rebat semula," jelasnya kepada media selepas berucap di himpunan bulanan kakitangan kerajaan di Wisma Darul Aman.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri tidak pernah bercadang hendak menaikkan cukai tanah yang diturunkan selepas mengambil alih pemerintahan negeri pada Mac 2008 yang lalu.

Mengenai masalah bekalan air yang sekian lama dihadapi warga universiti itu, Azizan berkata, isu ini perlu diselesaikan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi.

"Saya pernah bangkitkan isu ini supaya pengurusan UUM kemukakan cadangan kepada kementerian untuk naik taraf infrastruktur bekalan air, tetapi saya tak nampak pun hasilnya," katanya.





MB Kedah nafi cukai tanah UUM dinaikkan
Apr 19, 11 6:29pm

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini menafikan kerajaan pimpinannya menaikkan kadar cukai tanah 10 kali ganda terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sebaliknya kata beliau, kenyataan yang dibuat Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak itu tidak berlandaskan fakta sebenar.

"Apa yang berlaku ialah bagi tempoh Januari 2006 hingga Disember 2008, UUM telah diberi rebat oleh kerajaan negeri ketika itu menyebabkan cukai tanahnya dikurangkan dari RM1.7 juta setahun kepada RM100,000.

"Tetapi selepas tempoh rebat dua tahun itu berakhir, mereka diminta membayar pada kadar penuh semula iaitu RM1.7 juta," katanya pada sidang media, di Alor Star.

Azizan juga berkata akibat pemberian rebat kepada UUM itu kerajaan negeri pimpinanya kerugian RM1.6 juta.

UUM juga katanya, pernah memohon kepada beliau agar pemberian rebat itu disambung namun permohonan mereka ditolak.

"Mereka (UUM) boleh terus membuat rayuan dan kita akan pertimbangkan, tetapi tidak semestinya kita akan luluskan permohonan mereka itu," katanya.

Mengulas lanjut, Azizan berkata UUM juga telah diberi beberapa pilihan dalam membuat pembayaran cukai tesebut.

"Kita juga setuju mereka (UUM) berunding dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mengenai bayaran ansuran. Pada tahun 2009 dan 2010 mereka bayar dengan kadar penuh," kata Azizan.

Beliau juga menegaskan kerajaan negeri yang diteraju pakatan pembangkang itu tidak pernah mengeluarkan arahan menaikkan cukai sejak mentadbir Kedah selepas pilihan raya umum 2008.

"...tetapi apa yang kita buat ialah pada 2008, kita menurunkan cukai tanah antara 35 peratus sehingga 75 peratus termasuk tanah-tanah milik kerajaan persekutuan.

"Disebabkan penurunan cukai itu kerajaan negeri telah kehilangan hasil tanah sebanyak RM50 juta setahun," katanya.

Mengenai isu air di UUM, beliau menasihatkan universiti itu dan Kementerian Pengajian Tinggi meningkatkan kemudahan sistem perairan seperti tangki dan paip air kerana kerajaan negeri telah menyiapkan paip besar di luar kampus tersebut yang boleh menampung sehingga ke Bukit Kayu Hitam.

"Setiap hari pihak Syarikat Air Darul Aman (Sada) menyalurkan bekalan air ke UUM sebanyak 15 juta liter sedangkan kawasan lain kita hanya bagi lima dan 10 juta liter sahaja. Jadi mereka perlu meningkatkan kemudahan loji dalam kampus supaya air itu dapat disalurkan kepada warga kampus," katanya.

- Bernama


Cukai tanah tahunan UUM RM1.8 juta

PUTRAJAYA – Sukar dipercayai apabila kerajaan negeri Kedah sanggup mengenakan kadar cukai tanah tahunan 10 kali ganda lebih tinggi atau sebanyak RM1.8 juta setahun ke atas Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah sejak tiga tahun lalu.

Nasib malang universiti itu didedahkan sendiri oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang terpaksa merayu kerajaan negeri supaya mengurangkan kadar cukai tersebut.

Menurutnya, kadar cukai tanah yang terlalu tinggi itu sepatutnya digunakan untuk tujuan penyelidikan dan penerbitan universiti.

Sebelum ini UUM membayar RM150,000 cukai tanah setahun.

Lebih menyedihkan lagi, ujar beliau, UUM juga terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk menyewa lori mengangkut air bagi kegunaan pelajar universiti tersebut yang menghadapi masalah untuk mendapatkan air bersih sejak tahun lalu.

Menurutnya, sejak setahun lalu sebahagian pelajar UUM terpaksa mengambil air menggunakan baldi daripada lori yang disewa khas tersebut dan ia menyukarkan usaha universiti berkenaan menarik pelajar dari luar negara.

“Masalah ini amat membebankan kewangan dan kami telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak supaya cukai tanah itu dikurangkan tetapi tiada jawapan hingga kini.

“Bagaimanapun kami tetap tidak ketinggalan menjelaskan bayaran yang dikenakan itu sejak tiga tahun lalu” katanya pada majlis pelancaran Program Khas Pasca Siswazah Untuk Ahli Parlimen di UUM oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini semalam.


Kerajaan negeri naikkan cukai tanah UUM hingga 10 kali ganda - Khaled

18/04/2011 7:40pm

PUTRAJAYA 18 April — Tindakan kerajaan negeri Kedah menaikkan cukai tanah Universiti Utara Malaysia (UUM) sehingga 10 kali ganda selain gagal menyediakan bekalan air yang mencukupi di universiti itu, dilihat sebagai tidak membantu usaha kerajaan pusat untuk melahirkan modal insan negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebagai kerajaan negeri yang memerintah, mereka seharusnya berbangga dengan universiti itu dan membantu kerajaan pusat dalam menyediakan keperluan-keperluan tertentu untuk universiti berkenaan.

"Selama ini kalau kerajaan negeri itu BN, ia membantu dengan tidak mengenakan cukai yang tinggi.

Tetapi setelah mereka mengambil alih kerajaan negeri, mereka mengenakan cukai tanah kepada institusi pendidikan sehingga RM1.8 juta setahun cukai tanah berbanding sebelum ini RM150,000 setahun,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Khas Pasca Siswazah untuk Anggota Parlimen yang dikendalikan UUM di sini hari ini.

Lebih membebankan apabila pihak pengurusan UUM terpaksa membayar antara RM80,000 sehingga RM90,000 sebulan untuk menampung kos lori bagi mengangkut air dari luar akibat kekurangan bekalan air sejak setahun lalu, katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri dilihat cuba mendapatkan keuntungan daripada sebuah institusi pengajian tinggi, sedangkan mereka seharusnya memahami UUM adalah sebuah pusat akademik yang berfungsi untuk melahirkan modal insan. — Bernama


Tiada ulasan: