Selasa, 19 April 2011

BAHAYA BILA BERKATA TANPA RUJUK QURAN DAN HADIS...TIDAK MELIHAT LAWAN TIDAK BERTANDING SECARA MATANG...SALAHGUNA KUASA...

Liabiliti: Pemuda PAS Wilayah sanggah Aziz Bari
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 April: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyanggah pandangan penganalisis politik, Prof Abdul Aziz Bari di dalam Malaysian Insider yang mengatakan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai liabiliti kepada komponen Pakatan Rakyat.

Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, jika benar beliau menjadi liabiliti, sudah lama PKR dan DAP memutuskan hubungan dengan PAS.

Selain itu, katanya pandangan Aziz yang asyik mengulang isu kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 untuk memalukan Presiden PAS tidak ubah seperti pandangan budak tadika sahaja.

Tambahnya, ia jelas menunjukan kelemahan bacaan politik beliau yang mana, di bawah kepimpinan presiden hari ini, PAS berjaya menguasai dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah walaupun gagal menguasai Terengganu pada 2008.

Malah, katanya jumlah kerusi PAS di Parlimen pada 2008, bertambah tiga kali ganda iaitu 24 kerusi dari 7 kerusi pada 2004.

“Sebagai Presiden keupayaan prestasi beliau dilihat berdasarkan keupayaan parti di seluruh negara bukannya di Terengganu sahaja. Dan ianya sudah cukup membuktikan kebangkitan semula kepimpinan PAS di bawah Presiden,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tuduhan Aziz yang turut mengatakan bahawa Presiden PAS menjadi punca kegagalan PAS memenangi mana-mana kerusi di Sarawak juga amat dangkal.

“Lainlah jika PAS sebelum ini pernah menang di Sarawak dan kemudiannya kalah semua kerusi dalam pilihan raya baru-baru ini,” katanya lagi.

Katanya, pilihan raya Sarawak 2006 menyaksikan PAS bertanding 1 kerusi tetapi kali ini 5 kerusi dan ini satu petanda bahawa Presiden PAS telah berjaya memainkan peranannya di dalam Majlis Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Pakatan ketika proses pembahagian kerusi.

Menurutnya, Aziz juga kelihatan agak bingung ketika mendakwa Presiden PAS adalah punca kegagalan 16 September.

“Di tadika manakah fakta ini diperolehinya?

“Adakah beliau ada membuat kajian ilmiah tentang hal ini sebagai prof atau sekadar mengantungkan lidah beliau pada hujahan berasaskan persepsi?” soalnya.

Nampaknya, kata beliau Aziz sengaja mengkambinghitamkan Presiden PAS dengan pelbagai tuduhan liar, hanya untuk melampiaskan nafsu amarahnya yang tidak ketahuan punca.

Justeru, DPPWP menasihatkan agar Aziz tidak memalukan golongan ahli akademik yang selama ini bercakap atas fakta dan kajian yang lebih berfakta.

Katanya, jika beliau tiada modal untuk bercakap baik diam sahaja dari terus melalak seperti orang bijak yang kelihatan kurang bijak menggunakan ilmunya.

“DPPWP hari ini cukup berpuashati dan memberikan sokongan penuh kepada Presiden PAS di atas usaha beliau membangkitkan semula keupayaan PAS setelah melalui zaman kekalahan pada 2004,” katanya.


MENGULAS KENYATAAN PAKAR PERLEMBAGAAN, DR. ABDUL AZIZ BARI

by Nik Abdul Aziz Nik Mat on Wednesday, April 20, 2011 at 2:31pm

Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS. Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya. Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik.

Namun, perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihanraya. Sememangnya memenangi pilihanraya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihanraya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi. Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS. Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar? Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar? Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT.

Sekian, wassalam.

YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

Bertarikh : 20 April 2011 M / 17 Jamadil Awal 1432 H


Jangan layan isu murahan tepi jalan
Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 19 April: Isu akuan bersumpah blogger Raja Petra Kamarudin penuh putar belit yang ditimbulkan kembali oleh para pemimpin Umno BN, disifatkan oleh PAS sebagai isu murahan di tepi jalan yang tidak perlu dilayan.

Untuk memahami isu itu, kesemua pihak perlu menyedari kedudukan Raja Petra itu sendiri yang hanya sebagai rakyat biasa, bukan pemimpin negara dan bukan juga pemimpin parti politik penting di tanah air.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, oleh itu sebarang isu yang timbul berkait dengan Raja Petra, apatah lagi jika jelas berputar belit seperti berkaitan akuan bersumpahnya berhubung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mempunyai sebarang makna jika dilayan oleh PAS.

Menurut beliau, sebaliknya jika dilayan, ia hanya membuang masa dan tidak memberikan sebarang erti bagi mewarnai politik negara yang kini semakin menarik setelah diberikan nafas segar oleh Pakatan Rakyat.

Katanya, jika dikaitkan dengan situasi sedang memandu kereta di tengah jalan, melayani isu-isu murahan di tepi jalan seperti itu hanya akan mengganggu pemanduan seseorang sehingga akan menyebabkab 'lari stereng', sekali gus akan merbahayakan individu itu sendiri.

"Apatah lagi jika berkait pula dengan pentadbiran organisasi penting seperti PAS yang jika dilayan akan menyebabkan kita hanya membuang masa atau melakukan pekerjaan sia-sia sahaja," tegas beliau yang juga ahli Parlimen Marang ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan setiap pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS agar bijak menilai isu yang ditimbulkan oleh pihak lawan untuk diulas bagi membolehkan ia memberikan kesan baik bagi perjuangan parti.

Kebijaksaan itu lebih diperlukan lagi apabila ia ditimbulkan sempena pilihanraya kerana jika tidak, isu-isu penting yang patut ditimbulkan terutama berkaitan dasar pasti akan tenggelam hanya dalam masa lima minit sahaja ditimbus isu remeh temeh seperti itu.

Daripada melayan isu seperti itu, beliau lebih tertarik untuk mengulas isu yang mengatakan PAS berada dalam keadaan sakit kini, ekoran dakwaan kegagalannya menarik sokongan orang Melayu di Semenanjung dan di Sarawak seperti yang berlaku dalam PRN Sarawak Ke-10 pada 16 April lalu.

"Ini jelas merupakan fakta yang diputarbelit. Sebenarnya bukan PAS yang sakit, tetapi orang Melayu itu sendiri yang sakit sehingga menyebabkan di dalam jiwanya tidak langsung mempunyai kesedaran tentang kewajipannya menyokong perjuangan Islam, sehingga mereka sanggup memberikan sokongan kepada parti sekular untuk memimpin mereka," katanya.

Lebih menghairankan, apabila orang bukan Islam pula yang sedar dan faham mengenai kepentingan mereka menyokong PAS untuk membolehkan mereka turut berada di bawah pemerintahan Islam, sejajar dengan kelebihan parti Islam itu sendiri berbanding parti-parti lain.

"Jadi ini jelas menunjukkan bukan PAS yang sakit, tetapi orang-orang Melayu terbabit itu sendiri yang sakit dan mereka perlu terus dibantu untuk diubati oleh kita supaya mereka juga turut sedar tentang kedudukan dan peranan mereka yang sebenar terhadap perjuangan Islam," ujarnya.

Kegagalan orang Melayu memahami malah sesetengahnya mengenali PAS sebagai organisasi penting dalam gerakan Islam di tanah air, menurut beliau, sememangnya direncanakan sendiri oleh Umno BN sejak sekian lama memerintah negara, bagi kepentingan politik dan perut para pemimpin mereka sendiri.

"Pada hal yang ditentang oleh mereka adalah perjuangan Islam. Mereka sendiri sebagai orang Islam tidak sepatutnya menentang perjuangan Islam, tetapi mereka sanggup berbuat demikian kerana di dalam hati mereka itu juga turut mempunyai penyakit yang perlu diubati," katanya kesal.

Antara cara yang dilakukan oleh para pemimpin Umno BN bagi menyekat perkembangan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, termasuklah dengan mengenakan sekatan yang ketat terhadap PAS untuk menyebarkan risalah perjuangan Islam kepada seluruh rakyat negara ini di segenap peringkat.

Selain itu, mereka juga turut mengenakan pelbagai tekanan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya terus berada di bawah penguasaan mereka, bagi mengekang SPR dari melaksanakan peranannya dengan betul dan adil selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.

"Ini tentunya menuntut kita semua bangun membetulkan kepincangan yang ada untuk membolehkan kebangkitan rakyat turut berlaku di tanah air kita, bagi menukar kerajaan BN yang ada kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang pastinya jauh lebih baik dari segala sudut untuk perjuangan Islam dan seluruh rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek," ujar beliau.

Menyedari hakikat itu, beliau turut menjelaskan akan turut memfokuskan ucapan dasarnya pada muktamar agung PAS Jun ini ke arah rangsangan kepada jentera PAS di segenap peringkat agar berusaha lebih gigih, berbekalkan keikhlasan, bagi membolehkan PAS dan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Ikhlas itu amat penting. Kalau berusaha gigih sahaja tetapi tanpa keikhlasan tak guna. Dengan keikhlasan itulah yang akan membolehkan kita diberikan pertolongan oleh Allah dalam segenap segi. Jadi dengan keikhlasanlah PAS akan menang," tegas beliau.


Perkauman: Tuduhan Mahathir tidak berasas
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 April: DAP berasa amat kesal dan kecewa dengan kenyataan terbaru Tun Dr Mahathir yang mendakwa bahawa parti itu telah berjaya membawa politik perkauman kepada Sarawak.

Setiausaha Politik kepada Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari berkata, tuduhan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, kata beliau sindiran-sindiran yang sebegitu rupa yang menjadi punca ketegangan antara kaum di Malaysia.

Menurutnya, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan negarawan yang dihormati ramai, beliau sepatutnya lebih matang dan tidak mengapi-apikan tohmahan yang boleh memecah belahkan rakyat.

“Sebagai seorang yang telah terlibat secara terperinci dalam proses perancangan, perangkaan strategi dan pelaksanaan kempen DAP untuk Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, saya boleh mengesahkan dengan tegasnya bahawa tiada sedikit pun unsur perkauman yang cuba dibangkitkan oleh parti kami.

“Sepanjang kempen, isu-isu yang telah kami tekankan adalah seperti masalah pentadbiran, penyalahgunaan kuasa, rasuah yang berleluasa, polisi ekonomi yang tidak memanfaatkan rakyat, inflasi yang kian melambung dan kegagalan kerajaan untuk mengatasi masalah-masalah di atas,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Mungkin, soalnya dalam pendapat Tun Dr Mahathir, hanya masyarakat Cina sahaja yang mengambil berat tentang isu-isu sedemikian.

“Bukankah itu satu penghinaan kepada rakyat Sarawak dan rakyat Malaysia secara umumnya?” tanya beliau lagi.

Sebaliknya, kata beliau pihak yang telah cuba menakut-nakutkan pengundi dengan isu-isu perkauman adalah parti-parti daripada BN seperti SUPP, PBB dan MCA.

Namun, katanya rakyat Sarawak telah membuktikan kematangan mereka kerana tidak termakan umpan bersifat parokial seperti dakwaan bahawa ‘masyarakat Cina’ akan kehilangan perwakilan dalam kerajaan jika wakil-wakil Cina daripada BN tidak berjaya dalam pilihan raya.

Beliau menambah, seperti yang sudah sedia maklum, keputusan pilihan raya jelas menunjukkan bahawa rakyat Sarawak menolak sama sekali unsur-unsur politik perkauman dan sebaliknya inginkan wakil-wakil yang memperjuangkan keadilan dan kebenaran!

Tambahan pula, ujarnya kenaikan undi yang diperolehi parti DAP bukan hanya daripada satu kaum tertentu.

“Dalam kawasan-kawasan seperti Meradong, Dudong dan Kirudong, kejayaan kami adalah hasil tambahan undi kaum Dayak yang cukup memberangsangkan,” ujarnya.

Di Batu Kawa pula, kemenangan DAP di situ tidak mungkin akan berlaku tanpa undi-undi orang Melayu/Melanau yang telah meningkat dalam sokongannya terhadap DAP.

“Hakikatnya, saya yakin bahawa Tun Dr Mahathir sedar dan memahami dinamik politik di negeri Sarawak dan juga di seluruh negara,” katanya lagi.

Tambahnya, namun disebabkan motivasi politik, beliau memilih untuk memainkan sentimen sempit perkauman untuk menjaga kepentingan BN.

Sekali lagi, katanya rakyat boleh melihat dengan sendiri bagaimana pemimpin-pemimpin BN akan menggunakan taktik pecah dan perintah untuk mengekalkan kuasa mereka.

Sebagai pengakhir kata, beliau ingin mencadangkan satu pepatah bahasa Inggeris: if you have nothing good to say, say nothing at all (jika anda tidak mempunyai apa-apa yang bernas untuk dikatakan, usahlah meluahkan walau sekata).


Pejabat PAS Pahang diceroboh

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 19 April: Pejabat Perhubungan PAS Pahang di Jalan Dato’ Bahaman, di sini telah diceroboh masuk kelmarin sehingga menyebabkan kehilangan barang-barang strategik dipercayai untuk mencuri maklumat.

(Gambar: Salah sebuah meja kakitangan pejabat PAS Pahang yang diselongkar)

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal, berkata dalam insiden tersebut sebuah komputer riba, tiga LCD, sebuah external hard disk, berpuluh pen drive dan wang tunai telah hilang.

Katanya, pencerobohan hanya disedari oleh staf pada sebelah pagi hari Ahad apabila empat keping atap genting dan sekeping siling berukuran 4 x 4 kaki ditingkat tiga didapati pecah sementara ruangan pentadbiran pejabat berselerakan.

“Penceroboh dipercayai terdiri daripada beberapa orang dan berdasarkan kesan mereka memecah masuk untuk mencuri maklumat strategik. Jika ini benar ia amat membimbangkan.

“Politik yang sepatutnya berasaskan ilmu dan peradaban telah dicemari kegiatan samseng dan keganasan. Jadi kita harap polis segera menyiasat laporan kecurian ini,” katanya.

Roslan juga mengingatkan agar semua pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta Ahli Parlimen Pakatan Rakyat seluruh Pahang dipertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan kawalan termasuk ke atas pimpinan parti di peringkat negeri dan kawasan.


Serah UUM pada Kedah
Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 19 April: "Serahkan Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada kerajaan negeri kalau dah tak mampu nak tadbir kewangannya," kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) sebagai respons kepada isu yang ditimbulkan timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Semalam, Menteri Pedidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin juga dilaporkan mengecam kerajaan negeri Kedah yang kononnya menaikkan cukai tanah UUM sehingga 10 kali ganda sejak mengambil alih pemerintahan negeri sehingga pihak universiti terpaksa membayar RM1.8 juta setahun berbanding RM150,000 sebelum ini.

Azizan bagaimanapun menafikan dakwaan kenaikan cukai tanah tersebut, sebaliknya menjelaskan bahawa apa yang berlaku adalah tempoh pemberian rebat kerajaan negeri kepada universiti itu yang telah berakhir.

"Mengikut perjanjian asal, jumlah perlu dibayar oleh universiti adalah sebanyak RM1.2 juta tetapi pihak universiti hanya perlu bayar RM100 ribu setahun bagi tempoh 2006 hingga 2008 setelah permohonan mereka mendapatkan rebat diluluskan oleh kerajaan.

"Saya harap penjelasan ini membuktikan kerajaan negeri bukan naikkan cukai tanah, cukai asal lebih RM1 juta dan setelah diberi rebat UUM cuma bayar RM100,000 sahaja dan kini perjanjian telah berakhir, UUM kenalah bayar penuh.

"Sepatutnya mereka kena bayar RM1.2 juta tapi kalau UUM menghadapi masalah kewangan, mereka boleh memohon untuk mendapatkan rebat semula," jelasnya kepada media selepas berucap di himpunan bulanan kakitangan kerajaan di Wisma Darul Aman.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri tidak pernah bercadang hendak menaikkan cukai tanah yang diturunkan selepas mengambil alih pemerintahan negeri pada Mac 2008 yang lalu.

Mengenai masalah bekalan air yang sekian lama dihadapi warga universiti itu, Azizan berkata, isu ini perlu diselesaikan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi.

"Saya pernah bangkitkan isu ini supaya pengurusan UUM kemukakan cadangan kepada kementerian untuk naik taraf infrastruktur bekalan air, tetapi saya tak nampak pun hasilnya," katanya.


Tiada ulasan: